Mohammed Morsi KAHERAH - Presiden Mesir, Mohammed Morsi mengisytiharkan negara itu kini menuju "era baru" kerana perlembagaan yang diterima baru-baru ini menjamin kesaksamaan dan meletakkan kuasa di tangan anggota perundangan, bukannya presiden.

Beliau mengatakan demikian dalam ucapan sulungnya semalam iaitu tiga hari selepas menurunkan tandatangan ke atas perlembagaan baru.

Perlembagaan kontroversi, yang diterima menerusi referendum baru, dengan 63 peratus menyokong, kini menjadi undang-undang baru negara benua Afrika itu.

"Kini sudah tidak ada kezaliman, diskriminasi atau sudah tidak ada ketidakadilan sosial," kata Mohammed ketika berucap di hadapan anggota dewan tinggi Parlimen, ketua parti-parti politik, orang kenamaan dan diplomat di sini, semalam.

Mohammed yang menyandang jawatan presiden sejak Jun lalu, yang dipilih dalam pilihan raya bebas pertama sejak Hosni Mubarak digulingkan awal 2011 berkata:

"Setiap rakyat tidak kira kelas mereka atau apa yang percaya atau kedudukan politik mereka, kesemua adalah sama rata di bawah undang-undang dan di bawah perlembagaan ini."

"Mesir tidak boleh dibina oleh segelintir rakyat manakala yang lain pula ketinggalan di belakang. Mesir adalah untuk setiap rakyat Mesir.

"Kebebasan adalah untuk semua, tanpa tiada yang terkecuali. Dan, demokrasi adalah hasil usaha setiap orang selepas kejayaan revolusi 25 Januari (2011)," kata beliau.