Rabu, 29 Mei 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pekerja jabatan Air 'rasa tak selamat di kawasan setinggan'

Posted: 29 May 2013 07:18 AM PDT



 
RCI SABAH Jabatan Air Negeri Sabah bimbang akan keselamatan pekerjanya apabila mereka memasuki kawasan setinggan untuk memotong sambungan haram.

Menurut ketua juruteranya bagi jabatan pengagihan dan kebocoran, Quirine @ Quirinos Jokinol, ini kerana ancaman pernah dibuat terhadap pekerja jabatan itu.

"Keselamatan adalah satu isu, jadi kami lebih suka jika operasi dilakukan bersama dengan pihak polis dan majlis tempatan.

"Berdasarkan pengalaman kami, anggota penguatkuasa kami menerima ancaman terhadap keselamatan mereka apabila mereka memasuki kawasan seumpama itu untuk memotong sambungan haram," katanya kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah.

Beliau berkata, sebahagian besar masalah sambungan haram berlaku di kawasan setinggan di bandar-bandar pantai timur Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Sebelum ini, seorang pegawai majlis tempatan dari Kunak, yang terletak di antara Lahad Datu dan Semporna, berkata terdapat bahagian kawasan setinggan yang mereka tidak masuk kerana ancaman terhadap keselamatan diri mereka.

Sementara itu, Quirine @ Quirinos berkata jabatan itu kerugian RM780,244 kerana perbuatan mencuri air melalui sambungan haram di Sabah dari tahun 2008 hingga 2012.

Ini tidak termasuk "kos yang tidak perlu" seperti membaiki dan menggantikan paip akibat akibat sambungan haram.

Pada tahun 2012, katanya, kerugian dari segi wang serta kos tidak perlu itu, mencecah hampir setengah juta ringgit, dan jumlahnya semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Ditanya oleh pegawai pengendali Azmi Ariffin, beliau berkata jabatan itu tidak boleh mengenakan kompaun terhadap mereka yang menggunakan air dari sambungan haram kerana mereka tidak mempunyai dokumen diri.

Untuk mengeluarkan kompaun ke atas mereka, katanya, pengenalan diri mereka diperlukan.

Katanya, mereka biasanya memotong sambungan pada paip pengagihan dan tidak menjejaknya hingga ke rumah, dan jika mereka berbuat demikian, penduduk tidak ada di situ atau telah "lari".

Sementara itu, seorang saksi, Chia Oi Len memberi keterangan bahawa nombor kad pengenalan lamanya telah digunakan oleh seorang individu yang tidak dikenali, untuk membuka akaun bank.

Chia berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh seorang pegawai Maybank apabila dia cuba untuk membuka akaun di Kota Kinabalu pada tahun 2007.

"Saya tidak tahu siapa orang ini, tetapi akaun itu dibuka di Cheras, Kuala Lumpur. Saya kemudian membuat laporan polis," kata pemilik perniagaan itu.

Chia, 60, berkata beliau sebelum ini telah memiliki "kad pengenalan plastik lama berwarna biru" tetapi telah menukarkannya kepada versi terkini dengan 12 digit, dan menyerahkan IC lamanya kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

Katanya, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk menaik taraf IC beliau kepada versi terkini dan kini dia memegang MyKad.

Shabery: Finas patut benarkan 'Tanda Putera' ditayang

Posted: 29 May 2013 07:13 AM PDT

MALAYSIA KINI


 
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) patut membenarkan filem 'Tanda Putera' ditayang kepada orang ramai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  
Beliau berkata dengan tayangan filem itu, rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap mesej yang disampaikan menerusi filem kenegaraan arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu.
  
"Tiba masanya 'Tanda Putera' ditayang untuk tontonan semua," katanya dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.
  
Filem 'Tanda Putera' terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Finas, memaparkan kisah Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969.
  
Filem itu, yang dibuat pada 2011 dan dilulus tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem dengan sijil PG13, sepatutnya menemui penonton mulai 15 November lepas.
  
Bagaimanapun, Jemaah Menteri membuat keputusan menangguhkan filem itu berikutan ada babak yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat.
  
Filem yang menelan belanja RM4 juta itu dibintangi Rusdi Ramli yang diberi tanggungjawab memegang watak Abdul Razak, Zizan Nin sebagai Dr Ismail, manakala Faezah Elai memainkan watak isteri Abdul Razak, Tun Rahah Tan Sri Mohamad Noah.- Bernama

Pegawai SPR Kira Undi Awal “Secara Senyap”

Posted: 29 May 2013 07:02 AM PDT


SPR tipu suara rakyat 505 pj 01

PETALING JAYA  : Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan lagi bukti bahawa terdapat keraguan dalam proses pengundian awal yang boleh memesongkan keputusan pilihanraya ke-13.

Bukti tersebut di dalam dua laporan polis yang dibuat ejen calon PKR, kata pengarah strategi PKR Rafizi Ramli.

Laporan pertama dibuat di Melaka berkenaan pengundian awal di DUN Machap, manakala yang kedua dibuat di Perak berhubung pengundian pos di DUN Pengkalan Hulu.

Dalam laporan polis pertama ejen calon PKR Dun Machap, Abu Hussin Tamby mendakwa melihat pegawai Suruhanhjaya Pilihan Raya (SPR) membuka dan mengira kertas undi dari peti undi awal yang disimpan di Ibupejabat Daerah Polis Alor Gajah.

Insiden berkenaan terjadi apabila Abu Hussin sedang mengiringi pegawai SPR yang membawa peti undi awal untuk disimpan di dalam balai polis berkenaan.

"Saya melihat sejumlah anggota SPR yang dianggarkan seramai tujuh hingga lapan orang sedang duduk mengira kertas-kertas undi di sebelah lokap tempat peti undi awal kami disimpan.

"Selepas selesai mengiringi untuk menimpan peti undi awal di dalam lokap, saya sempat lagi melihat petugas-petugas yang memakai baju SPR sedang mengira kertas undi," katanya dalam laporan polis berkenaan.

Dilaporkan sebelum ini bahawa undi awal dan undi pos hanya akan dikira pada hari buang undi iaitu 5 Mei. Manakala undi awal dan undi pos dibuat lima hari sebelum tarikh itu.

Sementara dalam kejadian kedua, ejen calon PKR Dun Pengkalan Hulu, Jauneh Otoh membuat laporan polis ekoran kehilangan peti undi awal bagi Kem 18 Pasukan Gerakan Awam (PGA) di Pengkalan Hulu yang tidak sampai seperti yang dijadualkan.

Kejadian meragukan itu mengakibatkan ejen-ejen PKR menuntut supaya peti undi tersebut dkecualikan daripada pengiraan undi dan dipersetujui oleh pegawai SPR.

PKR turut dimaklumkan, Ketua Pemerintah Kem 18 PGA Pengkalan Hulu membuat laporan polis pada 9 Mei 2013 di Balai Polis Pengkalan Hulu dan mendakwa peti undi yang hilang telah dijumpai.

Jelas Rafizi, dua kejadian benar yang berlaku ini membayangkan betapa longgarnya kawalan, integriti dan seliaan peti undi awal

sehingga boleh hilang dan dibuka begitu sahaja.

"Keputusan undi pos dan undi awal di seluruh negara menimbulkan kecurigaan apabila-calon-calon Pakatan Rakyat mendapat undi sekitar 10 hingga 15 peratus daripadanya.

"Ianya jauh lebih rendah dari tahap sokongan dalam PRU-12 pada sekitar purata 30 peratus," tambah Rafizi.

Posted: 29 May 2013 07:00 AM PDT

Seleweng PRU13 : SPR Perlu Bersemuka Dengan Rakyat

212 views rafizi 01

PETALING JAYA, : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersemuka dengan rakyat bagi menjelaskan semua dakwaan dan laporan polis berkaitan penyelewengan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kesediaan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar  bertemu dengan mana-mana pihak termasuk jawatankuasa #siasatPRU13 adalah suatu yang lucu.

"Saya agak lucu apabila tiba-tiba Datuk Wan Ahmad beriya-iya nak jumpa dengan saya dan wakil-wakil dari Pakatan Rakyat (PR) untuk berbincang," katanya.

Rafizi mendakwa, pimpinan PR  mengadakan perbincangan bersama SPR berkali-kali tetapi tiada perubahan dilakukan sehingga PRU-13 berakhir.

"Dulu dia kata dakwat kekal boleh kekal, bila tak kekal sebab tak goncang, bila dah goncang tapi masih tak kekal dia cakap kalau kekal tak boleh solat.

"Dia ada lima versi yang berbeza untuk setiap satu penyelewengan yang kita sudah tunjukkan bukti.

"Dulu dia kata tak ada satu pun 'blackout' di Malaysia ini, bila tunjukkan laporan polis semalam, dia kata tak apalah nanti kita bincang," sindirnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

"Saya sendiri hanya bersetuju berjumpa dengan beliau (Wan Ahmad) dalam satu forum rakyat yang mana beliau (Wan Ahmad) mengambil dan menerima soalan daripada rakyat.

"Terutama mereka yang melalui sendiri pelbagai penyelewengan ini dan kami akan kumpulkan dalam satu forum, biar dia (Wan Ahmad), saya, Datuk Johari Abdul, YB Fuziah duduk, biar rakyat tanya dan dia jawab, itu lebih baik," ujarnya.

CPO sepatutnya nyatakan punca kematian Kugan'

Posted: 29 May 2013 06:54 AM PDT

Hafiz Yatim


 
Seorang peguam kanan persekutuan secara peribadi bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi Lumpur bahawa bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sepatutnya mengadakan satu lagi sidang akhbar selepas punca kematian A Kugan diketahui.

NONEHakim Datuk VT Singham bertanya kepada Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad beberapa kali sama ada beliau fikir Khalid (kiri), yang kini menjadi ketua polis negara, sepatutnya mengadakan satu lagi sidang akhbar untuk menjelaskan perkara berkaitan dengan kematian Kugan.

Khalid, dalam sidang akhbar lebih awal, telah berkata bahawa Kugan meninggal dunia selepas air diberikan kepadanya.

Selepas itu, satu bedah siasat bebas mendedahkan mangsa berusia 22 tahun itu telah mengalami pukulan teruk, kebuluran semasa dalam tahanan, dan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang akibat pukulan tersebut.

Keluarga Kugan telah memfailkan tuntutan RM100 juta terhadap Khalid, pasukan polis dan kerajaan, dan secara khusus terhadap Khalid, kerana didakwa cuba menutup punca kematian Kugan semasa dalam tahanan polis.

Hakim Singham: Adakah anda fikir defendan pertama (Khalid) perlu mengadakan sidang akhbar kedua kerana plaintif mendakwa ada cubaan mahu menutupnya? Patutkah dia beri penjelasan?

Azizan: Saya tidak boleh kata. Hanya Tuhan yang mengetahui (mengapa ini tidak dilakukan).

Singham: Mengapa (ini) tidak (dipersoalkan di mahkamah)? Apabila defendan pertama mengadakan sidang akhbar itu, adakah ianya sebelum bedah siasat pertama atau selepas?

Azizan: Sebelum, apabila Khalid berkata beliau telah diberi taklimat oleh ASP Rodney Paslan bahawa air telah diberikan kepada (Kugan) sebelum dia meninggal dunia.

NONESingham: Adalah anda fikir beliau sepatutnya mengadakan satu lagi (sidang akhbar apabila) punca sebenar kematian telah diketahui selepas bedah siasat pertama? Beritahu dan bantulah mahkamah.

Azizan: Secara peribadi, saya rasa ia (sidang akhbar itu) sepatutnya diadakan.

Mahkamah mendengar hujah tersebut dalam saman yang difailkan oleh ibu Kugan, N Indra (kanan), berhubung kematian anaknya ketika dalam tahanan di Balai Polis Taipan, Subang Jaya.

Kugan, yang meninggal dunia pada 20 Januari 2009, adalah operator trak penunda yang ditangkap polis kerana disyaki mencuri kereta mewah.

Tukar Hakim, Kes Nik Nazmi Dibicara 26 Ogos

Posted: 29 May 2013 06:50 AM PDT


nik nazmi

PETALING JAYA  : Perbicaraan kes Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung perhimpunan aman #Black505 di Stadium Kelana Jaya 8 Mei lalu dianjak ke 26 Ogos depan.
Perkara ini ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Hayatul Akmal menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah dikemukakan kedua-dua pihak pendakwaraya dan peguambela.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguambela, Syahredzan Johan dan Afiq Md Nor mewakili Nik Nazmi.

Sebelum ini kes tersebut ditetapkan untuk didengar oleh Hakim, Rozina Ayob di mahkamah sama pada 4 Jun depan di mana Nik Nazmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Hayatul Akmal mengambilalih kes itu daripada Rozina kerana Rozina dan Nik Nazmi mempunyai hubungan kekeluargaan.

Sebelum kes dikendali Hayatul Akmal, Rozina menjelaskan dia dimaklumkan oleh bapanya mengenai perkara itu selepas kes Nik Nazmi disebut buat pertama kali pada 17 Mei lalu.

Sehubungan itu untuk berlaku adil, katanya, kedua-dua pendakwaraya dan peguambela dipanggil untuk memaklumkan bahawa kes tersebut dipindahkan kepada hakim lain.

Di luar mahkamah, Nik Nazmi berkata, barisan peguambelanya akan mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh satu hingga dua minggu untuk pembatalan kes berkenaan.

"Peguambela saya, Syahredzan, Afiq dan Eric Paulsen akan memfailkan kes ini di Mahkamah Tinggi untuk mencabar Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kita akan mencabar kes ini dan pada masa yang sama akan menghadapinya pada 26 Ogos nanti," katanya.

nik nazmi pc

Blackout 505 diteruskan, kata pengarah penganjur

Posted: 29 May 2013 06:43 AM PDT

 


 
Perhimpunan "Blackout 505" akan diteruskan lagi pada bulan depan bagi menolak keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu, kata Pengarah penganjur bagi perhimpunan itu, Datuk Johari Abdul.

Katanya, perhimpunan itu akan diteruskan sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk melaksanakan tiga tuntutan mereka.

parliament briefing 030408 johari abdulTiga tuntutan itu ialah meminta supaya anggota SPR letak jawatan, mengadakan pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen serta menangguhkan sebarang bentuk pindaan undang-undang pilihan raya dan persempadanan semula.

"Sehingga kini lebih setengah juta rakyat Malaysia pelbagai kaum, latarbelakang dan umur telah menyertai blackout 505.

"Ia menjadi lambang kesedaran politik rakyat yang mewakili suara majoriti 51 peratus yang menyokong reformasi dan perubahan di negara ini," kata Johari (atas) dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Sehubungan itu, menurut Johari, empat negeri akan mengadakan perhimpunan blackout 505 pada bulan Jun iaitu:
  • 10 Jun - Perlis
  • 11 Jun - Sungai Petani, Kedah
  • 12 Jun - Kota Bharu, Kelantan
  • 14 Jun - Batu Pahat, Johor
Ditanya sama ada bagi perhimpunan akan datang itu, pihak penganjur akan meminta kebenaran daripada pihak polis, Johari dengan ringkas menjawab "Ya".

Sebelum ini, beberapa siri soal siasat telah dilakukan berhubung perhimpunan Blackout 505 di seluruh negara.

Isnin lalu, empat pemimpin Pakatan, dua di Perak dan masing-masing seorang di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam perhimpunan 'Blackout 505'.

Kerjasama UMNO-PAS: Syed Ali Nasihatkan Nik Aziz Jangan Angkuh, Sombong

Posted: 29 May 2013 06:40 AM PDT

Kerjasama UMNO-PAS: Syed Ali Nasihatkan Nik Aziz Jangan Angkuh, SombongMALAYSIA CHRONICLE

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menasihatkan Musyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya jangan bersikap angkuh dan sombong dengan menolak sebarang usaha kearah penyatuan semula UMNO dan PAS.

Beliau menegaskan, Nik Aziz sepatutnya tidak mencerminkan dirinya sebagai orang tua yang terlalu bongkak sehingga menolak sebarang pandangan pihak lain.

"Walaupun setakat ini belum ada tanda-tanda kearah kerjasama UMNO-PAS, tetapi jika usaha itu mendatangkan kebaikan kepada orang Melayu sewajarnya pandangan berkenaan dihormati," tegas Syed Ali dalam laman blog www.umnobahagiancheras.blogspot.com.

Beliau berkata, bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak sepatutnya terus melenting apabila ada pihak mengajukan cadangan tersebut kepada beliau.

"Nik Aziz dilebelkan sebagai seorang ulama, tetapi perlakuannya dilihat jauh tersasar daripada ciri-ciri tokoh agama, yang sepatutnya mendengar dan meneliti secara berhemah," ujarnya.

Syed Ali mengulas kenyataan Nik Aziz yang disiarkan dalam portal berita rasmi PAS, harakahdaily yang menyebut bahawa beliau tidak akan membenarkan sebarang usaha ke arah penyatuan PAS dan UMNO selagi beliau masih hidup.

Nik Aziz dipetik sebagai berkata, PAS adalah milik semua ahlinya dan sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat perlu mendapat persetujuan daripada semua ahli khususnya melalui muktamar.

Saya tidak bagi, selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama PAS dan UMNO dilakukan, menurut Nik Aziz.

Menurut Syed Ali lagi, pendirian Nik Aziz itu yang bersandarkan kepada kepentingan politik hanya merugikan seluruh orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Beliau kesal kerana Mursyidul Am PAS itu terlalu mementingkan agenda politik daripada melihat penyatuan semula kedua-dua parti tersebut yang mewakili sebahagian besar orang Melayu dan umat Islam.

"Dia amat fobia apabila ditanya mengenai kerjasama PAS-UMNO, seolah-olah begitu takut melihat orang Islam kembali bersatu," ujarnya.

Mengenai dakwaan UMNO menolak Islam seperti berulang kali ditegaskan oleh Nik Aziz, beliau berkata dakwaan tersebut hanya provokasi dan bermotifkan politik.

"Nik Aziz tuduh UMNO tolak Islam, tetapi PAS sanggup pula bersekongkol dan menjadi kuda tunggangan DAP," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali menegaskan UMNO tidak terlalu terdesak sehingga terpaksa merayu kepada PAS untuk berkerjasama.

"Selama ini UMNO mampu mempertahankan survival politiknya sehingga mampu membetuk sebuah kerajaan yang disenangi rakyat," jelasnya.

Bagaimanapun kata beliau, UMNO melihat kepada kepentingan masa depan orang Melayu dan umat Islam yang harus dipertahankan.

"Oleh sebab itu, ada pandangan yang berpendapat, adalah lebih molek jika UMNO-PAS bersatu demi kepentingan Melayu, bukannya kerana agenda politik individu atau pihak tertentu," tegasnya.

Dalam hal ini Syed Ali berkata, adalah lebih baik Nik Aziz mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pemimpin PAS yang berfikiran rasional sebelum mengeluarkan kenyataan yang bersifat sombong dan angkuh.- BERNAMA

Yang pertama datang MIC, yang pertama ziarah Umno - Nasrudin

Posted: 29 May 2013 06:28 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE

Anggota Parlimen Temerloh, Nasrudin Hasan memberitahu, orang yang pertama datang meminta bantuan dari beliau adalah seorang ahlu MIC manakala orang yang pertama beliau ziarahi adalah penyokong Umno.

Beliau mengulas demonstrasi yang dibuat Umno dengan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK) Megat Segama, Mohd Nordin Mohd Sham yang mendakwa bantuan hanya beliau berikan kepada ahli PAS dan PKR dan penduduk yang tidak menyokong diketepikan.

Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan satu demo yang mendakwa kononnya ahli parlimen Temerloh yang baru Ustaz Nasrudin Hassan, pilih kasih dalam membantu mangsa ribut pada 15 Mei yang lalu.

Nasrudin berkata beliau berlapang dada dan hati terbuka terhadap aneka ragam rakyat mengekspresi sikap dan suara mereka.

"Saya sambut dan layan mereka dengan kasih dan sayang kerana saya adalah pemimpin mereka. Jika dakwaan mereka benar, boleh datang ke Pejabat PAS Kawasan Temerloh [buat sementara waktu sebelum Pusat Komuniti Parlimen Temerloh siap dalam tempoh sebulan ini] untuk mengemukakan aduan atau laporan dan pihak kami akan pastikan laporan itu benar dan layak menerima bantuan, maka saya akan usahakan untuk membantu sedaya mungkin," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Nasrudin berkata sejak beliau menjadi ahli parlimen Temerloh, beliau tidak pernah memilih dalam memberi bantuan kepada sesiapa yang memintanya.

Bahkan dalam 14 hari yang pertama, orang pertama yang berjumpa Nasrudin ialah penyokong MIC.

"Saya hulurkan bantuan. Orang pertama saya ziarah mangsa ribut dan menghulurkan bantuan ialah penyokong Umno. Dalam tempoh itu juga, sekitar 50 buah rumah telah saya sendiri menziarahinya dan menghulurkan bantuan kemanusiaan sementara sebahagiannya saya hulurkan bantuan menerusi PAS Kawasan Temerloh yang mewakili saya," terang beliau.

Nasrudin berkata bahawa beliau tidak suka untuk membangkitkan perkara ini, tapi terpaksa untuk memberi pencerahan kepada mereka yang melemparkan tuduhan kepadanya.

"Walaubagaimana pun saya ucap terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia yang menyiarkan perkara ini dan terima kasih jua saya ucapkan kepada penganjur himpunan aman bagi menyatakan bantahan dan suara mereka terhadap saya," kata beliau.

Pihak Harakahdaily boleh menjadi saksi kepada kenyataan Nasrudin, bahawa beliau terpaksa "merayau" ke serata ceruk mencari sumbangan orang ramai dan para dermawan untuk membantu insan yang memerlukan di Parlimen Temerloh sejak memenangi pilihanraya 5 Mei yang lalu.

"Keadaan ini berlaku ekoran tradisi pemerintahan Barisan Nasional tidak memberi peruntukan pembangunan dan kebajikan parlimen kepada MP bukan pemerintah," kata Nasrudin.

Ekoran itu, Nasrudin hari ini menyarankan kepada penganjur himpunan aman itu dan Pengerusi JKKK Megat Segama supaya mengadakan sekali lagi himpunan aman yang serupa untuk mendesak kerajaan Barisan Nasional memberikan geran peruntukan wajib bagi pembangunan dan kebajikan rakyat Temerloh walaupun Ahli Parlimennya bukan dari Barisan Nasional.

"Hormati pilihan rakyat dan jangan pilih kasih dan mendiskriminasikan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat justeru hakikatnya ini adalah penderaan ke atas rakyat yang diwakili oleh Ahli Parlimen bukan pemerintah. Jadilah sebuah kerajaan yang adil dan matang.

"Malah mereka juga mesti mendesak pihak kerajaan Barisan Nasional membela nasib mereka yang terbiar dan hidup dalam kedaifan pula tertekan dalam isu perumahan Sri Kemuning yang tidak selesai sejak sekian lama," terang beliau lagi.

Menurut Ketua Pemuda PAS Pusat itu, beliau telah memanjat tangga di 6 blok rumah pangsa Sri Kemuning untuk meninjau kerosakan yang dialami oleh penduduk di situ dan menghulurkan bantuan.

"Saya dimaklumkan oleh penduduk di situ bahawa inilah Ahli Parlimen pertama yang sudi datang menziarahi kehidupan kami yang sangat daif dan terbiar di blok - blok rumah pangsa yang uzur di Sri Kemuning.

"Sekian lama mereka diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional negeri Pahang malah mereka luahkan keresahan berikutan ada tekanan supaya mereka keluar dari blok kediaman mereka kini.

"Saya berjanji tiada pilih kasih dan tiada ketidakadilan dalam kepimpinan saya buat seluruh rakyat Temerloh sekali pun terhadap mereka yang tidak menyokong Pakatan Rakyat," tegas Nasrudin yang memetik Surah al-Maaidah: 8 sebagai pegangan prinsipnya.

Surah al Maaidah : 8 berbunyi:

"Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. "

Kepada para dermawan dan warga prihatin boleh bantu kami Sekretariat Parlimen Temerloh untuk berbakti kepada rakyat yang memerlukan. Salur kepada :

Maybank Islamic
5560 5720 3711Tabung Prihatin Rakyat
dan kemudian sms "Temerloh_nilai" ke nombor : 019 3000 088- Harakah Daily

Bekas Adun bebas tuduhan rasuah

Posted: 29 May 2013 06:20 AM PDT

SINAR HARIAN

IPOH - Bekas Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Ketua Cabang PKR Parit, Kapten (B) Usaili Alias dilepas dan dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah yang membabitkan jumlah RM100,000, lima tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan keputusan itu selepas pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan.

Kedua-dua mereka melahirkan rasa syukur selepas mendengar keputusan peringkat akhir pembelaan di Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi.

Sejurus selepas keputusan itu diumumkan, kedua-dua tertuduh kelihatan menarik nafas lega sebelum mengalirkan air mata dan memeluk anggota keluarga masing-masing.

Mohd Osman dan Usaili didakwa menerima wang berjumlah RM105,000 dan meminta RM100,000 daripada Mohamad Imran di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Hotel Summit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 16 Ogos 2008 serta di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya pada 19 Ogos 2008.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa manakala Mohd Osman diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid dan Usaili oleh Surjan Singh.

Mohd Osman ketika ditemui pemberita berkata kini kebenaran telah terbukti setelah hampir lima tahun kes ini dibicarakan oleh mahkamah.

"Saya bersyukur dan gembira dengan keputusan ini. (Perjalanan politik) saya tidak terjejas cuma tempoh perjalanan (kes) terlalu lama," katanya.

Usaili pula berkata beliau rasa agak tertekan dengan kes ini.

Patutnya saya boleh bertanding dalam pilihan raya, Insya-ALLAH saya akanteruskan dalam bidang politik ini," katanya yang bersyukur dan lega  dengan keputusan mahkamah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan politik.

Pada 5 Feb lepas, Mahkamah Rayuan membebaskan bekas Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi 57, bekas Anggota Majlis Daerah Perak Tengah Zul Hassan, 51, dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 35, daripada 10 pertuduhan menerima serta meminta rasuah berhubung projek perumahan itu.

Blackout 505 tampil tiga tuntutan

Posted: 29 May 2013 06:19 AM PDT

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

Johari Abdul
Johari Abdul 
 
PETALING JAYA - Perhimpunan Blackout 505 akan meneruskan gerakan mereka sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk melaksanakan tiga tuntutan reformasi awal yang dikemukakan.

Pengarah program Blackout 505, Datuk Johari Abdul berkata, kehadiran rakyat di perhimpunan itu adalah lambang baru kesedaran politik rakyat yang mewakili suara 51peratus rakyat yang menyokong PR.

"Kita menuntut tiga perkara asas reformasi pilihan raya, pertama seluruh anggota SPR sekarang meletak jawatan kerana gagal memastikan PRU13 berjalan dengan telus, cekap, tanpa keraguan dan memenuhi janji mereka kepada rakyat seperti tuntutan Bersih.

"Kedua, adakan pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen yang diragui bila mana bukti kukuh. Ketiga, menangguhkan sebarang bentuk pindaan undang-undang pilihan raya dan persempadanan semula sehinggalah anggota SPR baru yang berwibawa dan dipersetujui oleh semua pihak mengikut konsesus rakyat," katanya pada sidang media di pejabat PKR hari ini.

Menurut beliau, konsesus itu perlulah diwakili oleh PR dan NGO.

Keputusan kes Kugan 19 Jun

Posted: 29 May 2013 06:17 AM PDT

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Jun ini untuk keputusan kes saman kecuaian yang difailkan oleh ibu A.Kugan, suspek yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 2009.

Hakim Datuk V.T. Singham menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar penghujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan peguam R.Sivarasa, yang mewakili ibu Kugan, N. Indra.

Pada 13 Jan tahun lepas, N. Indra memfailkan saman menuntut ganti rugi RM100 juta dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang ketika itu Ketua Polis Selangor sebagai defendan pertama.

Bekas anggota polis, V. Navindran (yang didapati bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan) sebagai defendan kedua diikuti bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Azizan, yang mewakili pihak defendan, mengemukakan bahawa selepas penyiasatan, terdapat hubungan antara Navindran dan punca kecederaan kepada si mati.

"Dalam perbicaraan itu, ia menunjukkan Navindran datang ke balai polis di mana si mati ditahan dan menyebabkan kecederaan. Dua anggota polis, Lans Koperal Mohd Haizan Hamid dan Lans Koperal Junid Haron kemudian menghentikan Navindran daripada terus memukul si mati.

"Navindran didakwa di mahkamah dan didapati bersalah berdasarkan keterangan Mohd Haizan dan Junid. Oleh itu, kami mengemukakan bahawa keputusan untuk mendakwa Navindran jelas menunjukkan dia tidak menjalankan tugas rasminya sebagai pegawai polis tetapi bertindak secara bermain-main," katanya.

Beliau juga berkata Navindran telah hanya menafikan bahawa dia adalah orang yang menyebabkan kecederaan tanpa apa-apa sokongan, menyalahkan orang lain kerana memilih dia sebagai 'kambing hitam' dan bukannya mencabar bukti yang dikemukakan oleh orang lain.

Peguam Sivarasa berhujah bahawa Indra telah kehilangan sokongan dan sumbangan kewangan bulanan selepas Kugan meninggal dunia.

Ketika ditahan, Kugan berusia 23 tahun dan adalah suspek kes curi kereta mewah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya semasa dia dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Jan 2009.- Bernama

Empat Exco Selangor Dari PAS Sedia Berkhidmat

Posted: 29 May 2013 12:23 AM PDT


Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehin Mokhyi dan Iskandar A. Samad.

KELAB GREENBOC
 
Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman menyatakan keyakinan empat calon Pas yang diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dapat menjalankan tugas Exco dengan baik.

Menurutnya, empat calon yang terpilih sebagai Exco ialah Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali, Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sabak, Sallehin Mokhyi dan Adun Cempaka, Iskandar A. Samad.

"Sultan guna formula 6:3, enam Melayu di mana Pas empat, PKR dua, dan empat bukan Melayu, iaitu tiga DAP dan satu calon PKR.

"Saya diberitahu oleh setiausaha politik menteri besar tadi (semalam).

"Pas menyambut baik walaupun tak menang di Putrajaya, kita akan tumpu bagi khidmat kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sebelum ini, DAP Selangor menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan senarai Exco yang diserahkan kepada Sultan dan menggesa untuk mengadakan perbincangan semula mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, mengikut laporan media Sultan Selangor telah memberi perkenan kepada senarai calon Exco bagi penggal 2013-2018.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata: "Saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada pagi ini (kelmarin) dan Tuanku bersetuju menamakan ahli-ahli Exco yang telah dikemukakan.

"Insya-ALLAH pada Khamis ini jam 9.30 pagi, di Istana Alam Shah, Klang, akan diadakan upacara angkat sumpah dan ikrar oleh semua ahli Exco yang dipilih," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rani juga berkata dakwaan sebelum ini yang menyatakan perlantikan Exco Selangor mempunyai masalah tidak berbangkit lagi.

"Insya-ALLAH, Sultan sudah putuskan, kita terima.

"Tak ada yang dipertikaikan lagi, tak ada soal DAP tak puas hati, semua OK," katanya.

TG Nik Aziz: Tiada Penyatuan UMNO-PAS Selagi Saya Hidup

Posted: 29 May 2013 12:21 AM PDT


KELAB GREENBOC
 
Kota bahru: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak akan membenarkan sebarang usaha ke arah penyatuan PAS dan Umno selagi beliau masih hidup.

Menurut bekas Menteri Besar Kelantan itu, PAS adalah milik semua ahlinya dan sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat perlu mendapat persetujuan daripada semua ahli khususnya melalui muktamar.

"Tidak boleh sesiapapun mengatur usaha untuk mengadakan kerjasama antara PAS dan Umno apa lagi secara senyap-senyap, parti ini terbuka kepada orang ramai dan milik ahli.

"Saya tidak bagi, selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama PAS dan Umno dilakukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Tuan Guru berkata Umno sejak awal lagi menolak dasar Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS.

Tambahnya, selain persoalan dasar parti, banyak lagi perkara yang perlu dikaji terhadap kesilapan Umno dalam perjuangan mereka.

"Untuk itu tidak ada sebab kita ingin bersama mereka dan saya peringatkan pada yang lain jangan ada usaha ini," ujarnya lagi. -HD

Guru silat ditetak penyamun

Posted: 29 May 2013 12:13 AM PDT

NURUL HIDAYAH HAMID

Guru silat ditetak penyamun
Lakaran kejadian dua beranak diserang tiga penjenayah bersenjatakan parang.
 
Guru silat ditetak penyamun
Penduduk kampung menunjukkan lokasi mangsa ditetak di Kampung Gelam.
 
Guru silat ditetak penyamun
Keluarga mangsa sedang menunggu di wad kecemasan HSB.
 
ALOR SETAR - Seorang guru silat hampir putus tangan kanannya akibat ditetak ketika cuba menyelamatkan anaknya yang diserang tiga penyamun di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, awal pagi semalam.
 
Abdul Rahman Hashim, 51,  cedera parah manakala anaknya, Mohd Iqbal, 18, cedera ringan di tangan kiri dan kepala dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu.

Sebelum itu, Mohd Iqbal yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Anak Bukit terserempak dengan tiga lelaki yang dipercayai telah memecah masuk stor baja kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Pemuda itu segera menghubungi ayahnya namun sebelum sempat ayahnya sampai, Mohd Iqbal diserang.

Sepupu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Wan berkata, ketika kejadian penjenayah terbabit mungkin baru memecah masuk stor berkenaan.

"Semasa ayahnya datang selamatkan Iqbal, mereka bergelut. Penjenayah itu menyerang menggunakan senjata tajam, dipercayai parang," katanya.

Katanya, Abdul Rahman yang cedera di tangan kanan dan kiri jatuh ke dalam tali air berdekatan lokasi kejadian, manakala Iqbal sempat melarikan diri ke rumahnya bagi memaklumkan kejadian kepada ibunya.

Tiga lelaki terbabit bertindak melarikan diri, manakala kedua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kini, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Wan berkata, Iqbal tidak mengenali ketiga-tiga lelaki berkenaan kerana keadaan persekitaran pada ketika itu agak gelap.

Mereka melarikan diri menaiki dua kereta dan mempunyai tiga parang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Farique Rizal Abdul Hamid, berkata, kedua-dua mangsa tiba di hospital kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, Abdul Rahman cedera di kedua belah tangan, pergelangan tangan kanannya hampir putus dan salur darah cedera teruk, manakala bahagian kirinya mengalami luka di tiga bahagian, termasuk tapak tangan dan anaknya cedera di jari dan kepala.

"Pembedahan akan dilakukan secepat mungkin supaya tangan kanan Abdul Rahman dapat diselamatkan.

"Buat masa ini, mereka hanya boleh dilawat keluarga dan sahabat terdekat kerana mereka kemungkinan masih trauma," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 6.45 pagi semalam.

"Siasatan masih diteruskan, namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan sengaja," katanya kepada media di pejabatnya di sini.

Zam: Kempen Najib nampak luar biasa, pura-pura

Posted: 29 May 2013 12:08 AM PDT


MALAYSIA KINI


 
Dalam tulisan di blognya, zamkata.blogspot.com semalam, beliau berkata usaha Najib untuk menonjolkan diri sebagai pemimpin popular menyebabkan perdana menteri itu dilihat sebagai seorang yang meniru orang lain dan bukannya seorang pemimpin.

Katanya, beliau juga melihat Umno dalam keadaan "panik" apabila timbul cadangan untuk menjadikan BN sebagai sebuah parti tunggal.

"Sesuatu cadangan yang serius patut dikemukakan dalam keadaan tenang bukan dalam keadaan masih ribut. Tidakkah ini menunjukan pemimpin-pemimpin UMNO berada dalam keadaan panik.

"Jika mahu uji pandangan akar umbi pun bukanlah masa sekarang ini," tulis Zainuddin yang juga pernah bertugas sebagai wartawan Utusan Melayu.

Beliau mengkritik pengedaran kain rentang 'I love PM' pada kempen pilihan raya umum ke-13 yang menurutnya mungkin diilhamkan oleh penasihat Najib.

Katanya, tindakan tersebut hanyalah untuk menunjukkan kepada Najib bahawa pengerusi BN itu telah mendapat sokongan khususnya daripada masyarakat Cina di Malaysia.

Sikap yang ditunjukkan oleh golongan pengundi berkenaan dalam pilihan raya umum lalu adalah sebaliknya.

Dalam tulisan itu, Zainuddin berkata Najib ditonjolkan sebagai pemimpin yang hidup seperti rakyat biasaa dan sanggup makan dan minum bersama rakyat antaranya di gerai, kafe dan gerai mamak.

"Penasihatnya berfikir bahawa gambar ini akan menunjukan Najib yang elitis dari keluarga bangsawan hidup seperti rakyat biasa tetapi kepada rakyat adalah 'luar biasa' kerana tidak pernah mereka terserempak dengan Najib di tempat-tempat begini.

"Lebih luar biasa apabila diiringi oleh pengawal dan pembantu peribadi. Nampaklah kepura-puraan," kata Zainuddin.

"Kata mantan Menteri Kewangan Daim Zainuddin, Anwar Ibrahim adalah clown (lebih tepat dipanggil Raja Lawak). Kata saya, Najib adalah imitator. Penasihatnya berkepala di awan tanpa kaki mencecah daratan. Inilah penasihat yang patut disingkirkan."

Zainuddin berkata beliau menerima kiriman SMS daripada seorang kawan dalam dunia korporat yang mendakwa tindakan menunjukkan kain rentang 'I Love PM' adalah "menjijikan" dan meminta Najib berhenti bersikap seperti pemimpin mahasiswa.

Zam yang juga karyawan tamu Universiti Utara Malaysia berkata sepatutnya Najib sedar negara ini masih belum keluar dari keruncingan politik dengan cabaran daripada "raja lawak dan kepala cauvanisme Cina" yang tidak dinamakannya.

"Negara belum keluar dari keruncingan politik; keselamatan diancam oleh communist surrogate, tiap hari ada tunjuk perasaan cina baju  hitam cemarkan pilihan raya yang sah, berbagai laporan palsu polis dibuat; blackout, dakwat padam," katanya.

Maut kepala dilanggar lori

Posted: 28 May 2013 11:56 PM PDT

 

KL TODAY


MUAR – Hasrat seorang wanita untuk menghadiri temuduga di bandar ini tidak kesampaian apabila terbunuh selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua lori dengan sebuah motosikal di Kilometer 11 Jalan Bukit Pasir-Muar di sini, semalam.
Mangsa ialah pembonceng motosikal dikenali Lili Zurainah Bahari, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa menaiki motosikal yang ditunggangi adiknya, Mohamad Khairuddin Bahari, 19, dalam perjalanan ke tempat temuduga kerja dari rumah mereka di Felda Lenga.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila motosikal mereka merempuh belakang sebuah lori yang sedang membrek dari arah sama iaitu dari Bukit Pasir menghala Muar.

Akibat rempuhan kuat itu, motosikal dinaiki hilang kawalan menyebabkan mereka terjatuh ke kanan jalan raya.

Malangnya, datang sebuah lagi lori dari arah Muar menghala Bukit Pasir tidak sempat mengelak lalu terlanggar kepala Lili Zurainah.

Kedua-dua pemandu lori terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala Mohamad Khairuddin yang cedera pada anggota badan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.


Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar mengesahkan menerima laporan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

"Kita meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Akta Hasutan: Tertuduh mengaku tidak bersalah

Posted: 28 May 2013 11:53 PM PDT

JAMILAH HAMZAH

Safwan Anang
Tian Chua (dua, kiri) bersama Safwan Anang (dua, kanan) ketika hadir ke Mahkamah berhubung dakwaan mengikut Akta Hasutan hari ini. - Foto Bernama
 
Tian Chua,  Haris , Tamrin
Tian Chua (tengah), Haris Fatillah Mohamed Ibrahim (kiri) dan Mohd Tamrin Abdul Ghafar ketika hadir ke Mahkamah berhubung dakwaan mengikut Akta Hasutan. - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Aktivis dan ahli parlimen pembangkang yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengaku tidak bersalah.

Tertuduh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, aktivis mahasiswa, Safwan Anang@Talib, dan dua aktivis pembangkang Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dan Mohd Tamrin Abdul Ghafar mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Norsharidah Awang di kamar Mahkamah Majistret 1, Mahkamah Jalan Duta.

Pertuduhan di bawah Seksyen  4 (1) (b) itu dibacakan di hadapan keempat-empat tertuduh kira-kira jam 10.10 pagi tadi.

Kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 kecuali Safwan. Hakim Norsharidah Awang menetapkan 2 Julai 2013 sebagai tarikh perbicaraan.

Keempat-empat tertuduh didakwa memberi ucapan dalam ceramah yang diadakan pada 13 Mei lalu dengan menyebut kata-kata menghasut dan mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan rakyat mengubah kerajaan dengan cara yang tidak sah.

Difahamkan, seorang lagi aktivis, Hishamuddin Rais yang turut dikehendaki polis di bawah akta sama turut menyerah diri di Mahkamah Sesyen, di sini.

Hishamuddin yang mengaku tidak bersalah turut dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 2 Julai.

Safwan tidak mahu dijamin kerana protes

Posted: 28 May 2013 11:51 PM PDT

JAMILAH HAMZAH

Safwan Anang
Safwan Anang
 
KUALA LUMPUR - Aktivis mahasiswa, Safwan Anang@Talib yang ditahan atas dakwaan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan tidak mahu diikat jamin sebagai tanda protes, kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard memberitahu, Safwan akan menyerahkan diri untuk ditahan di balai polis Sungai Buloh.

"Dia (Safwan) membuat keputusan yang amat mengejutkan.

"Saya juga rasa beliau telah memikirkan semua sebelum membuat keputusan tersebut," katanya pada pemberita di lobi mahkamah Jalan Duta, hari ini.

Difahamkan peguam yang mewakili Safwan, Ariff Azami Hussein telah cuba memujuknya namun beliau berkeras untuk tidak diikat jamin.

Dalam pada itu, isteri Safwan, Mastura Abu Bakar yang turut berada di situ turut terkejut namun tetap menyokong tindakan suaminya.

"Sebenarnya tuduhan ini, tuduhan yang jahat bermotifkan politik," ujarnya.

Dr Agus : Himpunan 505 Kerajaan Tidak Perlu Ugut Rakyat

Posted: 28 May 2013 11:42 PM PDT


DSC_0371

SHAH ALAM: Pensyarah Politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menggesa kerajaan menyelesaikan permasalahan Perhimpunan 505 secara baik tanpa perlu ada sebarang bentuk ugutan mahupun kekerasan.

Ini kerana majoriti rakyat menyedari tanggungjawab dan hak mereka untuk berhimpun selaras dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Ulas beliau di laman Facebooknya, perkara berkenaan menyatakan perhimpunan aman adalah hak rakyat: Semua warganegara berhak berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

"Bagi kerajaan juga, saya harap sangat isu perhimpunan 505 ini dikendalikan secara baik. Moga tidak ada penggunaan kekerasan, tangkapan yang tidak perlu dan ugutan kepada rakyat.

"Rakyat sedar tentang tanggungjawab dan hak mereka. Berikan mereka peluang untuk mengekspresikan diri dalam ruang yang dibenarkan oleh sistem demokrasi dan undang-undang negara kita," katanya.

Media melaporkan enam lagi pemimpin Pakatan Rakyat didakwa kerana menganjurkan perhimpunan tanpa memaklumkan perkara berkenaan kepada Ketua Polis Daerah masing-masing seperti yang dinyatakan dalam Akta Himpunan Aman 2012.

Bagi menyelesaikan perkara ini beliau menyarankan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan dialog untuk menyelesaikan kemelut ini.
Tulisnya lagi, berkenaan sistem pilihan raya di negara ini diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) mengikut perlembagaan.

Maka jika didakwa berlaku ketidakpuasan hati dalam pilihan raya, SPR perlu bertanggungjawab untuk menjawabnya.

Tegasnya lagi demokrasi di negara ini tidak boleh subur sendirian sebaliknya memerlukan pembangkang dan kerajaan sama-sama memahami dan meraikannya.

Dikala pemberontakkan MCA, Soi Lek sokong perjanjian Matang-Scope

Posted: 28 May 2013 11:38 PM PDT

TERKINI
OLEH CLARA CHOOI
PENOLONG PENGARANG BERITA

KUALA LUMPUR — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menafikan hari ini parti itu sedang melakukan pelupusan aset, menyokong pengambilalihan berbalik (RTO) oleh Matang Holdings Bhd, sebuah langkah yang boleh menyebabkan persengketaan dalam dengan timbalannya Datuk Seri Liow Tiong Lai. 
 
Beberapa jam selepas Liow dan beberapa pemimpin kanan parti menyelar perjanjian itu dalam sidang akhbar, Dr Chua mengeluarkan kenyataan menegaskan rancangan pengambilalihan syarikat elektronik disenaraikan, Scope Industries Bhd bermaksud untuk "menambah nilai" kepada saham Matang Holding.

"Ia tidak melibatkan penjualan aset Matang Holdings dan adalah salah untuk mengatakan transaksi ini sebagai pelupusan aset oleh MCA," katanya (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

"Perjanjian ini juga membolehkan Matang Holdings menjadi syarikat tersenarai dan pemegang saham terbesar dalam syarikat itu," tambah beliau.

Pemegang terbesar saham Matang, syarikat milik MCA Huaren Holdings dengan saham kawalan 10.75 peratus, sementara dikalangan 19,984 pemegang saham minoriti dikatakan ahli MCA Johor dan sekutunya yang membeli saham pada 1981 dan telah membantu mengumpulkan RM50 juta.

Semalam, tiga anggota Parlimen DAP telah mempersoalkan perjanjian Matang-Scope RTO, mempersoalkan sama ada ini adalah aktiviti "pelucutan aset" oleh MCA.

"MCA mesti menjawab sama ada ia telah memulakan satu usaha pelucutan aset dengan bertukar-tukar simpanan hasil titik peluh ahli-ahli biasa MCA dan rakan-rakan mereka untuk mendapatkan kedudukan kewangan elit politik dan kroni mereka," kata Liew Chin Tong, Tan Hong Pin dan Liow Cai Tung dari DAP dalam satu kenyataan bersama semalam.

Mereka membangkitkan sebahagian besar daripada 19,984 pemegang saham Matang adalah ahli MCA Johor dan rakan mereka, yang membeli saham pada tahun 1981yang dikatakan membantu MCA negeri mengumpulkan RM50 juta melalui "pinjaman tanpa faedah."

"Kebanyakkan pemegang saham, telah memegang saham Matang selama 30 tahun, sekarang berhadapan dengan perjanjian yang akan merugikan mereka.

"Lebih buruk lagi, ini pemegang saham kecil menghadapi kesukaran untuk menghentikan perjanjian RTO kerana mereka mungkin akan kalah dengan pemegang saham terbesar Matang, Huaren Holdings, yang juga cabang pelaburan MCA," kata mereka.

Mereka mendakwa bahawa dalam perjanjian RTO, aset Matang Holding, yang termasuk 1,105 ha ladang kelapa sawit, telah sengaja dikurangkan nilai.

Mendapatkan ia pada kadar yang terkurang nilai akan menghasilkan durian runtuh bagi Scope, kata trio itu.
Ahli-ahli Parlimen itu juga mendakwa perjanjian itu akan termasuk menawarkan keseluruhan RM25 juta pegangan tunai Matang Holding dalam pertukaran untuk saham Scope, yang mereka mendakwa sebagai nilai lebih rendah.

Pada sidang akhbar 2.00 petang hari ini, Liow dan pemimpin-pemimpin kanan lain, termasuk Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong, menyuarakan bantahan mereka terhadap perjanjian yang akan berlaku dan mencadangkan Matang Holdings membatalkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Jumaat ini.

Pemegang saham dijangka mengundi cadangan RTO semasa EGM Jumaat dengan Huaren Holdings mempunyai mengawal kepentingan.

"Gagal melakukan ini MCA akan mengecewakan ahlinya, terutamanya yang setia bersama saham Matang Holding lebih daripada 30 tahun. Ini boleh menjejaskan parti yang telah dihukum dalam pilihan raya umum baru-baru ini," kata Liow, dengan pandangan disokong oleh Ahli Jawatankuasa Pusat MCA.

Akan tetapi Dr Chua mengatakan, sebagai presiden MCA, beliau juga tidak mempunyai hak untuk membatalkan mesyuarat itu.

Beliau berkata walaupun Huaran Holdings milik MCA mempunyai kepentingan kawalan dalam Matang Holdings, masih terdapat 90 peratus daripada pemegang saham lain yang boleh memilih untuk menyokong urus niaga yang dicadangkan.

Mengkhususkan ketua MCA bahagian Parit Sulong Datuk Tan Teck Poh yang telah bercakap mengenai perkara itu, Dr Chua berkata Tan seharusnya membentangkan cadangannya itu dalam bentuk hitam putih semasa EGM bukannya mengeluarkan kenyataan.

"Saya kecewa dengan Tan yang jelas tidak biasa dengan kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan EGM syarikat dan dia harus berhenti mempolitikkan perjanjian RTO antara Matang Holding dan Scope Industries."

Di bawah perjanjian pengambilalihan berbalik, sebuah syarikat swasta melangkau tawaran awam permulaan (IPO) proses untuk menjadi sebuah syarikat disenaraikan dengan mengambil alih syarikat-syarikat yang sudah tersenarai dalam pasaran saham.

Ini adalah berbeza dengan pengambilalihan biasa, dimana syarikat tersenarai awam lebih besar mengambil alih kawalan ke atas syarikat-syarikat swasta yang lebih kecil dengan membeli saham mereka.

Mereka yang memadamkan Umno adalah ‘pengkhianat’, kata Perkasa

Posted: 28 May 2013 11:08 PM PDT

 Abd Rahman Bakar: Umno mesti memimpin. — Gambar oleh Saw Siow FengOleh Boo Su-Lyn KUALA LUMPUR— Perkasa telah menggelar mereka yang cuba untuk memadamkan Umno sebagai "pengkhianat", walaupun Barisan Nasional (BN) memikirkan untuk mengubah menjadi sebuah parti politik berbilang kaum tunggal selepas suramnya prestasi dalam Pilihan Raya 2013.
Pemangku Presiden Perkasa Datuk Abd Rahman Bakar juga mengatakan Perkasa akan "lawan sehingga ke akhirnya" terhadap penjenamaan semula parti pemerintah, yang terdiri daripada berasaskan kaum Umno, MCA, MIC dan parti-parti komponen lain, sebagai sebuah parti tunggal di negara ini majoriti Melayu.

"Siapa yang memadamkan Umno atau mengubah dari tujuan asal penubuhan Umno — mereka adalah pengkhianat Umno," kata Abd Rahman dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.

"Umno mesti memimpin. Mereka mesti kekal seperti sedia ada," tambah Abd Rahman.

Akan tetapi BN masih lagi akan dipimpin oleh Melayu walaupun dijadikan sebagai satu parti kerana sokongan majoriti Melayu, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada The Malaysian Insider.

BN hanya menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya 2013, kurang daripada 140 yang mereka menang dalam Pilihan Raya 2008, oleh kerana pengundi bandar dan kelas menengah menolak gabungan itu, membenarkan Pakatan Rakyat (PR) untuk memenangi undi popular dan mempertahankan Selangor dan Pulau Pinang — dua negeri paling maju di Malaysia.

Kali terakhir BN kehilangan undi popular adalah pada tahun 1969 apabila mereka bertanding sebagai Perikatan yang terdiri daripada parti berasaskan kaum Umno, MCA dan MIC yang mewakili komuniti Melayu, Cina dan India.

Parti tunjang BN Umno mendapat 88 daripada 133 kerusi Parlimen gabungan pemerintah itu, meningkat berbanding 79 kerusi dari 140 dimenangi BN pada Pilihan Raya 2008.

MCA walau bagaimanapun, mendapat prestasi terburuk apabila hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Abd Rahman mengatakan Perkasa akan berubah menjadi parti politik untuk memperjuangkan komuniti Melayu sekiranya Umno sudah tiada.

"Melayu sudah tidak mempunyai parti. Jadi Perkasa akan mengambil alih," katanya.

Kumpulan lobi Melayu itu dinaungi oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mempunyai 407,000 ahli di seluruh Malaysia.

Perdana menteri dan pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak telah mengatakan pada Ahad gabungan pemerintah itu perlu adaptasi perubahan dalam lanskap politik untuk kekal relevan, menegaskan strategi sebelum ini tidak semestinya "resipi yang sesuai untuk masa depan".

Pemangku presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn mengatakan Rabu lepas BN perlu mempertimbangkan untuk menggugurkan syarat kaum untuk menyertai gabungan berkenaan, sebaliknya menerima keahlian terus tanpa berdasarkan warna kulit.

Abd Rahman juga mengatakan kempen Perkasa untuk BN dalam pilihan raya umum ke 13 telah meningkatkan sokongan Melayu untuk gabungan pemerintah itu, membangkitkan tentang peningkatan kerusi Umno.

"Ini telah diakui oleh Tun Dr Mahathir yang mengatakan Perkasa telah melaksanakan tugas dengan baik untuk memastikan Melayu kembali menyokong Barisan Nasional," katanya.

Beliau menambah program Perkasa diseluruh negara semasa Pilihan Raya 2013 kebiasaannya menarik hadirin diantara 1,000 dan 3,000 orang.

"Ini menunjukkan Melayu menyokong kita," kata Abd Rahman.

Beliau mengatakan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, yang kini bercuti daripada bertugas, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke 13 kerana tidak dapat bertanding menggunakan tiket BN.

"Beliau perlu bertanding sebagai calon bebas," kata Abd Rahman.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengatakan 'jangan undi calon bebas'. Bagi orang Umno di Pasir Mas, mereka jadi keliru jika tidak menyokong calon bebas," tambah beliau merujuk kepada timbalan perdana menteri dan timbalan pengerusi BN.

Ibrahim kalah dalam perlawanan satu lawan satu di Pasir Mas melawan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz lebih 8,000 undi. Calon BN tidak menyerahkan borang pencalonannya, langkah dilihat sebagai sokongan secara tidak langsung BN kepada Perkasa yang kontroversi.

Abd Rahman juga mengatakan Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin gagal untuk merampas Shah Alam daripada penyandang Khalid Samad dari PAS kerana Zulkifli tidak mempunyai cukup masa untuk bekerja di kawasan pilihan raya itu kerana pencalonannya diumumkan beberapa hari sebelum Hari Penamaan Calon.

Beliau menegaskan Perkasa masih lagi "relevan", mengatakan kekalahan Ibrahim dan Zulkifli tidak menunjukkan penolakkan terhadap kumpulan pelobi Melayu itu.

Beliau juga mengatakan negeri BN seharusnya menjadikan sekolah pondok Islam sebagai sekolah agama seperti di Johor.

"Pelajar Melayu harus diberikan sekolah agama," kata Abd Rahman dan menambah pengajian agama boleh diadakan pada sebelah petang.

Malaysia dikaitkan dengan skim pengubahan wang haram terbesar dunia, lapor NYT

Posted: 28 May 2013 11:03 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER
 
KUALA LUMPUR– Pengurup matawang tidak berlesen di Malaysia telah membantu pengendali pertukaran mata wang global yang menjalankan operasi pengubahan wang haram atas talian berjumlah US$6 billion (RM18.33 billion), hab bagi penjenayah menjual segala-galanya menggunakan identiti dicuri untuk pornografi kanak-kanak, lapor The New York Times (NYT).

Pengurup mata wang yang digelar Liberty Reserve dipercayai pengubah wang haram siber terbesar di dunia dan berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ia juga dikendalikan dengan baik di luar sempadan negara serta peraturan-peraturan perbankan antarabangsa tradisional, menyediakan perlindungan mudah dan menyembunyikan nama, semakin dicari oleh penjenayah untuk membiayai aktiviti mereka, kata akhbar berpengaruh itu, memetik pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang Amerika.

Liberty Reserve bertanggungjawab bagi pengubahan berbilion-bilion dolar sejak tujuh tahun lalu, menjalankan 55 juta urus niaga melibatkan berjuta-juta pelanggan di seluruh dunia, termasuk kira-kira 200,000 di Amerika Syarikat, menurut pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat yang dilaporkan telah mengemukakan tuduhan terhadap pengurup mata wang di Manhattan semalam.

Menurut NYT memetik kertas pertuduhan, sistem Liberty Reserve dicipta untuk membenarkan orang memindahkan jumlah wang besar dan kecil di seluruh dunia hanya dengan mengadakan sebuah alamat e-mel, yang tidak memerlukan identiti pengguna malah tidak perlu disahkan.

Liberty Reserve juga tidak melakukan atau menerima pembayaran tunai secara langsung tetapi menggunakan pengurup "pihak ketiga" yang "cenderung tidak berlesen menghantar wang perniagaan tanpa pengawasan kerajaan atau peraturan, tertumpu di Malaysia, Russia, Nigeria dan Vietnam".

Memetik lagi dari kertas pendakwaan, NYT melaporkan pengurup "pihak ketiga" akan menerima dan membuat pembayaran, kemudian kredit atau debitkan ke akaun Liberty Reserve, membenarkan Liberty Reserve mengelakkan mengumpul apa-apa maklumat perbankan pelanggan dan tidak meninggalkan "jejak kertas kewangan berpusat".

Mereka yang menerima mata wang Liberty Reserve ini "kebiasaannya penjenayah", menurut kertas dakwaan seperti yang dilaporkan oleh NYT.

"Mereka termasuk, sebagai contoh: pengedar data kad kredit dicuri dan maklumat identiti peribadi; peniaga pelbagai jenis atas talian Ponzi dan skim cepat kaya; penggodam komputer untuk disewa; perusahaan perjudian haram dan laman sesawang bawah tanah urusan dadah," akhbar tersebut memetik kertas pendakwaan.

"Seperti dikatakan, satu-satunya kebebasan yang Liberty Reserve berikan kepada ramai penggunanya adalah kebebasan untuk melakukan jenayah — identiti tidak diketahui, dan ia menjadi hab popular untuk penipu, penggodam dan pengedar," kata Preet Bharara, peguam Amerika Syarikat di Manhattan, dipetik berkata dalam sidang akhbar di Manhattan semalam.

Tian Chua, Haris, Tamrin dan Safwan didakwa di bawah Akta Hasutan

Posted: 28 May 2013 11:01 PM PDT

TERKINI
Oleh Md Izwan

 Naib presiden PAS Salahuddin Ayub (kiri), cakap dengan media di luar mahkamah. Sebelah kiri beliau ialah peguam Gobind Singh Deo dan ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar. — Gambar oleh Saw Siow FengKUALA LUMPUR — Empat individu yang ditahan semalam oleh pihak polis telah didakwa hari ini dibawah Akta Hasutan 1948, beberapa hari selepas aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim didakwa dibawah akta sama.

Tiga diantaranya — Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, aktivis Haris Ibrahim dan ahli PAS Tamrin Ghafar — ditahan semula oleh polis semalam beberapa hari selepas majistret enggan memberikan perintah reman untuk ketiga-tiga mereka, manakala seorang aktivis mahasiswa Safwan Anang turut ditahan petang semalam.

Individu tersebut yang didakwa dibawah Seksyen 4 (1) (b) mengaku tidak bersalah dan meminta kes dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di Majistret 1, Mahkamah Jalan Duta, di sini hari ini.

Kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000. Hakim Norsharidah Awang menetapkan 2 Julai 2012 sebagai tarikh perbicaraan.

Keempat-empat mereka didakwa kerana penglibatan memberikan ucapan berbentuk hasutan dalam sebuah forum pada 13 Mei lalu mengenai keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Dalam lampiran A yang dikemukakan oleh pihak pendakwaraya sebagai cubaan menghasut orang ramai ke jalan raya untuk menumbangkan kerajaan, pemimpin PKR Chua berkata, "Kalau rakyat sudah bersedia untuk bangkit, untuk turun ke jalan raya, setiap pemimpin baik kita Pakatan Rakyat atau sesiapapun, kita harus ikut".

Seorang lagi pemimpin Pakatan Rakyat (PR), Tamrin didakwa kerana mengeluarkan kata, "Kerajaan yang ada hari ini rampas kuasa rakyat, yang control mahkamah dia, control Suruhanjaya Pilihan Raya dia, dia control polis dan berbagai-bagai lagi. Bagaimana kita mahu menang di mahkamah? Saya juga bersetuju supaya kita turun ke jalan raya untuk menuntut hak kita."

Aktivis politik Hishamuddin Rais, juga hadir di mahkamah. Dibawah Seksyen 4 (1) (b), jika disabitkan bersalah, keempat-empat mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 dan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, serta terdapat kemungkinan Chua juga bakal kehilangan kerusi Parlimennya di Batu.

Peguam memberitahu, Safwan menolak untuk dijamin dan akan dihantar ke penjara Sungai Buloh sehingga hari perbicaraan.

Sementara itu, awal pagi ini dilaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh berkata lima waran telah dikeluarkan terhadap keempat-empat individu tersebut yang ditahan semalam dan seorang lagi aktivis politik Hishamuddin Rais.

Hishamuddin yang gagal ditahan oleh pihak polis hadir di mahkamah pagi ini untuk menyerah diri selepas mengetahui tentang waran tersebut.

Hishamuddin juga dibebaskan dengan jumlah wang ikat jamin sama dan permohonan untuk mengurangkannya ditolak oleh hakim Norsharidah.

 Di luar mahkamah pagi 29 Mei 2013 (dari kiri) Haris Ibrahim, Tian Chua dan Tamrin Ghafar.Pada 24 Mei lalu, Tamrin, Haris dan Chua dibebaskan selepas ditahan semalaman oleh polis.
PR sebelum ini mengatakan penahanan merupakan tindakan keras secara nasional terhadap pemimpin pembangkang persekutuan.

Minggu lalu aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim ditahan kerana menghasut - terlibat dalam forum sama, dituduh menghasut rakyat Malaysia ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Pelajar berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan kes akan mula didengar pada 2 Julai.

NGO desak 'bebaskan' media dari pengaruh politik

Posted: 28 May 2013 05:06 PM PDT

NIZAM ZAIN

Kua Kia Soong
Kua Kia Soong
 
SHAH ALAM – Badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menuntut supaya media arus perdana di negara ini dibebaskan daripada pengaruh parti politik atau kerajaan, khususnya RTM.

Pengarah Suara Anak Malaysia (Suaram), Kua Kia Soong mendakwa kerajaan BN selama ini telah memonopoli RTM sekaligus menafikan hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara.

"Saya sendiri boikot banyak akhbar arus perdana kerana mereka tidak bebas.

"Jika pada tahun 80-an 90-an, saya boleh ditemui di media arus perdana, dan kini sebaliknya.

"Media arus perdana hari ini walaupun diboikot, namun mereka masih membuat keuntungan daripada surat khabar," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, RTM sepatutnya menjadi media kepada rakyat yang membayar cukai.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Tenaganita (Women's Force) Dr Irene Fernandez mendakwa, rakyat begitu kecewa dengan media arus perdana susulan pemberitaan yang tidak telus.

Katanya tindakan boikot ini bukan sahaja dilakukan NGO malah dilakukan secara individu susulan pelbagai maklumat yang diperolehi di media sosial.

"Laporan (setengah)  media arus perdana sangat mengelirukan dan ada kalanya dimanipulasikan keseluruhannya, tidak kurang pula laporan yang tidak jujur," ujar beliau.

 Sementara itu, menurut Presiden Persatuan Tindakan Wanita (Awam), Ho Yock Lin, tindakan boikot ini sebenarnya mencerminkan kekecewaan rakyat terhadap media yang diperalatkan oleh pihak tertentu untuk mencapai cita-cita politik.

"Mungkin kebanyakan rakyat tidak lagi mendapatkan maklumat dari media arus perdana, kerana media alternatif lebih berguna dan telus dalam setiap laporan mereka," ujar beliau.

Tiada ulasan: