Biaqpila |
Kubur lama di tengah Masjid Razaleigh Posted: 11 Feb 2013 12:00 AM PST Mungkin ramai tertanya-tanya mengenai kubur yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di Bandar Lama, di Gua Musang, Kelantan. Ini kerana belum pernah ditemui di mana-mana masjid sama ada di dalam atau luar negara kubur orang awam berada dalam masjid. Kebanyakan mereka daripada kalangan ahli jemaah terutama yang datang dari luar daerah ini sudah tentu membuat pelbagai andaian tersendiri, berikutan tidak mengetahui sejarah sebenar yang berlaku apabila melihat kubur yang dianggap pelik itu. Diakui semakin sukar untuk menjejak sejarah serangan komunis di Bandar Gua Musang sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana kebanyakan orang lama yang asal tinggal di bandar ini telah meninggal dunia. Bagaimanapun, mujur masih ada rujukan menerusi catatan sejarah dalam diari mengenai serangan komunis itu yang ditulis sendiri bekas Penggawa Hulu Kelantan ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh. Mangsa sarat mengandung Catatan sejarah itu masih sulit untuk diedarkan kepada umum kerana masih disimpan anak tunggal lelakinya sebagai kenangan walaupun hanya orang tertentu sahaja boleh mendapatkan salinan daripadanya sebagai bukti sejarah itu benar-benar berlaku. Sebenarnya kubur lama yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh itu adalah kubur seorang wanita sarat mengandung, Allahyarham Nik Mah Nik Soh, yang mati dibunuh komunis secara kejam di dalam longkang berhampiran jalan masuk masjid. Serangan komunis itu yang pernah berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943 apabila ramai orang Melayu ketika itu mati dibunuh dan hanya seorang penggawa ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar yang berjaya melepaskan diri dari kepungan komunis. Nik Mah juga adik kepada Nik Jaafar gagal melarikan diri pada masa serangan itu berlaku kerana sarat mengandung. Allahyarhamah itu terpaksa berselindung di dalam longkang tersebut namun diserang hendap pasukan komunis yang menyerbu ke kawasan terbabit. Dalam keadaan ketakutan ketika itu, penduduk yang masih selamat mengusung jenazah Nik Mah yang dalam keadaan berlumuran darah ke dalam kawasan masjid sebelum membuat keputusan tanam di bahagian tangga belakang masjid itu. Pada waktu itu masjid berkenaan dibina dengan kayu dan mampu menampung hanya kurang 100 jemaah sahaja sebelum diubah suai 50 tahun kemudian untuk menampung bilangan jemaah bertambah ramai menyebabkan kubur terbabit berada di tengah-tengahnya. Sejarah serangan komunis ketika itu juga menyebabkan kebanyakan penduduk tidak boleh tinggal setempat dan kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari perlindungan termasuk sanggup berjalan kaki dalam hutan. Berselindung dalam longkang Allahyarham Nik Jaafar seperti yang tercatat dalam tulisan sejarahnya beliau lari seorang diri untuk meminta perlindungan di Balai Polis Bertam. Ini kerana kebanyakan rumah penduduk ketika itu termasuk kuarters kereta api dan balai polis di Gua Musang dibakar komunis yang mengganas dan merosakkan semua harta benda penduduk. Nik Mah dibunuh kejam serangan komunis itu bersama 25 orang Melayu terperangkap ketika berselindung dalam longkang berkenaan. Ada juga yang dibunuh ketika cuba menyeberangi Sungai Galas di belakang kedai Jalan Besar untuk menyelamatkan diri. Walaupun Gua Musang telah lama diwujudkan, tetapi bilangan penduduk Orang Melayu tidak ramai. Tumpuan utama komunis berkampung di Kampung Pulai yang selalu memeras ugut Orang Melayu bagi merampas harta termasuk makanan. Pendapatan utama penduduk ketika itu hanya mengharapkan kepada hasil tanaman dan kerap meminta bantuan kerajaan menerusi pejabat daerah ketika itu terletak di Kuala Krai kerana tanaman dimusnahkan komunis. Dengan tersiarnya catatan sejarah mengenai kubur Allahyarham Nik Mah dalam Masjid Razaleigh itu dapat memperjelaskan lagi kepada orang ramai berhubung perkara itu dan menjadi kenangan sepanjang masa. SH |
BN Bakal Letak Calon Payung Terjun Di Wangsa Maju Posted: 10 Feb 2013 08:56 PM PST Oleh Shahbudin Husin Di antara 222 kerusi Parlimen yang menjadi rebutan antara BN dan PR dalam pilihanraya umum akan datang, Wangsa Maju dikira paling unik kerana ia bukan saja bakal menyaksikan persaingan sengit antara kedua gabungan itu tetapi juga disebabkan perebutan yang tidak sudah-sudah antara UMNO dan MCA di mana masing-masing merasakan layak bertanding di kerusi tersebut. Oleh kerana MCA telah tewas pada pilihanraya 2008 lalu dengan kekurangan 150 undi, UMNO lantas merasakan kini giliran mereka pula untuk menebus kekalahan itu. Shafie Abdullah yang merupakan Ketua UMNO dan Pengerusi BN Wangsa Maju sedang dinobatkan sebagai calon paling layak untuk mengibarkan panji-panji kemnenangan BN di situ. Kedudukannya sebagai Setpol Najib dijadikan lagi sebagai markah tambahan yang didakwa mampu menambahkan lagi sokongan pengundi kepada BN. MCA pula tidak mahu mengalah dan merasakan mereka wajar diberi peluang kedua. Yew Teong Look yang kalah 150 undi kepada Wee Choo Keong daripada PKR dalam pilihanraya lalu, ternyata masih bernafsu dan berkeyakinan untuk menebus semula kekalahan itu. Dalam persaingan itu dan keghairahan masing-masing mahu menunjuk pengaruh serta kekuatan, berlakulah pemulauan, pemboikotan dan monopoli. MCA Wangsa Maju yang diketuai oleh Yew Teong Look tidak pernah menghadiri mesyuarat BN Wangsa Maju yang dipengerusikan oleh Shafie Abdullah serta memulau banyak program anjuran UMNO dan BN. MCA dan Yew Teong Look seperti memberi isyarat bahawa jika BN memilih Shafie sebagai calon, beliau tidak mungkin menang kerana tidak mendapat sokongan daripada pengundi Cina. Shafie pula yang ghairah mahu menonjolkan diri sebagai bakal calon di Wangsa Maju, langsung tidak mempedulikan adanya pemulauan dan pemboikotan daripada MCA itu dan cuba mengatur sebanyak mungkin program sampai terbabas sehingga memonopoli semua program penyampaian sumbangan RM100 kepada murid-murid sekolah baru-baru ini, sehinggakan tidak memberi peluang langsung kepada MCA atau Gerakan berbuat demikian. Oleh kerana terdapat agak ramai pengundi Cina di Wangsa Maju dan beberapa sekolah Cina juga terdapat di situ, monopoli Shafie itu telah menyinggung hati MCA. MCA secara terus terang mengkritik monopoli yang dilakukan oleh Shafie dan dianggap tidak menghormati semangat setiakawan BN. Sehingga ini, di mana tarikh pilihanraya hanya menunggu detik dan masanya saja, masih tidak terdapat tanda-tanda sengketa antara UMNO dan MCA akan menemui titik perdamaian di Wangsa Maju. BN Pusat juga masih tidak memberi kata putus siapa antara UMNO dan MCA yang bakal bertanding di situ. Maka, selagi itu drama ini bakal menjadi telenovela yang tidak berpenghujung. Dalam kedudukan BN yang masih bergelut untuk mencapai kemenangan, masalah yang masih berlarutan antara UMNO dan MCA di Wangsa Maju ini sebenarnya cukup memalukan sekali. Lebih-lebih lagi ia juga melibatkan pegawai yang bekerja dengan Najib sendiri. Sementara Najib sering melaungkan semangat 1Malaysia, mengeratkan perpaduan, memahami semangat setiakawan dan merapatkan jentera untuk menghadapi pilihanraya yang mungkin paling sengit dalam sejarah negara manakala kedudukan Najib juga tidak pasti sama ada kekal lagi sebagai Perdana Menteri atau beralih ke kerusi Ketua Pembangkang, semangat itu rupa-rupanya gagal difahami oleh mereka yang dekat dan bekerja dengannya sendiri. Keghairahan menjadi calon dan bergelar YB mengatasi segala kepentingan yang lain. Di atas kertas, selagi sengketa antara UMNO dan MCA ini gagal diselesaikan, harapan BN untuk menang di Wangsa Maju hanyalah fatamorgana saja. Di kala persaingan antara UMNO dan MCA kekal membahang, kalangan mereka yang dekat dengan UMNO dan Najib sendiri membayangkan bahawa kerusi Wangsa Maju akan terus kekal ditandingi oleh MCA tetapi bukan Yew Teong Look calonnya. Difahamkan seorang pemimpin MCA Pusat akan diletakkan bertanding mewakili BN nanti. Mereka berhujah bahawa jika kerusi Wangsa Maju yang selama ini milik MCA mahu diberi kepada UMNO, kerusi milik UMNO mana pula yang mahu diserahkan kepada MCA? Lebih dari itu, dalam pilihanraya kali ini di mana sokongan pengundi Cina begitu penting untuk menjana kemenangan, Najib dikatakan tidak mungkin berani menyinggung hati MCA semata-mata untuk menyediakan laluan kepada Shafie, pegawainya sendiri. Terguris hati MCA dan pengundi Cina di Wangsa Maju, impaknya mungkin merebak ke seluruh negara dan membahayakan kedudukan BN keseluruhannya. Tetapi terluka hati UMNO Wangsa Maju dan Shafie kerana tidak kesampaian hasrat menjadi calon, demamnya mungkin cuma sehari dua. Diberi panadol pulihlah ia. Sebagai Pengerusi BN dan Ketua UMNO Wangsa Maju, walaupun tidak terpilih sebagai calon, Shafie tetap akan bekerja kuat memenangkan calon BN demi kelangsungan masa depan Najib dan BN sendiri. Atas perkiraan ini, mereka yang mengenali stail politik Najib hampir mempercayai bahawa MCA akan kekal lagi bertanding di Wangsa Maju. Cuma calonnya saja yang akan ditukar. Meletakkan calon payung terjun daripada MCA bagi mewakili BN dianggap sebagai jalan tengah paling munasabah bagi meredakan sengketa daripada terus berlarutan. Sementara itu, sumber yang dekat dengan MCA Wangsa Maju dan Yew Teong Look juga tidak menolak kemungkinan itu dan berkata, perjuangan beliau di Wangsa Maju selama ini bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi kerana mempertahankan maruah MCA sebagai anggota komponen BN. Beberapa tokoh MCA Pusat dikatakan menunjukkan minat untuk bertanding di Wangsa Maju kerana dianggap kerusi yang berpotensi untuk dimenangi walaupun menyedari bahawa PR bakal meletakkan Tan Kee Kwong, bekas timbalan menteri dan Naib Presiden Gerakan yang telah menyertai PKR, sebagai calonnya. Bagi MCA kekalahan 150 undi dalam pilihanraya lalu mampu ditebus kali ini melalui gerak kerja yang betul dan bersungguh-sungguh. DD |
You are subscribed to email updates from Biaqpila™ To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan