Selasa, 30 April 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Tercapaikah impian kita..... (30/4/13)

Posted: 29 Apr 2013 09:23 PM PDT


Dalam akhbar The Star hari ini Joceline Tan di dalam ruangan "Comment" nya mengulas pankang lebar darihal ramalannya terhadap keputusan PRU ke 13 nanti.
Mungkin bagi kita yang sedang rancak dan bertenaga mahu melangkah ke Putrajaya, pandangan negatif ini dikira sebagai sebahagian dari "perang saraf" BN. Walaubagaimanapun bagi saya elok juga ditinjau-tinjau dan dikaji demi memperbaiki kelemahan dan memastikan ianya tidak tepat dan meleset.

Joceline membayangkan lonjakkan besar sokongan terhadap PR akan datang khasnya dari pengundi Cina di bandar. Beliau anggarkan sekitar 80% pengundi dalam segmen ini sudah pasti mengundi PR. Namun bagi beliau gegaran politik yang dijangkakan bagi PRU ke 13 ini akan hanya terhad pada kawasan bandar dan sekitar yang melibatkan kehadiran pengundi Cina.
PR menang 82 dari 222 kerusi parlimen dalam PRU ke 12 lalu. Untuk menguasai Putrajaya dengan kelebihan 1 kerusi PR perlu menang semua 82 kerusi berkenaan ditambah dengan 30 kerusi lain.

Di sinilah menurut Joceline masalahnya. Menurut beliau DAP contohnya yang akan memperoleh keuntungan terbesar dari mencanaknya undi Cina terhadap PR sesungguhnya telah hampir mencapai pencapaian maksima mereka. Ada tidak pun mungkin DAP boleh mempertingkatkan pencapaian dengan beberapa kerusi khasnya di Johor, Sabah dan Sarawak. Johor satu-satunya negeri dimana MCA masih punya beberapa kerusi.
Saya sendiri sebelum ini menjangkakan pencapaian besar DAP kali ini  dimana dalam posting sebelum ini saya menjangkakan DAP bakal menang 15-0 di Selangor (iaitu menang kesemua kerusi DUN di Selangor yang ia tandingi, sebelum ini DAP menang 13 kalah 2)

Cabaran sekarang adalah undi Melayu. Sekali lagi kita terhimpit dengan delima samada pengundi Melayu akan atau tidak memihak ke PR kali ini. Joceline menjangkakan:
"The thing about this Chinese wave is that it has sent a counter Malay wave surging towards Barisan."

(Lonjakan sokongan masyarakat Cina ini (terhadap PR) telah mencetuskan lonjakan lawan masyarakat Melayu terhadap Barisan)

Benarkah pengundi kita hari ini sudah terbelah menurut kaum sehingga begitu kritikal sekali?!
Secara keseluruhannya mungkin tidak. Penduduk di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin tidak termasuk dalam pengaruh ini kerana kecenderungan mereka diketahui berbeza.

Joceline mendakwa PR hanya menjangkakan pertambahan tetapi tidak mengambil kira apakah ia mampu bertahan pada 82 kerusi yang ia menang, sebahagian dengan majoriti tipis dan kecil. Joceline menjangkakan ini sukar kerana Kedah hampir tumbang (menurut beliau), di Kelantan BN dijangka menang di 6 kerusi Parlimen lagi.
Apa pun itu pandangan dan pemerhatian beliau. Buat kita, sewajarnya kita kaji dan perbaiki jentera kita di hari-hari terakhir ini supaya Joceline dan yang lain-lain nanti terbukti salah. Jentera PR di peringkat akar umbi mesti gagah bekerja, jangan emosional dan jangan bersahaja.

Jika kita yakin angin kemenangan semakin kuat bertiup ke arah kita, maka pertingkatkanlah lagi usaha kita. Jangan terbuai dengan lagu yang enak-enak tetapi bergeraklah menurut realiti dan perkembangan semasa. Ternyata undi Melayu kritikal, maka usahakanlah agar ia dicapai semaksima mungkin.
Semoga Allah bersama-sama kita.

Tiada ulasan: