Blog-list Malaysia |
- Peguam dakwa polis cuba tutup kes kematian Sugumar
- Isu ganas Perkasa membunuh harapan BN
- Billboard Pakatan Dibakar Lagi
- Calon PRU13 - 4 Pemimpin Besar Umno Kantoi Saringan SPRM
- Polis Didakwa Belasah Lelaki India Hingga Mati
- Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap 40,000 Warga Sabah Dipindah Mengundi Di Selangor-Lajim
Peguam dakwa polis cuba tutup kes kematian Sugumar Posted: 24 Jan 2013 10:34 PM PST Pihak polis telah dituduh cuba menutup kes kematian pengawal keselamatan Sugumar Chelliah, yang didakwa digari, berlumur dengan serbuk kunyit dan dipukul oleh empat anggota polis. "Kami merujuk kepada dakwaan ketua polis Kajang bahawa polis tidak memukul C Sugumar hingga mati dan dia meninggal dunia akibat serangan jantung," kata peguam N Surendran dan Latheefa Koya, yang mewakili keluarga mangsa, dalam satu kenyataan pagi ini. Mereka mendakwa kenyataan itu sebagai cubaan terang-terangan oleh polis untuk menutup kes itu. Menurut peguam berkenaan, saksi-saksi mendakwa melihat kejadian itu, tetapi polis tidak mengambil kenyataan mereka. "Tiga saksi telah tampil memberi keterangan bahawa Sugumar telah dikejar oleh polis, digari, dipukul dan berlumur dengan kunyit. "Bagaimana polis boleh mendakwa bahawa tidak ada unsur janayah, sedangkan mereka tidak telahpun merekodkan kenyataan ketiga-tiga saksi berkenaan?" Semalam polis mengklasifikasikan kes Sugumar sebagai 'kematian mengejut' dan bedah siasat menunjukkan dia mengalami saluran jantung tersumbat dan tiada sebarang kecederaan lain. Peguam berkenaan bagaimanapun bertegas bahawa mereka telah meneliti luka pada si mati "konsisten dengan berlakunya pergelutan". http://www.malaysiakini.com/news/219876 |
Isu ganas Perkasa membunuh harapan BN Posted: 24 Jan 2013 08:49 PM PST Saya mempunyai pendapat yang akhirnya Dr Mahathir dan Perkasa lah menjadi penyebab lunturnya sokongan rakyat terhadap BN khususnya UMNO. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menjawab persoalan yang dikemukakan kepada saya kenapa saya tidak pernah memberikan komen terhadap Perkasa sedangkan Perkasa itu bukannya NGO yang sejati tetapi ia merupakan cabang UMNO pada hakikatnya. Ia sesungguhnya badan politik yang aktif. Sekarang ini ternyata yang Perkasa itu sedang memainkan isu keagamaan pula dengan seruan untuk membakar kitab Bible yang berbahasa Melayu yang menggunakan nama Allah. Perkasa membuat tuduhan yang pihak Kristian telah mengedarkan kitab Bible kepada murid-murid sekolah dan ini merupakan tuduhan yang bersifat jauh dari kebenarannya. Tetapi permainan politik pertubuhan itu menyebabkan Perkasa telah begitu dibenci oleh orang ramai dan ia sekali gus meruntuhkan saki-baki kuasa dan sokongan rakyat terhadap UMNO itu. Penaung Perkasa, Dr Mahathir juga akhir-akhir ini tidak lagi bersifat sebagai seorang negarawan dan masih bermain api dalam politik negara. Tindakan beliau memalitkan nama baik Tunku Abdul Rahman yang sudah lama meninggalkan kita merupakan satu tindakan Mahathir yang agak keterlaluan dan tidak dapat di terima oleh rakyat yang berterima kasih di atas pengorbanan beliau menyudahkan usaha tuntutan kemerdekaan negara kita dahulu. Mahathir telah menyamakan beliau seperti Tunku yang juga telah memberikan kerakyatan kepada sejuta orang bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan dahulu. Tidak payah diulangi isu ini kerana saya telah menulis tentangnya dalam posting saya yang lalu. Hanya kalau saya hendak sebut hanyalah perbezaan di antara Mahathir dan Tunku itu ibarat langit dengan bumi jauhnya. Tunku semasa akhir hayatnya telah terbukti tidak mengambil kesempatan terhadap kekayaan negara dan beliau tidak meninggalkan apa-apa. Begitu jugalah ahli-ahli keluarga beliau yang tidak mempunyai harta bergunung-gunung tingginya. Sebaliknya Mahathir telah menggunakan kuasa dan pengaruh membina 'empire' perniagaan anak-anak beliau dan mengambil kesempatan dengan tiada batasnya terhadap peluang perniagaan. Sebagai seorang yang hidup dalam keluarga istana dan keluarga 'aristocrat' Tunku merupakan seorang yang paling 'magnanimous' dan tidak mengambil kesempatan di atas kuasa yang ada ditangan beliau selama 15 tahun beiau menerajui kepimpinan negara. Saya selalu menyebut perbezaan di antara dua manusia itu adalah dari cara seseorang itu dibesar dan dididik oleh keluarga masing-masing. Orang tua-tua dahulu selalu mengingatkan kita untuk memilih latar belakang keluarga dan darah yang mengalir di dalam naluri orang pilihan kita itu. Walaupun UMNO telah berusaha untuk mengembalikan sokongan ramai terhadapnya tetapi sikap 'panjang muncung' Dr Mahathir dan Presiden Perkasa itu sendiri telah menjatuhkan imej UMNO dan BN dengan begitu teruk sekali. Akhirnya Perkasa telah menjadi penyebab UMNO sehari dua ini begitu buruk persepsi rakyat terhadapnya. Kata-kata Dr Mahathir menambahkan lagi kesakitan yang dihadapi oleh UMNO yang sedang terkial-kial untuk mendapatkan sokongan rakyat sekarang ini. Sepatutnya UMNO menganggap Dr Mahathir ini sebagai garam sahaja. Garam ini penting, tetapi tidak boleh digunakan dengan banyak. Jika dibubuh garam terlalu banyak ia akan merosakan masakan kita. Garam ini hanya perlu di gunakan setakat secukup rasa sahaja tidak boleh banyak-banyak. Tetapi Dr Mahathir bercakap terlalu banyak sehinggakan segala usaha yang dibuat oleh UMNO untuk memulihkan imejnya telah jatuh dengan teruknya di mata rakyat. Tetapi apakan daya. UMNO tidak boleh menguasai Dr Mahathir kerana Dr Mahathir yang sedang berusaha untuk menguasai UMNO. Dr Mahathir tidak akan sihat tubuhnya kalau tidak bercakap. Semua kata-katanya menyebabkan UMNO jatuh kredibilitinya dan membawa musibah kepada parti yang telah uzur itu. Sesungguhnya sifat celupar yang berlebihan oleh Dr Mahathir dan Ibrahim ini memberikan faedah yang besar kepada Pakatan Rakyat. Dalam keadaan pilihanraya sudah begitu hampir ia terlalu suntuk untuk BN memperbetulkan segala kesalahan Dr Mahathir dan Ibrahim Ali terhadap UMNO. Masalah yang ditimbulkan oleh Perkasa dan kata-kata Mahathir akhir-akhir ini mendapat tentangan dari komponen Barisan Nasional sendiri. MIC begitu lantang membidas Ibrahim Ali dan Dr Mahathir. Pemuda MIC telah mendesak agar Ibrahim Ali di tahan untuk dibicarakan di atas berbagai-bagai isu yang merbahayakan keselamatan negara yang disebabkan oleh Ibrahim Ali. Gerakkan dan berbagai-bagai lagi pertubuhan NGO yang mengeluarkan kenyataan meminta tindakan undang-undang terhadap Presiden Perkasa ini. Hakikatnya BN akan diselubungi oleh masalah dalamannya sendiri serta masalah-masalah yang di timbulkan oleh pertubuhan-pertubuhan dan individu-individu yang berpihak kepada BN itu sendiri. Selama ini BN telah memasang terlalu banyak jerat untuk memerangkap Pakatan Rakyat tetapi oleh kerana terlalu banyak jerat-jerat itu dipasang maka mereka (BN) terjerumus ke dalam jerat-jerat itu sendiri. Pendeknya apa yang parti-parti dalam Pakatan Rakyat perlu lakukan hanyalah membuat persediaan rapi bagaimana hendak mentadbir negara dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh UMNO dan BN sekian lama itu. Berikanlah persekitaran politik yang baik dan nyaman untuk rakyat yang sudah terlalu lama menghadapi kecelaruan yang dilakukan oleh BN selama ini. Pakatan rakyat khususnya kepada kepimpinan tertingginya mesti sedar yang BN sedang melakukan apa sahaja untuk memecahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya di antara PAS dan DAP. Bagi BN apabila pecah sahaja perhubungan di antara PAS dan DAP maka BN akan mendapat kemenangan walaupun kemenangan yang tipis. Jagalah perhubungan di antara PAS dan DAP dengan baik kerana perpecahan di antara dua parti ini merupakan resepi yang paling baik untuk BN dalam menghadapi pilihanraya ini. Jauhi diri dari membuat kenyataan yang mudah dimainkan oleh UMNO terutamanya. Insyaallah UMNO tidak akan berjaya untuk menyempurnakan niat buruknya terhadap Pakatan Rakyat itu dan Pakatan akan menjadi kerajaan buat kali pertamanya dalam sejarah kemerdekaan negara kita. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/ |
Billboard Pakatan Dibakar Lagi Posted: 24 Jan 2013 04:47 PM PST (Penasihat MTD Lenggeng, Zulkefly Mohamad Omar (ketiga kiri) bersama AJK MTD PAS Lenggeng dan AJK PAS Kampung Sungai Jai di hadapan Billboard 'Janji Pakatan Rakyat' yang dibakar) SEREMBAN: Sebuah lagi Billboard PAS yang dibakar di Negeri Sembilan iaitu di Kampung Sungai Jai, Lenggeng di bakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kejadian disedari oleh seorang penyokong PAS, Adnan Mohamad pada pukul 11.30 pagi. Billboard 'Janji Pakatan Rakyat' tersebut baru sahaja didirikan tiga hari sebelum kejadian di hadapan kediaman Adnan. Penasihat MTD Lenggeng, Zulkefly Mohamad Omar berkata tindakan ini melihat betapa 'desperate' dan takutnya pihak tertentu terhadap janji Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke 13. "Jelas bahawa Pakatan Rakyat lebih awal kemukakan Manifesto berbanding Barisan Nasional. Ini bukti kita telah bersedia untuk tunaikan janji negara berkebajikan pada rakyat. "Kita sentiasa katakan kita tidak amalkan politik rosakkan harta milik parti yang sah, kerana Malaysia sebuah negara demokrasi yang beri peluang kepada semua parti politik untuk memberi penerangan dan menyatakan apa yang berlaku," kata Zulkefly yang juga AJK PAS Pusat. Berikutan kejadian itu Timbalan Ketua Cawangan PAS Kampung Sungai Jai, Ibrahim Jalil membuat satu laporan polis di Balai Polis Lenggeng. |
Calon PRU13 - 4 Pemimpin Besar Umno Kantoi Saringan SPRM Posted: 24 Jan 2013 03:56 PM PST SHAH ALAM – Beberapa parti politik dijangka terpaksa menggugurkan nama-nama besar daripada menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Pengguguran itu tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian tapisan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mempunyai masalah dengan undang-undang. Antara nama-nama besar yang disebut sebagai mereka yang dijangka tidak akan dicalonkan semula akibat masalah berkenaan ialah seorang menteri besar, seorang ketua menteri dan dua pemimpin tinggi sebuah parti. Difahamkan, perkembangan terbaru ini disedari setelah urusan awal tapisan senarai calon yang diserahkan beberapa parti kepada SPRM untuk tapisan menjelang PRU13 selesai, baru-baru ini. Menurut sumber yang boleh dipercayai, ratusan nama calon sudah diserahkan kepada SPRM dan berikutan tapisan yang dilakukan, beberapa nama-nama besar telah gagal saringan. Berdasarkan hasil ujian tersebut, parti-parti yang terlibat telah dinasihatkan tidak meletakkan nama-nama besar yang bermasalah itu sebagai calon mereka. Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit. Ketika dihubungi Sinar Harian, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdul enggan memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut. Beliau sekadar menegaskan bahawa Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM masih membuat tapisan ke atas senarai calon yang dihantar parti-parti politik. Katanya, parti-parti yang akan meletakkan calon dalam PRU13 masih terus menghantar nama-nama calon masing-masing untuk tapisan dan ada yang akan terus menghantar senarai tersebut walaupun selepas Parlimen dibubarkan nanti. |
Polis Didakwa Belasah Lelaki India Hingga Mati Posted: 24 Jan 2013 08:28 AM PST Seorang pengawal keselamatan dalam keadaan bergari yang dikejar oleh empat anggota polis telah dibelasah hingga mati bersama-sama sekumpulan 20 orang samseng di Hulu Langat semalam, dakwa seorang saksi hari ini. Walaubagaimanapun punca anggota polis cuba menahan mangsa berusia 40 tahun C Sugumaran masih belum diketahui. Beliau didapati dalam keadaan berbogel dan bergari, menurut saksi. Menurut saksi yang hadir di hospital hari ini, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6.30 petang semalam. Sugumaran dilihat melarikan diri daripada empat anggota polis di dalam dua buah kereta peronda di jalan utama yang berjarak lima minit dari rumahnya. Keadaan trafik ketika itu sesak menyebabkan anggota terbabit memberhentikan kenderaan mereka dan mengejar Sugumaran dengan berlari. Selepas menangkap dan mengari Sugumaran, hampir 20 orang daripada restoran berhampiran menyertai anggota polis tersebut dan meneruskan serangan keatas mangsa. "Polis memijak leher Sugumaran," kata R Moohanarajan kepada The Malaysian Insider di Hospital Serdang hari ini. "20 ke 30 orang ramai memakai baju biasa membelasah mangsa. Dia terbaring dengan tangannya bergari di belakang," tambah Moohanarajan yang merupakan jiran Sugumar. Saksi ditempat kejadian itu berkata insiden tersebut berlaku hampir 10 minit antara 6.30 petang semalam berhampiran tanah perkuburan Taman Perkasa di Batu 12, Hulu Langat. Hampir 20 orang terdiri daripada keluarga Sugumaran, saudara dan jiran berkumpul di hospital sejak 9 pagi dan meminta untuk melihat mayat mangsa. Emak mangsa, K. Manimagalay hanya dibenarkan untuk melihat mayat anaknya enam jam kemudiaan pada 3.10 petang. Beliau teresak-esak menangis selepas keluar dari bilik mayat dan terpaksa ditenangkan oleh adik lelakinya. Pertengkaran berlaku apabila Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam menjerit: "Gari masih dibadan. Celaka! Dah mati tapi masih gari. " Orang ramai mula menjerit marah dengan lima anggota polis cuba mengawal keadaan diluar. Moohanarajan, seorang pengganggur berkata dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli permainan video telah melihat anggota polis mengejar Sugumaran kemudiaan membelasahnya, menggarinya dan kemudiaan membaling serbuk kunyit ke muka mangsa. Beliau menambah polis foreksik hanya datang pada jam 11 malam untuk mengalihkan mayat mangsa ketika hujan turun. Manimagalay berkata anak bongsunya Sugumaran tidak memiliki sebarang rekod jenayah. "Dia tidak pernah mencuri. Dia tidak membunuh sesiapa.... Orang ramai berkata dia bergaduh dengan warga Nepal lagipun," kata beliau kepada wartawan. Ibu kepada tiga anak tersebut juga berkata Sugumaran mengalami sakit mental tetapi tidak menyatakannya dengan jelas. Rakan Sugumaran, T. Panirselvam berkata Sugumaran seorang yang panas dan sering bertindak secara melulu jika diusik. "Mungkin dia tertekan," kata Panirselvam, sambil menambah ibunya sendiri pernah membuat laporan polis keatas Sugumaran beberapa tahun lalu tetapi tidak menyatakan puncanya. Peguam keluarga Sugumaran, N. Surendran memberitahu hari ini selepas melihat mayat mangsa beliau mendapati kaki kiri mangsa tercedera dan terdapat banyak parut yang menunjukkan "dia telah ditolak jatuh". Surendran juga menggesa siasatan segera oleh pihak polis dan menggantung tugas pegawai polis yang terlibat dalam insiden. Keputusan bedah siasat masih belum lagi dikeluarkan pada ketika ini. |
Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap 40,000 Warga Sabah Dipindah Mengundi Di Selangor-Lajim Posted: 24 Jan 2013 03:40 AM PST SHAH ALAM, 24 JAN : Kerajaan Negeri Selangor diseru mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan wujudnya kira-kira 40,000 'warga Sabah' yang dipindahkan sebagai pengundi di Selangor. Mantan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin mendakwa, 'warga Sabah' itu majoritinya bukan yang berasal atau lahir daripada negeri itu tetapi pendatang asing yang diberi taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan. Katanya, daripada jumlah itu hanya kira-kira 20-30 peratus adalah warga Sabah yang sebenar. "Pihak Kerajaan Selangor perlu meneliti jika ada ruang-ruang dalam perundangan untuk mendapatkan proses injuksi atau sebagainya kepada mereka ini," kata Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort ketika dihubungi TVSelangor. Ujar beliau lagi, jentera Pakatan Rakyat (PR) di Selangor perlu memperhebatkan usaha dan gerak kerja untuk mengenalpasti 40,000 'warga Sabah' itu dengan memberikan penerangan agar mereka tidak dipergunakan oleh BN. "Tidak mustahil jika mereka-mereka ini diberikan penjelasan dan penerangan maka mereka akan berpihak kepada kita (Pakatan Rakyat). "Sebab mereka hanya dipergunakan sahaja oleh BN untuk mendapatkan kuasa. "Selepas itu mereka akan diabaikan dan tidak lagi diberi perhatian oleh BN jika berkuasa nanti," katanya.-tvs |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan