DIALOG RAKYAT |
- Mafrel pantau penyalahgunaan media, kempen sebelum tempoh
- ‘Najib takut bertanding di tempat lain selain di Pekan’
- Tengku Razaleigh Boleh Bantu PR Memerintah
- 200 Orang Muda Sertai PAS
- Apa gunanya Anwar lari ke Perak?
- SPR Selangor Gagal Bertindak : Pengundi Fail Semakan Mahkamah Mohon Batal Nama
- Kakitangan Awam Selangor Terima Bonus Penghargaan
- Mat Sabu bertanding di Kedah
- Anwar: Wan Azizah tidak tanding kali ini
- Isu Lahad Datu: 'Datuk Seri', 3 lain ditahan
- Pas Terengganu bakal tampil seorang calon wanita
- Debat PRU 13 (Pilihanraya Umum 13). Anwar Ibrahim VS Najib Razak. Debat Manifesto Anda Kepada Rakyat!
- Anwar isytihar senarai penuh calon PKR Perak malam ini
- Najib bayangkan pertahan kerusi Parlimen Pekan
Mafrel pantau penyalahgunaan media, kempen sebelum tempoh Posted: 04 Apr 2013 08:04 AM PDT Oleh Arif Juhani KUALA LUMPUR : Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) akan bekerjasama dengan NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) untuk memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 lancar serta aman. Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pemantauan khusus terhadap media massa akan dijalankan bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan jentera kerajaan untuk kegunaan kempen parti politik tertentu. "Pemantauan juga merangkumi untuk tiga tempoh iaitu penamaan calon, berkempen dan pada hari pembuangan undi. "Setakat ini, Mafrel sudah bermesyuarat dengan beberapa NGO yang turut membantu memastikan situasi selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) berjalan lancar. "Dari semasa ke semasa, Mafrel akan menjelaskan sebarang situasi yang berlaku," jelas Syed Ibrahim kepada Keadilan Daily. Dalam pada itu, beliau menjangkakan antara isu paling hangat menjelang pilihan raya adalah berkempen sebelum tempoh itu dimulakan. "Sebelum ini kempen secara terang-terangan berlaku di beberapa kawasan dan tindakan itu menyalahi undang-undang pilihan raya," kata Syed Ibrahim. Menurutnya, masalah ini akan diatasi melalui mekanisme pembendungan dengan kerjasama pasukan keselamatan, kumpulan pemantau dan ejen mengundi, mengira undi dan bilik mengundi (Pacaba). Beliau turut menggesa agar setiap parti yang bertanding mengamalkan etika pilihan raya yang adil dan bebas serta melindungi hak pemilih dengan membenarkan mereka menentukan undi secara bebas tanpa melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan pilihan raya. "Dalam konteks ini, peranan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan polis amat diperlukan bagi menjaga keseimbangan proses pilihan raya," katanya. – NS | ||
‘Najib takut bertanding di tempat lain selain di Pekan’ Posted: 04 Apr 2013 06:06 AM PDT Oleh: Aliff Fikri KUALA LUMPUR : Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak takut untuk bertanding di kawasan parlimen selain Pekan kerana merasa kedudukannya hanya selamat di situ, kata Dr Afif Bahardin. Naib Ketua AMK Pulau Pinang itu berkata, ia berbeza dengan keputusan diambil Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku pemimpin nasional yang bersedia bertanding di mana-mana sahaja kerusi Parlimen. Sehubungan itu beliau mencabar Najib agar bertanding di kerusi Permatang Pauh, atau berdepan dengan Anwar sendiri di Perak. "Tindakan Najib mengkritik keputusan Anwar untuk bertanding di Perak adalah tidak relevan kerana beliau sendiri takut untuk bertanding di tempat lain selain dari Pekan. "Najib sebenarnya tidak ada keyakinan, berbeza dengan Anwar yang tidak mempunyai masalah untuk bertanding di mana-mana saja. Jika Najib berani, mengapa tidak beliau sendiri bertanding di Permatang Pauh atau di Perak?," katanya ketika dihubungi. Beliau menambah, keputusan Anwar bertanding di Perak sepatutnya tidak menjadi isu kerana sokongan rakyat terhadap nya bukan hanya di Permatang Pauh, tetapi di seluruh negara. "Anwar bertanding di Perak atau di mana-mana sepatutnya tidak menjadi soal kerana rakyat seluruh negara memberi sokongan penuh kepada beliau. "Ini terbukti sejak dari 2008 hingga sekarang, kunjungan beliau di merata pelusuk mendapat sambutan yang begitu hebat dari rakyat. "Rakyat ternyata lebih berkeyakinan kepada Anwar daripada Najib. Jika Najib dan Umno BN masih mengamalkan budaya politik kotor dan tidak memberikan ruang demokrasi sepenuhnya pada rakyat, mereka tidak mempunyai kaliber untuk mempersoalkan keputusan Anwar," tegasnya. | ||
Tengku Razaleigh Boleh Bantu PR Memerintah Posted: 04 Apr 2013 06:03 AM PDT MSO Malam tadi semasa keluar minum dengan seorang teman (yang insya-Allah akan bertanding dalam pilihan raya akan datang) saya terserempak dengan salah seorang Jeneral (B) askar yang baru menyertai PKR. Bersamanya tiga anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menjadi penggerak acara Sumpah Pemuda yang digerakkan oleh bekas ketua AMK yang kini sudah menjadi usang dan sedang memakan hati berulam jantung dalam Umno.
"Maksudnya dalam PKR atau pun keseluruhan negara?" tanya saya inginkan kepastian dari sisi mana yang diingini. "Seluruh negara, kedudukan terkini?" katanya menjelaskan isi maksud persoalannya. Saya melihat kepada Jeneral yang baru berkubang dalam politik itu. Saya tidak mahu dia terkejut dengan jawaban saya yang boleh menjungkitkan punggungnya. Semangatnya untuk menumbangkan UBN jangan pula terjejas dengan jawaban saya. Saya pula suka berterus terang walaupun cara itu tidak disenangi. Bagi saya berterus terang lebih baik dari segala-galanya. "Saya masih meletakkan kerusi yang akan diperolehi Pakatan Rakyat sekitar 90 hingga 100 kerusi sahaja. Maksudnya dapat mengekalkan kerusi yang diperolehi dalam pilihan raya dengan penambahan dua tiga kerusi. Situasi ini bermakna Pakatan Rakyat memerlukan 25 atau 35 kerusi tambahan untuk menjadi pemerintah. Kalau 83 dicampur 25 ini bermakna 108 kerusi. Jadi sebanyak 20 kerusi lagi diperlukan untuk jadi 128, kerusi itu datangnya dari Sabah dan Sarawak," jelas dan hurai saya agak panjang lebar. Matematik itu sangat mudah untuk difahami. "Macam mana di Sabah dan Sarawak, boleh ke?" Tanya pemuda itu. Dua lagi anak muda yang bersama di meja hanya mendengar dengan teliti dan begitu juga dengan rakan saya. Banyak mengunyah apa yang saya cerakinkan. "Kondisi di Sabah kini agar berubah sedikit ekoran meletusnya tragedi pencerobohan Lahad Datu. Kalau dulu saya meletakkan 10 kerusi akan diperolehi, tetapi kini untuk mendapat angka itu sakit sedikit. Apabila UBN telah mengistyharkan 10 kawasan sebagai kawasan keselamatan khas semua kerusi parlimen yang terdapat di situ (7) akan menjadi milik mereka secara automatik. Begitu juga 15 kerusi state..." "Apabila ia dijadikan kawasan keselamatan khas, maka Pakatan Rakyat tidak dapat menjalankan kegiatan kempen secara terbuka dan luas. Ia akan disekat dengan peraturan yang ketat. Sementara UBN boleh bergerak bebas atas nama aktiviti kerajaan dan sebagainya," jelas saya lagi. "Begitu juga dengan rakyat Filipina yang mempunyai kad pengenalan Malaysia yang sudah kecewa dengan UBN dijangka akan mengundi Pakatan Rakyat. Tetapi setelah diadakan sekatan itu, mereka tidak akan dapat mengundi lagi. Kebanyakan mereka sudah dihalau pulang ke negeri asal mereka secara berperingkat", sambung saya lagi berhujah. Jadi, sambung saya.. kerusi yang mulanya diperkirakan akan diperolehi dari Sabah akan hilang satu demi satu. Perkembangan hari ini saya berani mengatakan Pakatan mungkin memperolehi hanya lima atau paling tinggi tujuh kerusi saja di Sabah. Pemuda itu terdiam sejenak termasuk Jeneral askar itu yang banyak mendengar. Jawaban dan penjelasan saya itu menganggui emosinya. Keyakinannya juga mungkin berubah. Selepas itu dia bertanya saya mengenai Sarawak pula. Saya menjelaskan di Sarawak keadaan tidak banyak berubah. Sejak awal lagi saya meletakkan sasaran Pakatan Rakyat akan menang antara lima hingga tujuh kerusi sahaja. Yang menyumbang kerusi itu hanya dari DAP. Sedangkan Pakatan Rakyat memerlukan sekurang-kurang 10 kerusi di Sarawak. Alasan saya mudah, situasi dan gelora politik di Sarawak tidak seperti di Sabah. Angin perubahan dan arus hendak tukar pemerintah politik di Sabah belum merebak ke seluruh Sarawak. Faktor pentingnya ialah kerana di Sabah tiada pemberani yang cuba mengolahkan kebangkitan rakyat. Tokoh-tokoh Melayu Islam Sabah masih lagi 'bersetia khurafat' dengan Taib Mahmud sambil mengharap mereka akan diberikan jawatan Ketua Menteri Sarawak. Mereka sanggup menunggu peralihan kerusi dari Taib kepada mereka sampai punggung berakar seperti pohon jejawi. Wajah anak muda itu sekali lagi menjadi keruh dengan jawaban telus dari saya itu. Jeneral berkenaan juga menjadi lebih diam. Beberapa saat dia seakan merenung ke dalam dirinya. "Macam mana pula dengan sokongan orang Melayu ke seluruhnya, bang?" dia mengalih topik untuk melihat kepada politik orang Melayu. Pertanyaan ini menarik dan memberikan saya peluang membuat konklusi kepada persoalan berhubung jaya atau gagal Pakatan Rakyat untuk rampas Malaysia. "Dalam perhatian saya orang Melayu keseluruhnya masih menyokong BN, khasnya Umno. Kedudukan atau prestij kalau boleh saya sebut kira-kira 62 hingga 65 peratuas orang Melayu masih setia dengan Umno. Ini bermakna sekitar 38 atau 35 peratus menyokong Pakatan Rakyat. Jadi dengan angka ini ertinya Pakatan Rakyat hanya boleh merampas paling tinggi 40 kerusi Melayu daripada jumlah semuaaya 150 kerusi. "Kita andailah dari 42 kerusi Cina berjaya dirampas oleh DAP secara mutlak 42 kerusi manakala kerusi campuran sebanyak 30 disecara mutlak dirampas oleh Pakatan Rakyat dan kerusi Melayu diperolehi 40 kerusi, ia akan menjadi 40 + 42 + 30 = 112. Jumlah ini belum cukup untuk PR menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah 113 kerusi," ujar saya. Afdalnya kata saya dengan situasi dan kondisi itu Pakatan Rakyat perlu menambahkan antara 3 hingga 5 peratus lagi undi Melayu bagi memperolehi sekurang-kurangnya lima kerusi lagi bagi mengenapkan 112 atau lebih untuk membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan secara mudah. Anak muda berkenaan terdiam sejenak kemudian mengangguk-angguk seolah-olah faham dengan apa yang saya jelaskan. Lantas beliau bertanya, bagai mana strategi untuk menambah peratus berkenaan. "Apa caranya yang abang fikir?" Tekan beliau serius matanya dicerlung ke wajah saya. Persoalan itu mencabar minda saya. Dalam pada itu anak muda berkenaan mengemukakan cadangan dan bertanya siapakah tokoh yang boleh dibawa ke tengah masyarakat untuk meraih undi Melayu sebagai tambahan. Cadangan itu baik tetapi saya sendiri tidak nampak siapakah mereka buat masa ini. Bekas pegawai kerajaan yang sudah bersara tidak mudah untuk dijadikan alat politik kepada mana-mana pihak apa lagi Pakatan Rakyat. Mereka lebih senang dengan kedudukan mereka hari ini bersama anak dan keluarga di samping memakan wang persaraan. Bagi mereka soal bangsa dan negara boleh diurus oleh orang lain. Perkhidmatan mereka beberapa tahun sebelum ini sudah cukup sebagai sumbangan mereka kepada negara, walaupun kemudahan pencen dan sebagainya mereka mahu diberikan sampai mati dan diwarisi anak cucu tujuh keturunan. Agak sukar untuk mencari ikhtiar bagaimana untuk tambahkan peratus Melayu itu. Pemikiran dan sikap orang Melayu kini seakan sudah dikunci oleh Umno menerusi berbagai isu berkaitan bangsa dan agama yang dimainkan. Isu-isu kalimah Allah, kedudukan agama Islam, ancaman Kristian, soal patriotisme atau tidak serta isu-isu berbentuk provokasi sekiranya Pakatan Rakyat menang negara akan jadi huruhara, pemerintah akan bertukar tangan kepada orang kafir dan sebagainya, dimakan oleh Melayu yang akalnya takah tujuh dan mereka (Melayu) yang tidak mendapat akses maklumat dari media bebas. Saya menyebut salah satu cara bagi mengatasi kekurangan ini Pakatan Rakyat kena tumpukan kepada pengundi muda yang pertama kali akan mengundi. Bilangan mereka lumayan juga kira-kira 3 juta. Andainya 2 juta pengundi muda mengambil bahagian ia boleh mengubah suasana. Mereka ini harus didekati, diberi kefahaman sebaik mungkin. Sementara pemikiran mereka masih belum tepu dengan pemberian wang poket pilihan raya, mereka boleh diajak membantu ke arah menukar kerajaan secara rasional dan bertanggungjawab. Selain entiti itu yang boleh membantu memberi undi cukup kepada Pakatan Rakyat, ialah seorang tokoh atau ahli politik bernama Tengku Razaleigh Hamzah. Kehebatan dan pengaruh Tengku Razaleigh tidak boleh dikesampingan. Beliau mempunyai kekuatan dan penyokong tersendiri. Pengaruhnya ada di seluruh negara. Kalau pun beliau tidak dapat memberi sumbangan langsung dalam bentuk kerusi tetapi penyokongnya boleh memenangkan kerusi-kerusi yang margin Melayu. Ahli Umno yang ikhlas dalam perjuangan bersama Tengku Razaleigh kerana mereka merasakan beliau orang yang ikhlas dalam perjuangan. Mereka ini setia dan sedia menuruti apa yang Tengku arahkan. Jadi Tengku Razaleigh boleh dijadikan pemanggil untuk meraih sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat. Jumlah yang dikehendaki itu sebanyak 5 peratus boleh diperolehi daripadanya. Persoalannya macam mana hendak pastikan Tengku Razaleigh akan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat? Apakah beliau bersetuju begitu saja tanpa dikenakan apa-apa bayaran ufti? Tengku Razaleigh juga ada agendanya tersendiri dan seorang yang berprinsip. Nah, sekarang ini terpulang maklumkan kepada Pakatan Rakyat, bagaimana untuk mendapat sokongan dan undi Melayu yang berada di tangan Tengku Razaleigh Hamzah itu? Perundingan boleh dijalankan dan kalau kena gaya, dan lagu rasanya Tengku Razaleigh tidak akan 'kupik' untuk menghulurkan bantuan dan sokongan. Mekanismenya macam mana? Ini yang perlu diwacanakan. Bagi saya, saya cukup yakin Tengku Razaleigh ada kekuatan tersendiri untuk memenangkan Pakatan Rakyat dan begitu juga sebaliknya mengalahkan Barisan Nasional. Jadi Tengku Razaleigh adalah pengadil yang boleh diajak berunding | ||
Posted: 04 Apr 2013 06:00 AM PDT Mohd TishaahKEMAMAN - Seramai 200 orang yang terdiri orang muda lelaki dan perempuan telah menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu majlis ceramah di Pantai Kijal pada Selasa, 2 April.Mereka adalah para pemuda dan pemudi dari Rumah Murah Kijal, Kampung Meraga Beris, Kampung Darat Air Putih, Kampung Penunjuk, Kampung Tengah, Kampung Bukit Kuang, Kampung Telok Kalong, Kampung Seri Bandi dan Kampung Ibok yang kesemuanya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal. Menurut Ketua Pemuda PAS DUN Kijal, Ustaz Zulkifli Nara, para pemuda dan pemudi tersebut menyatakan mereka memilih untuk masuk PAS kerana mahu bersama-sama menyertai perjuangan menegakkan Islam di Kijal khasnya dan Malaysia amnya. "Mereka berkata dalam UMNO tiada ruang dan peluang untuk menghayati Islam yang sebenarnya, UMNO bukanlah platform untuk anak muda mengenali Islam yang hakiki, "mereka berkata dalam UMNO tiada ruang dan peluang untuk menghayati Islam yang sebenarnya, UMNO bukanlah platform untuk anak muda mengenali Islam yang hakiki."ujarnya ketika ditemui selepas majlis tersebut. Hadir sama Ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Riduan Mohd Nor, Setiausaha PAS Kawasan Kemaman Ustaz Alias Abdul Hamid,Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah MTD PAS Kijal Ustaz Hazri Jusoh. Kemasukan 200 pemuda dan pemudi tersebut memberi tamparan hebat kepada Menteri Besar, Ahmad Said yang merupakan ADUN Kijal dan Ketua Bahagian UMNO Kemaman. | ||
Apa gunanya Anwar lari ke Perak? Posted: 04 Apr 2013 05:55 AM PDT Selepas Lim Kit Siang menerpa masuk ke Gelang Patah dalam projek menawan Johor, kini Anwar Ibrahim pula nampak serius bertandang ke Perak. Kenyataan mantan timbalan perdana menteri itu semalam lebih serius berbanding berita beliau ingin meninggalkan Permatang Pauh. Dulu tokoh PKR itu membayangkan kerusi pilihannya berada di Selangor atau Perak tetapi semalam Anwar mengesahkan bakal bertanding di Perak . Maka bermula spekulasi kerusi parlimen manakah yang dihajatinya dan kenapa perlu beliau menapak ke negeri tersebut. Di satu sisi, perpindahan Lim dan Anwar membayangkan Pakatan Rakyat benar-benar serius melebarkan sayap pengaruhnya melalui langkah taktikal di luar jangka di saat-saat akhir. Di satu sisi lain, ia juga melambangkan persaingan tersembunyi antara Lim dengan ketua pembangkang. Jika tokoh DAP itu sanggup mempertaruhkan nasib di kerusi tersebut dalam usaha memantapkan sokongan Cina, kenapa tidak Anwar terjun ke Perak untuk mengaut undi Melayu. Bukan sahaja untuk projek menawan Putrajaya tetapi juga untuk mengasak Perak agar negeri itu betul-betul bersauh dalam lautan sokongan Pakatan. Jika sahih beliau bergerak ke Perak, Anwar tidak hanya ingin mencari undi dalam konteks persaingan politik pilihan raya. Beliau memang berhasrat mencapai beberapa matlamat khusus dengan satu langkah taktikal itu. Antaranya, kehadiran beliau mengukuhkan semula imej kepimpinan PKR di Perak yang selama ini nampak lemah, bercelaru atau tidak menonjol. Jaringan pangkalan kuasa Kepimpinannya ini bukan sahaja untuk mengejutkan Umno atau BN tetapi juga membariskan kembali parti tersebut setanding dengan sekutu-sekutunya, DAP dan PKR, khususnya di Perak. Selain pembakar semangat jentera parti, dengan kehadiran fizikal Anwar di negeri itu, PKR akan dipayungi satu tokoh besar Melayu yang berupaya mengimbangi DAP dan sekali gus "mencuri" undi penyokong-penyokong tradisi Umno. Dalam konteks feudalisme pengundi Melayu, ketokohan dan karisma Anwar diharap-harapkan meluaskan jaringan pengaruh parti baru itu dengan lebih pantas. Apatah lagi PKR, dan Anwar juga, bermain politik bukan dalam konteks organisasi massa berstruktur ketat seumpama PAS atau Umno. Tidak jauh bezanya dengan hubungan DAP dan pengundi Cina di kota-kota, PKR sejak awal penubuhannya banyak bermain atas sokongan popular sentimen awam dalam isu panas di media bersama karisma pemimpin-pemimpinnya. Dalam bahasa mudah, pangkalan sokongan PKR jauh lebih besar daripada jumlah keahliannya dan struktur rasmi parti. Mereka ini "orang PKR" tetapi bukan ahli parti dan mereka berada di mana-mana sahaja bersandarkan kehangatan isu, publisiti media dan populariti pemimpinnya. Mereka tidak perlukan struktur atau indoktrinasi parti tetapi sedia bersama parti selagi sandaran-sandarannya itu sentiasa hangat dan menggelegak. Salah satu ukuran pangkalan kuasa ini dapat dinilai daripada jumlah undi yang diperolehi berbanding ahli rasmi dan jentera parti. Berada terus-menerus dalam liputan media, seperti yang dilalui Anwar, akan menghidupkan jaringan pangkalan kuasa ini. 3 masalah Pakatan Namun atas sifatnya yang bebas dan longgar, pangkalan ini perlu tokoh besar sebagai pembangkit cas elektrostatik. Dalam situasi seumpama ini, kehadiran Anwar diharap-harapkan akan dapat menangkis gejala lompat parti yang serius di negeri tersebut sehingga kerajaan Pakatan tumbang pada awal 2009. Insiden ini, dan siri lompat parti kemudiannya, cukup memalukan Anwar di depan mata awam serta Pakatan sehingga tertonjol PKR "tidak serius" menyongsong idealisme perjuangannya. Pendek kata Anwar berharap beliau dapat meraih beberapa manfaat besar di Perak dengan mengambil risiko baru berbanding terus berlubuk di kerusi tradisinya sejak 1982. Risiko inilah yang sedang ditimbang-timbangkan Anwar dan PKR. Sehingga pagi ini, parti tersebut belum sedia mengesahkan kerusinya seperti juga kedudukan Wan Azizah Wan Ismail yang kekal tanda tanya di Selangor. Berbanding gelombang anti-BN pada 2008, pilihan raya umum kali ini hadir bersama risiko lain. Tiga daripadanya -- kontroversi peribadi Anwar, prestasi negeri-negeri Pakatan dan dominasi "Cina" dalam kerjasama itu bersama isu-isu kaum dan agama yang membelah Melayu di satu sisi serta bukan Melayu di sisi lain. Pengundi Pakatan lima tahun lalu, khususnya yang tidak tegar, tentu mengambil kira tiga faktor ini dalam pertimbangan undi mereka. Sama ada ia wajar atau tidak, diselewengkan atau sebaliknya, pemaparan buruk tiga isu ini di media-media arus perdana tentu berbekas di fikiran pengundi, khususnya Melayu, sasaran yang ingin dibujuk Anwar dalam pakej perpindahannya ke Perak. Namun, Pulau Pinang sendiri bukanlah negeri yang sudah selesai. Ia datang bersama sejumlah tanggapan dan masalahnya sendiri -- satu tarikan lain yang menyukarkan Anwar menerpa ke Perak semudah Lim terjun ke Johor. FATHI ARIS OMAR seorang editor kanan di Malaysiakini. | ||
SPR Selangor Gagal Bertindak : Pengundi Fail Semakan Mahkamah Mohon Batal Nama Posted: 04 Apr 2013 05:46 AM PDT SHAH ALAM : Seorang jurutera tempatan yang menetap di luar negara, S Dinesh, 32, memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya mahkamah mengeluarkan perintah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan namanya sebagai pengundi bagi kawasan Klang. Pemohon yang tinggal di United Kingdom lebih 15 tahun membuat permohonan itu selepas mendapati namanya didaftarkan dalam senarai pengundi tanpa pengetahuannya oleh Penolong Pendaftar Umno, Hishamuddin Kassim selepas permohonannya bagi pembatalan itu gagal dipenuhi SPR Selangor. Dalam permohonan di mahkamah, Dinesh menamakan SPR sebagai responden pertama manakala Ketua Pendaftar SPR Selangor sebagai responden kedua. Bapa Dinesh, K Siva Kumar, 64, berkata, langkah SPR meluluskan pendaftaran anaknya sebagai pengundi adalah salah kerana ia dibuat tanpa persetujuan oleh pihak tidak diketahui. "Saya mengemukakan perkara ini kepada SPR Selangor beberapa kali menerusi emel tetapi tidak diendahkan pihak tersebut. Anak saya berada di luar negara, bagaimana pihak tertentu boleh mendapat maklumat dirinya dan mendaftarkan dia sebagai pengundi. "Kita tiada pilihan dalam isu ini dan perlu membawanya ke mahkamah. Kita berharap mahkamah akan membuat keputusan," katanya. Beliau memberitahu, nama anaknya diketahui tersenarai sebagai pengundi apabila dia menerima kad ucapan Hari Malaysia ditujukan kepada anaknya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu sedangkan dimaklumkan Dinesh tidak pernah berbuat demikian. Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, apa yang berlaku jelas menggambarkan ketidaktelusan SPR sebagai badan yang mengendalikan pilihan raya di negara ini. "SPR mendakwa sebagai antara suruhanjaya pilihan raya yang terbersih di dunia tetapi dalam isu ini ia bagaikan melindungi pihak terlibat yang mendaftar nama pengundi tanpa kebenaran. "Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya menjelaskan akan berlangsung pilihan raya yang bersih dan bebas dengan SPR bertindak adil. "Dalam kes ini kita mengemukakan bukti yang nyata namun maklumbalas diterima daripada SPR ialah jangan menimbulkan perkara yang tidak ada. Ini adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab," ujarnya. Charles berkata, maklumat diperolehi setakat ini terdapat sekurang-kurangnya 10 kes melibatkan rakyat tempatan dari Klang yang menetap di luar negara didaftarkan sebagai pemilih bagi pembuangan undi dalam negara. Laporan polis dibuat Siva Kumar pada 31 Januari lalu tetapi dakwanya tiada tindakan daripada pihak berkuasa termasuk SPR sendiri. Siva Kumar dimaklumkan bahawa anaknya diluluskan pendaftaran sebagai pengundi oleh SPR pada 7 Mac 2012. | ||
Kakitangan Awam Selangor Terima Bonus Penghargaan Posted: 04 Apr 2013 05:43 AM PDT SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pembayaran bonus sebanyak RM300 kepada kakitangan awamnya sebagai penghargaan daripada Kerajaan Negeri. Bayaran bonus tersebut dibuat dalam bentuk simpanan yang dikreditkan ke akaun Simpanan Tabung Haji bagi kakitangan beragama Islam dan Bank Simpanan Nasional kepada bukan Islam. Disebabkan kakitangan awam negeri berkhidmat dengan baik membantu Kerajaan Negeri, Exco yang bermesyuarat semalam bersetuju memberi bonus berkenaan. "Dalam masa dua minggu ini kita usahakan agar semua orang terima bonus ini," kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan Annex. Dalam sidang media sama beliau turut mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri menghadkan penggunaan peruntukan sebanyak 50 peratus sahaja. Langkah tersebut diambil bagi mengelakkan masalah kehabisan peruntukan yang pernah berlaku ketika pentadbiran Kerajaan Negeri mula diambil alih oleh Pakatan Rakyat. "Ini bagi mengelakkan kesusahan yang kami tanggung sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 2008 yang mana kebanyakkan peruntukan DUN habis digunakan. "(Oleh itu) saya dan Pegawai Kewangan Negeri buat keputusan pada bulan lalu bahawa semua Adun dan Exco hanya boleh menggunakan peruntukan 50 peratus daripada peruntukan masing-masing. "Ini bagi memastikan peruntukan mencukupi selepas pilihan raya selesai diadakan untuk membolehkan kerajaan baharu melaksanakan tugas dengan berkesan agar kebajikkan rakyat tidak terabai," kata Abdul Khalid lagi. | ||
Posted: 04 Apr 2013 05:40 AM PDT SINAR HARIAN PETALING JAYA - Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu mengesahkan akan bertanding di Kedah pada pilihan raya umum ke-13. Bercakap kepada Bernama, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bagaimanapun enggan memberitahu kawasan yang akan ditandingi itu. "Nanti kita akan putuskan selepas mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan rakyat hari ini," katanya. Sebelum ini, desas-desus mengatakan Mat Sabu akan bertanding di kerusi Parlimen Pendang, Kedah. Mat Sabu pada pilihan raya umum 2008 bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan kalah kepada Datuk Razali Ismail dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 628 undi. Sementara itu, Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa dijangka bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya yang kini disandang Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. "Saya dengar-dengar begitulah, tetapi kita tunggu hasil keputusan mesyuarat hari ini," kata Husam. Husam adalah Anggota Dewan Undangan Negeri Salor, Kelantan dan beliau antara yang disebut-sebut bakal Menteri Besar Kelantan yang kini disandang Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. - Bernama | ||
Anwar: Wan Azizah tidak tanding kali ini Posted: 04 Apr 2013 05:38 AM PDT Ia berbeza dengan laporan minggu lalu bahawa Dr Wan Azizah, bekas ahli Parlimen Permatang Pauh, akan bertanding kerusi Dun di Selangor. Beliau tidak layak tanding kerusi Parlimen sehingga Ogos ini, tetapi boleh turun gelanggang Dun. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Wan Azizah mempunyai kekuatan untuk memimpin parti namun telah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum kali ini. Anwar berkata demikian ketika ditemu bual oleh media antarabangsa mengenai nepotisme dalam PKR. "Azizah mampu untuk memimpin parti semasa saya berada dalam penjara. Beliau mengetuai parti tetapi memutuskan untuk tidak bertanding pilihan raya," kata Anwar. Kenyataan yang dilakukan Anwar sekaligus menutup spekulasi yang timbul sejak Mac lalu mengenai kemungkinan Dr Wan Azizah akan bertanding di Dun Selangor. Malah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga ada mengatakan bahawa Dr Wan Azizah layak menjadi menteri besar negeri itu. Semalam, Anwar juga telah mengesahkan akan bertanding di Perak, di mana beliau akan meninggalkan Permatang Pauh. Anak pasangan itu, Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai. | ||
Isu Lahad Datu: 'Datuk Seri', 3 lain ditahan Posted: 04 Apr 2013 05:37 AM PDT SINAR HARIAN KOTA KINABALU - Polis menahan 'Datuk Seri' Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L Karl berhubung isu pencerobohan Lahad Datu. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan bersama tiga yang lain di sebuah rumah di Tanjung Aru kira-kira jam 10.30 malam tadi. "Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012," kata beliau dipetik Star Online. Lahad Datu, seorang lelaki tempatan bergelar Datuk Seri yang dicari berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat, ditahan di sebuah rumah pangsa di Tanjung Aru, Kota Kinabalu malam tadi. Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata lelaki itu ditahan pada kira-kira 10.30 malam, beberapa jam selepas berita dia dicari polis disiarkan melalui media. Beliau berkata penahanan lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kesultanan Sulu itu dibuat hasil maklumat orang ramai. "Susulan itu, polis turut menahan seorang wanita, dipercayai isteri Datuk Seri itu dan seorang lelaki masing-masing berusia 55 dan 30 tahun, di kawasan berdekatan," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini. Tan berkata beberapa dokumen penting turut dirampas, dan ketiga-tiga mereka kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). Semalam, Tan memberitahu sidang akhbar polis mencari seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan kes berkaitan Operasi Daulat, dan polis turut mengedarkan gambar lelaki terbabit. Sementara itu, Tan berkata sebuah balai polis bergerak akan mula beroperasi esok di Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian, Lok Buani, Lok Sambuang, Tanagian dan Sungai Bilis bagi memudahkan orang kampung membuat laporan berkaitan kehilangan harta benda berikutan pencerobohan militan Sulu. Mengenai situasi terkini kampung terbabit, Tan berkata keadaan adalah selamat, aman dan tenteram dengan penduduk digalak menjalankan aktiviti harian seperti biasa. "Beberapa sekolah juga akan kembali dibuka Isnin ini, ibu bapa janganlah bimbang untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana pasukan keselamatan sentiasa berkawal dan berada di kawasan berhampiran," katanya.- Bernama | ||
Pas Terengganu bakal tampil seorang calon wanita Posted: 04 Apr 2013 05:34 AM PDT SINAR HARIAN KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu bakal meletakkan seorang calon wanita untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), setelah kali terakhir menampilkan calon muslimah pada pilihan raya umum 1959. Pesuruhjaya PAS negeri Abdul Wahid Endut berkata parti memutuskan meletakkan seorang calon wanita pada PRU kali ini bagi memastikan golongan hawa di negeri ini diwakili di peringkat DUN. "Calon wanita ini orang tempatan dan ada latar belakang yang menyakinkan," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri di sini hari ini. Abdul Wahid bagaimanapun masih merahsiakan DUN mana yang bakal diwakili calon muslimah tunggal itu. Pada pilihan raya umum 1959, PAS Terengganu meletakkan Khadijah Mohd Sidek di kerusi Parlimen Dungun. Khadijah mengalahkan Wan Salleh Abdul Kadir mewakili Front Sosialis dan Mohamed Adib Omar daripada Parti Perikatan, dan merupakan Anggota Parlimen wanita pertama PAS dan wakil rakyat wanita pertama bagi Terengganu. Mengenai pembahagian kerusi Parlimen di kalangan pakatan pembangkang di Terengganu, Abdul Wahid berkata persetujuan telah dicapai iaitu PAS akan bertanding di tujuh kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) di satu kerusi. Katanya 40 peratus daripada calon pakatan pembangkang yang akan bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU13 terdiri golongan profesional muda. Dalam pada itu, Abdul Wahid berkata PAS negeri dijangka mengumumkan senarai calonnya untuk bertanding dalam PRU13 pada Khamis depan di Rusila, Marang. Katanya pengumuman rasmi itu kemungkinan besar dibuat pada sebelah malam bersama-sama PKR. Namun begitu katanya keputusan untuk mengumumkan senarai calon itu juga bergantung kepada tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pada PRU12, PAS menang lapan daripada 32 DUN yang dipertandingkan di Terengganu. - Bernama | ||
Posted: 04 Apr 2013 05:32 AM PDT Debat PRU 13 : Parlimen sudah pun dibubarkan semalam. Sekarang perjalanan untuk menentukan halatuju negara di bawah pemerintahan untuk 5 tahun seterusnya bakal ditentukan tidak lama sahaja lagi iaitu dijangka pada 27 April 2013 ini. Manifesto Pakatan Rakyat sudah pun dibentangkan kepada rakyat (DI SINI), manakala Manifesto Barisan Nasional akan dibentangkan kepada rakyat di Stadium Merdeka Sabtu ini (6 April 2013). Jadi… Jadi bagi setiap parti politik yang bakal bertanding samada "Pakatan Rakyat" ataupun "Barisan Nasional" ada bahan dan produk yang ingin ditawarkan kepada rakyat untuk mereka iaitu kepada anda, anda dan anda di sini membuat pilihan yang terbaik. Persoalannya sekarang, adakah "produk" dan "pelan pembangunan negara" yang ingin ditawarkan oleh Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat benar-benar bermutu dan berkualiti? Debat PRU 13 : Barisan Nasional VS Pakatan RakyatSemestinya kalau ditanya kepada kedua-dua parti, pasti mereka akan mendabik dada mengatakan manifesto mereka adalah yang terbaik, terunggul dan macam-macam lagi sambil mencemuh manifesto daripada pihak lawan. Inilah yang akan berlaku apabila setiap manifesto samada manifesto Pakatan Rakyat mahupun manifesto Barisan Nasional dibentangkan dan dipersembahkan secara satu hala sahaja. Itu sebablah, seeloknya manifesto dan untuk pelan pembangunan untuk rakyat dan negara perlu diperdebatkan semasa Debat PRU 13 secara langsung bukannya rakaman. Semakan kami kepada ranking International Human Development, Malaysia di rangking ke 64 berbanding Kenya di tangga ke 145. Nyata dari sudut intelektual, Malaysia terkehadapan. Tahniah kami ucapkan. Tetapi…..ada tetapinya. Sumber : International Human Development Tetapi semasa PRU Kenya Mac 2013 yang lalu, mereka secara terbuka anjurkan DEBAT ANTARA CALON PRESIDEN. Debat adalah medan menilai hujah, menifesto & intelektual. Bagaimana dengan PRU di Malaysia? Adakah Debat PRU 13 Malaysia akan menjadi realiti? Sampai bilakah rakyat Malaysia hanya dipersembahkan secara berterusan sekadar perang bendera & pertandingan cari kelemahan individu lawan, politik fitnah serta pembentangan manifesto untuk ditelan bulat-bulat oleh rakyat tanpa diberikan peluang untuk mendapatkan perbandingan yang adil daripada pihak-pihak yang bertanding?
Di hati kecil kami teringin benar hendak lihat situasi ini di Malaysia. Setiap wakil parti yang bertanding membentengkan manifesto sendiri dalam debat PRU 13. Biar rakyat menilainya. Rakyat Malaysia, tidak perlu berpindah ke Kenya untuk merasai debat begini. Cukuplah rakyat Malaysia diberikan peluang dan ruang manakala kedua-dua belah pihak yang mahu memimpin negara perlu ada kebaranian untuk tampil ke hadapan bagi membentangkan manifesto masing-masing secara langsung kepada rakyat. Orang tua-tua ada mengatakan :
Apa pandangan anda pula? Perlukah diadakan debat PRU 13? Mengapa? | ||
Anwar isytihar senarai penuh calon PKR Perak malam ini Posted: 04 Apr 2013 05:20 AM PDT IPOH – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan senarai penuh calon parti yang akan bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), malam ini. Pengumuman yang akan dibuat di satu perhimpunan Jelajah Merdeka Rakyat di Gerik itu juga bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Perak, menjadi negeri pertama membuat penyenaraian penuh calon. Ia juga dikatakan sebagai simbolik kepada kesediaan Ketua Pembangkang itu bertanding di salah satu kerusi di negeri yang pernah mencatat krisis konflik perebutan pimpinan pentadbiran kerajaan negeri. Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pengumuman di Gerik adalah sebagai isyarat bahawa PR sudah bersedia menggempur kawasan Utara Perak yang selama ini merupakan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun menurutnya, pengumuman kerusi mana yang akan menjadi pilihan penyandang Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, masih belum dapat dipastikan. "Yang itu (kerusi mana pilihan Anwar) belum tahu lagi, kita tengoklah nanti macam mana, apa yang pasti, persiapan kita sudah sampai tahap maksimum, semua calon dan jentera masing-masing sudah bersedia. "Pada PRU kali ini, PKR akan menampilkan hampir 60 peratus muka baru di samping calon wanita bagi memperkukuh kemenangan di negeri ini," katanya pada sidang media, di sini, semalam. Hadir sama, timbalan nya, Dr Lee Boon Chye dan Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri, Ismail Yusop. Mengulas lanjut, Dr Muhammad berkata, status quo bagi kerusi Parlimen dan Dun PKR negeri ini masih dikekalkan seperti mana PRU12 lalu iaitu 10 (Parlimen) dan 20 (Dun). Namun katanya, berlaku sedikit perubahan pada dua kerusi Dun masing-masing di Lintang dan Changkat Jering apabila Majlis Pimpinan PKR Negeri sudah menyatakan kesediaan untuk bertukar kerusi dengan Pas. "Setakat ini, hanya satu kerusi sudah dimuktamadkan iaitu Dun Lintang dipindah ke Kenering (Pengkalan Hulu) sementara Changkat Jering masih dalam perbincangan akhir bersama Pas," katanya. Berdasarkan keputusan PRU lalu, PKR menang di tiga kerusi iaitu Bagan Serai, Sungai Siput dan Gopeng, tujuh lagi kuota parlimen adalah Padang Rengas, Tambun, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datoh dan Tanjung Malim. Bagi Dun pula, PKR menang di tujuh kerusi iaitu Kuala Kurau, Kuala Sepetang, Changkat Jering, Simpang Pulai, Teja, Hutan Melintang dan Behrang. Sementara kerusi kalah, Pengkalan Hulu, Temenggor, Kota Tampan, Batu Kurau, Alor Pongsu, Lintang, Hulu Kinta, Bukit Chandan, Bota, Tualang Sekah, Chenderiang, Sungai Manik dan Pangkor. | ||
Najib bayangkan pertahan kerusi Parlimen Pekan Posted: 04 Apr 2013 05:14 AM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan beliau akan mempertahan kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya umum kali ini. "Saya tidak pernah bermimpi untuk tinggalkan Pekan. Hidup dan mati perjuangan politik saya ialah di Pekan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berasingan Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. Najib membuat kenyataan ini semasa diminta mengulas pengumuman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa beliau tidak akan mempertahan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana beliau akan bertanding di Perak. Najib menjadi anggota Parlimen Pekan pada 1976 selepas bapanya, perdana menteri kedua dan anggota Parlimen Pekan, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia. Sejak itu Najib kekal menjadi wakil rakyat kawasan itu kecuali semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang antara 1982 dan 1986. Ketika itu beliau mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan