bumiperak |
Tujuh dulang hantaran untuk Kelantan Posted: 22 Jan 2013 05:08 PM PST Negeri Kelantan ibarat anak dara sunti yang cantik menawan, jelingan matanya tajam bab pisau, lenggang lenggoknya bab bidadari istana, sesiapa memandang pasti tergila-gila lebih-lebih lagi lelaki hidung belang. Kerana kecantikannya yang luar biasa maka ramai lelaki mahu masuk meminang, antaranya dari Putrajaya. Tanggal 19 Januari datang satu rombongan, ketua rombongan, masih ganteng orangnya meskipun usia 50an, mulutnya merah bab delima merkah, rambutnya putih bagaikan kapas dijemur, berkata kepada si gadis ayu: jika menerima pinanganku akan ku berikan padamu tujuh dulang hantaran yang mahal-mahal, ada lagi pemberian istimewa lain yang tak disebutkan sekarang. Antara tujuh jenis hantaran itu, sebuah masjid berkubah emas, jalan raya dengan aspal daripada emas hitam import dari luar negara, stadium bolasepak berbumbungkan perak dan lain-lain. Stadium bolasepak diulangsebut beberapa kali kerana lelaki itu tahu si gadis ayu merupakan peminat tegar bolasepak. Bunyinya seperti hantaran yang akan dibawa Sultan Melaka ketika mahu meminang Tuan Puteri Gunung Ledang sepertimana diriwayatkan dalam hikayat Melayu klasik. Hanya sedikit berbeza ialah hantaran yang akan dipersembahkan Sultan Mahmud Shah adalah atas kemahuan Puteri Gunung Ledang, sementara hantaran lelaki dari Putrajaya, Najib Shah itu atas kehendaknya sendiri, belum tahu sang gadis menerima atau tidak. Puteri Gunung Ledang bukan sembarangan manusia, leluhurnya dari kaum bangsawan yang terhormat. Kepintaran akalnya melebihi Sultan Melaka. Puteri Gunung Ledang tak mahu menjadi permaisuri sultan yang sudah tua renta itu, lalu dicarinya helah supaya sultan membatalkan hasrat memperisterikannya dengan cara yang berhemah. Hati sultan harus dijaga, jangan sampai terluka atau gila, maruah sultan harus dipelihara, jangan sampai malu. Lalu Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat yang berat dengan harapan sultan tak sanggup menunaikannya. "Baginda sultan perlu menyediakan tujuh dulang hantaran, antaranya; jambatan emas dari Kota Melaka ke Gunung Ledang, jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati hama, 7 tempayan air mata anak dara, 7 tempayan air pinang muda dan satu mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu putra Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak. Demi cinta yang berkobar-kobar, sang sultan sanggup menunaikan sepertimana dipinta, kecuali semangkok darah Sultan Ahmad, sangat sukar baginya, mengenangkan itulah satu-satunya putra lelaki kesayangan baginda. Akhirnya hasrat mempersuntingkan Puteri Gunung Ledang hancur berkecai seperti kaca terhempas ke batu. Begitu juga dengan Kelantan, sekiranya lelaki ganteng dari Putrajaya itu benar-benar tergila-gilakan Kelantan, tak perlu hantar tujuh dulang hantaran, memadai dengan hanya satu dulang, iaitu Umno mesti terima Islam sebagai wadah perjuangannya!. |
You are subscribed to email updates from bumiperak To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan