DIALOG RAKYAT |
- Anwar cabar Najib debat isu ekonomi negara
- Malaysia juara rasuah di dunia – Akhbar India
- Timbalan Exco Agama Gagal Menjawab Soalan Ketua Cawangan PAS
- Penangguhan Perlaksanaan AES, GST Dan Lain-lain Kerana Pilihanraya
- Dataran Komuniti Mokhtar Dahari Kenang Jasa Super Mokh
- Dr Maszlee : Tidak Mustahil Lebih Ramai Agamawan Sertai DAP
- Insiden Sg Petani: Blogger UMNO Paling Kuat Mainkan Sentimen Perkauman
- Cukai Taksiran MBSA Antara Terendah, Hanya Babitkan Kilang
- Aksyah: Saya ‘kenal’ siapa kamu, kata Lahirul
- Cengkaman politik Umno rosakkan reputasi Utusan
- Pemandu lapor polis dakwa terima saman AES salah
- Mahkamah Tinggi batal saman peneroka terhadap Najib
- 36 ditahan terlibat kes gaduh di Sungai Petani
- Ribuan dijangka sertai satu lagi protes anti-Lynas
- Mat Sabu: Mari lepas marah anda secara aman pada k'jaan
- Peguam misteri dalam SD2 Bala digesa tampil kehadapan
- Peguam tidak terlibat dalam semakan SD Bala, kata ketua panel SPRM
- Musa Hassan berhadapan saman RM100j kerana menfitnah
- Sabah minta Kementerian Pengangkutan selesaikan masalah membabitkan landasan KKIA
- Semua parti dicadang hantar nama calon PRU-13 untuk ditapis oleh SPRM
- Insiden Sg Petani: Blogger Umno bertanggungjawab sebar fitnah
- Rasuah punca Stadium Sultan Mizan bernilai RM300 juta runtuh
- 13 Jenis Barangan Harga Terkawal
- TIMMS 2011 : Pendidikan di Malaysia (Sains & Matematik Jatuh 6.3 Mata) Kedua Paling Teruk Selepas Yemen!
- BN Akan Turunkan Siapa Di Kerusi Parlimen Kuala Krai?
Anwar cabar Najib debat isu ekonomi negara Posted: 20 Dec 2012 03:32 PM PST Oleh Aliff Fikri PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim cabar Datuk Seri Najib Razak berdebat isu ekonomi, supaya Perdana Menteri boleh buktikan rekod pengurusan ekonomi negara berada dalam keadaan baik semasa pentadbirannya. "Saya sekali lagi mencabar beliau untuk berdebat dan berbahas mengenai pengurusan ekonomi negara. "Saya lontarkan cabaran ini kerana yakin isu ini merupakan isu yang paling menarik minat rakyat dalam menghadapi PRU 13 (Pilihan Raya Umum ke 13) kerana rakyat nak tahu bagaimana tata kelola pengurusan ekonomi yang baik. "Najib harus terima cabaran ini untuk buktikan rekod pengurusan ekonomi beliau yang didakwa berada dalam keadaan baik, bukannya mengelak dari menjawab isu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini. Laporan terbaru oleh Global Financial Integrity (GFI) meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling teruk dalam senarai pengeluaran wang haram di kalangan negara-negara membangun di seluruh dunia. Laporan itu menyebut, Malaysia merupakan satu-satunya negara di kedudukan tercorot meningkat sekali ganda pengeluaran aliran wang haram dari 2009 hingga 2010. Jumlah wang haram meningkat 111 peratus daripada US$30.4 bilion (RM94.27 bilion) pada 2009 kepada US$64.38 bilion pada 2010. Dalam pada itu, Ketua Umum KEADILAN memaklumkan, sidang medianya memfokus kepada aliran wang haram yang dimulakan hari ini akan diteruskan sehingga menjelang PRU 13. "Kita tidak mahu ketiadaan disiplin dalam tata kelola ekonomi akan menyebabkan negara ini ranap. Kita juga tidak mahu penyelewengan dan rasuah ini berterusan dalam negara," kata bekas Menteri Kewangan itu. "Sidang media ini perlu untuk kita sentiasa memberi penerangan berhubung perkara yang berhubung kait dengan kegiatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, akhirnya mengakibatkan percambahan ekonomi negara berada dalam keadaan membimbangkan," tegas Anwar. Hadir sama dalam sidang media itu, Ketua Penerangan, Dr Muhammad Nur Manuty; Naib Presiden, Datuk Chua Jui Meng dan Pengarah Strategi, Rafizi Ramli. Bagi menyelesaikan perkara itu, kata Anwar, beliau akan menjemput Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, Global Financial Integrity (GFI) dan Menteri Besar/Ketua Menteri dari negeri Pakatan Rakyat ke satu program meja bulat pada Januari tahun hadapan. "Saya percaya negara memerlukan pendekatan membina untuk menyelesaikan masalah ini. Langkah segera perlu diambil dengan memuktamadkan pelan tindakan yang perlu dilaksanakan, bukannya dengan mengelak dari menjawab isu seperti mana gelagat Najib ketika ini," kata Anwar. | ||||
Malaysia juara rasuah di dunia – Akhbar India Posted: 20 Dec 2012 03:27 PM PST Oleh Aliff Fikri KUALA LUMPUR : Malaysia menjuarai amalan rasuah dan paling korup di dunia, lapor akhbar India, Hindustan Times 13 Disember lalu. Demikian kupasan akhbar tersebut merujuk laporan badan pemantau rasuah, Transparency International (TI) bahawa Malaysia mendapat markah terburuk dalam Kaji Selidik Pembayar Rasuah 2012, sepertimana dilapor The Wall Street Journal 11 Disember. Bertajuk 'Malaysia is world champion in corruption', Hindustan Times turut memetik markah keseluruhan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah TI merosot dalam tiga tahun berturut-turut. Pada 2011, Malaysia mendapat 4.3 markah, lebih rendah daripada 2012 (4.4 markah) dan jauh berbeza berbanding penanda aras kerajaan, iaitu 4.9 markah. Mengikut laporan itu, 50 peratus syarikat di Malaysia pernah kehilangan kontrak ekoran syarikat pesaing yang membayar rasuah. Mexico pula mendapat peratusan kedua terendah dengan 48 peratus. Dalam kajiselidik tersebut, Jepun mendapat markah terbaik dengan 2 peratus, Singapura di tangga kedua dengan 9 peratus, China dengan 27 peratus dan Indonesia, yang memiliki reputasi dalam soal rasuah, malah mendapat markah lebih baik dari Malaysia dengan 47 peratus, kata laporan itu. Mengulas laporan berkenaan, Naib Presiden KEADILAN, Datuk Chua Jui Meng menyifatkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat 'pengiktirafan' oleh komuniti dan media antarabangsa di atas 'penganugerahan' tersebut. "Tahniah Najib, kerana berjaya membawa malu besar kepada bangsa dan negara. "Seluruh dunia kini mengetahui anda sedang memimpin negara yang paling korup di muka bumi," kata Jui Meng dalam kenyataan. Menurutnya, sejak dari dulu, pimpinan tertinggi Umno yang mengamalkan rasuah terlepas dari sebarang hukuman. "Sejak dari 1983, ia tetap sama. Sepertimana kes pembunuhan jurubahasa Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengan amalan rasuah melibatkan kewangan negara oleh Kementerian Pertahanan berhubung pembelian dua buah kapal selam Scorpene buatan Perancis pada harga yang melambung sehingga RM6.7 bilion," katanya. Beliau berkata, walaupun dua anggota polis disabitkan kesalahan, motif pembunuhan tersebut tidak pernah diketahui. "Persoalannya, rakyat tidak pernah tahu apakah motif pembunuhan? Siapa yang mengarah? Mengapa guna bahan letupan C4 untuk meletupkan tubuhnya? Dan anak siapakah yang dikandung oleh Altantuya yang didapati hamil ketika dibunuh?" ujarnya. Beliau turut menyeru rakyat membuat pilihan tepat pada PRU 13 supaya negara tidak lagi mendapat pengiktirafan yang memalukan sebegini. "Rakyat perlu membuat keputusan bijak pada PRU 13 nanti untuk menyelamatkan negara dari terus dilanda bencana ekonomi yang boleh membankrapkan negara sepertimana amalan Umno BN yang semakin teruk di bawah pentadbiran Najib," kata Jui Meng. Dalam isu berkaitan, laporan terbaru Global Financial Integrity (GFI) meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling teruk dalam senarai aliran keluar wang haram. GFI merumuskan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Laporan itu mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia – dari US$30.41 bilion (bersamaan RM94.27 bilion) pada 2009 kepada US$64.38 (bersamaan RM199.58 bilion) dalam tahun 2010. Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih 10 tahun – dari 2001-2010 – Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico. Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah US$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah US$2,740 bilion dan Mexico, US$476 bilion. | ||||
Timbalan Exco Agama Gagal Menjawab Soalan Ketua Cawangan PAS Posted: 20 Dec 2012 03:19 PM PST Wartawan BuletinKUALA NERUS - Timbalan Exco Agama kerajaan Umno dan Barisan Nasional negeri Terengganu YB Ramli Nuh gagal menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ketua Cawangan PAS Bukit Berangan, Haji Awang Yaakub.Pada 11 Disember lalau, Haji Awang yang dikenali sebagai 'Pak Zar' telah menyoal Ramli Nuh secara langsung ketika Ramli Nuh sedang berucap pada satu Majlis pemberian baucer 'Wang Ehsan' di kampung terbabit. Menurut Pak Zar, beliau terpanggil untuk mmengemukakan soalan mengenai kezaliman Umno apabila dicabar secara terbuka oleh ADUN Tepoh terbabit. "saya bukan mahu mengganggu majlis itu, tapi dia cabar dalam ceramahnya dua tiga kali, mana orang PAS? Tolong beri tahu di mana zalimnya Umno, jadi saya pergi tanya,"kata Pak Zar. Katanya Ramli Nuh bukan sahaja melontarkan cabaran bahkan membuat pelbagai tohmahan serta tuduhan yang tidak benar. Antaranya, kata Pak Zar, Ramli Nuh menuduh PAS hanya berkata mahu melaksanakan Islam tetapi berkawan dengan orang-orang bukan Islam yang tidak mahu Islam. Selain itu, menurut Pak Zar, Ramli Nuh juga berkata PAS kini menjadi 'keldai tunggangan' DAP dalam pemuafakatan Pakatan Rakyat. Oleh itu, kata Pak Zar, beliau bertanya dan meminta penjelasan Ramli Nuh tentang dengan ayat al-Quran yang menegaskan, barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, mereka adalah orang-orang yang zalim. Namun, bukan sahaja tidak ada jawapan yang diberikan oleh Ramli Nuh berkenaan persoalan tersebut, bahkan, menurut Pak Zar, Ramli Nuh melencong kepada perkara-perkara lain. >>>Dengar dan lihat penjelasan Pak Zar | ||||
Penangguhan Perlaksanaan AES, GST Dan Lain-lain Kerana Pilihanraya Posted: 20 Dec 2012 03:16 PM PST smnoorRakyat diingatkan penggantungan beberapa keputusan besar kerajaan hanyalah bersifat sementara, menjelang PRU13 sahaja. Terkini keputusan menggantung semua saman AES dibuat kerana bantahan orang ramai dan usaha gigih Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang diterajui PAS terhadap peraturan yang menindas rakyat.Walaupun Menteri Pengangkutan serta anggota kabinet telah berulang kali menyatakan AES tetap akan dilaksanakan, namun terkini ia ditangguhkan oleh Jabatan Peguam Negara. Yang aneh Menteri putus untuk laksana, manakala Peguam Negara boleh batal arahan Menteri. Inilah caca-merba yang sedang melanda Malaysia. Tidak tahu siapa buat polisi dan siapa pelaksana polisi. Kalau begini keadaan lebih baik salah seorang letak jawatan. Kalau kira patut peguam negara kerana melanggar arahan menteri, tetapi kalau difikir semula arahan peguam negara dijadikan keputusan, bukan arahan menteri, maka eloklah menteri tu letak jawatan. Oleh kerana PRU13 dianggap sebagai PRU yang paling penting dalam sejarah negara di mana banyak projek mega untuk kroni terpaksa ditangguh dahulu kerana BN khuatir ia akan menjadi peluru bagi PR. Di saat PR membawa isu utama bagi kepentingan rakyat, BN masih terkial-kial menggunakan isu lapuk seperti serangan kepada Tuan Guru Presiden PAS, serangan peribadi pimpinan PR dan ugutan dalam mencari sokongan. Apa pun rakyat perlu sendiri ingat, bahawa semua penangguhan ini samada AES, GST, tarif elektrik, cukai telefon pra bayar dan lain-lain hanyalah bersifat sementara. Kesemua 'hadiah penangguhan' ini hanya menanti keputusan pilihanraya umum sahaja sebelum ditarik balik. Kalau keputusan menyebelahi BN, maka semua yang ditangguhkan ini akan dikuatkuasa semua, dan rakyat akan terus terbeban dengan pelbagai peraturan yang menyusah dan tidak masuk akal. Di waktu yang sama, kroni terus mendapat habuan dari kalangan pemimpin BN, yang sedang kelaparan di keliling mereka. Rakyat mempunyai kuasa memilih, samada ingin peraturan yang membebankan mereka diterus atau dibatalkan sahaja. Mengekalkan BN bermakna penangguhan sementara akan dikuatkuasa semula, atau menumbangkan BN, maka peraturan itu akan terus dibatalkan. Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man Ketua Penerangan PAS Pusat | ||||
Dataran Komuniti Mokhtar Dahari Kenang Jasa Super Mokh Posted: 20 Dec 2012 03:12 PM PST PANDAN: Dewan serbaguna yang akan dibina semula di Jalan Pandan Mewah, Kg Pandan akan dinamakan sebagai Dataran Komuniti Moktar Dahari sempena mengenag lagenda bola sepak Selangor dan Malaysia itu. Perkara ini dicadangkan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad. Menurutnya mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 7 November lalu meluluskan peruntukan di bawah Geran Selangorku untuk membina semula dewan yang sedia ada di situ. "Di sebelah dewan tersebut terdapat sebuah padang yang digunakan untuk bermain bolasepak oleh penduduk tempatan. "Adalah dicadangkan padang ini dinaiktaraf dan bersama-sama dengan dewan yang baru itu dinamakan Dataran Komuniti Mokhtar Dahari. "Allahyarham Mokhtar Dahari pernah tinggal dan bermain bolasepak di Kg Pandan," katanya dalam satu kenyataan media. Setakat ini tidak ada sebarang mercu tanda di kampung itu untuk memperingati jasa-jasa Allahyarham. Walau bagaimanapun cadangan ini adalah tertakluk kepada persetujuan keluarga Allahyarham. Cadangan-cadangan rekabentuk dewan itu yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dipamerkan kepada penduduk Kg. Pandan. MPAJ menyiapkan lukisan-lukisan dan dokumen tender untuk dewan tersebut dan bersedia meneruskan kerja-kerja selanjutnya. Anggaran dewan yang baru ini adalah lebih kurang RM500,000 dan akan mengambil masa 8 bulan untuk menyiapkannya. Adalah diharapkan majikan Allahyarham seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga akan dapat menyumbang kepada projek mewujudkan dataran ini memandangkan Allahyarham pernah mengharumkan nama PKNS ketika bermain untuk pasukan bolasepak mereka. "Sebagai Ahli Dewan Negeri kawasan tersebut, saya berpandangan telah tiba masanya dataran ini diwujudkan agar nama Allahyarham tidak dilupakan oleh generasi akan datang di samping menyediakan kemudahan awam yang secukupnya untuk rakyat," katanya. | ||||
Dr Maszlee : Tidak Mustahil Lebih Ramai Agamawan Sertai DAP Posted: 20 Dec 2012 03:08 PM PST SHAH ALAM: Tidak mustahil lebih ramai golongan agamawan Islam seperti ustaz menyertai DAP suatu hari nanti kerana parti itu merupakan parti yang berbilang kaum seperti PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Penyertaan golongan agamawan di dalam DAP juga tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang menghairankan kerana DAP hari ini dilihat sebagai sebuah parti sosial demokrat yang memperjuangkan tadbir urus yang baik seperti mana PKR dan PSM. Demikian menurut Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Dr Maszlee Malik kepada TV Selangor. "Sebagai parti yang majmuk mereka perlu ada kepelbagaian wajah, maksud saya bukan sahaja golongan agamawan Islam sahaja, sekarang ini pun dah ada aktivis Kristian dan Buddha, mengapa tidak ada ustaz-ustaz atau aktivis Islam di dalamnya. "DAP sendiri, setahu saya sudah ada kumpulan ustaz yang dah masuk DAP seperti Abdul Hakim, Mustakim dengan Fakri," kata Dr Maszlee. "Dalam PKR dan PSM yang sama seperti DAP nak tegakkan keadilan, 'good governance' dah ada golongan seperti Dr Manuaty, Dr Badrol Amin dan lain-lain," ujar Dr Maszlee. Sebelum 1998, masyarakat Melayu dilihat seolah-olah 'takut' mendekati parti DAP apabila selama lebih 50 tahun media arus perdana berjaya mainkan peranan mereka dengan memberikan gambaran bahawa DAP sebagai sebuah parti perkauman orang-orang Cina. Bagaimanapun tembok pemikiran lama masyarakat Melayu terhadap DAP mulai runtuh sedikit demi sedikit apabila tercetusnya kebangkitan gerakan Reformasi pada 1998. Kepercayaan masyarakat Melayu terhadap DAP dilihat semakin bertambah apabila parti itu menjalin kerjasama selepas pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di parlimen. Malahan PAS yang turut menjadi mangsa media arus perdana dengan label ekstrimis Islam turut bersedia menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR, seuatu yang dianggap mustahil sebelum tahun 1998. | ||||
Insiden Sg Petani: Blogger UMNO Paling Kuat Mainkan Sentimen Perkauman Posted: 20 Dec 2012 06:04 AM PST KELAB GREENBOC Fitnah insiden Sungai Petani, propaganda jahat Umno BN untuk pecah belah kaum Sungai Petani dikejutkan dengan berita kononnya berlaku pergaduhan antara kaum cuba diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan khabar angin pergaduhan besar berlaku di beberapa kawasan. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah membuat pemerhatian penuh melalui aktivis SAMM yang menetap di Sungai Petani membuat kesimpulan bahawa, pada permulaannya hanya terdapat pergaduhan kecil membabitkan kumpulan anak muda yang gagal mengawal diri dan tiada sebarang kebencian antara kaum berlaku di sebalik pergaduhan tersebut. Namun campurtangan kumpulan ekstrim kaum merencatkan suasana dan mampu mengundang kecelakaan lebih besar. Semua ini terjadi hasil daripada politik perkauman ekstrem Umno dan Barisan Nasional yang sering melagakan kaum. Poltik perkauman ekstream Umno Barisan Nasional umpama memasang bom jangka di kalangan masyarakat. Inilah yang mereka mahu, pergaduhan antara kaum akan menyebabkan setiap kaum berpaut kepada parti berasaskan kaum bagi berlindung lantas memberi sedikit nafas kekuatan biarpun memberi kesan buruk kepada seluruh kemasyarakatan dalam jangka masa yang panjang. SAMM berpendapat tiada gunanya berbilion wang ringgit dibelanjakan atas nama perpaduan semenjak merdeka. Kewujudan Jabatan Perpaduan contohnya hanya membazir bila regim Umno Barisan Nasional sendiri sentiasa membakar api perkauman. Walaubagaimanapun, keadaan di Sungai Petani terkawal di atas tahap kesedaran yang baik dari kalangan rakyat Malaysia yang belajar betapa pergaduhan antara kaum hanya akan memberi kelebihan kepada parti perkauman seperti Umno. Rakyat pasti tidak sedia untuk memberi nafas baru kepada Umno dan seraya itu menolak sebarang usaha mengembangkan propaganda jahat golongan ini kononnya pergaduhan besar antara kaum berlaku dan merebak ke serata tempat. SAMM dengan segala rangkaian kekuatan bertekad memastikan negara ini stabil lebih-lebih lagi dengan pilihanraya yang menjelang, kesempatan pastinya diambil oleh Umno dan Barisan Nasional. SAMM akan menyekat segenap ruang terutamanya berita yang membangkitkan bibit-bibit pergaduhan antara kaum, ketika kepedulian pihak berkuasa terhadap blog pro-Umno yang membawa propaganda jahat tidak diambil tindakkan malah menjadi bahan berita untuk media perdana yang dikuasai Barisan Nasional. SAMM menggesa orang ramai di seluruh negara khususnya di Sungai Petani bertenang dan tidak menghadam berita yang mengghairah kebencian antara kaum. Yakinlah segala usaha 'orang jahat' itu tidak akan berhasil selagi kita menggenggam pedoman betapa isu perkauman sudah berkubur tidak ada dalam kamus Malaysia baru. Badrul Hisham Shaharin Ketua Penyelaras SAMM Kebangsaan Insiden Sg Petani: Blogger Umno bertanggungjawab sebar fitnahbr> | ||||
Cukai Taksiran MBSA Antara Terendah, Hanya Babitkan Kilang Posted: 20 Dec 2012 05:58 AM PST SHAH ALAM: Kenaikan cukai taksiran yang dikenakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh khususnya pemilik kilang-kilang di kawasan itu adalah antara yang terendah di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, sebagai contoh, kadar cukai taksiran di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah 8.8 peratus, Majlis Perbandaran Kajang (MPkJ) adalah di antara 9.35 hingga 11 peratus dan Majlis Perbandaran Selayang adalah 10.8 peratus. Katanya, kadar cukai taksiran di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh yang dahulunya dikira mengikut kategori pertanian iaitu di antara satu hingga dua peratus dan setelah pengiraan semula dilakukan mengikut kategori perindustrian iaitu tujuh hingga 7.5 peratus. "Semakan nilaian ini dilakukan berdasarkan beberapa perkara antaranya perubahan status kegunaan tanah dari tanah pertanian (kosong) kepada tanah industri, tanah kosong yang didirikan bangunan. "Bagi Kampung Baru Sungai Buloh, semakan dilakukan MBSA pada tahun 2012 dan didapati banyak bangunan baru didirikan, terdapat juga perubahan kepada kegunaan bangunan serta kediaman yang dibina bangunan kilang," katanya ketika sidang media di Wisma MBSA hari ini. Sebelum ini, Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendakwa kenaikan cukai pintu sehingga 10 kali ganda berlaku di Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang serta kawasan lain mulai tahun depan. Mohd Jaafar berkata, rata-rata kilang di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh merupakan kilang yang besar dan cukai yang dikenakan masih berpatutan jika dikira berdasarkan pengeluaran yang dikeluarkan kilang di kawasan itu. "Kebanyakan produk kilang-kilang di kawasan itu ada yang dieksport ke luar negara dan mengeluarkan produk bermutu tinggi namun cukai taksiran yang dikenakan masih rendah," katanya. Sementara itu, Kerajaan Negeri membentuk Jawatankuasa Mendengar Bantahan Peringkat Negeri yang dipengerusikan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah dan turut dianggotai beberapa wakil dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Negeri Selangor serta wakil daripada Pejabat Perbendaharaan Negeri. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri dan MBSA turut mengadakan sesi dialog sebanyak dua kali sepanjang tahun ini bagi menjelaskan kepada penduduk di Kampung Baru Sungai Buloh berkenaan kenaikan cukai ini. MBSA turut membuka kaunter penerangan mulai 20 November lalu setiap hari Selasa dan Rabu sehingga bulan Disember ini bagi membantu pemilik tanah mendapatkan makluman berkenaan permohonan kebenaran merancang, permohonan bayaran premium tanah dan lain-lain. "Kaunter penerangan ini turut diserta agensi-agensi luar seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta Jabatan Pengaliran dan Saliran Selangor," katanya lagi. | ||||
Aksyah: Saya ‘kenal’ siapa kamu, kata Lahirul Posted: 20 Dec 2012 05:55 AM PST
Ketuanya Lahirul Latigu berkata, biarpun Aksyah membuat pengakuan telah meletakkan jawatan dalam Pemuda Umno sebelum dilantik Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Negeri Sabah , namun beberapa persoalan berkaitan 'kecenderungan' beliau masih boleh dipersoalkan. "Sungguhpun beliau (Aksyah) sudah menjawab kenyataan dengan memberikan gambaran sudah lama meletak jawatan dalam pemuda Umno sebelum terlibat sebagai pegawai di SPR Sabah, namun itu bukanlah satu jaminan kukuh bahawa beliau tidak terlibat sepenuhnya. "Persoalannya, adakah benar beliau sudah meletak jawatan dalam Umno, dan dengan memegang jawatan penting dalam pemuda Umno, adakah beliau benar-benar 'bersih' dan tidak 'bias' terhadap parti yang diwakilinya?" soal Lahirul dalam satu kenyataan hari ini. Menurut Lahirul lagi, hasil siasatan pihaknya mendapati Aksyah mempunyai peranan penting dalam memenangkan Umno dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu serta beberapa Pilihanraya Kecil (PRK) sama ada secara langsung mahupun tidak atau di belakang tabir. Oleh kerana itu jelasnya, pihaknya khuatir sekiranya Aksyah masih memegang jawatan SPR, pelbagai kemungkinan yang tidak mustahil bakal berlaku. "Justeru, kita mendesak supaya Aksyah meletak jawatan daripada memegang sebarang jawatan yang berkaitan SPR secara terhormat. "Saya kenal siapa Aksyah," tegasnya. | ||||
Cengkaman politik Umno rosakkan reputasi Utusan Posted: 20 Dec 2012 05:49 AM PST
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong pandangan mantan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang bahawa Utusan perlu berubah jika mahu kekal relevan sebagai akhbar nasional. Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata selagi mana Utusan dipengaruhi parti politik khususnya Umno, selagi itu ianya terus terbelenggu sehingga terpaksa mengikut telunjuk pihak tertentu. "Bagi saya, pandangan Datuk Seri Azman Ujang wajar diberikan perhatian. Utusan Malaysia, akhbar yang diangkat sebagai akhbar nasional dan menduduki tempat pertama akhbar arus perdana akan terus merosot jualannya jika mereka kekal sebegini. "Malah, mentaliti atau persepsi rakyat sudah meletakkan Utusan sebaris dengan akhbar nyamuk yang tidak ada harga untuk dibaca," katanya. Azman Ujang sewaktu bercakap di forum 'Utusan: Kewartawanan Dahulu dan Kini' di Dewan Bahasa dan Pustaka semalam dilaporkan berkata, pendirian editorial Utusan yang membawakan agenda pro Melayu tidak cocok dengan demografi Sabah dan Sarawak. Beliau juga berpandangan Utusan mempunyai toleransi yang agak rendah terhadap parti-parti pembangkang serta bersikap tidak lunak terhadap ahli-ahli politik pembangkang dalam pemberitaannya. Mengulas lanjut Riduan berkata, pendirian Utusan itu telah menyebabkan akhbar yang dilabel sebagai 'akhbar Umno' itu acapkali disaman oleh pemimpin parti politik dan ada kes mereka kalah di mahkamah. Ini katanya, menjadi bukti pemberitaannya yang berat sebelah serta mengandungi elemen fitnah atau mengadu domba. "Kekerapan Utusan naik turun mahkamah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan untuk membacanya, apatah lagi untuk memilikinya," katanya. "Saya yakin, jika Utusan berani melakukan perubahan drastik seperti yang dihasratkan, harapan mereka menjadi akhbar terlaris di negara ini pasti menjadi kenyataan. Malah, mungkin boleh menyelamatkan nyawa Umno BN yang kini tinggal nyawa-nyawa ikan dalam survival politik mereka," katanya. | ||||
Pemandu lapor polis dakwa terima saman AES salah Posted: 20 Dec 2012 05:41 AM PST Seorang pemandu membuat laporan polis berhubung saman kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diterimanya pada 24 Oktober lalu kerana mendakwa tidak pernah melakukan kesalahan tersebut. Tambahan pula kereta yang dipaparkan dalam saman itu berbeza jenis, warna dan nombor pendaftarannya. Foo Teck Heng, 46, membuat laporan polis di Balai Polis Sagil, Muar dan saman itu memaklumkan beliau melakukan kesalahan memandu melebihi had laju di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di kilometer 204.6 Lebuhraya Utara-Selatan. Gambar dalam saman AES itu juga menunjukkan kereta yang dipandu berwarna perak, sedangkan kereta milik Foo berwarna putih. "Saya telah diperintahkan supaya hadir sendiri atau melalui peguam di Mahkamah Majistret Taiping kerana telah memandu kenderaan WJM 9999 melebihi had laju 110 km/j. "Untuk makluman pihak tuan, saya tidak pernah sampai di tempat yang dimaksudkan, motokar saya bukan berwarna silver tetapi berwarna putih," laporan polis itu dipetik. Dalam laporan polis itu, Foo yang berasal dari Tangkak Johor didakwa melakukan kesalahan itu dilakukan pada 16 Oktober pada jam 8.04 pagi. Perkara tersebut didedahkan oleh ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching dalam satu sidang media di pusat khidmat DAP Serdang dan Foo tidak hadir dalam sidang itu. Mengulas lanjut, Teo berkata kenderaan sebenar milik Foo ialah jenis Toyota Vios berwarna putih dengan nombor pendaftaran WJM 9999. Sambil menunjukkan saman asal milik Foo kepada media, Teo berkata gambar kereta yang diambil oleh kamera AES dalam saman itu menunjukkan berwarna perak dan nombor pendaftaran WJW 9999. Menurut Teo lagi, beliau juga dimaklumkan bahawa kereta di dalam gambar tersebut merupakan sebuah kereta jenis Toyota Camry. "Saya telah bertanya kepada penjual kereta dan tunjuk gambar ini. Mereka kata kereta di dalam gambar ini jenis Camry dan bukan Vios seperti kereta milik Foo. Dan kereta milik Foo berwarna putih, bukan silver (perak) seperti di dalam gambar ini. Malah nombor plat pun salah. "Dia (Foo) berasa terkejut bila dapat saman ini sebab dia tak berada di sana (Lebuhraya Utara-Selatan)," katanya. Teo berkata beliau turut menasihatkan Foo agar tidak hadir ke Mahkamah Majistret Taiping memandangkan kemungkinan penarikan balik saman AES itu. Beliau juga akan menulis surat kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha untuk memberitahu kelemahan sistem tersebut. "Saya akan bawa isu ini kepada pusat kawalan AES dan akan menulis surat kepada Kong Cho Ha untuk memberitahu kelemahan sistem kamera ini. "Saya harap bahawa AES bukan sahaja dibatalkan tetapi saman yang telah dikeluarkan turut ditarik balik," katanya lagi. Sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Ismail Ahmad dilapor berkata jumlah pengguna jalan raya yang menjelaskan saman tersebut masih rendah berbanding dengan jumlah saman yang dikeluarkan. Jelasnya, lebih 10,000 pengguna jalan raya telah menjelaskan saman AES dari 274,000 saman yang dikeluarkan sejak sistem itu mula beroperasi 23 September lalu. | ||||
Mahkamah Tinggi batal saman peneroka terhadap Najib Posted: 20 Dec 2012 05:38 AM PST Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini membatalkan saman fitnah yang difailkan lapan peneroka Felda terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ucapannya semasa mengumumkan 'durian runtuh' untuk peneroka di Felda Jengka 8, Bandar Jengka, Pahang, 8 Mei lepas. Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu. Peguam yang mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu pemberita bahawa selepas membaca keseluruhan ucapan perdana menteri, hakim itu berpendapat ucapan itu tidak berbentuk fitnah. Katanya mahkamah juga memutuskan ucapan itu adalah satu bentuk kiasan yang tidak merujuk kepada mana-mana pihak. "Oleh itu mahkamah membatalkan saman plaintif (peneroka felda) dan membenarkan permohonan defendan (Najib). Mahkamah memerintahkan plaintif membayar RM3,000 setiap seorang kepada defendan," katanya. Pada 7 Ogos lepas, tujuh lelaki dan seorang wanita peneroka felda Wilayah Jengka, Bandar Jengka, memfailkan saman itu terhadap Najib berhubung ucapannya yang didakwa mengaibkan dan menghina mereka melalui The Law Office of Mohd Harris. Mereka ialah Samat L Yusof, Alias Ibrahim, Idris Mat Sah, Syed Jamaluddin Syed Muhamed, Abdul Rahim Abdul Rahman, Rosdi Ismail, Abdullah Mohd dan Rakiah Sulong. Mereka mendakwa ucapan di hadapan lebih kurang 40,000 orang itu antara lain membawa maksud mereka adalah pengkhianat, tidak bermaruah, tidak jujur dan tidak setia dalam perjuangan. Mereka berkata ucapan itu juga telah disiarkan di media massa dan media elektronik dan mereka menuntut ganti rugi am, khas, teruk, faedah dan juga kos. Perdana Menteri pada 24 September lepas telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha atas alasan writ saman itu adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah kerana plaintif tiada kuasa tindakan terhadap defendan, selain ianya tidak merujuk dan/atau mempunyai kaitan kepada defendan. Beliau juga berkata saman itu mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan kegagalan plaintif untuk menyatakan kes terhadap defendan adalah suatu kegagalan yang mandatori dan menjadikan tuntutan mereka harus dibuang secara in limine. Peguam Mohd Harris Abdullah yang mewakili peneroka felda itu memberitahu media bahawa beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini. Sementara itu, di luar mahkamah lebih 600 peneroka felda Wilayah Jengka yang menyokong Perdana Menteri berkumpul bermula kira-kira 8 pagi dengan membawa sepanduk antaranya bertulis "Kami sokong PM".- Bernama | ||||
36 ditahan terlibat kes gaduh di Sungai Petani Posted: 20 Dec 2012 05:36 AM PST Polis Kedah menahan 36 orang yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim. Katanya semua tahanan yang berumur antara 18 hingga 30-an itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani. Beliau berkata tangkapan terakhir dibuat pada 4.30 pagi tadi di sekitar Sungai Petani dan akan menahan beberapa lagi suspek berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi soal siasat ke atas tahanan. "Kita tangkap semua yang terlibat. Polis tak akan berkompromi dengan sesiapa yang melakukan provokasi sehingga mencetuskan keadaan hura-hara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar hari ini. Mengenai pihak yang menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa berlakunya rusuhan di daerah Kuala Muda terutama Sungai Petani, Ahmad berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan maklumat yang tidak benar berkaitan situasi di daerah berkenaan. Katanya, polis turut mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebar maklumat palsu dan mencetuskan keadaan yang kurang menyenangkan. Ahmad berkata semalam pihaknya mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua agama, pemimpin politik dan wakil rakyat daerah Kuala Muda di IPD Kuala Muda bagi menerangkan situasi sebenar supaya mereka boleh menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat setempat. Katanya apa yang berlaku hanyalah pergaduhan kecil antara kumpulan anak muda dan bukannya rusuhan seperti yang digambarkan dalam blog dan media sosial. Beliau juga menegaskan kepada golongan muda agar tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang kerana perkara tersebut membabitkan soal keselamatan. "Kita mampu untuk tenteramkan keadaan tersebut jika masyarakat memberi kerjasama untuk mengharmonikan situasi ini. Kita juga sebarkan maklumat tepat dalam laman sosial Facebook kepada masyarakat dan kita tak sembunyikan apa-apa fakta," katanya. Ahmad turut memberi amaran keras kepada penyebar maklumat palsu agar segera menghentikan perbuatan itu kerana katanya maklumat yang berbentuk provokasi dan sensasi berupaya untuk mencetuskan masalah perkauman sekali gus mengugat ketenteraman awam. Katanya, dakwaan kematian akibat pergaduhan antara kaum juga tidak wujud seperti yang digambarkan dalam berita di laman sosial dan pihak polis kini giat melakukan kawalan di daerah itu. "Saya dah pantau keadaan di Sungai Petani dan saya lihat keadaan normal, masyarakat melakukan aktiviti harian dan kedai buka macam biasa. Tak ada kuil atau rumah ibadah lain terbakar seperti yang dilapor oleh blogger," kata Ahmad. -Bernama | ||||
Ribuan dijangka sertai satu lagi protes anti-Lynas Posted: 20 Dec 2012 05:33 AM PST Ribuan kereta dijangka membanjiri loji Lynas di di Gebeng di ambang malam Tahun Baru untuk menyertai pemanduan 300km Himpunan Hijau untuk alam sekitar, demikian diumumkan oleh pergerakan itu hari ini. Sama seperti perarakan dari Kuantan ke Kuala Lumpur bulan lepas, Pengerui Himpunan Hijau, Wong Tack perhimpunan itu dijangka bermula dari Kuala Lumpur dengan seribu atau dua ribu kereta dan motosikal. Dijangka apabila mereka sampai ke Kuantan pada tengaharinya, ribuan lagi kenderaan akan menyertai perjalanan ke loji Lynas di sebelah petang, katanya dalam satu sidang akhbar hari ini. Pemanduan protes itu dijadualkan bermula dari Gombak pada pukul 8 pagi 31 Disember dan sampai di Gebeng pada pukul 5 petang. Wong berkata kempen tersebut adalah untuk menghantar mesej kepada Lynas supaya "keluar dari negara ini", dan kepada kerajaan supaya memastikan tidak ada undang-undang atau prosedur yang dicabuli. Ditemui selepas sidang akhbar itu, Wong memberitahu Malaysiakini bahawa Himpunan Hijau telah menyediakan senarai syarikat yang menjalankan perniagaan dengan Lynas dan akan, dalam masa seminggu, menggesa pemboikotan syarikat-syarikat tersebut. | ||||
Mat Sabu: Mari lepas marah anda secara aman pada k'jaan Posted: 20 Dec 2012 05:32 AM PST Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyeru semua mereka yang tidak puashati dengan kerajaan supaya menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari ini. Katanya, himpunan tersebut dianjurkan oleh semua NGO dan parti-parti politik yang ingin membuat perubahan, termasuk DAP, PAS, PKR, Parti Sosialis Malaysia dan pihak-pihak lain, NGO dan oleh mereka yang bukan dari mana-mana NGO. Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Mohamad berkata sesiapa sahaja yang marah dengan kerajaan dijemput untuk melepaskan kemarahan mereka dengan cara aman yang demokratik, seperti yang diamalkan di seluruh dunia. Perhimpunan itu akan berlangsung dari jam 2 petang hingga 5 petang 12 Januari bertempat di Stadium Merdeka. | ||||
Peguam misteri dalam SD2 Bala digesa tampil kehadapan Posted: 20 Dec 2012 05:28 AM PST MALAYSIA KINI Peguam yang merangka akuan bersumpah (SD) kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang mendakwa dipaksa menandatanganinya, harus tampil menemui Majlis Peguam, kata peguam Bala, Americk Sidhu.Dalam satu kenyataan, beliau berkata, dengan itu, individu yang tidak bersalah tidak dituduh orang ramai, termasuk peguam veteran Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya Sunil, yang Americk tidak percaya terlibat. Dalam emelnya kepada Malaysiakini, Americk (kiri) berkata, anak guamnya tidak boleh membuat aduan kepada Majlis Peguam kerana dia tidak pernah bertemu peguam misteri itu, ataupun mengarahkan peguam tersebut untuk merangka SD keduanya. "Memandangkan ini adalah satu perkara yang agak serius, boleh saya cadangkan supaya presiden Majlis Peguam menyediakan satu emel yang mudah untuk dihantar kepada semua ahli Majlis Peguam, meminta ahli yang bertanggungjawab merangka SD kedua itu, melakukan perkara yang betul dan tampil kehadapan," katanya. Katanya, ini kerana pihak-pihak yang tidak bersalah boleh menjadi mangsa kepada permainan menuding jari yang telah muncul sejak pendedahan peniaga permaidani, Deepak Jaikishen. Mengenai SD kedua, Americk mendakwa Bala telah menandatanganinya selepas keselamatan keluarganya terancam. Katanya, tidak seperti SD pertama yang mengambil masa dua bulan untuk disiapkan, SD kedua dibuat dalam masa kurang daripada sehari. Americk berkata alamat pada cop pesuruhjaya sumpah pada SD kedua, adalah sama seperti firma guaman Zul Rafique & Partners pada 2008. Cecil rakan kongsi kanan di firma guaman yang sama. Beliau menambah, Cecil dan anaknya menjadi tumpuan spekulasi selepas temubual Deepak (kanan) dengan Harakahdaily. Nama peguam tersebut, bagaimanapun, telah diblip di video temubual itu, yang disiarkan di YouTube. Bagaimanapun, aktivis Haris Ibrahim, yang telah dihantar aduan kepada Majlis Peguam, mendakwa peguam tersebut adalah seorang Tan Sri - dan ia mencetuskan spekulasi peguam itu adalah Cecil dan anaknya yang juga seorang peguam. Americk, dalam kenyataan itu, turut menegaskan bahawa beliau mengenali Cecil secara peribadi dan tidak percaya seseorang yang "bermaruah, berintegriti dan profesionalisme" seperti Cecil, boleh terlibat dalam perkara seumpama itu Malaysiakini telah menghubungi kedua-dua Cecil dan anaknya dan sedang menunggu jawapan mereka. | ||||
Peguam tidak terlibat dalam semakan SD Bala, kata ketua panel SPRM Posted: 20 Dec 2012 05:26 AM PST Abraham telah dinamakan sebagai peguam misteri yang disyaki telah membuat draf SD kedua bercanggah ke atas penyiasat persendirian itu. Malahan sebelum ini, terdapat beberapa orang penting telah mempersoalkan terdapat konflik berkepentingan memandangkan beliau juga berada dalam lembaga panel semakan MACC. "PPO telah bersetuju dengan keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk menghentikan siasatan kes tersebut atas sebab keterangan saksi-saksi utama yang tidak disokong oleh mana-mana saksi yang lain dan saksi-saksi utama juga merupakan saksi yang boleh dipertikaikan kredibilitinya. "PPO ingin menyatakan bahawa salah seorang ahli panel, Tan Sri Cecil Abraham tidak hadir dan tidak terlibat di dalam mesyuarat tersebut," kata Tan Sri Datuk Dr. Hadenan bin Abdul Jalil dalam satu kenyataan hari ini. Hadenan berkata bahawa kes yang mengaitkan usahawan karpet Deepak Jaikishan Rewachand telah dibentangkan pada pra-mesyuarat PPO, 8 November lalu. Walaubagaimanapun, beliau tidak menafikan atau menjawab semua tuduhan yang menyelebungi Abraham. The Malaysian Insider cuba menghubungi firma guaman Abraham, Zul Rafique & Partners tetapi gagal untuk mendapatkan komen daripada peguam tersebut. "Keahlian PPO adalah terdiri daripada kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan-badan profesional yang membuat keputusan tanpa campurtangan mana-mana pihak. "Oleh itu, sebarang kenyataan yang meragui ketelusan dan kebebasan PPO adalah amat dikesali," tambah Hadenan. Kenyataan serta-merta panel semakan SPRM tersebut merupakan maklum balas ekoran tuduhan konflik kepentingan melibatkan Abraham yang merupakan peguam bertanggungjawab menyediakan SD kedua Bala serta memegang jawatan dalam panel semakan yang menutup kes siasatan tersebut. Misteri identiti peguam tersebut timbul sejak SD kedua oleh Bala, ia bertarikh sehari selepas yang pertama pada 3 Julai 2008 melibatkan pembunuhan Altantunya hingga menyebabkan dua anggota elit komando polis telah didakwa dan menghadapi hukuman mati. Dalam sidang medianya selepas itu, Balasubramaniam, ditemani oleh peguam M. Arulampalam telah menarik balik akuan bersumpah pertamanya dan mengatakan beliau dipaksa untuk menandatanganinya. Beliau kemudian membuat akuan bersumpah kedua, yang kemudiannya didakwa beliau pada 2009 dilakukan oleh peguam lain tanpa persetujuannya. Isu pembunuhan Altantunya dan SD Bala ini kembali mendapat perhatian umum selepas Deepak baru-baru ini mengakui beliau terlibat dalam mempengaruhi SD kedua Balasubramaniam. Beliau juga telah mendedahkan penglibatan seorang "Tan Sri" dalam SD tersebut dan kemudiaannya peguam senior Datuk Zaid Ibrahim juga membuat kenyataan susulan bahawa individu tersebut memegang kedudukan dalam panel Suruhanjaya SPRM. | ||||
Musa Hassan berhadapan saman RM100j kerana menfitnah Posted: 20 Dec 2012 05:24 AM PST TERKINI Phang menuduh bekas pemimpin tertinggi pasukan polis tersebut telah menjatuhkan reputasinya semasa memegang jawatan panel jawatankuasa penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). "Saya sudah menghantar surat tuntutan RM100 juta kepada Musa Hassan dan beliau telah menerimanya. Ditandatangani beliau sendiri," beritahu pengerusi Social Care Foundation kepada wartawan hari ini. Tokoh terkenal tersebut berkata Musa telah mencalarkan imejnya dengan menuduh beliau menyalahguna kuasa untuk memindahkan seorang pegawai polis lama bertujuan mempercepatkan projek yang dikatakan mempunyai kepentingan dengannya. Beliau berkata Musa mempunyai tujuh hari untuk membalas, jika gagal beliau akan menfailkan tindakan undang-undang ke Mahkamah. Musa menjadi perhatian umum kebelakangan ini kerana pendedahan terhadap penyalahgunaan kuasa di dalam badan polis, menuduh Phang mengarahkan seorang pegawai polis senior dengan berkata: "(Phang) mengugut pegawai tersebut, jika tidak meluluskan (projek tersebut), beliau akan dipindahkan dalam masa 24 jam." "Jika seseorang rakyat biasa boleh mengugut anggota polis, beliau mesti mempunyai kuasa dalam polis." Projek pada tahun 2009 yang didakwa untuk meningkatkan sistem komunikasi analog yang digunakan PDRM kepada sistem digital Motorola, menurut Musa bernilai jutaan ringgit. Beliau berkata pegawai yang dipindahkan itu adalah pakar dalam bidang komunikasi, yang jawatannya "lebih tinggi" dari Penolong Ketua Polis (ACP), seorang datuk dan masih lagi anggota polis. Apabila membuat dakwaan tersebut, Musa mengatakan beliau cuma mahu mendedahkan penyalahgunaan kuasa itu setelah Phang mendakwa bekas KPN tersebut bersekongkol dengan sindiket jenayah. "Saya tidak mahu malukan sesiapa, tetapi orang yang memalukan saya, tetapi ini bukan balas dendam," katanya lagi. Tetapi Phang berkata, berdasarkan penghakiman oleh Hakim Supang Lian di Mahkamah Kota Kinabalu semasa perbicaraan Datuk Ramli Yusuff, hakim itu berkata menurut Phang, Musa adalah seorang yang tidak boleh dipercayai. "Kalau mahkamah pun dulu kata macam tu, saya nak kata apa lagi?" kata Phang pula. Menurut Phang, seorang lagi bekas KPN, Tun Haniff Omar, juga sudah menjawab dan menafikan tuduhan Musa bahawa Phang merupakan penasihat beliau. | ||||
Sabah minta Kementerian Pengangkutan selesaikan masalah membabitkan landasan KKIA Posted: 20 Dec 2012 05:21 AM PST THE MALAYSIAN INSIDER Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, berkata ini adalah satu perkara yang agak serius kerana membabitkan perkhidmatan penerbangan di negeri ini. "Masalah ini memerlukan satu pendekatan dan penyelesaian yang mesti berpaksi kepada keselamatan dan Kementerian Pengangkutan telah pun memberi penjelasan landasan di lapangan terbang ini selamat digunakan. "Adalah diharapkan Kementerian Pengangkutan akan turut menyelesaikan masalah dan isu yang ditimbulkan oleh kontraktor (Global Upline Sdn Bhd - GUSB), yang melakukan kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang itu, katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Peringkat Negeri di sini hari ini. Sehubungan itu, Pairin berharap Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha dapat datang untuk melihat sendiri landasan KKIA secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pada 18 Dis lepas, Ketua Penasihat GUSB Tan Sri Ting Pek Khiing berkata syarikat itu telah menghentikan semua kerja pembinaan di KKIA berkuat kuasa 17 Dis lepas dan menyalahkan Kementerian Pengangkutan kerana gagal memberikan Sijil Siap Praktikal (CPC) kepada syarikat itu selepas kerja-kerja disiapkan mengikut jadual pada seksyen satu dalam Pakej 2 projek di lapangan terbang tersebut. Sebaliknya, katanya Kementerian Pengangkutan mengeluarkan Sijil Perakuan Tidak Siap Kerja (CNC) dan mendakwa landasan KKIA tidak selamat untuk sebarang aktiviti kerana ia tidak diiktiraf sebagai sudah siap. Beliau juga mendakwa kementerian itu enggan memulangkan 50 peratus Jaminan Bank (BG) serta gagal membayar tuntutan kontrak RM113 juta untuk kerja menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan RM21 juta untuk Lapangan Terbang Labuan sehingga GUSB mengambil tindakan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula pembayaran yang dijanjikan. Semalam, Kementerian Pengangkutan mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan GUSB bahawa landasan itu tidak selamat dan menjelaskan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), yang bertanggung jawab menetapkan piawaian lapangan terbang, dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yang mengendali lapangan terbang berkenaan, telah mengesahkan KKIA mematuhi piawaian Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).— Bernama | ||||
Semua parti dicadang hantar nama calon PRU-13 untuk ditapis oleh SPRM Posted: 20 Dec 2012 05:19 AM PST THE MALAYSIAN INSIDER KUALA LUMPUR — Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) mencadangkan supaya semua parti menghantar nama-nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk ditapis atau melalui proses pemeriksaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pengerusi PPPR Datuk Johan Jaafar berkata cadangan itu bagi memastikan calon-calon yang bakal bertanding 'bersih' daripada rasuah selain mengelak sebarang tohmahan tidak berasas ke atas mana-mana individu atau parti di belakang calon itu. "Kita mengambil semangat bahawa semua parti telah menyatakan sokongan untuk memerangi gejala rasuah. Maka itu, kami mengharapkan sokongan semua pihak dalam soal ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat panel itu di sini, hari ini. Beliau berkata tapisan itu membabitkan semua calon dari semua parti sama ada mereka yang sudah menjadi anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bakal dicalonkan semula atau pertama kali bertanding. Menurutnya mekanisme tapisan atau pemeriksaan itu akan ditentukan oleh pihak SPRM. Dalam pada itu, Johan berkata PPPR turut mencadangkan supaya semua anggota pentadbiran kerajaan di peringkat pusat dan negeri serta anggota keluarga terdekat tidak melibatkan diri dalam permohonan untuk kontrak kerajaan. Beliau berkata cadangan itu untuk mengelakkan berlakunya konflik kepentingan dan juga menutup ruang dan peluang bagi perlakuan rasuah. PPPR turut mengesyorkan agar semua Anggota Parlimen dan Adun mengisytiharkan harta setiap tahun kepada SPRM bagi membuktikan komitmen mereka terhadap perang melawan rasuah. "Mereka bukan sahaja harus berbuat demikian sebelum menjawat jawatan tetapi juga setelah setiap tahun semasa menjawat jawatan. Tidak ada pengecualian dalam hal ini," katanya. Sementara itu, Johan berkata program jabatan angkat akan diperluaskan ke jabatan dan agensi lain dalam usaha menutup ruang dan peluang rasuah. Buat masa ini, katanya PPPR telah mengadakan siri perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). "Ia diharapkan dapat membaiki nama baik jabatan dan agensi berkenaan di mata rakyat termasuk soal persepsi," katanya. Selain itu, PPPR yang bermesyuarat hari ini turut berpendapat bahawa pemberian dalam bentuk apa sekalipun termasuk hamper pada hari-hari perayaan, patut dihentikan walau apa pun niat dan motifnya. "Kami menyedari pemberian cara ini adalah sebahagian daripada budaya rakyat negara ini. Bagaimanapun, kami berpendapat ada kemungkinan bahawa pemberian ini digunakan bagi tujuan tertentu sebagai 'mengambil hati' atau pujukan," katanya. Memandangkan penjawat awam mempunyai pekeliling khusus kerajaan berkaitan hal itu, Johan berkata PPPR menyeru agar pihak swasta merangka tatacara khusus mengenai hal itu sesuai dengan konsep tadbir urus dan amalan baik bagi meningkatkan integriti pegawai. PPPR turut mengesyorkan dewan bandaraya, majlis perbandaran dan kerajaan tempatan menggunakan model DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau mana-mana model yang telus dan baik bagi mengelakkan rasuah dalam urusan pemberian lesen Bazar Ramadan serta bazar lain sewaktu musim perayaan. — Bernama | ||||
Insiden Sg Petani: Blogger Umno bertanggungjawab sebar fitnah Posted: 19 Dec 2012 09:11 PM PST Oleh Aisha Geoffrey KUALA LUMPUR : Umno menerusi bloggernya paling berperanan memainkan sentimen perkauman dalam insiden Sungai Petani, Kedah kononnya untuk menyatupadukan orang Melayu, kata Datuk Johari Abdul. Ahli Parlimen Sungai Petani itu mengulas khabar angin kononnya berlaku rusuhan di daerah tersebut. Jelas Johari, ia hanyalah pergaduhan antara dua kumpulan samseng tetapi berita itu sengaja disebar oleh Umno melalui media sosial seperti facebook, twitter dan sistem pesanan ringkas (SMS) dan menyatakan insiden berkenaan merupakan pergaduhan antara kaum. "Apa yang kita lihat, blogger Umno paling kuat mainkan sentimen perkauman. Ia adalah percubaan Umno kononnya untuk mengembalikan perpaduan orang Melayu, menampakkan seolah-olah ditindas kaum lain," katanya kepada Keadilan Daily. "Saya juga hairan apabila orang Sungai Petani sendiri tak tahu mengenai hal itu, tapi orang luar berlebih-lebihan menyampaikan berita yang tak betul ini," katanya. Menurut Johari, polis turut memaklumkan keadaan di Sungai Petani terkawal dan tiada kematian. Hanya kecederaan ringan melibatkan ahli kumpulan yang bergaduh. "Ia hanya helah untuk mengambil kesempatan di atas kejadian yang langsung tiada kena-mengena dengan perkauman," tegas beliau. "Saya minta mana-mana ahli politik hentikanlah semarak sentimen perkauman kerana ia langsung tidak memberi anda kemenangan. Jangan sampai keamanan negara tergadai," serunya. | ||||
Rasuah punca Stadium Sultan Mizan bernilai RM300 juta runtuh Posted: 19 Dec 2012 09:08 PM PST Oleh Aliff Fikri KUALA LUMPUR : Penyelewengan dan rasuah punca Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu dengan kos pembinaan RM300 juta yang runtuh pada 2009 sehingga kini tidak dibaik pulih. Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, stadium tersebut tidak mungkin dibaik pulih semula selagi Umno BN memerintah negeri itu. "Stadium tersebut dibina oleh tiga syarikat kroni kerajaan Umno BN. Nilai asalnya berjumlah RM191 juta. Kemudian kosnya dinaikkan kepada RM300 juta kerana kononnya akibat kelewatan ia disiapkan. "Mengapa setelah lebih tiga tahun tidak ada sebarang kerja baik pulih? Ini kerana mereka telah mendapat durian runtuh hasil keruntuhan stadium tersebut," katanya ketika dihubungi. Menurut Azan, beliau berulang kali membangkitkan isu ketirisan dan pembaziran di Parlimen tetapi tiada sebarang jawapan. "Banyak negara dalam dunia yang menghadapi malapetaka alam yang menyebabkan keruntuhan bangunan. Namun laporan hasil siasatan terus dikemukakan selepas itu untuk menjelaskan puncanya. "Dalam kes ini, berkali-kali kita minta hasil siasatan, tapi ia tidak pernah diumumkan, walaupun kita tahu hasil siasatan sudah ada dan ia berpunca dari kelemahan struktur yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. "Ini jelas membuktikan kerajaan sememangnya melindungi aktiviti rasuah, kerana pembaziran adalah keuntungan kepada mereka," tegas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu lagi. Azan turut menempelak Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang bisu berhubung isu keruntuhan tersebut. "Sebagai seorang menteri dalam hal ehwal sukan yang juga anak Terengganu, beliau patut prihatin dalam kes ini bukannya mendiamkan diri. "Apakah beliau sendiri turut terlibat dalam aktiviti rasuah dan penyelewengan ini? Sebab itu beliau terus diam," kata Azan. Stadium yang runtuh pada 2 Jun 2009 itu menyebabkan kira-kira 70 peratus daripada strukturnya musnah. Stadium yang dianggap 'tercanggih' di Pantai Timur dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008, dengan upacara gilang gemilang menandakan 'impian menjadi kenyataan' sebagaimana yang dibangga-banggakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Malangnya, struktur bangunan itu yang satu ketika dahulu mengacarakan Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ia tumbang, kini dipenuhi lalang dan semak samun. | ||||
13 Jenis Barangan Harga Terkawal Posted: 19 Dec 2012 09:04 PM PST PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada rabu mengumumkan 13 jenis barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2012. Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata skim itu berkuat kuasa selama lima hari dari 23 hingga 27 Disember dan kementerian menggerakkan 1,900 penguat kuasa, 1,500 pemantau harga dan 60,000 anggota skuad pengguna untuk memastikan peniaga mematuhinya. Antara barangan terbabit ialah ayam hidup dengan harga maksimum RM5.90 sekilogram, ayam standard (RM7/kg), ayam super (RM7.80/kg), ayam belanda import (RM23/kg) dan daging kambing tempatan bertulang (RM35/kg), katanya pada sidang media di sini. Barangan lain ialah daging kambing biri-biri import bertulang (RM19.50/kg), daging kambing biri-biri import tanpa tulang dan tidak termasuk paha (RM23/kg), daging paha kambing biri-biri import bertulang (RM24/kg), telur ayam gred A (35 sen sebiji), B (34 sen) dan C (33 sen), tomato(RM4/kg) serta lada benggala hijau (RM8.50/kg). Katanya peniaga yang didapati melanggar peraturan itu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000. "Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya. Beliau turut mengingatkan peniaga agar meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan terbabit dan jika gagal boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat. Katanya sebanyak 232 kes direkodkan berhubung pelanggaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sepanjang tahun ini dengan nilai kompaun RM26,848.50. "Negeri yang paling banyak buat kesalahan di bawah barangan harga terkawal ialah Pulau Pinang iaitu sebanyak 58 kes diikuti dengan Selangor sebanyak 51 kes. "Kebanyakan kes membabitkan kesalahan menjual melebihi harga ditetapkan dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu," katanya. Aduan mengenai peniaga tidak mematuhi skim tersebut boleh dibuat menerusi e-mel. | ||||
Posted: 19 Dec 2012 08:59 PM PST TIMMS 2011 Malaysia : Kalau dilihat kepada mata kejatuhan Sains & Matematik di Malaysia, sangat teruk. Data mana yang kami ambil ini? TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study). Tidak silap kami, TIMSS ini ada cara "assesment" mereka sendiri untuk melihat "standard" dan trend Sains dan Matematik bagi sesebuah negara seperti Malaysia. Untuk Malaysia….. Untuk Malaysia, kalau anda semak laporan yang mereka sediakan itu seramai 5733 pelajar terlibat melibatkan 180 buah sekolah. Hasilnya graf tahap Sains dan Matematik di Malaysia terus merudum iaitu sejumlah 6.3 mata. Kejatuhan mata yang kedua paling tinggi selepas Yemen. Malangnya, kita jatuh lagi merudum berbanding Indonesia. Sudah semestinya jiran terdekat kita, Singapura jauh tinggalkan pencapaian Malaysia. Kazakhstan, Thailand, Iran lebih baik daripada Malaysia?? Walaupun Iran yang tidak pernah dahulu benarkan budak perempuan pada zaman 80an pergi ke sekolah di bawah pemerintahan Khomeini, tetapi mereka masih lebih hebat berbanding Malaysia. Sepatutnya daripada tahun ke tahun prestasi Malaysia bertambah baik, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya… Sumber : Laporan Penuh TIMMS 2011 Berita Semasa, adakah ini disebabkan subjek Matematik & Sains tidak diajar dalam Bahasa Inggeris?
TIMMS 2011 : Graf Bagi Negara MalaysiaTIMMS 2011 : Graf Negara LainIran, Portugal, negara jiran kita Singapura, Slovenia, Hong Kong, Hungary, Korea, Jepun dan Republik CzechSudah berapa Menteri Pelajaran bersilih ganti tetapi tahap pendidikan di Malaysia masih ditakuk lama. Kadang-kadang terfikir kami sendirian, pada kami lebih baik dilantik seseorang yang mahir dan ada pengalaman dalam lapangan pendidikan negara contohnya kalangan Profesor dalam bidang Pedagogi. Biarkan mereka ini dilantik menjadi Menteri Pendidikan. Untuk jawatan menteri seperti adalah lebih baik diberikan kepada golongan profesional sahaja…. Daripada dahulu kami cukup suka dengan corak dan dasar pendidikan yang sedang diksanakan di negara yang memilki sistem pendidikan terbaik di dunia iaitu negara Finland dan terbukti berjaya…. Mengapa Finland sering berada di kedudukan teratas dan mengapa meraka berjaya mengekal kedudukan tertinggi mereka? Nah…….26 fakta tentang sistem pendidikan di Finland :
Maklumat lanjut. Sumber : Business Insider Walaubagaimanapun, kalau Malaysia masih tidak mampu melaksanakan kebanyakan intipati sistem pendidikan di Finland sekalipun. Harapan yang pertama sekali, kepada Kementerian Pelajaran Malaysia sila janganlah memanipulasikan keputusan peperiksaan peringkat kebangsaan semata-mata mahu menunjukkan sistem yang ada ketika ini di landasan yang betul & berjaya dengan pengumuman peningkatan pencapaian setiap tahun. Langkah tersebut sebenarnya "membunuh" usaha penambaikan terhadap dasar pendidikan negara apabila Kementerian tidak dapat mengukur tahap sebenar pelajar di Malaysia.
Oleh itu, kami berharap Tan Sri Muhyiddin Yaasin memberi satu penjelasan jelas berhubung keseriusan dan kejatuhan dalam TIMSS baru-baru ini. Ini kerana dilihat Utusan, Berita Harian dilihat tidak berminat mengeluarkan laporan seperti ini di akhbar mereka. Mengapa? P/S : Tokoh pemikir seperti Pak Ungku Aziz pernah mengatakan sebelum ini, sistem pendidikan malaysia ini, kalau tak gatal tangan pergi ubah sana sini, takkan jadi caca marba macam sekarang ini. Sepatutnya, apa yg perlu, penambahbaikan, bukannya ubah sana sini. PP/S : Apa kata anda pula? Guru-guru di sini? | ||||
BN Akan Turunkan Siapa Di Kerusi Parlimen Kuala Krai? Posted: 19 Dec 2012 08:53 PM PST MSO Kedai roti payan (tempayan) Jali yang terletak bersebelahan setesen minyak Shell atau Petronas di Kuala Krai merupakan "setesen" persinggahan saya terakhir dalam hampir setiap kali perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung saya di Gual Nibong, Rantau Panjang. Selalunya sesampai di Lata Rak kira-kira 35 km dari Kuala Krai saya akan menghubungi beberapa orang rakan untuk sama-sama pekenakan roti payan Jali. Roti payan Jali bagi saya istimewa disebabkan gulai kambingnya berawahkan awah asli Kelantan cukup memecahkan selera saya. Nyangkut. Itu sebab pertama, sebab kedua kenapa saya akan singgah di situ kerana di kedai roti payan itu juga menjadi sumber maklumat politik di Kuala Krai. Bagi mereka yang celik IT akan duduk sambil minum di situ untuk memantai blog ataupun memasukkan status politik dalam Facebook.
Ternyata harapan saya petang itu tidak sia-sia. Di kedai itu sudah menanti tiga orang (informer) untuk memberi maklumat mengenai politik di Kuala Krai. Kesemua informer kali ini cenderung atau lebih dekat dengan politik dalaman Umno. Kebetulan juga informer dari pihak Pas tidak ada petang itu. Tajuk yang menjadi tumpuan petang itu satu saja mengenai kerusi parlimen Kuala Krai. Siapakah bakal dipilih oleh Umno untuk bertanding di kerusi parlimen? Sememangnya ada beberapa nama yang menjadi sebutan atau memang berhajat untuk bertanding di kerusi berkenaan. Mungkin kenapa kerusi parlimen lebih diminati memandang peluangnya lebih cerah berbanding dengan kerusi Dewan Undangan Negeri. Di parlimen Kuala Krai terdapat empat kerusi state; Guchil, Mengkebang, Manik Urai dan Dabong. Kesemua kerusi ini dimenangi oleh Pas, kecuali Guchil oleh wakil PKR. Selain itu kenapa ramai yang berminat untuk bertanding di kerusi parlimen disebabkan wakil parlimen kini Dr Mohd Hatta Ramli adalah orang luar Kelantan. Dengan mengambil kira dalam pilihan raya umum akan datang Pas akan mengkekal Mohd Hatta menyebabkan ada perkiraan kerusi parlimen itu lebih mudah. Ini ditambah lagi dengan keyakinan bekas calon Umno Prof Che Musa Che Omar yang tewas tidak akan dicalonkan lagi. Che Musa sendiri khabarnya sudah kurang minat dan kurang percaya dengan Umno, sebenarnya pucuk pimpinan Umno Kelantan. Beliau khbarnya sudah mirip kepada Pas dan pernah menghadiri di beberapa majlis anjuran Pas dan duduk-duduk bersama pemimpin Pas. Terdengar juga khabar dari pihak Pas untuk menawarkan sesuatu kepada bekas calon Umno itu menjelang pilihan raya nanti. Menjadi rebutan Lantaran itu kerusi Parlimen Kuala Krai menjadi rebutan. Ada empat nama disebut-sebut atau diperkirakan layak dengan memiliki kelebihan masing-masing. Mereka ialah Tuan Aziz Tuan Mat dan Ramzi Abdul Rahman. Kedua-dua mereka merupakan pemimpin Umno peringkat bahagian, Tuan Aziz selaku Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, manakala Ramzi adalah Ketua Bahagian dan bekas Adun Dabong 2004 - 2008. Manakala dua nama lagi ialah Junaidi Abu Bakar dan Nik Sepia Nik Yusuf. Junaidi tidak mempunyai apa-apa kedudukan di dalam Umno Kuala Krai begitu juga Nik Sepia. Junaidi ketika ini adalah Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, manakala Nik Sepia bekas ahli Umno dan kini merupakan ahli tertinggi Parti Progresif Rakyat (PPP). Itulah empat nama yang mengidam kerusi parlimen Kuala Krai. Peringkat awal Nik Sepia dikatakan beriya-iya dan melakukan gerak kerja sosial di Kuala Krai dengan tujuan mempengaruhi rakyat. Namun sejak kebelakangan ini kegiatan beliau mendekati rakyat sudah terhenti apabila dia menyedari tidak mungkin BN dan Umno memberi laluan kepadanya untuk bertanding di Kuala Krai. Begitu juga dengan Tuan Aziz. Bekas calon pilihan raya kecil Manik Urai ini telah mengemukakan percaturan politiknya dan membuat andaian bahawa dia mampu untuk mngugat Pas di kerusi parlimen Kuala Krai. Alasan diberikan kerana dia dikatakan mempunyai ramai rangkaian, saudara mara di Kuala Krai. Bagaimana pun hasrat itu juga sudah menumpul dan kini tidak kedengaran berita lagi dia akan bertanding di kerusi parlimen. Boleh jadi juga kerana Tuan Aziz sudah hampir pasti akan bertanding sekali lagi di Manik Urai menyebabkan dia melupai kerusi parlimen. Dengan ternafinya kedua orang itu, kini dua nama saja yang menjadi sebutan di Kuala Krai dan diramalkan akan diletakkan oleh Umno Kelantan bertanding di parlimen Kuala Krai; Ramzi dan Junaidi. Dipercayai Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed sedang menghalusi dua nama ini saja untuk kerusi parlimen Kuala Krai. Semasa saya di setesen persinggahan (kedai roti payan Jali) itu dua nama inilah yang diperkatakan dan diakui oleh sebahagian besar ahli dan penyokong Umno Kuala Krai. Menurut informer Umno sudah hampir pasti akan menurunkan salah seorang daripada mereka memandang kedua-dua nama ini saja yang sedang diperkatakan serata Kuala Krai. Menurut sumber itu pula kedua-dua tokoh ini ada kelebihan tersendiri untuk dicalon atau dipilih BN untuk diletak di kerusi Kuala Krai. Mereka juga sedang berusaha menunjukkan kemampuan dan wibawa bagi memastikan diri mereka dipilih oleh parti. Secara logiknya Ramzi dilihat mempunyai kelebihan berbanding dengan Junaidi kerana dia adalah ketua bahagian. Lazimnya ketua bahagian jarang diabaikan dan akan diberikan keutamaan. Manakala bagi Junaini pula dia hanya berharap kepada ehsan sebagai calon boleh menang (winnable candidate). Sebagai 'orang luar' Umno Junaidi menggunakan kedudukanya di UPSI untuk mengombakkan dirinya di Kuala Krai. Katanya beberapa program pendidikan dilakukan bagi mendekati masyarakat Kuala Krai. Junaidi menggunakan fasalitis yang ada untuk menjaja dirinya. Bagaimana pun program itu yang lebih kepada bidang kependidikan tidak dilibatkan oleh ramai pihak di Kuala Krai. Program dianjurkan oleh beliau lebih sesuai untuk kanak-kanak sekolah dan kurang berkesan dari sisi politik. Manakala sikapnya yang dikatakan ego dan suka membangga-banggakan kedudukannya serta kuasa dan pangkat kurang disenangi oleh rakyat Kuala Krai. Misalnya cara beliau menaikkan papan iklan menayangkan gambarnya dianggap sebagai berlebihan-lebihan. Orang juga mermpertikaikan untuk apa dan di mana relevensinya dia memaparkan gambarnya dipapan iklan sebesar gajah di sepanjang jalan utama menuju ke Kuala Krai. Nampak sangat cara Junaidi mempromosikan dirinya seperti peniaga mempromosikan barang baru yang belum tentu baik dan buruknya. Pemaparan gambarnya sebagai menjual diri diterjemahkan sebagai satu sikap suka membesar-besarkan diri dan ini menimbulkan cemuhan orang ramai. Selain itu beliau juga dikatakan menjualkan cerita kononnya beliau diturunkan ke Kuala Krai oleh pemimpin atasan dengan tujuan membawa perubahan. Kata-kata itu menyebabkan pemimpin peringkat bahagian tersentuh dan merasa dihina. Pemimpin yang dikaitkan Junaidi ialah Muhyuddin Yassin. Benarkah? Kata sumber lagi, peringkat awal penurunan beliau ke Kuala Krai mendapat sambutan dan diberi perhatian oleh umum. Tetapi apabila dia tidak dapat mengawal diri dan terlalu syok sendiri menyebabkan rakyat terutamnya ahli Umno mula membuat penilaian dan mengenali siapa dia Junaidi ini. Kehebatan Junaidi dengan sendirinya berinsut apabila orang membandingkannya dengan gaya dan juga sikap Ramzi yang humble dan tidak begitu menunjukkan diri walaupun dia adalah ketua Umno Kuala Krai di mana lebih berhak untuk menaikkan gambarnya lebih besar dari Junaidi. Begitu juga kalau dibandingkan dari segi pengaruh di dalam kepimpinan Umno Kuala Krai, Junaidi tertolak ke belakang. Orang Kuala Krai tidak melihat beliau sebagai pemimpin, orang yang berusaha untuk memenangkan Umno sebaliknya ingin mencari kesempatan dan ruang. Hakikat itu menyebabkan orang nampak yang bekerja keras untuk memastikan Umno menang ialah Ramzi. Demikian dari segi pengalaman politik, jauh ia berpihak kepada Ramzi. Ramzi bukan saja pernah menjadi Adun Dabong tetapi yang penting beliau adalah bekas Setiausaha Politik kepada Abdullah Badawi semasa Pak Lah menjadi perdana menteri. Dan perkara paling penting sebagai ketua bahagian Ramzi menguasi jentera parti kalaupun tidak sepenuh 90 peratus berpihak kepadanya. Manakala belum tentu jentera parti akan bergerak aktif kalau Junaidi dipilih menjadi calon. Pengalaman dan realiti itu memberi kelebihan kepada Ramzi apa lagi wataknya yang sedarhana, mudah mesra dan senang didekati. Cuma kalau pun ada sedikit masalah Ramzi bukan asal anak Kuala Krai kerana kampung halamannya di Kubang Batang Tumpat. Pun begitu kalaulah ini dijadikan perbandingan, Junaidi juga bukan anak Kuala Krai jati kerana beliau adalah orang Terengganu. Dari segi geografi ternyata tanah air asal Junaidi lebih jauh dan tidak bercantum pun dengan Kuala Krai jika dibandingkan dengan tanah air asal Ramzi yang satu negeri dengan Kuala Krai. Menyimpulkan semua maklumat, percakapan dan hakikat yang ada ternyata Ramzi lebih relevan untuk dipilih oleh Umno bagi bertanding di kerusi parlimen Kuala Krai. Cuma persoalannya apakah Ramzi mampu menumbangkan Dr Hatta, ataupun beliau akan mengalami nasib sama dengan Prof Che Musa yang tertumus di hadapan rumah sendiri. Persoalan itu juga tidak penting kerana kata orang "anak pari dalam perahu" kalau tak beri tak tahu". |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan