Sabtu, 22 Disember 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


NGO 'HAK' Di Tubuhkan, Bagi Menentang Pencabulan Hak Asasi Yang Berlaku Di Negara Kita Mutakhir Ini !!

Posted: 21 Dec 2012 07:46 AM PST

KUANTAN, 21 Dis - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Angkatan Pembela Hak Rakyat atau ringkasnya HAK, ditubuhkan hari ini bagi memperjuangkan hak-hak rakyat negara ini selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Pengerusi Penajanya, Mohd Harris Abdullah (foto), berkata Hak ditubuhkan berikutan banyak hak asasi seseorang yang dijamin perlembagaan telah banyak dicabul oleh pihak tertentu. "Saya mengambil contoh Kembara Oren yang dianjurkan oleh Pertubuhan Anak Peneroka telah dihalang memasuki kawasan Felda, ini salah menurut perlembagaan kerana hak seseorang warganegara dia bebas untuk ke mana sahaja dalam negara ini. "Begitu juga program jelajah yang melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering diganggu bahkan ada tempat beliau disekat masuk, ini juga menyalahi perlembagaan kerana beliau sebagai pemimpin sebuah parti politik mempunyai hak dalam demokrasi," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran Hak di lobi di sebuah hotel di sini. Dalam sidang media tersebut turut diumumkan 8 orang ahli jawatan kuasa penaja dan akan dimajukan kepada perdaftar pertubuhan dalam tempoh seminggu. Menurut Harris yang juga seorang peguam, antara aktivitinya Hak akan turun ke tengah masyarakat untuk menerangkan hak-hak asasi seorang rakyat Malaysia di sisi perlembagaan supaya sedar tentang kedudukan mereka. "Hak akan menjadi watch dog kepada parti pemerintah sebagai penegur yang baik demi memenuhi hak asasi setiap rakyat, kalau sekarang BN kalau PR memerintahpun begitu juga. Hak ialah prorakyat, bukan proparti politik," katanya. Tambahnya, Hak bukan sahaja memperjuangkan isu-isu politik tetapi juga ekonomi dan agama. "Dalam perlembagaan di sebutkan setiap warga negara layak mendapat tanah. Tapi cuba anda buka tanah dan usahakan, biasanya akan dirampas kerajaan walaupun tanah itu tidak pernah digunakan. "Jadi Hak akan membela hak rakyat yang dijamin perlembagaan seperti ini," ujarnya. Ditanya kenapa Hak ditubuhkan menjelang pilihan raya, beliau berkata ia kebetulan berlaku banyak pencabulan hak asasi yang memaksa beliau dan rakan-rakan bertindak menubuhkan NGO itu. Selain Harris, Mohd Zulkifli Muhamed dinamakan sebagai timbalan, Mohd Shukri Mohd Ramli (Setiausaha), Khamsiah Shahbudin (Bendahahari). Manakala ahli jawatan kuasanya pula ialah Mohd Fauzi Abdul Hamid, Anizam Mohd Ali, Kamarul Hatta Mohamed Ali dan Razali Alias. Harakah

Tiada ulasan: