Jumaat, 17 Mei 2013

.

.


Zahid Hamidi Yang Sombong Dan Angkuh

Posted: 16 May 2013 08:08 PM PDT

ULASAN PAGI                                                                                                                  

Luahan kemarahan Menteri Dalam Negeri Negeri yang baru Ahmad Zahid Hamidi kepada tindakan anak-anak muda yang memprotes keputusan pilihan raya lalu agar keluar dari negara ini dan mencari negara yang sesuai yang mengamalkan sisitem pilihan raya seperti mereka gemari adalah satu tindakan yang tidak bijak, bersifat sombong dan angkuh.

Sebagai seorang menteri Zahid seharusnya memahami jiwa anak muda yang memberontak kerana sebab-sebab yang mereka yakini benar. Anak muda walaupun emosi tetapi tindakan mereka berdasarkan fata yang rasional. Zahid sebagai orang separuh tua (kerana belum bongkok tiga) sepatut melayani anak muda dengan berhemah dan sopan bukannya dengan mengherdik penuh emosi.

Tidak perlu Zahid menunjuk bengkeng mentang-mentang dia baru dilantik menjadi menteri yang menjaga polis dan FRU. Sebengkeng Zahid pun mustahil taring akan tumbuh di mulutnya seperti kera atau singa.


Kita sebagai menteri adalah pemimpin untuk semua rakyat tidak kira lapisan masyarakat. Seorang menteri walaupun dia dari Umno tidak perlu bersifat seperti orang Umno semasa berdepan dengan pembangkang yang hilang kewarasan dan kesopanan adat. Zahid harus membezakan dia sebagai seorang menteri yang dibayar gaji oleh rakyat dengan dia sebagai seorang Naib Presiden Umno.

Kalau seorang pemimpin tidak dapat menguruskan suasana kebangkitan anak muda, macam mana kita dapat menangani isu-isu jenayah yang besar dan bergerak secara tersusun. Cabaran lebih besar kepada Zahid bukan menangani pesta demokrasi anak-anak muda di jalanan tetapi jenayah global. Zahid perlu memperbetulkan indeks jenayah di negara ini dengan angka yang realistik.

Kejadian tembak curi yang kerap berlaku ke belakangan ini adalah urusan utama Zahid. Zahid perlu mengherdik para penjenayah berkenaan bukannya menghalau anak muda mencari negeri baru.

Anak muda sedikit pun tidak peduli dengan herdikan Zahid itu tetapi mereka akan ketawa dan akan mengatakan; inikah kualiti menteri di bawah kabinet Najib Razak. Selepas itu mereka akan ketawa beramai-ramai hahahaha....

Zahid semalam dalam artikelnya disiarkan dalam media PB Utusan Malaysia telah melepas geram kepada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya 5 Mei lalu. Katanya ada yang cuba mengelirukan anak-anak muda dengan keputusan itu bagi menunjukkan pilihan raya di negara ini tidak telus.

Lantas itu beliau menghalau anak-anak muda dan mereka yang tidak dapat menerima sisitem pilihan raya negara ini dengan berkata; "Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka." 

Sebagai menteri dan pemimpin Zahid tidak sepatut membuat halauan demikian sebaliknya beliau kena berdepan dengan anak-anak muda atau mereka yang enggan menerima keputusan pilihan raya dengan mengemukakan bukti-bukti bahawa sistem pilihan raya di negara ini adalah terbaik.

Beliau juga kena berhujah mempengaruhi anak-anak muda sisitem diguna pakai hari ini adalah adil dan saksama, bukannya dengan mengambil tindak menghalau mereka ke negara lain. Beliau juga perlu membantu SPR untuk mempertahankan tuduhan dan dakwaan kononnya SPR gagal mewujudkan sebuah pemilihan yang bersih. Cara Zahid itu tidak ubah sebagai seorang bapak yang tidak berilmu tetapi berperangai pongoh.

Sudah tentu sikap Zahid yang bereng itu tidakakan dihormati oleh generasi muda dan kesannya orang akan mengatakan bahawa semua pemimpin Umno khas yang berada dalam kabinet semua sama, pemarah, tidak dapat menerima kritikan dan sombong serta angkuh. Pemimpin Umno jadi panas kepala apabila mereka kalah dan tidak mendapat sokongan anak muda dan orang Cina.

Saya bimbang kalau Zahid tidak menyejutkan dirinya dan cuba menunjuk perangai seperti sesetengah ketua polis, beliau akan hilang sokongan dan boleh menyebabkan kedudukannya sebagai Naib Presiden Umno akan terlepas. Seperkara yang Zahid harus sedar generasi muda di dalam Umno juga tidak senang kalau ada veteran Umno seperti Zahid memandang enteng kepada anak-anak muda dan bersikap yang tua itu serba tahu. 

Tanpa ada kelunakan kepada anak-anak muda yang boleh menyebabkan anak-anak muda bangkit menjalankan kempen untuk mengalahkan Zahid dalam perhimpunan agung Umno akhir tahun ini. [wm.kl.11:01 am 17/05/13]

Wujudkan Unit Pemantau Khas di Bawah MB

Posted: 16 May 2013 05:51 AM PDT

PANDANGAN TULUS                                                                           

Tanpa menunggu selepas pantang, biasanya 40 hari atau 100 hari menurut tradisi orang Melayu, MB Kelantan yang baru Ustaz Ahmad Yaakob telah melestarikan agenda peribadinya sebagai MB dengan menjadikan kebajikan rumah untuk rakyat sebagai prioriti. Ahmad telah meletakkan sasaran satu unit rumah untuk satu keluarga di Kelantan. Tentunya keluarga yang berpendapatan dibawah kemampuan untuk memiliki rumah.

Ahmad Yaakob: Rumah rakyat agenda utama.
Perangkaan mengenai perkara ini mungkin sudah ada dalam rekod di Pejabat Menteri Besar.

Apa disasarkan Ahmad itu bertepat dengan janji atau manifesto PAS kelantan dalam pilihan raya lalu yang mementingkan kebajikan dan keberkatan. Perumahan adalah menjadi keutamaan kepada rakyat. Tahap kemiskinan rakyat di sesebuah negeri itu akan diukur kepada pemilikan kediaman.

Di Kelantan masalah rumah menjadi masalah utama. Agak sedih sedikit program atau projek ini seakan terabai sejak 20 tahun lalu. Projek atau skim pembinaan rumah Dufah (maaf kalau salah) tidak begitu berkesan dan ia sekadar melepas kentut sebelum berak sahaja. Sekali lagi maaf kerana guna anologi kasar. Mungkin kerajaan negeri ada rekod mengenai hal ini dan sila dedahkan kepada umum.


Apabila UBN semasa kempen pilihan raya baru-baru ini menjadikan rumah kediaman untuk keperluan  rakyat sebagai manifesto pilihan raya, barulah PAS tersintak dari lamunan kealpaannya selama ini untuk mewujudkan projek perumahan untuk rakyat. Selama 22 tahun PAS lebih kepada pembangunan rohani dan jasmani, dan memberi galakan kepada pelabur tanpa memberi garis panduan kepentingan-kepentingan seperti soal rumah. Aspek hartanah, perlombongan dan balak menjadi tumpuan dan menonjol di negeri Kelantan.

Kalau disenaraikan berapa ramai pengusaha balak, lombong besi dan emas yang ada di Kelantan hari ini tentu angkanya mengejutkan. Tetapi aspek itu hanya memberi keuntungan kepada pengusaha atau syarikat tertentu tetapi tidak dapat dilihat oleh rakyat Kelantan. Perkara mudah beribu pengusaha balak yang menjalankan kegiatan itu dan sudah berjuta hektar kawasan balak diberikan di Kelantan tetapi tidak ada satu pun penambahan kilang kayu atau papan lapis (saw mill) di Kelantan.

Begitu juga dengan projek perumahan. Walaupun banyak perumahan, taman-taman yang wujud di Kelantan termasuk pembinaan kondominium, bandar-bandar baru, tetapi itu bukan untuk rakyat yang tidak mampu memiliki rumah. Tetapi itu lebih kepada pembangunan komersial yang diusahakan oleh orang persendirian. Pembangunan perumahan di sekitar Kota Bharu dan daerah lain bukan boleh dikreditkan kepada kerajaan negeri Kelantan kerana ia dibangunkan oleh swasta di mana rakyat yang dibawah mampu milik rumah tidak berhak mendapatnya.

Mungkin menyedari itulah maka Ahmad Yaakob terus meletakan isu perumahan sebagai agenda atau pun program pertamanya sebaik menjadi MB. Jelas iltizam beliau dalam aspek ini yang dinanti-nantikan oleh rakyat. Untuk tujuan itu dua buah syarikat utama milik kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diarahkan melaksanakan perumahan untuk rakyat.

Sebelum ini kalau tidak silap saya, kerajaan negeri sudah pun ada anak syarikat hartanah khasnya untuk pembinaan, iaitu Binaraya Sdn. Bhd. Tetapi peranan anak syarikat ini tidak begitu menonjol untuk membina perumahan untuk rakyat tetapi lebih kepada pembinaan bangunan dan prasarana untuk kegunaan kerajaan negeri. Mungkin kerana masalah kewangan. Justeru perwujudan Binaraya ini sebagai syarat sahaja bahawa kerajaan perlu ada kontraktornya sendiri. Paling anihnya syarikat yang menjalankan pembinaan dengan Binaraya Sdh Bhd untung berlipat ganda berbanding dengan Binaraya?

Apabila Ahmad mengarahkan agar dua agensi kerajaan itu (PKINK dan PMBK) ia menunjukkan iltizam yang tinggi Ahmad sebagai MB. Ada kesungguhan dan keperihatinan tinggi yang dibuat oleh MB itu. Sesuatu kekosongan yang berlaku selama ini cuba disini secepat mungkin.

Bagi memasti agenda utama Ahmad ini berjalan lancar dan aktiviti kebajikan lain untuk rakyat berjalan seperti diharapkan, saya ingin mencadangkan agar diwujudkan satu unit khas yang menjadi pemantau kepada segala projek itu diletakkan bawah MB. Unit ini akan bertanggungjawab menjadi pemantau dan pelapor segala perkembangan projek kepada MB secara berkala. Ia juga bertanggungjawab bagi memastikan projek perumahan itu telus dan adil.

Keperluan mewujudkan unit khas ini bukan bermakna kita sangsi kepada ketelusan pelaksana oleh PKINK dan PMBK tetapi memudahkan urusan kerja. Tidak mungkin MB akan memantau perjalanan projek itu sepanjang masa kerana beliau sibuk dengan pelbagai bidang dan tugas lain. Laporan spontan mengenai perkembangan projek itu di dalam mesyuarat MKK tidak memadai. Dengan ada unit khas ini, beliau akan diberikan maklumat perkembanganya secara detail. Selain itu juga unik ini boleh diberikan tugas bukan sekadar memantau tetapi menegur perlaksana projek berkenaan.

Sudah pasti dengan wujudnya unit ini pihak pelaksana juga tidak akan 'lerek' atau pun ralik seperti mana yang berlaku. Dalam masa sama perwujudan unit ini hendaklah berorentasikan kerja smart dan bukan ala Kelantan tetapi ala Kuala Lumpur. Sudah sampai masanya stail kerja ala Kelantan yang 'senyek' suka melengah-lengkah kerja dan kurang data maklumat dihapuskan. Data maklumat atasu sumber maklumat yang kini sudah menjadi satu keperluan asas di era ini hendaklah dilengkap dan diperkemaskan, up-date.

Ahmad Yaakob juga walaupun bukan seorang pentadbiran yang banyak terdedah dengan sistem pentadbiran moden, tetapi itu bukan menjadi alasan. Unit atau pun agensi lain yang kebanyakan dipegang atau diberi tanggungjawab kepada golongan muda perlu merubah sistem dan stail bekerja ini. Teknokrat dan pemimpin muda perlu memberi sumbangan membuat anjakan dalam pentadbiran di Kelantan.

Berbalik kepada perwujudan Unit Khas ini kelak ia akan memudahkan kerja MB dan dalam masa MB boleh mendapat apa-apa maklumat dan perkembangan berhubung sesuatu projek, dari pihak lain bukan pihak pelaksana projek. Sudah tentu laporan dan maklumat dari pemantau ini lebih telus atau tepat dari pihak pelaksana yang sudah tentu akan membela diri sendiri atau bersifat menjaga maruah diri hingga sanggup berbohong dan 'mengencung'. Unit ini juga boleh bertindak sebagai spy.

Ditegaskan keperluan Unit Khas yang khusus untuk memantau projek perumahan rakyat ini bukan kerana ketidakpercayaan kepada pelaksana dan pihak lain tetapi demi memudah dan memberi kesan kepada setiap arahan dan agenda kebajikan yang menjadi agenda utama Menteri Besar. Dalam masa sama Unit Khas ini juga nanti bertanggungjawab untuk memantau pengagihan unit-unit rumah yang siap agar ia dilakukan dengan adil dan sampai ke sasaran sebenarnya. [wm.kl. 8:50 pm 16/05/13] 

Ruhanie Perlu Adil Membuat Analisa Jangan Bias Kepada Umno

Posted: 16 May 2013 03:32 AM PDT

SUSUPAN PETANG                                                                                                          

Ruhanie Ahmad yang kini kononnya sedang membuat Phd mengenai politik antarabangsa tidak boleh menggunakan teori atau hipotesis yang tidak jelas untuk mengatakan Pakatan Rakyat atau PKR mendapat dana dari Amerika untuk perbelanjaan pilihan raya lepas.

Hipotesis atau teori yang dibuat berdasarkan pengamatan dan maklumat-maklumat di internet tidak tepat untuk membuat tuduhan atau memberi pesepsi demikin. Ia memburukkan keadaan dan merupakan fitnah dan tidak wajar dikeluarkan oleh seorang yang tahu bagaimana parti lain (Umno) banyak menggunakan wang.

Sebagai seorang bekas ahli parlimen (Batu Pahat) Ruhanie perlu turun sendiri ke lapangan untuk melihat apa yang berlaku bagi membenarkan hipotesis yang beliau buat. Apa yang dilakukan oleh Pengarah UMCEDEL Prof Redhuan Othman wajar diteladai. Beliau turun sendiri ke lapangan untuk mengetahui perkembangan politik dan tidak hanya membuat rumusan dan hipotesis dari dalam bilik kerja.


Tuduhan Amerika mendanai PKR kerana kuasa dunia itu ada kepentingan di Selat Melaka tidak tepat dan boleh dipertikaikan. Apakah PR sahaja yang boleh digunakan Amerika tetapi tidak dengan UBN? Atau apakh terlalu kerdil untuk Amerika menguasai Selat Melaka bagi membawa kuasanya di Timur sehinggakan terpaksa menggunakan saluran pilihan raya?

Ruhanie sepatutnya membuat kajian dan analisa parti mana yang banyak menggunakan wang untuk pilihan raya berkenaan. Psrti yang menggunakan wang berguni-guni sudah pasti menyalah peraturan dan mereka sudah pasti dibekal oleh mana-mana pihak. Ruhanie tidak perlu pergi jauh lihat sahaja kepada pemasangan poster dan penggunaan berbagai bentuk poster dan logistik yang lainnya. Bandingkan berapa jenis poster atau papan iklan PKR dengan UBN. Saya rasa Ruhanie tidak buta mengenai perkara ini.

Bukankah pemasangan iklan di berbagai media itu memerlukan peruntukan wang yang banyak?  Rasanya perbandingan ini sahaja sudah menemui jawaban parti mana yang kemungkinan didanai oleh kuasa asing atau mereka cari sendiri.

Selain itu Ruhanie juga perlu turun ke lapangan untuk melihat sendiri bagaimana wang digunakan bagaikan air dalam tempoh 14 hari kempen terutamanya menjelang tiga hari mengundi. Pemberian dan rasuah wang kepada pengundi berlaku di hadapan mata.

Sebagai seorang yang mahu jadi pemerhati politik berkelas antarabangsa, dan dihormati semua pihak biarlah adil dan jangan berpihak kepada parti anda - Umno. Tanya juga SPR, khasnya kepada pegawai yang telus bagaimana mereka mengejar perasuah pada malam menjelang pengundian. Ia bagaikan menghambat ayam dilesung. Siapa yang rancak memberi rasuah dan berpotensi untuk merasuah?

Apakah Ruhanie tahu dan sedar bahawa setiap calon UBN diperuntukan wang perbelanjaan lebih dari had yang ditetapkan. Apa yang saya ketahui untuk calon state bagi calon UBN mereka diberikan RM2.5 juta manakala untuk parlimen RM5 juta. Siapa atau dari mana UBN mendapat sumber kewangan ini. Ruhanie sendiri yang pernah bertanding tentu tahu puncanya.

Saya ingin maklumkan kepada Ruhanie bahawa ada calon PKR yang terpaksa jual tanah untuk belanja pilihan raya. Tidak mungkin wang yang diberi Amerika seperti diagak oleh Ruhanie itu tidak sampai kepada calon berkenaan kerana PR (PKR) sudah pasti mahukan mereka menang seberapa banyak untuk membentuk kerajaan. Adalah bodoh kalau PKR tidak membelanjakan wang sedangkan mereka mengharap kemenangan.

Ruhanie boleh menuduh dan membuat hipotesis tetapi sumbernya biarlah benar. Orang Islam diajar berkata yang haq.

Ruhanie dalam satu ceramahnya di sebuah universiti memberi gambaran yang Pakatan Rakyat sebagai sesuai menjadi agen pertukaran regim yang menguntungkan Amerika Syarikat. Lanjutan itu beliau cuba membuat fitnah mengatakan Amerika memdanai Pakatan Rakyat.

Kepada Ruhanie jadilah seorang penganalisa yang adil dan jangan cuba menmbayangi emosi politik anda untuk kepentingan Umno. Jika anda tidak dapat membebaskan diri dan berkata benar, sesungguhanya anda lebih dahsyat dari kuasa kuffar itu. Apakah anda mahu menjadi salah seorang anggota kuffar? Membohongi diri sendiri satu perbuatan yang keji dan antara kerja-kerja ahli Neraka.

Tidak bermakan kalau kita sedan syok dengan teori politik jahat dunia kita cuba sangkut mana-mana pihak di tempat kita dengan kejahatan itu.  [wm.kl. 6:13 pm 16/05/13]

Tiada ulasan: