Ahad, 14 April 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Apabila satu calon bertanding dua kerusi....(14/4/13)

Posted: 14 Apr 2013 03:43 AM PDT


DAP setakat ini masih belum mengumumkan adakah calon-calonnya nanti akan bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen dan Negeri sebagaimana sebelum ini atau adakah cuma Setiausaha Agungnya sahaja seorang yang diberi pengecualian, iaitu Lim Guan Eng kerana beliau Ketua Menteri Pulau Pinang.
PKR pun belum berbuat demikian.

Tetapi PAS telah pun mengumumkan calon-calon di Johor yang akan bertanding kerusi Parlimen dan Negeri.
Secara peribadi saya bersependapat dengan Karpal Singh bahawa kita mesti mempamirkan kematangan dan kedewasaan kita, dengan mengenengahkan satu calon untuk satu kerusi kerana kita punya ramai calon-calon yang berwibawa dan mampu setelah sekian lama kita berada dalam gelanggang demokrasi di Malaysia. PAS lebih kanan dari DAP dari segi usia.

Namun mungkin pimpinan parti mempunyai pandangan berbeza, wallahualam.
Mungkin ada kelebihan yang mereka fikirkan.

Saya berharap begitulah. Tetapi saya juga tidak boleh menafikan bahawa di sana turut ada kekurangannya. Dalam situasi hari ini, musuh akan memainkan isu ini. Contohnya jika calon PAS bertanding dua kerusi satu Parlimen X dan satu DUN Y. Di Parlimen X mereka akan berkempen berilah kemenangan kepada calon BN kerana calon PAS juga bertanding di DUN Y. Di DUN Y pula mereka akan berkempen sebaliknya. Kesudahannya kita bakal menjadi laksana "lebai malang" sini terlepas sana pun terlepas.
Tetapi pandangan ini sekadar pandangan peribadi saya. Saya percaya pihak yang membuat keputusan memandang lebih jauh dari itu. Semoga pandangan dan bacaan mereka benar dan tepat, dan saya salah.

(Tahniah DS Nizar kerana bertanding 1 kerusi bagi menyediakan diri menjadi MB, syabas)

Tahap sokongan rakyat terhadap PR - PAS (14/4/13)

Posted: 14 Apr 2013 03:29 AM PDT


Pada Sabtu 20 April ini parti-parti yang bertanding akan mengemukakan calon-calon secara rasmi untuk bertanding dalam PRU ke 13 yang Hari Mengundinya telah ditetapkan pada 5 Mei 2013. Kini tiada lagi teka-teki terhadap tarikh-tarikh di atas. Teka-teki kini terletak pada calon-calon selain harapan parti-parti yang bertanding.
Bolehkah PR menumbangkan BN diperingkat Persekutuan? Bolehkah PR pertahankan Selangor? Mampukah BN merampas Kelantan?

Masing-masing kalut dengan ramalan, hujah dan jangkaan.
Sesunggunya PRU ke 12 lalu telah memecahkan "berhala" khurafat yang mengatakan tiada langsung kemungkinan yang BN boleh tercabar diperingkat Persekutuan. Memang demikianlah hakikatnya antara PRU 1 hinggalah ke 11. Rupanya setelah lebih 55 tahun Merdeka barulah rakyat Malaysia yakin dan mahu mencuba-cuba kepada kemungkinan merubah parti yang memerintah diperingkat Persekutuan.

Saya teringat dalam satu forum ketika saya masih seorang siswa kalau tak silap sebelum PRU 1982 di bangunan lama DBKL, seorang aktivis PAS (Cina Muslim) yang berkobar-kobar bertanya kepada Penasihat DAP kini, Lim Kit Siang (yang merupakan salah seorang ahli panel), adakah DAP sudah bersedia mengambil-alih pemerintahan Pusat kerana menurut aktivis itu PAS sudah bersedia!
Kini setelah 30 tahun rupanya barulah soalan aktivis itu dikira relevan.

Jadi bagaimana harapan PR dalam PRU ke 13 ini? Ia suatu soalan yang subjektif kerana setiap hari ada sahaja perkembangan terbaru yang samada memihak kepada PR mahupun kepada BN dan pasang-surut ini dijangka berlarutan sehingga ke hari terkahir iaitu hari rakyat Malaysia membuat keputusan iaitu pada 5 Mei nanti.
Sejurus PRU ke 12 lalu pelbagai kajian dibuat terhadap "tsunami" PRU 2008. Yang jelas terdapat lonjakkan kuat perubahan citrasa politik rakyat ketika itu. Menurut sebuah NGO dan rata-rata saya melihat keputusan kajian ini sama dengan yang lain-lain secara purata sokongan kepada BN pada PRU itu yang ketika itu diketuai Pak Lah adalah seperti berikut:

Melayu: 54.4% Cina: 39.5% India: 10.4% atau dalam lain perkataan PR memperolehi undi Melayu: 45.6% Cina: 60.5% dan India 89.6%
Itu secara umum. Ada tempat-tempat yang melihat lonjakkan yang lebih besar terhadap PR khasnya di kawasan lebih 70% pengundi Cina dan di kawasan-kawasan bandar terutama di Lembah Kelang, Lembah Kinta dan Pulau Pinang.

Dengan pola pengundian seperti diatas BN dinafikan dua pertiga majoriti di Parlimen dan PR menang di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan.
Namun di Sabah dan Sarawak bagi kerusi Parlimen DAP cuma menang satu kerusi di Sabah dan satu di Sarawak (tak termasuk Sibu yang menang dalam PR kecil) sedangkan PAS dan PKR tewas.

Bagaimanakah kecenderungan hari ini? Adakah ia semakin meningkat atau merosot atau bagaimana?
Ada yang mengatakan sokongan pengundi Melayu sudah menurun kurang dari 40%, India juga dikatakan menurun sehingga ke paras 50% manakala sokongan pengundi Cina terus mencatatkan positif sehingga mencecah 70% atau mungkin lebih.

Hari ini rata-rata pimpinan PR menjangkakan kecenderungan pengundi Melayu terhadap PR sekitar 30an peratus, terkecuali mungkin di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis serta kerusi-kerusi majoriti Melayu di bandar-bandar besar contohnya di Parlimen Gombak, Ampang di Selangor.
Di Johor contohnya kem DAP menjangkakan Lim Kit Siang mempunayi potensi untuk menang di Parlimen Gelang Patah (walaupun Ghani Othman diramalkan bertanding) yang mempunyai 54% pengundi Cina, 34% Melayu dan India 12% . Mereka menjangkakan Lim boleh menang dengan kelebihan 1.5% undi sekiranya mereka berjaya meraih 70% sokongan pengundi Cina, 38% Melayu dan 50% India.

Jika ukuran kem Lim boleh dijadikan kayu pengukur bermakna begitulah purata sokongan para pengundi sekarang iaitu:
Yang bakal menyokong PR: Cina 70% Melayu 38% India 50%.

Kalau "benchmark" ini digunakan, bagaimanakah impaknya diperingkat Persekutuan? Bagaimana di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain?
Ini sekadar satu kemungkinan dan sesungguhnya angka-angka ini berubah-ubah dari masa ke semasa. Ia tertakluk kepada perkembangan semasa, persepsi rakyat dan para pengundi, kekuatan jentera parti-parti dan sudah semestinyalah kehendak Allah swt.

Saya akan cuba menggunakan "benchmark" ini untuk lihat harapan PR dan PAS khasnya di negeri-negeri lain…………….(bersambung)

Tiada ulasan: