Murum adalah kawasan pedalaman dipenuhi hutan khatulistiwa dan mengambil masa perjalanan selama lebih empat jam dari pekan Bintulu, Sarawak.

NONEAtas nama pembangunan, kerajaan negeri Sarawak bertindak
memajukan Murum dengan meluluskan lesen pembalakan, membenarkan tanaman kelapa sawit diusahakan dan kini melaksanakan projek empangan hidroelektrik Murum.

Pada masa sama, kawasan itu juga menempatkan lapan kampung rumah panjang kira-kira 1,400 etnik Penan.

Berhadapan dengan penempatan semula akibat projek empangan Murum, mereka kini bertindak menghadang jalan masuk ke projek empangan berkenaan.

Wartawan Malaysiakini berkunjung ke Murum dan menemubual etnik Penan di situ.

Menurut Senang Kalang, 27 tahun, beliau tetap akan mempertahankan tempat tinggal dan tanah adat mereka itu.

"Kami tidak pernah takut. Mati dengan kebenaran lebih mulia dari hidup sebegini," katanya tegas.

Menurutnya, kerajaan Sarawak tidak pernah melibatkan mereka dalam perbincangan untuk memajukan kawasan itu.

Katanya, mereka hanya didekati pemaju projek berkenaan selepas
kerja-kerja awal pembinaan dijalankan.