Jumaat, 26 April 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Bukan Mat Taib tetapi Islam lah "PIALA" yang dijulang (26/4/13)

Posted: 25 Apr 2013 08:21 PM PDT


Hari ini rakan saya Joceline Tan di dalam ruangan "Analysis" nya dalam akhbar The Star menumpukan ulasan pada penyertaan bekas MB Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam PAS. Semalam ketika menghubungi saya dan bertanya pandangan saya darihal kesan penyertaan Mat Taib serta impaknya ke atas PRU di Selangor, secara jujur saya menyatakan bahawa semasa saya berada di Tanjung Karang baru-baru ini, penduduk tempatan (masyarakat Kampung Melayu) begitu "excited" dengan perkembangan terbaru itu dan menanti-nantikan Mat Taib.
Pastinya ada kesan buat PAS dan PRU di Selangor khasnya dikalangan orang-orang Melayu. Kerana saya telah menyatakan sebelum ini dalam posting saya memang Mat Taib punya rekod yang berwarna-warni selama 11 tahun menjadi MB di Selangor, tetapi yang pastinya beliau seorang MB yang sentiasa ke bawah, dekat dengan rakyat. Sebagaimana Allahyarham Dato Harun Idris dahulu begitu dekat dengan rakyat walaupun beliau berakhir dengan berihat di Penjara Pudu.

Dari segi karekter dan peribadi Mat Taib disenangi khasnya  penduduk luar bandar di Selangor. Mungkin kerana pengalamannya sebagai seorang guru, yang memungkinkan beliau lebih hampir pada rakyat berbanding dengan seorang lagi bekas MB Khir Toyo contohnya.
Apa pun dari pemerhatian saya, penyertaan Mat Taib itu disambut dengan senang hati oleh penduduk luar bandar, kecuali yang Umno yang pastinya marah-marah.

Joceline menulis bahawa PAS mudah sahaja memaafkan dan menerima musuh-musuhnya, seakan PAS ini oportunis sanggup melakukan apa sahaja demi menadapat kuasa.
Beliau berhak berpandangan demikian tetapi itulah politik.

Tambah pula dalam Islam, kalau Rasulullah saw pun pernah berdoa kepada Allah swt agar membuka pintu hati Umar bin al Khattab atau Abu Jahal bin Hisham untuk menerima Islam, akhirnya ditakdirkan Umar memeluk Islam, apalah salah kita berdemikian pada Mat Taib sedang Mat Taib sudah pun Islam dan Alhamdulillah sekarang bersama pula perjuangan Islam.
Joceline tidak tahu begitu juga Rasulullah saw ketika Pembukaan Kota Mekah, dengan mudah menerima Islamnya, musuh besar Islam ketika itu, Abu Suffian dan Rasulullah telah memberikan kedudukan yang mulia buatnya walaupun beliau sebelumnya merupakan musuh.

Hal-hal ini tidak menjadikan Rasulullah oportunis tetapi itulah fiqh al harakah yang diturunkan oleh Baginda kepada umat Islam untuk dijejaki dan diikuti sehingga akhir zaman.
Joceline menganggap Mat Taib bagaikan satu piala yang diusung PAS ke hulu ke hilir, malangnya piala itu "somewhat chipped" sedikit sumbing. Bagi PAS bukan Mat Taib tetapi Islam itulah piala yang PAS julang sejak dari tarikh penubuhannya awal 1950an sehinggalah sekarang. Hari ini Mat Taib memilih untuk bersama menjulang piala yang sama.

Dan piala inilah yang akan kita julang pada 5 Mei nanti, dan dengan izin Allah jika ditakdirkan berjaya insyallah Negeri dan Negara akan menjulangnya buat selama-lamanya.

Tiada ulasan: