Rabu, 15 Mei 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Laporan Polis Terhadap Kenyataan Bekas Hakim Yang Rasis

Posted: 15 May 2013 01:20 AM PDT


Kajang: Kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah yang menggambarkan orang Melayu akan membalas dendam terhadap orang Cina berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu mengundang kemarahan ramai selain menyebabkan masyarakat Cina rasa terancam.

Berikutan itu Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Selangor, Chua Yew Choong hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Kajang terhadap kenyataan Datuk Mohd Noor yang disifatkan sebagai menghasut dan membuatnya 'rasa tergugat'.

Menurut Chua, kenyataan Mohd Noor bahawa, "Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi," serta "…Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah," adalah bertujuan menghasut dan berbaur ugutan terhadap masyarakat.

Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Kluang, Mahdzir Ibrahim yang turut hadir di balai menyifatkan kenyataan bekas hakim itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat untuk membakar api perkauman.

"Ia bertentangan dengan semangat 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Najib Razak," ujarnya sambil mendesak supaya pihak berkuasa menyiasat kenyataan itu secara telus dan profesional tanpa mengira latar belakang beliau sebagai seorang bekas hakim.

"Saya menyeru supaya rakyat menolak politik perkauman dan memboikot Utusan Malaysia yang menjadi ejen perkauman," katanya.

Turut hadir memberi sokongan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Rajiv a/l Rishyakaran; ADUN Balakong, Ng Tien Chee serta dan ADUN Teratai, Tiew Way Keng.


Api-apikan perkauman perbuatan jahiliah


Tindakan sesetengah pihak mengapi-apikan isu perkauman kebelakangan ini adalah perbuatan jahiliah yang diharamkan syarak.

Ia boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara pelbagai kaum seperti Malaysia ini.

Ia akan menimbulkan pelbagai sangkaan dan penilaian yang mungkin tidak berasaskan fakta yang benar.

Lantas, akan menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas prejudis perkauman.

Antara perkara yang ditentang oleh Nabi Muhammad SAW ialah sikap fanatik perkauman ataupun 'asabiyyah yang menilai kebaikan dan keburukan berdasarkan kaum bukan prinsip kebenaran dan keadilan.

Islam adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi. Keadilannya Islam itu melebar merentasi perbezaan pemikiran dan agama.

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir sama ada untuk dia menjadi Arab, Melayu, Cina atau India. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang.

Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya.

Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu.

Buta warna bangsa

Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu.

Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) "Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. Dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah al-Isra, ayat 15)

Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya.

Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua.

Sabda Nabi SAW: "Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas 'ajam (bukan Arab), atau 'ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan." (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh Al-Albani)

Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau rasisme akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah.

Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal "I have a dream" menyebut:

"I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character."

Kesejagatan Islam

Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya. (Surah al-Hujurat: 13)

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil "wahai manusia", panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan.

Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini: "Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian.

"Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunaikan tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah.

"Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu – sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu". (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Kaherah: Dar al-Syuruq)

Maka, haram bagi seorang Muslim meniupkan api perkauman yang menzalimi pihak yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit ataupun keturunannya.

Wajib kita mempamerkan keindahan kesejagatan Islam kepada semua pihak supaya keindahan Islam dapat diterima oleh manusia.
-Dr.Mohd Asri Zainul Abidin

“Majoriti Melayu Tolak UMNO, BN Kerajaan Minoriti” - Datuk Mohd Ariff Sabri

Posted: 14 May 2013 11:25 PM PDT


Calon UMNO hanya memperoleh sekitar 3 juta daripada 6.58 juta undi orang Melayu malahan secara keseluruhannya Pakatan Rakyat (PR) mendapat jumlah undi lebih banyak berbanding BN pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri menyifatkan prestasi UMNO sebenarnya menurun berbanding PRU ke-12 lalu.

Katanya, PR memperolehi undi majoriti iaitu lebih 50 peratus sedangkan BN hanya memperoleh undian minoriti sekitar 47 peratus untuk menduduki Putrajaya.

Pada masa yang sama beliau menempelak sikap UMNO dan media kawalan mereka yang terus membuat pelbagai dakwaan perkauman yang berbahaya kepada perpaduan rakyat Malaysia.

"UMNO dan Najib menyalahkan kaum lain kerana kelemahan sendiri. Bukan orang Cina sahaja yang menolak UMNO bahkan lebih ramai Melayu menolak UMNO dari menyokongnya.

"UMNO main isu perkauman sedangkan Najib cakap besar mengenai 1Malaysia. Najib adalah hipokrit yang terulung di Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, penolakan terhadap UMNO dan BN sangat jelas terutamanya di kawasan bandar kerana mayarakat di kawasan itu terdedah dengan pelbagai sumber maklumat dan merasai sendiri keperitan hidup sebenar berbanding kawasan luar Bandar.

"Dalam kawasan ini, rakyat berfikir dan berkerja, berfikir dan berkarya, mencapai dan menjayakan diri, membangun dan membesar. Dalam kawasan inilah idealisme dan wawasan mengenai masa hadapan Malaysia dibentuk dan dijana," ujar beliau. -Roketkini

[PANAS] Gabungan NGO Desak Anggota SPR Letak Jawatan Serta Merta - Video Inside

Posted: 14 May 2013 07:23 PM PDT


Sekumpulan NGO semalam telah membuat lima tuntutan, termasuk mendesak kesemua anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk meletakkan jawatan mereka di atas dakwaan wujudnya keraguan dan berlaku penipuan di dalam pilihanraya umum yang baru lalu.

Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), melibatkan 25 NGO berkata mereka merasa dukacita di atas dakwaan berlaku penipuan dan membuat tuntutan-tuntutan berikut:

* Perletakan jawatan serta-merta anggota SPR;
* SPR dijadikan sebuah badan bebas dan hanya bertanggungjawab kepada Parlimen;
* Sebuah jawatankuasa melibatkan semua parti dibentuk untuk membersihkan daftar pemilih;
* Pindaan perlembagaan dilakukan, supaya prinsip "satu orang satu undi" diperkenalkan
* Mendesak satu pembaharuan besar-besaran terhadap sistem proses pemilihan proses bagi mengatasi beberapa isu berkaitan persekongkolan, dan perlaksanaan terhadap sebuah manual yang absah ke atas sistem komputerasi bagi menjamin kredibiliti ke atas proses dan melindunginya dari sebarang bentuk penipuan.

"Orangramai jelas sudah hilang keyakinan terhadap SPR dan daftar pemilih. Jika mereka mahu mengekalkan professionalima mereka, mereka perlu berundur," kata Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH , Tan Yew Sing, yang juga merupakan anggota gabungan.

Tan menekankan tuntutan mereka terhadap keperluan jawatankuasa dibentuk untuk pembersihan Daftar Pemilih.

"Kami sebagai NGO amat gembira untuk membantu parti-parti politik dari kedua-dua pihak bagi melakukan pembersihan Daftar Pemilih berkenaan," katanya di sidang konferens di KLSCAH.

Pertubuhan IKRAM Malaysia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kumpulan Bertindak Bagi Hak Kaum India (NIAT) dan Persatuan Tindakan Wanita (AWAM) adalah diantara NGO yang menyertai gabungan berkenaan.

Adil untuk tuntut perletakan jawatan

Setiausaha Agung IKRAM Zaid Kamaruddin kerata menjadi satu kelaziman untuk pihak berkuasa di dalam negara-negara lain untuk meletakkan jawatan mereka setelah wujud dakwaan keraguan dan penipuan.

"Melihat kepada semua dakwaan keraguan dan penipuan semasa pilihanraya umum 5 Mei lalu, saya rasa adil untuk meminta anggota SPR untuk meltakkan jawatan mereka kerana mereka perlu bertanggungjawab terhadap keseluruhan pemilihan," tambahnya.

Presiden NIAT Thasleem Ibrahim berkata SPR gagal menjalankan tan ggungjawabnya kerana beberapa isu telah ditimbulkan sejak pilihanraya umum 2008.

"Apa yang SPR lakukan untuk melindungi daftar pemilih apabila mahkamah sendiri pernah memutuskan terdapat ribuan pengundi hantu yang membolehkan berlaku lebih banyak penipuan? Lansung tak ada!" bentaknya.

"Oleh kerana mereka tidak tahu nak jalankan tugas merekayang menyebabkan timbul banyak aduan penipuan, anggota SPR perlu akui kelemahan dan kesilapan mereka dan letak jawatan secdara terhormat," tambahnya.


[VIDEO & GAMBAR] Ribuan Hadir Perhimpunan Blackout 505 Di Kuantan

Posted: 14 May 2013 05:15 PM PDT


Kuantan: Walaupun perubahan tempat dibuat pada saat-saat akhir, ribuan orang masih menghadiri perhimpunan Pakatan Rakyat bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13, demikian lapor MSTAR.

Kumpulan orang ramai yang kebanyakannya berpakaian T-shirt hitam membanjiri ibu pejabat PKR yang lama di Jalan Beserah di sini selepas penganjur menukar lokasi perhimpunan asal di Mahkota Aman beberapa jam terdahulu.

Perhimpunan pertama Pakatan telah diadakan di Kelana Jaya Rabu lalu diikuti di Pulau Pinang pada Sabtu dan di Ipoh pada Ahad.







[LIVE] Himpunan "Blackout 505" Di Kuantan Malam Ini

Posted: 14 May 2013 08:30 AM PDT


Suasana Terkini Di Kuantan

Perhimpunan 'Suara Rakyat Suara Keramat' di Kuantan malam ini terpaksa bertukar lokasi ke Dataran Rakyat berdepan dengan Markas PKR di Jalan Beserah, atas "nasihat polis".

Menurut setiausaha PKR Pahang Kamaruzaman Mohd Yunus, lokasi asal yang dicadangkan bagi perhimpunan 'Black 505' itu adalah di Padang Mahkota Aman di Kuantan.

Bagaimanapun, mereka terpaksa memindahkan lokasi perhimpunan tersebut, hasil rundingan dengan wakil polis daerah Kuantan semalam, katanya.


Katanya, pegawai polis dalam pertemuan tersebut antara lainnya memberi alasan bahawa perhimpunan berkenaan tidak mengikut peruntukan seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis juga menyatakan bahwa lokasi asal merupakan padang awam yang tidak mendapat kelulusan daripada pegawai daerah Kuantan, kata Kamaruzaman lagi.



Atau anda boleh cuba di bawah ini dari "angle" berlainan:


"Pause" salah satu jika kedua-dua berfungsi

PR Sahut Cabaran Ahmad Maslan, Jangan Buat Mata Terbeliak Lagi!

Posted: 14 May 2013 06:38 AM PDT


MPakatan Rakyat (PR) sedia bersemuka dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof bagi mendengar penjelasan berhubung permasalahan yang timbul dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat majlis setiausaha PR yang diadakan semalam.

"Kita sahut cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan untuk menjemput pengerusi SPR dalam program kami.

"Kami harap Tan Sri Aziz juga bersedia hadir dalam majlis yang dianjurkan PR," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika pengerusi SPR itu menolak jemputan perikatan itu, Ahmad bertanggungjawab terhadap perkara tersebut.

"Kalau Tan Sri tolak, Ahmad Maslan bantu dapatkan Tan Sri Aziz,"
katanya.

Hadir pada sidang media sama ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, dan Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke.

Semalam Ahmad mencabar pembangkang menjemput SPR bagi menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku pada 5 Mei lalu.

Menurut Saifuddin, PR juga bersetuju menjayakan himpunan 'Suara Rakyat Suara Keramat' di negeri-negeri berikutnya.

Katanya, ia adalah saluran terbaik rakyat Malaysia untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka melalui lunas undang-undang ditetapkan.

Ketika ditanya kenapa PR begitu angresif menolak keputusan PRU13 sedangkan di negeri-negeri yang dimenangi, PR dengan cepat mengangkat sumpah membentuk kerajaan mendakwa, mereka punya bukti kukuh penyelewengan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

"Secara khusus kita telahpun mengenalpasti tidak kurang daripada 29 kawasan parlimen yang kita telah mengumpul bukti yang kita mempunyai sebab kukuh wujudnya penyelewengan dalam PRU13.

"Terbaru, ada laporan daripada petugas SPR di kawasan Parlimen Terenganu, calon BN kurung mereka di dalam bilik dan minta mereka memangkah kertas undi beserta nombor siri, laporan polis telah dibuat dan pengadu telah menghantar salinan laporan itu kepada skretariat PR, ini hanya secebis daripada beberapa bukti yang sedang kami kumpulkan," katanya.

Menurut beliau, kejadian yang berlaku di Besut Terenganu itu hanya salah satu contoh kejadian yang diterima, dan pihaknya sedang mengumpul bukti di kawasan lain.

"Isunya wujud beberapa bukti kuat, yang pada pandangan kami mempunyai asas yang kukuh untuk diangkat dalam tajuk penipuan PRU13 ini," katanya.

[VIDEO] SPR Malaysia ‘Curi’ Kemenangan Pakatan Rakyat – CNN

Posted: 14 May 2013 05:30 AM PDT


Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat: Tolak Penipuan PRU 13 (#Black505) 8 Mei lalu mendapat liputan luas media antarabangsa termasuk Cable News Network (CNN) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

CNN dalam laporannya menyatakan kemenangan Pakatan Rakyat telah 'dicuri' berikutan banyak penyelewengan dan salah laku oleh pengendali pilihan raya Malaysia, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

CNN"Pembangkang Malaysia menolak keputusan pilihan raya. Pembangkang Malaysia menyatakan SPR dicemari campur tangan kerajaan.

"Bukan sahaja Anwar Ibrahim menyatakan ada berlaku penyelewengan pilihan raya, malah NGO Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih) menjangkakan penipuan beberapa hari sebelum pilihan raya berlangsung.

"Ia (pilihan raya) takkan dijalankan secara adil," lapor koresponden CNN yang berpangkalan di Singapura, Liz Neisloss.

Liz Neisloss yang mengikuti perjalanan PRU 13 menyatakan, himpunan di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei lalu mencecah kehadiran 120,000 orang.

Dalam pada itu lapornya, sebuah tribunal rakyat dituntut supaya ditubuhkan di Malaysia bagi menyiasat setiap bukti penyelewengan PRU 13 yang dikemukakan.

CNN turut melaporkan kenyataan SPR bahawa sebarang petisyen bantahan pilihan raya boleh dibuat melalui mahkamah.

"Namun ada maklumat mengatakan pengendali pilihan raya (SPR) di Malaysia tidak akan melakukan apa-apa, meskipun (penipuan) dibuktikan di mahkamah.

"Ini kerana ia (SPR) adalah institusi di bawah kawalan kerajaan," laporan CNN dipetik. -KD



Tiada ulasan: