Roslan SMS Corner |
Formula kemenangan menghadapi musuh (16/4/13) Posted: 16 Apr 2013 12:39 AM PDT Dalam kesibukan kita mengikuti perkembangan PRU ke 13 elok rasanya kita sentiasa ingat mengingati sesama kita kerana atas apa kedudukan kita sekalipun dalam PRU ini, tugas PRU ini adalah bagi menaikkan pemimpin dan amanah itu perlu diulang-ulang dan dingatkan kepada kita agar kita tidak terlupa dan tersasar dari matlamat asal. Terbaru saya kagum dengan peringatan yang diberikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain sebagaimana yang dimuatkan di :Dalam kita sibuk bertempur, elok sangat peringatan seumapama ini: "….wakil rakyat menanggung amanah besar yang diberikan oleh Allah. Wakil-wakil rakyat juga diingatkan agar berkhidmat dengan baik kepada rakyat dengan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan setiap apa yang dijanjikan secara penuh telus dan beramanah serta mandat yang diberikan oleh rakyat seharusnya tidak khianati……PAS lahir membawa perjuangan Islam berdasarkan Al-Quran serta hadis dan ianya telah menjadi sinonim kepada rakyat Malaysia. Dasar Islam yang diperjuangkan PAS tidak pernah bertukar dan ianya kekal walaupun bersama Pakatan Rakyat. Yang penting bagi kami (PAS) ialah prinsip Al-Quran itu akan dapat dijelmakan dan dirasai bersama oleh rakyat dengan keadilan untuk semua yang hidup di muka bumi ini…" Jika kita berebut hendak menjadi calun. Ghairah menaikkan nama sendiri. Kita terlibat dalam mencantas sesama kawan, menaikkan orang yang kita suka dan menjatuhkan yang tidak, maka tidak ada beza kita dengan musuh. Jika begitu kita tidak layak menjuarai perjuangan Islam. Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad (bekas Timbalan Presiden PAS) pernah berkata: "Satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan ada pada kita maka ada harapan cita-cita kita ini akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat, sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan." Semoga calun-calun PAS yang dipilih adalah dari kalangan yang baik-baik, yang ikhlas dan bersedia menjadi hamba kepada rakyat dengan menjunjung amanah Allah swt. Satu pesanan yang paling baik kita ingati adalah pesanan Saidina Umar al Khattab, Amirul Mukminin kepada Saad bin Abi Waqqas yang merupakan Jeneral Tentera Islam semasa mahu bertempur dengan Tentera Parsi: (Apakah persediaan yang paling baik dalam pertempuran ini? Senjata canggih? Wang ringgit?) "Bertaqwa kepada Allah dalam semua keadaan. Maka sesungguhnya bertaqwa kepada Allah itu sebaik-baik persediaan untuk menghadapi musuh dan sebaik-baik taktik di dalam peperangan. (Adakah kekuatan musuh yang perlu kita geruni? Kejahatan musuh?) "Aku memerintahkan kamu dan siapa sahaja yang bersamamu supaya lebih berhati-hati terhadap diri kamu lebih daripada terhadap musuh kamu, kerana dosa yang dilakukan oleh bala tentera kita sepatutnya lebih ditakuti mereka daripada takutkan musuh. Sesungguhnya diberi pertolongan kepada orang-orang Islam itu dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh terhadap Allah………jika kita sama sahaja mengerjakan maksiat maka mereka melebihi kita dari segi kekuatan." Maksiat ini luas maknanya. Bukan sekadar berzina, rasuah, mencuri. Apa sahaja yang berlawanan dengan "ketaatan" pada Allah swt adalah maksiat. Berbuat jahat, menganiaya, mengambil hak juga adalah maksiat. Semoga Allah swt terus mengunriakan kemenangan kepada mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya. |
Calon-calon BN Umno sekali imbas (16/4/13) Posted: 15 Apr 2013 11:00 PM PDT Senarai nama calon-calon yang bakal mewakili parti masing-masing bagi kerusi Parlimen dan DUN dikeluarkan beransur-ansur oleh masing-masing parti. Terbaru BN telah mengeluarkan senarai calon-calonnya untuk negeri Selangor pagi tadi. Saya lihat BN Selangor begitu bersungguh dan ghairah mahu menang kembali Selangor. Sejak tumbang dalam PRU ke 12 lalu, mereka bagaikan tidak boleh tidur-tidur. Agak-agak terus tertidur lepas ini?Dengan semangat berkobar-kobar kita menjangkakan BN akan terbit dengan senarai calon-calon yang hebat-hebat, "winnable" sebagaimana impian Presiden mereka. Malangnya meneliti senarai yang dikeluarkan sekali imbas, saya menjangkakan BN akan kekal sebagai pembangkang di Selangor. Bukannya saya berkata demikian kerana saya bukan BN, tetapi hakikatnya terpahat pada nama calon-calon yang tersenarai, yang antaranya merupakan muka-muka "recycle", mewairisi skandal dan tak kurang yang sudah maghrib. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak saya jangka akan menang mudah. Melihat nama calon BN-Umno bagi kerusi tersebut adalah bekas ahli Parlimen, Datuk Dr Rahman Ismail, alahai mudah sangat pimpinan BN lupa pada cerita-cerita lama yang mengakibatkan nama Dr ini digugurkan dahulu. Begitu juga di Kuala Selangor. Cikgu Parthiban yang pernah tewas dalam PRU lalu di DUN Bukit Malawati di "recycle" oleh BN-MIC untuk bertanding di Ijok manakala seorang "old timer" yang saya musykil kelayakan akademiknya (kerana saya kenal beliau) Jakiran Jacomah bertanding atas tiket BN-Umno untuk DUN Bukit Malawati. Di Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib yang tewas kepada Zuraidah Kamaruddin (PKR) dengan majoriti 3676 undi di "recycle" semula oleh BN-Umno, banyak melegakan Kak Zu dan rakan-rakan di Ampang saya pasti. Di Parlimen Shah Alam, BN-Umno saya kira membuat kesilapan yang paling besar apabila melepaskan ayam tambatannya yang baru dijerat, Zulkifli Nordin, yang "bagasi" nya terlalu berat dan isinya memualkan. Tindakan BN itu memudahkan pengundi Shah Alam membuat pilihan! Di Sementa, Kapar pula, BN-Umno menamakan seorang lagi calon "recycle" iaitu anak kepada bekas ADUN Md Ghazali Mohd Amin. Pada PRU lalu beliau bertanding di DUN Meru dan tewas kepada calon PAS dengan majoriti 5513. Kali ini cuba pula di DUN lain, rasa-rasa nasibnya tak akan banyak berubah. Dalam pada itu apabila nama Tengku Ridwan Tengku Mansor, adik kepada Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan (bertanding di Putrajaya) disebut naik untuk merebut kerusi DUN Seri Setia, Kelana Jaya, sebahagian orang kuat Umno Kelana Jaya telah membikin protes di PWTC. Ridwan dikatakan orang luar yang diterjunkan tanpa izin anak tempatan, maka bergeloralah Seri Setia, sekaligus memberi nafas lega kepada sahabat saya Nik Nadzmi yang insyallah akan mengekalkan kerusi tersebut buat penggal kedua. Demikianlah sebagaimana saya sebutkan penelitian saya sekali imbas. Terlupa pula nak sebut, Noh Omar yang kekal bertanding di Tangkung Karang. Dari maklumat yang saya terima Noh selesa mahu terus jadi menteri kerana yakin MB tetap berada ditangan PR. Kawan-kawan di Tanjung Karang perlu buktikan Noh akan menjadi "mantan" menteri dan tidak lagi menteri selepas ini. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan