Pahang Daily Online |
Posted: 28 Mar 2013 09:13 PM PDT KUANTAN, 29 Mac - Gara-gara kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar "calon wahyu" untuk bertanding di kerusi Parlimen Paya Besar pada Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, difahamkan beberapa orang "calon bebas" dijangka akan turut bertanding di situ pada kali ini. Berdasarkan kepada sumber-sumber yang boleh dipercayai, calon bebas yang akan bertanding di kerusi Parlimen Paya Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar itu nanti bukanlah calang-calang orang kerana mereka merupakan pemimpin PKR setempat yang sudah dikenali oleh akar umbi. Malah, terdapat juga dakwaan beberapa buah ranting di Cabang Paya Besar juga akan turut dibubarkan selepas parlimen bubar, susulan kecewa dengan tindakan tersebut. Awal tahun ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan berani telah menamakan Peguam Murni Hidayah Annuar sebagai calon di kerusi parlimen itu. Tindakan tersebut telah menyebabkan kekecohan berlaku apabila pertembungan dua kumpulan antara Team Wanita (Tawan) yang diketuai oleh Murni bertembung dengan Team Ketua Cabang sedia ada yang dipimpin oleh Haji Zahari Mamat. Keretakan mula berlaku apabila Team Haji Zahari yang sudah melaksanakan kerja-kerja parti termasuk program ceramah, penubuhan ranting-ranting serta berbagai aktiviti kemasyarakatan yang lain telah disisihkan dalam program anjuran Tawan. Malah, ketika pelancaran Bilik Gerakan Wanita Pusat Parlimen Paya Besar di Permatang Badak (foto) oleh Zuraida Kamaruddin (Ketua Wanita Keadilan) Januari lalu pun kelibat ketua cabang terbabit tidak kelihatan. Ini menimbulkan "syak wasangka" dikalangan rakyat dan pemerhati politik tentang apakah yang berlaku sebenarnya. Difahamkan, Team Haji Zahari mendapat sokongan kuat daripada pimpinan Pakatan Rakyat di kawasan terbabit. Malah, sebelum ini telah heboh diperkatakan bahawa beliau akan menjadi calon pilihan untuk bertanding di kerusi Parlimen Paya Besar. Namun kehadiran Team Tawan yang dipimpin oleh Murni telah menyebabkan PKR cabang terbabit goyah dan menanti rebah. Persoalannya, apakah benar Murni Hidayah yang merupakan anak kepada seorang pemimpin wanita PKR di Pahang itu telah diwahyukan sebagai calon parlimen Paya Besar seperti yang diwar-warkan?. Laporan lanjut menyusul dan kami akan mendapatkan pandangan dari kedua-dua pihak berkenaan isu kontroversi ini. Jika berlaku perpecahan akibat isu calon ini, maka ia sedikit mencalarkan imej PKR dan boleh memberi ruang yang cukup luas untuk UMNO Barisan Nasional terus mengekalkan kerusi parlimen itu pada PRU13 nanti. [Kemunculan "calon wahyu" disaat-saat akhir menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 jelas sekali boleh menyumbangkan kepada kekalahan parti-parti yang bertanding sebenarnya. Apa tidaknya, jika orang yang sudah lama bekerja dan memperhambakan diri kepada parti dengan alasan awalnya akan diberi ruang untuk menjadi calon tiba-tiba ditendang secara terhormat sebegini rupa. Maka akan timbul perasaan kecewa yang mendalam kerana mereka ini kebanyakkannya sudah menghabiskan wang ribuan ringgit untuk membina kekuatan parti diperingkat akar umbi. Soalnya, apakah mereka ini khiant jika bertanding bebas sedangkan mereka mendapat sokongan rakyat yang sudah mengenali mereka sejak sekian lama?. Apa bezanya dengan tindakan pemimpin yang sewenangnya menghantar calon-calon wahyu itu? Apa motif mereka?. Bukankah mereka juga khianat kerana memecah belahkan parti untuk kepentingan peribasi masing-masing. Mereka mahu membina proksi diperingkat akar umbi dan langsung tidak mengambilkira suara rakyat di kawasan terbabit. Jika berlaku pertembungan tiga atau empat penjuru maka usahlah mereka dipersalahkan, sebaliknya salahkan sikap pemimpin berkenaan. Maka fikir orang lain sama sebelum buat keputusan!]. |
Posted: 28 Mar 2013 08:11 PM PDT KUANTAN, 29 Mac - Susulan kekecohan isu poster "Pidato Lahad Datu" yang memaparkan wajah Ketua UMNO Bahagian Cheras semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang bertindak drastik apabila membatalkan nama "Syed Ali" daripada senarai penceramah yang akan naik ke pentas malam ini. Program yang dijadualkan berlangsung di Markas PKR Ranting Indera Mahkota Dua itu bagaimana pun masih mengekalkan penceramah lain iaitu Razali Alias (Ketua Penerangan PKR Pahang), Lee Chean Chung (Pemangku Ketua Cabang PKR Indera Mahkota) dan Sulaiman Md Derus (Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuantan). Jelas dapat dilihat dalam poster-poster terbaru yang disebarkan, PKR telah "menghilangkan" gambar "Syed Ali" yang mencetuskan kontroversi itu. Penganalisis Politik yang sepatut bersama dalam program tersebut iaitu Syed Ali Badaruddin Syed Osman (foto) iaitu bekas Pengarah Urusan Seruan Gemilang Makmur (SGM) ketika dihubungi menegaskan beliau tahu masalah yang berlaku adalah akibat kesilapan teknikal oleh pihak designer yang tersalah mencari imej "Syed Ali Alhabshee" di internet (Google Image). Maka itu katanya tidak perlulah perkara itu diperbesarkan sehingga mahu mengambil tindakan saman kerana pihak penganjur telah memohon maaf atas kesilapan terbabit serta memperbetulkan perkara itu. Sementara itu, laporan mengenai isu terbbait juga telah disiarkan didalam portal popular Malaysikini lewat petang semalam. Apapun, dalam kenyataan di protal terbabit terdapat dua perkara yang dilihat mengelirukan iaitu "Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menuntut pemimpin PKR Pahang memohon maaf kerana menggunakan nama dan wajah beliau dalam satu poster ceramah. Menurutnya, beliau menyedari perkara itu setelah menerima kiriman SMS dan MMS dari rakan-rakannya yang melihat poster berkenaan di sekitar Kuantan." dan "Syed Ali juga mendakwa, beliau dimaklumkan bahawa poster itu pada awalnya turut dimuatkan dalam blog PahangDaily namun, ia kini telah diturunkan". Dua kenyataan ini jelas sekali tidak benar berdasarkan laporan yang telah dibuat oleh PDO sebelum ini. Pertamanya, poster berkenaan masih belum dicetak dan belum diedarkan ke sekitar bandar Kuantan. Ia hanya tersebar di laman sembang sosial facebook sahaja. Keduanya, PDO tidak pernah menurunkan gambar poster terbabit dan masih disiarkan hingga ke hari ini bagi membuktikan kewujudannya. Dua kenyataan mengelirukan ini tidak perlu sebenarnya kerana ia memberi gambaran yang lebih buruk terhadap situasi sebenar apa yang berlaku. [Sementara itu pihak kami tidak menerima apa-apa maklumat berhubung tindakan PKR Pahang atas tindakan saman yang akan dikenakan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berhubung gesaannya agar penganjur memohon maaf secara terbuka di media elektronik atas kesilapan yang berlaku. Syed Ali Alhabshee dalam satu kenyataan medianya semalam meminta PKR Pahang berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari jika tidak mahu berhadapan dengan tindakan mahkamah. Apapun, kemungkinan besar PKR Pahang akan mengambil sikap berdiam diri atas desakan ini kerana memikirkan mereka tidak bersalah. Malah ada pihak pula yang cuba menyalahkan PDO atas penyiaran artikel tersebut. Malah, semua posting berkenaan poster berkenaan di internet (facebook) telah dikeluarkan oleh pihak berkenaan. Apapun, dua poster asal telah berjaya disimpan oleh krew PDO sebelum artikel dibuat. Malah, poster-poster berkenaan telah diambil dari akaun facebook pemimpin PKR Pahang yang berkenaan. Laporan berikutnya akan menyusul dalam masa terdekat. Semoga isu ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati selepas ini. Walau pun poster masih belum disebarkan di luar, namun "penangan facebook" juga memainkan peranan yang lebih besar terhadap kontroversi seperti ini sebenarnya. Jadikan ikhtibar kes ini !]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan