Ahad, 18 November 2012

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Isu Palestin: Parlimen Malaysia mesti bersungguh (18/11/12)

Posted: 18 Nov 2012 04:30 AM PST


Saya difahamkan kerajaan Malaysia akan mengemukakan usul tergempar di Parlimen esok mengutuk tindakan kerajaan Haram Israel ke atas Gaza, Palestin selain menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi ke atas perjuangan rakyat Palestin.
Sebanyak lima ketetapan akan dibentangkan bagi menyatakan pendirian itu iaitu:

PERTAMA: Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestine di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.
KEDUA: Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata.

KETIGA: Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung PBB di bawah Resolusi 377A(V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.
KEEMPAT: Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat; dan

KELIMA: Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan/ Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.
Saya yakin usul ini akan disokong sebulat suara oleh semua ahli Parlimen kita, baik wakil BN mahupun pembangkang. Cuma saya merasakan usul ini terlalu "lembut" dan seakan memorandum demonstrasi sahaja bunyinya, selayaknya jika kita serius menyatakan keprihatinan, simpati dan sokongan kita, sebagai kerajaan, bunyi dan kesungguhannya juga wajar lebih keras dan serius.

Saya cadangkan selain 5 ketetapan di atas, tambahlah jika sungguh kita serius:
1) Lulus peruntukkan segera RM10 juta (atau lebih) sebagai bantuan kemanusiaan dan dihantar secara peribadi oleh beberapa wakil dari kalangan ahli parlimen kita terus ke pentadbiran Palestin di Gaza (kalau PM Mesir dan Menteri Luar Tunisia boleh berkunjung ke Gaza di saat cemas ini, mengapa tidak kita. (Saya cadang Speaker Parlimen, seorang Menteri, seorang Timbalan Menteri, Ketua Pembangkang, Presiden PAS dan Setiausaha Agung DAP, pergi terus ke sana mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia!)

2) Kerahkan kor perubatan dan kor jurutera Angkatan Tentera Malaysia bersiap sedia untuk dihantar bagi memberi rawatan perubatan kepada rakyat Gaza selain membantu membina kembali kemudahan infrastruktur yang telah dimusnahkan Israel.
3) Hantar bantahan keras terus kepada Israel (walau kita tidak ada hubungan diplomatik) biar beberapa wakil dari kalangan ahli parlimen kita (cadangan saya lima yang di atas tadi juga) diterbangkan dalam penerbangan khas samada bertemu wakil Israel di PBB atau terus ke Tel Aviv bagi menyampaikan bantahan keras kerajaan dan rakyat Malaysia. Nak suruh lulus usul hantar tentera, sudah pasti Malaysia tak daya, sekurang-kurangnya hantar wakil, barulah bersungguh kelihatan usaha kita.

Mohon sangatlah perkara ini turut dibawa dan dibincangkan di Parlimen esok. Kalau sekadar nak lulus lima usul di atas sahaja, saya percaya dewan di Korea Utara atau di Vanuatu pun boleh lulus. Jangan sampai Israel sekadar mentertawakan kita sebagaimana ia mentertawakan Negara Arab hari ini yang begitu lesu!
Seriuslah membantah Israel dan membantu Palestin saya yakin semua rakyat Malaysia menuyokong!

Tiada ulasan: