labun KulupSakah... |
Posted: 27 Dec 2012 12:55 AM PST |
awek cun dan balak hensem baca Negaraku Posted: 26 Dec 2012 05:58 PM PST |
Posted: 26 Dec 2012 10:25 AM PST dari roketkini.com "Negaraku", simbiosis seni melawan kartunis Ronasina Oleh Hafiz Zainuddin 24 December 2012 DIA tidak mahu mengakhiri hidupnya dengan menjadi seorang guru kejuruteraan automotif di sebuah sekolah vokasional lantas mengambil keputusan lari meninggalkan kerjaya itu dan bermutasi menjadi pelukis kartun. Mungkin, semangat zaman sekolahnya yang dilingkari majalah Senyum Pelajar, Gila-Gila, Gado-Gado, Jenaka dan Gelagat telah mempengaruhinya sehingga buat pertama kali mendapat platform bergiat secara bebas di akhbar Berita Keadilan yang kini sudah pun berkubur. Bagaimanapun, talian hayatnya terus bersambung di portal Merdekareview yang juga sudah menghentikan operasinya dan kini dengan akhbar Suara Keadilan. "Negaraku-Koleksi kartun satira rakyat" adalah hasil karya kartunis Ronasina atau lebih manja dipanggil Abang Fendi. Karya setebal 96 muka surat itu tidak sama dengan siri kartun dalam majalah humor nasional lain yang membuatkan anda hanya letih ketawa berdekah-dekah. Akan tetapi, koleksi Ronasina dalam "Negaraku" adalah sebuah simbiosis "seni untuk melawan", sambil ketawa dan sambil menambah ilmu. Digarap dengan elemen hasutan untuk membenci kerajaan yang korup dan zalim, "Negaraku" mengetengahkan masalah semasa rakyat seperti kemiskinan, penindasan, salah guna kuasa, pembunuhan dan penahanan tanpa bicara selain telatah ahli politik di Malaysia. "Sebagai kartunis, saya menyampaikan keluh kesah suara rakyat terhadap kebejatan sosial serta kezaliman pemerintah melalui lakaran kartun. Kalau ahli politik dengan tugas mereka, kartunis pula punya tugas mereka." kata Ronasina. Menurut Hishamuddin Rais pula, kerjaya sebagai kartunis satira merupakan bidang kerja yang berbahaya. Samada kartunis di Barat sehingga ke Timur Tengah, karyawan kartun punya sejarah hitam samada dibunuh atau mendapat kecaman hebat. "Pada 1978, seorang kartunis Palestin, Ali, ditembak mati akibat kritikan tajam dan sinis terhadap pentadbiran Yasser Arafat dan Shah Iran," katanya ketika melancarkan Negaraku di KLSCAH. Sesuatu yang menarik pada "Negaraku" ialah konsep lakaran dengan gabungan konteks di mana generasi 100 tahun daripada sekarang boleh mengetahui isu dalam kartun yang dilakar. Misalnya pada muka surat 55 bertajuk PDRM, Ronasina meletakkan nota bahawa kartun itu berkaitan dengan jumlah kematian rakyat Malaysia dalam tahanan polis yang diilhamkan setelah kematian Kugan dibongkar. Selain lakaran kartun, ia juga memuatkan tiga cerpen beliau yang berjudul "Hikayat Penyakit Kuning", "Bengong vs Bangang" dan "Kak Ijat Kampung Lembah" yang merumuskan senario politik semasa negara. Disebabkan Ronasina bersilat dalam bahasa yang ditakuti pemerintah; melalui lakaran manusia berkaki katak, bersongkok tinggi, buncit, di samping lakaran eksklusif seorang wanita gemuk yang seksi dan menakutkan, kita tertanya-tanya adakah mungkin "Negaraku" akan senasib dengan Gedung kartun dan Perak Darul Kartun hasil suntingan Ronasina yang diterbitkan kartunis Zunar yang selamat diharamkan kerajaan? Dan, kita tidak perlu berasa hairan apabila Ronasina sendiri mengatakan bahawa pengharaman buku kartun sebelum ini merupakan dalil 'aqli' yang membuktikan pemerintah takut dengan buku kartun. Mudah-mudahan, "Negaraku" mampu menjadi satu daripada catalyst for change demi negara dan masyarakat yang lebih adil dan telus atau setidak-tidaknya mampu menjadikan kerajaan BN sedar bahawa apa yang mereka lakukan kini adalah lebih kartun daripada kartun sendiri. Buku "Negaraku" terbitan Anak Kunci Production ini cuma berharga RM25. Bagi sesiapa yang berani untuk ketawa sambil melawan bolehlah terus memesan melalui emel kepada raja_uda@yahoo.com atau ronasina@gmail.com atau terus lawati blog http://kulupsakah.blogspot.com –Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from ronasina To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan