DIALOG RAKYAT |
- Sivarasa dedah calon BN Sepang terlibat jenayah wang haram
- Warga facebook perlekeh Najib takut debat dengan Anwar
- Usah momok pengundi, kata Musa pada Dr M, Shahrizat
- PRU13: K'tan cuti peristiwa 5 Mei
- Pendekatan PDRM tak cermin semangat APA - Suhakam
- Dalam protes, BN PP pertahan senarai 'muktamad'
- SPR Sabah jangka keputusan PRU diketahui seawal 7 malam
- Siaran langsung ‘Forum Memanifestasikan Harapan Rakyat’ di KLSCAH
- KEADILAN tanding 19 kerusi Parlimen dan 43 DUN di Sabah
- Calon BN Tanjung Bidara tarik diri, pesara guru diumum pengganti
- Pekan dijangka saksi saingan 3 penjuru
- 3 pemimpin BN isytihar perang parti sendiri
- Najib Dan Transformasi Rojak
- NEGERI LEBIH KENAL CALON DUN, TROPICANA PERLU REALISTIK BUAT KEPUTUSAN
- Tiga Bilik Gerakan Umno Shah Alam Tutup
- Tee Keat memikirkan untuk bertanding sebagai calon bebas di Pandan
- Lima Calon BN Selangor Didakwa Dapat Sijil Pendidikan Daripada “Kilang Ijazah”
- PAS Kelantan tampilkan 16 muka baru
- Polis langgar hak asasi masa Bersih 3.0 - Suhakam
- Surat terbuka kepada "Khadam Politik"
- PKR : Mohd Zin Bukan Calon Bersih, Dakwa Terlibat Pengurupan Wang Haram
- Tak pernah daftar tapi disenarai sebagai pengundi pos Taiwan
- Perbandingan Manifesto BN & Manifesto PR. Disposable Income & Kos Sara Hidup Rakyat Malaysia. BN Belanja RM10 Bilion (SIRI 1)
- Tee Keat dijangka tanding Bebas
- Aminulrasyid: Kerajaan disaman RM50 juta
Sivarasa dedah calon BN Sepang terlibat jenayah wang haram Posted: 17 Apr 2013 07:55 AM PDT Oleh Arif Juhani PETALING JAYA : KEADILAN mendedahkan penglibatan calon Umno BN di Parlimen Sepang, Datuk Seri Ir Mohd Zain Mohamed dalam jenayah aliran wang haram RM31 juta yang diperoleh dari Bangladesh antara Ogos 2000 hingga 2004. Naib Presiden, Sivarasa Rasiah berkata, Mohd Zin menerima wang haram itu ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Shah Alam. "Wang haram ini diberikan oleh salah seorang daripada dua rakan kongsinya di Bangladesh iaitu Sheikh Farid Ahmed. Di Bangladesh, Farid dikenali sebagai Manik. " Pada tahun 2000, mereka bertiga menubuhkan Silkways Cargo Services Ltd di Dhaka, Bangladesh dan memujuk syarikat MAS untuk melantik syarikat ini sebagai ejen jualan am MAS di Bangladesh yang mengendalikan hal ehwal tiket dan kargo," jelas Sivarasa. Beliau mendedahkan demikian pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini. Sambung Sivarasa, penghantaran wang haram atau lebih dikenali sebagai 'Hundi' di Bangladesh disedari oleh pemegang sebahagian saham Mohd Zin iaitu Mohamad Tahir Fazal Mohd yang mempunyai sebanyak 24% daripada 49% saham Mohd Zin. "Tahir kemudiannya membuat laporan polis terhadap Farid di Dhaka pada 2007 yang menyebabkan Farid ditahan pada 27 Julai 2007. "Selepas didapati bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun. Difahamkan beliau sedang merayu diringankan hukuman," kata Sivarasa yang akan mempertahan kemenangan KEADILAN di Parlimen Subang. Hadir sama sidang media, Tahir Fazal. Dalam pada itu, Sivarasa mempertikai Mohd Zin yang bukan sahaja masih bebas bahkan dipilih sebagai calon Umno BN di Sepang. "Tahir melaporkan jenayah ini kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)) pada 2004 tetapi tiga orang pegawai BPR yang ditemui mendakwa PM (Tun Abdullah Ahmad Badawi) tidak membenarkan siasatan terhadap Mohd Zin. "Ini isu besar ketika ini kerana laporan SPRM yang dikeluarkan berkaitan calon Umno BN boleh diragui kredibilitinya," kata Sivarasa menambah, laporan polis akan dibuat bagi membolehkan kes berkenaan segera disiasat – NS | ||||
Warga facebook perlekeh Najib takut debat dengan Anwar Posted: 17 Apr 2013 07:51 AM PDT Oleh Aisha Geoffrey KUALA LUMPUR : Sempena perdebatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Najib Razak yang dijadual berlangsung malam ini, pengguna di laman facebook Ketua Umum KEADILAN dilihat meragui serta memperlekeh keberanian Perdana Menteri untuk hadir. Kira-kira 8,000 pengguna menyukai foto Anwar yang ditandakan 'HADIR' manakala foto Najib pula diletakkan tanda soal. Grafik tersebut dipapar dalam facebook Anwar pada semalam. Salah seorang pengguna, Tam Sem Hoong yang mengulas foto tersebut menulis, "Najib pun tak berani debat dengan Rosmah (Mansor), macam mana nak debat dengan Anwar". Tok Ayah Li pula menulis, "Najib mana berani…Cakap berdegar-degar kat TV. Ajak debat takut…". Seorang lagi pengguna, Zaidi Mahat mengulas, "Penakut.. Mana berani dia datang…Macam inikah sikap ketua BN? Nahaslah rakyat kalau pilih pengecut jadi pemimpin. Kalau perang dia lari dulu…Hampeh!", demikian antara komen yang disusuli 600 ulasan lain. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 11 April lalu mempelawa Anwar dan Najib untuk membentangkan manifesto masing-masing dalam program debat yang berlangsung 8.45 malam ini bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor. Anwar mengesahkan kehadiran melalui jadual dan laman facebooknya Isnin lalu yang bertulis 'Saya akan hadir', dan status tersebut mendapat 5,277 jumlah 'LIKE'. Terbaru, kira-kira jam 6.55 minit petang ini, Anwar sekali lagi mengulangi pemberitahuan akan hadir ke program itu. "Malam ini selepas acara di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, saya akan ke Desa Pinggiran Putra dekat Putrajaya – ceramah bersama TG Nik Aziz, Dato' Husam dan sdr Borhan Aman Syah," tulis Anwar di facebook. Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, Najib masih belum memberi sebarang kata putus, malah beliau dilaporkan akan menghadiri program pelancaran manifesto BN di Pusat Konvensyen Shah Alam. Dalam perkembangan sama, Bersih dilaporkan akan membuat satu kejutan kepada hadirin jika Najib atau wakilnya gagal hadir. "Kami masih menanti (maklum balas Najib) dan jika sehingga akhir tiada jawapan (dari Najib), kami akan persembahkan satu 'kejutan' buat hadirin pada forum malam ini," kata Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah dipetik. – NS | ||||
Usah momok pengundi, kata Musa pada Dr M, Shahrizat Posted: 17 Apr 2013 07:39 AM PDT Bekas ketua polis negara Musa Hassan menggesa ahli politik berhenti menakutkan orang ramai dengan membuat kenyataan tentang kemungkinan berlakunya ketegangan dan rusuhan kaum jika terdapat pertukaran kerajaan dalam pilihan raya umum. Bercakap dalam forum berhubung peralihan kuasa yang aman dan lancar di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam, Musa mengulas kenyataan terbaru oleh Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil dan bekas perdana menteri Dr Dr Mahathir Mohamad. Shahrizat sebelum ini dilapor membangkitkan peristiwa 13 Mei 1969 dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Tahunan Umno pada November tahun lalu. Sementara Mahathir pula baru-baru ini menulis di blog bahawa pemimpin popular DAP Lim Kit Siang boleh merenggangkan Melayu dan Cina dalam kempennya untuk mendapatkan Gelang Patah. "Sebagai pemimpin, mereka patut menasihatkan rakyat bertenang dalam memilih kerajaan pilihan hati mereka," kata Musa, yang dilihat lantang menyuarakan pendapatnya selepas bersara. "Bagi saya, (kenyataan) itu hampir seperti menghasut," tambahnya. | ||||
PRU13: K'tan cuti peristiwa 5 Mei Posted: 17 Apr 2013 07:35 AM PDT Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa pada 5 Mei depan sempena pilihan raya umum ke-13. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perisytiharan cuti itu dibuat bagi memudahkan kakitangan awam, swasta serta rakyat negeri ini mengundi pada hari itu. "Mereka tidak perlu lagi memohon cuti atau keluar sementara untuk mengundi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini. Beliau berkata kerajaan negeri membuat keputusan itu kerana Ahad adalah hari bekerja di negeri ini.- Bernama | ||||
Pendekatan PDRM tak cermin semangat APA - Suhakam Posted: 17 Apr 2013 07:33 AM PDT MALAYSIA KINI Pendekatan yang digunapakai oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 Apriol tahun lalu, tidak mencerminkan semangat Akta Perhimpunan Aman (APA), demikian penemuan siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). Dalam laporan siasatan awam terhadap insiden semasa dan selepas perhimpunan tersebut, Suhakam berkata, pendekatan 3R 1C 1E (Restraint, Restraint, Restraint, Caution and Enforce) yang digunapakai oleh PDRM tidak mencerminkan semangat akta tersebut yang berkuatkuasa lima hari sebelum perhimpunan tersebut. "Perlaksanaan restraint adalah tidak sama dengan pemudahcara yang mana maksudnya merujuk kepada satu peranan yang lebih aktif dan bersifat penyertaan," kata laporan siasatan tersebut yang berjalan selama enam bulan mulai Julai lalu. Katanya, polis tidak membantu atau memudahkan penyuraian para peserta semasa perhimpunan awam 28 April 2012 seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 8 APA. "Peserta perhimpunan tidak diberikan masa yang mencukupi dan munasabah untuk bersurai dalam keadaan yang teratur dan selamat. "Sebaliknya, amaran bersurai hanya diberikan sebelum tembakan meriam air dan gas pemedih mata yang pertama dan tidak dilakukan selepas itu. Tembakan meriam air dan gas pemedih mata yang berterusan turut menjejaskan usaha peserta untuk bersurai," tambahnya. Di dalam laporannya, Panel turut mengenalpasti penemuan berikut: • Bahawa terdapatnya penggunaan kekerasan yang tidak seimbang dan insiden salah laku oleh kakitangan polis ke atas peserta yang ditahan dan dibawa ke kawasan tahanan di Dataran Merdeka dan kebanyakan mereka yang ditahan tidak dimaklumkan sebab mereka ditangkap; • Bahawa terdapat peserta yang ditahan oleh kakitangan polis semasa mereka berada di dalam premis tertentu walaupun mereka telah meninggalkan kawasan perhimpunan; • Bahawa terdapat cubaan oleh pihak polis menghalang pihak media daripada membuat liputan berkenaan perhimpunan menerusi rampasan peralatan mereka, memadam gambar-gambar yang diambil serta menahan atau mengasari mereka; • Bahawa kesemua peserta yang ditahan di PULAPOL tidak dimaklumkan akan sebab mereka ditahan dan dinafikan hak untuk mendapatkan akses kepada wakil perundangan mereka; • Bahawa mereka yang mengadakan protes di luar kediaman Dato' Ambiga Sreevenasan selepas 28 April mempunyai hak untuk mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpun. Pada masa yang sama, amalan tersebut tidak harus menafikan hak ke atas privasi, kebebasan peribadi dan keselamatan Dato' Ambiga Sreevenasan serta mereka yang tinggal di sepanjang kawasan kediaman tersebut. Aktiviti yang dijalankan harus selari dengan undang-undang, peraturan atau undang-undang kecil majlis perbandaran. Kegagalan pihak berkuasa untuk bertindak ke atas perlanggaran undang-undang dan peraturan tersebut menujukkan bahawa terdapatnya kekurangan kesungguhan untuk bertindak mahupun bersikap berat sebelah atau tidak mengendahkan daripada pihak berkuasa; • Bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam memudahkan lalulintas dengan membuka lebih banyak jalan di dalam dan sekitar bandaraya; • Bahawa terdapat penutupan beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) termasuk Masjid Jamek, Dang Wangi, Pasar Seni (Aliran Kelana), Plaza Rakyat, Bandaraya and Sultan Ismail (Aliran Ampang) daripada 3.00 petang hingga 5.30 petang yang mengakibatkan kesukaran para peserta untuk bersurai secara aman dan teratur; dan • Bahawa sesetengah penggunaan bahasa di dalam garis panduan yang disediakan oleh penganjur perhimpunan pada 28 April yang bertajuk "Garis Panduan Bersih 3.0 – 28 April" boleh disalahtafsir dan boleh menggalakkan para peserta menyalahi undang-undang atau mendorong kepada kelakuan dan akibat yang tidak diingini. Berdasarkan kepada hasil penemuan tersebut, panel Inkuiri menggariskan beberapa syor untuk pertimbangan pihak berkuasa yang berkaitan dan pihak media, antaranya: • PDRM perlu menyelia perhimpunan aman seperti yang diperuntukkan di bawah APA 2012 dalam memastikan pengurusan dan kawalan orang ramai serta meminimumkan gangguan kepada orang awam dan aktiviti di kawasan-kawasan yang berkenaan. Ia boleh dicapai melalui mesyuarat bersama pihak penganjur serta latihan dan bengkel yang berterusan berhubung pengurusan dan kawalan peserta semasa perhimpunan berselari dengan piawaian antarabangsa; • Pihak polis perlu membuat perbezaan di antara perhimpunan aman dan rusuhan serta mengekalkan sikap neutral dalam melindungi keselamatan peserta dan orang awam sekiranya perhimpunan awam tersebut melibatkan dua atau lebih kumpulan berbeza di dalam kawasan yang sama; • PDRM perlu mengkaji semula dan meminda Prosedur Standard Operasi (SOP)/Perintah Tetap dalam menyuraikan perhimpunan selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa seperti Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), Konvenen Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Konvensyen Eropah dan Amerika mengenai Hak Asasi Manusia, dan mencontohi amalan terbaik Pasukan Polis lain di dunia; • PDRM perlu memastikan bahawa peserta diberi masa yang mencukupi dan munasabah untuk bersurai dalam cara yang teratur dan selamat, dan laluan keluar yang betul boleh diakses bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Cara alternatif dalam memberi amaran dan menyuraikan peserta juga perlu dikajisemula; • PDRM perlu mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini atau arahan yang bercanggah dengan memastikan semua arahan yang dikeluarkan oleh Komander Lapangan dan, sekiranya terdapat tugas perlu diserahkan kepada pegawai lain, maklumat tersebut hendaklah disampaikan kepada kakitangan polis yang bertugas semasa perhimpunan; • PDRM perlu menggunapakai cara komunikasi tambahan atau yang lain bagi memastikan para pegawai polis dapat mengekalkan komunikasi antara satu sama lain dan untuk mengelak sebarang kekeliruan berhubung perintah atau tindakan yang diambil oleh mana-mana pasukan di lapangan; • Pegawai yang melakukan penahanan perlu mengamalkan sikap berhati-hati dan mengelakkan penggunaan kekerasan yang tidak wajar atau tidak seimbang dalam melakukan tangkapan serta perlu memaklumkan kepada orang yang ditahan mengenai sebab mereka ditahan serta memastikan hak mereka untuk mendapatkan akses kepada pegawai perundangan; • Orang ramai terutamanya peserta perhimpunan tidak seharusnya mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri dan perlu menghargai dan menghormati sepanjang masa peranan dan tanggungjawab polis dalam mengekalkan dan memelihara keselamatan, undang-undang dan ketenteraman; • Polis perlu memakai tag nama atau nombor badan sepanjang masa menjalankan tugas manakala pegawai yang berpakaian preman yang ditugaskan untuk memantau, memerhati dan merekod peristiwa tidak boleh terlibat di dalam proses penyuraian dan penahanan, melainkan mereka memperkenalkan identiti mereka; • PDRM perlu mengkaji semula SOP dan mewajibkan setiap anggota untuk membuat laporan selepas menjalankan tugas mereka yang mana semua butir-butir tindakan yang diambil semasa bertugas; • Pihak berkuasa yang berkaitan dan media disyorkan untuk merujuk kepada Laporan Khas Organisasi untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah: Pengurusan media ketika demonstrasi politik (OSCE's Special Report on the Handling of the Media), yang mana mengandungi garis panduan berkenaan cara layanan pihak berkuasa terhadap media semasa perhimpunan serta persiapan media dalam membuat liputan sesuatu peristiwa; • Komunikasi atau taklimat di antara pihak polis dan media perlu diadakan sebelum perhimpunan dalam membantu kedua-dua belah pihak memahami peranan dan tugas masing-masing pada hari perhimpunan, dan menjangka apa-apa keadaan yang tidak diduga; • Wartawan perlu memastikan pakaian mereka tidak sama dengan pakaian para peserta dan tag media hendaklah dipakai dan diperlihatkan sepanjang masa. Mereka juga tidak seharusnya menyertai para peserta di dalam aktiviti-aktiviti seperti berdikir dan menyanyi bagi mengelakkan daripada dikenalpasti sebagai peserta; • PDRM perlu menjalankan dan menyelesaikan siasatan ke atas laporan polis yang dibuat oleh orang awam berhubung tindakan yang dilakukan oleh kakitangan polis bagi mengelakkan tuduhan berat sebelah dan tidak telus; • Pihak berkuasa perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan yang boleh disalahtafsir sebagai membenarkan atau memperjuang apa-apa perlanggaran hak asasi manusia dan perlanggaran mana-mana undang-undang di negara ini; dan • Pihak berkuasa perlu bertindak secara profesional, adil dan saksama pada setiap masa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka agar tidak kelihatan memihak atau bersikap berat sebelah kepada mana-mana pihak atau kumpulan tertentu. | ||||
Dalam protes, BN PP pertahan senarai 'muktamad' Posted: 17 Apr 2013 07:30 AM PDT BN Pulau Pinang tidak akan menyemak semula senarai calon mereka walaupun dibantah pihak yang digugurkan atau tidak dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke13 pada 5 Mei ini. Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata, senarai itu sudah dimuktamadkan kerana parti sudah membuat pendirian berhubung sabotaj dalaman. Ditanya tentang tiga pemimpinnya yang mengisytiharkan perang kerana digugurkan, Teng (kiri) berkata: "Terpulang kepada mereka hendak bertanding sebagai bebas". "Tidak banyak yang dapat saya lakukan kerana mereka meletakkan kepentingan sendiri di atas kepentingan parti." Malam tadi, Penyelaras Gerakan Batu Uban A Mohan, bekas anggota Parlimen Tasik Gelugor Shariff Omar dan penyandang kerusi Sungai Dua Jasmin Mohammed mengisytiharkan perang terhadap BN apabila tidak terpilih sebagai calon. Mohan bercadang bertanding bawah tiket Parti Kesejahteraan Insan (KITA) dan Shariff mahu menjadi "wakil bebas mesra Pakatan". | ||||
SPR Sabah jangka keputusan PRU diketahui seawal 7 malam Posted: 17 Apr 2013 07:23 AM PDT SINAR HARIAN KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah menjangka keputusan pilihan raya umum akan diketahui seawal 7 malam pada hari pengundian 5 Mei ini. Pengarah SPR Negeri Datuk Md Idrus Ismail berkata semua keputusan PRU13 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini dijangka diketahui selewat-lewatnya pukul 10 malam pada hari yang sama. "Kali ini kita jangka keputusan pertama PRU13 diketahui lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini, kerana semua kertas undi untuk pengundian awal pada 30 April akan mula dikira jam 4 petang pada 5 Mei ini. "Pada pilihan raya kali ini, semua pengiraan undi akan dibuat di saluran, tidak seperti pilihan raya lepas yang mana, pusat pengundian yang ditutup seawal jam 3 petang dibawa terus ke pusat penjumlahan rasmi undi, dan selepas jam 5 petang baru dikira," katanya. Md Idrus berkata demikian kepada pemberita sempena perjumpaan SPR bersama media di Pusat Media Pejabat SPR Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, hari ini. Pusat media itu akan digunakan untuk menyalurkan maklumat mengenai senarai nama calon yang bertanding bagi kerusi parlimen dan DUN, dan pusat itu dijangka menjadi tumpuan pengamal media yang akan membuat liputan berita terutama penamaan calon pada 20 April dan pengumuman keputusan 5 Mei ini. Beliau berkata pada pilihan raya umum yang lepas, SPR menghadapi banyak masalah termasuk cuaca yang tidak menentu. Md Idrus berkata setakat ini, pejabat SPR negeri telah mengeluarkan sebanyak 1,025 borang pencalonan, dan daripada jumlah itu, sebanyak 361 borang dikeluarkan untuk Parlimen dan 664 borang untuk DUN. Mengenai urusan pengundian di SK Tanjung Labian, Lahad Datu, yang terjejas berikutan kes pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo Lahad Datu baru-baru ini, beliau berkata pusat mengundi di sekolah itu, yang ditutup sebelum ini, kini sudah dibuka. "Bagaimanapun, beberapa rumah pengundi yang tidak dapat dimasuki, dan mereka kini terpaksa ditempatkan di sebuah dewan di Felda. Kita akan gunakan kenderaan agensi kerajaan untuk membawa pengundi ke SK Tanjung Labian untuk membolehkan mereka mengundi," katanya sambil menambah kawasan itu mempunyai 671 pengundi berdaftar. - Bernama | ||||
Siaran langsung ‘Forum Memanifestasikan Harapan Rakyat’ di KLSCAH Posted: 17 Apr 2013 07:19 AM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung 'Forum Memanifestasikan Harapan Rakyat: Satu Perbualan Bersama' dari Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) jam 8.45 malam ini melalui rangkaian internet. Program tersebut dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kehadiran beliau melalui jadual dan laman facebooknya Isnin lalu yang bertulis 'Saya akan hadir', "Malam ini selepas acara di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, saya akan ke Desa Pinggiran Putra dekat Putrajaya – ceramah bersama TG Nik Aziz, Dato' Husam dan sdr Borhan Aman Syah," tulis Anwar di facebook. Siaran langsung forum tersebut dibuat radio online, Radio Bangsar Utama Untuk mendengar sila KLIK INI. | ||||
KEADILAN tanding 19 kerusi Parlimen dan 43 DUN di Sabah Posted: 17 Apr 2013 07:07 AM PDT Oleh Sidiqin Omar PETALING JAYA : Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan bertanding di bawah tiket KEADILAN. Seramai 19 calon akan bertanding di kawasan Parlimen, manakala 43 di kerusi DUN Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini. Pengumuman itu dibuat pada sidang media di ibu pejabat parti petang tadi dengan kehadiran enam calon bertanding. Berikut kerusi ditandingi KEADILAN termasuk Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang menggunakan bendera KEADILAN. P167 Kudat: Rahimah Binti Majid P168 Kota Marudu: Datuk Maijul Mahap P169 Kota Belud: Isnaraissah Munirah Binti Majlid @ Fakharudy P170 Tuaran: Datuk Seri Pangima Mojilip Bin Bumburing @ Wilfred P174 Penampang: Ignatius Dorrel Leiking P175 Papar: Datuk Mohammad Yahya @ Yahya Bim Lampong P176 Kimanis: Jaafar Bin Ismail P177 Beaufort: Datuk Seri Panglima Lajim Ukin P178 Sipitang: Ramlee Bin Dua @ Ramli Dua Lee P179 Ranau: Jonathan Bin Yasin P180 Keningau: Stephen Sandor P181 Tenom: Masdin Bin Tumas P182 Pensiangan: Datuk Seri Dr Richard Sakian Bin Gunting P183 Beluran: James Miki P184 Libaran: Mohd Serman Bin Hassnar P187 Kinabatangan: Mustapa Bin Datu Tambuyong P188 Silan: Dr Badrulamin Bin Bahron P189 Semporna: Dr Zamree @ Mohd Suffian Bin Abdul Habi P190 Tasau: Datuk Kong Hong Ming @ Kong Fo Min Manakala bagi kerusi Dewan Undangan Negeri pula: N01 Banggi: Datu Abdul Razak Bin Datu Abdul Salam N02 Tanjong Kapor: Chin Chung Kui @ William Chin N04 Matunggong: Jelin Bin Dasanap @ Jelani Bin Hamdan N05 Tandek: Andonny Pilit @ Anthony Biri Mandiau N07 Kadamaian: Uloh @ Jeremmy Bin Majalad @ Malazad N08 Usukan: Ir Mustafa Sa'mud N09 Tamparuli: Datuk Seri Panglima Mojilip Bin Bumburing @ Wilfred N10 Sulaman: Mukhtar N11 Kiulu: Rhodes Bin Panilau N12 Karambunai: Muali Bin Aching N13 Inanam: Roland Chia Ming Shen N15 Api-Api: Liew Chin Jin N18 Petagas: Mat Yunin @ Mohd Yunin Bin Atin N20 Moyog: Terrence Siambun N21 Kawang: Kefli @ Dzulkefli Bin Safar N22 Pantai Manis: Fred Bin Gabriel N23 Bongawan: Tan Ser Ibrahim Menudin N24 Membakut: Narawi @ Sinar Bin Ahmad N25 Klias: Datuk Seru Lajim Bin Ukin N26 Kuala Penyu: Datuk Johan @ Christopher Bin OT Ghani N27 Lumadan: Ustaz Abdul Rahman Yaakob N28 Sindumin: Harunsah Bin Ibrahim N29 Kundasang: Satiol Bin Indong N30 Karanaan: Datuk Dr Muhiddin @ Mohd Anas Bin Yusin N31 Paginatan: Amru Bin Abd Kadir N32 Tambunan: Wilfred Win Bin Ponil N33 Bingkor: Dato Ahmad Shah Tambakau N34 Liawan: Paul Gitang N36 Kemadong: Biou Suyan N37 Sook: Liberty Lopog N38 Nabawan: Raymond Bin Ahuar N39 Sugut Petrus Zabang N40 Labuk: Datuk Tan Yong Gee N41 Gum-Gum: Ahmad Thamrin @ Thamrin Bin Mohd Jaini N42 Sungai Sibuga: Irwansyhah Bin Mustafa N43 Sekong: Musah Bin Ghani N47 Kuamut: Benson Ingam N49 Tungku: Johani Bin Abd Halim N50 Lahad Datu: Dr Hamid Awong @ Abdul Hamid Awong N52 Sulabayan: Hermeny Bin Murgal N53 Senallang: Mohd Amin Bin Abdul Mem N55 Balung: Frank Salazar @ Franco N56 Apas: Alizaman Bin Jijurahman | ||||
Calon BN Tanjung Bidara tarik diri, pesara guru diumum pengganti Posted: 17 Apr 2013 07:04 AM PDT INAR HARIAN MELAKA - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Datuk Kapt (B) Ab Karim Sulaiman hari ini menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Ab Karim, 65, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Melaka membuat keputusan itu atas faktor kesihatan dan telah menghantar surat rasmi kepada Pengerusi BN negeri yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada sebelah tengah hari. Sehubungan itu, Mohd Ali ketika ditemui di kediamannya di Seri Bendahara di sini mengumumkan pesara guru, Md Rawi Mahmud, 60, yang juga anggota jawatankuasa Umno Bahagian Masjid Tanah menggantikan tempat Ab Karim selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Surat tauliah akan diperolehi petang ini...beliau (Md Rawi) dikenali oleh pengundi di Masjid Tanah," katanya. Pada PRU12, Ab Karim mengalahkan calon Pas Imran Abdul Halim dengan majoriti 3,383 undi. - Bernama | ||||
Pekan dijangka saksi saingan 3 penjuru Posted: 17 Apr 2013 07:02 AM PDT PEKAN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang diumumkan semalam menampilkan satu muka baru untuk menawan Parlimen dan Dun Pekan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kekal bertanding di Parlimen Pekan akan terjebak dalam pertandingan tiga penjuru apabila calon mahasiswa, Mohd Bukhairi Sofian daripada Gerakan Mahasiswa ke-13 (GM13) mengesahkan akan bertanding pada PRU13 bersama seorang lagi calon Ketua AMK, Fariz Musa. Pengekalan calon bagi kerusi Parlimen dan tiga Adun selari dengan tanggungjawab yang dipikul iaitu memastikan BN terus popular mendominasi kerusi Parlimen Pekan dan empat Dun seperti tercatat dalam sejarah PRU12. Keputusan meletakkan calon muka baru iaitu Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Datuk Sheikh Mohd Fauzi Sheikh Ali di Dun Peramu Jaya menggantikan Adun sebelumnya dilihat sebagai percubaan yang bakal mengundang reaksi masyarakat di kawasan tersebut. Namun begitu, Datuk Sheikh Mohd Fauzi sebenarnya tidak begitu asing dalam kalangan penduduk Peramu terutamanya di Kampung Tanah Putih dan Pulau Serai di mana Dun Peramu adalah kampung halamannya sendiri. Penglibatannya dalam beberapa projek pembangunan untuk membantu rakyat miskin sekitar Dun Peramu menjadi ukuran awal terhadap kemampuan beliau memikul status sebagai wakil rakyat. Bekas Adun Peramu, Ibrahim Awang Ismail masih kekal bertanding, namun kali ini beliau dipertanggungjawabkan memenangi hati masyarakat di Dun Bebar di mana sebelumnya tegar ditawan Datuk Ishak Muhamad yang tidak lagi diturunkan setelah menjadi jaguh Dun berkenaan sejak PRU9. Kerja kuat dan kelantangannya 'membasuh' kumpulan GM13 yang berkempen di Parlimen Pekan berjaya mengekalkan Khairudin Mahmud sebagai calon pilihan BN bagi merebut kerusi Dun Pulau Manis sekali lagi selepas menamatkan tempoh sebagai wakil rakyat penggal pertama. Keyakinan terhadap pengaruh dan kemampuan membangunkan gugusan Felda serta kampung tradisional secara menyeluruh dalam Dun Chini menjadi titik tolak kepada kepimpinan tertinggi Umno untuk kembali memilih Datuk Abu Bakar Harun sebagai calon pertaruhan BN. | ||||
3 pemimpin BN isytihar perang parti sendiri Posted: 17 Apr 2013 03:55 AM PDT Tidak menunggu lama, tiga veteran BN terus mengisytiharkan perang terhadap BN apabila nama mereka tidak termasuk dalam senarai calon pilihan raya umum ke-13 yang diumumkan semalam. Mereka adalah Penyelaras Gerakan Batu Uban A Mohan, bekas anggota Parlimen Tasik Gelugor Shariff Omar dan penyandang kerusi Sungai Dua Jasmin Mohammed. Mohan dan Shariff malah memutuskan untuk tetap bertanding, masing-masing di Parlimen Batu Kawan dan Tasik Gelugor, yang akan menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru. Mohan juga berkata beliau bercadang untuk bertanding bawah tiket Parti Kesejahteraan Insan (KITA). Manakala Shariff (kanan) pula mahu menjadi "wakil bebas mesra Pakatan", tetapi tidak menyebut parti mana akan dipilihnya. Kesemua mereka akan memaklumkan keputusan muktamad mereka pada Sabtu ini. Ekoran itu, dengan penamaan calon tidak berapa hari, BN Pulau Pinang kini dikatakan dalam keadaan panik terhadap kemungkinan munculnya kepuakan dalam parti dan sabotaj dalaman di kerusi-kerusi Umno dan Gerakan. Ia juga sekali gus tidak memberikan petanda yang baik kepada BN yang berharap bergantung kepada Melayu di kampung-kampung dan kawasan campuran - di mana Umno dan Gerakan bertanding. | ||||
Posted: 17 Apr 2013 03:48 AM PDT Oleh Shahbudin Husin Senarai calon-calon BN yang diputuskan Najib dan diumumkan sepenuhnya di semua negeri semalam, secara umumnya adalah bersandarkan formula transformasi dan "winnable" sebagaimana yang sering diucapkannya sejak empat tahun lalu. Malah perkataan transformsi dan "winnable" juga menjadi perkataan jarang terlepas dari bibirnya sejak empat tahun lalu untuk menunjukkan beliau juga seorang yang mahukan pembaharuan serta pragmatik sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat. Dengan barisan calon yang disusunnya itu, Najib seolah-olah memberi bayangan bahawa inilah pasukan yang akan bersama-sama dengannya melaksanakan pelbagai transformasi dalam negara jika BN terus diberi kepercayaan mentadbir negara ini untuk tempoh lima tahun seterusnya. Malangnya, sebaik saja nama-nama calon diumumkan, harapan untuk melihat mereka yang terpilih itu memberi imej dan persepsi yang baik sebagaiimana yang sering dilaung-laungkannya tampak berkecai. Bayangan transformasi kelihatan jauh dari kenyataan. Ini kerana yang terpilih itu ada yang terpalit dengan skandal, dilumuri isu moral, calon kitar semula dan tidak mendapat restu UMNO bahagian. Ada juga yang bukan "winnable" tetapi lebih kepada "win cable" iaitu yang mempunyai hubungan tertentu dengan orang diatas yang dipilih sebagai calon. Diatas semua itu, transformasi politik yang ingin dibawa Najib menjadi caca-marba dan bercelaru. Orang utara kata, transformasi rojak jadinya. Sementara Najib berkata calon-calon baru kali ini meliputi 33 peratus di peringkat Parlimen dan 54 peratus di peringkat DUN, hakikat yang paling menonjol ialah di kalangan menteri kabinet hanya tiga orang saja yang digugurkan iaitu Rais Yatim, Nor Yakcop dan Ng Yen Yen. Ini tentunya memberi gambaran jika BN terus berkuasa, menteri-menteri yang ada akan terus kekal sedangkan mereka inilah yang menjadi fokus perubahan yang diinginkan oleh rakyat. Kegagalan ini akan memberi impak tidak baik dan melebarkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap Najib dan BN. Rakyat akan melihat tiada perubahan yang nyata kerana perubahan calon Ahli Parlimen seharusnya seiring dengan pengguguran lebih ramai menteri kabinet daripada terus bertanding. Yang lebih menyedihkan juga, walaupun keputusan menggugurkan tiga menteri itu harus dipuji terutamanya Rais Yatim yang sudah lama menjadi dinosaur dalam era politik hujah dan fakta ketika ini, di masa yang sama Najib juga mengekalkan beberapa pemimpin usang dan memberi nyawa semula kepada mereka yang sudah dianggap mati untuk dikitar semula sebagai calon pilihanraya. Pemilihan semula calon tua seperti Yap Pian Hon di Serdang, Othman Abdul di Pendang, Mansor Salleh di Tumpat dan menaikkan taraf Shahidan Kassim daripada bertanding di DUN ke Parlimen mengecewakan banyak pihak dan membuatkan mereka tertanya-tanya, transformasi apa sebenarnya yang cuba diterapkan Najib sekarang ini. Ini juga merencatkan proses peremajaan dalam parti yang seharusnya senantiasa berlaku bagi mengekalkan parti terus segar dan diterima rakyat. Apakah pemilihan semula Yap, Othman dan Mansor itu termasuk dalam kategori 33 peratus calon baru yang Najib maksudkan? Begitu juga dengan masih memberi peluang kepada bekas menteri yang kalah atau digugurkan Najib sendiri sebaik mengambil alih pentadbiran pada 2009 lalu seperti Azalina Othman di Pengerang dan Annuar Musa di Ketereh seperti menggambarkan UMNO sudah ketandusan pemimpin muda yang berwibawa yang lain untuk diketengahkan. Di peringkat DUN juga masih ramai calon-calon lama yang masih dikekalkan sedangkan sudah sepatutnya digugurkan. Lebih-lebih lagi, kesemua orang lama dan tua itu bukan pula calon yang boleh dianggap "winnable". Jika Tengku Razaleigh dan Shahrir Samad terus dikekalkan, mungkin ia boleh difahami kerana kedua mereka adalah pemimpin yang sentiasa "winnable" dan menukar kepada calon lain dalam keadaan genting seperti sekarang boleh menyebabkan kehilangan mudah kerusi Gua Musang dan Johor Bahru kepada pihak lawan. Apakah istimewa dan masih "winnablekah" Yap Pian Hon untuk berhadapan dengan Teo Nii Ching dari DAP, Othman Abdul berhadapan dengan Mat Sabu dan Mansor Salleh untuk berdepan dengan Kamaruddin Jaafar, yang kedua-duanya merupakan tokoh penting Pas? Transformasi calon yang cuba diketengahkan Najib juga menjadi celaru apabila beliau meletakkan Zulkifli Nordin bertanding di Shah Alam untuk berhadapan dengan Khalid Samad. Selain imejnya sebagai pelompat, penyebaran video mengenai komennya yang menghina agama lain sekaligus memburukkan imej BN dalam masa yang sama. UMNO dan pengundi Shah Alam sendiri rata-rata menolak pencalonan Zulkifli, bukan saja kerana imej dan keceluparannya tetapi juga kerana tahap kematangan politiknya yang dianggap terlalu rendah dan tidak sepadan dengan taraf penduduk ibu negeri Selangor itu sendiri. Transformasi Najib juga menjadi kacai-bilau apabila beliau memilih semua Dr Rozaidah Talib dan Dr Rahman Ismail sebagai calon di Ampang dan Gombak sedangkan mereka sudah digugurkan sebagai calon pada pilihanraya 2008 lalu. Sama seperti Othman Abdul, Mansor Salleh dan Yap Pian Hon, kedua mereka ini juga dikategorikan sebagai calon kitar semula. Memburukkan lagi keadaan, Rozaidah dan Rahman juga pernah terlibat dengan isu isu moral dan skandal dalam beberapa tahun lalu. Jika Najib mengatakan pemilihan calon kali ini setelah melalui beberapa tapisan, bagaimana Rozaidah dan Rahman boleh terlepas daripada tapisan itu? Dengan pemilihan mereka itu, kini bertebaran semula cerita dan gambar-gambar berkaitan isu moral dan skandal yang pernah dikaitkan dengan mereka. Selain itu, berlaku juga protes dalam UMNO sendiri terhadap pemilhan mereka sebagai calon. Semua ini akhirnya akan menyebabkan BN tewas dengan mudah di kedua-dua kerusi itu. Bantahan mengenai calon tidak saja berlaku di Ampang, Gombak dan Shah Alam tetapi juga turut dilaporkan berlaku di Sekijang dan Tasek Gelugor. Bahkan bekas timbalan menteri, Sharif Omar sudah pun mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di Tasek Gelugur. Walaupun bantahan dan protes ini boleh dianggap sebagai proses biasa dalam mana-mana pilihanraya tetapi ia tidak seharusnya begitu ketara berlakunya kerana Najib sering menjanjikan transformasinya akan dilaksanakan dengan saksama dan penuh teliti. Belum pun penamaan calon dan hari pengundian yang mungkin bakal menyaksikan banyak lagi kejadian-kejadian merugikan BN, hakikatnya semua ini berlaku kerana transformasi yang dilakukan Najib tidak seiring dengan janji yang pernah dilafazkannya. Calon "win cable" pula lebih diutamakan berbanding "winnable" dalam ertikata sebenarnya. Baru kecelaruan calon, belum lagi berlaku pelbagai kecelaruan lain, harapan Najib untuk membawa BN terus kekal berkuasa nampaknya sudah menampakkan tanda-tanda kesukarannya. | ||||
NEGERI LEBIH KENAL CALON DUN, TROPICANA PERLU REALISTIK BUAT KEPUTUSAN Posted: 17 Apr 2013 03:31 AM PDT WFAUDZIN NS DIFAHAMKAN perebutan kerusi Parlimen Bera, Pahang sudah selesai apabila PAS Pusat bersetuju untuk menyerahkan Parlimen tersebut kepada KEADILAN melalui calonnya, Sdr Zakaria Abdul Hamid, bekas Pengerusi KEADILAN Pahang yang kini adalah Ahli MPP dan juga Timbalan JPRP. Meskipun keputusan PAS Pusat tersebut dianggap 'kontroversi' di mana dikatakan PAS kawasan tetap menaruh minat untuk bertanding di situ, namun bak kata Us Tuan Ibrahim sesiapa sahaja yang menjadi calon tanpa restu PAS Pusat akan dipecat dari keahlian PAS. Syarat ini juga digunapakai oleh parti KEADILAN dan juga DAP. Disiplin ahli parti mestilah diletakkan di atas segala-galanya apatah lagi PAS yang selama ini kukuh dan kuat kerana amalan 'Wala'' kepada keputusan parti. Apakah yang berlaku selepas ini kita tunggu samada terdapat ahli PAS yang tidak lagi menghormati keputusan parti. KEADILAN sering dianggap tamak haloba kononnya 'mencuri' hak orang. Peliknya, tamak haloba KEADILAN sehingga melepaskan Bentong kepada DAP dan terlepas juga Dun Ketari yang asalnya mahu diminta oleh KEADILAN? Begitu juga Dun Damak, KEADILAN 'rela' serah kepada DAP. Di Pahang, KEADILAN kini sudah kurang satu kerusi Parlimen iaitu Bentong. Bagaimana 'si tamak' boleh kurang kerusi, sedangkan sepatutnya mestilah kerusi bertambah? Itu belum dikira 'sedekah' KEADILAN kepada DAP di Gelang Patah dan beberapa kawasan lain. Ini semua adalah strategi PR berdasarkan keperluan semasa. Parlimen Bera bukanlah kawasan yang dianggap 'selamat' buat KEADILAN berbanding Temerloh mahupun Jerantut, namun KEADILAN bersedia ditempatkan di situ dan Sdr Zakaria beserta para penyokong dan jenteranya kini telah bersedia untuk bertempur di kawasan yang dahulunya ditandingi oleh PAS melalui Sdr Mazlan Aliman, Pengerusi ANAK. Aku yakin kekuatan jentera walaupun baru dibina oleh Sdr Zakaria mampu membuat kejutan kali ini di Bera. Syabas kepada PAS Pusat yang redha kerusi ini ditandingi oleh KEADILAN kali ini. Apakah isu kerusi di Pahang selesai sudah? Pembahagian kerusi di antara PR di Pahang bolehlah dianggap selesai sekarang. Namun, khabar angin menyebut terdapat beberapa kerusi Dun yang diperuntukkan kepada KEADILAN menjadi 'kontroversi' pula. Kali ini bukan perebutan di antara PR, tetapi percaturan 'luar biasa' dari pimpinan KEADILAN di luar Pahang yang memungkinkan calon yang telah bersedia untuk bertempur bakal tersingkir. Jika ini benar-benar berlaku, amat malang sekali kerana sewajarnya calon di kerusi Dun mestilah dipersetujui serta mendapat 'keredhaan' dari pimpinan negeri terlebih dahulu. Bukankah pimpinan negeri lebih kenal ahli-ahli atau calon di negeri berkenaan? Tropicana mungkin kurang mengenali calon-calon ini berbanding Negeri. Memang benar, sebagai ahli parti kita mesti akur dengan keputusan parti walaupun parti mengambil keputusan meletakkan 'tunggul kayu' sebagai calon. Tetapi pihak atasan juga jangan mengambil remeh atau mengambil kesempatan di atas kebangkitran rakyat sekarang yang mahu melakukan perubahan, maka sewenang-wenangnya mencatur calon-calon yang mereka mahu. Aku tidak setuju jika calon yang tidak terpilih bertanding Bebas kerana bagi aku itu khianat kepada parti. Tetapi aku beranggapan memilih calon yang tidak bekerja dan menolak calon yang telah diakui oleh Negeri calon yang terbaik dan telah melaksanakan kerja, itu juga dikira 'khianat' kepada parti. Memang benar, tidak semua pandangan negeri itu betul tetapi cubalah turun ke akar umbi dan siasat sendiri sebelum membuat pilihan dari jauh. Aku harap pandangan Negeri tidak dipermudahkan kerana di Pahang khususnya Negeri sering akur dan taat kepada Pusat walaupun kadangkala terguris di hati apabila melihat kerusi terlepas. Kali ini cubalah Pusat pula belajar menghormari pandangan Negeri. Di Pahang, KEADILAN di dalam merawat 'luka' lama dan janganlah dicipta 'luka' baru yang risikonya bukan sedikit untuk ditanggung. | ||||
Tiga Bilik Gerakan Umno Shah Alam Tutup Posted: 17 Apr 2013 02:06 AM PDT Sejak semalam lagi, tiga bilik gerakan Umno Shah Alam telah ditutup apabila tersebar khabar Datuk Zulkifli Nordin menjadi calon Barisan Nasional (BN) di situ. "Orang kuat Umno di sini yang memberitahu bahawa mereka tahu rancangan itu sejak semalam lagi dan setakat semalam sahaja tiga bilik gerakan telah ditutup, mungkin di peringkat cawangan," kata pengerusi salah sebuah masjid di situ yang enggan namanya disiarkan. Seorang pengurus di salah sebuah kilang di Shah Alam pula memberitahu, beberapa orang kuat Umno Shah Alam yang beliau temui petang tadi dan malam ini merasa sangat malu apabila Zulkifli dicalonkan sebagai calon BN di situ. "Tadi, masa saya pergi solat berjemaah di masjid, pencalonan Zulkifli jadi bahan gelak ketawa," kata pengurus salah sebuah kilang di Seksyen 16 itu yang juga tidak mahu namanya disiarkan. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad yang akan mempertahankan kerusi Shah Alam menyifatkan pemimpin Umno mempunyai persepsi yang unik apabila mencalonkan Zulkifli di situ. "Terpulang kepada pemimpin BN untuk memilih calon yang terbaik ... Malangnya, mereka merasakan bahawa Zulkifli adalah calon yang terbaik. Mereka mempunyai persepsi yang unik apa yang rakyat Shah Alam mahu," The Malaysian Insider memetik beliau. Menurut Khalid, kebanyakan orang di Shah Alam adalah lebih matang dan tidak bersifat pelampau, dan Zulkifli yang merupakan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak mewakili nilai-nilai yang menjadi pegangan mereka. Beliau juga menyifatkan pencalonan Zulkifli itu sebagai Khalid isyarat jelas bahawa para pemimpin Umno dan BN tidak mempercayai Umno Shah Alam. Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang kecewa tidak dicalonkan di kawasan idamannya, Pasir Mas, mempersoalkan mengapa beliau tidak dicalonkan sedangkan Zulkifli dipilih menjadi calon BN. Ibrahim berkata, beliau kecewa kerana tidak diberikan alasan mengapa tidak dicalonkan sedangkan Zulkifli yang menjadi Naib Presidennya dalam Perkasa dipilih menjadi calon BN bagi kerusi parlimen Shah Alam. "Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya," laman Astro Awani memetik beliau berkata. -HD | ||||
Tee Keat memikirkan untuk bertanding sebagai calon bebas di Pandan Posted: 17 Apr 2013 01:55 AM PDT Dalam tulisan di laman Facebooknya hari ini, beliau bertanya kepada pengundi:"Pengundi Pandan, apakah anda akan menyokong Ong Tee Keat sebagai calon bebas?" Awal pagi ini sekumpulan penyokongnya dilihat di pasar basah di Pandan untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Malam ini, satu lagi kumpulan merancang demonstrasi untuk menyokongnya. Dengan hari penamaan calon semakin hampir pada Sabtu, Ong masih belum memberikan komitmen untuk bertanding. Spekulasi mengenai apa akan dilakukan Ong (gambar) dimainkan dengan latarbelakang permusuhannya dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang dilihat sebagai di belakang keputusan penyingkiran itu. | ||||
Lima Calon BN Selangor Didakwa Dapat Sijil Pendidikan Daripada “Kilang Ijazah” Posted: 17 Apr 2013 01:53 AM PDT SHAH ALAM, : DAP hari ini tampil mempersoalkan kredibiliti dan integriti lima calon BN Selangor, termasuk seorang Timbalan Menteri yang didakwa 'membeli' sijil kelayakan pendidikan tinggi mereka. Ketua Strategi Pilihanraya DAP, Dr. Ong Kian Ming berkata calon-calon itu disifatkan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai barisan yang kuat. Tetapi sebenarnya mendapat sijil pendidikan daripada institusi-institusi yang digelar 'kilang ijazah' kerana mengeluarkan ijazah palsu. Mereka ialah Penyandang Timbalan Menteri Luar, A. Kohillan Pillay, Penyelaras Parlimen Klang, Teh Kim Pooh, Pengerusi Biro Agama Umno Bahagian, Ab Wahab Ibrahim dan juga calon-calon MCA; Ching Eu Boon serta Lee Ban Seng. "Tiada peruntukan dalam undang-undang yang mewajibkan setiap calon wajib mempunyai ijazah jika ingin bertanding jawatan awam. "Jika calon-calon ini tanpa rasa bersalah menipu kelayakan sijil mereka, tidak mustahil mereka juga akan melakukan perkara sama dalam urusan kepentingan awam seperti pengurusan dana," tegas Kian Ming dalam satu kenyataan media. Sehubungan itu, Kian Ming menggesa kelima-lima mereka tampil untuk menjelaskan atau menafikan dakwaan bahawa sijil mereka "dibeli". "Jika mereka gagal menjelaskan semua ini, saya desak mereka untuk menarik diri daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Umum 13 nanti," sambungnya. Calon Parlimen Puchong, Kohillan dikatakan membeli Ijazah Sarjana Sains dalam Ekonomi Industri dan Perdagangan daripada Pacific Western University di Amerika Syarikat (US). Insitusi ini pernah didakwa di mahkamah dan diarahkan tutup setelah didapati bersalah menjual sijil. Calon Parlimen Klang, Kim Pooh juga didakwa membeli Ijazah Doktor Falsafahnya (PHD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada New Port University di US sebuah lagi institusi yang dianggap "kilang ijazah". Calon Umno, Ab Wahab bagi DUN Taman Medan didakwa mendapat PHD beliau dalam bidang Perkhidmatan Awam daripada sebuah institusi di Ireland yang disenaraikan sebagai kilang ijazah oleh British Broadcasting Channel (BBC) pada tahun 2008, iaitu Irish International University. Sementara itu, calon bagi DUN Pandamaran Eu Boon dikatakan memperoleh PHD Pemasaran Rangkaian daripada St George University International, US yang juga dilaporkan sebagai kilang ijazah. Begitu juga dengan calon DUN Kajang, Ban Seng yang didakwa mendapatkan Ijazah Pengurusan Perniagaan daripada sebuah kilang ijazah yang lain iaitu Rutherford University, US. | ||||
PAS Kelantan tampilkan 16 muka baru Posted: 17 Apr 2013 01:50 AM PDT
KOTA BHARU: Ketika Umno menampilkan ramai calon tidak dikenali dalam misi mengangkat Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Menteri Besar BN, PAS pula mengentengah ramai calon baru. Ada di antaranya pensyarah universiti, doktor perubatan, peguam, ahli perniagaan pegawai kanan kerajaan, pengetua dan ulama. Mereka diturunkan di peringkat Dun bagi menggantikan beberapa wakil rakyat veteran yang mengundurkan diri. Selain itu ada juga bekas wakil rakyat yang bertukar kerusi bertanding di kerusi parlimen bagi membolehkan suara rakyat diketengahkan ke peringkat nasional. Jurucakap Perhubungan PAS Kelantan berkata, calon-calon tersebut dikenali umum dan sebahagian besar tinggal di kawasan yang akan ditandingi mereka. Katanya, saringan pemilihan calon dilakukan sejak tahun lepas, di mana dikemukakan bermula dari peringkat akar umbi. "Nama-nama tersebut akan diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah perdana di padang Majlis Daerah Machang malam ini. "Program tersebut bermula solat Maghrib, munajat, solat Isya dan kemudian diikuti majlis pengisytiharan calon," katanya di sini. Ceramah perdana pula akan menampilkan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dan anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah. Program tersebut bertema "Kekalkan Kelantan Ubah Putrajaya". Dijangka puluhan ribu rakyat Kelantan bakal membanjir padang Majlis Daerah Gua Musang malam ini, mengulangi sejarah yang pernah dicatat sebelum ini. Sementara itu kemelut dalaman Umno semakin terserlah selepas nama-nama calon diumumkan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan semalam. Difahamkan banyak kumpulan yang tidak puas hati dengan calon yang ditampilkan. Mereka sebelum ini dikatakan akan berhimpun di hadapan pejabat Perhubungan Umno Kelantan, namun tidak ramai hadir kerana hujan lebat. Malah suara-suara tidak puas hati mulai kedengaran di Rantau Panjang dan Kubang Kerian apabila ketua bahagian di kawasan tersebut dipinggirkan. Ekoran masalah dalaman tersebut kemungkinan besar calon PAS di Rantau Panjang dan Kubang Kerian tidak berdepan laluan sukar bagi mempertahankan kerusi tersebut. Di Gua Musang pencalonan semula Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan beberapa anggota jawatankuasa Umno Gua Musang melahirkan rasa tidak puas hati. Malah ada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan mengisytiharkan sokongan terbuka kepada calon Pakatan. | ||||
Polis langgar hak asasi masa Bersih 3.0 - Suhakam Posted: 17 Apr 2013 01:43 AM PDT
KUALA LUMPUR: Panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendapati berlaku pelanggaran hak asasi oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 april 2012 lalu. Ia berasaskan kepada tindakan polis yang memaksa peserta untuk membuka baju-T berwarna kuning, menghalang dan mengasari petugas media serta cara arahan bersurai yang diberikan kepada peserta. Panel juga mendapati pihak PDRM juga terus melakukan tangkapan biarpun ada yang dalam perjalanan pulang, di lobi hotel dan restoran. Hasil itu dirumuskan panel yang diketuai Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee, Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid dan Datuk Detta Samen. | ||||
Surat terbuka kepada "Khadam Politik" Posted: 17 Apr 2013 01:41 AM PDT
1. Di zaman Rasulullah SAW berdakwah dan berjihad, Islam bukan sahaja menghadapi musuh di kalangan ahli kitab, tetapi juga dari kalangan mereka yang berilmu berkenaan Islam dan kenabian Muhammad SAW. Mereka ini juga ikut serta menentang Islam secara terbuka, atau bersembunyi di belakang kalangan munafiqin (yang berpura-pura Islam) atau mempengaruhi orang-orang Islam yang lemah imannya. 2. Kumpulan ini sanggup menentang Islam kerana terlalu terpengaruh dengan harta dan pangkat yang mudah dicapai. Mereka ini bersedia melakukan apa sahaja yang terdekat dan cepat tanpa memikirkan akibatnya. Walau pun mereka percaya benarnya Islam dan mulianya Rasulullah SAW dengan sifat yang terpuji dan akhlak yang luhur, tetapi kemenangan Islam dianggap payah dan mungkin mustahil . Apatah lagi mereka memikirkan bahawa akhirat terlalu jauh, lalu memilih jalan yang mudah, dekat dan tidak mencabar. 3. Kalaulah seorang tokoh seperti Rasulullah SAW pun menghadapi jenis manusia yang begitu rupa, maka di zaman umat yang menyambung perjuangannya tentulah lebih banyak lagi, mungkin dengan cara dan sifat yang berlainan. 4. Di zaman penjajah pula digunakan para ulama yang mencari kebendaan dan pangkat untuk menentang jamaah Islam yang menentangnya. Penjajah ini mengambil langkah menghapuskan ulama yang berpolitik, dan membiarkan dan menyokong ulama yang tidak berpolitik. Maka kalangan umat Islam yang jahil dan lemah imannya menjadi keliru, kerana ada ulama yang menyokong penjajah dengan membaca ayat-ayat Al Quran dan Hadith juga. Sehingga ada kalangan tokoh ulama pewaris Rasul menjadi mangsa di bunuh, di buang negeri, di penjara dan sebagainya. 5. Di zaman ini penjajah asing sudah keluar. Negara sudah merdeka, namun umat Islam dan rakyat bukan Islam yang lemah bersamanya masih dibelenggu dengan penjajah tempatan yang meneruskan kemungkaran dan kezaliman yang membelenggu rakyat keseluruhannya. 6. Pada waktu ini pula di bawah pemerintahan Kerajaan BN selama puluhan tahun, taktik kerajaan yang bermasalah ini turut sama menggunakan khadam untuk mempertahankan takhta politiknya. Di antaranya menggunakan kumpulan yang berjenama Islam bagi mempertahankan kebatilan yang masih berkuasa dengan zalim dan fasik, serta memerintah dengan segala tipu dayanya. PAS bersama Pakatan Rakyat 7. Dalam menghadapi PRU-13 ini, PAS memperkenalkan konsep Negara Berkebajikan dengan makna yang menyeluruh. Bukannya "Negara Kebajikan" mengikut istilah barat, tetapi "Negara Berkebajikan" bersama pemimpin yang beriman dan budiman dan adil terhadap semua. 8. Konsep ini diterapkan dalam Buku Jingga dan ditafsirkan dalam Manisfesto di peringkat pusat dan kerajaan negeri masing-masing, berasaskan sistem Federalisma yang membahagikan bidang kuasa dan memberikan ruang yang lebih berkesan mengikut realiti negeri dan masyarakat yang berbeza. Konsep ini dapat diterapkan melalui konsep Islam itu Rahmat dan adil terhadap semua. Ini mampu dilaksanakan dalam Pakatan Rakyat walau pun berbeza ideologi dan agama, tanpa perlu berganjak dari dasar Islam dan tanpa paksaan terhadap pihak yang berbeza. 9. Penyokong PAS mengundi DAP di atas konsep Tahaluf (persefahaman) dan bersama menolak BN kerana kemungkarannya yang besar, parah dan nyata. Atas kesediaan DAP dan PKR menerima konsep bersama menentang kemungkaran yang besar, maka penyokong DAP dan PKR bukan Islam mengundi PAS dan menolak MCA, MIC dan lain-lain parti komponan BN dan bukan sahaja menolak UMNO. Tembok perkauman yang menjadi tiupan UMNO melalui Biro Tata Negara (BTN) milikan Kerajaan ini berjaya dipecahkan !. 10. Sebaliknya penyokong UMNO (Melayu Islam) pula tidak mengundi PAS, tetapi mengundi MCA, Gerakan dan lain-lain di kalangan bukan Islam dalam keadaan slogan Umno hidup melayu dan mempertahankan Islamnya dengan solekan godaan politik wang (rasuah). MAKA KETIKA INI MUNCULLAH KHADAM YANG DIGUNAKAN DENGAN BERBAGAI PENDEKATAN. Kemunculan Khadam – untuk selamatkan UMNO 11. Ada kalangan media melayu Islam mengambil pendekatan menakutkan orang bukan Islam dengan undang-undang syariat seperti hudud dan lain – lain tanpa penjelasan hikmat, proses kehakiman dan caranya yang adil. Ada juga yang mengambil pendekatan semangat perkauman dan agama untuk memecahkan Pakatan Rakyat dengan sikap sangat bersimpati terhadap PAS, pada hal merekalah tangan yang menzalimi penyokong PAS selama ini. 12. Dalam masa ini, wujud satu lagi golongan yang mendakwa ingin menarik undi Melayu Islam di atas nama Islam, tetapi tujuannya nyata untuk memenangkan BN bukannya memenangkan Islam. Mereka hanyalah sekadar khadam kepada BN Umno atau askar upahan dan sebagainya. Hakikatnya mereka hanya bertanding di sejumlah kecil kerusi sahaja, dan kawasannyanya hanya sekangkang kera yang tidak boleh bertanam dan membina rumah. 13. UMNO yang sangat gelabah dengan perkembangan mutakhir, mereka mula secara tidak langsung sedang menggunakan khadam daripada NGO yang berjenama Islam seperti ISMA dan lain-lain, bertanding di atas nama Islam, dengan tujuan untuk menarik undi Melayu Islam di kawasan bukan Islam. Tindakan pendek politik ini hanya berjaya untuk memenangkan MCA, MIC, Gerakan atau UMNO yang sedang bergelumang dengan kemungkarannya. 14. Sekiranya kita memahami demografi pengundi dan politiknya, dicampurkan dengan faktor jumlah kerusi yang sangat kecil ini, maka mereka ini perlu faham bahawa tindakan bertanding ini tidak akan membolehkan mereka untuk menegakkan negara atau menjadi pembangkang. Tindakan mereka ini hanya berjaya menjadi khadam menyelamat kemungkaran yang sedang berakar umbi. Caranya bertepatan dengan apa yang dinyatakan : كلمة حق أريد بها باطل Ucapan yang benar, tetapi dikehendaki tujuannya yang salah. 15. Mereka bertanding bukan bertujuan untuk menang dan mendokong suara Islam dengan berani dan tegas, tetapi untuk memberi kemenangan kepada kebatilan yang telah berlalu lebih daripada lima puluh tahun, bermakna sejak belum mereka dilahirkan ke dunia. 16. Kalau kail hanya sejengkal, jangan memancing di lautan yang dalam. Politik dalam Islam adalah amanah besar, perlu dipelajari dan difahami kalau mahu berpolitik berlandaskan Islam dan matlamatnya. Ketahuilah bahawa politik Islam itu ada hukum dan feqahnya, seperti juga feqah sembahyang, haji dan zakat. Rasulullah SAW mengajar Islam semuanya secara Feqah dan Akhlak (Tasawuf) yang berlandaskan aqidah (Iman) mematuhi perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." Al Baqarah 208 Marilah kita sama-sama bandingkan dengan amanat Tun Mahathir : "Lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada berkawan dengan malaikat yang kita tidak kenali". 17. Bolehkah berkawan dengan parti yang politiknya dipisahkan daripada Islam ? Ada juga yang mencari nasihat bomoh yang bersahabat dengan syaitan bagi menentukan tarikh pilihan raya, dan menggoda rakyat dengan wang dan sebagainya untuk menang walaupun banyak salah lakunya. Allah SWT melarang kita mendekati syaitan dan jin ini kerana godaannya sangat menarik. 18. Adapun orang yang bukan Islam pula, terdapat juga di kalangan mereka yang diizinkan oleh Allah untuk kita bekerjasama dengan mereka, di atas sifat dakwah dan kemanusiaan sejagat yang diwajibkan ke atas masyarakat madani dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya SAW bagi menegakkan adil terhadap semua. 19. Fahamilah feqah politik Rasulullah SAW sebelum tegaknya negara bersama dengan sahabatnya yang setia dan ikhlas bersama Islam, dan bersama bukan Islam seperti Abu Tholib, Mut'im bin 'Adi dan lain-lain yang belum Islam dan tidak bermusuh atau tidak keras kerana masih ada sifat–sifat kemanusiaan. Rasulullah SAW mengizinkan Abu Bakar RA menggunakan khidmat seorang bukan Islam ketika berhijrah yang sangat memerlukan ciri keselamatan, seterusnya bertahaluf dengan kalangan bukan Islam ketika menegakkan negara di Madinah. 20. Tahaluf ini juga dilaksanakan oleh kerajaan Islam di zaman Al Khulafa' Ar Rasyidin dan selepasnya bersama masyarakat majmuk berbagai agama, termasuk agama yang tidak ada di negeri arab, berkongsepkan sabda Rasulullah SAW : وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلَّا شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ سنن الترمذي - (ج 5 / ص 199 21. Rasulullah SAW. menyerang Makkah walau pun pemimpinnya daripada kalangan bangsanya dan keluarga terdekat, apabila kabilah Khuza'ah yang bertahaluf denganya telah diceroboh oleh kalangan yang bertahaluf dengan pemimpin Makkah yang zalim. 22. Fahamilah, bahawa kerjasama PAS bersama Pakatan Rakyat adalah tahaluf yang diajar oleh Islam, sangat berbeza dengan kerjasama UMNO (melayu Islam) bersama BN. 23. Syarat-syarat hukum Islam tidak ada dalam parti kebangsaan seperti Umno, walau pun melayunya Islam. Jawatankuasa Biro agamanya tidak berhak membuat dasar dan mengatur strategi, kerana UMNO tertakluk dengan konsep BN yang tidak terikat dengan konsep politik mengatasi agama atau berkonsepkan politik dipisahkan daripada agama. 24. Selepas melakukan penipuan dan rasuah, ianya seolah-olah boleh diselesaikan dengan haji dan umrah subsidi. Sehinggakan kalangan agamawan dalam UMNO hanya sekadar menjadi makmum yang tidak boleh membuat kenyataan mendahului imam walau pun imamnya sudah batal wuduk dan solatnya. 25. Sembahyang tanpa feqahnya menjadikan seorang yang jahil feqahnya mendahului imam ketika berjamaah dan boleh berbual, ketawa bersantai ketika bersembahyang. Puasa tanpa feqahnya hanya sekadar mogok lapar tanpa ibadat. Haji tanpa feqahnya umpama melontar batu besar dan sepatu merejam kawan bukannya merejam syaitan. Maka begitulah juga politik tanpa feqahnya hanya sekadar mejadi khadam kepada musuh Islam atau khadam kepada mereka yang berlarutan zalimnya. Ya Allah!, lindungilah kami daripada syaitan yang dikenali dan tidak dikenali. Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS | ||||
PKR : Mohd Zin Bukan Calon Bersih, Dakwa Terlibat Pengurupan Wang Haram Posted: 17 Apr 2013 01:40 AM PDT PETALING JAYA : PKR hari ini mendakwa calon BN Parlimen Sepang, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed terlibat dalam salah laku pengurupan wang haram melibatkan dua ahli perniagaan dari Bangladesh. Menurut Ahli Biro Politik PKR, R Sivarasiah, pada tahun 2000 Mohd Zin menubuhkan sebuah syarikat di Dakar Bangladesh bersama dua rakan kongsinya iaitu Sheikh Farid Ahmad yang dikenali sebagai Manik di Bangladesh dan Sheikh Riaz Ahmad. Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Mohd Zin mempunyai pegangan 49 peratus pegangan dan dikongsi bersama rakan di Malaysia, Mohamad Tahir Fazal Mohd dengan 24 peratus. Pada tahun 2004 Mohd Tahir membuat laporan terhadap Badan Pencegah Rasuah(BPR) tetapi dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa kes berkenaan tidak boleh diambil ekoran 'tidak mendapat lampu hijau dari pihak atasan'. "Kenyataan bersumpah menunjukkan 63 Cores of Taka (RM31 juta pada ketika itu) dihantar Farid kepada Mohd Zin bermula Ogos 2000 hingga 2004. "Kenyataan tersebut menyebut sebahagian dana berkenaan dihantar kepada Mohd Zin melalui Hundi (terma yang digunakan di Bangladesh berhubung pengurupan wang). "Ketika itu beliau merupakan Menteri Kerjaraya," katanya pada sidang media di Ibupejabat PKR. Kemudian pada 2007, Tahir membuat laporan kepada pihak berkuasa Dakar. Farid ditahan pada 27 Julai 2007 serta disiasat akhirnya beliau didapati mempunyai hubung kait dengan kes berkenaan. Farid dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun. "Fakta ini menunjukkan Mohd Zin diketahui sebagai penerima wang berkenaan sebanyak RM31 juta. "Saya merujuk akuan bersumpah berkenaan. Farid dijatuhkan hukuman di Bangladesh sementara Mohd Zin masih bebas," tambah Sivarasa. Dakwanya lagi, Mohd Zin turut memainkan peranan supaya Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) melantik mereka (Silkways Cargo Services Ltd) sebagai agen dalam menguruskan semua urusan tiket dan kargo. "Saya minta SPRM menjelaskan bagaimana Mohd Zin dianggap sebagai 'calon bersih' untuk bertanding dalam PRU-13 sedangkan dikaitkan dengan perkara ini," ujar beliau lagi. Sehubungan itu, Sivarasa akan membuat laporan polis di Balai Polis Tropicana esok agar siasatan dapat dilakukan oleh polis dan SPRM. | ||||
Tak pernah daftar tapi disenarai sebagai pengundi pos Taiwan Posted: 17 Apr 2013 01:31 AM PDT Oleh Arif Juhani KUALA LUMPUR : Runsing selepas menerima surat pengesahan sebagai pengundi pos, seorang wanita segera mengadukan hal itu kepada KEADILAN kerana dakwanya, dia tidak pernah mengundi walaupun sekali apatah lagi belum mendaftar sebagai pengundi. Perkara ini didedahkan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Siddik Ibrahim selepas menerima aduan itu di Bilik Gerakan Utama di Parlimen Lembah Pantai baru-baru ini. Katanya, wanita yang bekerja di Kuala Lumpur itu menerima surat menggunakan alamat kampungnya di Johor. Mangsa turut menjelaskan isi kandungan surat itu yang antara lain menunjukkan beliau disahkan sebagai pengundi pos di Taipei, Taiwan. "Beliau hairan bagaimana namanya boleh disenarai sebagai pengundi di Taipei sedangkan dia bekerja di Kuala Lumpur dan berasal dari Johor. "Saya sendiri ada menggesa beliau untuk melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, tetapi beliau bimbang atas faktor publisiti media yang mungkin menjejaskan kerjayanya," kata Siddik kepada Keadilan Daily. Menurut Siddik, wanita itu berjanji untuk menghubunginya kembali bagi membantu siasatan salahguna maklumat peribadi. – NS | ||||
Posted: 17 Apr 2013 01:26 AM PDT Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telahpun mengeluarkan manifesto pilihanrayanya masing-masing. Kedua-dua parti politik ini bertungkus-lumus dalam meyakinkan rakyat untuk memilih mereka dalam Pilihanraya Umum nanti. Janji-janji dalam Manifesto baik dari BN ataupun PKR, kedua-duanya nampak meyakinkan. Tetapi, yang manakah yang paling baik? Isu kami pada kali ini adalah untuk membincangkan mengenai kedua-dua manifesto dalam konteks kos sara hidup. Manifesto BN : Menangani Kos Sara Hidup Rakyat
Pakatan Rakyat : Menangani Kos Sara Hidup Rakyat
Pemberian BR1M 3.0 Hingga BR1M 7.0Berita Semasa akan semak satu persatu janji-janji dalam kedua-dua manifesto untuk dibuat perbandingan. Sebenarnya untuk menambah BR1M sehingga RM 1200 dan RM 600 untuk bujang secara tahunan. Berdasarkan agihan BR1M 2.0, jumlah penerima BR1M setakat ini adalah melibatkan 4.3 juta isi rumah manakala untuk bujang adalah 2.7 juta individu bujang yang melibatkan peruntukan sejumlah RM 3 bilion. RM3 bilion besar atau kecil? Sangat-sangat besar. Jumlah Rm3 bilion bukanlah satu angka yang kecil. Berita Semasa menjangkakan pemberian BR1M ini, sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihanraya Umum ke 13 kelak, ia akan dinaikkan secara berperingkat.
Pada pendapat Berita Semasa sendiri, bantuan BR1M ini merupakan inisiatif yang baik untuk membantu kesusahan rakyat, tetapi dalam masa yang sama, adakah ianya berbaloi, dari sudut sosio-ekonomi mahupun struktur kewangan kerajaan? Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat Berita Semasa, tetapi dari pemerhatian yang kami lakukan, pemberian BR1M ini nampaknya akan menjadi satu bebanan buat kerajaan sekiranya diteruskan. Apabila cara pemberian one-off ini diteruskan. Lagipun kesan pemberian BR1M 2.0 ini sebenarnya sama sekali tidak adil. Bagaimana pula jika melibatkan masyarakat miskin bandar di bandaraya besar yang tidak layak menerima BR1M 2.0 contohnya? Walaupun sebenarnya keadaan mereka sama seperti masyarakat yang duduk di bandar-bandar kecil atau kawasan kampung. Kami berpendapat, RM35 bilion (dalam tempoh 5 tahun daripada sekarang) yang bakal diperuntukkan untuk BR1M ini adalah lebih baik digunakan untuk memperbaiki dan mengtransformasi kemudahan pengangkutan awam bagi mendekatkan lagi jurang di antara bandar-bandar besar di setiap negeri di Malaysia, dimana mungkin suatu hari nanti, orang yang bekerja di Kuala Lumpur, boleh berulang alik dari Perak setiap hari menaiki keretapi laju dengan masa perjalanan hanya 30 minit sahaja? Ini sudah pasti dapat mengurangkan kesesakan di bandar-bandar besar malah, meluaskan lagi jaringan limpahan status pemodenan ke bandar-bandar lain. Menaikkan Bayaran Baucar buku 1Malaysia kepada RM 300 dan Bantuan Persekolahan Kepada RM 150
Semakan Semula Dasar Automotif Nasional – Mengurangkan Harga Kereta Secara Berperingkat 20%-30%.Secara jujur, kami agak bersetuju mengenai pengurangan harga kereta secara berperingkat yang terdapat di dalam manifesto barisan nasional. Bagi kami, mungkin peratusan pengurangan itu boleh dinaikkan lagi sehingga 50-70%, kerana ianya hanya melibatkan duti eksais. Peratusan isi rumah memiliki kenderaan adalah sebanyak 71.9%. Ini menujukkan bahawa memiliki kereta adalah satu keperluan asas. Jika dilihat daripada kadar cukai eksais di atas, kami nampak perlunya penambahbaikan di sini. Janji Barisan Nasional untuk mengurangkan harga kereta dilihat dapat dilaksanakan. Namun adalah lebih baik sekiranya kadar cukai eksais tersebut dibuat penelitian semula.Lebih-lebih lagi, pada kapasiti bawah 1800 cc.
Kadar perolehan daripada cukai kenderaan yang diterima kerajaan adalah sebanyak 7.6 bilion pada tahun 2013.Dengan pelaksanaan pengurangan 20-30% harga kereta, pendapatan kerajaan akan berkurang kepada anggaran 5 bilion setahun.Namun begitu, ianya memberi implikasi yang baik kepada rakyat, dimana lebihan tanggungan hutang kenderaan tersebut, dapat digunakan oleh pemilik kenderaan untuk tujuan lain yang bersifat ekonomi seperti membeli barang, melabur dan sebagainya. Kalau kita lihat balik satu persatu janji di dalam manifesto barisan nasional yang kami huraikan di atas, perbelanjaan kasar yang akan ditanggung oleh kerajaan adalah:
Di sini sahaja, kerajaan telah membelanjakan hampir RM 10 bilion setahun, dimana, ianya merupakan perbelanjaan tahunan yang besar. Lebih-lebih lagi, kepada peruntukan BR1M. Untuk perbelanjaan baucar buku dan cukai eksais (kerugian pendapatan) sebanyak RM 1 bilion dan RM 2 Bilion setahun, bagi kami, ianya membawa impak yang berkesan. Terutamanya apabila melibatkan kadar pengurangan harga kereta. Apakah respon balas anda kepada janji di dalam Manifesto Barisan Nasional untuk mengurangkan kos hidup rakyat? Bersetuju dengan cadangan BN? Berikan respon anda.. P/S ; Sambung laporan Berita Semasa bagi perbandingan Manifesto Barisan Nasional VS Pakatan Rakyat (SIRI 11) DI SINI! | ||||
Tee Keat dijangka tanding Bebas Posted: 16 Apr 2013 11:59 PM PDT Kawasan Parlimen Pandan bakal menjadi tumpuan Sabtu ini, hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).Meskipun Barisan Nasional (BN) dan PKR telah pun mengumumkan calon masing-masing namun tumpuan akan terarah kepada kemungkinan muncul pencabar ketiga iaitu penyandang, Datuk Seri Ong Tee Keat, yang digugurkan daripada mempertahankan kerusi itu yang disandangnya selama dua penggal. MCA semalam menamakan Garry Lim Chin Yee, 39, penasihat undang-undang bahagian itu untuk menentang Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, pada pilihan raya 5 Mei ini di kawasan yang dikuasai pengundi Melayu. "Tunggu saja hari pencalonan," Tee Keat (gambar) dipetik sebagai berkata oleh akhbar harian berbahasa Cina Nanyang Siang Pau hari ini. Ketua Wanita MCA bahagian Pandan, Cindy Leong Siew Kam, yang mengenali Ong lebih 20 tahun, berkata Tee Keat tidak mungkin menamatkan kerjaya politiknya tanpa tentangan, dan beliau (Cindy) tidak terkejut jika Tee Keat bertanding sebagai calon Bebas. Siew Kam berkata, sungguhpun Tee Keat gemar melakukan sesuatu mengikut caranya sendiri, beliau seorang yang amat berdedikasi dan wakil rakyat berpengalaman yang sangat disukai pengundinya. Lim berkata beliau juga ada mendengar Tee Keat akan bertanding sebagai calon bebas. "Saya sudah berbulan-bulan tidak menghubunginya. Tapi saya dengar beliau akan bertanding sebagai calon bebas. Kami tidak tahu, tunggu dan lihat sajalah," katanya ketika dihubungi hari ini. Sungguhpun membuat penampilan sulung pada pilihan raya ini, Lim berkata beliau akan berjuang berhabis-habisan untuk mempertahankan kerusi berkenaan bagi BN, dengan menganggap peluangnya sebagai cerah. Tee Keat menjadi ahli Parlimen selama enam penggal, empat penggal pertama di Ampang Jaya sebelum berpindah ke Pandan pada 2004 dan mengekalkannya pada 2008. | ||||
Aminulrasyid: Kerajaan disaman RM50 juta Posted: 16 Apr 2013 11:31 PM PDT Keluarga remaja Aminulrasyid Amzah yang maut terkena tembakan polis di sini tiga tahun yang lalu, hari ini memfailkan saman RM50 juta ke atas polis dan kerajaan. Saman juga difailkan terhadap Koperal Jenain Subi dan dua yang lain.Saman difailkan kira-kira jam 11 pagi tadi di Mahkamah Tinggi di sini. Turut dinamakan dalam tuntutan itu ialah Ketua Polis Daerah Shah Alam dan Ketua Polis Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar. "Saman yang difailkan hari ini adalah kerana pihak polis sengaja melanggar hak asasi adik Aminulrasyid. "Selepas tiga tahun, tiada sesiapa yang dihukum. Malahan, tertuduh yang didakwa juga telah dibebaskan," kata peguam keluarga arwah Aminulrasyid, N Surendran pagi ini di lobi mahkamah. Surendran juga menjelaskan tindakan Khalid ketika itu yang membuat kenyataan fitnah dan jahat mengatakan Aminulrasyid adalah penjenayah juga antara sebab utama saman hari ini difailkan. Khalid tidak pernah meminta maaf ataupun membayar ganti rugi. Surendran menerangkan asas saman sivil tersebut adalah kerana defendan telah cuai dan menyerang mangsa tanpa mengikut piawaian prosedur yang ditetapkan (SOP) pihak berkuasa tersebut. "Dua asas saman ini ialah kerana pihak polis telah cuai semasa menjalankan tugas dan membuat serangan tidak mengikut SOP dimana tembakan telah dilepaskan secara bertubi-tubi. "Malahan, pihak polis telah menembak tayar kereta mangsa," terang Surendran lagi. Surendran juga berkata pihak keluarga mangsa telah meminta tuntutan ganti rugi tertinggi RM50 juta, termasuk ganti rugi am, ganti rugi estet dan juga ganti rugi teladan. Turut hadir pagi ini di mahkamah bagi memberikan sokongan kepada keluarga mangsa ialah Ahli Parlimen (MP) Shah Alam Khalid yang mengecam pihak polis yang dilihat tidak melaksanakan tanggunjawab dan amanah yang diberikan. "Pihak polis telah beri mesej yang salah. "SOP mereka sangat mengecewakan, saya harap polis dan kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas ke atas perkara ini," gesa Khalid. Remaja berusia 14 tahun tersebut telah ditembak mati dikepala oleh polis pada malam 26 April 2010 dalam satu insiden kejar mengejar dengan kereta peronda polis dengan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid. Kes kematian Aminulrasyid mendapat tumpuan masyarakat Malaysia, sehingga menyebabkan anggota polis Jenain yang dituduh melepaskan berpuluh das tembakan didakwa pada tahun sama mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan. Jenain kemudiaan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam tetapi dibebaskan pada Disember 2012 selepas mengemukakan rayuan. Keputusan tersebut diputuskan oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi yang berpuas hati dengan hujah tertuduh yang mengatakan tembakan dilepaskan hanya untuk menghentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat membunuh remaja lelaki itu. Seramai 39 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan pada 12 Oktober 2010. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan