DIALOG RAKYAT |
- Kenyataan penuh Azmin isu sebaran fitnah Umno
- Pakatan sahkan Khalid MB Selangor
- Sedia terima khidmat Husam
- Replika keranda depan pejabat SPR simbol kematian demokrasi
- Himpunan ‘Black505′ diteruskan di P Pinang, Perak, Pahang & Johor
- BN tekan polis siasat pemimpin Pakatan guna Akta Hasutan
- EGM boleh diadakan untuk bincang berhubung pendirian MCA dalam kerajaan
- Srikandi KEADILAN gesa pihak berkuasa heret pembunuh adik Nur Amyliana
- Anwar di Himpunan ‘Black505′ Pulau Pinang esok, 11 Mei
- Klon nombor telefon bimbit, Salahuddin mahu Celcom jawab
- Soi Lek didesak lepas jawatan Presiden MCA
- Jais siasat 14 lagi bekas pengikut Arqam
- SPR: Daftar pemilih PRU13 antara yang terbersih
- Pakatan Rakyat Perak buat petisyen 6 kawasan
- Selepas pencuri lembu, kini pencuri PRU13 pula diburu
- Kedua-dua kaki Azizan selamat dibedah
- Khairy tawar diri sertai kabinet
- Cina tolak BN, mahu pemimpin lebih baik
- Saya kalah dengan kad pengenalan palsu - Mohamad Sabu
- Nik Nazmi dipanggil polis berkait himpunan 8 Mei
- Sebar mesej perkauman: Mohamad Sabu pula jadi mangsa
- Tetap Usaha Pastikan Rakyat Selangor Perolehi Saham Air
- Kit Siang 'tak terlintas fikir ' saranan bersama BN
- Pian Hon: 'Kaum Cina terpedaya'
- Selangor mampu jadi kubu Pakatan
Kenyataan penuh Azmin isu sebaran fitnah Umno Posted: 10 May 2013 06:41 AM PDT KEADILAN DAILYDalam masa 48 jam yang lalu, pelbagai khabar angin beredar di kalangan media, internet dan media sosial berkenaan kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden KEADILAN dan kesetiaan saya kepada Pakatan Rakyat di peringkat Negeri dan Persekutuan. Khabar–khabar angin ini menggambarkan saya akan meletakkan jawatan dalam parti dan sebagai wakil rakyat yang dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen.Saya percaya khabar–khabar angin ini dimulakan oleh Umno BN. Dari khabar–khabar angin ini, mereka ingin menuduh saya sebagai individu yang tidak bertanggungjawab, yang akan meninggalkan parti untuk kepentingan material dan kedudukan politik, seterusnya mengkhianati amanah yang diberikan kepada saya oleh rakyat. Khabar–khabar angin ini adalah berkaitan dengan isu perlantikan Menteri Besar Selangor. Mereka telah bekerja bersungguh–sungguh untuk membina pesepsi bahawa saya terlalu kemaruk untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan saya akan menyertai Umno sekiranya saya tidak mendapat jawatan tersebut. Fitnah ini adalah satu penghinaan terhadap integriti saya. Cita–cita kepada jawatan politik bukanlah satu jenayah. Bahkan ianya satu motivasi kepada setiap orang yang terjun ke dalam kancah politik. Dengan syarat cita–cita tersebut mestilah berlandaskan niat untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik dan lebih berkesan. Hasrat untuk memegang jawatan termasuk jawatan Menteri Besar semestinya tidak didorong oleh motif peribadi untuk bermegah–megah dan memperolehi kekuasaan. Motif tersebut akan merosakkan jiwa, merendahkan martabat diri dan mengaburkan pandangan untuk melihat yang benar dari yang salah, yang baik dari yang jahat dan tidak dapat membezakan kepentingan peribadi dan kepentingan rakyat. Rakyat Selangor telah memberikan mandat baru yang sangat meyakinkan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU–13. Pakatan Rakyat Selangor telah berjaya melonjakkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri kepada 44 kerusi daripada 56 kerusi keseluruhannya berbanding dengan hanya 36 kerusi Dewan Negeri pada tahun 2008. Usaha bertubi–tubi Dato' Seri Najib untuk merampas Selangor bukan sahaja gagal tetapi hakikatnya Pakatan Rakyat Selangor semakin kuat. Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama Pakatan Rakyat yang mantap serta usaha dan penat jerih kolektif pimpinan dan anggota di Cabang dan jentera Pakatan Rakyat di semua peringkat. Justeru kerana rakyat Selangor telah memberikan mandat sebegitu besar kepada Pakatan Rakyat maka sewajarnya mereka mendapat seorang Menteri Besar yang berwibawa untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor. Seorang Menteri Besar yang membuka pintu pejabat kepada Ahli–Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen Negeri Selangor kerana mereka dipilih oleh rakyat dan bertanggungjawab kepada kepentingan pengundi-pengundi mereka. Seorang Menteri Besar yang tidak mempunyai prasangka buruk terhadap masyarakat perniagaan kerana mereka adalah penjana pertumbuhan ekonomi, pencipta kekayaan dan pekerjaan. Dalam penggal kedua, Pakatan Rakyat perlu melakukan reformasi pentadbiran. Kita bersyukur dengan rizab bernilai RM 2.6 bilion. Namun, rakyat menuntut pentadbiran bersikap responsif terhadap permasalahan rakyat. Isu jalan berlubang, sampah yang tidak dipungut, masalah bekalan air, bencana alam seperti banjir harus diselesaikan dengan kadar segera sebaik mandat baru diterima. Kegagalan untuk respon kepada usaha menangani masalah rakyat telahpun dibawa kepada perbincangan dalam kepimpinan parti. Maka, mandat baru rakyat menuntut satu kepimpinan kuat dan segera menyelesaikan masalah rakyat sebagai tanda penghargaan Pakatan Rakyat kepada rakyat yang mendukung dasar – dasar Pakatan Rakyat yang berasaskan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pengagihan yang adil. Saya ingin menafikan tohmahan yang dilontarkan oleh pihak–pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya saya kemaruk dengan jawatan Menteri Besar. Sekiranya saya kemaruk dengan jawatan tersebut saya telah menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun 2008 menyusul Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, yang mana Dato' Seri Anwar sendiri telah meminta saya bersedia untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana parti sangat tidak berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar Negeri Selangor. Aduan diterima dari penjawat awam dan masyarakat perniagaan yang merungut dengan amalan birokrasi yang melampau dan bukan pentadbiran yang bersifat reformasi. Tetapi saya dengan tegas menolak arahan tersebut kerana ia akan mengoncang kestabilan parti. Saya sendiri mencadangkan kepada Biro Politik untuk melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi bagi membantu melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Semalam saya telah memanggil mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Negeri Selangor untuk mendengar pandangan pimpinan dan akar umbi. Saya telah digesa oleh rakan – rakan pimpinan untuk berkongsi maklumat bagi menjamin parti terus berada di atas idealisme perjuangan. Saya tegaskan sekali lagi bahawa isunya bukanlah Azmin Ali dipilih sebagai Menteri Besar Negeri Selangor. Isunya adalah proses pemilihan calon tersebut untuk dipersembahkan kepada DYMM Sultan Selangor mestilah melalui consultation yang telus seperti yang dituntut oleh al-Quran Surah Assura ayat 38: Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. Jelas dalam proses memilih calon Menteri Besar anjuran al–Quran ini tidak dipatuhi. Saya tidak mahu amalan nepotisme membudaya dalam KEADILAN. KEADILAN adalah sebuah parti reformasi. Saya seorang yang setia dengan prinsip–prinsip perjuangan parti. KEADILAN bukan milik individu atau keluarga tertentu. Parti ini adalah milik rakyat. Apabila parti ini menyimpang dari prinsip maka ia akan ditinggalkan oleh rakyat. Oleh kerana itu, setiap kesilapan yang berlaku itu harus ditegur demi kepentingan parti secara keseluruhannya. Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah menjadi pemimpin Umno dan saya hanya berkhidmat kepada seorang tokoh Umno yang saya yakin berwibawa, memiliki gagasan, berintegriti dan layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bahkan apabila ada desas desus supaya KEADILAN berunding dengan Umno atas nama perpaduan Melayu, saya menolaknya dengan menegaskan bahawa KEADILAN bukanlah sebuah parti Melayu. KEADILAN adalah sebuah parti pelbagai kaum yang berteraskan nilai–nilai Islam dan nilai–nilai universal. Saya mengucapkan terima kasih kepada anggota–anggota parti dan pimpinan yang memberikan semangat dan dorongan kepada saya untuk meneruskan perjuangan. Saya juga komited dengan prinsip musyawarah dalam parti di mana bila keputusan telah dibuat maka ianya mestilah dipatuhi oleh semua pihak tanpa kecuali. Tidak ada pimpinan yang maksum dan sacrosant yang bebas daripada penilaian ahli parti dan rakyat. Saya ingin mengulangi kata–kata Dato' Seri Anwar Ibrahim iaitu kepimpinan itu adalah satu taklif dan bukan tashrif, adalah satu tanggungjawab dan bukan satu keistimewaan. Negeri Selangor adalah sebuah Negeri yang kaya dengan sumber dan mempunyai kekuatan kewangan untuk mengundang bakat–bakat politik, ekonomi, intelektual dan budayawan untuk merumuskan dasar–dasar Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat mempunyai ramai tokoh–tokoh yang berkelayakan yang gigih berjuang. Mereka ini adalah aset Pakatan Rakyat yang boleh digembeling demi kemaslahatan rakyat dan memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU–14 nanti. Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua jentera parti dan Pakatan Rakyat yang memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor pada PRU–13. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh penjawat awam Negeri Selangor yang telah bertindak secara professional untuk melaksanakan dasar – dasar Pakatan Rakyat sepanjang 5 tahun yang lepas. Marilah kita sama–sama berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar kita sentiasa istiqamah dengan idealisme dan perjuangan Pakatan Rakyat. Akhir sekali, kepada saudagar khabar angin ini, saya ingin menegaskan bahawa saya akan meneruskan perjuangan dengan lebih gigih lagi. Saya tidak berhasrat untuk meletakkan jawatan dari jawatan parti dan wakil rakyat apatah lagi meninggalkan perjuangan rakyat ini. Mohamed Azmin Ali Timbalan Presiden | ||||
Pakatan sahkan Khalid MB Selangor Posted: 10 May 2013 06:34 AM PDT KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akhirnya mencapai konsensus bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) akan dilantik menjadi Menteri Besar Selangor buat penggal kedua ekoran pencapaian cemerlang Selangor sepanjang tempoh penggal lalu. Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution, PKR telah menamakan dua orang sebagai calonnya untuk jawatan itu. Berdasarkan nama itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah bersetuju melantik Khalid untuk meneruskan perkhidmatannya, maka Khalid dipilih. Tengahari tadi, Pengerusi PKR Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kesal dengan cara perlantikan ini kerana ia tidak melalui prosedur mesyuarat. Namun beliau menafikan akan meletakkkan jawatannya dalam parti atau ADUN dan anggota Parlimen sebagaimana disebarkan sebelum ini. Beliau menyifatkan ianya sebagai kerja-kerja Umno. Sebelum ini, Tuan Guru Abdul Hadi dan Lim Guan Eng telah menghantar surat kepada Tuanku Sultan Selangor untuk bersetuju perlantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. Berikut adalah kenyataan penuh Datuk Saifudin. Parti KEADILAN Rakyat memanjatkan rasa syukur kami ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan Pakatan Rakyat mempertahankan negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua. Bagi pihak KEADILAN, saya juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada pimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor, juga kepada jentera ketiga-tiga Parti KEADILAN, PAS dan DAP yang telah bertungkus lumus dan penuh komited dalam amanah yang dipikul untuk memastikan kepercayaan rakyat Selangor terus diberi kepada Pakatan Rakyat. Kejayaan ini juga disambut dengan penuh rasa tawaddhu' dan rendah diri, terutama dalam proses untuk menamakan seorang Menteri Besar bagi memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pentadbiran negeri. KEADILAN sesungguhnya amat berbesar hati dan menghormati sokongan oleh PAS dan DAP yang telah bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Selangor dinamakan dari Parti KEADILAN Rakyat. Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, KEADILAN telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN yang berjaya memenangi kerusi mereka dalam pilihanraya umum Negeri Selangor baru-baru ini kepada pimpinan PAS dan DAP untuk dibincang secara bersama dengan KEADILAN bagi memilih salah seorang daripada mereka untuk dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor. PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini. KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat. Sekian, terima kasih. SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL SETIAUSAHA AGUNG PARTI KEADILAN RAKYAT | ||||
Posted: 10 May 2013 06:30 AM PDT KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bersedia mempertimbangkan bagi memberi peluang kepada Pesuruhjaya Pas II Negeri, Datuk Husam Musa meneruskan khidmat dalam saf kepimpinan. Tanpa menyebut mana-mana posisinya, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat parti kerana kepimpinan tidak pernah menolak khidmat bekas exco kanan kerajaan negeri itu. "Husam yang juga Naib Presiden Pas itu sebenarnya mempunyai idea yang bagus. Ini boleh mengukuhkan kerajaan dalam bentuk yang berbeza. "Kita tidak menolak Datuk Husam. Kita terpaksa terimalah keputusan Husam tidak mendapat perkenan daripada Istana Kelantan untuk dilantik sebagai exco kerajaan negeri," katanya kepada media semalam selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan Pas di JKR 10. Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri berkata demikian mengulas situasi yang menimbulkan perbagai persepsi selepas Husam tidak dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri. Menjawab mengenai dakwaan Husam bahawa tiada mesyuarat yang diadakan untuk membincangkan berkaitan pertukaran menteri besar dan pembentukan kerajaan baru, Mohd Amar berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat pada pagi 6 Mei lalu di rumah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat namun, beliau tidak hadir. Mengulas cadangan yang ditekan oleh Husam pula termasuk pemberian kawasan perlombongan seelok-eloknya dilakukan secara tender terbuka dan perjalanan Ladang Rakyat, Mohd Amar menegaskan perkara tersebut sudah lama dibincangkan malah ia akan diberi perhatian. "Benda yang baik kita sentiasa memberikan perhatian dan apa yang disebut sudah dibincangkan ketika beliau menjadi exco lagi. Mungkin sekarang Husam mahu memberi penekanan supaya dilihat secara lebih mendalam," katanya. Ditanya, sama ada konflik yang dilalui oleh Husam ini dikaitkan dengan wujudkan pergeseran hubungan antara bekas Exco tersebut bersama kepimpinan sedia ada, Mohd Amar menjelaskan itu adalah tafsiran daripada pihak luar sahaja. Mohd Amar berkata, walaupun Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti tersebut tidak dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri, namun tuntutan berkenaan akan diteruskan kerana ia adalah perjuangan kerajaan dan rakyat Kelantan. Berkaitan penglibatan 12 anggota Barisan Nasional (BN) yang akan turut sama ketika sesi Sidang Dun nanti, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli itu juga mengharapkan wakil parti lawan dapat membawa peranan yang konstruktif membantu kerajaan untuk kebaikan rakyat dan minta bersikap profesional. "Kita juga menyambut baik penglibatan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed kali ini dan mengharapkan kritikan yang membina daripada beliau," katanya. | ||||
Replika keranda depan pejabat SPR simbol kematian demokrasi Posted: 10 May 2013 05:39 AM PDT PUTRAJAYA : Kira-kira 200 aktivis mahasiswa termasuk NGO berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya lepas solat Jumaat bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13. Mereka yang berpakaian hitam itu turut mengusung dua replika keranda, simbol kematian demokrasi yang diarak sehingga ke pintu utama ibu pejabat SPR. Namun, pengawal bertugas menghalang kumpulan tersebut yang tiba kira-kira jam 2.30 petang tadi dan segera menutup pagar utama. Hanya lima orang wakil dari kumpulan tersebut dibenarkan masuk untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Pengerusi SPR di lobi pejabat SPR. Antara kandungan memorandum ialah rakyat menolak keputusan PRU 13, mendesak Pengerusi SPR meletak jawatan dan pilihan raya diadakan semula. Sementara itu, kumpulan berbaju hitam tersebut berhimpun di luar pagar dan membawa sepanduk 'Kami Mahu Pengerusi SPR Letak Jawatan', 'SPR Jelaskan Pengundi Hantu, Peti Undi Hantu & Blackout' selain melaungkan slogan 'SPR Tipu', 'Bangkit Rakyat'. Kira-kira 50 anggota polis beruniform dan preman disertai tujuh anggota Unit Light Strike Force (LSF) yang dilihat mengawal keadaan, namun tidak ada sebarang kejadian tak diingini berlaku. | ||||
Himpunan ‘Black505′ diteruskan di P Pinang, Perak, Pahang & Johor Posted: 10 May 2013 05:35 AM PDT KEADILAN DAILY(Kenyataan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli)Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memahami aspirasi dan hak rakyat untuk berkumpul. Perhimpunan #Black505 yang diadakan di Kelana Jaya dua hari lalu membuktikan bahawa penipuan pilihan raya adalah isu nombor satu negara yang memerlukan penyelesaian segera, seperti yang disuarakan oleh lebih 100,000 rakyat pelbagai kaum yang hadir pada hari itu. KEADILAN yakin bahawa suara rakyat ini perlu dibawa dan diperjuangkan. Tindakan menerima keputusan pilihanraya yang ditentukan oleh penipuan dan pengundi warganegara asing ini mengkhianati hak dan suara rakyat. Oleh itu, gelombang #Black505 ini akan terus dibawa ke seluruh negara. Perhimpunan yang sama akan turut diadakan di negeri-negeri berikut: Sabtu, 11 Mei 2013 – Pulau Pinang @ Stadium MPSP, Bukit Mertajam Ahad, 12 Mei 2013 – Perak @ Medan Istana, Ipoh Selasa, 14 Mei 2013 – Pahang @ Kuantan (tempat diumumkan kelak) Rabu, 15 Mei 2013 – Johor @ Johor Bahru (tempat diumumkan kelak) Saya juga menyeru supaya semua rakyat Malaysia memakai baju atau apa-apa simbol hitam esok (Sabtu, 11 Mei 2013) sebagai tanda bantahan dan penolakan penipuan pilihan raya yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak dengan kerjasama pimpinan atasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). KEADILAN telah menubuhkan dua pasukan utama untuk menangani gerakan menolak keputusan pilihan raya akibat penipuan berleluasa. Satu pasukan Panel Penyiasat Penipuan PRU13 (P4) diketuai oleh saya sendiri yang bertanggungjawab mengumpul semua bukti untuk dibawa ke pengetahuan umum agar mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan. Hasil dari siasatan ini akan digunakan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah, selain dari tindakan khusus terhadap individu yang terlibat di dalam penipuan pilihanraya termasuklah tindakan undang-undang terhadap mereka. Saya akan menghuraikan skop tugasan dan mekanisme dalam satu siding media pada jam 9 pagi, Isnin 13 Mei 2013 di ibu pejabat KEADILAN. Buat masa ini, sebarang bukti dan maklumat mengenai penipuan boleh dihantar kepada siasatpru13@gmail.com Pasukan kedua diketuai oleh Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN yang bertanggungjawab menguruskan gelombang #Black505 di seluruh negara. | ||||
BN tekan polis siasat pemimpin Pakatan guna Akta Hasutan Posted: 10 May 2013 05:33 AM PDT Oleh Sidiqin Omar KUALA LUMPUR : Tekanan politik Umno BN punca polis terpaksa memanggil 28 individu termasuk beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang berceramah pada Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat 8 Mei lalu, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua. "Ada kemungkinan tekanan dari BN. Sedangkan tak wujud pelanggaran undang-undang oleh penganjur himpunan," katanya kepada Keadilan Daily. Ahli Parlimen Batu itu berkata, himpunan di Stadium Kelana Jaya itu dibenarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Ismail sebelum ini menjelaskan, sebarang perhimpunan mesti memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Akta Perhimpunan Aman 2012, termasuk syarat pihak penganjur mesti memastikan ia adalah satu perhimpunan aman. "Memang ada hak untuk berhimpun. Polis tak pernah melarang. Ada kemungkinan tekanan dari Barisan Nasional untuk polis menyiasat," kata Tian. Tegasnya, kesimpulan ucapan pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO pada malam himpunan itu adalah mengenai ketelusan perjalanan pilihan raya dan legitimasi kerajaan diterajui Datuk Seri Najib Razak. "Kita tak iktiraf keputusan pilihan raya. Bermakna kemenangan BN secara tipu. Ini bermaksud Najib bukan Perdana Menteri yang sah," kata Tian. Beliau turut mempertikai langkah polis yang begitu pantas menyiasat pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO, dipercayai di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, namun masih belum ada siasatan berhubung salah laku pilihan raya. "Yang kita pertikaikan ialah sistem pilihan raya. Jadi mengapa perlu ada siasatan di bawah Akta Hasutan?" soal Tian. Justeru tegas Tian, Pakatan Rakyat akan meneruskan pendedahan dan penerangan penipuan pilihan raya ke seluruh negara. "Kita akan memobilisasi jelajah ke seliruh negara untuk mencabar kesahihan pemerintahan Barisan Nasional," kata Tian. | ||||
EGM boleh diadakan untuk bincang berhubung pendirian MCA dalam kerajaan Posted: 10 May 2013 05:28 AM PDT SINAR HARIAN "MCA boleh mengadakan EGM terlebih dahulu untuk membincangkan perkara itu. Tetapi walau apapun, kita tunggu hasil mesyuarat Majlis Presiden esok," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri penyampaian pinjaman pelajaran Kojadi di Wisma MCA di sini hari ini. Para pemimpin MCA telah memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah lebih buruk daripada prestasi mereka pada 2008. Pada pilihan raya umum 5 Mei yang baru berakhir, MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), berbanding 15 kerusi Parlimen dan 32 DUN yang dimenanginya pada 2008. Presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengambil langkah melepaskan semua jawatannya yang dilantik, tetapi mendiamkan diri mengenai jawatannya dalam parti walaupun menerima tekanan supaya meletak jawatan. Berikutan itu, ramai pihak mendesak parti itu membatalkan keputusan itu. Dalam perkara berasingan, Yik berkata pemilihan parti itu boleh diadakan seawal Oktober, mengambil kira bahawa ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat bulan untuk mengadakan dan menyelesaikan pemilihan di peringkat akar umbi. "Bagaimanapun ia mesti diadakan tahun ini, selewat-lewatnya Disember. Jadi, ia tidak kira jika kita mempercepatkannya atau tidak kerana ia hanya berkisar mengenai perbezaan satu atau dua bulan," katanya. Pada 2011, parti itu meminda perlembagaannya bagi menangguhkan pemilihan parti kepada enam bulan selepas selesai pilihan raya umum. - Bernama | ||||
Srikandi KEADILAN gesa pihak berkuasa heret pembunuh adik Nur Amyliana Posted: 10 May 2013 05:24 AM PDT Oleh: Rusnizam Mahat KUALA LUMPUR : Srikandi KEADILAN menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan mengheret penjenayah yang melakukan pembunuhan kejam ke atas adik Nur Amyliana, ke muka pengadilan. Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, beliau kesal kerana kejadian itu mengulangi kes serupa sepertimana tragedi yang menimpa arwah Nurin Jazlin Jazmin enam tahun lalu. "Kami menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga Nur Amyliana, anak kecil yang menjadi mangsa kerakusan manusia yang tidak mempunyai perikemanusiaan. "Kes ini mengulang kejadian sama sebelum ini yang menunjukkan pihak keselamatan perlu meningkatkan keselamatan, terutama di kawasan perumahan dan kediaman awam," katanya ketika dihubungi. Menurutnya, peningkatan jenayah berlaku disebabkan pihak keselamatan terlalu menumpukan kepada politik negara, hingga mengabaikan perkara penting yang mengancam keselamatan rakyat. "Transformasi yang dicanang perlu diperelokkan dengan merombak kembali peranan anggota keselamatan dengan memfokus kepada rakyat, bukan hanya kepada politik negara, kerana akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat di bawah," ujarnya. Dalam pada itu, beliau berpesan kepada anggota masyarakat, terutama golongan ibu bapa meningkatkan keselamatan anak-anak mereka, supaya tidak membuka peluang kepada jenayah. Nur Amyliana atau nama manjanya Cinang ditemui mati dipercayai dirogol sebelum dibunuh di sebuah padang di Jalan Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, kelmarin. Mayat kanak-kanak itu ditemui seorang wanita yang melalui kawasan padang berkenaan, kira-kira jam 10.30 malam. Mangsa ditemui terbaring berhampiran tempat parkir bas kilang di kawasan itu. Mangsa dikatakan keluar rumahnya di Lorong Batu Nilam 1E, kira-kira jam 12.30 tengah hari. Kes pembunuhan ke atas Nur Amylina bukan pertama kali berlaku. Sebelum ini, negara digemparkan dengan tragedi menimpa kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurin Jazlin Jazmin yang dibunuh dengan kejam pada 2007. | ||||
Anwar di Himpunan ‘Black505′ Pulau Pinang esok, 11 Mei Posted: 10 May 2013 05:22 AM PDT KEADILAN DAILY KUALA LUMPUR : Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat: Bantah Penipuan PRU 13 (Black505) yang akan diadakan di Pulau Pinang esok akan dihadiri Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau dijadualkan akan menyampaikan ceramah sempena himpunan yang diadakan di Stadium Batu Kawan jam 8.30 malam. Antara barisan pemimpin yang akan turut serta terdiri daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Orang ramai dijemput hadir, tema pakaian adalah warna hitam. | ||||
Klon nombor telefon bimbit, Salahuddin mahu Celcom jawab Posted: 10 May 2013 05:11 AM PDT KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub kesal apabila nombor telefon bimbit peribadinya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur hasutan dan perkauman. Mesej itu yang berbunyi "Cina telah cuba tolak kuasa Melayu tetapi gagal, 'Chinese are not the king maker!' sekarang masa Melayu bersatu untuk ajar Cina", dipercayai telah disebarkan tanpa pengetahuan beliau. Katanya, beliau hanya mengetahui kewujudan SMS itu setelah beberapa pihak memberitahunya menerima mesej berbaur perkauman itu daripada beliau. "Dari jam 8 malam tadi hingga 12 tengah malam, ada pihak salah guna nombor telefon mudah alih saya iaitu 013-727 8292 untuk hantar SMS mesej berbaur hasutan dan perkauman. "Perbuatan tak bertanggungjawab itu telah cemarkan nama baik saya dan cuba bunuh karier, ia juga menanam kebencian orang Cina terhadap saya," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini. Salahuddin yang tewas di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Nusajaya, Johor berkata, beliau telah melanggan nombor itu dari talian syarikat telco Celcom sejak 1995 terkejut dan kecewa apabila nombornya telah disalahgunakan oleh pihak tertentu. Selain Salahuddin, turut menjadi mangsa penyalahgunaan nombor telefon bimbit itu ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pada awal pagi tadi. Menurutnya, sebaik sahaja beliau menerima maklum balas penerima SMS itu, beliau segera membuat laporan polis pada jam 12 tengah malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Bharu. Kira-kira jam 9 pagi tadi, beliau dipanggil untuk diambil keterangan hampir 30 minit oleh pegawai penyiasat, Inspektor Zamzari di pejabat polis yang sama. Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengemukakan saman terhadap syarikat telco terbabit susulan nombor telefon bimbit beliau telah diklon tanpa pengetahuannya. Bagaimanapun beliau mahu pihak Celcom terlebih dahulu tampil memberikan kenyataan rasmi bagaimana nombor itu boleh digunakan oleh pihak ketiga secara sewenang-wenangnya. "Saya minta Celcom tampil buat kenyataan rasmi bagaimana nombor saya sebagai pelanggan setia sejak 1995 sampai sekarang boleh diklon dan digunakan untuk kirim SMS berniat jahat," dakwanya. Tegasnya, sekiranya Celcom gagal berbuat demikian atau kenyataan rasmi syarikat telco itu tidak memuaskan hatinya, beliau tidak teragak-agak untuk mengeluarkan arahan kepada semua ahli Pas supaya menghentikan langganan serta-merta. "Saya ingin nasihatkan Celcom, ahli Pas ada 1.2 juta orang, saya boleh buat arahan sekiranya Celcom tak buat kenyataan yang boleh yakinkan, saya akan minta ahli Pas hentikan langganan Celcom. "Suruhanjaya Multimedia maklumkan pada saya, tindakan itu bukan sebarangan orang boleh akses nombor saya atau klon dengan niat jahat. "Saya bimbang mungkin selepas ini akan ada tersebar pula SMS berunsur lucah dihantar kepada golongan wanita bertujuan burukkan nama baik saya," katanya. Salahuddin percaya tindakan itu mempunyai kaitan dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Johor di mana hampir semua kawasan mempunyai majoriti yang rendah berbanding 2008. Ini dikuatkan lagi apabila Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi Dun Johor kepada 18 kerusi pembangkang, 13 kerusi daripada DAP, 1 PKR dan 4 Pas. | ||||
Soi Lek didesak lepas jawatan Presiden MCA Posted: 10 May 2013 05:05 AM PDT KUALA LUMPUR - Ekoran prestasi merudum MCA pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kumpulan veteran MCA hari ini mendesak Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya berundur dari kancah politik dengan melepaskan jawatannya. Bekas Presiden MCA, Tan Koon Swan berkata, imej parti itu perlu dibaiki segera bagi meraih kembali sokongan masyakat cina terhadap MCA sekaligus Barisan Nasional (BN). "Kami minta beliau (Soi Lek) meletakkan jawatannya dan beri laluan kepada muka baru bagi memulihkan dan memberi nafas baru kepada parti ini. "Kami tampil hari ini bukan ada agenda peribadi tetapi kerana kami sayangkan MCA. Demi parti serta komuniti yang bersama MCA beliau harus bertanggungjawab dan letak jawatan," katanya pada sidang media khas yang diadakan semalam. Antara yang hadir bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri Lee Kim Sai; bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek, bekas Timbalan Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Wong Kam Hoong dan bekas Bendahari Agung MCA, Tan Sri Yin Pin. PRU13 menyaksikan kekalahan terburuk MCA apabila hanya menang di tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kerusi yang ditandingi. MCA juga hanya menang 11 kerusi Dun daripada 90 kerusi yang ditandinginya. Menurut Kim Sai, pihaknya percaya dengan perubahan yang berlaku dalam parti, masyarakat Cina akan kembali menyokong MCA. "Pemimpin yang baik tahu bagaimana untuk menguruskan parti, kehendak parti perlu diutamakan bukan kepentingan diri. "Sebagai tanda rasa cinta akan parti agar tidak terkubur, pengorbanan harus dilakukan. Pemimpin datang dan pergi tetapi parti terus berjuang," katanya. Terdahulu, Soi Lek menegaskan yang beliau tidak akan bertanding jawatan presiden pada penggal akan datang, beliau turut enggan menerima jawatan dalam Kabinet. Mengulas mengenai jawatan MCA dalam Kabinet, Koon Swan berkata, tidak salah untuk MCA terus berada dalam Kabinet asalkan melaksanakan tugas dengan baik. "Saya percaya perdana menteri akan meletakkan wakil MCA dalam Kabinet, ini kebiasaannya. "Tindakan itu juga sebagai penghargaan kepada parti yang telah menyumbang jasa selama ini," katanya yang turut memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketika ditanya mengenai isu 'tsunami cina', Ah Lek berkata, pihaknya mengakui perkara itu terjadi namun yakin masih ramai masyarakat Cina menyokong BN. "Terdapat banyak tempat masyarakat Cina masih menyokong kita. Namun apabila imej MCA itu terjejas secara tidak langsung mempengaruhi sokongan rakyat. "Imej presiden terjejas, rakyat akan letak persepsi dan jejaskan parti. Kita percaya MCA masih relevan kerana banyak masalah masyarakat Cina dapat diselesaikan oleh BN," katanya. Tambah beliau, bagi menarik kembali sokongan rakyat terhadap MCA perubahan drastik perlu dilakukan terutamanya membersihkan imej presiden. "Kalau imej pemimpin tidak baik, orang tak kan dengar apa yang pemimpin itu katakan. Masalah sekarang bukan orang tolak keseluruhan MCA itu tapi corak kepimpinan yang ada. "Apa yang saya zahirkan ini adalah suara akar umbi. Ketika kempen tempoh hari ada yang kata pada saya mereka terima calon itu tapi mereka tidak dapat terima MCA masa kini," katanya. | ||||
Jais siasat 14 lagi bekas pengikut Arqam Posted: 10 May 2013 05:03 AM PDT SINAR HARIAN SEPANG - Seramai 14 individu termasuk seorang bayi perempuan ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, untuk disiasat berhubung ajaran Al-Arqam. Pengarah Jais Datuk Marzuki Hussin berkata individu terbabit yang merupakan antara 35 rakyat Malaysia yang diusir kerajaan Arab Saudi, tiba pada tengah hari tadi dari Jeddah. "Mereka ditahan untuk siasatan dan selepas disiasat mereka akan dilepaskan dengan bon jaminan Jais," katanya ketika dihubungi Bernama. Jais sebelum ini menahan 13 individu dari kumpulan sama yang bahan berkaitan kumpulan Al-Arqam seperti buku, pamplet dan risalah turut ditemui pada mereka. Mereka ditahan mengikut Enakmen Agama Islam Negeri Selangor kerana berdasarkan fatwa Mufti Selangor, Al-Arqam sudah terkeluar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. - Bernama | ||||
SPR: Daftar pemilih PRU13 antara yang terbersih Posted: 10 May 2013 05:02 AM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan pelbagai penambahbaikan bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang berakhir Ahad lepas, termasuk menyediakan Daftar Pemilih 'terbersih' pernah dilakukan badan bebas itu. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Daftar Pemilih yang digunakan dalam PRU13 diwartakan melalui proses pembersihan terperinci dan semakan dalam talian dengan rekod warganegara dan alamat terkini pemilih mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). "Oleh kerana sistem pendaftaran pemilih menggunakan nombor kad pengenalan 12 angka yang unik sebagai 'identifier' (pengenal pasti) pendaftaran, maka mustahil terdapat pendaftaran berganda dalam Daftar Pemilih PRU13," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Menjelas lanjut, Abdul Aziz berkata melalui sistem pendaftaran itu, tiada ruang bagi warga asing sama ada dari Bangladesh, Indonesia, China atau India dapat mendaftar sebagai pengundi tambahan. Justeru, dakwaan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa SPR tidak melaksanakan apa-apa penambahbaikan pada PRU13 merupakan pembohongan besar dan fitnah semata-mata, bertujuan mengelirukan rakyat, katanya. Selain itu, beliau berkata Daftar Pemilih yang digunakan dalam PRU13 adalah sah, telah diwarta dan dimuktamadkan, sekali gus adalah mustahil untuk memasukkan nama-nama pengundi tambahan. "Oleh demikian, dakwaan kononnya terdapat 40,000 warga Bangladesh yang dibawa masuk untuk mengundi dalam PRU13 adalah tidak berasas dan fitnah semata-mata, kerana Daftar Pemilih yang diwartakan adalah muktamad," tegas Abdul Aziz. Katanya SPR turut melaksanakan proses pengundian awal pada 30 April lepas, melibatkan 235,826 pengundi daripada kalangan polis dan tentera serta pasangan masing-masing bagi menggantikan proses pengundian pos. "Selaras dengan tuntutan utama parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan, SPR turut memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada PRU13 sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelak cubaan mengundi dua kali mana-mana pihak," katanya. Dari segi tempoh berkempen pula, SPR melakukan penambahbaikan dengan memperuntukkan tempoh 15 hari berkempen bermula 20 April hingga Ahad lepas, berbanding 13 hari pada PRU2008, katanya. Sementara itu, Abdul Aziz turut menjelaskan bahawa sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia adalah berlandaskan kemenangan mengikut majoriti mudah dan kemenangan perwakilan mengikut kawasan. Beliau berkata berasaskan sistem itu, yang diguna pakai di Malaysia sejak PRU pertama pada 1959, menetapkan parti yang berhak membentuk kerajaan bukan berasaskan jumlah undi popular yang diperoleh, sebaliknya jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi. "Dalam konteks ini, walaupun parti pembangkang memperoleh jumlah besar undi iaitu sebanyak 5,623,984, mereka hanya memenangi 89 kerusi bahagian pilihan raya. "Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) memperoleh jumlah undi sebanyak 5,237,699, namun dari sudut jumlah bahagian pilihan raya, BN memenangi sebanyak 133 kerusi Parlimen dan berhak membentuk kerajaan di peringkat pusat," katanya. "Sistem ini juga digunakan bagi menentukan parti yang berhak untuk menubuhkan kerajaan baik di peringkat pusat atau pun negeri, iaitu parti yang mendapat jumlah perwakilan (kerusi) terbanyak walaupun memperoleh majoriti satu kerusi berhak membentuk kerajaan," katanya menambah sistem itu dikenali sebagai 'First Past The Post'. - Bernama | ||||
Pakatan Rakyat Perak buat petisyen 6 kawasan Posted: 09 May 2013 09:23 PM PDT
Difahamkan kawasan-kawasan tersebut adalah Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi, Manong, Lubuk Merbau, Kamunting, Pasir Panjang dan Selama. Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, petisyen tersebut akan dibuat berikutan terdapat bukti berlakunya penipuan pilihan raya. Antara penipuan dikesan termasuk warga asing boleh mengundi, orang lain sudah mengundi untuk pengundi yang sah, dan keraguan peratus undi rosak yang lebih tinggi berbanding undi majoriti. Nizar memberitahu perkara itu ketika berucap di majlis munajat kesyukuran HALWA Bukit Gantang di Markaz Pas Kawasan Bukit Gantang semalam. Turut hadir pada majlis itu Naib Yang DiPertua PAS Bukit Gantang Abdul Rahim Ismail. Pada PRU13 lalu, BN menang 31 kerusi Dun Perak manakala Pakatan Rakyat memperoleh 28 kerusi. | ||||
Selepas pencuri lembu, kini pencuri PRU13 pula diburu Posted: 09 May 2013 09:21 PM PDT
Ahli Parlimen Pandan itu, yang juga dilantik sebagai ketua kumpulan siasatan penipuan PRU13, berkata beliau akan memastikan segala penipuan dalam PRU13 lalu dibongkarkan kepada seluruh rakyat negara ini. "Kalau dahulu saya mengejar pencuri lembu, sekarang saya akan kejar pencuri keputusan PRU ini kerana kerajaan haram yang ditubuhkan adalah sebuah mandat yang akan mencuri masa depan Malaysia," katanya pada program Suara Rakyat Suara Keramat: Tolak Penipuan PRU 13, di Stadium Kelana Jaya kelmarin. Menurut Rafizi, pembongkaran penipuan itu sangat penting bagi memastikan segala kecurangan dalam PRU akan datang dapat dibasmi dengan lebih berkesan. "Kita tidak mahu penipuan ini berlaku lagi, lagi dan lagi. Kita mesti bangkit menolak penyelewengan yang jelas ini dan kita mesti lawan sampai ke Putrajaya," katanya lagi. Pengarah Strategi PKR itu juga berkata segala bukti penipuan PRU13 itu akan dikumpul untuk bantahan melalui mahkamah dan dalam Parlimen. | ||||
Kedua-dua kaki Azizan selamat dibedah Posted: 09 May 2013 09:17 PM PDT Sekitar jam 8.30 malam, kaki kanan beliau telah dipotong dan kaki kiri turut dipotong selepas itu, pembedahan selesai sekitar jam 11.30 malam tadi. KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selesai menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis sekitar jam 11.30 malam tadi. Setiausaha Akhbarnya, Mohd Helmi Khalid memberitahu harakahdaily, Ustaz Azizan telah dimasukkan ke bilik pembedahan Hospital Pulau Pinang sekitar jam 6.30 petang tadi. "Sekitar jam 8.30 malam, kaki kanan beliau telah dipotong dan kaki kiri turut dipotong selepas itu, pembedahan selesai sekitar jam 11.30 malam," jelas Helmi. Azizan, yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dimasukkan ke hospital tersebut dalam keadaan tenat pada Rabu lalu. Keadaan kesihatan beliau bertambah baik semalam setelah mendapat empat jenis suntikan untuk menstabilkan tekanan darah (inotropes) iaitu dopamine, dobutamine, noradrenaline, adrenaline di Unit Rawatan Kritikal (CCU) hospital itu. Antara tetamu kehormat yang mengunjungi beliau ialah Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Menteri Besar Kedah yang baru dilantik, Datuk Mukhriz Mahathir. | ||||
Khairy tawar diri sertai kabinet Posted: 09 May 2013 09:15 PM PDT Ketua Pemuda Umno menawarkan diri untuk membantu Datuk Seri Najib Tun Razak dalam barisan baru kabinetnya. KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau sedia menyertai Kabinet yang bakal dibentuk Datuk Seri Najib Tun Razak dalam apa sahaja peranan yang boleh membantu perdana menteri. "Saya menawarkan diri untuk saya memainkan peranan, apa sahaja peranan yang boleh bantu beliau (perdana menteri) dan saya serah kepada beliau untuk menentukannya," kata beliau ketika ditanya mengenai gesaan sesetengah pihak supaya beliau mewakili suara Pemuda dalam Kabinet baharu yang bakal dibentuk. Anggota Parlimen Rembau itu ketika ditemui selepas menjadi tetamu program 'Helo Malaysia' BernamaTV semalam, menegaskan bahawa bukan soal kehadiran Pemuda dalam Kabinet sahaja yang penting, tetapi perlunya mempunyai pasukan yang mantap dan bersedia untuk melakukan transformasi. "Saya harap perdana menteri akan memilih pasukan yang memahami transformasi dan bersedia untuk melaksanakannya," jelas beliau. Khairy berkata pasukan itu perlu memahami kehendak sebenar perdana menteri untuk membawa transformasi bukan dari segi luaran, tetapi dari segi hakiki, besar pengisiannya (dan) berbeza daripada Kabinet dahulu. Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas, Khairy menang dengan majoriti 18,357 di Rembau, meningkat berbanding PRU12 sebanyak 5,746 undi majoriti. Khairy mendapat 43,053 undi manakala calon PKR Radzali A. Ghani mendapat 24,696 undi dan Abdul Aziz Hassan (Bebas) memperoleh 325 undi. Bernama | ||||
Cina tolak BN, mahu pemimpin lebih baik Posted: 09 May 2013 09:12 PM PDT
Walaupun BN memainkan isu Hudud tetapi pengundi Cina mempunyai matlamat hendak menukar kerajaan sekarang sebab itulah mereka bertekad untuk mengundi semua calon PR (Pakatan Rakyat) tanpa mengira bangsa dan agama. Sebagai contoh, majoriti pengundi Cina memberi sokongan padu kepada calon PAS di Sibuti tetapi kawasan Bumiputera masih lagi tetap setia dengan BN kecuali kawasan Dayak yang memang ada masalah tanah. Antara faktor lain kekalahan calon PAS adalah pengundi kawasan pedalaman telah disogok dengan duit oleh pihak tertentu. Ada juga diantara mereka yang takut keluar mengundi calon PR sebab mereka takut dipulaukan oleh penduduk kampung yang kuat menyokong BN. Selain dari isu-isu tersebut, ada sesetengah rumah panjang dan kampung melarang PR berkempen dalam kawasan mereka. Walaupun laporan polis dibuat tetapi mereka macam tidak ambil peduli akan tindakan yang akan diambil keatas mereka. Media massa seperti TV, Radio dan surat khabar semuanya berkempen untuk BN siang dan malam tanpa henti sehingga hari pengundian. Risalah-risalah yang memburukkan dan memfitnah PAS disaat akhir juga bertebaran ke seluruh pelusuk kampung sehingga ada sesetengah penduduk terpengaruh dengan fitnah tersebut. PR langsung tidak diberi peluang untuk memperjelaskan atau menerangkan hal sebenar kepada pengundi melalui TV, Radio dan surat khabar kecuali suratkhabar Cina yang lebih terbuka tetapi tidak dibaca atau difahami oleh masyarakat Melayu dan Bumiputera. Surat khabar Cina lebih terbuka dari surat khabar Melayu yang langsung berkempen untuk BN sehingga orang Melayu dan Bumiputera tidak tahu menilai sesuatu berita sebab laporan yang berat sebelah. Kebanyakan pengundi Melayu lebih percaya kepada laporan berita dalam TV dan Radio dari mendengar sendiri penjelasan dari pihak PR. Oleh kerana orang Melayu dan Bumiputera yang kurang maklumat dan selalu disogok dengan berita yang berat sebelah setiap hari maka mereka tidak dapat menilai sesuatu berita dengan baik. Apabila PR hendak mengadakan ceramah di kawasan penduduk Melayu ada pihak-pihak tertentu yang menyekat supaya orang Melayu jangan mendengar penjelasan dari pihak PR dan mereka lebih suka orang Melayu hidup di alam fantasi tanpa ilmu pengetahuan. Kemenangan PR banyak mendapat sokongan dari masyarakat Cina yang banyak membaca perkembangan semasa tanpa sebarang sekatan. Orang Melayu dan Bumiputera banyak disogok dengan berita yang mengampu BN sehingga mereka tidak dapat menilai kebenaran berita yang mereka terima terkecuali orang Melayu yang terpelajar dan mereka yang menerima berita dari sumber lain seperti internet dan sebagainya. Orang Cina yang banyak membaca isu-isu dan perkembangan semasa menyebabkan mereka berpengetahuan dan bijak memilih pemimpin untuk masa depan negara. Selagi orang Melayu dan Bumiputera bergantung hayat dengan subsidi kerajaan BN, selagi itulah BN akan terus memperhambakan bangsa Melayu dan Bumiputera. Pertandingan yang tidak adil dan berat sebelah dalam Pilihanraya Umum di Malaysia boleh menghalang atau memandulkan demokrasi dalam negara ini. Pihak pembangkang langsung tidak diberi ruang yang sama rata dengan BN di mana segala jentera kerajaan digunakan sesuka hati oleh pihak BN tanpa sebarang sekatan. Walaupun PR dapat membentuk kerajaan tetapi mereka berjuang bersama rakyat bukan dengan jentera kerajaan. Inilah antara faktor-faktor yang menyebabkan BN terus berkuasa sebab BN menggunakan duit untuk membeli undi di saat akhir hari pengundian. Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli, penyokong dan pengundi PR dalam PRU13 ini yang banyak berkorban masa, tenaga dan membantu PAS sehingga ada diantara mereka yang menjadi mangsa kezaliman pihak tertentu kerana menyokong kita. Kita akan pastikan agar segala janji-janji BN untuk rakyat ditepati dan jangan dikhianati. Pemimpin BN wajib menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Walaupun kita belum menang kali ini tetapi kita berkempen secara bermaruah tidak merasuah dan tidak mengugut pengundi untuk menyokong kita. Sepandai-pandai BN menipu rakyat, suatu hari nanti pasti akan jatuh juga ditangan rakyat. *Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak | ||||
Saya kalah dengan kad pengenalan palsu - Mohamad Sabu Posted: 09 May 2013 09:10 PM PDT
KUALA LUMPUR: "Bayangkan ada saluran dalam kawasan pilihan raya saya, orang keluar mengundi 99 peratus," kata Haji Mohamad Sabu menceritakan bagaimana beliau boleh kalah dalam pilihan raya ini. (Mohamad Sabu yang memperjuangkan pilihan raya yang bersih...inilah yang beliau bimbangi selama ini dan beliau menjadi salah satu mangsanya.) Ekoran itu, beliau yakin, modus operandi Terengganu 2004 digunakan untuk mengalahkan beliau dalam pilihan raya kali ini. Dalam pilihan raya 2004, kerajaan negeri Terengganu di bawah PAS berjaya dijatuhkan selepas satu penggal memerintah. Puncanya adalah kenaikan mendadak peratusan keluar mengundi sehingga 90 peratus untuk sesetengah DUN dan kawasan Parlimen. Mohamad Sabu berkata, beliau kalah dengan besar di DUN Sungai Tiang iaitu di kawasan orang Thai. "Saya kalah dengan undi orang Thai kali ini. Saya mengesyaki mereka diberikan kad pengenalan untuk mengundi atau penggunaan kad pengenalan palsu. Sebab itulah jumlah keluar mengundi di kawasan mereka meningkat kepada 99 peratus," kata Mohamad. Dalam pilihan raya ini, Mohamad kalah di Parlimen Pendang dengan majoriti 2,638 undi. Beliau tewas di tangan calon BN Datuk Othman Abdul. Walaupun menang di DUN Tokai dengan majoriti 5,833 undi, calon PAS tewas dengan majoriti 6, 994 undi di DUN Sungai Tiang. Di Sungai Tiang, ramai pengundi Siam yang tinggal dan mengundi di sini. Mohamad yakin, banyak kad pengenalan palsu di keluarkan untuk mengalahkan beliau kali ini. Peratusan keluar mengundi di Sungai Tiang adalah 89.31 peratus, satu angka yang sangat besar dalam sejarah pilihan raya umum di negara ini. | ||||
Nik Nazmi dipanggil polis berkait himpunan 8 Mei Posted: 09 May 2013 09:06 PM PDT
KUALA LUMPUR: Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dipanggil hadir memberi keterangan berhubung himpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Stadium Kelana Jaya kelmarin. Beliau diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya jam 3 petang ini. Perkara itu dimaklumkan Biro Komunikasi PKR dalam satu kenyataan ringkas hari ini. "Beliau akan hadir bersama peguamnya Eric Paulsen," kenyataan itu dipetik. Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata penganjur himpunan Suara Rakyat Suara Keramat itu akan dipanggil membantu siasatan. Selain itu polis juga katanya akan mendapatkan keterangan daripada para pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap pada perhimpunan itu. Menurutnya 28 daripada 33 pemimpin pakatan yang berucap pada perhimpunan itu didapati memberi ucapan berbau hasutan, yang menyalahi Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Pada himpunan itu kelmarin, lebih 120,000 rakyat Malaysia berbilang kaum hadir bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan PRU13 lalu. Rata-rata mereka berpakaian hitam sebagai lambang berkuburnya demokrasi Malaysia ekoran berlakunya penipuan dalam pilihan raya. Pimpinan utama Pakatan Rakyat turut hadir pada himpunan itu termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu serta Penasihat DAP Lim Kit Siang. | ||||
Sebar mesej perkauman: Mohamad Sabu pula jadi mangsa Posted: 09 May 2013 09:05 PM PDT
KUALA LUMPUR: Musuh PAS dilihat sangat terdesak apabila terpaksa menggunakan nombor telefon para pemimpin PAS untuk menyebarkan sentimen perkauman di negara ini. Hari ini Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) pula menjadi mangsa 'hack' nombor telefon selepas Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menghadapi masalah yang sama semalam. "Hari ini saya diberitahu saya hantar mesej perkauman merata-rata," kata Haji Mohamad Sabu kepada Harakahdaily. Antara mesej yang dihantar adalah, "Mampus Melayu..Hidup cina..." yang dihantar menggunakan nombor telefon beliau. "Saya akan membuat laporan polis segera," kata beliau kesal dengan tindakan terdesak musuh politik PAS itu. Bagi Mohamad, ia adalah usaha untuk meniup api perkauman di kalangan orang Melayu agar membenci kaum Cina. Sebelum ini, akhbar Umno Utusan Malaysia telah membuat laporan muka depan dengan berita bertajuk, "Apa lagi yang Cina mahu." Laporan ini dibuat selepas kenyataan Presiden Umno yang sedang luka, Datuk Seri Najib Razak, 'Ini tsunami Cina'. Najib pula ketika ditanya wartawan tentang laporan muka depan Utusan itu mempertahankannya dengan berkata, "Apa kurangnya akhbar Cina." Ekoran itu, pelbagai pihak membuat kenyataan menyelesalinya dan pihak polis mula membuat siasatan mengenainya. Semalam nombor telefon Salahudin Ayub di'hack' oleh pihak yang bertanggungjawab dan menghantar mesej perkauman kepada orang ramai atas nama beliau. Salahudin akan membuat sidang media mengenainya hari ini. | ||||
Tetap Usaha Pastikan Rakyat Selangor Perolehi Saham Air Posted: 09 May 2013 08:57 PM PDT SHAH ALAM : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memastikan saham air tetap diberikan kepada rakyat meskipun beliau tidak dipilih menjadi Menteri Besar bagi penggal ke dua ini. Menurutnya, ia kerana perkara itu sudah dijanjikan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) Ahad lalu. "Tidak jadi Menteri Besar pun saya akan tetap buat kerja sebab saya mahu tunjukkan kepada Selangor hak untuk rakyat mesti dikembalikan kepada rakyat dengan cara yang terbaik. " Selepas menang PRU13, setiap malam saya catit dan buat kira-kira untuk saham air ini," katanya dalam ucapannya di hadapan kira-kira 30,000 penonton yang hadir di Majlis Kesyukuran kemenangan Pakatan Rakyat Selangor, di Dataran Kemerdekaan, di sini. Abdul Khalid menambah tindakan itu akan dilakukannya demi memastikan rakyat tidak terbeban setiap kali penswataan berlaku. " Tidak ada orang boleh salah gunakan kuasa itu. Saya tidak mahu rakyat terima beban setiap kali penswastaan berlaku," katanya. Sementara itu, Abdul Khalid turut menyifatkan kemenangan Pakatan Rakyat itu bukan dasar nasib baik seperti yang didakwa Umno-BN. " Jika dulu Umno-BN kata kita menang sebab nasib kita baik, sekarang tidak lagi..Ia sebenarnya nasib tidak baik untuk Umno-BN sebab tidak dapat rampas Selangor. " Oleh itu, kita minta rakyat bersama dengan penjawat awam, pimpinan politik dan rakan-rakan dalam perniagaan supaya kita bina Selangor sebagai satu negeri yang mementingkan rakyat, dengan cara itu dana yang kita ada kena salurkan kepada rakyat dengan amanah," katanya. Dalam PRU13 baru-baru ini, Abdul Khalid berjaya memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan kerusi DUN bagi Pelabuhan Klang. | ||||
Kit Siang 'tak terlintas fikir ' saranan bersama BN Posted: 09 May 2013 05:06 PM PDT Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata parti itu belum bertemu untuk membincangkan pelbagai cadangan mengenai peranan DAP dalam kerajaan baru, tetapi beliau sendiri pun tidak terlintas untuk memikirkan cadangan tersebut. "Beri (rakyat) masa untuk memberi pelbagai cadangan dan beri kami masa untuk menjawabnya," katanya dalam satu sidang akhbar di ibupejabat DAP hari ini. Lim berkata, beliau tidak terlintas memberi sebarang pertimbangan terhadap sebarang cadangan. Beliau mengulas cadangan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya DAP menyertai BN bagi mewakili kepentingan masyarakat Cina dalam gabungan itu. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia, Datuk Michael Yeoh juga menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membentuk kerajaan campuran yang luas yang merangkumi DAP, PKR dan PAS sebagai rakan. | ||||
Pian Hon: 'Kaum Cina terpedaya' Posted: 09 May 2013 05:04 PM PDT SERDANG – Bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon kecewa dengan masyarakat Cina yang mudah terpedaya dengan kata-kata dan janji kosong pembangkang. Beliau berkata, apa yang dikesalkan kaum Cina mudah tertipu dengan publisiti murahan DAP dan membiarkan pemikiran mereka diracuni dengan persepsi negatif. Disebabkan janji kosong pembangkang ditambah maklumat palsu disebarkan melalui media alternatif untuk menakutkan kaum Cina, Pian Hon berkata, pengundi kemudian membuat keputusan untuk mengubah kerajaan pusat. Menurutnya, maklumat palsu pembangkang termasuk mengatakan pendatang asing akan keluar mengundi petang hari pembuangan undi berjaya meracuni pengundi keluar awal kononnya untuk melindungi masyarakat Cina di negara ini. "Banyak maklumat palsu disebar pada hari pembuangan undi yang tidak sempat dihapus dan dipertikaikan kerana tiada masa, orang Cina terpedaya dan yakin apa diperkatakan DAP itu benar jadi 80 peratus mereka beru undi kepada pihak pembangkang. "Ada orang jumpa saya kata saya orang baik, boleh bawa pembangunan pesat di Serdang tetapi terpaksa korbankan saya untuk ubah kerajaan pusat," katanya. Pian Hon berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diakui paling teruk kerana tidak sampai 10 ahli parlimen Cina dipilih mewakili BN. Mengulas tindakan Pakatan Rakyat (PR) yang masih ingin mengadakan perhimpunan besar-besaran kerana tidak berpuas hati kedudukan kerusi parlimen tidak berpihak kepada mereka, Pian Hon berkata, jika tidak berpuas hati pihak itu seharusnya ke mahkamah. Katanya, kebanyakan calon BN yang tewas akur dengan keputusan pengundi di kawasan masing-masing dan tidak mempertikaikannya. Bagaimanapun beliau yang juga Ketua Penerangan BN negeri Selangor hairan kerana PR sudah menang di Selangor namun terus-terusan bercakap 'kotor' dengan membuat dakwaan itu dan ini. Justeru katanya, masyarakat Cina perlu buka mata melihat apa yang berlaku di negara ini dan sekiranya PR tidak memberi khidmat terbaik kepada mereka jangan pula salahkan orang lain. Dalam pada itu, beliau yang Penyelaras Parlimen Serdang berkata, MCA Serdang kini menumpukan masa sepenuhnya untuk memberi latihan kepada ahlinya dalam usaha memperkukuhkan organisasi itu di peringkat cawangan. Menurutnya, pejabat khidmatnya masih dibuka seperti biasa meski mengalami kekalahan teruk pada PRU13. Katanya, pejabat itu untuk ahli MCA berkumpul dan memperkasakan kemahiran serta kebolehan masing-masing dalam tempoh dua tahun ini. | ||||
Selangor mampu jadi kubu Pakatan Posted: 09 May 2013 04:59 PM PDT KL TODAY PENCAPAIAN kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dengan memperolehi lebih dua pertiga majoriti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan satu pencapaian terbaik Pakatan Rakyat Selangor. Dengan memperolehi kerusi sebanyak 44 kerusi Dun jika dibandingkan Barisan Nasional (BN) yang hanya memperolehi 12 kerusi sahaja turut menyaksikan BN yang mempunyai masa depan yang gelap di negeri tersebut. Pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) tahun 2008, Pakatan hanya memperolehi 36 kerusi sahaja dan BN mendapat 20 kerusi, menunjukkan peningkatan kerusi Pakatan Rakyat sebanyak lapan kerusi. BN Selangor yang sebelum ini menggunakan slogan 'Sayangi Selangor, Yakini BN' dan pelbagai tawaran dalam manifesto mereka tetap gagal menarik perhatian pengundi Selangor, apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memegang jawatan sebagai Pengerusi BN Negeri Selangor turut gagal menjadi penyumbang undi kepada BN pada PRU13 yang lepas. Kejayaan lebih dua pertiga majoriti yang di perolehi Pakatan Rakyat menunjukkan Selangor mampu mengikut jejak Kelantan yang mampu bertahan selama 23 tahun walaupun pelbagai serangan dilakukan BN untuk merampas negeri itu. Sebelum ini, iaitu semasa pilihanraya tahun 2004 negara menyaksikan perbezaan kerusi dun di Kelantan hanya satu kerusi sahaja namun semangat muafakat dan kesetian kepada parti, PAS Kelantan mampu memerintah dengan baik sehingga tibanya PRU12. (Dr Rani Othman, Pesuruhjaya PAS Selangor) Senario ini perlu ditekankan di Selangor, jika negeri ini mahu menjadi salah satu kubu kuat Pakatan Rakyat untuk pilihanraya-pilihanraya yang akan datang dengan membuat penelitian serta gerak kerja baru untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi serta menembusi kubu kuat BN. Walaupun mendapat lebih dua pertiga majoriti, terdapat beberapa kerusi Parlimen dan Dun gagal dipertahankan oleh Pakatan Rakyat. Misalnya Dun Bukit Melawati menyaksikan kekalahan calon PKR, Manikavasagam Sundaram dengan majoriti 806 undi. PAS yang menebus kekalahan di Dun Sabak melalui calonya Sallehen Mukhyi dengan jumlah majoriti sebanyak 399 undi, pada 2008 beliau yang juga bertanding di kawasan tesebut telah kalah kepada BN sebanyak 117 undi majoriti sahaja. Sementara itu, DAP yang juga menunjukkan peningkatan sokongan dengan mengambil kembali kerusi di Dun Kuala Kubu Baharu apabila Lee Kee Hiong yang terpaksa bertembung lima penjuru dan mengalahkan calon BN sebanyak 1,702 undi. Walaupun Selangor menyaksikan pertembungan yang yang ramai melibatkan calon Bebas sama ada peringkat Parlimen mahupun Dun, namun ia tidak memberi kesan kepada kemaraan Pakatan Rakyat untuk terus menguasai negeri itu bagi melaksanakan janji-janji manifesto sebelum ini. Mungkin belum masanya untuk Pakatan Rakyat menebusi Parlimen Tanjung Karang, apabila keputusan kali ini menyaksikan BN terus menguasai kedua-dua dun yang berada di bawah parlimen itu, Pakatan Rakyat Selangor perlu mencari satu formula baru untuk menarik lebih ramai pengundi untuk menyokong parti itu nanti. Melalui tinjauan yang dibuat sebelum berlangsungnya PRU13, faktor pengundi Melayu di Parlimen Tanjung Karang memainkan peranan utama kepada kemenangan sesebuah parti itu, dengan penguasaan 73.32 peratus, manakala kaum Cina hanya 16.61 peratus dan India 9.80 peratus dan lain-lain 0.27 peratus. (Tan Sri Khalid Ibrahim, pemacu kejayaan Pakatan di Selangor) Formula khusus perlu diketengahkan oleh Pakatan Rakyat Selangor untuk kaum Melayu di Parlimen Tanjung Karang jika parti itu mahu menembusi kubu kuat BN. Berita mengejutkan apabila Parlimen Kuala Selangor gagal dipertahankan oleh calon PAS, Dr Dzulkefly Ahmad yang tewas kepada calon BN dengan majoriti yang kecil jika dibandingkan undi rosak iaitu 460. Ini kerana Dr Dzulkefly merupakan individu yang disenangi oleh seluruh penduduk Kuala Selangor dan senang didekati. Situasi kenapa undi rosak sebanyak 934 undi lebih tinggi dari undi majoriti perlu dikaji oleh seluruh jentera parti bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. PAS mengorak langkah dengan bergaya apabila kubu kuat BN di Dun Templer ditembusi dengan jumlah majoriti yang besar iaitu 7,467 undi. Pada PRU 2008 kerusi tersebut dimenangi BN dengan majoriti sebanyak 613 undi dan pada 2004 PAS melalui calonnya Dr Mohd Hatta Md Ramli juga turut kalah dengan majoriti cukup besar iaitu 7,625 undi. Untuk PRU13 PAS berjaya menembus kekalahan mereka dengan merampas kerusi tersebut dengan menang bergaya. Penguasaan PAS terus merebak di Dun Dusun Tua apabila Razaly Hassan mengalahkan calon BN, Ismail Sani dengan jumlah majoriti 4,071 undi, Dun Seri Serdang juga menunjukkan keputusan mengejut apabila memperolehi majoriti 16,251 undi. Pada PRU 2008 PAS kalah di Seri Serdang dengan majoriti hanya 45 undi sahaja. Konflik pertindihan kerusi di Dun Semenyih dan Kota Damansara memberi kerugian yang besar kepada Pakatan Rakyat yang memberi kemenangan percuma kepada BN. Sepatutnya isu ini dapat diselesaikan lebih awal dan setiap parti perlu bertolak ansur agar ia dapat memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. Undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon PKR dan PSM di Semenyih telah melebihi undi yang diperolehi BN begitu juga di Kota Damansara, namun kecuaian kedua-dua parti yang turut meletakkan calon menyebabkan Pakatan Rakyat Selangor kehilangan dua kerusi yang cukup berharga. Pada PRU12, Dun Sementa kecoh apabila calon PKR tidak bertanding di kawasan tersebut sehingga memberi kemenangan percuma kepada BN, namun PKR menutup kesilapan mereka setelah Dr Daroyah Alwi menang di kerusi tersebut. Mohamed Hanipa Maidin (gambar) menewaskan orang kuat BN Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed di Parlimen Sepang, walaupun beliau turun sebagai calon 'underdog' dan menumpaskan Mohd Zin di kawasan yang beliau menangi sebelum ini. Kehilangan Dr Dzulkefly di Parlimen dan digantikan dengan Mohamed Hanipa walaupun dalam bidang berlainan setidak-tidaknya memberi kelebihan kepada PAS untuk berhujah dalam konteks yang lain. Apa yang pasti kekuatan Pakatan Rakyat menguasai Dewan Undangan Negeri pada persidangan kali ini akan memberikan kekuatan baru untuk membawa Selangor ke arah yang terbaik, rakyat mengharapkan wakil-wakil yang dipilih dapat berhujah dengan lebih berkesan kerana dasar kejayaan sebuah kerajaan itu terletak kepada kepimpinan mereka yang dipilih. Pada PRU13, Negeri Selangor menyaksikan jumlah pengundi seramai 2,048,828 orang dengan pecahan kaum Melayu 50.21 peratus, Cina 34.06 peratus, India 14.39 peratus dan lain-lain sebanyak 1.34 peratus. PAS yang bertanding sebanyak 21 kerusi berjaya memperolehi 15 kerusi (2008 – 8 kerusi dimenangi), PKR bertanding 21 kerusi memperolehi 14 kerusi (2008 – 15 kerusi dimenangi) dan DAP pula bertanding sebanyak 15 kerusi berjaya memenangi kesemua kerusi yang mereka bertanding iaitu 15 kerusi (2008 – 13 kerusi dimenangi). |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan