Ahad, 4 November 2012

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Apa yang boleh kita belajar dari pilihanraya AS (4/11/12)

Posted: 03 Nov 2012 10:57 PM PDT


Hari Selasa ini rakyat Amerika Syarikat akan keluar mengundi Presiden mereka. Obama dari Demokrat yang mempertahankan jawatannya akan ditentang oleh Romney dari Republikan. Selain itu pilihanraya kongres turut diadakan bagi menentukan parti manakah yang menguasai badan legislatif tertinggi dalam Negara "Bapa Demokrasi" itu.
Mungkin Obama akan berjaya atau mungkin juga Romney akan mencatat sejarah negulingkan Obama yang hanya mampu bertahan satu penggal.

Bagi saya yang menarik adalah perjalanan pilihanraya di sana berbanding dengan di sini.
Banyak yang perlu kita belajar dan kaji dari perlaksanaan pilihanraya di sana supaya kita dapat pula melahirkan satu sistem yang lebih telus, teratur dan sistematik di sini.

Yang menarik saya perhatikan adalah budaya perdebatan terbuka dan kebebasan media walaupun hakikatnya media di sana juga sebenarnya mempamirkan juga kecenderungan kepada satu-satu pihak tetapi kecenderungan itu tidaklah "melampau".
Selain itu kita perhatikan "emosi" rakyat dan para pengundi termasuklah penyokong di sana agak terkawal. Kenapa bila pilihanraya di sini kita menjadi terlalu emosional, sehingga pilihanraya seolah bagaikan satu peperangan? Mungkin masing-masning pihak boleh memberi seribu satu alas an, tetapi alangkah baik sekiranya kita dapat melahirkan satu suasana aman dan matang semasa berpilihanraya, supaya semuanya berjalan lancer tanpa sengketa atau pergaduhan kerana yang pentingnya adalah rakyat bebas memilih pemimpin yang paling layak dikalangan mereka.

Tetapi tidaklah sistem di AS itu yang paling "perfect". Dalam akhbar hari ini juga ada pendedahan berkenaan pendaftaran pengundi, pengundi mati dan lain-lain masalah di AS. Tetapi ia tidaklah serius. Bermakna apa yang ada pada kita boleh dibaik-pulih, diperbaiki dan yang penting kita pelajari dari pengalaman orang lain.
Saya mengharapkan dalam PRU Negara kita nanti, suatu perubahan ke arah yang lebih baik akan berlaku, yang penting semua pihak perlu ikhlas dan jujur dan yang pneting adalah masa depan Negara.

Lawan judi "haram" dengan judi "halal" (4/11/12)

Posted: 03 Nov 2012 10:44 PM PDT


Ketua Pengarang akhbar The Star, Wong Chun Wai, dalam ruangannya hari ini mengulas isu judi khasnya judi "haram" di Malaysia yang berleluasa kebelakangan ini. Beliau memberikan angka-angka yang menarik dalam ruangannya itu.
Menurut beliau pada tahun 2008 sahaja pihak berkuasa telah menahan sejumlah 2,156 orang yang terlibat dalam aktiviti judi "haram" ini dengan merampas sejumlah RM15juta aset berkaitan judi berkenaan. Pada tahun berkenaan adalah dianggarkan judi "haram" mengaut keuntungan sejumlah RM3.2 billion!

Judi haram hukumnya menurut Islam, manakala judi "haram" yang dimaksudkan khansya oleh Wong di sini merujuk kepada aktiviti judi yang tidak dilesenkan oleh kerajaan, iaitu judi selain kasino di Genting, selain tikam nombor termasuklah Magnum, Sports Toto, Pan Malaysian Pools, judi lumba kuda dan kelab-kelab judi yang diberi lesen.
Ini bermakna RM3.2 billion di atas merujuk kepada keuntungan selain dari judi yang dilsenkan, agak-agaknya kalau kedua-dua keuntungan ini dicampurkan berapa billion lah agaknya pendapatan judi di Malaysia!?!

Kerana itu tak hairanlah menurut atrikel Wong itu Malaysia tersenarai antara Negara "penjudi" yang paling besar di dunia!
Judi "haram" disini termasuklah siber judi yang dikendalikan oleh operator kafe siber yang kebanyakannya tidak berlesen, juga termasuk sindiket judi tikam nombor tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai "black market". Wong mendedahkan juga judi-judi "haram" lain termasuklah yang berjudi semasa acara dan kejohanan sukan khasnya bolasepak yang dikendalikan oleh sindiket-sindeket tertentu. Malah pada PRU 2008 percaya atau tidak, sindeket tempatan mengaut sejumlah RM500 juta duit taruhan dikalangan mereka yang berjudi meneka siapakah calon atau parti yang menang dalam pilihanraya tempatan!

Kebimbangan yang dilahirkan dari aktiviti judi "haram" yang berleluasa ini adalah jenayah. Mereka yang tegar dan mahu terus berjudi tidak akan segan-silu terlibat dalam aktiviti jenayah umpama mencuri, ragut, peras dan sebagainya untuk memperolehi "modal" bagi berjudi.
Memang kerana itulah judi tak kiralah yang "haram" atau "berlesen" ditegah oleh agama kerana ia mampu meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat dan Negara. Dan saya percaya semua agama dan kepercayaan melarang atau menegah penganutnya berjudi. Malah satu komen ruangan SMS dalam akhbar Wong hari ini juga berbunyi:

Stay away from gambling joints please. Don't gamble with your life and future. Think of loved ones and exercise self control. You wont regret it. IM
Sebenarnya semua tahi judi tak kiralah yang "haram" atau "berlesen" akan memiliki kecenderungan untuk melakukan jenayah jika mereka kehabisan "modal" lantaran ketagihan mereka itu. Kerana itu semua aktiviti judi perlu dihapus, dibenteras dan diperangi.

Wong dalam kesimpulannya cuba membayangkan agar lesen judi tidak diperketatkan seperti pada hari ini kerana berkemungkinan dengan cara itu bilangan juid "haram" dapat dikawal, tetapi apa bezanya judi "haram" dan "berlesen" tidakkah kedua-duanya menjurus kepada kebinasaan diri?!

Sekali lagi saya mahu tegaskan, semua pihak perlu main peranan. Ini bukan isu politik atau agama, ini satu masalah besar yang jika tidak ditangani akan mengundang keruntuhan kepada Negara dan padahnya dirasai bukan hanya oleh orang Melayu Islam tetapi semua rakyat.
Bagi judi "haram" yang dimaksudkan – satu peperangan besar-besaran perlu dilancarkan melibatkan semua pihak dan agensi samada di peringkat Persekutuan mahupun negeri. Penglibatan pihak SPRM dalam operasi peperangan ini mesti diwajibkan demi mengelakkan sebarang angkara rasuah dalam penguatkuasaan.

Jangan bercakap sahaja. Jangan menuduh sahaja. Semua pihak perlu bangkit dan menanganinya kerana ia suatu realiti dalam masyarakat hari ini.
Bagi judi yang berlesen pula, tindakan mengharamkan atau menutup operasinya perlulah dikaji, dipertimbang dan dilaksanakan. Mulakan dengan menaikkan cukai ke atas aktiviti ini. Jangan hanya mahu berperang pada yang "haram" sedang yang berlesen terus dibiarkan kaya "menipu" dan "memeras" mereka yang terjerumus di dalamnya.

Selagi tiada kesungguhan dalam hal ini, selagi itulah agnka keuntungan yang dicatatkan di atas akan terus berlipatganda, masyakarat kita semakin rosak, jenayah semakin meningkat dan kita sekadar menjadi penonton menunggu giliran menjadi "mangsa".

Tiada ulasan: