Muslimeen United |
AES: Kaunter Kase diserbu orang ramai Posted: 21 Nov 2012 02:28 PM PST KUALA LUMPUR: Kaunter saman AES yang baru dilancarkan hari ini oleh Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dengan Kerjasama Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Pusat, diserbu orang ramai. Hampir 100 orang kena saman (OKS) hadir sambil membawa salinan surat saman untuk diserahkan kepada Kase dan Juham. Kaunter yang dibuka di lobi Pejabat Agung PAS akan beroperasi dua minggu sekali bermula 1 Disember ini, dari jam 12.00 hingga 1.00 tengah hari. Orang ramai juga diberi taklimat prosiding asas oleh wakil Juham iaitu bagaimana mereka berhadapan dengan proses mahkamah nanti. Dalam pertemuan itu, OKS berkesempatan mengajukan soalan-soalan kepada wakil Juham berhubung saman AES. Presiden Kase Datuk Mahfuz Omar yang turut merasmikan kaunter saman AES berkata, sehingga hari ini seramai 200 OKS mendaftar melalui emel ditambah pula sambutan pada hari ini amat menggalakkan. "Hari ini, yang datang dari pelbagai bangsa Cina, Melayu dan India. Malah ada juga yang datang termasuk pemandu kereta kerajaan dan kakitangan kerajaan," katanya. Dalam pada itu, pendakwaan kes yang pertama berhubung saman AES akan disebut di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 6 Disember ini. Menurut Pengarah Juham Zamri Asa'ad Khuzami, mereka akan mengiringi OKS tersebut dan akan memohon pada mahkamah untuk cabar AES di Mahkamah Tinggi. Katanya, orang ramai tidak perlu takut untuk cabar di mahkamah sebagaimana ia ditawarkan dalam surat saman. "Tuan-tuan jangan takut sebab saman trafik adalah kesalahan yang kecil. Pesalah tidak duduk dalam kandang. Sebab itu ia dibawa dalam mahkamah Majistret," katanya. Melalui inisiatif membuka kaunter, jelas Peguam Juham Dr Zulqarnain Lukman sebagai usaha untuk mengajar orang ramai supaya jangan takut dengan mahkamah. "Kita kena tahu implikasi apabila kita melalui proses mahkamah, sama ada mengambil masa tiga atau empat kali ulang alik ke mahkamah, mungkin akan ambil masa yang banyak, tapi kita kena sedia menempuhnya. "Apabila sampai ke mahkamah daftar dahulu, kemudian polis yang bertugas akan 'frame'kan caj kita, pertuduhan akan dibaca kepada kita. Tuan-tuan akan diberi pilihan, pilihlah tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan. Ini tidak perlu jamin sebab ini kes kecil sahaja. Bila tetap tarikh jadi pendakwaan bermula. "Kalau pendakwaraya tidak bersedia, kes ditangguh. Jikalau tertangguh sebanyak 3 kali biasanya mahkamah akan buang kes. Apa yang kita tahu pendakwaan nampaknya masih kabur kerana tidak tahu SOP mana yang perlu digunakan," terang beliau kepada OKS. Kase menyediakan lebih 100 peguam untuk membantu orang ramai yang menjadi mangsa sistem pemantauan trafik itu. Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari Facebook Kase atau emel k empenantisamanekor@gmail.com |
Posted: 21 Nov 2012 02:24 PM PST Gara-gara anak Penasihat Petronas mendapat anugerah projek carigali bernilai ratusan juta di perairan Kelantan, kumpulan anak-anak muda di sini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Gambar fail SapuraKencana yang ada kaitan dengan Datuk Mokhzani Mahathir dikatakan mendapat projek bernilai RM835.8 juta daripada Petronas Carigali Sdn Bhd dan HESS Exploration and Production Malaysia BV. Anak bekas perdana menteri itu merupakan Naib Pengerusi SapuraKencana. Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti - R) mengesyaki wujud unsur-unsur tidak sihat di atas anugerah projek terbabit. Presidennya, Nazri Deraman berkata, R merujuk laporan kenyataan media Petronas yang menyebut Tun Dr Mahathir merupakan penasihat Petronas sehingga sekarang. Kata beliau projek berkenaan membabitkan pengeluaran gas dari Medan Bunga Kamelia dan Blok PM301 yang terletak 150 km dari pantai Kelantan. Sapura Kencana Petroleum Bhd dianugerah projek terbabit bermula Oktober 2012 sehingga April 2016. "Kami serah memorandum kepada SPRM berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan badan itu menyiasat skandal minyak membabitkan keluarga Dr Mahathir. "SPRM perlu menjalankan siasatan ke atas Petronas dan Dr Mahathir kerana kelihatan ada unsur-unsur tidak sihat berlaku," katanya selepas menyerah memorandum tersebut kelmarin. Menurutnya R menuntut SPRM menjalankan siasatan dalam tempoh 30 hari kerana ia membabitkan kes berprofil tinggi dan sebuah syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan. Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya SPRM tidak mengeluarkan apa-apa jawapan, R akan mengadakan perhimpunan aman di hadapan bangunan SPRM dan membawa kes berkenaan ke peringkat antarabangsa. Nazri turut diiringi 50 aktivis R menyerahkan memorandum kepada Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Kelantan, Che Aziz Hamzah di pejabat SPRM di Lundang. Baru-baru ini Dr Mahathir ketika mengulas isu berkenaan seperti disiarkan Malaysiakini dipetik sebagai berkata, "Ya sudah tentu, dia (Mokhzani) mendapatnya kerana saya arahkan Petronas. Masukkan itu dalam akhbar awak. "Saya mempengerusikan segala-galanya. Saya memberitahu mereka, sila berikan kepada anak saya dan bukan orang lain. Itulah apa yang saya buat selama ini. "Apabila saya jadi perdana menteri, segala-galanya dapat pada anak-anak saya. "Tetapi apabila semuanya dapat pada anak-anak perdana menteri-perdana menteri lain, awak tak mahu menyebut kerana dia seorang yang baik." |
You are subscribed to email updates from Muslimeen United To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan