Rabu, 5 Disember 2012

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


Anak muda antara 16 keluar PAS sertai Umno

Posted: 04 Dec 2012 08:45 PM PST

Sekumpulan anak muda adalah antara 16 anggota PAS Kampung Genting Palas dan Bendang Hilir di Kuala Nerang, yang bertindak keluar parti dan menyertai Umno selepas kecewa dengan hala tuju PAS sekarang.

Mohd Shukri Che Dam, 23, berkata beliau menyertai PAS tiga tahun lepas, namun kecewa selepas mendapati perjuangan parti itu dipengaruhi pemimpin tertentu, bukan kehendak majoriti.

"Mereka (pemimpin pertengahan) takut sangat hendak kritik pemimpin atasan khususnya dalam soal pelaksanaan hukum hudud yang disanggah DAP.

"Kami golongan muda sangat kecewa dengan perkembangan ini dan sebab itu memilih Umno yang lebih konsisten memperjuangkan Islam untuk meneruskan agenda memartabatkan agama dan bangsa Melayu," katanya yang ditemui ketika menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Ketua Umno Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid, di Kuala Nerang malam tadi.

Bagi Zakiah Arshad, 32, beliau kecewa kerana pemimpin PAS di kawasannya tidak mengendahkan kebajikan anggota, terutama yang memerlukan bantuan.

Beliau yang menyertai Umno bersama ibunya, Zainab Ahmad, 58, berkata tidak ada seorang pun pemimpin PAS menziarahi bapanya Arshad Husin, 78, yang sedang sakit.

Zakiah juga berkata lima lagi adik beradiknya akan menyusul keluar parti itu dan menyertai Umno.

Sementara itu, Mahdzir yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pedu, berkata walaupun bilangan anggota PAS yang menyertai Umno tidak ramai, beliau yakin perkembangan itu mengukuhkan lagi Umno dan BN khususnya di Padang Terap.

"Saya dapat tahu ramai lagi bakal keluar PAS untuk menyertai kita. Saya mengalu-alukan mereka kerana Umno tidak sekali-kali menutup pintu atau menghalang sesiapa sahaja yang mahu berjuang bersama-sama kita," katanya.

Mahdzir berkata penyertaan ramai orang muda ke dalam Umno menyerlahkan kesedaran generasi hari ini bahawa mereka memahami perjuangan parti itu.

Beliau turut berterima kasih kepada anggota PAS yang menyokong perjuangan Umno.

-Bernama

Tiada ulasan: