Jumaat, 5 April 2013

Muslimeen United

Muslimeen United


Khairy Seakan Terbau Yang Beliau Tidak Dicalonkan

Posted: 04 Apr 2013 05:36 PM PDT

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar nampaknya semakin terasa dan dapat membaca 'kilau didalam kilat' mengenai dirinya di dalam pilihan ke-13 ini. Beliau seperti sudah terbau apa yang akan berlaku terhadap dirinya.

Khairy telah memberi nasihat dan amanat berguna kepada anak buahnya agar tidak merajuk dan terus bekerja untuk menjamin kemenangan parti walaupun tidak dicalonkan. Sambil menasihati mana-mana kawan yang mungkin tidak akan dicalonkan, beliau juga turut memberi peringatan kepada dirinya sendiri agar tidak kecewa.

Apakah nasihat atau gambaran itu boleh dikatakan Khairy sudah merasakan dia tidak akan diturunkan oleh partinya untuk mempertahankan kerusi Rembau? Khairy seperti telah mengambil tindakan 'berundur' sebelum orang mengundurkan dirinya.

Lama sebelum ini Khairy sudah pun membayangkan dia tidak berminat untuk mempertahankan kerusinya. Tanpa memberi tahu kenapa orang dapat menyuluh sebabnya kerana beliau didiskriminasikan oleh Najib Razak di dalam kabinet. Khairy menjadi ketua pemuda yang hina di dalam Umno kerana dinafikan hak-hak atau pun keistimewaan yang ada kepada pemegang jawatan itu seperti mana lazimnya.

Najib tidak melantiknya memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan seperti mana sepatutnya. Usahkan menteri timbalan menteri pun tidak. Apa lagi memalukan dan ini juga menyebabkan menantu bekas PM itu bertarung dengan dirinya sendiri apabila timbalannya diberikan jawatan menteri, tetapi beliau tidak.

Itu tidak mengapa lagi, yang paling senak kepadanya ialah apabila orang yang kalah dengannya, diberikan jawatan, juga timbalan menteri. Ini adalah satu penghinaan. Namun Khairy dapat bersabar sehingga genap lima tahun menanggung risiko jiwa itu, memakan hati berulamkan jantung. Ini satu kejayaan buatnya.

Walaupun begitu Khairy dapat menahan perasaan dan terus berkhidmat sebagai seorang ketua pemuda seperti biasa. Khairy tidak menunjukkan dia kecewa dan melakukan protes. Beliau tidak mengajar atau menyuruh anak buahnya dalam pemuda membuat desakan membela dirinya.

Tribulasi dan takdir itu secara tidak langsung menjadikan Khairy lulus sebagai seorang politician yang jujur dan ikhlas dan meletakkan dirinya sebagai pejuang parti sebenarnya. Beliau terus bangkit dengan idea, pandangan-pandangan bernas serta pembelaan kepada parti dengan tuntas apabila parti diserang oleh oposisi.

Beliau tidak mengharapkan balasan di atas apa yang beliaulakukan. Tetapi hukum kerma tidak berpihak kepadanya. Jasa dan sikap profesional yang ditunjuknya tidak juga dipedulikan Najib. Najib tidak tahu menggunakan kepandaian Khairy dan juga tidak reti bagaimana untuk menjadikan Khairy sebagai pemangkin politik dirinya.

Kenapa? Tiada sebab lain melainkan kerana Najib akur kepada Mahathir Mohamad yang berdendam dengan Kahiry kerana telah mengalahkan anaknya Mukhriz. Mahathir menggunakan alasan Khairy rasuah atau menang dengan rasuah bagi menolak hakikat kekalahan anaknya. Orang yang menjadi penghalang atau memisahkan antara pemuda dengan Najib ialah Mahathir.

Sehebat-hebat manusia berlawanan dengan diri dan perasaanya selama mana sangat boleh dilakukan. Jadi apabila Khairy membayangkan dia tidak berminat untuk bertanding ada dua kemungkinan akan berlaku; beliau digugurkan atau beliau sendiri akan menggugurkan dirinya. Dari sudut atau normal orang politik mereka tidak akan mengggugurkan dirinya melainkan akan digugurkan.

Jadi apabila Khairy sudah berbau dia tidak dicalonkan sebab itulah dia membayangkan sesuatu yang bakal menyedihkan dirinya. Tetapi nampaknya dia gentlemen. Kalau Khairy digugurkan dan tidak diberikan kerusi untuk bertanding, nasib Khairy sama seperti nasib lawannya dalam pilihan raya ke-12 lalu Badrul Hisham Shahrin atau che'GuBard yang juga kini sedang memakan hati berulamkan jantung, tetapi terus menjadikan dirinya sebagai lilin membakar diri demi mencerahkan parti.

Harap-harap kalau Khairy tidak dicalonkan dia juga akan menjadi lilin yang terus membakar diri untuk memberi pencerahan kepada partinya. -MSO

Taib Mahmud Perlekeh SPRM, Apakah Tiada Tindakan Terhadapnya?

Posted: 04 Apr 2013 05:34 PM PDT



Taib enggan beri kerjasama pada SPRM

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau "tidak akan bekerjasama" dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung siasatan mengenai urusniaga belakang tabir didakwa melibatkan anggota keluarganya.

SPRM juga tidak layak mendapat kerjasama darinya kerana kerana suruhanjaya itu didakwa bertindak "nakal" dan "tidak jujur", kata Abdul Taib ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat dewan tertinggi BN di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Taib juga menegaskan beliau tidak takut untuk disiasat oleh badan anti-rasuah itu.

"Mereka tidak layak terima kerjasama dari saya kerana mereka nakal dan tidak bertindak jujur.

"Biarkan mereka (SPRM) buat kerja. Selagi mereka berlaku adil saya tidak takut," katanya ketika ditemui pemberita di PWTC hari ini.

Taib juga menafikan tanggapan bahawa isu yang dibongkarkan melalui satu video oleh NGO antarabangsa Global Witness itu akan menjadi bebanan kepada BN dalam pilihan raya akan datang.

Malah, beliau juga berjaya mendapatkan majoriti dua pertiga kepada BN di Sarawak dalam pilihan raya umum ke-12.

"Saya bebanan? Saya telah menang pada pilihan raya lalu dengan lebih dua pertiga majoriti dan mereka tidak kisah pun tentang perkara ini," katanya lagi.

Ditanya lagi sama ada pendedahan tersebut memberi kesan terhadap sokongan rakyat di Sarawak terhadap BN, Taib berkata kesannya amat kecil.

"(Kesannya) Minimum. Ia tidak bersesuaian dengan sentimen penduduk tempatan," katanya lagi.

SPRM pada 20 Mac lalu mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan ke atas maklumat video yang didedahkan Global Witness itu.

Bukti video berkenaan antara lainnya merakam dakwaan yang menunjukkan bagaimana ahli keluarga Abdul Taib dan rakan perniagaannya menyalahguna lesen pembalakan untuk memperkayakan diri mereka.

Suruhanjaya itu turut menjalankan serbuan ke atas pejabat seorang peguam yang dikaitkan dalam video terbitan NGO antarabangsa itu.

Maruah dan keredibiliti SPRM tercabar.

Teramat nyata sekarang pemimpin BN sendiri memperleceh dan memperlekehkan SPRM.

Rakyat kini menunggu apakah tindakan SPRM selepas ia diperlekehkan sedemikian rupa dengan keengganan Taib Mahmud memberikan kerjasama terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Apakah SPRM bersedia untuk mendapatkan waran tangkap kepada pemimpin BN Sarawak itu?

Jikalah yang bercakap sedemikian adalah pemimpin Pakatan Rakyat, GB rasa dah hiruk pikuk satu Malaysia...

Jika tiada tindakan dari SPRM, itulah bukti nyata SPRM adalah kuda tunggangan UMNO BN fullstop. -GB

PRU13: TG Nik Aziz umum Dun Kelantan bubar

Posted: 04 Apr 2013 05:34 PM PDT


KOTA BHARU: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengisytiharkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) jam 11.56 malam tadi setelah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V.

Beliau ketika mengisytiharkan perkara itu berkata, serentak dengan pembubaran itu, dokumen pengisytiharan pembubaran itu akan dihantar kepada pihak Suruhanya Pilihan Raya (SPR) malam tadi juga.

Beliau mengisytiharkan pembubaran itu di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, di sini.

Tuan Guru seterusnya berkata, pembubaran itu juga selaras dengan Parlimen Malaysia yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 April lalu.

"Saya telah memohon ampuni perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan untuk turut melakukan pembubaran Dun.

"Ianya mengikut perkara 46 (2) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama)," ujar beliau.

Sehubungan itu, Tuan Guru seterusnya mengingatkan rakyat Kelantan dan Malaysia seluruhnya supaya memahami berpolitik adalah sunah Rasulullah.

Tuan Guru berkata, pada yang mengatakan politik dan agama satu perkara yang berasingan sewajarnya sedar tentang kesilapan itu.

Beliau seterusnya berkata, sewaktu Baginda berada di Madinah, Rasulullah telah mengetuai kerajaan dengan memegang tanggungjawab menteri kewangan, menteri dalam negeri, menteri luar dan sebagainya.

"Surat-surat yang dihantar oleh Rasulullah pada Raja-Raja sekitarnya menyedari Rasulullah adalah seorang pemimpin besar," ujarnya.

Berikut kenyataan media Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pembubaran Dun Kelantan.

Selaras dengan pembubaran parlimen yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 22 Jamadil Awwal 1434H bersamaan 3 April 2013M, saya telah memohon ampuni perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan untuk turut melakukan pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan mengikut Perkara 46 (2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama). Ini membolehkan penetapan tarikh hari penamaan calon dan pilihanraya bagi Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri dapat diadakan serentak.

Justeru, dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Dewan Undangan Negeri Kelantan dengan ini diisytihar dibubarkan pada hari ini 23 Jamadil Awwal 1434H bersamaan 4 April 2013M. Dokumen pengisytiharan pembubaran ini akan dihantar kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya dengan kadar yang segera.

Sekian, terima kasih. -Hrkh


Tiada ulasan: