Khamis, 9 Mei 2013

.

.


Pakatan Rakyat Perlu Buat Kerja 'Berkelulu'

Posted: 08 May 2013 07:31 PM PDT

ULASAN PAGI                                                                                      

Saya mengira selepas 5 Mei khasnya saya sudah boleh rihat dan kembali menguruskan tata hidup secara semula jadi. Tidak begitu stress dan bekerja, befikir dan menulis hingga larut malam demi merealisasikan aspirasi rakyat. Saya juga rakyat.

Sesekali teringin juga saya untuk tidak menjadi 'pejuang bangsa' dan negara menerusi politik, hidup seperti warga lain yang tidak ambil peduli kepada negara. Mahu tidur secukupnya, makan segenapnya dan bermain dan bermesra dengan anak cucu dan bini sekerapnya. Tetapi itu hanya angan-angan saja yang kontras dengan gaya dan naluri seorang pejuang.

Orang bejuang sudah menjadi sunahnya, makan minumnya tidak terjaga, jalan dan kembaranya merata ke segenap sudut dan jerung. Tidur baringnya entah kapan waktu dan tanpa kasur permaidini lembut dan indah. Dihina dan diseksa sudah menjadi semestinya. Justru, 5 Mei tidak juga dapat menjadikan saya dan orang pejuang lain untuk bersenang lenang. Mungkin sebab itulah Tuhan menjadi balasan syurga kepada para pejuang, bukan balasan di dunia ini.

Dari filsafah ini dapat saya fahamkan tidak ada hadiah dari Tuhan di ats dunia ini kepada sang fakir ikhlas berjuang. Lantaran itu boleh dianggap mereka yang mengutip tol dan cukai bakul dari hasil kemenangan perjuangan (pilihan raya) di dunia ini adalah kerja palsu dan batil. Ertinya kalau kita melihat pejuang yang menang tidak kisah dari rahang politik dan jalur mana, kalau di dunia ini hidup senang lenang, mempunyai kekayaan bertimbun tidak habis makan sampai tujuh keturunan, nah.. mereka itu pejuang palsu yang tidak ada tempat di akhirat besok.

Semalam bertempat di stadium Kelana Jaya sudah bermula perasmian bagi meneruskan perjuangan sebaik selesai pilihan raya. Panggilan himpunan itu bertolak atas sebab dan alasan kerana berlaku penipuan dalam proses pilihan raya yang akhirnya mengagalkan rakyat untuk menyaksikan Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Himpunan bertema Suara Rakyat Suara Keramat sudah menjadi paluan gong permulaan untuk memanggil dan mengerah rakyat berhimpun bagi mengatur langkah bergerak ke Putrajaya. Bermula malam tadi saya yakin selepas ini akan bersambung dengan himpunan demi himpunan lagi yang boleh mencabar kedudukan kerajaan Najib bajak ditubuhkan yang mana tidak mustahil membawa kepada 'kesembaman' Najib sebagai perdana menteri.

Fenomena seperti yang berlaku pada tahun 1998 sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dari Umno oleh Mahathir Mohamad akan berlaku dengan permulaan baik malam tadi. Di mana unjuk rasa protes berlangsung sehingga membawa kepada turunnya Mahathir. Malahan kebangkitan pasca PRU-13 ini akan terus menjadi tambah semangat apabila mereka dikhabarkan sudah menang pilihan raya tetapi kerusi Putrajaya diduduki orang lain. Kenyataan provokatif Anwar; kemenangan PR dirampas benar-benar menyuntuh pembuluh darah kemarahan rakyat kepada Ubn dan Najib.

Rakyat akan terus mengheret dada untuk menuntut sebuah pilihan raya yang bersih yang menjadi dambaan semua orang. Atau rakyat akan berkorban sehingga kering keringat dibadan untuk mendapatkan hak mereka. Mereka mahukan Putrajaya. Putraja... Putrajaya. Itulah yang digumbakan oleh pemimpin ke atas mereka.

Saya secara peribadi tetap bersama rakyat menutut hak atas nama kesamarataan, keadilan dan kebenaran. Kalau tidak mati bersama-sama dalam gelanggang perang di mana lagi lokasi paling afdal buat kita. Tetapi saya sedikit bercanggah fikir dalam soal ini mengenai ketepatan masa dan ketika untuk meneruskan tindakan.

Apakah perlu sesegera itu PR khasnya Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu untuk memanggil rakyat berhimpun tanpa mereka sempat menghilang lenguh? Apakah kesempatan itu yang diambil bagi menyemarakkan goncangan ke atas kerajaan?

Memang dari bukti-bukti yang ada proses penipuan atau ketidaktelusan SPR nyata berlaku. Tetapi Pakatan Rakyat harus memberi bukti konkrit dan kemas. Bukan saja ia berdasar dari satu sumber sebelah pihak tetapi sumber-sumber lain juga yang boleh dipertanggungjawabkan. Selepas mengumpul segala bentuk penipuan itu panggilan atau buat satu forum untuk membincangkannya baru mengatur langkah secara sistemetik untuk bertindak bukan panggilan menerusi internet atau secara lisan saja.

Rakyat yang taksub dengan Pakatan Rakyat dan membenci BN boleh menerima apa yang dilakukan itu. Bagi mereka asalkan kata ada penipuan tanpa ditunjuk bukti mereka akan hadir ramai-ramai. Tetapi macam mana dengan rakyat atas pagar atau mereka yang berfikir atau yang tidak menelan maklumat begitu sahaja. Mereka tentunya memerlukan maklumat lengkap dan sahih untuk sama-sama mengheret mereka dalam memberi dokongan dan sokongan.

Saya sendiri sudah lama tidak mempercayai akan ketelusan dan kejujuran SPR. Atau tidak yakin 90% yang SPR akan bertindak adil. Rasanya hakikat ini diakui sendiri oleh pemimpin PR. Desakan pembaik-pulihan menerusi Bersih tidak menyelesaikan perkara ini. Tetapi yang saya merasa ganjil dan musykil kenapa Pakatan Rakyat tetap mengambil bahagian dalam pilihan raya yang diakui tidak bersih atau diragui akan ketelusannya.

Di sinilah menjadikan akal saya bermusykilan? Fakta menunjukkan Pakatan Rakyat mendapat 51% undi popular tetapi kerusi banyak dimenang UBN bukan perkara ganjil. Di segi undi memang PR banyak kerana ramai yang mengundi PR. Tetapi jumlah kerusi memang UBN mempunyai banyak kerusi kerana mereka memenangi banyak kerusi. Dalam sistem demokrasi stail kita, bukan bermakna banyak undi itu dikira pemenang. Sistem kita mengira jumlah kerusi, bukan suara. Mungkin ada yang tidak faham atau kurang jelas mengenai kaedah atau stail demokrasi kita.

Jumlah suara PR banyak kerana mereka menang dengan majoriti besar di sesuatu kerusi. Misalnya kemenangan calon DAP Teresa Kok di Seputih sebanyak 51,552 undi. Atau kemenangan Tan Seng Geok di Kepong sebanyak 40,307 undi. Tidak bermakna kemenangan dengan majoriti besar itu ia boleh menafikan kemenangan mana-mana calon UBN dengan majoriri 1,000 undi.. tidak. Dalam perkiraaan demokrasi ala kita, sama ada kamu menang dengan majoriti 50,000 atau dengan majoriti 5 undi nilainya sama saja, jumlah atau perkiraan kerusi 1 saja di mana jumlah kerusi itulah pemuktamad pemenangnya.

Kekeliruan ini hendaknya tidak mengabui kita semua untuk dengan mudah mengatakan berlaku penipuan dalam pilihan raya. Justeru kepada saya perkara paling baik ialah mengambil tindakan yang lebih praktikal dan munasabah bagi membaiki situasi yang ada kini. Salah satu tindakan paling afdal ialah mendesak kerajaan agar mengubah sistem atau stail pilihan raya yang diamalkan sekarang ini iani kemenangan berdasarkan julah kerusi kepada kemenangan berdasarkan peratus undi seperti mana diamalkan di negera-negara lain dan terdekat ialah Indonesia.

Dalam sidang perlimen nanti Pakatan Rakyat boleh mengemukakan cadangan ini. Pihak UBN boleh menimbang cadangan merubah stail ini sekiranya mereka ada rasa ikhlas dan terpanggil dengn desakan dan kemahuan ini. Tetapi saya rasa harapan untuk UBN akan memenuhui kehendak ini jauh panggang dari api. Namun usaha dan ikhtiar perlu dilakukan sebagai bukti sudah ada tindakan menurut perlembagaan daripada kita.

Dengan cara yang dilakukan sekarang ini ia tidak akan merubah apa-apa keadaan. Kalau pun Najib Razak rasa tertekan dengan cara diambil kini paling-paling apa boleh dilakukan minta diadakan pilihan raya semula. Kalau pilihan raya semula diadakan, tetapi stail atau keadah diguna pakai tidak dipindah, keputusan yang sama juga akan keluar nanti. Sebab SPR tetap akan bias kepada parti memerintah dan rakyat tidak ada cara lain untuk membetulkan semula syahat Suruhanjaya Pilihan Raya agar ia benar-benar 'Islam".

Saya juga hendak sarankan kepada Pakatan Rakyat sekiranya mereka tidak boleh menerima keputusan PRU-13 yang baru berlalu itu, kesemua 89 orang wakil rakyat Pakatan Rakyat jangan mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat. Mereka semua hendaklah sepakat mengorbankan kemenangan itu demi menutut hak apa yang mereka perjuangkan itu. Kalau dalam masa sama mereka protes, menafikan 'kebersihan' pilihan raya tetapi akhirnya terhegah-hegah pergi angkat sumpah mereka akan diketawakan oleh orang ramai atau diri mereka sendiri, masing-masing bila berada di cermin dalam rumah akan tergelak kecil kelcuan dengan hipokrasi diri sendiri.

Tanpa tindakan agresif, berani dan bersifat korban begitu apa dilakukan yang bermula malam tadi tidak akan ke mana-mana pun. Akhirnya rakyat akan keletihan semua orang letih dan kemudian masing-masing jatuh sakit dan mati dalam keadaan beragam-ragam saja. Jadi diharap Pakatan Rakyat hendaklah melakukan kerja 'berkelulu' - kerja yang munasabah, masuk akal dan mengikut keadan yang betul, syarak. Walahualam bi sawat. Lebih baik tanam ubi dicelah-celah batas kepala sawit. Nasib baik Mat Maslan tidak kalah, kalau tidak, auh... tahulah dia. [wm.kl.9:30am 09/05/13]


100 Ribu Bangsa Malaysia Kini Berhimpun Tuntut Pilihan Raya Bersih

Posted: 08 May 2013 08:28 AM PDT

LAPORAN MALAM                                                                              

Saat ini 100,000 rakyat Malaysia yang mengakui mereka sebagai Bangsa Malaysia bercampur Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum sedang berhimpun di stadium Kelana Jaya, Selangor dalam satu himpunan memprotes pilihan raya ke-13 lalu yang dianggap sebagai tidak telus, kotor dan penuh penipuan.

Walaupun terpaksa berhalangan dengan kesesakan jalan raya berkilo meter dan disirami hujan sesekali lebat dan gerimis ia tidak menghalang orang ramai untuk bergerak memasuki stadium. Ternyata semangat Bangsa Malaysia begitu kuat sekali untuki menutut pilihan raya bersih dan adil.

Himpuan yang pertama kali diadakan selepas pilihan raya umum itu bolehlah dianggap sebagai detik meletak kerja bagi Pakatan Rakyat untuk terus bergerak bagi menumbangkan kerajaan UBN bakal dibentuk Najib Razak minggu depan.


Semengat yang ditunjukkan oleh para himpunan yang mengenakan baju hitam sebagai tanda bergabun atas kekalahan mereka sangat tingga sehingga ada yang tidak mempedulikan hujan dan tetap berdiri atas padang mendengar pidato para pemimpin Pakatan Rakyat.

Ternyata walaupun ada larangan dari pihak polis agar tidak menghadiri himpunan itu kerana ia tidak ada permit tetapi tidak dipedulikan orang ramai. Ini menunjukkan Bangsa Malaysia sudah tidak peduli dan takut kepada arahan polis.

Mungkin Bangsa Malaysia ini menjadi lebih semangatdan yakin apabila peratus undi popular memihak kepada mereka. Begitu juga penegasan Anwar Ibrahim yang mengatakan Pakatan Rakyat menang menjadi peniup semangat untuk Bangsa Malaysia berhimpun dan membuat protes.

Nampaknya episod untuk menumbangkan Najib tidak berakhir pada 5 Mei. Mereka akan terus mengasak dan mengasak sehinggalah Najib mengaku kalah. [wm.kl.11:25 pm 08/05/13]

GFA Sekadar Cakap Di Meja Kopi

Posted: 08 May 2013 04:17 AM PDT

SEBELUM MANGHRIB                                                                         

Pagi tadi saya dihubungi oleh seorang korporat yang tidak kurang juga hebatnya. Saya memang mengenali tokoh dagang ini tetapi kerana belum pernah bercakap menerusi telefon, lagi pun lama tidak jumpa, menyebabkan saya kabur dan tercari-cari seketika siapakah gerangannya. Saya tidak kenal sampai sempat saya bercanda yang kurang manis juga. Sorry lah.

Sehinggalah saya balik ke rumah dan membuka blognya seperti mana dicadangkan baru saya mengenali ahli korport ini. Barang kali tidak perlu untuk saya menyebut namanya di sini tetapi apa lebih penting cuba mengupas dan menyorot idea yang beliau lontarkan pagi tadi. Agak praktikal dan menarik juga untuk dijadikan bahan berfikir.

Bila seseorang menghubungi saya selalunya topik yang diutarakan ialah politik. Orang atau seorang mekanik kapal terbang tidak akan menghubungi saya untuk mengesahkan kerosakan mana-mana komponen kabin. Jadi apabila berbicara dengan orang dagang, topik atau mauduknya ialah mengenai politik negara ini dan mencari formula bagai mana untuk mengharmonikan keadaan negara.

Sebagai seorang korporat pemikirannya lebih kepada keuntungan. Pemikirannya terbuka dan simple tanpa mengenang titik bengik lain. Mereka fikir semuanya boleh ditebus guna dengan wang?  Maka beliau atau kelompok ini mahukan keadaan yang aman dan damai - kondusif. Suasana negara yang tidak baik bagi mereka sudah tentu akan menjejaskan perdagangan dan perniagaan mereka yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi negara. Selalu yang memerhati dari jauh penuh kebimbangan pada setiap kali pilihan raya ialah puak-puak ini kerana mereka takut kepada kerugian material.

Cara pemikiran orang korporat dengan orang politik (perjuangan) juga berbeza, Orang politik berfikir untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan idealismenya dan menyalin apa-apa yang tidak baik yang dibuat oleh kerajaan terdahulu kepada yang baru. Manakala orang korporat tidak memikirkan idealisme tetapi mementingkan kepada kelabaan dan keuntungan.

Orang korprat tidak mendahului idealisme perjuangan menerusi partisan. Mungkin juga kerana mereka, atau kawan saya ini sudah mengenali kerencaman dunia politik negara ini. Bagi politik Melayu menerusi Umno atau pun politik Islam menerusi PAS. Kedua-duanya bagi mereka sama saja semuanya lebih kepada retorika sendiri daripada berusaha mencapai hakikat sebenarnya.

Apa yang disaran atau hendak dibincangkan tokoh korport itu kepada saya mengenai kaedah untuk mewujudkan keadaan tenteram dan aman di negara ini. Maksudnya selepas ini - selepas pilihan raya tidak akan ada lagi pergeseran sesama sendiri ataupun pertikaian kaum kerana politik kerana ia merugikan. Beliau melihat dunia politik sudah menjadi satu racun kepada kedamaian negara dan menganggu pertumbuhan ekonomi dan kelabaan perdagangan mereka.

Lantaran itu formula atau cadangan itu dilontarkan kepada saya untuk sama-sama membincangnya manalah tahu ia boleh membuka idea kepada pihak lain yang lebih berautoriti dan bertanggungjawab. Apa dicadangkan atau sedanag bermain di dalam kepalanya ialah untuk mewujudkan sebuah kerajaan untuk semua - Government for all (GFA) tanpa diunsuri dengan semangat perkauman, agama dan budaya melampau. Hanya dengan adanya model kerajaan demikian baru keamanan akan wujud.

Kerajaan untuk semua ialah kerajaan yang menggabungkan semua entiti parti besar yang ada dalam negara ini. Dalam konteks politik dan hakikatnya menggabungkan BN dengan Pakatan Rakyat. Konsep ini tentu lebih luas lagi dari konsep yang cuba digagaskan oleh segelintir bekas pemimpin  PAS semasa era Abdulah Ahmad Badawi dulu iaitu mewujudkan kerjasama di antara Umno dengan PAS atas nama Kerajaan Perpaduan - Unity Government.

Apa dimaksudkan tokoh korport itu ialah konsep Government for all (GFA) ini adalah penggabungan parti-parti komponen BN dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyuat. Bagi tujuan ini atau natijah kepada pembentukan kerajaan sebegini semua pihak akan mendapat laba masing-masing. Semua pihak akan memperolehi jawatan dan bersama membangun dan mentadbir negara. Jelas idea ini hanya mementingkan kepada soal perpaduan tanpa meletakkan soal idealisme dan prinsip parti-parti politik yang berbeza.

Menerusi konsep GFA ini semua parti akan mempunyai wakil (menteri) masing-masing. Jumlah atau kuota menteri atau penjawat sektor awam (GLC) mengikut kapasiti parti masing-masing. Secara asas cadangan ahli korport itu, Perdana Menteri tentulah dipegang oleh Najib Razak, timbalan perdana oleh Anwar Ibrahim dan menteri kanan atau jawatan yang dibentuk selepas itu mestilah Lim Kit Siang dan Abdul Hadi Awang sesuai dengan kedudukan mereka sebagai peneraju parti masing-masing.

Pemimpin-pemnimpin kanan parti-parti gabungan itu memegang jawatan kanan atau kementerian mengikut senioriti masing-masing.

Secara asas saya bersetuju dengan cadangan berkenaan. Atas matlamat mengurangkan politiking dan pergeseran politik di negara ini, kewujudan kerajaan untuk semua itu akan dapat mengatasi banyak masalah. Isu-isu yang kini sering timbul soal polarisasi kaum, ekonimi, pendidikan, sosial, jenayah dan ketidaktelusan dalam pentadbiran juga akan dapat diatasi.

Keperluan mewujudkan perkara ini sangat penting bagi Najib khasnya. Beliau perlu sedar dengan kemenangan UBN yang gagal menguasai 2/3 kuasa di parlimen menyebabkan keadaan Najib terumbang ambing. Dalam pilihan raya lalu UBN hanya berjaya meraih 133 kerusi di mana kurang tujuh kerusi berbanding pilihan raya sebelumnya.

Selain itu Najib juga harus insaf dan sedar bahawa pilihan raya lalu mencatatkan rekod pertama bahawa parti UBN kehilangan undi popular buat pertama kali. Manakala keseluruhan sudut UBN dalam keadaan merosot. Taburan pengundian menunjukkan sokongan rakyat kepada Umno semakin membimbangkan. Keperluan membentuk gabungan seperti ini juga mustahak bagi Najib bagi membendung ada landaan oleh Muhyiddin Yassin ke atasnya.Idea untuk mewujudkan GFA ini boleh difahamkan ia bukan saja untuk menyelamat satu pihak tertapi bersifat universal.

Begitu juga pihak DAP yang kini sudah menang besar menerusi GFA ini dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa menanti kemenangan Pakatan Rakyat secara menyeluruh. Peranaan DAP di sini ialah memberi jawab secara realistik terhadap kebimbangan Najib mengenai masyarakat Cina yang dikatakan tidak mengenang budi kerajaan. Menerusi gabungan ini dengan bertindak menjadi pemerintah DAP dapat mengendurkan perasaan dan prejudis orang Melayu Umno kepada kaum Cina. Yang natijah akan mewujudkan keadan yang sihat.

Manakala bagi Anwar Ibrahim beliau juga dapat memberi sumbangan yang sama. Dengan kepakaran yang beliau ada beliau dapat membantu negara menjana ekonomi serta membentuk satu landasan masa depan yang dinamik dari segi melahirkan sebuah good governence. Anwar yang memiliki roh dan jiwa serta pengetahuan Islam mempunyai kebolehan di dalam membentuk masyarakat Malaysia yang berkualiti.

Sementara PAS pula yang menjadi pemangking kepada kerajaan ini dari serambi keMelayuan akan berperanan untuk pembangunan Islam di Malaysia. PAS boleh memainkan peranan ini kerana parti itu mempunyai pegangan dan amalan agama yang mampan berbanding dengan Umno. Apa yang diacuankan oleh Nik Aziz di Kelantan boleh dijadikan model pembangunan Islam oleh PAS untuk Malaysia.

Selain itu PAS juga boleh memainkan peranan meletakkan Islam di atas landasan sebenar seperti mana dicita-citakan.

Sememangnya idea dan perbincangan mengenai perkara ini menarik dan indah. Inilah kematangan dalam berpolitik mahu mencuba merombak paradigma. Namun saya tidak fikir dalam kloni politik Malaysia yang separuh masak dan pemainnya begitu tamak dan syok sendiri dengan idealisme dan kurang profesional, bukan mudah untuk idea seumpama ini hendak dilaksanakan. Melaksana jauh sekali untuk diajak berbincang pun sudah ada yang mengangkat tangan menolak. Tetapi saya suka membincang perkara ini kerana saya berada dari bingkai politik kepartian yang jumud dan mahu merdekakan diri dari belenggu politik purba. [wm.kl.7:15 pm 08/05/13]

Tiada ulasan: