Isnin, 31 Disember 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Live Streaming CountDown 2013 Ustaz Azhar Idrus Shah Alam

Posted: 31 Dec 2012 04:44 AM PST

http://sphotos-g.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/484017_516414061725206_2111674021_n.jpg


Orang Ramai Sambut Baik Pembaharuan Sambutan Tahun Baru Di Selangor

Lizawati Madfa


SHAH ALAM 31 DIS : Pendekatan Pakatan Rakyat Selangor menganjurkan program sambutan tahun baru berbentuk ilmiah amat dialu-alukan oleh orang ramai.

Tinjauan Selangor Kini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pagi tadi mendapati rata-rata pengunjung yang ditemui di Program Karnival Pendidikan Negeri Selangor (EduSEL), mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri menganjurkan sambutan yang disifatkan penuh sederhana namun sangat bermanfaat.

Menurut Kamal Ibrahim, 42, program-program sebegini dilihat mampu mendidik masyarakat dengan cara yang berfaedah berbanding dengan amalan kebiasaan sebelum ini yang mengutamakan program berbentuk hiburan semata-mata.

"Inilah antara masanya kita dapat meluangkan masa dengan membawa anak-anak ke program yang baik dan penuh pengisian ilmunya.

"Bagi saya, ini juga merupakan satu bentuk didikan dan acuan untuk kita membentuk anak-anak kita dan generasi akan datang supaya mereka maju dari segi pendidikan, jati diri serta berakhlak tinggi," tegas bapa kepada tujuh anak ini.

Peraduan-mewarna-YunizayanaPendapat Kamal turut dipersetujui Yunizayana Sueeyto, 33, yang turut memberi cadangan agar negeri-negeri lain turut mengikut langkah bijak Kerajaan Negeri untuk memberi hiburan kepada rakyat dalam bentuk yang menarik.

"Biasanya sambutan tahun baru hanya diraikan golongan anak-anak muda tetapi program anjuran Kerajaan Negeri ini sesuai untuk semua sekali samada kanak-kanak, ibu bapa, datuk nenek dan semua boleh sertai.

"Dalam kita berseronok, kita juga dapat ilmu. Itulah yang mahal," ujar Yunizayana yang hadir bersama suami menemani anak-anak mereka menyertai Pertandingan Mewarna dan Melukis pagi tadi.

Seramai 70 orang kanak-kanak menyertai pertandingan tersebut yang terbahagi kepada empat kategori iaitu Kategori Mewarna 4 hingga 6 tahun, kategori Mewarna 7 hingga 12 tahun selain Melukis 6 hingga 9 tahun dan juga kategori Melukis 10 hingga 12 tahun.

Peraduan-mewarna-pemenangBagi Kategori Mewarna 4 hingga 6 tahun, ianya dimenangi Quratul Aini Syaurah Fansuri, 6, manakala bagi Kategori Mewarna 7 hingga 12 tahun pula dimenangi Mohd Haikal Asyraf, 7.

Sementara itu, bagi kategori Melukis 6 hingga 9 tahun ianya diungguli Umar Saif Abd Wahid, 9, selain kategori 10 hingga 12 tahun dimenangi Nur Izzatul Akma, 12.

Pemenang tempat pertama setiap kategori menerima RM 100 dan juga hamper, diikuti tempat kedua yang menerima wang RM 70 dan hamper selain tempat ketiga yang turut menerima wang tunai bernilai RM 50 dan juga hamper.

Soal Jawab Sebenar Bersama Dr Zaharuddin Abdul Rahman Yang Tidak Disiarkan Oleh Berita Harian

Posted: 31 Dec 2012 03:00 AM PST

Isu Nama Allah : Soal Jawab Dengan Akhbar Berita Harian


http://www.zaharuddin.net/images/stories/262649_457888030939508_1073671673_n.jpg

Oleh

Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

www.zaharuddin.net

Soalan untuk ruangan Soal Jawab BH Ahad:


1. Baru-baru ini Setiausaha Agung DAP dalam perutusan Hari Krismas ada membuat kenyataan menggesa kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Apa pandangan Dr berhubung tuntutan itu?

Dalam banyak keadaan, orang politik sering mensasarkan sokongan pengundi dalam apa sahaja yang diseru, gesa dan desak. Dalam hal ini saya merasakan Lim Guan Eng juga mungkin sedang mensasarkan sokongan penganut Kristian terhadap parti itu. Sama ada betul atau tidak, saya merasakan tindakan tersebut mungkin kurang tepat, malah pada jangkaan saya, ia lebih mampu menyusahkan gabungan Pakatan Rakyat dan PAS khususnya serta mengurangkan sangka baik orang Melayu Islam terhadap DAP. Tidak saya nafikan, Barisan Nasional juga adakalanya berkata-kata atau melakukan beberapa tindakan yang boleh melampaui sensitiviti umat Islam. Justeru saya nasihatkan lebih baik agar Barisan Nasional tidak menyahut saranan ini semata-mata inin memenangi undi penganut Kristian, kerana orang Kristian sendiri ada yang menolak pendekatan terjemahan God kepada Allah. Jika BN tunduk kepada desakan beberapa kumpulan Kristian ini, saya menjangkakan ia bakal memberi kesan yang buruk pula kepada BN khususnya sokongan Melayu Islam. Selain itu bagi saya, pemuka Kristian tidak perlulah memperjuangkan isu nama Allah sama ada dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu atau mana-mana bahan bercetak yang dikeluarkan oleh pihak Kristian. Mungkin yang lebih penting adalah menjaga kebajikan penganutnya dari sudut kebajikan fizikal khususnya. Manakala kebajikan berbentuk 'spiritual' boleh di laksanakan dengan menambah bajet atau apa-apa sahaja yang tidak perlu melampaui sensitiviti agama lain. Terjemahan 'God' yang sekian lama diterjemahn kepada tuhan, tiba-tiba ingin diubah kepada nama Allah tentunya melampaui garisan agama Islam. Pastinya ia bakal menimbulkan reaksi negatif umat Islam.

2. Dalam kenyataan mengenai isu kalimah Allah pada 2009, Dr ada menyatakan mengenai persetujuan kalimah Allah digunakan oleh Kristian tetapi melihat kepada fenomena di Malaysia, Dr beranggapan ia tidak sesuai. Boleh jelaskan lebih lanjut kerana memang ada pihak yang turut bersetuju membenarkan agama lain menggunakan kalimah Allah dengan alasan Allah untuk semua makhluk. (mungkin Dr boleh bagi nas yang tidak dapat diargue oleh pihak lain)

Benar, pandangan peribadi saya setelah melihat hampir semua hujjah-hujjah yang dibentangkan oleh para ulama silam dan semasa, saya lihat ia adalah 'valid'. Namun ia tetap jatuh dalam kategori hukum yang boleh berubah mengikut keadaan dan setempat. Hal hukum haram yang berubah menjadi harus, harus berubah menjadi haram disebabkan situasi tertentu ini adalah sesuatu yang boleh berlaku malah kerap berlaku sejak dari zaman Baginda Nabi Muhammad lagi. Namun ia mestilah setelah meneliti syarat-syaratnya yang termaktub di dalam perbahasan ulama Usul Fiqh. Satu kaedah fiqh menyebut :

"Tidak dapat disangkal bahawa beberapa jenis hukum berubah dengan perubahan masa (dan tempat). (Majallah al-Ahkam Al-Adliyah)

Ulama silam seperti imam Ibn Qayyim dan ulama kontemporari Syeikh Dr. Mustafa Az-Zarqa berkata, para ulama mazhab telah sepakat akan kaedah ini dalam hal-hal hukum cabang dan ijtihad, adapun hukum asas dan prinsip umum Islam tidak boleh berubah. Dalam hal ini, bab penggunaan nama Allah ini adalah dalam kategori isu cabang. ( Ighathah al-Lahfan, 1/330 ; Majalah Al-Muslimun, hlm 553 )

Ibn Qayyim dalam kitabnya 'ilam al-Muwaqqien menyatakan lima sebab hukum furu' boleh berubah iaitu :-

• Tempat

• Masa

• 'Uruf

• Situasi atau keadaan

• Niat

Dari sudut sebab mengapa hukum terbabit tidak sesuai di semenanjung Malaysia antaranya adalah :-

1. Keputusan pemerintah dalam hal yang diperbezakan adalah terpakai. Telah diketahui dalam kaedah Fiqh, "Pemerintah yang bertindak dan membuat keputusan untuk rakyat MESTILAH berlandaskan kepentingan awam". Maka saya kira, apabila pemerintah Malaysia berdasarkan data dan fakta yang mereka miliki menyakini kebenaran di Malaysia bakal menyuburkan kemurtadan dan kekeliruan khususnya di musim kelemahan umat Islam, itu patut diterima oleh ilmuwan lain walau mungkin mereka mempunyai idea dan pandangan berbeza.

2. Malaysia sering dilanda kontroversi apabila undang-undang sedia ada digunakan dalam beberapa kes bagi seseorang Islam murtad dengan bantuan orang bukan Islam. Demikian isu kematian individu yang telah memeluk Islam tetapi tanpa pengetahuan keluarganya dan beberapa yang lain. Kerap kali isu sebegini apabila ditimbulkan di dalam masyarakat, suasana menjadi tegang di antara agama. Ini tidak baik bagi keharmonian masyarakat dan mudah mencetus ketegangan yang sukar diredakan kelak. Justeru, hal yang tidak signifikan dalam agama Kristian sendiri seperti terjemahan 'God' kepada 'Allah' bagi Bible bahasa melayu ini tidak berbaloi atau 'worth it' untuk diketengahkan dan disebut oleh pemimpin Politik seperti Lim Guan Eng. Malah media juga patut berhati-hati dan menghindarkan diri dari asyik menjolok dan memanaskan isu sebegini. Atas sebab itu, saya cenderung kepada mengekalkan terjemahan kepada TUHAN adalah lebih baik berbanding mengubah kebiasaan yang sudah diamalkan sejak turun temurun di semenanjung Malaysia. Hal di Sabah Sarawak, itu hal mereka di sana sejak berpuluh tahun lepas, mengapa perlu dibawa ke semenanjung?. Suasana penduduk dan sensitiviti masyarakat yang berbeza di sana dan di semenanjung patut dijaga.

3. Isu ini turut menimbulkan ketakutan dalam kalangan umat Islam khususnya yang memikirkan mengenai kesan negatif terutama dalam keadaan generasi muda hari ini yang agak lemah dan cetek mengenai ilmu agama. Mungkin Dr boleh tekankan aspek ini kerana kerisauan itu rasanya ada kewajarannya. Ini membabitkan hal akidah umat Islam yang terancam jika isu kalimah Allah tidak ditangani dengan berkesan.

Pertamanya, perlu difahami, dari sudut hukum asal, Kristian memang harus menggunakan nama Allah sebagai tuhan mereka, Cuma kita sebutkan dari sudut hak pemerintah untuk menyekat demi menjaga keharmonian Islam di tanahair ini. Pun begitu, umat Islam sendiri tidak boleh hanya marah-marah apabila isu ini timbul, mereka juga patutnya sedar jika mereka kuat, tiada bimbang lagi takut jikapun pihak Kristian menggunakan nama Allah bagi terjemahan God. Tapi yang tidak bagusnya hari ini adalah orang Islam kelihatan berlebihan marahnya dalam hal ini tetapi sensivitinya kelihatan pudar dalam isu yang lebih besar atau setara besarnya. Seperti isu penghinaan kepada Islam, hukum Islam (bukan hudud sahaja tetapi hukum dalam semua bab seperti perkahwinan dan lain-lain), penghinaan Nabi secara terangan yang dibuat oleh orang Islam sendiri melalaui kata-kata dan filem sebagai contoh. Saya faham dan sedar, umat Islam semakin bimbang kerana anak-anak kita mungkin lemah pendidikan dan penghayatan Islamnya, malah ibubapa juga lemah agamanya. Justeru, dengan kerancakkan menggunakan nama Allah bagi God di dalam Bible, ia mungkin bakal memeriahkan kekeliruan di kalangan yang sudah jahil di kalangan Islam hingga akhirnya mudah mereka dimurtadkan.

Dalam hal ini, saya menyeru diri saya dan semua pembaca agar memastikan diri sendiri mantap dari sudut ilmu agama, mengambil tokoh sahabat-sahabat Nabi dan ilmuwan Islam yang silam dan kontemporari sebagai bahan rujukan, bacaan dan cerita tauladan. Bukannya sambil berteriak memarahi Lim Guan Eng, tetapi melupakan fakta bahawa diri sendiri, rakan sebangsa dan seagama lebih patut diherdik kerana lebih teruk lagi menjauhkan umat dari penghayatan Islam dan aqidah Islam. Iaitu dengan mengasaskan insititusi riba, judi, menjadikan rasuah sebagai adat bisnes, menjadikan perbomohan syirik sebagai perubatan alternatif dan tradisional, menjadikan adat yang berunsur syirik sebagai bahan adat perkahwinan melayu dan lain-lain. Mengapa ini tidak diherdik dan dimarahi dengan setimpal? Justeru, jangan hanya kerana ia gesaan seorang orang politik maka kita tiba-tiba menjadi 'super sensitif' dan marah, namun melupakan diri dan pekung yang dicetus oleh bangsa sendiri.

4. Namun, ibarat menarik rambut dalam tepung, kita juga tidak mahu isu ini menjejaskan hubungan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini terutama umat Islam dan penganut Kristian. Jadi bagaimana kita hendak pastikan sensitiviti umat Islam di hormati penganut agama lain?

Itulah saya katakan, media janganlah terlalu membesar-besarkan sangat, kerana kelak penganut Kristian merasa umat Islam terlalu ego dan sombong. Jangan pula memaki hamun dan mencaci kerana Islam tidak tertegak dengan caian dan humanan. Malah Nabi Muhammad mengajar kita akhlak mulia dan daya tahan marah yang luar biasa, hingga kalau dicerca dan dihamun, kita tidak membalas dengan cercaan. Ini tercatat di dalam surah Al-Imran ayat yang ke 186, Surah Al-Hijr ayat 97-98 dan banyak lagi. Hanya bila hak kita dicerobohi secara fizikal khususnya, barulah umat Islam dituntut untuk mempertahankannya dengan kaedah yang sesuai walau mungkin agresif dan keras, seperti rumah, harta atau tanahair kita dicerobohi.

Umat Islam perlu faham isu 'core' atau 'susbstance' dalam agama lain agar mereka tidak menimbulkan ketegangan yang merugikan. Namun isu nama Allah ini bukan isu core dalam Kristian dan ia dianggap isu besar bagi umat Islam di semenanjung. Hanya dengan saling berdiskusi dan berdialog, saya kira ketegangan ini dapat dikurangkan.

5. Ada pihak menyatakan isu ini boleh menimbulkan suasana Kristianofobia. Adakah senario dalam negara hari ini boleh mencetuskan fenomena itu? (Kristianafobia diutarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya yang mendakwa Kritianofobia adalah perasaan takut terhadap agama Kristian yang sekali gus mampu menggugat agama Islam sebagai agama rasmi). Apa pandangan Dr?

Saya tidak pasti, namun yang jelasnya Kristian adalah sebuah agama missionary iaitu yang sentiasa aktif mencari penganut baru. Ia sama seperti sifat agama Islam yang juga bersifat missionary. Berkenaan kristianofobia, memang ada asasnya berdasarkan kes-kes kemurtadan dan teknik dakyah yang sedang dan telah dilakukan oleh Kristian. Cuma untuk bimbang sehingga merasakan Islam agama rasmi diubah, saya tidak pasti basis kebimbangan sebegitu. Saya tidak punyai statistik yang boleh membantu saya menentukan pendirian yang adil dalam hal ini.

6. Apa nasihat Dr kepada umat dan agensi Islam di negara ini bagi menghadapi isu berkaitan kalimah Allah ini dan juga isu lain yang menyentuh sensitiviti umat Islam?

Nasihat saya, perkukuhkan ilmu dan penghayatan Islam diri dan keluarga masing-masing. Mantapkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti oleh institusi ulama dan jabatan-jabatan yang menguruskan hal ehwal pembangunan agama Islam. Media hendaklah membantu menjadikan mana-mana tokoh ilmuwan Islam sebagai role model dan bukan artis. Hiburan dan budaya hedonisme tanpa objektif kecuali duit dan seronok patut dikaji semula dari diberi ruang terlalu banyak di media kerana bagi saya ia lebih banyak merosakkan umat Islam berbanding kalaupun Kristian menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible mereka. Kerana Bible-bible ini tidak masuk ke rumah majoriti umat Islam tetapi TV, radio dan media cetak masuk dan mempengaruhi setiap hari. Jika itu dapat dilakukan, apapun dakyah, gerakan Kristianisasi termasuklah isu berkaitan nama Allah akan sentiasa terkawal dan tidak dapat menembusi daya tahan umat Islam. Jangka terdekat pula, saya harapkan para ulama dapat sepakat menghalang penggunaan nama Allah bagi terjemahan God di dalam bible versi Melayu, manakala orang Kristian pula sedari mereka tiada perlukan teknik ini untuk menyebar dakyah mereka.

http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/1017-isu-kalimah-allah-soal-jawab-bersama-berita-harian.html

Ucapan Tahun Baru Dari TG Nik Aziz Dan DS Anwar Ibrahim

Posted: 31 Dec 2012 02:45 AM PST

 http://www.blogtokguru.com/wp-content/themes/wp_phixel/images/header.png

Tahun 2013: Runtuhkan Kezaliman Gantikan Dengan Keadilan


Harapan saya setiap hari hanyalah untuk melihat tertegaknya Islam sebagai agama yang syumul di bumi Malaysia ini. Sudah terlalu lama sekular berakar umbi dalam politik sehingga mengakibatkan kerosakan yang dahsyat. Jika dibiarkan berterusan, Melayu pun tidak terbela, Islam pun entah ke mana.

Sempena kedatangan tahun baru 2013 ini, saya menyeru semua pihak agar memperbaharui tekad untuk meruntuhkan kezaliman dan menggantikannya dengan keadilan. Perlihatkan keindahan Islam di dalam kehidupan di segenap sudut agar ia dipandang tinggi oleh orang lain. Saya optimis masa depan yang cerah untuk Islam di seluruh pelusuk dunia. Insya-Allah.

Tahun 2013 ini juga akan menyaksikan berlakunya pilihan raya umum ke-13. Gunakanlah hak untuk memilih ini dengan sebaik-baiknya. Jangan silap membuat pilihan. Jika silap akan menyebabkan kita menyesal di hari Akhirat.

Yakinlah, setiap anggota badan termasuk tangan yang mengundi juga akan menjadi saksi terhadap amalan manusia di padang Mahsyar.

Semoga kita semua terus diberikan hidayah dan taufik oleh Allah SWT dan memasukkan kita di dalam golongan hamba-hamba-Nya yang beriman.

Amin.
Kota Darulnaim,

17 Safar 1434/31 Disember 2012






Hadow! Ustaz Azhar Bergambar Dengan Peminat Bukan Islam

Posted: 30 Dec 2012 11:49 PM PST

http://sphotos-f.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/734929_516306671735945_1851878546_n.jpg

Jkkk Fan Club

TERBAIKKKKKKKKK !!!!

UAI bersama peminat bukan Islam di hentian temerloh sebentar tadi, dlm perjalanan utk program malam ni. Allah telah campakkan dalam hati orang bukan Islam, utk duduk bersama dengan ulamak. Moga dia dibukakan pintu hidayah, dan faham akan Islam. Takbir!

#makin goyang parti zalim di malaysia wehhh
JM

Artikel Penuh: Bab 6: Isu Amanat - UMNO Menjolok Sarang Tebuan

Posted: 30 Dec 2012 07:54 PM PST


“Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Krtistian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

I
su risalah yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ telah dianggap selesai pada suatu ketika apabila Majlis Agama Islam Kebangsaan memutuskan tiada apa-apa kesalahan dari segi agama kepada petikan ucapan Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong, Manir pada awal 80-an lalu. Tok Guru sendiri selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan ucapan berkenaan telah berkali-kali mempertahankan kebenaran ucapannya.

Malah, beliau pernah dicabar oleh Tan Sri Wan Mokhtar (ketika itu MB Terengganu) dalam salah satu sidang DUN lebih sedekad lalu untuk memberikan penjelasan. Tok Guru telah mempertahankan ucapannya itu dan menjelaskan ia dibuat berdasarkan kepada kandungan Kitab Mastika Hadith Rasulullah s.a.w. Jilid 1, yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Tajuk yang dikupas itu ialah mengenai bab ‘Wajib Menjaga dan Memelihara Jangan Rosaknya Iman dan Islam’. Ia bukannya soal kafir-mengkafir, sebagaimana yang disalahtafsirkan oleh sesetengah golongan.

Kitab berkenaan telah mula dicetak pada tahun 1973, dan telah diulang cetak sebanyak tujuh kali. Cetakan terakhir yang terdapat di pasaran ialah yang dibuat pada tahun 2000 lalu. Kitab jawi itu mencatatkan bahawa ia telah diusahakan bersama oleh tiga ulama terkemuka, iaitu Sahibul Fadilah Dato’ Haji Mohamad Nor bin Haji Ibrahim, Al-Fadhil Tuan Haji Ismail bin Haji Yusof dan Sheikh Abdullah bin Mohamed Basmeh.

Bagi sesiapa yang benar-benar mementingkan kesahihan bukti pertelingkahan isu ‘Amanat’ ini, kita sarankan supaya mendapatkan kitab tersebut dan mencari ruang menelitinya sendiri. Di sana akan jelaslah bahawa terdapat berbagai contoh yang dikemukakan, yang disifatkan oleh pengarang kitab itu sebagai boleh membatalkan keimanan dan keislaman seseorang.

Kebetulan pula, ucapan-ucapan dalam nada serupa sering disebut oleh para pemimpin yang berpengaruh dalam negara ini dan ia pula diikuti oleh imam-imam di kampung-kampung.

“Akibatnya, orang PAS merasa segan untuk bersembahyang di belakang imam-imam berkenaan di beberapa buah masjid di negeri Terengganu. Ucapan-ucapan sedemikianlah sebenarnya yang menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat umat Islam”, kata Tok Guru.

Sebab itu, beliau dengan tegas mengatakan di dalam ceramahnya pada tahun 1982 itu: “Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Krtistian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

Jahatnya Umno, ialah apabila memutarbelitkan ucapan selama sejam bagi melahirkan hanya tiga perenggan ‘Amanat’. Bayangkan betapa luas dan pelbagainya hujah dan pandangan yang Tok Guru perkatakan selama sejam ucapan beliau itu.

Masakan boleh diambil sekerat dan dipadankan sebegitu rupa bagi menunjukkan seolah-olah Tok Guru secara jelas cuba mengkafirkan Umno? Sebab itu apabila Tok Guru mengatakan, “percayalah saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad, dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam”, perkataan ‘puak-puak ini’ di dalam ucapannya itu tidak boleh semudah-mudah ditafsirkan sebagai Umno.

Adalah tidak adil, semata-mata kerana di perenggan awalnya Tok Guru ada menyebut Umno, maka perenggan berikutnya (yang entah berapa perenggan lagi tidak dirakamkan di tengah-tengah keduanya itu) bererti Tok Guru juga merujuk kepada Umno.

“Saudara-saudara sekalian, percayalah! Kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno, kita menentang Barisan Nasional, bukan kerana nama Barisan Nasional. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka.”

Malangnya, Umno semacam tidak bersedia menerima penjelasan-penjelasan di atas. Barangkali, Umno ada guilty conscious kerana sifat-sifat dan perbuatan yang dinyatakan itu kebetulan ada pada Umno.

Malah, para pemimpinnya terus-terusan membangkitkan isu ‘Amanat’ ini, dan secara jelas pula meletakkan bahawa ia telah menyimpang daripada akidah Islam. Suara-suara menuntut Tok Guru diambil tindakan undang-undang menyebabkan orang-orang PAS merasa sangat terganggu maruah dan imej mereka.

Sejenis serangga bernama tebuan sememangnya bersifat menyengat mangsanya. Tetapi, dalam keadaan biasa dan tidak diganggu, tebuan tidak akan menyengat tak ketahuan punca. Dia akan hanya menyerang dan menyengat mangsanya bila ketenangan dan keselesaannya diganggu-gugat.

PAS pun lebih-kurang macam tu lah juga. Bukan kerja orang-orang PAS untuk sengaja nak cari kesalahan dan kesilapan orang lain. Melainkan orang itu adalah pemimpin negara atau negeri, yang sememangnya menjadi kewajipan setiap diri sebagai rakyat memperbetulkan apa jua kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Tetapi, dalam keadaan diserang bertalu-talu pemimpin dalam isu ‘Amanat’ ini, orang PAS tidak wajar lagi berdiam diri.

Perbuatan Umno sengaja mengungkitkan kembali isu yang telah hampir terpadam dalam masyarakat itu adalah ibarat menjolok sarang tebuan. Kerana, ekoran tindakan itu, satu demi satu ucapan, amanat dan ‘fatwa’ para pemimpin Umno, terutama yang membabitkan hukum-hakam Islam, terpaksa dikemukakan semula untuk tatapan dan nilaian umum. Nilailah sendiri beberapa petikan yang diperturunkan di bawah ini. Kemudian tanyalah hati anda, siapakah yang sebenarnya sesat dan menyimpang dari ajaran Islam?

Pertama: Menolak Hukum Hudud
“Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.”
-          Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada media massa pada 14 Julai 1992.

“Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Papar, Sabah pada 2 Mei 1992.

“Saya tak tahu siapakah di antara ahli-ahli PAS yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan? Barangkali Nik Aziz (Tuan Guru Menteri Besar Kelantan) akan melakukannya. Jika benar, kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu (dilaksanakan) nanti.”
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada Ketua-ketua Bahagian Umno di Johor pada 30 April 1992.

“Daripada kajian yang telah dibuat amatlah jelas bahawa undang-undang PAS Kelantan adalah tidak menepati sepenuhnya undang-undang, semangat dan sifat-sifat yang ada pada agama Islam. Ia tidak mengasaskan sepenuhnya kepada maqasid syariah. Undang-undang PAS bukan sahaja tidak boleh diterima, tetapi setakat ini hendaklah ditolak.

“Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apapun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam? Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?

“Hukum rejam kepada penzina adalah primitif.”
-          Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Bahasa Arab Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.

“Saya memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud.”
-          Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada para wartawan selepas satu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada tahun 1994.

“Hendak jaga kepentingan orang Islam ini bukan dengan cara maki orang. Tetapi menjaga umat Islam dengan mengukuh kepentingan Islam supaya mereka lebih bijak, lebih kaya, lebih pandai. Tetapi orang pandai ini hendak Islam potong tangan orang. Kita nak tengok semua orang Islam kudung. Di Sudan, mereka potong tangan di sebelah kanan, kaki sebelah kiri. Kita sudah hilang satu tenaga. Islam bukan suruh laksana begitu. Islam ada timbang rasa, tapi kita hendak buat hukum Islam secara buta-tuli.”
-          Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Turut hadir Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.

“Negara akan menjadi huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan.”
-          Kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada media massa pada 20 April 1993.

“Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu. Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud. Bahkan, ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu.”
-          Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada wartawan pada 20 April 1992.

Kedua: Merendah-rendahkan martabat Islam
“Kita sedar bahawa terdapat juga di negara-negara Islam lain penggunaan perkataan Islam pada parti-parti politik. Tetapi di kesemua negara ini, perpecahan yang ketara berlaku di kalangan orang Islam.... Atas nama persaudaraan Islam, keganasan terhadap orang Islam dilakukan sehingga tidak ada keamanan sama-sekali. Dengan itu, hampir semua negara Islam ini menjadi lemah, mundur dan mudah diperalatkan oleh musuh-musuh Islam. Namun, masih lagi tidak ada kesedaran bahawa orang yang berselindung di belakang perkataan Islam adalah salah satu daripada punca kelemahan umat Islam.”
-          Ucapan Dr. Mahathir di Perhimpunan Agung Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 18 November 1994.

Ketiga: Mempertikaikan kesahihan hadith Nabi s.a.w.
“Koleksi hadis dan sunnah (oleh Imam Bukhari dan Muslim) ini diterima sebagai asli oleh sebahagian besar umat Islam dalam mazhab Ahli Sunnah. Golongan Syiah pula mempunyai hadis dan sunnah yang mereka sahkan sendiri. Kerana imam dan ulama bukannya nabi, tetapi hanya manusia biasa, mereka juga boleh terdedah kepada kesilapan. Hadis dan sunnah yang mereka tolak mungkin sahih dan apa yang mereka terima mungkin tidak asli. Sudah pasti ramai yang masih memetik hadis-hadis yang tidak disahkan.”
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamed di Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford, United Kingdom pada?

“Kita tidak diberitahu bahawa Bukhari dan Muslim dan beberapa lagi manusia biasa yang terpelajar, tidak terima semua yang dikatakan hadis. Setelah mengkaji dengan teliti 600,000, Bukhari hanya menerima 7,000. Muslim pula mengkaji 300,000 hadis dan hanya menerima 4,000. Ada hadis yang diterima oleh Bukhari, tetapi tidak disahkan oleh Muslim, murid kepada Bukhari. Tetapi yang tidak diterima oleh Muslim, pihaknya menjelaskan bahawa mungkin ada yang sahih. Tetapi tentulah banyak daripada baki 296,000 yang tidak ditolak adalah tidak sahih dan mungkin ada hadis yang diterima sebagai sahih, tetapi mungkin tidak sahih. Jika kita tidak lupa bahawa Bukhari, Muslim, Tarmizi dan tokoh-tokoh Islam lain yang mengkaji hadis 200 tahun selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia biasa dengan segala kelemahan manusia, dan mereka bukan Nabi, tentulah kita tidak harus memecah-belahkan umat Islam daripada Ahli Sunnah hanya kerana tafsiran dan dakwaan kesahihan atau tidaknya hadis-hadis yang dikaji oleh pengkaji hadis ini.
-          Ucapan Perasmian Timbalan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 5 Julai 1979.

Keempat: Membina tanggapan negatif terhadap ulama
“Malangnya, wujud satu kecenderungan di kalangan umat Islam untuk menganggap pengisytiharan ulama sebagai sesuatu yang tidak mungkin salah. Ramai orang yang mengaku tahu mengenai Islam dan mendakwa diri mereka sebagai ulama. Sebahagian daripada mereka jelas penipu dan orang yang mempunyai kepentingan termasuk, pastinya, ahli-ahli politik dengan cita-cita peribadi yang terlalu duniawi. Jika semua orang ini dianggap pewaris nabi serta mempunyai kelayakan dan tidak mungkin berbuat silap dalam penafsiran mereka mengenai Islam, mudahlah untuk melihat kekeliruan dan ketidakfahaman terhadap pengajaran Islam.”
-          Ucapan Dr. Mahathir di Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford, United Kingdom pada?

“Kemungkinan kesalahan (ajaran Islam) berlaku menjadi lebih apabila orang bukan Arab tetapi faham bahasa Arab cuba menyampaikan ajaran Quran dan Hadis dalam bahasa bukan Arab. Kefahaman dan tafsirannya mungkin salah di samping penterjemahannya juga salah.... Justeru itu, janganlah sesiapa mendakwa bahawa ajarannya lebih tepat kerana ia faham bahasa Arab. Ianya juga mungkin salah sama seperti orang Arab yang menulis dalam bahasa lain. Orang yang mempelajari agama Islam yang tidak memahami bahasa Arab tidak semestinya selalu salah berbanding dengan orang yang memahami bahasa Arab. Semua pihak terdedah kepada kesalahan kefahaman atau tafsiran atau penterjemahan oleh diri sendiri atau oleh ulama.”
-          Ucapan Dr. Mahathir di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.

“Hukum hudud adalah berkenaan dengan jenayah. Ulama yang alim dalam ajaran Islam dan hukum-hakam Islam tidak semestinya pakar dalam bidang jenayah. Keadaan dan jenayah di zaman Nabi tidak sama di zaman ini. Demikian masyarakat di Madinah, bahkan masyarakat di negara-negara Islam semasa hukum hudud dilaksanakan sepenuhnya amat berbeza dengan masyarakat di Malaysia di waktu ini.”
-           Ucapan Dr. Mahathir di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.

“Mufti adalah jawatan yang diwujudkan oleh pemerintahan negara-negara Islam selepas Nabi wafat untuk membuat keputusan berkenaan dengan soal-soal agama. Jawatan mufti diperlukan kerana keghairahan mereka yang mendakwa diri sebagai ulama untuk membuat fatwa dan tafsiran sendirian yang kerap bertentangan antara satu dengan lain yang mengelirukan umat Islam.”

“Saya ingin tegaskan bahawa perpecahan di kalangan umat Islam kepada berbagai-bagai mazhab dan kumpulan-kumpulan dengan berbagai-bagai amalan dan fahaman agama, sedangkan agama Islam hanya satu sahaja, adalah disebabkan oleh tafsiran dan ajaran oleh orang yang mengkhususkan dalam bidang agama dan faham bahasa Arab. Pengetahuan agama dan bahasa Arab tidak menjamin bahawa tafsiran dan ajaran mereka tepat, benar dan tidak berbeza. Sebenarnya kerana kepentingan tertentu ada di kalangan mereka yang kerap menyalahtafsirkan ajaran Islam.”
-          Ucapan Dasar Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 5 September 1997.

“Tetapi ajaran yang kerap disampaikan kepada umat Islam tertumpu semata-mata kepada kebahagiaan di akhirat. Jika ada sesiapa yang bercakap dan berusaha untuk kebahagiaan di dunia, maka ada sahaja orang yang mendakwa diri mereka ulama yang akan hukum orang itu bersalah dan tidak Islam. Bagi mereka Ad-Deen bermakna cara bersedia untuk menghadapi kematian semata-mata.

“Ajaran ulama inilah yang menyebabkan umat Islam menghabiskan hayat mereka semata-mata membuat persediaan untuk akhirat. Dan untuk ini berbagai-bagai ibadat dicipta dan ditokok-tambah untuk memenuhi masa hidup mereka. Dan jika ada sesiapa yang tidak mengikut ibadat tambahan ini, mereka dianggap sebagai kurang Islam atau tidak Islam.
“Kerana takut dituduh tidak Islam, ramai orang Islam yang membisu atau ikut mengamal ibadat-ibadat yang dicipta ini sehingga tidak ada masa lagi untuk mengejar kejayaan di dunia atau menjalankan dengan sempurna tugas biasa yang diamanahkan kepada mereka.”

“Tetapi yang lebih bersalah ialah mereka yang menafsir dan membawa ajaran yang dikatakan Islam yang menyebabkan umat Islam menjadi semakin lama semakin lemah, mundur, jahil dan mudah diperalat dan dipermainkan oleh musuh-musuh Islam. Mereka yang mengajar bahawa bagi umat Islam hidup di dunia hanyalah untuk persediaan bagi akhirat adalah orang yang bersalah besar. Umat Islam dan agama Islam tidak akan dihina jika tidak kerana ajaran ini.”
-          Ucapan Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 8 November 1991.

Kelima: Menjanjikan syurga adalah rasuah
“Menjanjikan syurga jika parti disokong juga merupakan satu jenis rasuah. Ia lebih murah dan mudah dibuat bagi mereka yang tidak takutkan Tuhan, tetapi lebih berkesan di kalangan orang yang kuat pegangan kepada agama. Dengan ini, bukan sahaja mereka kotor, agama juga turut dikotorkan.”
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Khas Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 Jun 1994.

Keenam: Riba harus kerana darurat
“Keadaan yang dihadapi oleh masyarakat Islam sekarang ini adalah cemas dan merupakan darurat. Pengambilan faedah (riba) adalah untuk maslahat umat Islam, kerana sekiranya faedah itu tidak diterima oleh orang Islam, wangnya mengeluarkan faedah kepada bank atau institusi lain. Jika bank itu bukan kepunyaan orang Islam, maka keuntungan dan faedah yang didapati itu akan pergi kepada orang bukan Islam. Sebenarnya banyak bank Zionis mendapat untung dari menyimpan wang orang Islam dan keuntungan ini sebahagiannya tentulah digunakan untuk kepentingan Israel.”
-          Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1987.

Ketujuh: Janggut bukan sunnah?
“Kalau kita hendak simpan janggut, simpanlah. Saya kata bukan tak boleh simpan. Saya tak simpanlah, tapi jangan kata saya kurang Islam sebab tak simpan janggut. Siapa tahu janggut Nabi macam mana? Siapa pernah tengok? Ada gambar ke? Kita tidak tahu. Ada pula kata janggut mesti sampai ke pusat. Apakah kita hendak jadikan ini ukuran agama Islam kerana kita berjanggut ikut Sunnah Nabi? Kita tak tahu! Kita tahulah dia ada janggut tapi tak tahu janggut dia macam mana. Zaman itu nak cukur mudah? Bukan ada gillette. Zaman Nabi ada gillette? Tak ada! Pisau cukur pun tak ada masa tu. Masalah hendak cukur. Kemudian dia pi jalan sana-sini naik unta bukan dapat air banyak, kawasan padang pasir.”
-          Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.

Kelapan: Gambaran negatif orang berkopiah
“Pakai kopiah belum tentu lagi Islam. Pergilah ke Sumatera tengok orang pakai kopiah lilit kain tebal-tebal, tapi masuk gereja. Di Pulau Bali, pakai kopiah bukan ada kena-mengena denga agama.”

“Bukan saya kata tidak boleh tudung kepala. Tetapi apa guna tudung kepala tetapi perkosa anak. Misalnya suami perkosa anak. Masuk dalam mahkamah pakai ketayap putih, isteri pula pakai tudung kepala. Tapi buat kerja apa?”
-          Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.

“Bukan semua orang yang pakai kopiah putih baik-baik belaka. Yang pakai kopiah hitam macam inipun (wakil di Perhimpuna Agung Umno) ini kadang-kadang baik juga.... Ada sebuah parti lain, kalau kita pergi tengok mesyuaratnya, nampak putih sahaja. Bukan setakat putih, wanita duduk di sebelah, tidak boleh campur (dengan lelaki seperti dalam Umno) kerana tidak dibenarkan oleh parti itu... Tetapi bila kita dengar syarahan-syarahannya, tidak ada lain selain dari mengata orang, bahawa orang itu tidak Islam, orang itu kafir. Adakah mereka (yang berkopiah putih) itu lebih Islam daripada yang pakai kopiah hitam ini? Jelas sekali kopiah putihkah, serbankah, tudungkah tidak menentukan paras keislaman kita.”
-          Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.

Kesembilan: Pertikai hukum menutup aurat wanita
“Yalah kita kena tutup auratlah. Tapi definisinya pun yang mana satu? Ada setengah kata kena tutup semua muka baru betul. Jadi adakah yang tak tutup muka kurang Islam? Kalau tutup pun setakat mana yang kita tutup? Dan kalau kita tidak tutup, adakah kita tidak Islam?
-          Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.

“Tujuan menutup aurat (wanita) ialah kerana di zaman nabi, Arab jahiliyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat. Tetapi di zaman ini di Malaysia kita amat keras berkenaan dengan menutup aurat. Hukuman keras disediakan terhadap mereka yang melanggar larangan ini. Bahawa orang yang menutup aurat ini membuang bayi, mendera dan membunuh anak, merogol dan melakukan berbagai-bagai jenayah seks tidak kita kaitkan dengan tujuan menutup aurat.”

“Dan jangan kita lupa orang yang menutup kepala juga melakukan jenayah seks tidak kurang daripada yang tidak menutup kepala. Sebabnya ialah kerana kita mengutamakan menutup kepala dan bukan pencegahan jenayah. Asalkan kita menutup kepala, sempurnalah amalan kita.”
-          Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 5 September 1997.

“Setengah daripada kita hendak pakai tudung dan setengah tidak pakai tudung. Kita tidak boleh ukur sama ada orang yang pakai tudung lebih Islamnya daripada yang tidak memakai tudung, kerana yang pakai tudung pun....”
-          Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.

Kesepuluh: Pertikai Hukum Syahid
“Saidina Hamzah yang gugur syahid di Uhud tidak dimandikan kerana tidak ada air, kerana terkorban di tengah-tengah padang pasir.”
-          Ucapan Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Ketil, Kedah pada tahun 1986 selepas tragedi Memali.

Kesebelas: Ruang maksiat sebagai menguji keimanan
“Kalau kita tutup langsung semua peluang untuk membuat jenayah dan maksiat, kita tidak boleh kata orang-orang dalam masyarakat itu sudah baik dan sudah menerima segala nilai-nilai Islam. Mereka cuma tidak dapat melakukan perkara yang tidak baik kerana tidak terdedah kepadanya. Sebaliknya, kalau seseorang itu sudah menerima dan menerap nilai-nilai Islam, di mana juga ia berada, tidak akan membuat sesuatu yang dilarang oleh agama Islam.”

“Sebab itu kadang-kadang kita berpendapat bahawa adalah lebih baik kalau kita menguji sedikit diri kita. Sepertimana di dalam negara kita ini, ada arak tetapi kita tidak minum, ada babi tetapi kita tidak makan. Begitu juga kalau ada judi, kita tidak berjudi. Kalau kita cuma tidak berjudi kerana (undang-undang), belum tentu kita berpegang kepada nilai itu. Tetapi jika kita nampak judi ada di sini dan kita tidak membuatnya, kita tahu sama ada kuat atau tidak kuat iman kita.”

“Kita tidak mahu menjadi manusia yang tidak terdedah sama sekali kepada maksiat, kepada peluang untuk berjenayah dan sebagainya. Kita perlu didedah, tetapi kukuhkanlah iman kita supaya kalaupun kita terdedah, kita boleh tahan.”
-          Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.

Keduabelas: Tidak sembahyang pun baik juga
“Ada wakil (Perhimpunan Agung Umno) yang bercerita tentang seorang wanita yang bersembahyang tidak berhenti-henti, tetapi mulutnya bercakap macam-macam sehingga batal habis sembahyangnya itu. Jadi kita tidak boleh mengatakan orang yang sembahyang itu adalah lebih Islam daripada orang yang tidak sembahyang. Orang yang tidak sembahyang mungkin tidak mengumpat, tidak mengatakan macam-macam terhadap orang lain lagi. Mereka ini juga orang baik.”
-          Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.

Dalam konteks politik tanahair, lebih-lebih lagi di Terengganu, tindakan Umno memperbesar-besar dan menghidupkan kembali isu ‘Amanat’ sebenarnya tidak memberikan apa-apa keuntungan politik baginya. Malah, seperti yang dikatakan tadi, ia mengundang tindak balas daripada pihak PAS yang nyata amat sukar bagi Umno menepisnya kembali. Bukankah itulah yang terserlah melalui petikan-petikan ucapan para pemimpin Umno di atas?

(Artikel ini adalah Bab 6 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

http://www.padredeumares.blogspot.com/2001/07/isu-amanat-umno-menjolok-sarang-tebuan.html

Tiada ulasan: