Satu gabungan NGO mengancam untuk membuat perarakan besar sekiranya para pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya masih tidak meletak jawatan atau dipecat dari jawatan tersebut.
Penganjur berkenaan, termasuk NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyebut, sembilan perhimpunan yang diadakan selepas pilihan raya umum 5 Mei lalu hanyalah satu permulaan.

"Amaran terakhir dari rakyat bahawa mereka berani untuk berarak secara aman sekiranya SPR masih tidak dipecat atau meletak jawatan. Rakyat sudah bersedia ke jalan raya demi demokrasi yang telah digelapkan, bila-bila masa dari sekarang.

"Gabungan 'Suara Rakyat 505' tegas dan tetap dengan pendirian bahawa hanya ada satu jawapan terhadap segala penipuan yang telah berlaku dalam pilihanraya 5 Mei lalu iaitu (pemimpin) SPR harus letak jawatan, sebelum langkah seterusnya mengembalikan demokrasi dan juga sebelum mana-mana pilihanraya semula yang bakal berlangsung," kata gabungan NGO tersebut dalam satu kenyatan.