Isnin, 27 Mei 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Selain dari Serdang, Black out juga berlaku di Kulim.. Ini laporan Polis nya..

Posted: 27 May 2013 08:28 AM PDT


Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar yang memperlekehkan aduan berlakunya kejadian terputus bekalan elektrik semasa pengiraan undi (black-out) amatlah dikesali.

Beliau juga mempersendakan aduan-aduan ini, kononnya dilakonkan terlebih dahulu dan mencabar sekiranya benar ada kejadian begini berlaku agar laporan polis dikemukakan kepada SPR.

Semalam, wakil rakyat Sri Serdang Puan Noor Hanim Ismail telah tampil menjelaskan bahawa gambar di internet yang berlegar benar-benar berlaku di dalam kawasan yang beliau tandingi.

Dengan kenyataan balas YB Noor Hanim Ismail itu, Dato' Wan Ahmad Wan Omar wajarlah mengemukakan asas bagaimana beliau boleh mempersendakan satu aduan serius yang dibuat mengenai kepincangan perjalanan pilihanraya, tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Hari ini, saya tampilkan satu lagi bukti untuk menunjukkan bahawa Dato' Wan Ahmad Wan Omar tidak pernah ikhlas untuk menangani aduan kepincangan perjalanan pilihanraya secara ikhlas.

Beliau mencabar agar ditunjukkan laporan polis sekiranya benar berlaku black-out di mana-mana tempat pengiraan undi dalam PRU13.

#siasatpru13 berjaya menjejaki satu lagi insiden black-out di Parlimen Kulim Bandar Baharu yang disertakan dengan laporan polis.

Laporan menyebut:

"Pada 5/5/2013 jam lebih kurang 0715 malam bekalan letrik terputus di dalam kawasan Sekolah Sri Lindungan Raja, Sedim, Karangan, Kedah. Saya sebagai ketua unit peti undi Kampung Tebuan, Sedim bagi PRU13 N35, P18 dan sebagai agen wakil calon PKR ditempat kiraan undi di sekolah tersebut. Kejadian ini mendatangkan kecurigaan kepada pihak saya berdasarkan perkara ini saya mendapat maklumat daripada pihak TNB dan tiada sebarang bekalan elektrik terputus di kawasan Sedim. Perkara ini disahkan oleh pihak TNB. Pada 5/5/2013 jam 0725 malam bekalan elektrik puih semula berdasarkan perkara ini juga pihak saya merasakan terdapat unsur penyelewengan. Kejadian ini berlaku hanya pada bangunan sekolah sahaja sedangkan saksi-saksi bagi pihak saya melihat kawasan di luar sekolah tiada terputus bekalan elektrik. Sekian repot saya."


Dengan adanya saksi dan laporan polis sebegini, secara langsung menjawab cabaran Dato' Wan Ahmad Wan Omar yang mahu melihat laporan polis yang dibuat.

Kini, menjadi tanggungjawab beliau untuk menerangkan bagaimana kejadian terputus bekalan elektrik hanya di tempat mengira undi pada ketika undi sedang dikira boleh berlaku, sedangkan TNB menyatakan bahawa tiada sebarang gangguan bekalan eletrik.


RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN

27 MEI 2013

Dakwat Kekal Tak Kekal : Anwar & Azizah buat laporan polis terhadap SPR

Posted: 27 May 2013 12:44 AM PDT


Berikutan dakwat kekal yang tak kekal.. Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Laporan dibuat di balai polis Tropicana berhubung kegagalan SPR melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

"Saya Anwar Bin Ibrahim telah mengundi di dalam PRU ke-13 pada 5/5/2013 di Daerah Mengundi Kubang Semang Parlimen Permatang Pauh pada jam 9.30 pagi.

"Saya basuh jari yang tercalit dakwat kekal pada jam 5 petang hari yang sama dan mendapati semua dakwat yang dicalitkan pada jari saya telah habis tertanggal.

"Saya membuat laporan ini untuk menyatakan dakwat itu tidak kekal. Ini bertentangan dengan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia yang menyatakan dakwat itu kekal seperti peruntukan Undang-Undang Pilihan Raya.

"Ini adalah satu penipuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya," tulis Anwar dalam laporannya.

Laporan diterima oleh pegawai bertugas, Koperal Mohd Haswanto Ruslan kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi.. ~ Keadilandaily

Ini pula adalah laporan Polis mengenai perkara yang sama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail..


Sila klik pada image untuk paparan lebih jelas..


Himpunan 'Black 505': Empat lagi didakwa

Posted: 26 May 2013 09:24 PM PDT


Empat pemimpin Pakatan, dua di Perak dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam perhimpunan 'Blackout 505'.

Setiausaha Pakatan negeri Ong Eu Leong yang didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 9 (1) akta berkenaan kerana didakwa gagal memaklumkan polis dalam tempoh 10 hari sebelum menganjurkan perhimpunan di Batu Kawan pada 11 Mei.

Di Mahkamah Sesyen Ipoh, MP DAP Ipoh Timor Thomas Su juga mengaku tidak bersalah apabila pendakwaan sama dibacakan ke atasnya behrubung perhimpunan di Dewan Wisma Chin Woo, Ipoh pada 9 Mei. Sementara itu, pemimpin PKR Perak Mohammad Anuar Zakaria juga didakwa mengikut sama berhubung satu lagi perhimpunan di Ipoh pada 11 Mei.

Di Negeri Sembilan, ketua AMK negeri Nazree Yunus didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban mengikut peruntukan sama berhuung perhimpunan di Seremban pada 17 Mei.

Nazree, seperti juga tiga yang lain, meminta dibicarakan atas dakwaan tersebut.

Dalam kes Su dan Anuar, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 untuk setiap tertuduh, dengan seorang penjamin, dan menetapkan 19 Julai untuk sebutan kes.

Di Mahkamah Sesyen Butterworh, Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan tarikh 27 Jun untuk sebutan kes.

Timbalan pendakwa raya Amer Hamzah Othman sebelum itu memohon agar mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Ia dibantah peguam Ong, RSN Rayer yang berkata tiada peruntukan untuk mengenakan jaminan ke atas anak guamnya itu, memandangkan Ong diminta hadir ke mahkamah dan bukannya ditahan.

Katanya, Ong telahpun memenuhi permintaan tersebut dengan hadir ke mahkamah hari ini.

Ong (gambar atas) diwakili enam lagi peguam, Ong Chin Wen, N Murali, Murali Ram, Lim Boon Beng, Jason Khor dan Ong Yiu Shin.

~ Malaysiakini

Perkasa dakwa penyokong Pakatan menipu PRU13 sebab itu majoriti besar..

Posted: 26 May 2013 06:44 PM PDT


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan penyokong Pakatan Rakyat (PR) melakukan penipuan dalam Pilihan Raya 2013 dengan mengundi dua kali dan menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan siasatan.

Menurut Perkasa, mereka curiga dengan kemenangan besar parti PR DAP, PKR dan PAS di beberapa kerusi Parlimen.

"SPR perlu siasat penyokong PR yang mendakwa dapat dua kali kertas undi," kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali dalam satu kenyataan.

"Ini dakwaan serius. Jika benar, bermakna ramailah penyokong PR mengundi dua kali dan sebab itulah PR menambah kerusi Parlimen dari PRU 2008," tambah beliau lagi.

Menurut Syed Hassan lagi, gesaan Perkasa berdasarkan kepada kenyataan penyokong PR sendiri.

"Gesaan Perkasa ini adalah merujuk kepada kenyataan penyokong PR yang mendakwa dia berjaya masuk ke Pusat mengundi dan mendapat kerja undi kedua setelah berjaya menghilangkan dakwat dijarinya setelah selesai mengundi ditempat yang sama.

"Terutamanya di Parlimen Batu Pahat, Bukit Katil, Pasir Mas, Shah Alam, Sepang, Pokok Sena dan lebih 70 kerusi parlimen lain yg dimenangi calon Pakatan Rakyat," katanya.

Dalam Pilihan Raya 2013, dua calon Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas dan Shah Alam.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya kalah di kawasan masing-masing.

PR menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular dalam Pilihan Raya 2013. Mereka menang 89 kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional (BN) yang mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan sama semalam turut menegaskan beliau menolak idea untuk bekerjasama dengan SPR dan menyokong desakan untuk pesuruhjaya SPR meletakkan jawatan serta merta.

"Kita tidak akan bekerjasama atau bekerja atau melibatkan diri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya yang menipu," kata ketua umum PKR dan menambah "kata dua" akan dikeluarkan jika mereka tidak meletak jawatan.

Dalam perhimpunan semalam, rakyat membanjiri perhimpunan itu bermula 5.00 petang dan sampai ke kemuncaknya pada 9.00 malam dengan jalan sesak dilaporkan berhampiran Lebuhraya Persekutuan. NGO menganjurkan perhimpunan itu sebagai kesinambungan kempen PR yang bermula dua minggu lalu.

Disebalik amaran polis, mengatakan perhimpunan digelar "Himpunan SuaraRakyat505" adalah perhimpunan haram, rakyat membanjiri dengan pakaian hitam sebagai simbolik penentangan mereka dan pulang secara aman.

~ The Malaysian Insider

Tiada ulasan: