MIMPI SENJA |
- Wan Azizah boleh jadi MB Selangor - Khalid
- Lahad Datu : Nyaris disembelih Jeneral Musa
- Anwar semakin dekat dengan rakyat
- DSAI umumkan calon PKR bagi Parlimen Paya Besar, Pahang ... seorang Peguam Muda Wanita
- Mangsa pencerobohan meraung lihat keadaan rumah musnah
- Siaran langsung Jelajah Merdeka Rakyat di Felda Lepar Hilir 1, Gambang, Pahang
- Lahad Datu : Kampung Tanjung Batu musnah.....
- Kenapa Najib tak jadi bubar Parlimen semalam?
Wan Azizah boleh jadi MB Selangor - Khalid Posted: 30 Mar 2013 11:03 PM PDT SHAH ALAM: "Dia (Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail) layak jadi Menteri Besar Selangor." Demikian kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab spekulasi bahawa Wan Azizah mungkin bertanding di kerusi Dun dan disebut-sebut bakal dicalonkan di sebuah kerusi di Selangor. Malah, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga dijangka dilantik sebagai menteri besar jika pakatan pembangkang berjaya mengekalkan kuasa mereka di negeri ini. Bagaimanapun untuk menjadi calon (menteri besar) di negeri ini, antara perkara yang penting dan perlu ialah kad pengenalan beliau mesti bermastautin di Selangor," katanya selepas Majlis Rapat Mesra Kinabalu Warga Sabah Lembah Klang di sini, semalam. Menurutnya, pemilihan sebagai menteri besar akan ditentukan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor memberi kuasa kepada Sultan untuk memilih pemimpin yang mempunyai kepercayaan untuk mentadbir negeri. "Dalam enakmen ada tetapi tidak boleh timbulkan spekulasi itu sekarang. Selepas pilihan raya Sultan Sharafuddin menerima menghadap wakil-wakil yang memenangi jumlah kerusi terbesar dalam Dun. "Itu yang akan berlaku, jadi kita tidak boleh timbulkan spekulasi itu sekarang kerana tidak mahu dikaitkan dengan istana. Itu sebab saya tidak mahu jawab (soalan) nanti orang katakan dan kaitkan dengan istana. Perkara ini sangat sensitif. Buatlah pilihan raya dulu," katanya. Abdul Khalid berkata, perkara tersebut tidak perlu menjadi spekulasi kerana masih dalam proses perbincangan di peringkat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) dan belum satu keputusan muktamad mengenainya. "Pengumuman itu akan dilakukan (tidak lama lagi). Oleh sebab itu kita benarkan perbincangan perkara ini dan spekulasi ini akan berakhir. Dalam masa dua minggu ini akan ada pengumuman yang akan berlaku di negeri Selangor," katanya. Dalam pada itu, Abdul Khalid melahirkan penghargaan kepada rakan-rakan kepimpinan PR dari Sabah terutama Datuk Panglima Lajim Ukin bersama rakyat Sabah mengadakan lawatan mesra di Selangor. Beliau berkata, usaha tersebut memberikan rangsangan kepada pemimpin PR untuk terus berkempen kepada rakyat Selangor dan Sabah bahawa perubahan pentadbiran politik Putrajaya mesti dilaksanakan. "Majlis ini adalah satu usaha untuk memperkenalkan aktiviti mereka dalam bentuk rapat mesra supaya bukan sahaja masyarakat Sabah tahu usaha yang dilakukan tetapi rakyat Selangor tahu bagaimana rakyat Sabah ingin mengadakan kerjasama mesra antara rakyat Sabah dan Selangor. "Tujuannya sudah tentulah jelas tujuan politik yang mana rakyat Sabah merasakan kejayaan pemerintahan PR Selangor patut dicontohi supaya dapat dilaksanakan di Sabah," katanya. Ruwaida Md Zain / The Malaysian Insider |
Lahad Datu : Nyaris disembelih Jeneral Musa Posted: 30 Mar 2013 09:19 PM PDT 31 Mac 2013 LAHAD DATU – Tiada apa yang diharapkan Ajmain Mahmud, 35, selain mahu terus hidup tatkala dia hampir-hampir disembelih ketua pengganas Kiram yang dikenali sebagai Jeneral Musa dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu di sini, 6 Mac lalu. Menurut Ajmain, ketika itu dia sendiri tidak yakin akan dapat terus bernyawa ketika peluang bagi dirinya untuk melepaskan diri dirasa sudah teramat tipis sementara Jeneral Musa pula begitu marahkannya hingga sudah bersiap sedia untuk menyembelihnya hidup-hidup. "Dia ketika itu sudah mengacu barong (parang Sulu) ke leher saya untuk sembelih saya hidup-hidup," kata Ajmain, anak Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang. Ditanya mengapa ketua pengganas Kiram itu begitu marahkannya, Ajmain berkata, puncanya kerana Jeneral Musa menyangka dia yang melaporkan kedudukan pengganas kepada pihak keselamatan. "Kononnya kerana laporan sayalah, mereka (pengganas) dijejak dan diserang pada 1 Mac di Kampung Tanduo dan 2 Mac di Kampung Simunul, Semporna hingga menyebabkan beberapa pengikutnya mati dan ditangkap," katanya. Menurut Ajmain, ketika itu Jeneral Musa diiringi kira-kira 50 pengikutnya yang mengarahkan dia dan penduduk lain berkumpul di satu tempat. "Ketika itu kira-kira jam 9 pagi, saya berasa sangat takut," katanya. Ajmain berkata, selain diacu parang, dia juga ditempeleng beberapa kali oleh Jeneral Musa. "Saya hanya mampu berdoa, tiba-tiba ada seorang dari mereka menghalang Jeneral Musa dari membunuh saya," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, pengganas Kiram turut membuat dua sekatan bagi menghalang penduduk Kampung Tanjung Batu keluar dari kawasan terbabit. "Kami berjaya melepaskan diri apabila pengganas benarkan kami keluar. Ada juga berjaya keluar apabila pengganas beri wang untuk membeli barang-barang makanan," katanya. |
Anwar semakin dekat dengan rakyat Posted: 30 Mar 2013 10:52 AM PDT KUANTAN- Ke mana saja Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pergi menjelang pilihan raya 2008 lalu, di situ kubu BN terbukti goncang. Ia berdasarkan keputusan undi yang diperolehi PKR dan lain-lain parti pembangkang dalam pilihan raya umum 2008 lalu. Kini, dengan jangka masa yang panjang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berkempen, sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat dari hari ke hari. Sebahagiannya adalah disumbangkan oleh Anwar sebagai Ketua Pembangkang. Ia berkaitan dengan cara beliau bercakap kepada mereka yang datang menyertai ceramah-ceramah beliau. Malam ini di Balok Makmur, ribuan yang hadir mendapat layanan istimewa apabila Anwar turun menemui mereka ke bawah pentas. "Cara Anwar bertentang mata dengan mereka yang hadir bakal mengikat mereka dan seterusnya menyebabkan mereka menyebarkan mesej untuk semua rakan dan taulan mereka," ulas seorang pengkaji politik ketika menilai cara Anwar berhubung dengan orang ramai dalam ceramah-ceramahnya. Ketika kebanyakan penecaramah terikat dengan ronstrum mereka, Anwar membuat pendekatan berbeza. Beliau membebaskan dirinya dari rostrum dan dalam kes Balok Makmur malam ini, Anwar membebaskan dirinya dari pentas yang mengikat dirinya. Anwar turun ke bawah pentas dan bercakap secara langsung dengan orang ramai. "Cara ini menyebabkan orang ramai terasa dekat dengan penceramah. "Ini yang mengikat mereka dengan Anwar," tambah beliau yang merupakan pensyarah kepada Universiti Islam Antabangsa cawangan Kuantan itu lagi yang turut serta mendengar ceramah Anwar di Balok Makmur. Bagi beliau semakin kuat tekanan diberikan oleh media BN kepada Anwar, orang akan lebih ramai menyertai ceramah-ceramah Anwar. "Terbukti berdasarkan keputusan pilihan raya 2008, di kawasan mana Anwar pergi, di situlah undi parti pembangkang ketika itu melonjak naik," tambahnya. |
DSAI umumkan calon PKR bagi Parlimen Paya Besar, Pahang ... seorang Peguam Muda Wanita Posted: 30 Mar 2013 09:28 AM PDT |
Mangsa pencerobohan meraung lihat keadaan rumah musnah Posted: 30 Mar 2013 07:51 AM PDT 30 Mac 2013 LAHAD DATU - Meraung, menangis, menjerit, terduduk dan bertakbir adalah antara reaksi spontan 21 keluarga dari Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian, yang dibenarkan melawat rumah mereka hari ini.Mereka bersama pasukan keselamatan, penilaian dari Pegawai Daerah dan Majlis Keselamatan Negara dibenarkan meninjau selepas sebulan menjadi mangsa serangan pengganas dari selatan Filipina dengan berlindung di pusat pemindahan seliaan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Felda. "Sakit hati tengok. Macam mana hendak masuk balik dan tinggal di sini dengan keadaan begini. Macam mana hendak bayar hutang yang masih banyak lagi itu!" kata Norhaya othman, 27, yang terus menangis sambil memeluk suaminya, Abdul Jabbar Bavotty, 39, ketika melawat Kampung Tanjung Labian. Peniaga kedai runcit itu juga semakin sayu apabila menceritakan bahawa dua anaknya sering bertanya bilakah mereka sekeluarga boleh pulang ke rumah yang telah tiada itu. Krisis pencerobohan di Lahad Datu sejak 12 Februari lalu, telah menyebabkan 3,500 penduduk di sekitar gugusan Tanjung Labian dan Tanjung Batu melarikan diri ke pusat pemindahan dan rumah saudara, termasuk puluhan rumah dibakar dan rosakkan pengganas dalam pertempuran Operasi Daulat dengan pasukan keselamatan. Seorang lagi penduduk, Siti Aminah Hiya, 21, tergamam kerana beliau langsung tidak percaya melihat rumahnya hangus serta kelengkapan perahu dan enjin bot miliknya hilang, sekali gus menjejaskan punca pencarian rezekinya di laut. Katanya, sebelum kejadian, beliau baru sahaja membuat pinjaman bernilai RM1,500 untuk kelengkapan perahunya dan kini beliau rungsing memikirkan bagaimana hendak membayar pinjaman itu. Sambil terduduk dan seakan-akan tidak percaya melihat apa yang berlaku, beliau kemudian menangis dan terus menjauhkan diri dari media. Seorang lagi penduduk yang tidak mahu dikenali, hanya mampu bersandar dan duduk di dalam keretanya kerana tidak sanggup melihat keadaan rumah dan kedai motosikalnya yang musnah dan rosak ekoran insiden itu. Daripada tinjauan terdapat kira-kira 16 rumah di kampung Tanjung Batu perlu diperbaiki manakala 26 buah rumah lagi musnah sama sekali. Taksiran akhir jumlah kerugian rumah dan harta benda kesemua penduduk kampung yang terlibat dijangka disiapkan pegawai daerah tidak lama lagi. Sepanjang insiden pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 68 militan, manakala 121 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 ditahan atas pelbagai kesalahan. - Bernama |
Siaran langsung Jelajah Merdeka Rakyat di Felda Lepar Hilir 1, Gambang, Pahang Posted: 30 Mar 2013 06:19 AM PDT KUANTAN30 MAC: Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung ceramah perdana Jelajah Merdeka Rakyat di Felda Lepar Hilir 1, Gambang malam ini melalui rangkaian internet. Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara barisan penceramah ialah Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman, Laksamana Pertama (B) Haji Imran Abdul Hamid dan ahli parlimen Kuantan, Fauziah Salleh. Turut hadir Pengerusi DAP Pahang yang juga Adun Triang, Leong Ngah Ngah dan Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar Pas Pahang, Andansura Rabu Untuk tonton, KLIK INI. Manakala Radio KOBAT FM turut membawakan siaran langsung dari tapak ceramah di Taman Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang, Kuantan melalui pautan DISINI. Selamat mendengar! Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48718 |
Lahad Datu : Kampung Tanjung Batu musnah..... Posted: 30 Mar 2013 05:03 AM PDT Sebuah banglo dan kenderaan milik penduduk Kampung Tanjung Batu turut musnah akibat pertempuran baru-baru ini. Salah sebuah rumah penduduk yang musnah terbakar akibat pertempuran antara kumpulan pengganas dan pasukan keselamatan dalam Op Daulat. LAHAD DATU - Selepas 24 hari Op Daulat dilancarkan untuk memusnahkan kedudukan militan Kiram, akhirnya penduduk Kampung Tanjung Batu dibenarkan memasuki kawasan tersebut sambil ditemani oleh pasukan keselamatan. Kedatangan penduduk ke kampung ini bertujuan untuk menilai tahap kerosakan yang dialami, namun beberapa kawasan kampung tersebut belum boleh dimasuki kerana masih berada dalam Zon Merah. Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang, 72, berkata, dia berasa amat sedih apabila melihat kehancuran kampung yang didiaminya sejak tahun 1959 lagi. Katanya, perasaan marah penduduk terhadap militan Kiram begitu meluap-luap kerana segala usaha dikerjakan selama ini musnah sekelip mata. "Hari ini pertama kali saya menjejakkan kaki di Kampung Tanjung Batu sejak pencerobohan bermula, saya rasa amat sedih dan marah. "Dari 107 buah rumah, 70 peratus daripadanya musnah sama sekali dan semuanya ada kesan tembakan," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Mahmud yang memiliki dua buah rumah di sini berkata, kedua-dua rumahnya hancur, malah tiga kenderaannya turut rentung kesan daripada pertempuran yang meletus di kawasan tersebut. "Kami sudah tiada apa-apa lagi. Kami kerugian ratusan ribu ringgit, namun kami reda dan yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan dan kerajaan dalam menangani isu ini," katanya. Ditanya sama ada penduduk Kampung Tanjung Batu bersedia dipindahkan di kawasan baru seperti penduduk Kampung Tanduo, Mahmud berkata, penduduk mahu terus tinggal di kawasan tersebut. "Apa pun, kami tetap mengikut arahan kerajaan. Jika dibenarkan tinggal maka kami tinggal, jika tidak kami akan ikut (arahan kerajaan)," katanya. Seorang lagi penduduk, John Dulahab, 62, berkata, rumahnya turut musnah namun tetap bersyukur kerana semua keluarganya selamat. "Walaupun segalanya musnah, kami masih mahu tinggal di sini. Di kampung inilah tempat kami lahir, membesar dan kami mahu hembuskan nafas terakhir di sini," katanya. Menyelusuri Kampung Tanjung Batu, deretan rumah penuh dengan kesan tembakan dan bom, kesan daripada kekuatan ketenteraan negara dalam menghapuskan militan Kiram yang berkubu di kampung tersebut. Malah, kelongsong peluru dan serpihan bom memenuhi setiap kiri kanan jalan menggerunkan perasaan sesiapa saja yang memasuki kampung itu. Ketua Masyarakat Tanjung Labian, Assafal Alian, 43, berkata, dia tidak sabar untuk melihat pencerobohan ini berakhir dan militan Kiram dihalau terus dari bumi Sabah. "Kami hilang punca pendapatan kerana pencerobohan ini. Kami tidak akan memaafkan mereka. Tanah Sabah aman, tetapi kehadiran mereka menukar segalanya," katanya. Kampung Tanjung Batu menjadi lokasi pertempuran pasukan keselamatan negara sejak 7 Mac lalu apabila beberapa militan Kiram berjaya meloloskan diri dari kepungan di Kampung Tanduo. Sementara itu, Pejabat Daerah Lahad Datu berhasrat mahu menjadikan Kampung Tanduo pusat pelancongan bersejarah baru pada masa depan ekoran pencerobohan militan Kiram. Pegawainya, Zulkifli Nasir berkata, insiden berdarah di Lahad Datu seharusnya dikenang buat selama-lamanya kerana isu ini melibatkan seluruh rakyat Sabah khususnya dan Malaysia amnya. "Ini cadangan kami, kami mahu bina satu monumen di Kampung Tanduo bagi memperingati insiden ini. "Kami juga berhasrat supaya kawasan kampung ini dijadikan kawasan pelancongan yang baru selain menjadi pusat sejarah negeri," katanya. Ditanya mengenai tempoh masa diperlukan bagi mengetahui kerosakan yang dialami Kampung Tanjung Batu, Zulkifli menegaskan masa yang diperlukan kira-kira tiga minggu lagi. Katanya, penduduk kampung hanya dibenarkan masuk dan mendiami semula rumah mereka apabila pihak polis memberi lampu hijau. Mengulas mengenai kemungkinan penduduk Kampung Tanjung Batu turut diberikan kawasan penempatan semula, Zulkifli berkata, ia adalah cadangan yang baik. "Konsep yang akan digunakan adalah mini estet, di mana penduduk akan diberikan kawasan yang teratur dan senang dipantau. "Ia juga memberi keselesaan kepada penduduk nanti," katanya. |
Kenapa Najib tak jadi bubar Parlimen semalam? Posted: 30 Mar 2013 12:34 AM PDT 30 MAC — Ketersasaulan juruhebah perempuan Radio Klasik Nasional kira-kira jam 3:55 minit petang tadi untuk membawa para pendengar ke Putrajaya bagi mengikuti pengumuman pembubaran parlimen oleh perdana menteri Najib Razak tetapi tidak jadi, menjadi tanda tanya ramai. Juruhebah berkenaan selepas membuat pengumuman itu terus meralat semula kononnya siaran langsung itu tidak dapat diadakan kemudian pengumuman itu ditenggelami dengan muzik. Beberapa minit selepas itu juruhebah itu terus diam dan soal pembubaran parlimen menjadi sepi. Persoalan timbul kenapa juruhebah berkenaan membuat pengumuman dan seolah-olah bersedia untuk berhubung dengan rakan setugasnya di Putrajaya bagi melaporkan pembubaran parlimen yang memang dinanti-nantikan rakyat? Apakah dia sengaja pandai-pandai atau satu gurauan? Gurau beruk? Kebiasaanya apa-apa yang diucapkan oleh juruhebah ia adalah atas arahan penerbit. Bukan sembarangan kata-kata atau pengucapan apa lagi perkara sepenting itu boleh dilapazkan oleh seseorang juruhebah. Apakah petang tadi sememangnya Najib hendak mengumumkan pembubaran parlimen? Sejak kelmarin lagi terdengar desas desus Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen semalam. Katanya satu solat hajat meminta proses pembubaran itu berjalan lancar telah diadakan malam tadi. Kemungkinan itu menjadi lebih serius lagi kerana semalam Najib mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Barisan Nasional dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri di peringkat akhir. Perjumpaan itu mengenai pembahagian kerusi justeru ia dianggap perjumpaan terakhir dan pengumuman pembubaran parlimen dilakukan selepas perjumpaan itu? Khabarnya pejabat perdana meteri di Putrajaya petang tadi dihadiri oleh ratusan wartawan dari dalam dan luar negeri untuk menanti kenyataan pembubaran parlimen oleh Najib. Bagaimana pun mereka semuanya pulang dengan kecewa kerana apa dinanti-nantikan tidak menjadi kenyataan. Setengah siap sedia untuk membuat siaran langsung termasuklah RTM, TV3 dan segala macamnya. Dalam pada itu ada maklumat mengatakan memang Najib berhajat untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen pada petang tadi. Katanya Najib sendiri memilih petang Jumaat untuk berbuat demikian. Namun kata sumber itu disebabkan ada beberapa perkara yang belum beres menyebabkan hasrat itu dibatalkan. Apakah semasa mesyuarat tadi berlaku pertikaian atau pun ada pihak yang belum bersedia kalau parlimen dibubar semalam? Perkara ini tidak dapat disahkan tetapi katanya ada beberapa pemimpin yang mahu Najib lanjutkan tempoh dan berharap parlimen biarlah terbubar dengan sendiri. Alasan lain kenapa parlimen tidak dibubarkan semalam khabarnya soal pembahagian kerusi di antara komponen BN masih belum selesai. MCA adalah parti yang lantang menuntut kerusi dan memberi kata dua kepada Najib. Parti itu tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi di mana kuota yang diperuntukkan kepadanya selama ini ditarik balik. Khabarnya ada suara ugutan dari MCA akan memulaukan pilihan raya sekiranya soal pembahagian kerusi tidak lengsai? Alasan lain diberikan kepada Najib, elok Najib membubar parlimen selepas 4 April di mana genap empat tahun beliau menjadi perdana menteri setelah mengambil alih dari Abdullah Ahmad Badawi. Kalau Najib mengumumkan pembubaran parlimen semalam, ia bermakna Najib menjadi PM tidak sampai empat tahun. Tempoh perkhidmatannya baru tiga tahun tiga suku. Mereka tidak mahu Najib digelar sebagai PM tiga tahun tiga suku. Dalam pada itu diramalkan besar kemungkinan Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen paling lewat 16 April ini. Beliau akan berusaha juga untuk mengelakkan parlimen terbubar dengan sendiri untuk menjaga reputasinya.- mso |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan