. |
- BN Rampas 20 Kerusi Pakatan: Ramalan Rabun Mat Maslan
- Masa Depan Pas Kelantan 20 Tahun Akan Datang
- 7 Perkara Menjadikan Momokan UBN
BN Rampas 20 Kerusi Pakatan: Ramalan Rabun Mat Maslan Posted: 24 Dec 2012 02:24 AM PST ULASAN PETANG Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan meramalkan UBN akan berjaya merampas 20 kerusi milik Pakatan Rakyat dan sekaligus akan memperolehi majoriti 2/3 di parlimen. Kerusi yang bakal dirampas ialah lima kerusi milik PAS, lima milik DAP dan 10 milik PKR.
Kata Ahmad Maslan kemungkin itu berlaku sekiranya tidak berlaku cah keting di dalam parti berkenaan dan ia juga dibantu oleh calon boleh menang (winnable candidate) yang dikemukakan oleh UBN serta disumbangkan oleh kepimpinan Najib Razak. Kalau itu bentuk dan gaya ramalan Ahmad sesiapa pun boleh membuat ramalan seperti itu. Sepuluh ramalan sehari pun boleh dilakukan, bukan saja setakat 20 kerusi 50 kerusi boleh dilakukan. Pihak Pakatan Rakyat juga boleh menyatakan mereka akan menang lebih 30 kerusi yang dimiliki oleh UBN sekarang. Setakat hendak sebut jumlah kerusi dari PAS, PKR dan DAP, Pakatan Rakyat juga boleh berbuat demikian. Apakah kalau Pakatan Rakyat mendakwa mereka akan merampas 14 kerusi parlimen di Sabah dan 10 kerusi parlimen di Sarawak, manakala tujuh atau lapan kerusi di Johor di samping menambahkan satu di Pahang, satu Melaka dan dua di Perak? Cuba kira berapa jumlah kerusi yang diperolehi Pakatan Rakyat? Bukankah ianya berjumlah 34 kerusi? Sekiranya Pakatan Rakat dapat menambah 34 kerusi disamping mengekalkan yang sedia ada sebanyak 83 ini bermakna Pakatan Rakyat mempunyai 117 kerusi. Dengan jumlah itu sudah cukup Pakatan Rakyat sudah mendapat majoriti mudah untuk menubuh kerajaan dan menjadikan Mat Maslan dan Najib akan beralih ruang di parlimen. Apakah tidak mustahil kalau kedudukan terjadi begitu tidak akan ada satu dua kerusi dimenangi UBN akan imigran ke arah Pakatan Rakyat? Mat Maslan jangan merasa selesa dan sedap duduk atau mempercayai tidak akan berlaku tindakan keluar parti kelak. Apakah Mat Maslan yakin wakil-wakil UBN akan terus setia dengan Najib dan terus berhimpun atas busut kecil kalau banjir sudah tiba. Rasanya bukan saja orang lain Mat Maslan sendiri juga terliur untuk mencari 'bongok' untuk menyelamatkan diri apabila belaku bah besar nanti. Eloklah Ahmad berhenti membuat ramalan rabun begitu kerana ia bakal menyusahkan partinya sendiri. Rasanya Najib juga kurang selesa dengan ramalan sedemikian. Kita tidak mahu nanti selepas undi dikira menyebabkan ahli Umno yang mempercayai ramalan rabun Mat Maslan itu akan terkejut dan jatuh pengsan. Apa yang berlaku di Indoneisa di mana ramai wakil rakyat menjadi gila selepas selesai pilihan raya apabila parti mereka gagal membentuk kerajaan. Ramalan Mat Maslan itu juga tidak konkrit kerana ia masih berhelah atau berlapik. Sepatutnya beliau sudah tidak mengambil kira kelemahan di dalam Umno yang bakal menyebabkan parti itu kalah. Beliau harus tegas dan berani menyatakan ramalan itu berasaskan kebenaran. Tetapi apaila memberi beberapa alasan maka nampaknya ramakan itu rabun dan bukan satu ramalan yang tuntas. Saya rasa Mat Maslan tidak melihat kepada realiti semasa dalam dia membuat ramalan itu. Ramalan itu hanya tidak lebih dari untuk menyegar angin saja. Ia dibuat di atas kertas bagi menggempurkan semangat ahli-ahli Umno. Khabarnya angka itu diberikan dalam satu pertemuan sulit dengan pemimpin Umno? Realiti hari ini terutamanya sokongan orang Cina kepada UBN semakin menirus. Lantaran peningkatan sokongan itu saya berani mengatakan semua kerusi campuran yang berkedudukan undi Cina di antara 40% hingga 45% akan disapu oleh Pakatan Rakyat. Cuba Mat Maslan kira berapa banyak kerusi yang berkapasiti demikian. Demikian juga dengan undi Melayu di beberapa negeri sokongan kepada Pakatan Rakyat menunjukkan peningkatan. Paling jelas ialah di negeri Mat Maslan sendiri di Johor. Ini dapat dibukti dengan kehadiran orang Melayu Johor pada acara anjuran Pakatan Rakyat. Perubahan sikap orang Melayu begitu ketara sekali. Sekiranya Umno tidak menyedari undi Melayu kepada Pakatan Rakyat meningkat parti itu tidak akan melakukan gerakan Gastapo terhadap Pakatan Rakyat. Apa yang berlaku hari ini di mana majlis Pakatan diganggu, terbaru eksepidi Oren dihalang dan dipukul menunjukkan Umno didalam keadaan desparate. Hanya orang yang didalam keadaan tertekan saja akan bertindak garang dan diluar lunas-lunas demokrasi. Persis kucing yang diasak selalunya akan menerkam dan membuang tahi di tengah jalan. Di Johor misalnya, meskipun Pakatan Rakyat mungkin sukar untuk memenang sebarang kerusi tetapi sokongan dipamerkan hari ini memberi semangat kepada Pakatan Rakyat. Keadaan rakyat Melayu Johor yang dilihat masih kekal menyokong Umno boleh berubah menjelang pilihan raya. Mood ataupun gelombang yang bakal tercetus nanti boleh menyebabkan mereka mengubah haluan disaat-saat akhir. Perlu diingat modd dan suasana selepas parlimen dibubarkan iakan berubah secara total. Dari petanda hari ini adalah elok kalau Mat Maslan menyepikan diri saja dan tidak berretorik dengan angka-angka. Tidak guna kalau Mat Maslan setakat hendak menghibur Najib Razak dengan jumlah itu sedangkan hakikat UBN masih sakit dan terus demam tidak kebah. Cara Mat Maslah membuat ramalan itu juga ia dilihat over confident di mana sikap ini boleh memakan diri sendiri. Dinasihat kepada Mat Maslan kalaupun hendak mendodoikan Najib carilah lagu dan senikatanya yang lain bukan mengenai dakwaan dapat kesekian banyak kerusi. Kalau Mat Maslan sendiri mengatakan keupayaan UBN itu sekiranya tidak berlaku cas keting sesama sendiri, kita ingin bertanya kepada beliau apakah perkara itu tidak berlaku? Cah keting didalam Umno kali ini dijangka akan hebat lagi, kerana ia bukan saja berlaku di antara sesama Umno tetapi ia juga akan berlaku di kalangan NGO yang menyokong UMNO. Formula dipakai UMNO yang meminta tiga empat nama untuk dinilai sebagai calon disatu-satu kerusi akan menimbul masalah di kemudian hari. Selain itu mana-mana NGO yang bermati-matian menyokong UMNO yang wakilnya tidak diberi peluang bertanding sudah pasti akan membelasah UMNO balik. Apakah Mat Maslah terlupa untuk membuat analisa ini dan dengan gampang UMNO akan mendapat 20 kerusi? Duhai Mat tidak semudah itu dalam dunia politik ini, selalunta kata tidak menepati apa yang dirasa. Tanya sikit Mat, saham Felda dah jadi berapa? [wm.kl. 6:03 pm 24/12/12] | ||||
Masa Depan Pas Kelantan 20 Tahun Akan Datang Posted: 23 Dec 2012 08:36 PM PST RENCANA KHAS Pengenalan: Selalu orang bertanya siapa akan memimpin Kelantan selepas Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ada beberapa nama disebut-sebut tetapi tiada siapa pula berani menegaskan nama disebut itu akan jadi MB. Ironisnya pula Timbalan Menteri Besar Kelantan, selalunya akan ternafi ditengah jalan. Keadaan ini menjadi kenan dan menyebabkan persoalan siapa MB selepas Nik Aziz menjadi tanda tanya. Catatan kecil ini akan cuba merungkaikan permasalahan. " Walaupun Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat nekad untuk berjuang sampai ke akhir hayatnya dalam PAS, dan sanggup mati di atas kerusi pemerintah atas alasan kerana Umno berdegil mempertahankan doktrin sekularismenya, tetapi hakikatnya beliau akan berhenti juga bila sudah sampai masanya nanti. Masa untuk itu sebenarnya sudah terlalu hampir dan rapat.
Walaupun selepas pilihan raya ke- 13 nanti beliau dikatakan tidak akan meneruskan tugasnya, sebagai MB, tetapi saya percaya selagi Nik Aziz mampu mengangkat tangannya ke atas untuk angkat sumpah, beliau akan terus menjadi MB. Alasannya mudah, PAS masih memerlukan dia. Apakah selepas ini, kalau tertakdir PAS menang besar, alasan ataupun keperluan itu masih berlaku; PAS mahukan Tokguru? Firasat saya mengatakan ia tetap akan berlaku. Sebabnya tidak akan ada sesiapa tergamak untuk mengatakan; Tokguru, silalah berhenti locing sudah berbunyi. Tidak akan ada walaupun beliau sangat letih dan berhajat begitu untuk menyudahi game seterusnya dan menamatkan permainan. Bukankah ini satu penganiayaan dan zalim? Ketaksuban dan rasa sayang kepadanya begitu tinggi. Kerana itu bila ada yang tersalah cakap, atau ikhlas cakap memberi nasihat orang itu akan menjadi mangsa kritikan dan dicemuh.
Sama-sama kita menanti dan menyusuri perjalanan ini yang tidak begitu berliku sangat. Sebenar tidak menjadi masalah apakah selepas pilihan raya umum ke -13 nanti tokguru hendak terus memegang jawatan MB atau tidak, itu bukan perkara pokok. Apa yang hendak disuluh menerusi tulisan kecil ini ialah bagaimanakah PAS dalam tempoh 20 tahun lagi sesudah mahaguru itu tiada? Saya akan cuba menyuluh perkara ini sebagai persiapan melihat futuristik jemaah bernama PAS. Untuk... membuat perhitungan kewujudan sesuatu empayar dan pengaruh peribadi kita ambil atau meletakan tempoh itu selama 20 tahun. Dalam tempoh ini boleh dijadikan periode jaya atau gagal seseorang pemimpin itu. Masa selama ini cukup munasabah. Allahyarham Mohd Asri Muda merupakan orang pertama mencipta empayar dan menguasai Kelantan menerusi PAS. Walaupun PAS di zamannya memerintah Kelantan selama 18 tahun tetapi Asri terus memimpin PAS selepas itu hinggalah tahun 1982. Asri meninggalkan 'cekandi' perjuangan PAS kepada Nik Aziz selepas tahun 1982. Tokguru pula sudah melangkah ke tahun 28 sebagai ketua PAS Kelantan dan berjaya membentuk kerajaan selama 22 tahun. Dari segi jangka masa ternyata Nik Aziz lebih cemerlang dan gemilang berbanding Asri. Apalah rekod kedua-dua pemimpin itu akan terpecah di masa akan datang? Dalam tempoh lebih 20 tahun Asri menguasai PAS beliau berjaya melahirkan beberapa nama yang menjadi pemuka PAS. Antara nama-nama itu ialah Wan Ismail Wan Ibrahim, Abdul Halim Abdul Rahman, (kedua-dua bekas MB Kelantan), Muhammad Nasir (MB), Omar Muhammad, Allahyarham Wan Mohamad Jamil, Zahari Awang dan lain-lain. Malahan kalau hendak diambil kira Nik Abdul Aziz sendiri lahir dizamannya. Asrilah yang melahirkan Nik Aziz dalam persada politik. Asrilah yang memperkenalkan Nik Aziz pertama kali dalam arina politik dengan menjadikan beliau sebagai calon pada pilihan raya kecil Pengkalan Chepa tahun 1967. Tetapi disebabkan pengakhiran Asri bukan bersama PAS menyebabkan jasa dan budi Asri terhadap Nik Aziz ini jarang dikenang orang. Kemarahan dan kebencian kerana sentimen mengambuskan segala-galanya. Sejarah telah mencatat Asri sudah meninggalkan legasi dalam hidupnya dengan terzahirnya Nik Aziz sebagai MB sama dia suka atau tidak atau pun sama ada orang ikhtiraf (mengenang) jasa Asri ini waima pun tidak. Walaupun mereka berbeza politik dan Asri tidak pun pernah berjabat tangan secara rasmi dengan Nik Aziz mengucap tahniah kerana menjadi MB, tetapi hakikat mereka ada kaitan tidak boleh dinafikan. Bukti itu sejarah saja boleh mendedahkan dan sejarah juga tidak boleh direka kerena kalau direka ia akan merosakkan sendi dan saraf sejarah. Tokguru sendiri tidak boleh menafikan realiti ini. Kerja dan amanah perjuangan sudah diberesi oleh Asri apabila Tokguru muncul menjadi wira baru di Kelantan dan penyambung kepada perjuangan PAS. Lebih memberangsangkan lagi wira baru ini berjaya meletakkan nama Kelantan dan PAS di persada alam, ia merupakan kehebatan PAS dan peribadi Nik Aziz sendiri yang juga tentunya terbenih dari Asri. Atas kehebatan itulah menyebabkan orang semacam menjadi gila dengan tokguru ada kalanya terkeluar dari lunas-lunas sepatutnya kalau pun tidak sampai syirik. Persoalan kini, bagaimana pula dengan Nik Aziz? Orang tidak perlu persoal dalam tempoh 22 tahun dia menjadi MB, tetapi orang akan menilai ke depan bagaiman 20 tahun akan datang. Siapakah yang akan memimpin PAS Kelanhtan dan menjadi hero 20 tahun akan datang? Yang akan menjadi legasi kepada tokguru seperti legasi Asri melahir beliau sehingga memimpin Kelantan dan menjadi MB lebih lama darinya. Bersambung ke siri (2). [wm.kl. 12:17 t/hari 24/12/12] | ||||
7 Perkara Menjadikan Momokan UBN Posted: 23 Dec 2012 04:16 PM PST SELAM RASA Ada tujuh perkara yang sering dibangkitkan oleh UBN dan ianya dijadikan momokan kepada rakyat agar menolak Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan di negara ini. Perkara ini diulang-ulang dan ditaburkan kepada rakyat dalam berbagai bentuk menerusi pelbagai saluran. Penyampai pula dari peringkat pemimpin tertinggi hinggalah kepada penyokong Umno di kedai-kedai kopi atau gerai canggung di kampung dan desa. Tujuh perkara ini diasak betul-betul kepada rakyat terutamanya yang tidak begitu celik IT dan warga tua di kampung-kampung. Mereka yang menerima pandangan hanya dari satu lorong (one way) dan tidak mempunyai otak kreatif terus mempercayainya. Cuba sama-sama kita renung dan kaji tujuh perkara ini sejauh manakah kebenaran dan kesahihannya. Saya akan membuat matemetik politik berhubung perkara ini dengan memberi jawaban seringkas mungkin. Tujuh perkara itu ialah; 1. Konon sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya ke-13 ini negara akan jadi huruhara. - Kononnya akan berlaku huruhara sekiranya Pakatan Rakyat menang. Bentuk huruhara yang diuar-uarkan kepada rakyat kononnnya akan berlaku situasi perbalahan kaum seperti 13 Mei 1969. Mari kita tanya siapakah yang akan mencetuskan keadaan itu kalau ia benar berlaku? Apakah orang Cina, atau orang Melayu atau orang India? Di pihak Pakatan Rakyat pasti tidak akan memulakan kerana mereka suka kerana menang. Jadi potensi kalau berlaku yang akan memulakan ialah pihak yang membuat momokan itu. - Sehubungan itu disebarkan kononnya tentera akan mengambil alih kerajaan ini kalau Pakatan menang. Kenapa? Apakah tentera tidak menghormati kepada demokrasi? Sediakan tentera untuk mengambil tindakan demikain. Di sinilah jelas pihak yang membuat spekulasi itu hanya menuduh semata-mata bagi menakut-nakutkan rakyat dari mengundi Pakatan Rakyat. Tentera boleh mengambil alih kerajaan kalau kerajaan tidak stabil dan berlaku huruhara. - Ternyata juga pihak yang membuat isu berfikiran jahat, dengki dan tidak boleh menerima hakikat berlaku perubahan hatta pun untuk kebaikan rakyat. 2. PAS menjadi alat kepada DAP. - PAS menjadi sasaran dituduh sebagai alat DAP. Pihak yang membuat tuduhan itu telah merendah-rendahkan martabat para pemimpin PAS. Mereka mengira pemimpin PAS budak-budak yang tidak ada prinsip. Tuduhan ini asalnya datang dari beberapa pemimpin PAS sendiri yang tidak dapat 'menguah' dan popular dari kalangan ahli PAS kerana kesongsangan politik mereka. - PAS sebagai sebuah parti berwibawa ia mempunyai perlembagaan tubuhnya. PAS berpegang kepada perlembagaan yang dikonsepkan dari ajaran al Quran, Hadith, Qias ulama dan ijtihad pemimpin. Sesiapa pun tidak boleh memperalatkan PAS kerana ia ada perlembagaan. Seperkara lagi yang membuat keputusan didalam PAS ialah ahlinya bukan saja segelintir pemimpin. PAS ada muktamar dan persidangannya bagi menentukan hala tujuan dan matlamatnya. PAS dipancu secara jemaah bukan individu apa lagi otokrasi. - Tuduhan begitu adalah datang dari mereka yang tidak tahu kaedah atau memahami apa itu pertubuhan dan organisasi. 3. Anwar akan jual Malaysia kepada Yahudi atau kuasa asing. - Kononnya kalau Pakatan Rakyat menang dan Anwar jadi PM, negara ini akan menjadi milik kuasa asing, Amerika dan Yahudi. Negara asing akan memerintah negara ini. Ini juga tuduhan dangkal dan tidak berasas. Mereka yang membuat tuduhan ini sekali lagi tidak tahu konsep sesebuah negara dibangunkan secara demokrasi. Kalau benar Anwar ada bermaksud begitu ia tidak semudah untuk menjual anak kucing. Dalam Pakatan Rakyat ada PAS dan DAP. Peraturan demokrasi dan semangat pakatan ini kena fahami. - Dakyah dan fitnah itu boleh dilihat kepada perjuangan Anwar kini. Kalau Anwar ingin menjualkan negara ini kepada kuasa asing beliau tidak akan mempertahankan prinsipnya semasa dalam BN dulu. Beliau ikut kehendak Mahathir termasuk membenarkan wang negara dirompak dan disamun semewahnya oleh Mahathir dan kuncu-kuncunya. Orang yang mempertahankan hak negara, prinsip bangsa dan maruah tanah air tidak akan berbuat demikian. - Sekali lagi dinyatakan rakan Pakatan Rakyat PAS terutamanya tidak akan membenarkannya. 4. Negara akan bankrup. - Negara ini akan bankrup sekiranya Pakatan Rakyat memerintah. Ini dirujukkan kepada beberapa polisi dan dasar membantu rakyat yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat seperti mana terkandung dalam Buku Jingga. Antara perancangan kerajaan itu termasuk, menghapuskan tol di lebuh raya, menghapuskan PTPTN, menurunkan kadar cukai harga kereta, memberi tambahan 15% royalti petroleum kepada negeri-negeri yang menghasilkan minyak dan gas. - Penurunan kadar itu bagi meringan beban rakyat, ia dibuat dari formula dengan menghapuskan rasuah dan memansuhkan bayaran-bayaran yang tidak sepatutnya. Ironisnya kalau segala pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini tidak pula dianggap sebagai bankrup. Perhatikan betapa banyak wang negara dibazirkan artau pun digunakan tidak pada tempatnya. Penyelewengan, rasuah dan bayaran-bayaran tidak wajar berlaku itu semua merugikan negara. - Jelas ia hanya tuduhan semata-mata bagi mencerminkan kelemahan dan kebobrokan kerajaan Pakatan Rakyat. Walhal yang sudah terbukti menyeleweng, samun harta rakyat dan khianat ke atas rakyat dan negara ialah pemimpin kerajaan hari ini. - Ini boleh dirujukan kepada berbagai skandal berlaku yang melibatkan wang rakyat dan negara mengalami kerugian berbillion ringgit. Contoh paling baru ialah bagaimana projek lembu gemuk (NFC) wang rakyat dimanipulasikan untuk kepentingan individu. 5. Pembangkang tidak ada pengalaman. - Pihak parti kerajaan selalu menguar-uarkan Pakatan Rakyat tidak boleh memerintah kerana mereka tidak ada pengalaman. Ini hujah yang cetek dan naif sekali. Hujah kebudak-budakan. Memang Pakatan Rakyat tidak ada pengalaman dalam soal ini kerana belum pernah menjadi kerajaan. Kalau orang yang berpendapat demikian cerdik dan tidak 'ssumbat' dan masuk air dia tidak akan tergamak memberi hujah demikian. Macam mana Pakatan Rakyat mempunyai pengalaman sebab belum memerintah. Hal yang sama juga berlaku kepada BN dulu, sebelum tahun 1971 ia juga tidak ada pengalaman. Dan Umno sendiri asalnya tidak pun wujud, ia diwujudkan kemudian. Umno semasa mula menjadi kerajaan tidak ada pengalaman dan mereka dibimbing oleh British. - Pengalaman akan ada apabila ia menjadi kerajaan. Setelah itu baru dapat diukur ada pengalaman mampu atau tidak. Pandangan atau panduan awal boleh dibuat ke atas empat kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat ketika ini; Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Baru empat tahun (kecuali Kelantan) Pakatan Rakyat memerintah sudah nampak perubahan positif sekurang-kurang dari aspek kemanusian dan integriti. Ia boleh disaksi sendiri. Jangan saksi atau baca butiran dan dakyah dilemparkan menerusi media massa tetapi cuba selidik sendiri. - Pencapaian dari segi ketelusan (integriti) kerajaan Pakatan Rakyat jauh lebih baik daripada kerajaan negeri-negeri lain. Misalnya Kelantan dalam keadaan ditekan dan dihindik namun negeri itu masih berjaya membawa rakyat selari dengan negeri-negeri lain, sebaliknya pembangunan dari segi rohanian dan kemanusiaan Kelantan mendahului negeri-negeri diperintah oleh BN. Hutang kerajaan Kelantan dengan federal jauh lebih rendah berbanding dengan Pahang, Johor, Melaka, Perlis dan lain-lain. 6. Pembangkang tidak tunai janji. - Ini satu lagi tuduhan dangkal dan kurang cerik. Apabila BN melaungkan slogan "Janji ditepai" mereka menuduh pembangkang tidak menunaikan janji. Ini dirujuk kepada manifesto pilihan raya dikemukakan oleh Pakatan Rakyat. Contoh diambil ialah Selangor. Jikalau manifesto yang dirujuk, bukan saja Pakatan Rakyat tidak menunaikan janji tetapi BN juga banyak janji-janji yang diikrarkan dalam manifesto tidak ditunaikan. - Orang yang sihat akan dapat berfikir kenapa janji manifesto itu tidak ditunai semuanya, sebabnya Pakatan Rakyat tidak berjaya membentuk kerajaan Pusat. Sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Malaysia semua janji itu akan dipenuhi kerana sebahagian besar janji perlu dilaksanakan bila kewangan mencukupi. Sesetengah bukan kerajaan Pakatan Rakya sengaja tidak mahu laksanakan tetapi terhalang disebabkan perbezaan kerajaan. Contohnya kerajaan Kelantan tidak dapat untuk merancakkan industeri berat kerana tidak ada kelulusan dan kerjasama dari kerajaan Pusat yang memegang atau berkuasa ke atas bidang-bidang tertentu. 7. Malaysia akan jadi seperti Singapura. - Tuduhan ini juga merupakan imiginasi yang tidak berasas sama sekali. Kononya kalau Pakatan Rakyat memerintah Malaysia akan jadi seperti Singapura... orang Melayu tidak akan berkuasa dan Islam tidak akan berdaulat. Hujah yang digunakan kononnya DAP akan mengubah corak pemerintahan Malaysia ke arah republik dan liberal tanpa menjadikan bangsa dan agama sebagai asasnya. Tuduhan ini satu fitnah besar yang datang dari orang yang tidak mendapat pendidikan secara teratur. - Kebimbangan seperti ini seharusnya tidak timbul kalau mereka - si penuduh mengenali sejarah bagaimana nasib dan apa yang berlaku ke atas Singapura dahulu. Siapa yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew? Apakah orang itu kini berada didalam Pakatan Rakyat? Tuduhan atau anggapan demikian oleh Umno seperti meludah ke muka sendiri. Apa yang menimpa ke atas Singapura tetap dijadikan azimat dan iktibar bukan saja kepada Melayu tetapi Cina juga. - Kalau takdirlah DAP berhasrat menjadikan Malaysia seperti Singapura, apakah parti itu cukup kuat dan berkuasa? Dan apakah Melayu di dalam Umno akan hanya melihat saja tatkala Melayu dan Islam di dalam Pakatan Rakyat bangkit mempertahankan kehendak DAP itu? Kalau itulah berlaku maka jelas yang ada hasrat untuk menjadikan Malaysia seperti Singapura adalah Melayu di dalam Umno. Perlu diketahui Malaysia tidak boleh dijadikan seperti Singapura selagi perlembagaan tidak dirombak... sedangkan untuk merombak perlembagaan orang Cina memerlukan 2/3 kuasa di parlimen. Juga bukan semudah itu kerana ada bab-bab tertentu di dalam perlembagaan negara ianya tidak boleh diubah meskipun ada kuasa 2/3. Itulah di antara tujuh perkara yang dijaja oleh UBN untuk mengabui mata rakyat agar tidak menyokong Pakatan Rakyat. Kesemua tuduhan itu direkacipta yang terbit dari ilusi rasa gerun dan takut UBN kepada kemampuan Pakatan Rakyat. Sebenarnya selain dari tujuh perkara itu ada beberapa perkara lagi yang ditimbul dan dimainkan untuk mengelirukan rakyat. Jelas apa yang ditimbulkan bukan saja jauh dari kebenaran tetapi setengahnya sudah dapat difahami oleh rakyat ia adalah fitnah mentah. [wm.kl.8:14 am 24/12/12] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan