Roslan SMS Corner |
Bunyi bising dari Kuil..... (23/1/13) Posted: 22 Jan 2013 07:41 PM PST Menurut akhbar The Star hari ini pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menarik balik notis yang ia berikan kepada Kuil Sri Maha Mariamman di Bangi Lama, yang sebelum ini telah mengarahkan pihak kuil berkenaan agar mengurangkan bunyi yang terbit dari kuil berkenaan serta menghentikan semua aktiviti keagamaan selepas jam 6 petang. Notis berkenaan awalnya menurut Yang Dipertua MPKj dikeluarkan ekoran aduan penduduk berdekatan. Walaubagaimanapun hasil rundingan pihak terlibat serta pemimpin tempatan akhirnya pihak MPKj bersetuju menarik kembali notis berkenaan. Saya percaya penarikan balik notis ini dibuat setelah semua pihak bertolak-ansur demi mengelakkan perkara ini dari merebak dan dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Di sinilah sikap toleransi penting khasnya dalam suasana masyarakat berbilang kaum dan agama seumpama Negara kita. Tempat-tempat ibadat termasuklah masjid, gereja , kuil, tokong dan lain-lain yang didirikan dengan kebenaran pihak berkuasa sewajarnya diberikan kebebasan menjalankan aktiviti masing-masing. Penduduk yang tinggal di kawasan ini seharusnya sedar bahawa institusi-institusi ini mengajak kepada kebaikan dan apabila semuanya baik maka masyarakat pun menjadi baik. Suka tidak suka pasti ada pihak yang terganggu dengan bunyi yang datang dari rumah-rumah ibadat ini. Mereka yang seumpama ini terkadang lupa bahawa kita hidup dalam Negara yang majmuk, lainlah kalau kita di Kelantan atau Terengganu dimana majoriti besar masyarakatnya adalah dari satu kaum dan agama, itupun tidak pernah berlaku kemarahan dan ketidapuasan hati sehingga mengakibatkan pihak berkuasa tempatan perlu mengeluarkan notis seumpama kes ini. Saya sendiri pernah mengalami pengalaman yang sama semasa menjadi ahli majlis di sebuah PBT di Selangor. Saya menerima aduan dari seorang pegawai pejabat wakil rakyat yang mendakwa menerima aduan dari seorang penduduk terhadap bunyi bising yang terbit dari corong pembesar suara sebuah masjid di kawasan saya. Sebagai ahli majlis boleh sahaja saya memanjangkan perkara ini kepada pihak PBT untuk mengeluarkan notis. Di sinilah kewarasan serta tolak-ansur perlu diutamakan. Saya memberi jawaban berikut kepada pegawai tadi: Izinkan saya menerangkan sedikit kepada saudara tentang realiti politik perkara ini. Ternyata kita sekadar menerima aduan dari seorang penduduk iaitu Puan xxx, saya sendiri menerima beberapa aduan dari penduduk Islam apabila sebuah persatuan mengadakan Hungry Ghost Festival di tapak letak kereta xxx semasa bulan Ramadhan lalu, menyanyi dan memain muzik ketika umat Islam sedang beribadat di malam bulan Ramadhan. Perkara ini sensitif dan perlu ditangani dengan penuh berhati-hati. Sebagaimana beberapa individu Muslim yang mengadu pada saya berkenaan Hungry Ghost tadi, saya menerangkan kepada mereka bahawa kita hidup dalam komuniti yang berbilang kaum dan agama. Kita perlu belajar bertolak-ansur dan menghormati satu sama lain. Bolehlah saya menasihati pihak masjid, saya pun penasihat Masjid xxx, tetapi aduan dari seorang penduduk bagi saya tidaklah begitu besar "weightage" nya untuk kita minta pihak masjid bertindak, JK masjid belasan orang ramainya, bayangkan jika ia bocor dan disebarkan pula oleh orang yang tidak bertanggungjawab akhirnya jadi bahan politik untuk serang kita. Saya akan cuba menasihati pihak masjid tanpa membangkitkan isu aduan Puan xxx, tetapi kita juga perlu ada mekanisma untuk menangani perkara-perkara seperti ini tanpa mencetuskan sensitiviti yang hanya akan merugikan kita di masa hadapan. Demikianlah sebahagian jawaban saya terhadap isu yang diajukan kepada saya itu. Diharapkan semua pihak menerima realiti kepelbagaian agama dan budaya dalam Negara kita ini dengan hati yang lapang dan terbuka. Kalau kita gagal bermakna kita akan mengundang perbalahan dan sengketa yang hanya akan merugikan semua pihak. |
Bilalah kan bebas Palestin (23/1/13) Posted: 22 Jan 2013 06:25 PM PST Tanpa mengira fahaman politik, (lawatan ini pasti dipolitikkan nanti) rakyat Malaysia pasti terharu dengan kunjungan Perdana Menteri kita ke Gaza yang mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi seluruh rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin. Simpati terhadap perjuangan Palestin sememangnya semulajadi bagi seluruh rakyat Malaysia di sini. Kita benci dengan tindakan kejam dan ganas rejim Israel terhadap penduduk Palestin dan penjajahan mereka ke atas bumi Palestin khasnya di Baitul Muqadis. Kita mahukan rakyat Palestin diberikan kebebasan menentukan nasib mereka sendiri dan setiap inci bumi mereka diserahkan kembali kepada mereka. Dalam kita berkeadaan demikian, rupanya sesama Palestin pun masih berbalah. Dalam keadaan Negara punah ranah dan rakyat sengsara, masih lagi tidak sekata.. Menurut The Times of Israel, yang turut dimuatkan oleh al Jazeera, Presiden Pentadbiran Palestin (yang berkuasa di Tebing Barat) mewakili PLO, Mahmoud Abbas, membantah lawatan PM Malaysia. Menurut akhbar berkenaan: The visit prompted a bitter protest from Palestinian Authority President Mahmoud Abbas, who said it undermined his status and that of the PLO as the representative of the Palestinian people. Abbas said he was seeking "clarifications" from the Malaysian government. Antara yang telah mengunjungi Gaza sebelum ini termasuklah Perdana Menteri Mesir,Emir Qatar, Menteri Luar Turki dan Presiden Tunisia pula pada bulan Febuari ini. Apa pun berlaku di sana kita mendoakan yang terbaik buat rakyat Palestin dan kita mendoakan agar Masjid al Aqsa dapat kembali ke tangan umat Islam. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan