Jumaat, 10 Mei 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Calon Perkasa Kalah Teruk, Mahathir Sudah Hilang Pengaruh

Posted: 10 May 2013 01:15 AM PDT


Pilihan Raya Umum 2013 adalah petanda Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tidak lagi berpengaruh dalam kuasa politik, analisis di mana dan bagaimana beliau berkempen adalah merupakan petanda jelas.

Bekas perdana menteri itu berkempen tidak henti-henti namun calon Barisan Nasional (BN) disokong atau berkongsi cita-cita dengan beliau - seperti ahli politik kontroversi Zulkifli Noordin dan Ibrahim Ali, kedua-dua tewas.

Di Kedah, walaupun anaknya Datuk Mukhriz telah ditabal sebagai Menteri Besar sebaik sahaja - ahli politik tempatan dan pemerhati telah menyatakan PAS telah disingkir adalah kerana tadbir urus yang lemah oleh parti komponen Pakatan Rakyat (PR) tersebut.

Mahathir tidak memenangi Kedah untuk BN tetapi sebaliknya adalah kerana PAS yang akan kehilangan negeri tersebut, kata seorang pemimpin politik veteran Umno di negeri Kedah kepada The Malaysian Insider.

Usaha Dr Mahathir untuk mewujudkan pertarungan di Gelang antara Melayu dan Cina juga mengalami kegagalan teruk.

Ramai penganalisis dan ahli politik BN berkata langkah beliau memainkan isu perkauman sepanjang kempen Pilihan Raya 2013 juga menyebabkan sokongan kepadanya semakin menurun.


"Beliau masih mempunyai penyokong khususnya di kalangan kaum Melayu, mereka tidak akan merendahkan martabat pemimpin yang mereka rasa telah lama bersama mereka.

"Tetapi ya... mungkin pada suatu ketika masanya sudah berakhir. Apa yang dia kata, bagaimana dia berkata, mungkin sudah tidak menarik di kalangan generasi muda, di kawasan bandar. Tapi kita jangan lupa, beliau bukan PM hari ini," kata setiausaha Umno Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan kepada The Malaysian Insider.

Namun, pemimpin lain tidak memberi ruang kepada beliau dan berpendapat Dr Mahathir yang sudah mencecah 87 tahun sewajarnya bersara dan menjauhkan diri daripada politik semasa kerana sudah lagi relevan.

Mereka berpendapat di zaman politik media sosial, pengaruh Dr Mahathir menyusut dengan cepat kerana rakyat Malaysia lebih suka jenama yang lebih liberal, sederhana dan politik inklusif yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sokongan kuat ke atas Dr Mahathir di kalangan pengundi Melayu tradisional generasi tua dilihat tidak mencukupi untuk membantu kemenangan BN pada pilihan raya selepas ini.

Mereka berkata pengundi bandar yang berkembang pesat, kelas pertengahan dan muda tidak lama lagi akan membentuk sebahagian pengundi yang lebih besar.

Berdasarkan corak pengundi Pilihan Raya 2013, demografik pengundi ini adalah kunci utama yang perlu BN menangi jika mahu mendapat mandat yang lebih kuat pada pilihan raya mendatang.

"Saya berharap dengan melihat analisis pilihan raya, beliau akan sedar masanya sudah berakhir," kata ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan.

"Beliau meninggalkan pentadbiran negara ini kepada generasi baru ahli politik yang diketuai oleh Najib.

"Beliau sudah berada pada zamannya dan telah melakukan banyak perkara menakjubkan tapi masanya dalam politik sudah tamat. Sebelum beliau memusnahkan legasinya, sudah tiba masanya beliau bersara dengan aman," katanya.

Pilihan Raya 2013 menyaksikan calon pilihan pro-Melayu Dr Mahathir seperti Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan naib presiden Datuk Zulkifli Noordin kedua-duanya gagal mendapat kemenangan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, ketua bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi M. Zin mengakui jika Dr Mahathir tidak berkempen di Shah Alam, BN mungkin boleh mendapat lebih banyak undi.

"Secara keseluruhannya, di bandar-bandar, saya rasa pengaruh Dr Mahathir tidak lagi relevan kerana isu yang beliau membawa dan pendapat beliau tidak benar-benar sesuai dengan generasi semasa, terutama dengan sokongan terhadap Perkasa
.

"Mungkin BN perlu kaji semula perkara ini," kata beliau.

Dikala lawan mereka Pakatan Rakyat (PR) memastikan pemimpin mereka bekerja keras menjauhkan diri daripada perkauman semasa berkempen, Dr Mahathir sebaliknya mengeluarkan ucapan-ucapan berasaskan kaum sepanjang tempoh berkempen 15 hari lalu.

Beliau berkali-kali menyerang musuh parlimennya Lim Kit Siang kerana meninggalkan kerusi Ipoh Timur untuk bertanding di kerusi majoriti Cina Gelang Patah, memanggil pemimpin veteran DAP itu sebagai "sangat perkauman" kerana cuba untuk mempengaruhi masyarakat Cina untuk membenci Melayu.

"Saya akan bercakap dengan lantang. Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang adalah pelampau perkauman," kata beliau semasa berceramah di Shah Alam tiga hari sebelum pengundian.

Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, Tan Sri Rafidah Aziz, pemimpin Umno veteran yang berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir bersetuju penggunaan perkauman untuk mendapat sokongan perlu ditolak.

"Hari untuk kita menjadi juara satu-satu kaum sudah berakhir. Saya tidak pernah bersetuju. Kita adalah rakyat Malaysia dahulu dan itu adalah perkara utama.

"Saya adalah rakyat Malaysia yang ditakdirkan berbangsa Melayu... tapi ia adalah kebanggaan Melayu yang kita bawa bersama semasa kita berada diluar sana," kata beliau.

Pengarah kaji selidik Merdeka Center, Ibrahim Suffian walaubagaimanapun menegaskan pengaruh Dr Mahathir di kawasan luar bandar di Malaysia masih besar meskipun ditolak di kawasan bandar kelas pertengahan.

Tetapi dia bersetuju pengaruh meluas seperti mana yang dijangkakan Umno dan Dr Mahathir kerana banyak juga pengundi Melayu yang sudah berpindah menyokong pembangkang.

"Pengundi lebih arif. Mereka menolak jenama cauvinisme kaum," tambah beliau.

Tetapi Ibrahim berkata Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang besar dalam Umno, parti utama dalam BN, ia juga dipersetujui rakan penganalisis politik, Wan Saiful.

"Saya bersetuju ... tetapi beliau lebih berpengaruh di kalangan ahli-ahli Umno dan apabila tiba pilihan raya, apa yang kamu perlu lakukan ialah bukan sahaja menyokong parti anda sendiri," katanya.

Wan Saiful menegaskan bahawa Dr Mahathir harus berundur dari arena politik, ia bagi memastikan imej 'bapa pemodenan" yang diberikan ke atas bekas perdana menteri itu tidak dicemari oleh kesilapan yang beliau buat hari ini.

"Najib adalah PM hari ini dan Dr Mahathir adalah semalam. Najib merasakan terdapat keperluan untuk beliau bergerak ke arah yang berbeza dan ini adalah apa yang beliau sedang lakukan," kata beliau.

Ibrahim juga mengingatkan perubahan drastik dalam pengaliran maklumat di dalam landskap politik hari ini, juga adalah salah satu faktor yang menjejaskan pengaruh Dr Mahathir pada Pilihan Raya kali ini.

"Terdapat cabaran itu kerana Dr Mahathir sebelum ini mentadbir negara semasa tiada media sosial dan rakyat yang mudah dikawal serta lebih kecil.

"Hari ini, generasi muda yang membesar ketika maklumat mengalir. Persekitaran telah berubah, dan banyak juga pemimpin yang telah bertukar," katanya lagi. -TMI

Penipuan Di Perak? PR Kemuka 6 Petisyen Kawasan..

Posted: 10 May 2013 12:33 AM PDT


Pakatan Rakyat Perak akan mengemukakan petisyen di mahkamah terhadap keputusan di enam kawasan pilihan raya di negeri itu.

Difahamkan kawasan-kawasan tersebut adalah Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi, Manong, Lubuk Merbau, Kamunting, Pasir Panjang dan Selama.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, petisyen tersebut akan dibuat berikutan terdapat bukti berlakunya penipuan pilihan raya.

Antara penipuan dikesan termasuk warga asing boleh mengundi, orang lain sudah mengundi untuk pengundi yang sah, dan keraguan peratus undi rosak yang lebih tinggi berbanding undi majoriti.

Nizar memberitahu perkara itu ketika berucap di majlis munajat kesyukuran HALWA Bukit Gantang di Markaz Pas Kawasan Bukit Gantang semalam.

Turut hadir pada majlis itu Naib Yang DiPertua PAS Bukit Gantang Abdul Rahim Ismail.

Pada PRU13 lalu, BN menang 31 kerusi Dun Perak manakala Pakatan Rakyat memperoleh 28 kerusi.

Rancangan Kalahkan Salahuddin? Kertas Undi Ditemui Dalam Peti Undi Kawasan Lain!

Posted: 09 May 2013 09:44 PM PDT


Pemuda PAS Johor semalam membuat laporan polis ke atas penemuan beberapa kertas undi dari kawasan DUN Nusa Jaya dalam satu peti undi dari kawasan berlainan.

Yang Dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, seorang ejen pengiraan undi PAS untuk kawasan DUN Mahkota telah menemui perkara itu ketika penjumlahan dijalankan untuk pengundian awal pada 5 Mei.

Khairul Faizi, yang membuat laporan di balai polis Kluang berkata para ejen mengesan perkara itu apabila mendapati nama calon PAS untuk Nusa Jaya, Salahuddin Ayub tertera di kertas undi tersebut.

Mahkota terletak dalam kawasan parlimen Kluang manakala Nusa Jaya terletak dalam kawasan parlimen Gelang Patah.

Katanya, ejen terbabit mengemukakan bantahan kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan menuntut agar undi tersebut dikira untuk kerusi Nusa Jaya.

Namun, SPR menganggap undi berkenaan sebagai undi rosak, katanya.

"Kami merujuk peguam dan memutuskan untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki peti undi untuk pengundian awal bagi Mahkot, yang dimaterai dan ditempatkan di balai polis, mungkin telah diusik," katanya.

Beliau menambah, ejen pengiraan berkenaan bagaimanapun tidak melihat sama ada kertas undi tersebut memihak kepada Salahuddin, yang tewas di kerusi Nusa Jaya kepada calon BN Zaini Bakar dengan 2,201 undi.

[BERGAMBAR] Senarai Ahli Parlimen PAS Sessi 2012-2018

Posted: 09 May 2013 04:26 PM PDT


Berikut ialah senarai Ahli Parlimen PAS bagi Sessi 2013-2018. Terdapat seramai 21 orang kesemuanya yang akan menggalas perjuangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di parlimen, berganding sama dengan rakan-rakan seperjuangan PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

AHLI PARLIMEN PAS
[2013-2018]

NoNAMAParlimen
1 Marang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
2 Kuala Nerus
Khairuddin Aman Razali
3 Kuala Terengganu
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah
4 Dungun
Wan Hassan Mohd Ramly
5 Pokok Sena
Datuk Mahfuz Omar
6 Parit Buntar
Dr. Mujahid Yusof
7 Bukit Gantang
Ustaz Idris Ahmad
8 Temerloh
Nasrudin Hassan
9 Hulu Langat
Che Rosli Che Mat
10 Shah Alam
Khalid Samad
11 Kota Raja
Dr. Siti Mariah Mahmud
12 Sepang
Mohamed Hanipa Maidin
13 Tumpat
Datuk Kamaruddin Jaafar
14 Pengkalan Chepa
Dr Izani Hussin
15 Kota Bharu
Datuk Takiyuddin Hassan
16 Pasir Mas
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
17 Rantau Panjang
Siti Zailah Mohd Yusoff
18 Kubang Kerian
Ahmad Baihaki Atiqullah
19 Bachok
Ahmad Marzuk Shaary
20 Pasir Puterh
Dr Nik Mazian Nik Mohamad
21 Kuala Krai
Dr. Mohd Hatta Ramli


Kepada semua YB-YB di atas, selamat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin untuk menggalas amanah yang diberikan oleh para ahli dan rakyat demi perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. jangan sesekali dihampakan atau dikhianati amanah tersebut.

Siru 'ala barakatillah!

p/s InsyaAllah esok akan disiarkan pula ahli-ahli parlimen PKR & DAP.

[VIDEO] Rafizi Mengaum: Kita Akan Buru Semua Yang Terlibat Dalam Penipuan PRU 13.

Posted: 09 May 2013 08:31 AM PDT


Pakatan Rakyat akan mencari semua yang terlibat di dalam penipuan semasa pengundian pada 5 Mei lalu termasuk Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seleweng dan pemandu bas yang membawa pengundi ragu.

"Bermula minggu ini, saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan menumpukan setiap satu saat hidup kami untuk mencari pencuri-pencuri undi kita," kata ketua siasatan itu, Rafizi Ramli.

Rafzi, yang baru dilantik untuk mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu, berkata usaha ini akan membuktikan kepada semua pihak bahawa wujudnya beberapa insiden penipuan dan penyelewengan pada PRU-13.

"Kita akan cari Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menipu, kita akan kejar pemandu-pemandu bas yang bawa pengundi asing ke tempat kita.

"Kita akan tunjukkan bukti satu persatu mengapa kerajaan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib wajar ditumbangkan kerana kerajaan haram,"
katanya dalam ucapan di perhimpunan "Suara Rakyat Suara Keramat"

"Saya minta semua rakyat Malaysia yang sayangkan negara, yang tahu nilai keadilan, kita mesti tolak penyelewengan dan penipuan ini.

"Saya minta rakyat Malaysia membantu berikan bukti supaya kita cabar dia di mahkamah, di jalan, kita lawan mereka di Parlimen sampai menang," katanya yang baru dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Pandan.

Rafizi turut akan berkerjasama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta parti komponen Pakatan Rakyat bagi mencari bukti berhubung penyelewengan ini.

Pakatan percaya bahawa proses pengundian dan kiraan undi pada 5 Mei lalu penuh dengan insiden penipuan seperti ejen calon yang dihalang daripada mengawal kotak undi awal dan penglibatan warga asing sebagai pengundi.



Tsunami Cina: Beberapa Pemimpin Umno Sanggah Kenyataan Najib

Posted: 09 May 2013 05:01 AM PDT


Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kemerosotan prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) sebagai akibat dari berlakunya 'tsunami Cina' disanggah oleh para pemimpin Umno sendiri.

Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berpendapat adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan PRU13 lalu sebagai isu perkauman.

Katanya, adalah tidak adil untuk menuduh dan menyalahkan kaum tertentu terhadap keputusan PRU13 lalu dan perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku.

"Kita tidak boleh membiarkan sebarang percubaan untuk menjadikan keputusan pilihan raya sebagai isu perkauman. Tindakan tuduh-menuduh dan menyalahkan mana-mana komuniti adalah tidak adil dan tidak memberi manfaat," katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa semua pihak berhenti dari menuding jari dan memainkan isu perkauman selepas PRU13, yang jelas merujuk kepada kenyataan Najib itu.

Khairy meminta semua pihak bertenang dan sesiapa pun tidak harus lekas membuat kesimpulan dan menyalahkan sesuatu kaum.

Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan bahawa bukan bangsa Cina sahaja yang memihak kepada pembangkang, perubahan juga berlaku di kawasan-kawasan bandar.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang tewas di Parlimen Temerloh menggesa rakyat supaya menjauhi dari bersikap rasis berhubung keputusan PRU13 dan beliau yakin rakyat tidak mengundi berdasarkan sentimen perkauman.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, rakyat sebaliknya mengundi berdasarkan prospek pembangunan seperti isu-isu utama seperti insfrastruktur dan kebajikan.

Saifuddin berkata, walaupun beliau tewas di kawasan majoriti Cina tetapi para pengundi bukannya anti Melayu dan sama ada mereka mengundinya (Saifuddin) atau tidak, rakyat telah membuat pilihan yang bijak.

Apa lagi Cina mahu

Ketika diasak oleh para wartawan mengenai apa komen beliau tentang tajuk muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Apa lagi Cina mahu" Selasa lalu, Najib cuba mengelak dan menyatakan anda patut lihat apa kata akhbar-akhbar Cina pula, apa yang dilaporkan bukannya semua betul.

Kenyataan Najib yang berbaur perkauman ini adalah satu percubaan untuk menyalahkan orang-orang Cina yang ramai sudah beralih dan menyokong Pakatan Rakyat pada PRU13 dan beliau enggan menyalahkan diri sendiri maupun partinya, Umno-BN.

Mungkin kerana sudah menyedari akan kesilapannya, semalam Najib melalui Twitternya berkata, tugas beliau seterusnya adalah untuk mengharmonikan isu perkauman.

"Tugas saya seterusnya ialah mengharmonikan isu-isu perkauman. Kami perlu mendekati lain-lainnya dalam penyatuan nasional dan kesederhanaan," katanya.

Tetapi beliau tidak dapat menerima kenyataan bahawa bukan sahaja masyarakat Cina menolak kepimpinannya tetapi orang-orang Melayu dan masyarakat India terutama di bandar secara keseluruhan sudah menolak Umno-BN.

Jika diambil kira jumlah undi untuk Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ternyata BN telah tewas dalam PRU13. Untuk 222 kerusi Parlimen, Pakatan Rakyat memperolehi 5,623,984 undi manakala BN memperoleh 5,237,699 undi.

Untuk 505 kerusi DUN pula, Pakatan Rakyat memperoleh 4,879,699 undi manakala BN memperoleh 4,513,997 undi.

Prestasi BN di bawah Najib juga merudum teruk berbanding prestasi BN pada PRU12 di bawah Abdullah Badawi. Semasa Pak Lah BN memenangi 140 kerusi parlimen dan semasa Najib BN mendapat 133 kerusi iaitu kehilangan sebanyak tujuh kerusi Parlimen.

Ini berbanding dengan Pakatan Rakyat yang mendapat 82 kerusi Parlimen pada 2008, telah meningkat kepada 89 kerusi pada 2013; penambahan sebanyak tujuh kerusi.

Untuk kerusi DUN pula, semasa Pak Lah, BN memenangi 344 kerusi DUN tetapi semasa Najib, jumlah kerusi DUN yang dimenangi BN merosot teruk; tinggal hanya 275 kerusi.

Berbanding dengan prestasi Pakatan Rakyat, kerusi DUN yang dimenangi pada tahun 2008 ialah sebanyak 161 kerusi dan meningkat kepada 230 kerusi pada PRU13, pertambahan sebanyak 71 kerusi. -FMT

Tiada ulasan: