Jumaat, 4 Januari 2013

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Risiko Pilih Anwar Sebagai PM - Tun Madey

Posted: 04 Jan 2013 12:17 AM PST

KUALA LUMPUR 4 Jan - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mengingatkan rakyat Malaysia mengenai risiko yang perlu ditanggung jika memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, Anwar akan melakukan apa sahaja demi mempertahankan kuasa politiknya sehingga boleh membawa kepada kemusnahan negara.

Tambahnya, Anwar akan memastikan Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya untuk merampas kembali kuasa waima terpaksa menggunakan cara jahat sekalipun, bahkan pegawai kerajaan akan diugut bagi menakutkan sesiapa yang cuba mengubah kembali kerajaan.


"Sekarang ini pun, kita lihat individu (Anwar) yang mendakwa memperjuangkan kebebasan bersuara tetapi mengambil tindakan saman untuk menutup mulut pengkritiknya.

Kuasa lain dalam kerajaan juga akan disalahgunakan. Nepotisme dan kronisme akan berlaku seperti dalam parti beliau (Anwar) ketuai," katanya di dalam entri terkini blognya, chedet.cc, semalam yang bertajuk 'Perubahan'.

Dr. Mahathir juga meminta rakyat Malaysia agar membuka kembali lipatan sejarah ketika krisis ekonomi pada tahun 1997-1998 lalu serta melihat daripada konteks cara pentadbiran BN yang cemerlang sepanjang pemerintahan negara berbanding Anwar yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Entri sama turut membidas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang menggunakan helah janji pilihanraya untuk menarik undi lantas menjadi ikutan parti pembangkang di Malaysia.



Awan Megah tidak layak untuk projek Puspahanas, kata Rafizi

Posted: 03 Jan 2013 10:34 PM PST

Gambaran artis Puspahanas: Pecah tanah dilakukan pada 21 November 2008 tetapi lokasi sebenarnya masih kekal misteri. — Arkitek Garis

PETALING JAYA, 4 Jan — Kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan pusat pengajian pertahanan negara tidak mempunyai rekod dalam pembinaan dan mempunyai keadaan kewangan yang teruk, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini.


Awan Megah Sdn Bhd, yang dimiliki oleh ketua wanita Umno Selangor Senator Datuk Seri Raja Ropiaah Abdullah, dianugerahkan kontrak untuk menyiapkan Pusat Pengajian Pertahanan Negara (Puspahanas) pada 2005 dengan pertukaran tanah seluas 80 hektar di Bukit Raja, Selangor, dan RM27 juta.

"Awan Megah cuma syarikat 'Ali Baba', sebab itu ia perlu melantik syarikat lain untuk menjadi rakan untuk membiayai dan menyiapkan projek," kata Rafizi ((gambar fail) ) dalam sidang media di sini.

Pengarah strategi PKR itu menerangkan status kewangan Awan Megah dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bahawa aktiviti terakhir syarikat tersebut pada 31 Disember, 1993, 12 tahun sebelum dianugerahkan tender Puspahanas.

Syarikat tersebut cuma mempunyai RM6,180 dalam bentuk aset, yang menyebabkan syarikat tersebut terpaksa mencari rakan lain dalam kewangan — iaitu GuppyUnip Sdn Bhd, syarikat membuat plastik.

Kemudahan kredit diberikan oleh United Overseas Bank (UOB) kepada GuppyUnip pada 21 July 2010 termasuk dana untuk Awan Megah bernilai RM59.25 juta, dan premium dari pertukaran tanah dari kerajaan negeri Selangor, dan kos untuk pembangunan kawasan tersebut.

The Malaysian Insider melaporkan pagi ini tentang projek Puspahanas bermula dari 21 November, 2008, tetapi lokasi projek tersebut masih lagi misteri, dan kemudian didapati terletak di tempat letak kereta di Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi di Presint 1 di Putrajaya.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/awan-megah-tidak-layak-untuk-projek-puspahanas-kata-rafizi/


SPR menipu untuk pastikan Umno menang

Posted: 03 Jan 2013 08:11 PM PST

SEREMBAN: Ahli Jawatankuasa Pemandu Himpunan Kebangkitan Rakyat , Hishamuddin Rais berkata pengunaan dakwat kekal masih tidak mampu menghalang penipuan pada hari mengundi.

Ini kerana sistem dan cara pengunaan dakwat itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbeza dengan yang dituntut Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat.


Dalam ceramah Pra Himpunan Kebangkitan Rakyat 'Menuju #KL 112-Sejuta Rakyat' di sini malam kelmarin, Hishamuddin berkata tuntutan Bersih ialah mahu pengunaan dakwat kekal pada kuku jari untuk menghalang pemilih mengundi berulang kali di pusat mengundi yang berbeza.

"Kita mahu selepas seseorang telah mengundi, maka dicalitkan dakwat kekal pada kuku jari pengundi tersebut sebagai tanda telah mengundi.
"Dengan cara ini pengundi ini tidak boleh masuk semula ke mana-mana pusat mengundi selepas itu.

"Tetapi SPR pula akan melaksanakan sistem yang tidak pernah diamalkan oleh mana-mana negara di dunia yang menggunakan sistem dakwat iaitu seseorang pengundi akan dicalitkan dakwat terlebih dahulu sebelum diberikan kertas undi untuk mengundi.

"Maknanya jika seorang itu merupakan pengundi hantu, maka beliau tetap boleh masuk ke pusat mengundi tanpa sekatan kerana sistem SPR itu sendiri memberi maksud bila kuku jari individu itu dicalit dengan dakwat kekal maka individu itu boleh mengundi.

"Kalau ada dakwat hitam kekal di kuku jari, anda akan diberi kertas undi. Orang akan berpusing-pusing untuk mengundi. Akidah SPR menipu untuk pastikan Umno menang.

"Maka desakan kami meminta SPR perkenalkan dakwat kekal sudah lari dari matlamat asal. Cara pelaksanaan dakwat kekal yang dilakukan oleh SPR ini memang tidak masuk akal sama sekali," kata Hishamuddin.

Hishamuddin berkata antara lapan tuntutan Bersih, dakwat kekal lah satu-satunya tuntutan yang dipenuhi oleh SPR. Malangnya itu pun dilaksanakan dengan tidak betul yang jelas untuk menyebelahi parti pemerintah.

Letak jawatan

Sementara itu bercakap berhubung Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 12 Januari ini; Hishamuddin dengan nada lantang mengingatkan orang ramai agar jangan takut turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 12 Januari ini.


"Jangan takut jatuhkan kerajaan. Yang dilawan Pakatan Rakyat bukan Umno dan kuncu-kuncunya tetapi tuan lawan satu sistem yang diwujudkan SPR untuk menangkan Umno.

"Ini belum kira dengan pendatang asing. Zaman takut sudah berakhir. Tahun ini kita tekad jatuhkan Barisan Nasional. Sudah 55 tahun kita ditipu dan dibodohkan. Kita pergi untuk bertindak. Rakyat wajib bangun," katanya.

Hishamuddin juga menggamatkan lebih 500 orang ramai yang hadir pada malam itu apabila berkata:

"Jika ayah-ayah dan ibu-ibu yang berada malam ini takut dengan ucapan saya, maka letaklah jawatan sebagai manusia."
Ucapan itu menyebabkan orang ramai ketawa besar.

"Saya begitu yakin kalau daftar pemilih bersih, Selangor tetap di bawah Pakatan Rakyat selepas PRU-13.
"Tetapi mereka merancang mengambil semula Selangor. Hasil kajian kerajaan Negeri Selangor, didapati kira-kira 134, 000 nama pengundi di Selangor tiada identiti jantina dan alamat lengkap.

"Contohnya nama Norizan dan beralamat Jalan Kelang sahaja.

"Penipuan dirancang untuk pastikan orang-orang jahat ini terus berkuasa. Bukan itu sahaja kematian di dalam balai polis bukan drama tetapi hakikat.

"Kalau tuan-tuan dan puan-puan tidak marah, maka letaklah jawatan sebagai manusia," kata Hishamuddin yang menyebabkan tapak ceramah gamat dengan gelak ketawa orang ramai.

BN dalam keadaan keliru

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dalam ucapan berkata kerajaan Barisan Nasional berada dalam keadaan yang keliru dengan kebangkitan rakyat yang semakin tidak boleh dibendung lagi.

"Mereka keliru dengan kebangkitan rakyat dan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

"Mereka panik dan tidak tahu hendak buat apa bila kita kumpul beramai-ramai di Kuala Lumpur pada 12 Januari ini.

"Ketika mereka keliru, kita harus keluar beramai-ramai memberi isyarat kepada mereka dan SPR bahawa daftar pemilih harus dibersihkan dan pilihan raya harus dikendalikan dengan adil dan telus.

"Saya yakin sejuta rakyat akan berjaya dikumpulkan pada 12 Januari ini," katanya.

Turut berceramah ialah Adun Teja, Chah Li Kang; Khalid Ismath dari Solidariti Mahasiswa Malaysia dan S Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/01/04/spr-menipu-untuk-pastikan-umno-menang/



Mahathir - broker kuasa dalam UMNO?

Posted: 03 Jan 2013 05:50 PM PST

ULASAN SEMASA: BROKER KUASA DALAM UMNO – terus diam. Banyak laman pro pembangkang telah menggambarkan bahawa Deepak – Musa Hassan serta isu-isu yang menggegarkan BN/UMNO hari ini datang dari broker kuasa dalam UMNO sendiri. Pendedahan demi pendedahan ini banyak melibatkan isteri Perdana Menteri sendiri dan ini amat jelas satu usaha kolektif untuk mencalar reputasi Perdana Menteri.

Matlamat hujungnya adalah untuk mendesak PM Najib meletakkan jawatan sebelum PRU 13 beralaskan teori ini akan dapat menyelamatkan BN dan UMNO. Namun adakah dengan perletakan jawatan PM ini akan menyelamatkan UMNO/BN? Adakah broker kuasa ini tidak takut kesan buruk terhadap UMNO seperti apa yang berlaku pada PRU 12.


Persoalan demi persoalan muncul dalam pendedahan Deepak ini dan siapa di belakang Deepak. Persoalan ini penting dalam membicarakan politik tetapi dalam mencari kebenaran mengenai isu rasuah dan tindakan yang melibatkan rasuah – maka adalah perlu jabatan-jabatan berkenaan menyiasat dengan segera isu yang dikatakan melibatkan pembelian kapal selam dan pembunuhan Altantuya. Isu ini bagi sesetengah pihak sudah lapuk tetapi kehadiran tuduhan Deepak sehingga melibatkan adik PM Najib sendiri adalah tuduhan besar yang mesti diselesaikan.

Berbalik kepada topik BROKER KUASA dalam UMNO – adakah tuduhan ini benar? Adakah tuduhan mahu menjatuhkan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia ini benar dan dilakukan oleh broker kuasa dalam UMNO. Siapa broker kuasa ini. Dari media pro pembangkang TUN DR MAHATHIR adalah broker kuasa yang dimaksudkan ini. Lihat artikel ini:http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=41611:deepak-musa-senjata-dr-m-dalam-perang-gerila-terhadap-najib-rosmah?&Itemid=2 Dalam artikel ini – Dr Mahahtir adalah kuasa yang berada di belakang Deepak untuk menjatuhkan Najib dan Rosmah. Artikel itu juga mengaitkan keberuntungan Tan Sri Muhyddin dalam isu ini. Spekulasi ini terus berlaku dengan tindakan diam Dr Mahathir mengenai tuduhan beliau adalah broker kuasa yang mahu Najib meletakkan jawatan sebelum PRU 13. Tekanan ini semakin ketara dan pendedahan demi pendedahan mengenai Rosmah yang dilakukan diberitakan akan terhenti sebaik sahaja Najib meletak jawatan.

Spekulasi ini terus berlaku dan BN/UMNO terus menjadi mangsa pada setiap pendedahan ini. Adakah benar BROKER KUASA ini merasakan UMNO akan selamat dengan Najib meletak jawatan? Penjelasan perlu dan isu pendedahan Deepak ini perlu disangkal atau UMNO akan terus berdepan dengan isu yang akan menghancurkan BN secara keseluruhan.

http://umno-reform2.com/front/index.php?option=com_content&task=view&id=1896&Itemid=58#JOSC_TOP


Kerajaan Pakatan Disabotaj Dalam Krisis Air Selangor

Posted: 03 Jan 2013 04:04 PM PST

Tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menunding jari kepada Kerajaan Selangor bagi menutup kegagalan syarikat itu membekalkan air kepada pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur amat tidak bertanggungjawab. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, syarikat itu mempunyai obligasi untuk menyelenggarakan semua aset dan fasiliti pengagihan air seperti yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan SYABAS.

"Sejak 1 Januari 2005, semua aset dan fasiliti pengagihan air milik Kerajaan Negeri Selangor diserahkan untuk dikendalikan sepenuhnya oleh SYABAS termasuklah Rumah Pam Wangsa Maju.


Oleh itu, tiada sebab mengapa SYABAS boleh menuding jari kepada kerajaan negeri, " kata Menteri Besar.

Terdapat lima unit pam Rumah Pam Wangsa Maju dan siasatan Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor pada 2 Januari lalu mendapati bahawa gangguan bekalan air yang melanda Gombak dan Kuala Lumpur berpunca kegagalan kelima-lima pam tersebut.

"Hasil lawatan ke Rumah Pam Wangsa Waju oleh Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor pada 2 Januari 2013 dan melalui pemerhatian dari buku log operasi pam untuk tahun 2012, didapati bahawa pam nombor dua telah rosak melebihi setahun dan tidak pernah dibaiki," kata Menteri Besar.

Menteri Besar berkata, hasil siasatan jawatankuasa itu telah membuat kesimpulan bahawa SYABAS;

1. Gagal melaksanakan penyelenggaraan ke atas aset-aset dan fasiliti bekalan air yang telah sepenuhnya diletakkan di bawah pengendalian SYABAS bermula dari 1 Januari 2005 walaupun Perjanjian Konsesi memperuntukkan bahawa adalah menjadi obligasi SYABAS untuk menyelenggarakan semua aset dan fasiliti bekalan air

2. Gagal mengenal pasti kerosakan pam-pam yang terdapat di Rumah Pam berkenaan dan kegagalan mengenal pasti kerosakan ini telah menyebabkan kerosakan lebih besar lagi berlaku dan seterusnya menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna

3. Gagal mengambil tindakan segera dalam membaik pulih kerosakan pam-pam tersebut

4. Gagal memaklumkan kejadian sebenar kerosakan yang berlaku kepada Kerajaan Negeri Selangor sebaliknya menggunakan isu ketidakcukupan air untuk menimbulkan suasana panik di kalangan pengguna.

Menteri Besar berkata, gangguan bekalan air kali ini adalah kemuncak kepada siri-siri kegagalan SYABAS memenuhi tanggungjawab kepada pengguna seperti yang termaktud dalam Perjanjian Konsesi .

Justeru, Kerajaan Selangor mendesak kerajaan Persekutuan membenarkan penstrukturan semula industri air diteruskan mengikut Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA).

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR


Saman Fitnah - Papa Gomo Kencing Sudah Tak Lawas.

Posted: 03 Jan 2013 08:08 AM PST

Mahkamah keluar sapina ke atas Zahid Hamidi

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah mengeluarkan sapina kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) agar datang ke mahkamah 6 Januari ini.

Sapina itu dikeluarkan oleh mahkamah atas permohonan Datuk Husam Musa yang menyaman blogger Papa Gomo.

"Mahkamah telah meluluskan permohonan saya untuk sapina Menteri Pertahanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Ini kerana, Ahmad Zahid kenal siapa Papa Gomo ini apabila beliau membenarkan blogger ini memasuki kapal selam Scorpean sebelum ini," kata Husam kepada Harakahdaily.


Husam menyaman Papa Gomo ekoran satu laporan fitnah yang dibuat blogger Umno itu melalui blognya.

Writ saman tersebut difailkan Husam melalui peguam Hisham Fauzi baru-baru ini dengan menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta, memohon maaf secara bertulis, gantirugi teladan, gantirugi melampau dan gantirugi punitif.

Selain itu injunksi menghalang defendan atau ejen atau pembantu berkomunikasi, memberi komen, mengulangi penerbitan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Defendan melalui blog; http://www.papagomo.com bertajuk 'gambar ekslusif bakal MB Kelantan pimpin tangan China Doll' diterbit pada 6 Disember tahun lepas cuba mengaibkan Husam dengan menyiarkan gambar tersebut.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri menyifatkan gambarnya dimanipulasikan sehingga memberikan gambaran plaintif sedang berpimpin tangan dengan seorang perempuan Cina.

Defendan atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris beralamat di Villa Apartment, Jalan 5/23 e, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur antara lain turut menulis;

"Tapi Kawe yakin rakyat Malaysia bijok dan cerdik bilo keleh gambar ni. Ambo yakin sedikit sebanyak rakyat Kelantan akan buko mato kenal siapo hok dalam gambar ni."

Dalam writ samannya Husam menjelaskan gambar itu sebenarnya menunjukkan beliau ketika itu bersama rombongan kerajaan Kelantan ke China sedang berjalan keluar dari sebuah bangunan dengan diikuti oleh jurubahasanya, seorang perempuan warganegara China.

Plaintif sebelum ini mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut supaya memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi. Bagaimanapun defendan gagal dan enggan berbuat demikian.


Deepak Menyerahkan Dokumen Kepada Orang Ketiga

Posted: 03 Jan 2013 01:30 AM PST

Saya sedia maklum reaksi Deepak Jaikishan mengenai dokumen-dokumen yang membabitkan syarikat-syarikat beliau yang kini didedahkan kepada umum.

Saya ingin mengesahkan beberapa perkara:

1. Saudara Deepak memang menyerahkan sendiri dokumen-dokumen itu kepada individu tertentu yang dihubunginya sebelum ini dengan harapan ia akan dibawa oleh pimpinan KEADILAN;

2. Beliau sebelum ini mendakwa dokumen-dokumen itu adalah bukti yang beliau ada mengenai salahlaku dan rasuah membabitkan Dato' Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor;


3. Selepas beberapa ketika, dokumen-dokumen itu diserahkan kepada saya oleh individu terbabit untuk disemak dan dipastikan kesahihannya, seperti amalan biasa di dalam KEADILAN;

4. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan kerana berpendapat ia tidak mempunyai unsur kepentingan awam sekiranya seseorang berbelanja besar memberi hadiah kepada seorang VIP tanpa ada bukti ada habuan atau projek yang terlibat;

5. Berikutan tindakan Boustead Holdings Berhad mengumumkan akan membayar RM160 juta untuk membeli syarikat milik Saudara Deepak dan tanah dari Awan Megah Sdn Bhd, saya berpandangan ia membuka dimensi baru bahawa dakwaan Saudara Deepak sebelum itu berkaitan dengan kepentingan awam;

6. Selepas menyemak dokumen-dokumen itu dan mendapatkan maklumat tambahan, saya yakin bahawa ia ada asas kukuh untuk disiasat oleh pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, saya berpendapat kenyataan-kenyataan Saudara Deepak wajarlah dijadikan bukti dalam siasatan yang akan datang oleh pihak berkuasa memandangkan dokumen-dokumen itu melibatkan syarikat beliau dan urusniaga syarikat beliau (termasuklah slip pemindahan wang dari akaun syarikat beliau). Fakta-fakta ini tidak disanggah atau dinafikan oleh Saudara Deepak, sekadar enggan mengulasnya buat ketika ini.

Saya akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Saya juga telah berbincang dengan individu yang mendapat dokumen-dokumen ini dari Saudara Deepak dan beliau bersetuju untuk memberi keterangan bagi membuktikan bahawa dokumen-dokumen ini diperolehi dari Saudara Deepak.

Jelasnya, tindak tanduk dan tingkah laku Saudara Deepak sebelum ini tidak berkait dengan KEADILAN. Ia menyangkal percubaan Umno yang menuduh kononnya ini satu perencanaan oleh KEADILAN. Saudara Deepak sendiri menyatakan kekecewaan beliau kerana saya dan beberapa pimpinan KEADILAN dilihatnya keberatan untuk duduk berbincang dengan beliau.

Oleh yang demikian, saya telah berbincang dengan pimpinan parti dan bersetuju bahawa saya boleh bertemu dengan Saudara Deepak untuk meneliti bukti-bukti yang beliau ada, seperti yang didakwa sebelum ini.

Saya akan mengaturkan satu pertemuan dalam masa terdekat untuk mendengar perancangan beliau dan meneliti bukti-bukti yang didakwa beliau. Semoga ini akan membantu merungkai pelbagai persoalan mengenai integriti Dato' Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang semakin menjadi isu hangat.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
3 JANUARI 2013

http://rafiziramli.com/2013/01/deepak-menyerahkan-dokumen-kepada-orang-ketiga-pihak-berkuasa-wajar-siasat/


Tiada ulasan: