Isnin, 27 Mei 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


BN Perak Tumbang Enam Bulan Lagi

Posted: 27 May 2013 01:01 AM PDT


Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Kerajaan BN Perak tidak mustahil akan tumbang dalam tempoh 6 bulan.

Menurutnya, perkara tersebut boleh terjadi melalui petisyen yang dibuat oleh Pakatan Rakyat di beberapa buah Dun di negeri itu.

"Dulu kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang selepas 11 bulan memerintah, kerajaan BN Perak sekarang ini pula Insya Allah akan tumbang dalam tempoh 6 bulan ini melalui petisyen yang dibuat," katanya ketika berucap dihadapan kira-kira 10,000 hadirin di Himpunan Blackout anjuran PAS Perak di Kompleks PAS Tapah, dekat sini malam tadi.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamamd Sabu, Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari, Timbalan Pengerusi DAP Negeri, V Sivakumar dan pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Beliau menjelaskan, Pakatan Rakyat Perak akan membuat petisyen terhadap lapan Dun yang dimenangi BN dan enam daripadanya Dun yang ditandingi PAS serta dua PKR yang masing-masing menyebelahi BN dengan majoriti tipis serta penuh keraguan.

Lapan Dun tersebut ialah Manjoi, Manong, Pasir Panjang, Rungkup, Lubok Merbau, Selama, Chenderiang dan Tualang Sekah.

Jelasnya, pihaknya sedang mengumpul maklumat tentang salah laku serta keraguan dan penyelewengan yang berlaku menyebabkan Pakatan Rakyat tewas tipis di Dun tersebut.

"BN Perak dalam keadaan tidak begitu gembira dengan kemenangan ini kerana ianya sangat getir dan goyah ditambah lagi mendapat maklumat Pakatan Rakyat akan membuat petisyen sebanyak 8 buah Dun.

Adun Changkat Jering itu menyeru seluruh rakyat di negeri Perak agar terus berdoa di samping membuat solat hajat, qunut nazilah, zikir munajat dan sebagainya agar Allah memberi kejayaan kepada petisyen yang dikemukakan.

"Kalaulah 2 daripada 8 petisyen yang dibuat itu menyebelahi kita (Pakatan Rakyat), ianya sudah cukup untuk menumbangkan BN seterusnya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan di Perak.

"Justeru teruskanlah kita ikhtiar dan meminta pertolongan Allah agar diberi keputusan positif kepada Pakatan Rakyat," jelasnya.

Gandingan Khalid-Zahid Rosakkan Demokrasi & Hak Asasi

Posted: 26 May 2013 10:55 PM PDT


Keangkuhan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang tidak sampai sebulan memegang jawatan hanya akan merosakkan demokrasi dan hak asasi negara, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini.

Lim menyifatkan tindakan kuku besi Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid dan Ketua Polis Negara (KPN), Khalid baru-baru ini selepas penahanan aktivis mahasisiwa Adam Adli Abdul Halim dan tiga lagi individu selepas itu sebagai cubaan membawa era pemerintahan autokratik ala "Mahathir".

"Terima kasih kepada Ahmad Zahid dan Khalid kerana mereka telah mengingatkan rakyat Malaysia tentang zaman buruk dibawah Mahathir dimana semua institusi dan badan dalam negara digunakan untuk satu objektif - melanggar semua hak demokratik dan asasi manusia rakyat Malaysia semata-mata untuk melindungi regim politik," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan semasa ucapannya pada satu program di Nusajaya hari ini.

"Gandingan KPN paling kuat 'berpolitik' dan Menteri Dalam Negeri paling kuat 'berpolitik' akan mengembangkan racun kepada demokrasi dan hak asasi manusia," tambah penasihat DAP itu lagi.

Menurut Lim lagi, kedua-dua individu paling berkuasa tersebut hanya sibuk "berpolitik" tetapi sehingga kini masih belum memberi komitmen dan kaedah untuk menangani masalah jenayah yang berleluasa.

"Sampai hari ini tidak ada satu pun kata keluar mengatakan polis akan membasmi jenayah walaupun rakyat Malaysia ketika masih bimbang dengan jenayah yang masih meluas," katanya.

Khamis lalu, pihak polis telah membuat tangkapan besar-besaran dimana tiga individu telah ditahan dibawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan, mereka yang ditahan ialah Ahli Parlimen (MP) Batu PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim.

Walaubagaimanapun mereka dibebaskan keesokkan harinya selepas majistret Norashikin Sahat tidak membenarkan permohonan reman oleh pihak polis, namun Lim membidas Ahmad Zahid kerana cuba mencampuri urusan pihak berkuasa apabila berkata akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

"Ia hanya tidak masuk akal dan keterlaluan untuk Zahid mengatakan pihak polis akan membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh majistret Norashikin Sahat pada Jumaat lalu kerana menolak permohonan polis untuk reman tiga individu tersebut.

"Sejak bila Menteri Dalam Negeri mengambil alih kuasa dan tugas membuat keputusan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah - mengatasi kuasa Polis dan Jabatan Peguam Negara?" soal Lim ke atas tindakan Ahmad Zahid yang cuba mencampuri urusan pihak polis.

Lim kemudiaannya mengarahkan kritikan ke atas Khalid serta mengganggap penjelasan KPN baru tersebut yang mengatakan pihak polis menjalankan tugas tanpa memihak kepada mana-mana pihak sebagai tidak munasabah.

"Adakah Khalid benar-benar berfikir dakwaannya polis akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap semua pihak yang melanggar undang-undang, sama ada dari Umno atau BN atau kenamaan VVIP akan dipercayai oleh rakyat Malaysia?

"Jika ya, maka kepimpinan polis mengalami dua masalah iaitu jurang kredibiliti awam yang tenat serta mengalami sindrom penafian," tegas Lim lagi.

Pertikaian tercetus awal minggu lalu apabila Adam ditahan dibawah Akta Hasutan dan kemudiaannya disusuli dengan tangkapan tiga individu lagi dipercayai ditahan kerana pengelibatan mereka dalam sebuah forum pada 13 Mei terhadap keputusan pilihan raya umum lalu.

Individu pertama yang ditahan akibat forum itu dan didakwa kerana menghasut adalah aktivis mahasiswa, Adam di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi semalam.

Mahasisiwa berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan perbicaraannya ditetapkan bermula pada 2 Julai.

Ekoran tindakan keras terhadap pemimpin pembangkang dan pengkritik tersebut, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menuduh Barisan Nasional (BN) tidak pernah jujur dalam mahukan reformasi politik sebenar. -TMI

Jom Ke Balai Polis Buat Laporan Isu Dakwat Kekal Hari Ini

Posted: 26 May 2013 08:20 PM PDT


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu membuat laporan polis berhubung penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya tersebut.

Salinan laporan tersebut hendaklah diserahkan kepada pejabat-pejabat PKR, PAS atau DAP yang berdekatan bagi membuktikan penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 pada 5 Mei lalu.

Laporan yang dikumpulkan itu seterusnya akan digunakan untuk memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya.

"Kita mahu puluhan ribu laporan polis, paling kurang tentang dakwat kekal.

"Saudara, saya nak minta tiap orang yang mengundi yang hari pertama mengundi dakwat kekal dah pun hilang buat laporan polis.


"Selain itu, pengundi yang tidak dibenarkan mengundi kerana ada orang lain sudah mengundi menggunakan namanya juga kena buat laporan polis," ujar Anwar dalam ceramahnya di Kemuncak Perhimpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur AMcorp Mall di sini malam tadi.

Anwar berkata lagi, sekurang-kurangnya terdapat 30 kerusi parlimen yang dipercayai dimenangi BN dengan cara penipuan dan penyelewengan pilihan raya.

Selain itu, Anwar turut menggalakkan orang ramai yang mempunyai bukti dan melihat sebarang penipuan pilihan raya turut berbuat demikian.

Anwar turut menggesa agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan kerana bersengkokol dalam penipuan bagi memenangkan Umno-BN dalam pilihan raya yang dianggap terkotor dalam sejarah negara.

Selain Anwar, turut senada dengan desakan tersebut, barisan kempimpinan PR lain yang berucap, Nurul Izzah Anwar, N Surendren, Mohamad Sabu, Rafizi Ramli, Badrul Hisham Shaharin, Khalid Samad, Ronnie Liu dan lain-lain.

Anwar turut menemplak laporan akhbar The Star yang didakwanya sengaja menyembunyikan kenyataan penuh Pejabat Setiausaha akhbar Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama yang menyentuh isu penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kedutaannya itu, Kerajaan Amerika Syarikat melahirkan kebimbangan terdapat unsur-unsur mencurigakan dalam perjalanan pilihanraya.

Kenyataan itu turut berkata adalah diharapkan bahawa unsur-unsur tersebut diberi perhatian oleh pihak berkuasa Malaysia.
Sebaliknya menurut Anwar, akhbar tersebut hanya melaporkan ucapan tahniah dari Obama sahaja, bagi memberikan gambaran seolah-olah negara kuasa dunia itu mengiktiraf keputusan pilihan raya negara ini.

FORMAT LAPORAN POLIS

Saya ____________________________, kad pengenalan bernombor _____________________________ ingin membuat laporan polis berkenaan insiden yang berlaku di pusat pengundian semasa saya keluar mengundi.

Pada 05/05/2013, jam lebih kurang pukul _________, saya telah keluar mengundi di ____________________.

Setelah pegawai SPR menyemak dah mengesahkan identiti saya, mereka telah menyapu dakwat kekal pada jari telunjuk kiri saya. Setelah habis mengundi, saya pergi ke bilik air untuk membasuh tangan.

Saya difahamkan bahawa dakwat kekal itu sepatutnya tidak luntur untuk jangka masa 5 hari.

Walau bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati dakwat yang didakwa kekal luntur sepenuhnya. Saya percaya dengan pengunaan dakwat yang boleh luntur ini, akan mengakibatkan pihak-pihak yang tidak bertangungjawab akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan penipuan dalam proses undian.

Saya juga percaya bahawa kejadian ini melanggar peraturan-peraturan dan peruntukan-peruntukan undang-undang pilihanraya.

Perkara ini adalah amat serius dan harus disiasat dengan serta merta. Sekian laporan saya.


TARIKH AKHIR UNTUK BUAT LAPORAN POLIS MENGENAI DAKWAT KEKAL IALAH HARI INI (27 MEI 2013)

[VIDEO] Anwar: Tribunal Rakyat Hakimi Penipuan PRU-13

Posted: 26 May 2013 05:10 PM PDT


Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia menyokong langkah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menubuhkan Tribunal Rakyat bagi menyiasat penipuan pilihan raya umum ke-13.

"Bersih akan adakan Tribunal Rakyat. Ini medan yang sah. Ratusan ribu rakyat akan beratur bagi keterangan (penipuan pilihan raya)," kata Anwar di hadapan lebih 50,000 hadirin yang membanjiri himpunan Suara Rakyat 505 di Padang Timur, malam tadi.

Kata Anwar, walaupun Pakatan Rakyat sudah masak dengan sikap mahkamah di Malaysia, namun tetap menggunakan saluran undang-undang bagi membongkar penyelewengan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

"Kita ada banyak pengalaman dengan mahkamah. Tetapi, kita tetap patuh kepada peraturan, undang-undang dan perlembagaan.

"Kita takkan menyerah. Barisan peguam akan kumpul maklumat. Apakah mahkamah nak selesaikan masalah kita? Kita lebih yakin dengan mahkamah rakyat," katanya disambut sorakan hadirin.

Tegas Anwar, dengan segala tipu helah termasuk membawa masuk pengundi asing, monopoli media dan penipuan dakwat kekal, Umno-BN hanya mampu meraih sokongan 47 peratus pengundi.

Beliau menyeru agar pengundi yang yang tertanggal dakwat kekal membuat laporan polis membuat laporan polis dan menyerahkan salinan kepada Pakatan Rakyat untuk digunakan sebagai bukti di mahkamah kelak.

"Semua orang tanpa kecuali telah ditipu (SPR). Ada profesional, peniaga, pekerja kilang, anak muda dan mahasiswa.

"Ramai yang miskin. tapi saya nak beritahu Najib dan SPR. Ya, kami miskin. Tapi kami ada maruah. Kita akan tetap lawan!, kata Anwar disambut laungan 'Lawan Tetap Lawan' oleh ribuan hadirin.

VIDEO RANGKUMAN KEMUNCAK HIMPUNAN SUARA RAKYAT 505 PADANG TIMUR AMCORP MALL OLEH SINAR


[VIDEO WAJIB TONTON] Rafizi Bayangkan BERSIH 4.0 Jika Tuntutan Terhadap SPR Tidak Dipenuhi

Posted: 26 May 2013 08:31 AM PDT


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli semalam berkata "tidak akan ada penjara yang mencukupi untuk kerajaan memenjarakan semua orang yang menyuarakan bantahan terhadap penipuan pilihan raya."

Rafizi, yang mempengerusikan jawatankuasa Pakatan menyiasat penipuan pilihan raya, berkata rakyat telah hilang keyakinan terhadap SPR kerana telah melanggar sumpah dan mengkhianati amanah mereka. Menurut Rafizi, apabila mereka telah melanggar sumpah mereka, mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka, maka halallah bagi untuk lawan dan jatuhkan mereka.

"Jika rakyat berkata terdapat penipuan, bukan tugas kamu untuk menjadi macai dan pencacai UMNO...(tetapi) menjadi tanggungjawab kamu untuk menyiasat seadil-adilnya!" kata Rafizi.

Rafizi turut mencabar pegawai SPR jika hendak mempertahankan kerajaan UMNO BN, pegawai tersebut perlu letak jawatan.

"Kalau rasa ketagih sangat nak bodek Najib, nak jadi ahli politik, kamu letak jawatan sekarang juga, jangan jadi Timbalan Pengerusi SPR," kata Rafizi yang merujukkan kata-katanya itu kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

"Kalau rasa hebat sangat, gian sangat nak masuk pilihanraya, jangan berkempen macam sekarang pakai SPR, letak jawatan dan bertanding lawan Dr Siti Mariah di Kota Raja, tengok siapa yang lagi hebat, siapa yang lagi kuat, siapa yang lagi disokong oleh rakyat!" tambah Rafizi.

"Sebab itu, sekarang kita akan tumpukan seluruhnya untuk kita tuntut semua pesuruhjaya SPR diganti dan dibuang serta-merta dari sekarang," katanya.

Beliau juga berkata mulai minggu depan kita akan failkan 29 petisyen pilihan raya dan kita minta semua istiqamah. Kita akan berjumpa di Dataran Merdeka selepas ini sehinggalah tuntutan kita dipenuhi.

Rafizi turut membayangkan kemungkinan akan adanya himpunan BERSIH 4.0


[VIDEO & GAMBAR] Ustazku Kahwin Lagi... Dengan Orang Pagoh..

Posted: 26 May 2013 05:45 AM PDT


Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI hari ini selamat melangsungkan perkahwinannya buat kali ketiga.

Menurut sumber yang enggan dikenali berkata, mengakui bahawa penyebaran mengenai berita perkahwinan UIA seperti di laman-laman sosial Facebook (FB) dan blog itu adalah benar.

"Ikut apa yang tersebar itu memang benarlah..," jawabnya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian Online, sebentar tadi.

UAI yang begitu popular di semua peringkat usia turut dikenali sebagai 'Ustaz Youtube' di samping penyampaiannya yang kreatif dan bersahaja ketika menyampaikan dakwah

Beliau bukan sahaja berjaya menarik generasi muda, malah turut menarik orang ramai untuk datang mendengar ceramah yang sering beliau adakan di seluruh negara.

Sementara itu, penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun memberitahu Sinar Harian Online majlis tersebut telah berlangsung hari ini.

"Ya... Betul. Maaf saya sedang dalam majlis, tidak boleh bercakap.

"Isteri beliau berasal dari Pagoh dan kini menetap di Keramat," jawabnya melalui pesanan khidmat ringkas (SMS), sebentar tadi. -SH











Ulasan GB

GB ucapkan tahniah kepada Ustaz Azhar Idrus sempena pernikahannya dan semuga berbahagia ke akhir hayat.


[VIDEO] Anwar: Hakikatnya Pakatan Rakyat Telah Menang PRU13!

Posted: 26 May 2013 03:35 AM PDT


Ribuan membanjiri perhimpunan Black 505, SPR digesa letak jawatan

Ribuan rakyat berpakaian hitam memenuhi Padang Timur berhadapan Amcorp Mall menyokong perhimpunan #Black505 di sini.

Perhimpunan ini merupakan rentetan daripada perhimpunan #Black505 yang telah dijalankan di seluruh negara termasuk di Selangor, Johor, Pahang, Perak, Melaka dan Terengganu dan NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai penganjur utama.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan pendirian Pakatan Rakyat (PR) jelas mereka menang secara sah dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

"Ini bukan soal kaum. Dia kata saya, Mat Sabu ni jaga Cina. Saya nak jawab, ya, saya jaga Cina apa masalah? Ya, saya jaga India apa masalah? Kita jaga rakyat dan bukan rompak harta rakyat.

"Saya nak ulang, tak boleh siapapun sangka, saudara telah membuat keputusan bijak. Saudara telah memilih Pakatan Rakyat. Kita lebih yakin dengan mahkamah rakyat!" kata Anwar disambut dengan sorakan.

Anwar juga mengatakan perhimpunan akan meneruskan perhimpunan #Black505 kerana ia adalah hak kepada semua rakyat Malaysia.

"Kita akan terus berhimpun kerana ini adalah hak kita untuk menentang kezaliman. Bersih akan ada Tribunal Rakyat. Biar ratusan ribu beratur untuk beri keterangan!

"Kita hasut orang pertahankan hak, kita hasut orang lawan perompak, kita hasut orang lawan penipu,"
katanya.

Anwar turut meminta pengundi yang tertanggal dakwat kekal membuat laporan polis beramai-ramai sebagai bukti dakwat kekal tidak berkesan untuk digunakan di mahkamah kelak oleh PR.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengatakan mereka yang menuduh rakyat menggulingkan kerajaan dengan kekerasan sebagai tidak bijak kerana rakyat tidak bersenjata.

"Zahid Hamidi pemimpin penakut kerana hanya berani berlindung dibelakang 120,000 anggota polis,
" kata Mohamad merujuk kepada menteri dalam negeri yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita juga menuntut supaya media dibebaskan. Semua parti politik, NGO diberikan akses kepada media. Kerajaan Barisan Nasional tunaikan atau tidak?" tambah beliau sambil disahut dengan jawapan "tidak" dari hadirin.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan mengatakan pilihan raya umum ke 13 (PRU13) adalah kemenangan buat rakyat Malaysia kerana buat pertama kali, peratusan mengundi tertinggi dalam sejarah iaitu lebih 85 peratus.

"Saudara dan saudari, selepas ini Bersih akan mengadakan Tribunal Rakyat. Apakah tujuan tribunal rakyat? Tribunal rakyat bertujuan untuk mengumpulkan kebenaran.

"Akhir sekali, SPR kalau bermaruah mesti letak jawatan sekarang jugak. Atas satu alasan cukup, alasan dakwat kekal!"
kata Ambiga disambut dengan sorakan dan tiupan vuvuzela.

Diantara yang turut berucap dalam perhimpunan adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, N Surendran, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Ronnie Liu dari DAP dan ramai lagi.

Rafizi mengumumkan, destinasi seterusnya bagi perhimpunan #Black505 adalah di Dataran Merdeka. Beliau turut meminta agar semua kepimpinan SPR meletakkan jawatan.

Perhimpunan untuk membantah keputusan Pilihan Raya 2013 yang bermula semenjak jam 5.00 petang itu disambung semula pada jam 8.30 malam selepas rehat untuk solat Maghrib dengan pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin memberikan ucapan.

"SPR penipu, SPR penipu, SPR penipu," kata Badrul merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disambut dengan jawapan "ya" oleh hadirin diiringi dengan tiupan vuvuzela.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas dari PKR Dr Xavier Jeyakumar mengatakan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mengalah selagi reformasi pilihan raya tidak dilakukan di Malaysia.

Hadirin berbilang kaum memenuhi padang walaupun hujan turun renyai-renyai.




Tiada ulasan: