SIASAH |
Lawatan Gaza, Najib terus dapat kesan positif Posted: 24 Jan 2013 09:25 AM PST Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak ke Gaza terus memberikan impak positif kepada beliau, yang sebahagiannya dicetuskan secara tidak langsung oleh pesaing politiknya sendiri. Cemuhan, sindiran dan kutukan daripada musuh politik Najib dan Umno kelihatan telah mencetuskan, paling kurang, rasa tidak selesa sesetengah pihak terhadap pembangkang, terutama PAS. Berdasarkan respons keras yang tercetus dari pihak lawan, jelas menunjukkan lawatan Najib itu mempunyai nilainya tersendiri. Rata-rata cemuhan itu dilihat semata-mata berdasarkan rasa iri hati, dengan memperkecilkan tindakan Najib itu, menafikan sisi positifnya, memperbesarkan hal-hal negatif, dan akhirnya menyampaikan kesimpulan negatif lawatan itu, sambil melemparkan juga serangan peribadi. Dari sudut strategi politik menjelang pilihan raya dan kaitan dengan politik serantau, lawatan itu tidak dapat dipisahkan daripada pertimbangan dan penilaian politik. Walau bagaimanapun, kecaman semata-mata terhadap lawatan itu mendedahkan satu sikap negatif, kecenderungan berlebihan kepada politik murahan, serta mendedahkan kepada serangan mudah parti lawan. Pengkritik Najib juga kelihatan berusaha bersungguh-sungguh mencari dan mengemukakan segala data berkaitan - seperti perdagangan dengan syarikat Israel - untuk mengaitkan Najib dengan Israel, sebagai usaha menjejaskan lagi impak positif lawatan Najib itu. Kecaman terhadap lawatan Najib itu turut mendedahkan kefahaman rendah sesetengah pengkritik beliau dalam hal ehwal politik antarabangsa, contohnya dengan menyifatkan Malaysia telah mengiktiraf Hamas, dan perlu membatalkan hubungan dengan Israel, Umno meninggalkan rakan lama (Fatah), dan mempersoalkan adakah Malaysia akan mendengar dari Israel dahulu sebelum mengiktiraf Hamas. Dakwaan ini jelas sekali salah kerana lawatan itu menunjukkan solidariti tetapi tidak mengubah pendirian rasmi kerajaan Malaysia terhadap kerajaan Palestin yang diwakili Pihak Berkuasa Palestin. Dalam hal hubungan dengan Israel, Malaysia sememangnya tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Kecaman terhadap lawatan Najib itu, yang menemukan beliau dengan Hamas, gerakan yang dilabel teroris oleh Barat, menerima banyak respons negatif daripada pihak Muslim, tetapi pada masa sama media liberal berbahasa Inggeris tidak menimbulkan isu kedudukan Hamas itu, dan memberi liputan agak positif terhadap lawatan itu. Walau bagaimanapun, pihak yang menyokong parti pemerintah pula menunjukkan kenaifan apabila menerima bulat-bulat dakwaan positif berkaitan lawatan Najib itu, seperti berani menembusi kepungan Israel dan "menunjukkan perubahan positif kepada dasar luar Malaysia yang lebih merdeka dan bebas dari pengaruh Yahudi dan juga sekutunya Amerika." Penerimaan arus perdana politik Asia Barat terhadap Hamas berkait dengan perubahan sikap gerakan itu sejak tercetus kebangkitan Arab, perkembangan yang membenarkan pemulihan hubungan beberapa negara dengan Hamas, yang akhirnya membenarkan lawatan Najib itu. Kedudukan Hamas seperti sebelum ini, dengan label teroris dan peminggiran sepenuhnya tidak akan membenarkan banyak perkara yang telah berlaku sejak dua tahun lalu. Kedudukan itu juga tidak akan mendorong Najib membuat lawatan bertemu pemimpin Hamas, sejurus sebelum menyertai Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. Tidak dapat dibayangkan Najib mengambil risiko besar melawat Hamas sejurus sebelum satu pertemuan besar melibatkan kuasa-kuasa besar dunia (seperti WEF), ketika Hamas masih dipinggirkan sepenuhnya, misalnya, lima tahun dahulu. Setakat ini, kesan daripada lawatan ke Gaza itu telah memberi kesan positif kepada Najib, sebahagiannya hasil tindakan gopoh didasari sentimen oleh pesaing politiknya. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan