Jumaat, 14 Disember 2012

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Kementerian PM "Sengaja" Manipulasi Sains dan Matematik untuk Meningkatkan Jumlah Pelajar Lulus???

Posted: 14 Dec 2012 02:09 AM PST



[TMI] KUALA LUMPUR, 14 Dis — Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) didakwa "sengaja" memanipulasi standard lulus mata pelajaran Sains dan Matematik untuk membolehkan lebih ramai pelajar yang mengambil peperiksaan memperolehi keputusan baik, kata pemimpin DAP.

Dakwaan mengikut penilaian antarabangsa menunjukkan kedudukan Malaysia bagi dua mata pelajaran tersebut mengalami penurunan.

Dalam satu kenyataan bersama, Tony Pua dan Ong Kian Ming hari ini menegaskan, tindakan KPM "memudahkan" silibus pendidikan bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit adalah punca kepada penurunan standard pendidikan negara.

"Tindakan kementerian memudahkan silibus dan menurunkan markah lulus merupakan sebab utama penurunan standard sistem pendidikan negara kita," kata mereka dalam kenyataan tersebut mengenai peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kementerian telah memudahkan silibus bagi memberikan persepsi terdapatnya peningkatan prestasi, diukur melalui jumlah lulus dan 'A' yang diperolehi semasa peperiksaan," tambah mereka.

Jelas kedua-dua pemimpin DAP tersebut, tindakan itu lebih menyedihkan apabila Kajian Sains Dan Matematik Antarabangsa (TIMSS) pada tahun 2011 yang menunjukkan Malaysia merupakan negara yang mana pelajarnya mengalami penurunan mendadak bagi dua mata pelajaran tersebut.

Kajian berkenaan menunjukkan Malaysia memperoleh 440 mata dalam matematik untuk tingkatan dua ― bersamaan dengan gred lapan di seluruh dunia di belakang Korea Selatan, Singapura, Chinese Taipei, Hong Kong dan Jepun yang menduduki lima tangga teratas.

Pelajar berusia 14 tahun Malaysia juga gagal menyaingi rakan-rakan sebaya mereka di Israel dengan 516 mata, Lithuanian (502) dan Lebanon (449) disamping hanya di hadapan Thailand dengan perbezaan yang tipis, dengan mendapat 427 mata.

Dalam bidang sains, Malaysia mendapat 426 mata, bersamaan dengan Syria dan hanya mendapat mata tipis berbanding Palestin, Georgia, dan Oman yang mendapat 420 mata.

Singapura mendapat mata tertinggi dengan 590 mata, Chinese Taipei (564), Korea Selatan (560), Jepun (558), Israel (516), Kazakhstan (490) dan Thailand dengan 451 mata.

Tambah mereka, walaupun TIMSS menunjukkan penurunan yang amat ketara terhadap sistem pendidikan kita, lebih mengejutkan pelajar di sekolah menengah di negara ini terus memperolehi keputusan membanggakan setiap tahun bagi mata pelajaran matematik dan sains bagi PMR dan SPM.

"Penurunan Malaysia dalam pencapaian TIMSS yang diukur bersama dengan 59 negara lain jelas menunjukkan perbezaan ketara dalam pencapaian oleh pelajar yang sama dalam PMR dan SPM," kata Pua dan Ong.

Purata mata bagi TIMSS ialah 500 mata, dengan negara yang menunjukkan mata melebihi angka tersebut dianggap sebagai terbaik dalam dua bidang tersebut, manakala di bawah mata tersebut dianggap tidak mencapai prestasi yang dikehendaki.

Tony dan Ong turut menunjukkan Gred Purata Kebangsaan yang diperolehi pelajar bagi peperiksaan PMR dan SPM di negara ini.

"Bagi PMR, secara lebih tepat, mereka yang memperolehi A dalam matematik meningkat daripada 26.7 peratus pada 2010 kepada 28.9 peratus pada 2011, manakala bagi mata pelajaran sains, meningkat daripada 18.5 peratus pada 2010 kepada 21.7 peratus pada 2011.

"Pada masa sama, keputusan SPM kita pada 2011 dilaporkan antara yang terbaik sejak lima tahun, apabila Gred Purata Kebangsaan menunjukkan peningkatan daripada 5.19 pada 2010 kepada 5.04 pada 2011 (gred yang lebih rendah adalah skor yang baik)," kata mereka.

TIMSS adalah kajian selama empat tahun untuk pendidikan sains dan matematik bagi gred empat dan lapan di seluruh dunia ― atau Darjah Empat dan Tingkatan Dua mengikut sistem pendidikan Malaysia.

Bagaimanapun, bagi Malaysia kajian hanya dilakukan bagi peringkat sekolah menengah dalam kajian tersebut.

Dalam kajian TIMSS menunjukkan Malaysia masih tidak mencapai prestasi yang baik dalam tiga kajian sebelum ini dalam dua bidang tersebut yang dianggap penting untuk negara mencapai negara berpendapatan tinggi.

Pada tahun 2007, purata pelajar Malaysia mendapat 474 mata di dalam matematik dan 471 di dalam sains dalam kajian TIMSS.

Pada tahun 1999, purata bagi pelajar ialah 519 mata bagi matematik dan 492 bagi sains.

Justeru, Pelan Pembangunan Pendidikan (NEB) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini jelas Tony dan Ong perlu mengakui secara terbuka kementerian berkenaan melakukan tindakan "memudahkan" silibus dalam sistem pendidikan negara.

"NEB perlu secara terbuka mengakui terdapatnya tindakan memudahkan sistem pendidikan kita," kata mereka.

"Pelan tersebut bukan sahaja mengabaikan perkara itu, malah turut memuji pencapaian akademik pelajar dalam peperiksaan PMR dan SPM.

"Sekiranya Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal untuk memulihkan proses tersebut, dan meningkatkan standard peperiksaan dan silibus kita, kami yakin, bukan hanya setakan NEB akan gagal, kedudukan Malaysia dalam TIMSS akan terus menjunam pada masa akan datang," tegas mereka lagi.


Komplot "Culik, Potong Kemaluan, Bunuh" Justin Bieber Gagal

Posted: 13 Dec 2012 07:42 PM PST


BIEBER menjadi sasaran rancangan pembunuhan Staake (kanan) dan Ruane.

[HM] LOS ANGELES: Satu rancangan sulit untuk menculik, memotong kemaluan dan membunuh penyanyi pop remaja, Justin Bieber, berjaya digagalkan polis.

Menurut laporan media semalam, rancangan itu sepatutnya dilaksanakan ketika Bieber, 18, mengadakan konsert di Madison Square Garden, New York, bulan lalu.

Sumber berkata, dua lelaki ditahan dan seorang daripadanya didapati memiliki sepasang gunting pemangkas di dalam kereta.

Kata sumber, suspek dikenali sebagai Mark Staake dan anak saudaranya, Tanner Ruane.

"Staake dan Ruane diupah untuk membunuh Bieber oleh seorang banduan, Dana Martin, yang kini menjalani hukuman penjara selama 978 tahun atas kesalahan merogol dan membunuh," katanya. 
 
Martin sebelum ini disabitkan kesalahan merogol dan membunuh seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada 2000.

Menurut sumber, Staake adalah rakan satu penjara Martin dan rancangan itu dibuat ketika mereka sama-sama ditahan di Las Cruces, New Mexico.

Selain Bieber, katanya, Staake turut dilatih untuk membunuh tiga individu lain.

Sumber lain berkata, Martin menawarkan imbuhan bernilai AS$2,500 (RM7,600) bagi setiap zakar mangsa yang diserahkan Staake dan Ruane kepadanya.

Katanya, Staake dan Ruane merancang menculik Bieber sebelum membunuh penyanyi itu menggunakan tali leher.

"Mereka juga akan memotong kemaluan Bieber," katanya. 
 
Sementara itu, polis berkata, Martin dipercayai terlalu taksub kepada Bieber, malah dia turut memiliki satu tatu yang sama seperti yang ada di kaki penyanyi Kanada berkenaan. 
 
Kata polis, Martin mengarahkan Staake melaksanakan "pembunuhan dan memotong kemaluan Bieber serta pengawal peribadi selebriti terbabit." Bagaimanapun, rancangan itu terdedah apabila Martin sendiri membocorkan maklumat mengenainya kepada polis, membolehkan pihak berkuasa kemudian menahan Staake di Vermont.

Ruane pula diberkas ketika dalam perjalanan ke New York. Kata polis, mereka mencuri dengar perbualan Ruane ketika dia menghubungi Martin.

Dalam perbualan itu, kata sumber, Ruane meminta maaf kerana banduan terbabit rancangan mereka belum dijalankan seperti sepatutnya.

Sementara itu, ibu Ruane, Kristin Cashman, menganggap kes itu "mengarut." - TS
 
 
 

Lelaki Berusia 42 Tahun Hadapi Tuduhan Rogol, Liwat, Bunuh

Posted: 13 Dec 2012 04:51 PM PST

Rabidin dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat.

[SH] BENTONG - Penjenayah kejam paling dikehendaki, Rabidin Satir, 42, dituduh di Mahkamah Majistret Bentong dan Mahkamah Sesyen Raub atas kesalahan merogol dan membunuh mangsa bawah umur antara tahun 2009 dan 2011.

Dua pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Bentong manakala lima lagi di Mahkamah Sesyen Raub.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong dalam keadaan tangan bergari, dengan kawalan ketat kira-kira jam 9.05 pagi, dengan berpakaian lokap berwarna oren.

Dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan merogol Annie Kok Yin Cheng, 17.

 Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir, kejadian berlaku pada 7 Mac 2009 antara jam 11.30 malam hingga 1.50 petang, 8 Mac 2009 di sebuah rumah di Lot 4168 Kampung Ketari.

Ketika kes dibacakan, tertuduh kelihatan tenang kemudian menganggukkan kepala dan menjawab faham dengan pertuduhan itu.

Majistret, Nurliyana Ismail menetapkan 17 Januari 2013 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah Sesyen Raub pula menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 untuk setiap pertuduhan kerana lelaki itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan kedua hingga kelima iaitu  merogol mangsa bawah umur.

Bagaimanapun, dia mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama iaitu merogol seorang kanak-kanak berusia 9 tahun 5 bulan tetapi Hakim Murtazadi Amran, tidak membenarkan ikat jamin kerana bimbang akan menganggu mangsa.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwaraya Atiqah Liyana Shahrir memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap kes.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, dia dituduh merogol kanak-kanak berusia 9 tahun 5 bulan di antara jam 2 pagi hingga 3 pagi di dalam sebuah bilik di Taman Sri Marong, Bentong pada 9 Julai 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Rabidin yang berasal dari Sabah itu dituduh merogol remaja berusia 17 tahun di dalam bilik di Kilometer 5, Jalan Kuala Lumpur- Bentong di antara jam 1 hingga 3 pagi pada 21 Jun 2010.

Pertuduhan ketiga membabitkan jenayah rogol kanak-kanak berusia 8 tahun 2 bulan di tepi sungai belakang rumah dekat Ketari, Bentong antara jam 12.30 pagi hingga 1.30 pagi pada 29 April tahun lalu.

Rabidin turut menghadapi dua lagi pertuduhan bagi kes keempat membabitkan remaja berusia 16 tahun 5 bulan iaitu rogol dan liwat dalam bilik di sebuah rumah di Ketari, Bentong antara jam 1 pagi hingga 2.30 pagi.

Rabidin dituduh membabitkan Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan, Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun keseksaan.

Hakim Murtazadi Amran,  menetapkan 31 Januari 2013 sebagai tarikh sebutan semula kes.


Susulan Kes Jurujual, Dirompak, Dirogol di Kemaman

Posted: 13 Dec 2012 04:39 PM PST


[Bernama] KEMAMAN - Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat kes rompak dan rogol seorang jurujual di Chukai di sini, awal bulan lalu.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di Bandar Baru Air Itam, Pulau Pinang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang pada jam 3.35 pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, lelaki itu ditahan berdasarkan lakaran wajah suspek yang dibuat oleh mangsa.

"Suspek berasal dari Pulau Pinang dan adalah pesalah di bawah Akta Kediaman Terhad yang dibuang daerah ke Kemaman. Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam kejadian pada jam 10.30 Ahad lalu, seorang jurujual berumur 18 tahun dirompak dan dirogol oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau di bilik asrama pekerja yang disediakan majikan wanita itu.


Laporan awal di sini.


  

Tiada ulasan: