WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Najib politikkan isu air untuk raih undi rakyat S’ngor – MB
- Ratusan ribu menyatukan perjuangan di Stadium Merdeka, di Rincing orang ramai berebut beras
- Bawa kanak2 ke himpunan Najib dibolehkan, HKR pula disiasat
- Akhbar Australia: Kes pembunuhan Altantuya jejas peluang Umno
- UCAPAN DSAI
Najib politikkan isu air untuk raih undi rakyat S’ngor – MB Posted: 14 Jan 2013 08:03 PM PST Najib politikkan isu air untuk raih undi rakyat S'ngor – MBSHAH ALAM 15 Jan: Kerajaan Selangor kesal dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan isu air untuk mengugut rakyat.Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ketika rakyat menghadapi masalah bekalan air, Perdana Menteri (PM) sepatutnya bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri demi memastikan perkara ini tidak berulang. "Sebaliknya, beliau mengugut rakyat Selangor bahawa mereka akan terus berhadapan dengan masalah air jika tidak menyokong Barisan Nasional (BN). "Jelas, beliau merendahkan martabatnya sebagai Perdana Menteri untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) tidak lama lagi," kata Khalid dalam kenyataan. Katanya, kerajaan negeri percaya rakyat Selangor tahu janji Najib adalah umpama 'meludah ke langit' kerana masalah air ini berpunca daripada kegagalan dasar penswastaan air oleh BN yang memberikan konsesi selama 30 tahun kepada syarikat kroni yang tidak berkemampuan. Beliau berkata, jika kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambilalih pada 2008, rakyat Selangor sekarang akan dibebani kenaikan tarif air yang tinggi sebanyak 37 peratus pada 2009, 25 peratus 2012, dan 20 peratus pada 2015. "Kenyataan terbuka Najib ini sudah cukup untuk membuktikan mengapa Kerajaan Pusat enggan bekerjasama dengan Kerajaan Selangor menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Lembah Klang seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang diluluskan kerajaan BN sendiri. "Ternyata, hasrat mereka bukan untuk menyelesaikan masalah dengan serta merta, tetapi untuk mempolitikkan isu ini dan menggunakannya sebagai bahan tawaran untuk meraih undi," kata Khalid. "BN lebih rela membela syarikat kroni konsesi yang ternyata gagal dan cuai dalam mengurus perkhidmatan air daripada memberi kerjasama kepada kerajaan negeri untuk mengambilalih pengurusan perkhidmatan air. Syabas berdepan dengan krisis pengurusan yang boleh membawa masalah besar kepada rakyat jika konsesi ini terus dibenar menguruskan air di Lembah Klang," sambung beliau. Khalid berkata, Najib juga sengaja tidak mahu menyerahkan perkhidmatan air kepada Kerajaan Selangor kerana beliau bimbang Selangor dapat melakukannya dengan lebih cekap dengan kos yang lebih efektif sekaligus membuktikan kegagalan BN. "Kita meragui catuan air yang dibuat oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan kita tidak menolak kemungkinan ia sengaja dilakukan untuk menyusahkan rakyat dan menyemaikan perasaan tidak puas hati terhadap Pakatan Rakyat. "Kerajaan negeri menghantar enam pucuk surat kepada menteri sejak Julai 2012 bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air mengikut WSIA, namun nampaknya menteri lebih suka berpolitik dari menyelesaikan perkara ini secara waras," jelas Khalid. Beliau menambah, sikap tidak acuh dan sambil lewa PM terhadap cadangan pengambilalihan air oleh Kerajaan Selangor membuktikan beliau dan BN sanggup menggadaikan kebajikan rakyat demi kepentingan politik. Berikutan itu, tegas Menteri Besar, Kerajaan Selangor menggesa Kerajaan Persekutuan hentikan amalan mengugut rakyat negeri dengan meletakkan keperluan asas kehidupan seperti air sebagai sandaran. "Berpolitiklah secara matang, bukannya menzalimi rakyat ala samseng," kata Khalid. |
Ratusan ribu menyatukan perjuangan di Stadium Merdeka, di Rincing orang ramai berebut beras Posted: 14 Jan 2013 08:17 AM PST Ratusan ribu menyatukan perjuangan di Stadium Merdeka, di Rincing orang ramai berebut berasSemasa Himpunan Kebangkitan Rakyat sedang berlangsung di Stadium Merdeka Sabtu lepas Najib juga mengadakan himpunan di Rinching dengan kaum India dan masyarakat lain dengan membekalkan beras lima kg seorang. Dua perhimpunan ini menampakkan perbezaan dan perbezaan itu menampakkan jauhnya perselisihan 'mentaliti' dua puak yang berjuang dalam politik. Di Stadium Merdeka, ratusan ribu rakyat berhimpun dengan bersama-sama berbelanja untuk membayar bil perhimpunan itu termasuk pembayaran sewaan Stadium Merdeka yang berjumlah RM100 ribu kepada syarikat pengendali stadium bersejarah itu. Sokongan ramai dengan bersama-sama menanggung kos perhimpunan itu oleh peserta perhimpunan itu mengingatkan kita kepada keadaan semasa rakyat bersama-sama menderma untuk perbelanjaan rombongan pimpinan kita ke London untuk menyempurnakan tuntutan itu. Rakyat yang serius mahukan perubahan telah memberikan sumbangan wang ringgit dan barang kemas untuk mengumpulkan perbelanjaan untuk mendapatkan kerajaan sendiri dan terhindar dari tekanan dan cengkaman penjajah. Rakyat khabarnya memberikan derma mengikut kemampuan masing-masing. Kalau tidak banyak mereka akan menderma sedikit. Kata perpatah, 'kalau banyak tanda berada, jika sedikit tanda bersama'. Yang penting semua yang berkemampuan memberikan sumbangan untuk mencapai matlamat perjuangan sesebuah pertubuhan siasah untuk memerdekakan rakyat dan negara dari cengkaman pemerintah yang selalu mengelirukan pemikiran rakyat. Rakyat sedar nilai-nilai buruk dalam 'mentaliti' rakyat keseluruhan mesti di perbaikki. Oleh kerana UMNO terlalu lama memerintah rakyat, pemikiran mereka (rakyat) telah jauh di selewengkan oleh parti itu sehinggakan parti itu mewujudkan ciri-ciri sebagai pembawa dalil-dalil hari hendak kiamat. Pemikiran setengah rakyat telah dirosakkan sehinggakan yang baik di katakan salah dan yang salah di katakan benar. Pihak yang baik di ketepikan dan di pinggirkan sebaliknya yang jahat dan ternoda bermaharajalela. Yang nampak jelas melakukan maksiat rasuah bercakap dan berjanji untuk membela rakyat semua kaum dan isu ini meruipakan isu yang sudah kita dengar sejak puluhan tahun dahulu setiap kali pilihanraya tiba. Sekarang mereka masih berjanji dan merayu untuk di berikan peluang untuk terus berkuasa dengan mendapatkan mandat rakyat yang sedang dalam pencarian itu. Amat payah untuk menerima janji-janji mereka yang rasuah untuk berbuat baik kerana kerja rasuah ini merupakan kerja yang paling hina di sisi agama dan Tuhan. Perasuah tidak mungkin mampu membuat keputusan dengan baik, kerana setiap keputusan itu ada terselit kepentingan pihak tertentu termasuk diri dan keluarga sendiri. Tidak masuk kedalam akal yang berfikir, bagaimana yang rasuah dan mencuri itu berjanji akan berbuat baik dan boleh diletakkan masa depan kita serta generasi kita yang akan datang. Pemimpin yang telah dan masih melakukan kerja yang tidak bertanggungjawab itu pergi keseluruh negara menjanjikan rakyat masa depan yang cerah dengan segala teori transformasi dalam semua bidang itu. Pemimpin-pemimpin yang sedang bergelumang dengan segala noda rasuah menggunakan wang dan harta rakyat dengan selamba mundar mandir memberikan janji-janji yang kita selalu dengar sejak kita mula membuka mata kita puluhan tahun dahulu. Itu lah sebabnya kita melihat kesedaran rakyat tidak boleh di tutupi lagi dan manifestasi mereka terlihat dalam himpunan kebangkitan rakyat yang mendapat sambutan ratusan ribu rakyat itu. Nun di Semenyih (Rinching) pemimpin terbesar BN telah berjumpa rakyat memberikan 5 kg beras seorang seolah 5 kg itu boleh memberikan kehidupan seumur hidup bagi rakyat yang rata-rata miskin itu. Kehadiran di Rincing tidak ramai dan itu ada lah fakta jelas. Tetapi kalau ditanya Rais Yatim di Rincing itu jumlah kehadiran lebih besar dari kehadiran di Stadium Merdeka. Bagi Rais Himpunan Rakyat di Stadium Merdeka itu hanyalah 30,000 orang sahaja dan itu adalah tabiat beliau yang selalu memperbodohkan rakyat. Mungkin beliau (Rais) berfikir hanya beliau sahaja yang pernah ke sekolah dan yang lain tidak tahu mengira dan mengagak yang mana yang ramai dan yang mana yang tidak ramai. Bagi saya ibu saya yang miskin pun telah menghantar saya kesekolah juga sikit-sikit. Itulah sebabnya saya sekarang ini boleh lah membaca sikit-sikit dan menulis sikit-sikit. Kalau setakat mengira kehadiran itu masih boleh saya lakukan. Itu sebabnya saya tahu yang hadir memberikan sokongan di Stadium Negara itu melebihi setengah juta rakyat dan dari berbilang kaum pula. Apa yang menyedihkan apa bila Perdana Menteri datang ke sesuatu tempat dan daerah beliau amat bergembira melihat rakyat berebut-rebut di tepi lori yang membawa beras dan sebenarnya itulah cara UMNO mendapatkan undi selama ini. Itulah sebabnya ramai di antara rakyat memberikan pandangan yang agak 'conclusive', UMNO akan kekal berkuasa selagi rakyat masih miskin kerana kemiskinan rakyat itulah di jadikan umpan untuk mendapatkan undi dalam setiap pilihanraya. Apa yang berlaku di Rincing, Semenyih itu adalah simbolik kepada sikap UMNO yang sebenarnya. Berikan beras 5 kg kepada yang miskin UMNO akan mendapat sokongan dan terus bermaharajalela. Undi hanya bernilai 5 kg beras sahaja nampaknya. Cara UMNO mengambil hati rakyat ialah dengan memberikan bantuan dengan 5 kg beras samalah seperti memberikan bantuan mangsa banjir sahaja. Kita tidak nampak bagaimana gulungan ini akan menambah pendapatan untuk mencecah USD15 ribu setahun menjelang 2020 nanti. Tidak ada sesiapa yang mempunyai sedikit keupayaan untuk berfikir yang gulungan ini akan mencapai matlamat berpendapatan USD15 ribu setahun itu. Peningkatan pendapatan ketahap itu tidak boleh di capai dengan hanya memberikan bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) dan pembahagian beras yang 5 kg itu. Pendapatan sebanyak yang di cita-citakan itu tidak akan dapat di capai dengan bayaran 'one off' sebanyak RM1000 kepada bekas tentera yang tidak berpencen dan memberikan bantuan RM100 kepada kanak-kanak sekolah. Saya tidak tahu samada saya masih hidup lagi pada tahun 2020 nanti, tetapi saya tahu sesiapa yang masih hidup dalam tahun itu nescaya akan melihat kegagalan cita-cita itu. Semalam Najib berkata BN perlukan mandat besar untuk menyelesaikan masalah kaum India. Tetapi bukankah BN telah mendapat mandat sejak negara merdeka. Kenapa kaum India masih tidak dapat di selesaikan? Setiap kali pilihanraya BN telah di berikan mandat tetapi dengan kenyataan beliau semalam, jelas merupakan pengakuan yang BN telah gagal melakukan sesuatu terhadap kaum India. Kalau selama 55 tahun memerintah kaum India masih ketinggalan seperti yang di akui Najib itu apakah masih ada prospek kaum India untuk maju jika masih memberikan mandat kepada pihak yang telah gagal melaksanakan janji selama ini? Elok kita bertanya kepada Najib, bagaimana kaum India hendak memberikan keyakinan jika mereka (kaum India) tahu selama ini BN adalah parti yang gagal terus-terusan untuk membela mereka. Kaum India sendiri akan bertanya kaum Melayu pun jauh ketinggalan walaupun negara ini telah di pimpin oleh orang Melayu sejak merdeka. |
Bawa kanak2 ke himpunan Najib dibolehkan, HKR pula disiasat Posted: 14 Jan 2013 08:07 AM PST Bawa kanak2 ke himpunan Najib dibolehkan, HKR pula disiasat(Oleh Aisha Geoffrey)KUALA LUMPUR 14 Jan: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran mengkritik tindakan dwi-standard polis yang hanya menyiasat kanak-kanak dan siswa hadir Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), sebaliknya membenarkan golongan itu hadir ke satu program bersama Perdana Menteri. "Himpunan Datuk Seri Najib Razak pun ada kanak-kanak, kenapa hanya siasat HKR? Siasat himpunan kerajaan sekali," tegas Surendran menyatakan kerajaan melanggar peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman berhubung perkara itu. Dalam himpunan bersama Najib di Dataran Tesco Bandar Rinching, Semenyih Sabtu lalu, kanak-kanak malah diangkut menaiki bas untuk meramaikan program berkenaan. Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), S Barathidasan berkata, acara perdana itu disertai kanak-kanak dan golongan pelajar. Semalam, polis membuka kertas siasatan mengenai pelanggaran syarat HKR iaitu larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun ke KHR di Stadium Merdeka. "Semasa berjumpa Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, saya ada membangkitkan isu ini, bahawa akan ada kanak-kanak yang ikut ibu bapa mereka, dan beliau kata ia tiada masalah," jelas Surendran kepada Keadilan Daily. Utusan Malaysia dan TV3 paling banyak memaparkan kesalahan penganjur HKR yang kononnya membenarkan kanak-kanak hadir ke himpunan itu. "Tiada isu sebenarnya, tetapi media dan pemimpin Umno takut melihat kebangkitan rakyat. Mereka sengaja cari isu murahan untuk dimainkan," kata Surendran. |
Akhbar Australia: Kes pembunuhan Altantuya jejas peluang Umno Posted: 14 Jan 2013 02:05 AM PST Akhbar Australia: Kes pembunuhan Altantuya jejas peluang UmnoKUALA LUMPUR 14 Jan: Akhbar Australia, The Age meramalkan skandal pembunuhan Altantuya Shaariibu yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menjejaskan peluang Umno BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang."Najib menafikan penglibatannya, tetapi dakwaan tersebut tidak akan hilang. Internet di Malaysia sedang 'panas' dengan pendedahan seorang ahli perniagaan yang tidak berpuas hati dengannya, Deepak Jaikishan, yang mempunyai hubungan dengan Umno," tulis portal akhbar itu semalam. Menurut akhbar berkenaan, pendedahan Deepak juga merupakan sebahagian usaha untuk membongkar misteri pembunuhan warga Mongolia itu pada 2006. Akhbar itu turut mengaitkan pembelian dua kapal selam dianggarkan bernilai USD2 bilion pada 2002, ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan. The Age turut mengaitkan hubungan Abdul Razak Baginda, yang dituduh membunuh Altantuya namun dibebaskan mahkamah pada 2009. "Antara tuntutan yang dibuat oleh Deepak seperti dinyatakan kepada pembangkang dan laman web bebas adalah bukti akuan bersumpah pada 2008 oleh penyiasat, (P) Balasubramaniam yang menyatakan Najib mempunyai hubungan seksual dengan Altantuya. "Terdapat perbalahan dalam Umno yang berkuasa dalam negara selama lebih 50 tahun, kaji selidik terbaru menunjukkan populariti Najib menurun pada paras paling rendah dalam 16 bulan. "Sebahagian penganalisis berkata, PRU kali ini akan menjadi cabaran terbesar kepada pemerintahan Umno. Najib sendiri mengatakan ia sebagai 'titik penentu nasib rakyat dan negara'," akhbar itu dipetik. |
Posted: 14 Jan 2013 01:04 AM PST |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan