Sabtu, 17 November 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO] Benar, UMNO Kini Sasau, Meroyan & Nyanyuk...

Posted: 17 Nov 2012 12:48 AM PST


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno kini berada dalam keadaan "sasau, meroyan dan nyanyuk" sehingga sanggup memainkan pelbagai dakwaan termasuk hubungan dengan Yahudi dan Israel serta kenyataan anaknya, Nurul Izzah yang didakwa menyokong murtad.

"Umno kini sasau, meroyan dan nyanyuk.... Sebabnya (mereka) tidak ada benda yang hendak dipertahankan. Kalau ikut negeri dan pembangunan, negeri Pakatan Rakyat lebih membangun. Bersih lagi (pentadbiran) kita.

"Yang ada (pada mereka) fitnah. Kalau rakyat sudah termakan fitnah, padahnya punah ranahlah negara kita. Kita (kena) selamatkan negara kita, umat dan negeri Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang," kata Anwar yang juga ketua umum PKR.

Apatah lagi, katanya, rakyat kini memberi sambutan pada janji Pakatan yang ditawarkan termasuk pendidikan percuma, mengembalikan royalti kepada negeri yang berhak dan menurunkan harga kereta, sekiranya gabungan itu berjaya menguasai Putrajaya.

Berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Mohamad ke-IV di Kota Bharu malam tadi, Anwar menempelak pemimpin BN yang mendakwa negara akan muflis jika Pakatan Rakyat mentadbir negara ini.

Ketua pembangkang itu menegaskan dakwaan tersebut tidak benar memandangkan terbukti sebelum ini hutang negeri Kelantan yang ditinggalkan oleh Umno sebelum ini, dibayar oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Malah, terkini berlakunya lebihan pendapatan kerajaan negeri Selangor sebanyak RM2.4 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM2 bilion kerana dipimpin oleh Pakatan Rakyat.

"Jadi MB tak pandai sebab lebihan pendapatan?" soal Anwar sambil menjelaskan hutang kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Najib Tun Razak kini mencecah RM538bilion.

Merujuk ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum itu yang menekan soal etika, sistem nilai dan tatakelola kerajaan, Anwar yakin Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya sekalipun pilihan raya umum diadakan pada Disember atau Januari tahun depan.

Sementara itu, Abdul Hadi pula cuba meyakinkan puluhan ribu penonton di stadium itu mengenai kemampuan PAS dan Pakatan Rakyat jika mentadbir Putrajaya dengan adil, amanah dan bersih.

"Kalau ada rasuah, tolong tangkap, ambil tindakan.

Kami tidak mahu pemimpin kerajaan yang rasuah," katanya sambil menegaskan rakyat, harta negara dan pentadbiran adalah amanah dan Allah melaknat orang yang mengamalkan rasuah.

Mengulas mengenai kerajaan yang adil, Abdul Hadi memberi contoh pentadiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang menulis surat kepada gabenornya yang gagal bersikap adil atau berdepan risiko dipecat.

"Negara lain, kalau pemimpin mereka silap, akan dipecat. Seluruh dunia berlaku, kita bila lagi. Pecat kerajaan yang ada, gantikan dengan kami, Pakatan Rakyat.

Kita laksana pentadbiran yang baik," katanya.

Turut hadir dalam himpunan tersebut, Mursyidul AM PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang serta wakil NGO BERSIH, ANAK, Lynas dan Royalti. -mk


Imej Bayi Maut Dapat Simpati Dunia

Posted: 16 Nov 2012 11:45 PM PST


Gaza – Kematian seorang bayi berusia 11 bulan yang juga anak kepada jurukamera BBC akibat serangan Israel, telah mencetuskan simpati orang ramai selepas gambar Jihad Misharawi memangku anaknya sambil menangis tersebar di internet.

Beribu-ribu mesej simpati telah diterima Jihad dalam internet, termasuk kecaman ke atas BBC yang hanya membuat laporan yang minimum terhadap pembunuhan berkenaan.

"Apabila BBC sendiri tidak mempedulikan nasib anak kepada jurukameranya, apa lagi harapan untuk Palestin" demikian tulis satu blogger intifada dalam internet yang melihat BBC langsung tidak menghiraukan kematian tersebut.

Selain itu, media portal Al-Bawaba turut menghentam keras BBC kerana melaporkan Israel melakukan serangan itu bagi mensasarkan pengganas di Gaza.

"BBC gagal melaporkan bahawa bayi berusia 11 bulan itu juga merupakan antara kanak-kanak yang maut dalam serangan berkenaan,'' kata media tersebut.

Sejurus menerima kecaman bertali arus itu, BBC telah membuat penerangan bahawa pada mulanya berita kematian bayi berkenaan tersebar dalam badan penyiaran berkenaan sahaja.

Malah editor BBC World, Jon Williams telah menghantar memo mengenai kematian bayi tersebut kepada semua rakan sekerjanya.

"Kami bersama dengan Jihad dan seluruh pasukan di Gaza.

Ia merupakan satu detik yang amat menyedihkan dan sukar bagi seluruh pasukan di Gaza.

Kami bernasib baik kerana mempunyai pasukan yang berani di sama. Ia merupakan satu peringatan kepada cabaran yang terpaksa dialami oleh rakan sekerja di sana.

Satu artikel dalam laman web BBC juga turut menyiarkan video Jihad bersama anaknya dengan keterangan `Apa yang anak saya lakukan hingga menerima nasib sebegini rupa'.

Bayi tersebut, Omar, maut selepas bedilan ganas Israel telah terkena rumahnya.

Omar merupakan antara 16 penduduk di Gaza yang meninggal dunia, dua hari lalu akibat kekejaman Israel itu.

Sejak Rabu juga, zionis terus membedil penduduk di Gaza dengan alasan memburu pejuang Hamas selepas berjaya membunuh komander Hamas, Ahmed Jaabari. – Mynewshub.my

[BERGAMBAR] "Orang Minat Agama Mesti Memilih PAS" - Bekas Pengarah JAIM

Posted: 16 Nov 2012 08:44 PM PST

Bekas pengarah JAIS dan JAIM sertai PAS

Kota Bharu: Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV malam ini menyaksikan seorang lagi pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS.

Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Mohd Nahwari Hashim, menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyerahan itu disaksikan lebih 30,000 hadirin yang hadir dalam himpunan itu malam ini.

Mohd Nahrawi juga sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Selain itu beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perkhidmatan awam.

Beliau yang ditemui Harakahdaily berkata, kemasukannya ke dalam PAS didorong kesedaran kuat bahawa parti itu benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam yang sebenar.

"Saya dah lama nak menyertai PAS, dan hari ini secara rasmi saya menyertainya.

"Saya minat agama, dan tak boleh lari dah. Orang minat kepada agama mesti memilih PAS," katanya.

Baginya, PAS satu-satunya parti yang mampu memartabatkan Islam di negara ini selepas banyak kerosakan dilakukan pemerintah sekarang.

Oleh kerana itu katanya, PAS menjadi pilihannya.

Menurutnya kemasukannya ke dalam PAS diharap mampu menyumbang sesuatu ke arah membina negara yang lebih baik.

30 ribu berhimpun di Stadium Sultan Muhamad


KOTA BHARU: Stadium Sultan Mohamad Kota Bharu mulai penuh dengan para penyokong Pakatan Rakyat yang menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Himpunan anjuran Pakatan Rakyat ini adalah siri kedua selepas himpunan di Senawang, Seremban awal bulan ini.

Himpunan kali ini diadakan serentak dengan Muktamar tahunan PAS ke 58 yang diadakan di sini.

Dianggarkan pada ketika ini sudah lebih 30,000 berada di padang stadium dan kawasan tempat duduk sementara ribuan lagi sedang masuk ke dalam stadium.

Kebangkitan malam ini juga bakal sekali lagi menyaksikan sejarah dicipta di stadium penuh keramat ini apabila beberapa tokoh besar juga turut hadir.

Antara pemimpin besar Pakatan Rakyat yang dijangka akan memberi ucapan termasuk Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Suasana dalam stadium ketika ini dipenuhi dengan empat warna kebangkitan rakyat iaitu oren, merah, hijau dan kuning.

Oren mewakili gerakan menyelamatkan Felda oleh Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), merah mewakili perjuangan NGO 'R' menuntut hak bayaran royalti dan pendaratan minyak dan gas di Kelantan, hijau mewakili gerakan menyelamatkan alam sekitar dan anti-Lynas dan kuning mewakili perjuangan Bersih yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.

Selain daripada warna dari pakaian yang dipakai, setiap hadirin juga turut diagihkan bendera mewakili keempat-empat warna tersebut.

Malam ini juga kesemua wakil-wakil NGO tersebut diberi peluang berucap memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini isu-isu yang diperjuangan mereka.

Perhimpunan malam ini juga dibuat bersempena berlangsungnya Muktamar PAS kali ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) yang bermula hari ini hingga Ahad nanti.

Perhimpunan bermula sejak petang tadi apabila pelbagai acara hiburan dan ringan diadakan di perkarangan stadium dan di sekitar bandar Kota Bharu.

Perarakan bermotor NgO 'R' mengelilingi stadium kira-kira jam 3 petang.

Selepas itu persembahan kesenian diadakan di situ termasuklah tarian singa dan lain-lain permainan tradisi.










Kes Polis Merogol: Tiga Anggota PDRM Didakwa Di Mahkamah

Posted: 16 Nov 2012 07:02 PM PST

Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia di Berek Balai Polis Perai, Jumaat lepas.

Konstabel Remy Anak Dana, 25, Kpl Nik Sim Mat Lazin, 33, dan konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa merogol wanita Indonesia berumur 25 tahun itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di antara jam 6.40 pagi hingga jam 7.30 pagi 9 November lepas.

Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan rogol, mereka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala pertuduhan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Nabishah Ibrahim menetapkan 12 Disember ini untuk mengambil kenyataan daripada saksi-saksi, manakala Timbalan Pendakwa Raya adalah Suhaimi Ibrahim dan Nurashikin Mokhtar.

Peguam Rosli Ismail bertindak sebagai peguam pemerhati. Peguam S Anthonysamy mewakili Remmy manakala peguam Parmjit Singh pula mewakili Nik Sim dan Syahiran.

Suhaimi memohon supaya tertuduh ditahan sementara menunggu perbicaraan kerana menurutnya, jika mereka telah dibebaskan dengan ikatjamin, ketiga-tiganya mungkin mengganggu saksi kerana mereka dikenali tertuduh.

Beliau juga memohon supaya kenyataan mangsa diambil di bawah Seksyen 396 Kanun Tatacara Jenayah pada tarikh yang lebih awal daripada tarikh perbicaraan supaya dia boleh kembali ke negaranya.

Nabishah kemudian menetapkan ikat jamin RM25,000 tiap seorang, dan memberi amaran kepada mereka supaya tidak mengganggu saksi.

Sejak jam 8 pagi tadi, ramai wartawan telah berkumpul di bangunan mahkamah, menunggu ketibaan suspek.

Mereka akhirnya tiba pada jam 2.15 petang, dan diiringi tiga anggota polis. Ketiga-tiganya memakai pakaian lokap berwarna oren dan menutup muka mereka dengan baju mereka.

Sebaik sahaja ternampak ketiga-tiga mereka, kumpulan jurukamera bergegas untuk merakam gambar.

Pemangku Ketua Pengarah Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah turut hadir di mahkamah. Kira-kira 30 'penyokong' dalam uniform polis dan pakaian biasa turut hadir. -mk



Laporan sebelum ini
klik untuk baca

[BERGAMBAR] Muktamar Pacu Ahli PAS Siap Sedia Hadapi PRU13

Posted: 16 Nov 2012 03:06 PM PST


Kota Bharu: Debar dan penantian pemerhati politik untuk melihat sejauh mana keseriusan PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi piilihan raya umum ke-13, hari ini mulai tertumpu ke Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Muktamar kali ke-58 bermula dengan suasana ceria biar pun Kelantan memasuki musim tengkujuh. Ketibaan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di celah-celah kehadiran orang ramai kira-kira jam 9 pagi.

Putik yang agak sunyi selepas berlalu muktamar dua tahun lalu, hari ini kembali menjadi meriah semula dengan agenda muktamar yang akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Sejurus ketibaan, Presiden melakukan pemeriksaan pasukan anggota Unit Amal dan Nisa'. Paluan kertuk, rebana dan gendang Cina memeriahkan kelangsungan muktamar.

Muktamar diceriakan lagi dengan kehadiran Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Turut hadir wakil-wakil gerakan Islam dari luar Negara, antaranya Hamas diwakili Ibrahim Yussof, Ahmad Kassir, Muslim Abu Omar, manakala Ikhwan Muslimin Syria diwakili, Dr Mohd Walid, Dr Riduan Alami, Dr Asalam Alamah.

Selain itu wakil Jemaah Islam Sri Lanka. Tokoh lain termasuk bekas Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin, bekas anggota parlimen Batu Berendam, Datuk Thamrin Ghaffar, veteran-veteran PAS termasuk Ismail Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, penantian untuk mengikuti muktamar lewat sikit diadakan tahun ini kerana mengambil faktor pilihan raya yang diuar-uarkan diadakan Jun lalu.

"Ia khabarnya diadakan pada Jun lalu. PRU ke-13 diadakan tidak lewat daripada 27 Jun 2013 berikutan tempoh penggal parlimen ke-12 akan berakhir dengan mengambil kira tarikh 28 April 2008 bermula sidang pertama parlimen," katanya pada ucapan aluan.

Ekoran itu katanya, perwakilan hendaklah menggunakan medan muktamar kali ini untuk bermuhasabah dengan memberi teguran bagi kebaikan jemaah.

"Lagi pun kita tidak ada banyak masa sekarang. Kita yakin PRU 13 pertaruhan paling sengit dalam sejarah pilihan raya kita. PRU 13 jadi penentu kepada hidup atau mati Umno, mereka melakukan apa sahaja bagi mempertahan kuasa yang ada.

"Oleh itu PAS dan Pakatan siap siaga dengan kekuatan spiritual diperlukan. Bagaimanapun kejayaan menawan Putrajaya bukan matlamat akhir bagi PAS," ujarnya. -HD

Arahan Presiden kepada pimpinan dan ahli PAS
.

KOTA BHARU: Sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 yang merupakan muktamar terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengeluarkan arahan khusus kepada ahli dan pimpinan parti itu.

Tujuh arahan tersebut ialah:

1 Mengarahkan semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa menggenggam matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan, tidak leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting.

2 Mengarahkan agar semua jentera parti : dewan - dewan, lajnah, negeri untuk menumpukan perhatian kepada kerja pilihanraya, dengan ikrar untuk mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan Rakyat, dan seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke pemerintahan Pusat.

3 Menyeru kepada semua Kerajaan negeri di bawah PAS bersama Pakatan Rakyat - menggunakan masa yang tinggal ini untuk menyelesaikan urusan rakyat, teruskan kerja kebajikan; tanpa meninggalkan gerakerja parti hingga ke peringkat bawah dalam masyarakat.

4 Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti, supaya berada di tahap bersiap-siaga yang paling tinggi untuk menghadapi Pilihanraya umum ke-13 – di mana kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan BN yang terus menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan, akan terus memporak-perandakan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita.

Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat.

5 Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk berubah - bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

6 Mengarahkan kepada semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun minallah semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada Nya. Suasana menghadapi pilihanraya janganlah menjadi penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat, bermunajat yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT.

7 Marilah pada hari ini, kita sama-sama memahami tema muktamar kali ini, serta menyusun gerakerja dan strateginya nanti dalam semangat tema muktamar NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN.




















Senator Australia Buat Laporan Polis Terhadap BH, NST, Utusan

Posted: 16 Nov 2012 07:05 AM PST

SSenator Australia, Nick Xenophon hari ini hadir ke Balai Polis Travers, Kuala Lumpur membuat laporan terhadap akhbar Berita Harian (BH), News Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia kerana melabelkannya sebagai anti-Islam dan penyokong kumpulan pasangan sejenis.

Senator bebas itu yang tiba di Malaysia sejak semalam membuat laporan polis kira-kira 11 pagi tadi menyifatkan laporan terbabit sebagai palsu, tidak benar, dan mencemarkan reputasinya sebagai seorang senator sehingga menimbulkan ketakutan sekiranya menjadi mangsa keadaan.

"Senator Nick mahu pihak berkuasa menyiasat kes ini di bawah undang-undang jenayah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan fitnah," kata wakil peguam Amer Hamzah Arshad ketika dihubungi.

Menurut Amer, Nick kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberikan keterangan kes terhadap laporan polisnya pagi tadi.

Nick dijemput oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi salah satu anggota badan pemerhati luar bagi memantau Perhimpunan Bersih 3.0 bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih pada 28 April lalu.

Utusan dalam laporannya 1 Mei lalu mendakwa Nick mengecam Islam sebagai sebuah organisasi jenayah yang berselindung disebalik kepercayaan agama.

Dakwaan itu dipetik Utusan melalui satu ucapan Nick pada 17 November 2009.

Manakala NST menyiarkan kenyataan Ahli Parlimen Bebas-Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang turut menyifatkan Nick sebagai peyokong kumpulan LGBT.

Namun NST kemudiannya menarik balik laporan tersebut dan memohon maaf 3 Mei lalu.

Melampau batas

Walaupun pengakuan dan permohonan maaf dikemukakan NST, namun Amer menegaskan isu itu melampau batas kerana menjejaskan nama baik Nick sebagai seorang wakil rakyat.

"Nick sibuk menjalankan tugasnya di Australia. Baru sekarang berkesempatan untuk datang ke Malaysia dan membuat laporan polis walaupun artikel itu disiarkan Mei lalu," katanya.

Nick dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini bagi menghadiri sidang Parlimen Australia Isnin minggu depan.

Sementara itu, Amer berkata pihaknya akan meneruskan niat untuk mengambil tindakan saman terhadap akhbar berkenaan dalam masa terdekat. -FMT

Senator Australia membuat laporan polis
terhadap tiga akhbar kerana menfitnah


Xenophon bersama Amir Hamzah di luar balai polis Jalan Travers 16 November, 2012

KUALA LUMPUR, 16 Nov — Senator Australia, Nicholas Xenophon pada hari ini membuat satu laporan polis atas dakwaan fitnah jenayah oleh tiga akhbar pro-kerajaan yang menuduh beliau sebagai "anti Islam" pada Mei lalu di balai polis Jalan Travers.

Tiga akhbar tersebut ialah Utusan Malaysia, New Straits Times dan Berita Harian yang dalam laporannya mengatakan Xenophon menyamakan Islam tersebut sebagai "organisasi jenayah" dalam satu ucapannya di Parlimen Australia pada 2009.

"Hari ini, saya telah membuat satu laporan polis ke atas tiga akhbar atas tuduhan fitnah jenayah dibawah Seksyen 499 Penal Kod," kata Xenophon yang ditemui hari ini.

"Dalam laporan itu, pihak polis akan membuat siasatan ke atas berita yang berniat jahat dan bertujuan mencemarkan nama saya dikalangan masyarakat Islam serta diperingkat antarabangsa," tambah beliau.

Dalam pada itu, Amer Hamzah Arshad, peguam yang mewakili Xenophon berkata surat tuntutan kepada ketiga-tiga akhbar tersebut telahpun dihantar sebelum ini.

"Surat tuntutan telah dihantar kepada ketiga-kita akhbar tersebut. Tapi laporan polis pada hari ini adalah langkah susulan untuk membawa perkara ini ke mahkamah," kata Amer yang tidak menolak akan mengambil tindakan saman ke atas ketiga-tiga akhbar tersebut.

Pada Mei lalu, ketiga-tiga akhbar pro-kerajaan tersebut telah mengeluarkan satu artikel mengatakan bahawa senator tersebut sebagai anti Islam tetapi telah menarik balik serta meminta maaf kepada senator Australia tersebut.

Xenophon yang ditanya wartawan mengapa beliau menunggu begitu lama untuk membuat laporan polis menjelaskan faktor komitmen kerja dan masalah kesihatan sebagai punca baru hari ini laporan tersebut dibuat.

"Komitmen kerja di Parlimen dan juga masalah kesihatan memaksa saya sukar datang ke Malaysia.

"Pada bulan Jun lalu saya telah dirawat di hospital kerana masalah pendengaran," jelas beliau.

Di bawah Seksyen 499, menerangkan "Barang siapa, sama ada dengan perkataan yang dituturkan atau yang dimaksudkan untuk dibaca atau dengan isyarat, atau dengan pernyataan zahir, membuat atau menyiarkan apa-apa tohmahan mengenai seseorang, dengan maksud hendak merosakkan, atau dengan mengetahui atau dengan ada sebab mempercayai bahawa tohmahan itu akan merosakkan nama baik orang itu, adalah dikatakan, kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, memfitnahkan orang itu".

Sekiranya disabitkan bersalah, ia boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Xenophon, sebelum ini, mengkritik laporan berat sebelah media arus perdana terhadap Bersih 3.0 kerana mementingkan wajah perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak di Sabah daripada perhimpunan terbesar di Malaysia.

"Media perdana memihak dan tidak adil," katanya yang kemudian dipetik media Australia menyatakan: "Saya terkejut ada yang pergi hingga sebegitu rendah."

Dalam pada itu, kenyataan bertulis Hansard yang dikeluarkan di Parlimen Australia menunjukkan perbezaan sama sekali dengan artikel yang disiarkan oleh NST dan Utusan, malahan senator tersebut yang mempunyai hubungan rapat dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya menggunakan kata-katanya itu untuk mengkritik "Scientology".
-TMI

Ahli Majlis MPS Bantah Pertukaran YDP

Posted: 16 Nov 2012 04:36 AM PST


Ahli majlis MPS bantah pertukaran YDP, dakwa bermotif politik.

Selayang, 15 Nov — Ahli majlis membantah keras keputusan pertukaran Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala ke Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan tidak menolak ia bermotif politik ekoran pembinaan kondominium kontroversi di Batu Caves.

Ahli majlis MPS, A. Rahim B.Ahmad Kasdi berkata tindakan tergesa-gesa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA ) nyata mempunyai motif terselindung hingga menyebabkan YDP menjadi mangsa politik kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Notis mengejut ini juga mengundang beberapa persoalan terutama berkaitan dengan pendedahan MPS ke atas projek kontroversi kondominium di Batu Caves.

"Ia juga menyebabkan secara tidak langsung YDP menjadi mangsa politik hingga beliau ditukarkan," kata A. Rahim dalam satu sidang media di ibu pejabat MPS petang ini.

Dalam sidang media yang turut dihadiri 14 ahli majlis, A. Rahim tidak menolak pertukaran YDP ini akan mengganggu perjalanan jawatankuasa bebas khas yang ditubuhkan kerajaan negeri Selangor bagi menangani isu tersebut.

"Ya, ia mungkin akan mengganggu jawatankuasa khas kerajaan negeri yang ditubuhkan untuk menyelesaikan isu ini.

"YDP yang mengendalikan kes ini sejak awal lagi, kalau dia ditukarkan bagaimana jawatankuasa mahu mencari jalan penyelesaian?," tambah beliau lagi.

Dalam laporan The Malaysian Insider pagi tadi, usaha mencari jalan penyelesaian isu di Batu Caves semakin rumit apabila Datuk N Sadasivan menolak tawaran kerajaan negeri Selangor sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

MPS antara pihak yang memainkan peranan aktif di dalam pendedahan minit mesyuarat dan juga bukti projek Dolomite Park Avenue di Batu Caves tersebut telah diluluskan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN).

Di samping itu, seorang lagi ahli majlis Abdul Majid Hasan mendakwa arahan daripada JPA tersebut sebagai tidak wajar memandangkan ketika ini MPS sibuk dengan urusan pentadbiran dan pengurusan yang perlu diselesaikan.

"Tindakan ini mengganggu urusan pentadbiran MPS, terutamanya pada hujung tahun ini memandangkan kami sedang dalam perancangan pembentangan bajet," kata beliau.

Abdul Majid juga menegaskan keputusan tersebut juga sama sekali bercanggah dengan perundangan dan membelakangi kuasa kerajaan negeri.

"Ia bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas menyatakan memberi kuasa mutlak kepada kerajaan negeri untuk melantik YDP Pihak Berkuasa Tempatan," kata Abdul Majid yang tidak menolak akan mengambil tindakan undang-undang bagi membantah arahan JPA tersebut.

Isu kontroversi kondominium di Batu Caves semakin hangat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika rumah terbuka MIC di Batu Caves berkata BN akan membatalkan projek berkenaan sekiranya parti pemerintah itu berjaya merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ekoran kenyataan Najib itu juga, pemimpin PR Selangor membidas janji itu dengan menyifatkan ia sebagai rasuah politik kepada pengundi masyarakat India.

Pemimpin PR juga membidas Najib sebagai tidak bertanggungjawab kerana menggunakan isu sensitif semata-mata untuk menarik pengundi kaum India.

"Ia adalah rasuah... Saya rasa adalah sesuatu yang pelik seorang PM berkata begitu," kata ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Selangor, Xavier Jayakumar kepada The Malaysian Insider.

"Malahan dengan memberi ucapan kepada masyakat dikategorikan sebagai berpendapatan rendah secara demikian....ia sesuatu yang pelik.

"Mereka tidak memiliki jaminan daripada segi kesihatan, pendidikan dan perumahan seperti diketahui tetapi kamu memainkan janji seperti ini di depan mereka.

"Lebih baik beritahu mereka — kamu akan lebih teruk jika kamu tidak lakukan perkara ini (undi kepada BN) dan saya (PM) tidak kisah jika kamu tidak lakukannya," tambah beliau lagi.

30 Oktober lalu, kerajaan negeri Selangor memberikan arahan untuk menghentikan pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves serta melantik badan penyiasat bebas.

Projek kondominium Dolomite Park Avenue yang dibangunkan oleh Dolomite Properties Sdn Bhd, adalah isu sensitif kerana projek tersebut berhampiran dengan Batu Caves, tempat keagamaan penganut Hindu kira-kira 1.7 juta orang di kawasan bandar di Selangor.

MPS adakan mesyuarat bincang perpindahan YDP terburu-buru

(Antara anggota majlis MPS dalam sidang media mereka hari ini)

SELAYANG: Ahli-ahli Majis, Majlis Perbandaraan Selayang (MPS) akan memanggil satu mesyuarat khas bagi tujuan untuk mendesak kerajaan negeri bertindak tegas serta menyatakan pendirian tentang isu pertukaran mengejut Yang Di Pertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala.

Zainal telah menerima surat arahan penempatan Pegawai Tabdir dan Diplomatik (PTD) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah.

Surat yang dihantar pada 12 November lalu melalui email itu mengarahkan penempatan Zainal ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) berkuatkuasa mulai 16 November.

Berkata pada sidang media, Ahli Majlis MPS, A. Rahim Ahmad Kasdi memberitahu tindakan pertukaran itu bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas memberikan kuasa mutlak kepada kerajaan negeri untuk melantik Yang Di Pertua Pihak Berkuasa Tempatan.

"Arahan JPA yang dikeluarkan serta merta dan tergesa-gesa ini akan menjejaskan sistem pentadbiran dan pengurusan MPS dan secara langsung akan menggugat kepentingan awam serta warga Selayang.

"Arahan ini juga dilihat seolah-olah ada campur tangan dan tekanan politik dari pihak-pihak tertentu berhubung ketelusan MPS dalam menangani isu-isu terkini terutamanya yang melibatkan kelulusan Dolomite Park Avenue di Batu Cave," jelas beliau di MPS hari ini.

Zainal sebelum ini menjelaskan, keputusan untuk meluluskan kondominium bersebelahan Batu Caves dibuat dalam mesyuarat MPS pada tahun 2007, setahun sebelum kerajaan negeri Selangor jatuh kepada Pakatan Rakyat.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata, BN akan memansuhkan projek itu jika BN berjaya menawan balik Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum itu, Datuk S Samy Vellu mengetuai perhimpunan membantah pembinaan kondo itu walaupun anggota majlis MPS dari MIC antara yang menyokong projek itu sebelum ini.

Menurut Rahim, ahli-ahli majlis MPS dengan tegasnya menggesa JPA memandang serius tindakan menukar kakitangannya secara terburu-buru ini.

Malah ia perlu dirujuk dan mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri ke atas apa juga keputusan dan arahan pertukaran dengan menghormati kuasa mutlak kerajaan negeri.

"Kami mencadangkan agar pihak kerajaan pusat menghapuskan 'procedures draconian' yang membolehkan pertukaran awam dalam masa 24 jam tanpa boleh dibantah, ianya lebih kepada bentuk penderaan dan hukuman
-HD
.

Tiada ulasan: