BATU PAHAT – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa PKR semakin tergugat sehingga memaksa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membawa bekas pemimpin luar untuk meyakinkan ahli parti pembangkang itu.

Beliau berpendapat, tindakan itu menunjukkan Anwar mulai panik, terutamanya apabila peringkat akar umbi Pas serta intelektual Islam mula mempertikaikan kepimpinannya untuk menjadi perdana menteri, jika Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, Anwar bimbang dengan situasi itu sehinggakan membawa bekas Presiden Indonesia, Prof Dr Ir Bacharuddin Yusuf Habibie atau lebih dikenali BJ Habibie ke Universiti Selangor (Unisel) kampus Shah Alam, kelmarin.

"Dibawanya Habibie untuk merasionalkan apa yang berlaku di Indonesia semasa zaman reformasi.

"Namun sebenarnya, Anwar bimbang kehilangan sokongan akar umbi Pas dan golongan intelektual Islam, " katanya selepas majlis penyerahan Tabung Bantuan Palestin di Kampung Petani, semalam.