Pahang Daily Online |
- Sah, PAS Terajui Pembangkang Di Pahang Untuk Buat Kejutan Besar Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Nanti !
- Panas: Adnan Nafi Luluskan Projek Atas Tanah Rizab
- Pelancaran "Tujuh Agenda" Anak Muda Berkebajikan!
- Panas: Orang Asli Jerantut Berdemo Pertahan Hak !!
- Eksklusif: Calon Bebas VS Calon Wahyu, Semua Pihak Haruslah Berhati-Hati Pada Pilihan Raya Umum Ini !!
Sah, PAS Terajui Pembangkang Di Pahang Untuk Buat Kejutan Besar Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Nanti ! Posted: 27 Mar 2013 02:30 AM PDT KUANTAN, 27 Mac - Parti Islam SeMalaysia (PAS) Negeri Pahang sekali lagi diberi kepercayaan menerajui Pakatan Rakyat (PR) negeri ini apabila diberi peluang bertanding 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Daripada keseluruhan 42 Dun, DAP bertanding 7 manakala selebihnya (14) ditandingi PKR selepas selesai agihan kerusi peringkat Pakatan Rakyat Pahang. Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pahang (JPN) Cikgu Abdul Majid Hasan, DUN-DUN yang akan ditandingi PAS ialah N2 Jelai, N3 Padang Tengku, N8 Dong, N9 Tahan, N11 Pulau Tawar, N12 Beserah, N15 Tanjung Lumpur, N16 Inderapura, N17 Sungai Lembing, N19 Panching, N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N24 Luit, N26 Chenor, N28 Kerdau, N29 Jengka, N32 Kuala Semantan, N36 Pelangai, N37 Guai, N40 Bukit Ibam dan N42 Tioman. Bagi mengetuai cabaran tersebut, PAS dijangka menampilkan lebih 50 peratus muka baru iaitu terdiri daripada ulamak muda lulusan Timur Tengah dan profesional dalam pelbagai bidang. Antaranya di Pulau Tawar, Inderapura, Luit, Kerdau, Beserah, Sungai Lembing dan Chenor. Melihat kepada faktor Pahang tidak terkena tempias tsunami politik 2008, negeri Perdana Menteri dan menempatkan majoriti besar pengundi Melayu, tidak ramai penganalisis yang berani meletakkan PR akan berjaya mencipta sejarah pada PRU 13. Namun menurut Abdul Majid, berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir, tidak mustahil PR mampu membuat kejutan. Antara lain ialah kelemahan kerajaan BN Pahang dalam menangani isu-isu rakyat, kebangkitan rakyat yang celik maklumat dan swing pengundi Cina yang dijangka meningkat sehingga 80 peratus. Satu faktor lagi, terdapat 25 DUN mengandungi kawasan tanah rancangan Felda. Dengan pelbagai isu yang menghantui serta kesedaran warga peneroka dijangka boleh menyumbang ke arah kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum nanti. Pembangkang Mahu Buat Kejutan Di Pahang Kali Ini PKR kekal bertanding di Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Pekan dan Lipis. Sementara DAP kekal di kerusi tradisinya Cameron Highlands, Raub dan Bentong. Tambah Abdul Majid, Pahang bakal menyumbangkan sekurang-kurangnya lima kerusi parlimen bagi membantu PR ke Putrajaya iaitu mengekalkan Indera Mahkota dan Kuantan. Manakala Jerantut, Raub dan Temerloh juga, dengan izin Allah, akan jatuh ke tangan PR. Katanya, kajian dari pihak BN sendiri yang diperolehi demikian. Menurut angka terbaru jumlah pemilih pada PRU 13 di Pahang seperti dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah 727,047 orang iaitu meningkat lebih 20 peratus (603,242) dari tahun 2008. Pecahannya mengikut kawasan parlimen ialah P078 Cameron Highlands (27,774), P079 Lipis (32,005), P080 Raub (53,802), P081 Jerantut (57,774), P082 Indera Mahkota (63, 419), P083 Kuantan (55,577), P084 Paya Besar (47,465), P085 Pekan (79,721), P086 Maran (37,875), P087 Kuala Krau (42,415), P088 Temerloh (65,308), P089 Bentong (61,335), P090 Bera (50,513) dan P091 Rompin (52,064). Peratusan bagi pecahan kaum pula ialah Melayu 72%, Cina 22% dan India 6%. Yang menakjubkan ialah lebih 45% pengundi adalah yang berusia antara 21 tahun hingga ke 40 tahun. Senario ini jelas sekali menggambarkan para pengundi kali ini lebih bermaklumat. Pakatan Tampil Calon Lebih Mantap Untuk Cabar BN Bagi calon-calon pula, belum ada pengumuman rasmi meskipun tarikh pilihan raya semakin hampir. Namun begitu, pemimpin tertinggi PAS Pahang dijangka terus kekal bertanding di kerusi masing-masing iaitu Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) di DUN Jengka, Ustaz Yusof Embong di DUN Panching dan Dr Hamzah Jaafar di Parlimen Jerantut. Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Dato' Fauzi Abdul Rahman dijangka bertanding di Parlimen Indera Mahkota menggantikan Azan Ismail yang berpindah ke Terengganu. Sementara Leong Ngah Ngah yang diberi jolokan 'Lee Lam Thye Pahang' dijangka beralih ke Ketari. Manakala DUN Triang yang dimenanginya selama lima penggal akan diserahkan kepada Setiausaha Organisasinya Lee Chin Chen. Pengerusi Himpunan Hijau Anti Lynas, Wong Tack dikhabarkan akan bertanding di Bentong atas tiket DAP. Rata-rata menyebut, PR masuk bertanding PRU kali ini lebih bersedia. Ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat diadakan di Kerdau tahun lalu, berjaya dihimpunkan. Pada hari tersebutlah diumumkan tawaran PR Pahang 6 + 3 yang jika betul-betul disampaikan kepada khalayak rakyat, pasti akan memilih PR. Ia berbetulan pula dengan kelemahan kerajaan BN yang sudah terlampau lama berkuasa sehingga menimbulkan terlalu banyak ketidakpuasan hati rakyat. sumber [Rakyat Pahang mungkin sudah tidak sabar lagi untuk melihat sebuah kerajaan negeri yang baru terwujud selepas Pilihanraya Umum Ke-13 di negeri ini. Namun dalam masa yang sama mereka juga perlu ingat bahawa Pahang adalah negeri kubu kuat BN sejak sekian lama. Bayangkan Tsunami politik yang melanda seluruh negara pada PRU-12 lalu, tempiasnya langsung tidak memberi impak besar kepada Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Dato' Sri Adnan Yaakob. Daripada 42 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), hanya empah sahaja yang dimiliki oleh pembangkang. Justeru itu pembangkang tidak boleh mengganggap satu kerja yang muda untuk menakluki Wisma Sri Pahang kali ini. Mereka harus ingat bahawa kawasan Felda dan perkampungan orang asli di negeri ini masih menjadi halangan besar untuk merelisaikan hasrat tersebut. Malah, itu belum lagi termasuk pertembungan tiga atau empat penjuru yang akan berlaku di kerusi-kerusi panas pada PRU-13 ini nanti. Makanya, mereka harus bijak untuk menangani hati pengundi dan bukan sekadar beretorik semata-mata. Undi protes tetap akan berlaku bilamana calon pilihan digantikan dengan calon wahyu di saat-saat akhir sekarang. Inilah yang akan jadi penghalang. Apapun, selamat berjuang semua !!]. |
Panas: Adnan Nafi Luluskan Projek Atas Tanah Rizab Posted: 27 Mar 2013 01:27 AM PDT KUANTAN, 27 Mac – Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) baru-baru ini ada menegaskan betapa ketetapan dibuatnya agar apa-apa rancangan pembangunan tanah yang hendak diluluskan di negeri ini, mesti tidak membabitkan kawasan-kawasan rizab seperti tadahan air dan tanah Orang Asli. Ia agar negeri ini menurutnya, dapat terus memelihara alam sekitar lalu menjamin kemapanan (sustainability) hutan, serta menjagai kebajikan dan hak-hak masyarakat minoriti Orang Asli yang telah diwartakan kawasan tanah mereka. "Kalau kita (luluskan) rancangan pembangunan (tanah) satu tempat, pastikan tak terlibat tadahan air, tak terlibat rizab Orang Asli, tak terlibat sebarang rizab yang lain, hidupan liar sebagainya," tegasnya. Sungguhpun dengan ketetapan tegas begitu, Adnan akui, ia masih dilanggari yang puncanya ialah sifat tamak pihak-pihak tertentu termasuklah mereka yang dilesenkan untuk melaksanakan kerja-kerja melibatkan tanah dan perhutanan. "Tapi kadang-kadang manusia ni, susahlah kita nak cakap. Yang tamak tu, tamak jugalah," katanya dalam nada kesal. "Katalah kita meluluskan (rancangan pembangunan) tanah itu satu (1) hektar untuk cucuk-tanam. Kadang-kadang orang yang dapat tu 'bengkok', dia akan buat sesetengah tempat, 10 hektar. Yang ada lesen (untuk) satu hektar, yang tak ada lesen 10 hektar. "(Yang melibatkan pula) penebangan hutan. Ia ada syarat-syarat tertentu; pokok (yang hendak ditebang) ni (mestilah ukuran) lilitan sekian-sekian, cara tebang macam mana, tepi sungai jangan usik, ada 'buffer zone'nya," tambah Adnan lagi. Beberapa penduduk orang asli dari Bukit Rok, dalam daerah Bera berdemo akibat tindakan pencerobohan kawasan tanah adat mereka untuk tujuan pembalakan |
Pelancaran "Tujuh Agenda" Anak Muda Berkebajikan! Posted: 27 Mar 2013 01:08 AM PDT |
Panas: Orang Asli Jerantut Berdemo Pertahan Hak !! Posted: 27 Mar 2013 12:53 AM PDT [Akibat isu pembalakan yang telah mencemar dan mengorbankan kehidupan mereka, beberapa orang penduduk orang asal Sungai Kiol, di Jerantut Pahang mengadakan demontrasi aman di hadapan Pejabat Perhutanan Jerantut pagi tadi. Difahamkan, mereka adalah orang asli yang tinggal di kawasan Latar Meraung dan sekitarnya. Kemarahan itu berpunca ada pihak tertentu yang menjalankan kerja-kerja pembalakan di kawasan mereka yang dipercayai merupakan kawasan tadahan hujan. Akibat tindakan rakus pihak terbabit menyebabkan kehidupan mereka terjejas, malah sumber air juga mengalami masalah yang cukup kritikal. Di negeri Pahang, sememangnya adengan sebegini sering berlaku di sana sini. Masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan hingga kini masih tiada jalan penyelesaiannya. Tindakan orang asal dibuat selepas beberapa aduan mereka tidak dilayan oleh pihak yang berkenaan selama ini. Soalnya, sampai bilakah masa depan orang asli ini terpaksa diperkotak-katikkan demi kerakusan pihak tertentu untuk mengejar keuntungan mereka semata-mata]. |
Posted: 26 Mar 2013 07:51 PM PDT Debaran menunggu detik pembubaran parlimen kini dipanaskan lagi dengan laporan begitu ramai "calon bebas" akan bertanding pada Pilihanraya Umum Ke-13 kali ini. Sebuah akhbar harian semalam melaporkan akan berlaku pertembungan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Parlimen Rompin di Pahang. Laporan tersbeut cukup mengejutkan kerana belum pernah terjadi dalam sejarah begitu ramai calon bertanding di kerusi itu sebelum ini. Apapun, ia ternyata akan menyuburkan lagi amalan demokrasi berparlimen di negara ini sebenarnya. Dalam kehangatan membicarakan soal itu, kini kami dikejutkan lagi dengan maklumat bukan sahaja kerusi DUN Tioman akan menyaksikan adengan sebegitu, malah banyak lagi di tempat lain seluruh negeri ini termasuk bagi kerusi parlimen. Begitu juga di tempat-tempat lain seluruh negara. Ramai calon bebas telah bersedia menyatakan hasrat untuk menyertai PRU kali ini. Menurut sumber, calon-calon terbabit bukan sahaja dari kalangan ahli perniagaan dan orang awam yang tidak berparti, namun ia turut melibatkan beberapa orang pemimpin dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) yang masih punyai jawatan dan aktif dalam parti sekarang ini. Kita tidak hairan jika yang bertanding itu adalah mereka yang benar-benar bebas dan tidak berparti. Soalnya, kenapa mereka yang masih berparti itu juga menawarkan diri agaknya?. Risik punya risik, rupanya calon-calon dari parti berhasrat menawarkan diri akibat tindakan pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing yang menghantar "calon wahyu" untuk bertanding di kerusi idaman mereka. Calon wahyu adalah calon "tidak dikenali" yang dihantar oleh pimpinan parti untuk membina kekuatan mereka diperingkat akar umbi. Malah, ada sebahagian besar daripada kalangan calon terbabit langsung tidak diterima dan dikenali oleh para penyokong parti itu sendiri. Senario ini boleh mengundang padah kepada parti sebenarnya. Apa tidaknya, pimpinan akar umbi yang lebih dekat dihati rakyat dan banyak menjalankan gerak kerja parti tiba-tiba ditolak "buta-buta" akibat kerakusan pemimpin tertentu membina empayar politik mereka. Malah, ada sebahagian daripada mereka yang berjawatan terpenting di peringkat kawasan itu sendiri. Mereka ini kecewa akibat tindakan drastik parti tiba-tiba menghantar calon yang "entah dari mana" untuk bertanding. Walau pun ia belum diputuskan secara rasmi oleh parti, namun ia sedikit mengguris perasaan pihak terbabit. Lebih parah lagi, ada yang sudah menjalankan gerak kerja dan mengatur berbagai strategi untuk pertembungan tiga atau empat penjuru pada Pilihanraya Umum Ke-13 ini nanti. Tumbangnya Mat Sabu Di PRU12 Harus Jadi Ikhtibar Soalnya, apakah calon bebas seperti ini akan diterima oleh para pengundi agaknya?. Tinjauan kami mendapati kebarangkalian itu mungkin ada sekiranya calon terbabit memang seorang yang "popular" dan diterima oleh semua pihak diperingkat akar umbi. Namun, bertanding dengan emosi mungkin tidak akan membuahkan hasil. Justeru, kenapa pihak terbabit beriya-iya benar untuk sertai PRU kali ini. Mungkin, dengan cara itu kepuasan hati mereka yang tidak terpilih sebagai calon akan terubat. Tragedi Mat Sabu (kini Timbalan Presiden PAS) yang tewas ditangan calon UMNO Barisan Nasional di kerusi Parlimen Kuala Terengganu akibat calon bebas, Maimun Yusof (foto) harus dijadikan renungan. Walau pun, calon yang popular dengan gelaran Mek Wok itu bukanlah orang yang dikenali dan hebat, namun dia berjaya mencuri undi yang menyaksikan "ayam sabung PAS" itu tumbang di kerusi tersebut. Apa hebatnya Mek Wok jika dibandingkan dengan Mat Sabu?. Ramai yang mengatakan beliau akan hilang wang pertaruhan dan tewas teruk jika bertanding. Malah, tidak ketinggalan mengatakan ia tidak memberi kesan kepada pihak terbabit (pembangkang) ketika itu. Tapi, lihatlah apa yang berlaku?. Bukankah tragedi kekalahan Mat Sabu ini harus dijadikan ikhtibar oleh semua pihak. Ini bermakna, calon bebas yang tidak popular pun boleh memberi kesan mendalam terhadap kemenangan dan kekalahan calon-calon tertentu. Apatah lagi jika calon bebas terbabit sememangnya popular dan dikenali ramai. Bukankah ini akan memberikan impak yang besar kepada parti yang bertanging apabila "winable candidate" yang sepatutnya menang tertewas gara-gara "undi pecah" di kerusi tradisi mereka. Perkara ini harus dipandang serius oleh parti-parti bertanding terutamanya pembangkang (Pakatan Rakyat) sebenarnya. Jika tidak apa yang berlaku kepada Mat Sabu ini pasti akan berulang. Wajarkah Calon Wahyu Rampas Kerusi Calon Pilihan Soalnya, wajarkah "calon wahyu" dihantar untuk bertanding di kerusi tertentu sedangkan kelibat mereka langsung tidak dihidu oleh rakyat sebelum ini. Mereka datang umpama membasuh kaki, untuk terus menjadi calon sedangkan mereka tidak pernah "buat kerja" atau sumbangkan jasa kepada parti selama ini. Senario ini berlaku di seluruh negara dan ia mungkin menyebabkan parti tertentu kalah gara-gara kewujudan calon bebas terbabit. Terkadang kesilapan pemimpin atasan yang rakus untuk membina proksi mereka di peringkat akar umbi sebegini boleh mengundang padah akhinrya. Apatah lagi jika calon bebas itu sememangnya diterima oleh seluruh rakyat setempat, baik kawan mahu pun lawan. Jika ini berlaku, pasti parti akan kehilangan undi yang boleh mengundang padah termasuk tewas dikerusi tradisi serta "kubu kuat" mereka selama ini. Di Pihak Barisan Nasional (BN) mungkin fenomena ini tidak berapa terasa sekarang. Namun di pihak pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampaknya ia kini menjadi bualan hangat di seluruh negara. Terdapat dakwaan pemimpin tertentu kini cuba menggunakan kuasa yang ada untuk menguatkan cengkaman politik mereka. Lantaran itu sanggup melobi pucuk pimpinan tertinggi parti untuk menerima calon pilihan (kroni) mereka. Lebih parah lagi lima nama yang dicalonkan oleh cabang-cabang ditolak bulat-bulat oleh parti atas alasan mereka akan "jual perlawanan jika menang". Tragedi ngeri yang berlaku di Perak selepas PRU-12 lalu kini menjadi igauan buruk buat mereka. Namun, ramai juga yang mempertikaikan tindakan ini sebenarnya. Lihat apa yang berlaku kepada Datuk Zaid Ibrahim (foto) ketika Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor dulu?. Beliau yang diwahyukan oleh pemimpin tertentu hinga menerajang calon popular peringkat cabang iaitu Dr.Hariri Rahmat akhirnya sama-sama telah meninggalkan parti tersebut selepas itu. Siapa yang hantar Zaid? Sudah semestinya pemimpin tertinggi PKR, malah mungkin juga atas arahan Ketua Umumnya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Parti jadi pecah belah dan kecoh dibuatnya, akibat tindakan tersebut yang menyaksikan PKR tewas ketika itu. Namun, pengajaran langsung tidak diambil untuk PRU-13 ini. Calon wahyu masih terus dihantar, dan ini pasti menyebabkan undi protes berlaku yang menjurus kekalahan kerusi pembangkang di kawasan yang dijangka akan menang. [Dengan kenyataan ini, maka semua pihak tidak boleh terlalu memandang enteng kepada calon bebas yang bakal bertanding pada pilihanraya umum akan datang. Memang benar, kehadiran mereka kebanyakkannya bukanlah untuk menang atau menajdi wakil rakyat. Namun, mereka juga boleh memberi mimpi-mimpi ngeri kepada calon-calon tertentu yang jauh lebih popular sebenarnya. Apatah lagi jika calon bebas itu lebih popular dari calon yang ditampilkan oleh parti atau calon wahyu itu sendiri. Oleh itu semua pihak tidak wajar memperkecilkan kewujudan calon-calon bebas pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti harus diambail perhatian serius oleh parti-parti yang bertanding kerana mereka boleh merobek kekuatan parti terbabit sebenarnya. Nantikan laporan eksklusif seterusnya tentang ciri-ciri dan kategori calon bebas yang boleh diterima oleh rakyat atau pun tidak selepas ini. Apapun, kehadiran calon-calon bebas ini diharap akan memeriahkan lagi pilihanraya umum kali ini. Amalan demokrasi berparlimen harus disuburkan demi masa depan generasi akan datang. Lakukan perubahan demi masa anda sekarang!]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan