Isnin, 4 Februari 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Jadilah pendakwah bukan penghukum (4/2/13)

Posted: 03 Feb 2013 08:42 PM PST


Ada ketikanya kita melihat diri kita ini sempurna (perfect), walaupun mungkin kita tidak sedar. Kita melihat yang lain disekeliling kita cacat, tak lengkap, tidak sempurna.
Lalu kita mudah membenci, memandang rendah orang lain.

Kita menganggap apa yang ada pada kita yang terbaik, samada ilmu, harta, rupa, kelakuan , kedudukan, pangkat, gelagat dan perangai. Orang lain yang tidak seperti kita buruk belaka. Lalu kita tidak sedar kita sebenarnya sudah menjadi hakim, menghakimi orang lain, malah terkadang kita bukan sahaja menjadi hakim malah pendakwa sekali, kita mendakwa seseorang dan kita juga menghukumnya.
Pada mata kita mereka yang tidak seperti kita semuanya jahil belaka.

Sedangkan kita sesungguhnya diajar oleh Rasulullah saw untuk menjadi pendakwah, mengajak, mengajar, memberi contoh kepada yang lain. Jika ada yang mahu dengar Alhmadulillah, jika ada yang mahu ikut Ahmadulillah, jika ada yang menolak, tidak bersedia, belem boleh terima, sepatutnya kita tidak berputus asa, cuba lagi, doakan agar lembut hatinya.
Kalau setelah berdakwah, gagal, kita lepas tangan, maka sudah pasti tiada lagi penduduk yang menghuni Bandar Taif pada hari ini, bandar 100km dari Kota Mekah, kerana apa? Kerana penduduknya lebih 1383 tahun dahulu sudah pasti telah maut semuanya di hempap gunung-gunung batu dikeliling Mekah oleh Jibril a.s

Rasulullah saw pernah ke sana ketika itu, berdakwah mengajak penduduk Taif mengikut Islam. Sudahlah mereka menolak dengan keras, mereka perintahkan pula anak-anak mereka merejam Baginda dengan batu, dihalau keluar, sehingga berdarah tubuh Rasulullah yang mulia itu.
Akibatnya menurut sirah, datang malaikat Jibril a.s dan para malaikat yang menjaga gunung. Jibril memohon dari Rasulullah agar diberikan kebenaran kepadanya mengarahkan malaikat penjaga gunung tadi agar merejam dan menghempap penduduk Taif dengan gunung-gunung batu yang pejal kerana mencederakan tubuh Baginda.

Apa kata Rasulullah saw:
'Tidak! Bahkan saya mengharap mudah-mudahan Allah mengeluarkan dari keturunan mereka orang yang menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukan dengan sesuatu pun'.

Demikianlah besarnya salah kita kalau nak dibandingkan dengan besarnya kemuliaan Rasulullah saw.
Ramai yang menguasai ilmu dikalangan kita, ramai yang ahli ibadah dikalangan kita, malangnya tidak ramai yang memiliki keupayaan berdakwah sebagaimana Rasulullah saw.

Kita mudah memandang rendah orang yang tidak seperti kita, kita mudah membenci orang yang tidak seia dengan kita, kita mudah memusuhi orang yang tidak percaya atau mengikuti kita. Kerja kita menghukum, menghukum dan menghukum.
Bayangkan kalau kita juga boleh mengarahkan malaikat penjaga gunung sebagaimana Rasulullah saw, habis ranap bumi ini!

Allah swt berfirman dalam al Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." ( Al hujurat : 12 )

Syeikh Abdul Qadir Jailani dalam mengulas ayat ini ada menyebut antara lain:
Jika kamu bertemu dengan seorang yang jahil (tidak berilmu), maka katakanlah (dalam hatimu) : "Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia tidak tahu, sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Mudah-mudahan jadilah kita semua dikalangan yang terbaik yang sentiasa tidak putus dari mencontohi akhlak dan kemuliaan Rasulullah saw……..

 

Tiada ulasan: