SIASAH |
Makna dan implikasi lawatan Najib ke Gaza Posted: 22 Jan 2013 10:50 AM PST Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah mencatat sejarah dengan melawat Gaza, wilayah Palestin yang dikuasai Hamas, gerakan Islam yang semakin meningkat naik pada masa ini. Selepas lawatan emir Qatar ke wilayah ini bulan Oktober tahun lalu, Najib kini mencatatkan namanya seiring dengan pemimpin berprofil tinggi di dunia Arab itu. Seorang lagi pemimpin serantau berpengaruh, Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan telah merancang melawat Gaza - lawatan yang berimplikasi politik luas - tetapi rancangan itu masih belum terlaksana. Palestin mempunyai kepentingan yang besar dalam politik dunia Islam, dan merupakan satu perkiraan penting dalam persaingan kuasa-kuasa serantau dunia Islam. Dari sudut kedudukan Hamas, lawatan Najib dilihat sebagai meningkatkan lagi kedudukan gerakan yang menguasai Gaza itu, hal yang sama disifatkan ekoran lawatan pemimpin Qatar ke Gaza hujung tahun lalu. Hamas yang dilabel teroris oleh Barat dan dipinggirkan menyaksikan peningkatan kedudukan sejak tercetus kebangkitan di dunia Arab lebih dua tahun lalu, sebahagiannya disebabkan tindakan pragmatik gerakan itu merapatkan diri dengan Qatar dan sekutu. Qatar sedang berperanan sebagai perantara mendamaikan dan menyatukan Hamas dengan Fatah, sebagai satu usaha dasar luar negara monarki itu untuk menyusun Asia Barat baharu dan pada masa sama meningkatkan pengaruh serantaunya. Hamas kini semakin diterima dalam arus perdana politik Asia Barat, termasuk oleh kuasa-kuasa Barat ekoran perubahan pragmatiknya, perkembangan yang pada masa sama menyaksikan Fatah berdepan pengaruh yang yang semakin terhakis pada masa ini. Lawatan pemimpin Islam secara eksklusif ke Gaza dan bertemu Hamas sukar untuk dibayangkan sebelum peralihan dalam Hamas ini berlaku. Dari sudut politik dalaman, lawatan itu menambahkan poin politik untuk Najib, dalam persaingan panjang melibatkan sentimen Palestin dalam politik Malaysia. Kehadiran Nasharudin Mat Isa, bekas timbalan presiden PAS yang kini memimpin sebuah pertubuhan bantuan Palestin dalam lawatan ini memperlihatkan kedudukan penting beliau dalam kalangan penasihat dalaman Najib, terutama berhubung isu-isu dunia Islam. Lawatan ini tidak dapat dielakkan daripada meningkatkan imej Najib berhubung dunia Islam, walaupun tidak hadir ke sidang kemuncak negara-negara berkecuali, NAM di Tehran, Iran tahun lalu, dipercayai atas pertimbangan politik melibatkan kuasa besar. Malaysia secara rasmi mengiktiraf kerajaan Pihak Berkuasa Palestin sebagai kerajaan Palestin, dan lawatan Najib ini hanya disifatkan sebagai lawatan kemanusiaan, dan tidak diperbesarkan seperti biasa. Berdasarkan pakaiannya - tanpa tali leher dan gaya yang lebih tidak formal - Najib juga memberi mesej tentang kedudukan lawatannya ke Gaza selama sehari itu. Entri di laman Facebook beliau menyusuli pertemuan dengan Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas di Gaza juga hanya sekadar menyebut "urusan di Gaza berjalan dengan selamat dan jayanya," tanpa penerangan lebih panjang. Dalam persaingan dalaman politik Malaysia, lawatan Najib ini merupakan satu tamparan kepada pesaingnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menunjukkan sikap lebih mesra dengan Israel melalui satu kenyataan dan hubungan dengan individu tertentu di peringkat antarabangsa. Najib dikecam hebat oleh Anwar dan partinya, PKR berhubung isu Palestin, dan disifatkan sebagai hipokrit kerana mengikut telunjuk Amerika Syarikat dan Israel ekoran kritikan terhadap kenyataan Anwar tentang keselamatan Israel. Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib dikecam ekoran hubungan dengan perunding Apco Worldwide yang dikaitkan dengan Israel oleh pembangkang, terutama PKR tidak lama selepas beliau menjawat jawatan perdana menteri. Walaupun dikaitkan dengan Israel melalui kempen berkaitan Apco itu, pemerintah mempunyai rekod bercampur-campur dalam hal Palestin. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini terlibat dalam pergerakan bantuan Palestin, dan menunjukkan sikap agak konsisten dalam hal Israel-Palestin. Najib kelihatan lebih berhati-hati dalam menangani hal berkaitan Palestin, dan lawatan ke Gaza ini ialah tindakan simboliknya yang paling jelas dalam menunjukkan sokongan kepada isu Palestin. Perkembangan terbaharu ini - yang setakat ini kelihatan sukar untuk diatasi pemimpin-pemimpin lain dalam politik Malaysia - mampu memberi kesan positif kepada Najib dan parti pemerintah dalam pilihan raya umum nanti, melibatkan pengundi Melayu Muslim. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan