Isnin, 5 November 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PI Bala ancam dedah semuanya jika SPRM terus membisu.

Posted: 05 Nov 2012 02:03 AM PST


MALAYSIA KINI

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam mengancam untuk mendedahkan lebih banyak butiran mengenai percubaan untuk merasuahnya berhubung akuan sumpahnya (SD) pada 2008 yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Dalam sepucuk surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang Malaysiakini telah melihat, Balasubramaniam yang bersembunyi di India berkata maklumat yang beliau memiliki sudah berada di tangan wartawan asing dan akan didedahkan jika suruhanjaya itu terus tidak berbuat apa-apa.

Balasubramaniam menulis bahawa peguamnya menyimpan semunya bagi pihaknya, dan wartawan asing juga ada semuanya.

Menurutnya, mereka hanya menunggu arahannya dan kemudiannya akan mendedahkan segala-galanya.

Pada masa itu, tulis Balasubramaniam, semuanya akan menjadi sudah terlambat.

Oleh itu, Bala meminta suruhanjaya itu memaklum kepadanya atau peguamnya dalam dalam masa tujuh hari, dan jika tidak, beliau "tidak bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku".

Dalam surat bertarikh 2 November itu, Balasubramaniam menyatakan kekecewaan terhadap sikap membisu SPRM itu.

Isu RM40j: PKR buat laporan SPRM terhadap Musa, Nazri

Posted: 05 Nov 2012 01:51 AM PST

Zulaikha Zulkifli


 
Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli hari ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu wang RM40 juta yang didakwa melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Rafizi berkata, laporan SPRM dibuat terhadap Musa dan Nazri kerana didakwa disebabkan hubungkait yang ada antara mereka tentang isu wang RM40 juta yang dibawa oleh ahli perniagaan, Michael Chia.

"Jadi satu laporan SPRM dibuat dan saya minta SPRM buka satu fail untuk siasat kes RM40 juta terhadap Musa Aman dan Michael Chia, dan juga Nazri dan anaknya.

"Nazri tak menafikan dan mengatakan anaknya tak ada kaitan dengan dia.

"Berdasarkan Akta SPRM, ada asas untuk mereka mulakan siasatan," katanya dalam sidang media sebelum masuk ke bangunan SPRM di Putrajaya hari ini.

Anwar dakwa cubaan tipu senarai daftar pemilih.

Posted: 05 Nov 2012 01:40 AM PST

HAMIZAH BASIR, SYAMILAH ZULKIFLI & KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB

Anwar Ibrahim
Anwar dikawal ketat ketika hadir program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya, malam kelmarin.
 
SEREMBAN –  Ketua Umum Paka-tan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat cubaan menipu dalam maklumat daftar pemilih apabila bagi suku keempat 2011 menunjukkan peningkatan kira-kira 1 juta pengundi dalam masa setahun.

"Jumlah yang dibekalkan seramai 12.4 juta untuk Mac. Tetapi yang diaudit dan diserahkan kepada kita adalah sebanyak 11.5 juta. Ini bermakna dalam masa setahun, jumlah daftar pemilih meningkat sebanyak 1 juta.

"Kemudian, SPR bagi penjelasan kononnya mereka tersilap membuat kiraan di negeri Sabah dan Sarawak. Hal ini sudah nampak ketirisan maklumat dalam SPR," katanya berucap di hadapan 30,000 penyokong pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, terdapat juga maklumat daftar pemilih yang meragui sehingga ada maklumat pemilih yang tidak masuk akal.

"Sebagai contoh, pemilih bernama Nurkhanida dari Parlimen Serdang yang lahir pada 26 Oktober 1982 dan memohon menjadi pengundi pada 26 Oktober 1982.

"Begitu juga daftar pemilih bernama Naquib dari Parlimen Temerloh  yang lahir pada 18 Ogos 1979, tetapi menjadi daftar pemilih pada 16 Mei 1991 iaitu masih berumur 12 tahun.

Bagaimanapun, Anwar berkata, usaha dan percubaan menipu tersebut masih belum mendapat penjelasan dan jawapan rasmi daripada SPR.

[BERGAMBAR] Cemas: 10 Anggota Bomba Cedera Tangki Minyak Meletup

Posted: 05 Nov 2012 01:37 AM PST


KELAB GREENBOC

Kota Bharu- 10 anggota bomba cedera dalam kebakaran yang melibatkan empat tangki minyak di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Padang Tembak di sini pagi tadi.

Anggota bomba berdepan detik cemas selepas dua daripada tangki minyak terbabit yang dipercayai mengalami kebocoran meletup ketika mereka cuba mengawal api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu.

Wartawan dan Jurufoto Sinar Harian juga yang turut berada di lokasi kejadian, sempat menyelamatkan diri dari kebakaran itu yang mengambil masa hampir dua jam untuk dikawal.

Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan.

Pengarah Bomba Negeri, Azmi Osman berkata, dalam kejadian itu lima anggota dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala selebihnya menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II.

"Buat masa ini tiga mangsa yang cedera parah iaitu Nazah Napi, Abdullah Mohamad, Abdul Razak Abdullah yang bertugas di Balai Bomba Kota Bharu ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Selebihnya yang mengalami kecederaan di leher, tangan dan badan menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Azmi berkata, ketika kebakaran berlaku lima jentera dengan 39 anggota iaitu dari Balai Bomba Kota Bharu, Pengkalan Chepa, dan Darul Naim dihantar ke tempat kejadian.

"Ketika cuba memadam api, bomba menghadapi kesukaran disebabkan masalah bekalan air yang tidak mencukupi namun masih berusaha mengawalnya.

"Buat masa ini punca kebakaran dan kerugian masih disiasat bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit," katanya. -SH


Tangki 'muntah' api


KOTA BHARU: Laungan Allahuakbar berulang-kali mengiringi suasana cemas di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di Kawasan Perindustrian, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, selepas sebuah tangki minyak pelincir terpakai berkapasiti antara 16,000 hingga 25,000 liter meletup sehingga 'memuntahkan' minyak bersama api dan membakar anggota bomba yang cuba memadamkan kebakaran di kilang berkenaan.

Kilang itu yang ditawarkan untuk dijual pada harga RM5 juta pada mulanya terbakar pada jam 8 pagi sebelum anggota bomba tiba pada jam 8.

11 pagi, namun ketika menyudahkan tugas memastikan api di tangki berkenaan padam sepenuhnya setengah jam kemudian, minyak dari tangki itu memancut meletuskan api setinggi lebih 30 meter dan membakar beberapa anggota bomba yang berada berhampiran tangki berkenaan.

Akibatnya, tercetus suasana kelam-kabut apabila ada anggota bomba terbakar bersama pakaian dan ada pula yang berlari, berguling sebelum terbaring.

Seramai 10 pegawai dan anggota bomba cedera termasuk seorang anggota bomba wanita dengan lima daripadanya parah selepas melecur di muka dan badan.

Sekumpulan wartawan dan jurugambar turut bertakbir apabila berdepan detik cemas kerana kejadian itu berlaku hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul.

Malah, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman yang turun padang turut memberi pertolongan kepada anggotanya yang cedera.

Antara yang parah ialah tiga pegawai bomba, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK1), Abdullah Din Mohd, 55, dan Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Nazah Nafi, 43 yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala seorang lagi, PBKII, Wan Asri Wan Yaacob, 53, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mangsa melecur di muka, tangan serta badan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Seorang anggota bomba, Mahusin Hassan, 45, bersyukur kerana api hanya membakar baju khas memadam kebakaran yang dipakai, namun sayu melihat rakan setugas yang melecur akibat terbakar.

Katanya, mereka tidak menyangka tangki minyak berkenaan meletup sehingga api menyambar anggota bomba.

"Ketika kejadian saya berehat dan berada 50 meter dari tangki berkenaan selepas memadamkan kebakaran di beberapa bahagian lain. Tiba-tiba saya terdengar letupan dan apabila menoleh ke belakang, saya lihat api seperti menyambar dan mengejar dari belakang.

"Saya bingkas bangun untuk melarikan diri sebelum menyedari api menyambar belakang baju khas memadam kebakaran. "Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya melihat beberapa anggota yang berguling-guling di atas tanah bagi memadamkan api di pakaian mereka dan ada yang melecur di muka, badan, dan tangan sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa.

Dalam pada itu, saksi kebakaran, Nadzri Noor, 37, yang juga pemilik kedai makan berhampiran kilang tayar itu berkata, dia menyedari berlaku kebakaran selepas melihat kepulan asap tebal bersama api menjulang tinggi sebelum terdengar letupan.

"Saya melayan pelanggan sebelum terlihat kepulan asap dan terkejut apabila terdengar beberapa letupan. "Walaupun jarak kedai dan kilang kira-kira 100 meter, saya dapat rasa bahang apinya," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak lima jentera dan 39 pegawai serta anggota bomba dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan Katanya, pihaknya berdepan masalah tekanan air, sekali gus menyukarkan operasi memadamkan kebakaran selain perlu menggunakan buih untuk memadamkan api yang berpunca daripada minyak.

"Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Darulnaim dan Tunjung dikejarkan ke tempat kejadian, malah kami juga meminta bantuan tambahan selepas letupan yang mencederakan 10 anggota bomba berlaku.

"Kami masih menyiasat punca kejadian dan anggota yang cedera dihantar ke HUSM dan HRPZ II," katanya.
-HM






[IKTIBAR] Mati Melekat Kedua-dua Badan Selepas Melakukan Zina

Posted: 05 Nov 2012 01:34 AM PST

 
KELAB GREENBOC

Karawang Raka, Indonesia – Pada awal bulan oktober yang lalu, masyarakat Karawang digegarkan dengan gambar dua orang yang meninggal dunia ketika melakukan hubungan intim. Berdasarkan berita yang beredar di tengah-tengah masyarakat di sana, dua pasangan itu ialah bukan pasangan suami isteri yang sah, melainkan dua orang yang curang.

Keduanya, dikhabarkan sama-sama sudah berkeluarga. Dari gambar yang tersebar dari telefon ke telefon, nampak dua jasad tengah berpelukan. Di gambar itu kelihatan, badan orang yang berada di atasnya telungkup dan bahagian buntutnya ditutupi kain sarung. Sementara tangan wanita yang berada di bawahnya dalam kedudukan memeluk bahu lelaki itu.

Kedua-dua jasad tersebut berada dalam beg jenazah berwarna kuning. Nampak juga dua orang berpakaian seragam serupa polis, sepertinya tengah menunjukkan mayat dua orang yang sedang berzina ini.

Nampaknya, kedua-dua jasad itu berada di sebuah bilik mayat. Kerana jika dilihat dari lantainya, biasanya digunakan di bilik mayat. Salah seorang warga Karawang, Wahyudi berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, dua pasangan berbeza jantina itu berzina di kawasan makam keramat yang berada di belakang Cengsin, Klari, Indonesia.

Namun setelah hubungan intim mereka selesai, badan kedua-duanya tak boleh lepas. Katanya yang lelaki sempat menelefon temannya yang pegawai keselamatan, kerana badannya tidak boleh lepas. Sampai akhirnya dibawa ke tiga rumah sakit, tapi tak ada yang dapat melepaskan kedua-duanya "ujarnya.

Berdasarkan maklumat yang diterimanya pula, kedua-dua pasangan curang itu meninggal di hospital. "Pada mulanya saya tidak percaya berita ada orang mati berpelukan, tapi setelah melihat gambar ini saya baru percaya," katanya. -halimislam

Penjaga lembu direman bantu siasatan kes bunuh bekas guru Kemas

Posted: 05 Nov 2012 01:27 AM PST

SINAR HARIAN

KUALA SELANGOR - Polis mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu bermula hari ini terhadap seorang penjaga lembu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang bekas guru Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) semalam.
  
Majistret Shahwira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman sehingga 11 November ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan.
  
Suspek berusia 24 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada pukul 11.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis jenis Proton Waja dan meninggalkan kawasan mahkamah pada pukul 12 tengah hari.
  
Dalam kejadian pada 4.45 pagi semalam, Sadariah Tohbasar @ Ahmad, 65, yang bekerja sebagai tukang jahit dan membuat kuih ditekup mukanya dengan bantal sehingga mati oleh seorang daripada dua lelaki yang merompak rumah kedainya di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar, Sabak Bernam.
  
Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku di hadapan cucunya, Mohd Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang diikat oleh perompak berkenaan.

Kedua-dua perompak itu yang dipercayai warga tempatan melarikan pelbagai barangan kemas serta wang tunai RM500 daripada mangsa.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata hasil siasatan awal, suspek ditahan di tempat kerjanya di ladang lembu Tanjung Malim, Perak, pada pukul 4 petang semalam.
  
"Kita percaya penahanan dan siasatan ke atas suspek akan membawa kepada penahanan dalang sebenar kejadian itu dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

Muhyiddin: Peperiksaan SPM tidak terjejas akibat banjir

Posted: 05 Nov 2012 01:23 AM PST

SINAR HARIAN

Muhyiddin: Peperiksaan SPM tidak terjejas akibat banjir
Kelihatan seorang pelajar sedang meniliti kertas soalan Bahasa Melayu 1 pada peperiksaan SPM, ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Jelapang. - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan telah membuat persedian rapi sejak awal untuk memastikan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini tidak terjejas akibat banjir, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sekolah-sekolah yang berkemungkinan dilanda banjir tidak perlu risau kerana perancangan kontigensi untuk semua pelajar dan guru sudah dirangka dan disediakan.
 
Katanya Kementerian Pelajaran dan beberapa agensi terlibat telah mengenal pasti kawasan yang selamat untuk membolehkan semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dapat meneruskan peperiksaan mereka sekiranya banjir berlaku.
 
"Semua agensi yang bertanggungjawab seperti polis, bomba dan RELA juga sudah bersiap sedia di kawasan berkemungkinan dilanda banjir," katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Inovasi Dunia Kuala Lumpur 2012 (WIF-KL2012) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
 
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang persediaan menghadapi banjir dan kejadian banjir di Johor, Melaka, sekitar Dengkil Selangor dan Perak berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata bekalan makanan juga sudah tersedia oleh Jabatan Kebajikan Malaysia dan kawasan yang kini terjejas, sudah mula disalurkan bantuan seperti makanan dan kelengkapan.
 
Beliau juga menasihatkan penduduk di kawasan tanah rendah supaya mengikut arahan pihak berkuasa dan berpindah ke tempat selamat jika diarahkan agar kejadian mengancam keselamatan nyawa dapat dielakkan.
 
"Kita (kerajaan) sentiasa bersedia, cuma kita tidak boleh jangka keadaan macam mana, jadi kita kena bersedia lebih daripada biasa," katanya.
 
Mengulas penundaan tarikh keluar keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Muhyiddin berkata beliau belum menerima laporan terakhir.
 
"Apapun, tiada masalah kerana laporan telah disediakan, keputusan sudah dicapai dan saya akan umumkan keputusan itu. Jadi, para pelajar yang mengambil peperiksaan itu menunggu saya. Saya rasa ini bukan satu isu atau masalah yang besar," katanya.
 
Tarikh pengumuman keputusan UPSR ialah Khamis ini.  - Bernama

Keluar zon selesa jika mahu menang PRU, kata Zahid

Posted: 05 Nov 2012 01:15 AM PST

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 
 
SHAH ALAM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada seluruh ahli Umno-Barisan Nasional (BN) supaya tidak berada di dalam zon yang terlalu selesa sehingga menyebabkan parti itu berhadapan dengan risiko kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bercakap dalam satu wawancara bersama Sinar Harian, Ahmad Zahid berkata, cabaran sebenar parti pemerintah itu bukannya datang dari luar sebaliknya ia berpunca dari dalam parti sendiri.

"Cabaran kepada BN, bukannya kekuatan parti pembangkang, tetapi fokus kepada masalah dalaman. Ini kerana budaya selesa dalam kalangan ahli parti masih lagi menebal dan tidak dapat diatasi. Seratus peratus masalah dalaman perlu diselesaikan sebelum PRU.

"Walaupun pemimpin Majlis Tertinggi parti turun ke bawah, kajian kami mendapati isu itu menjadi stigma besar kepada jentera parti Umno," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau bagaimanapun yakin parti itu mampu mengubati luka lama sewaktu pilihan raya umum 2008 dengan bermaruah kali ini.

"Bagi saya tidak lebih baik daripada keputusan PRU pada 2004 dan tidak lebih buruk daripada keputusan PRU 2008. BN bukan sahaja perlu bekerja keras, tetapi bekerja dengan penuh bijaksana, dengan mengambil hati khalayak," ujar Ahmad Zahid.

"Realitinya, kami sudah bersedia menghadapi PRU," tambah beliau.

Beliau ditanya berhubung peluang Umno-BN meneruskan tampuk pemerintahan selepas PRU13 ini.

Ahmad Zahid turut mengakui Umno-BN terpaksa bekerja keras terutama sekali di kawasan campuran bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Di sesetengah kawasan, pengundi Cina penentu kemenangan, tetapi di kawasan yang majoritinya Melayu, persaingannya adalah Umno dan Pas dan di kawasan majoritinya Cina, adalah antara DAP dan MCA.

"Manakala di kawasan campuran, pengundi Cina menentukan kerusi Dun atau Parlimen. Kawasan campuran kini, dikenal pasti sekitar 40 peratus, selepas persempadanan semula dilakukan sejak 10 tahun lalu," jelas Ahmad Zahid.

Bagaimanapun ujarnya, sokongan yang diterima kerajaan pada hari ini kian meningkat dari semasa ke semasa meskipun diganggu-gugat dengan pelbagai isu oleh pihak pembangkang.

"Di Bagan Datok umpamanya ada 57 peratus pengundi Melayu, 23 peratus pengundi India dan 20 peratus Cina.

"Dulunya, kawasan campuran ini adalah kawasan paling selamat bagi BN, tetapi tidak lagi dalam keadaan sekarang, kerana pengundi bukan Melayu adalah penentu," katanya lagi yang merupakan Ahli Parlimen di kawasan itu.

Justeru ujarnya, dalam memastikan kemenangan terus berpihak kepada Umno-BN, paling penting adalah memastikan masalah pokok iaitu masalah calon dapat diatasi sebaiknya.

"Mengikut kajian, faktor calon 37 peratus penentu kemenangan atau kekalahan di kawasan Dun dan Parlimen. Oleh itu, masalah dalaman Umno adalah faktor calon dan ini yang ditekankan oleh Datuk Seri Najib.

"Calon bukan sahaja berdasarkan hierarki, tetapi keperluan tempat dan semasa. Meskipun PRU semakin hampir dan isu itu tidak dapat selesaikan 100 peratus, kami berpuas hati jika sebahagian besar dapat diselesaikan," katanya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli parti yang mengkhianati atau mensabotaj parti tersebut.

Menurut Najib, penubuhan jawatankuasa itu mengikut Fasal 10 (15) Perlembagaan Umno yang dianggotai oleh ahli Majlis Tertinggi dan beberapa individu yang tiada kepentingan.

"Tujuan ia ditubuhkan bagi memudahkan tindakan segera diambil bagi mana-mana individu terutama ahli parti yang mengkhianati parti dan calon Barisan Nasional (BN)," katanya.

Perangkap had laju PDRM kekal

Posted: 05 Nov 2012 01:07 AM PST

 
PDRM tidak bercadang untuk memansuhkan sistem sedia ada dan akan meneruskan pemantauan trafik bagi mengawal keselamatan jalan raya.

 

Sekitar Dewan Rakyat 

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk terus menggunakan sistem perangkap had laju Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan walaupun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diperkenalkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, pihaknya tidak bercadang untuk memansuhkan sistem sedia ada dan akan meneruskan pemantauan trafik PDRM bagi mengawal keselamatan jalan raya.

"Walaupun pendekatan baru melalui AES diperkenalkan, sistem sekarang yang digunakan oleh polis masih lagi dilaksanakan.

"Oleh kerana pendekatan yang baru itu dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), agensi berkaitan lain yang melaksanakan pemantauan jalan raya akan tetap jalankan tugas masing-masing," katanya dalam Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen PAS-Jerai Mohd Firdaus Jaafar sama ada kerajaan akan memansuhkan sistem sedia ada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas memperkenalkan AES.

PDRM kini menggunakan kamera perangkap had laju berdefinisi tinggi (HD) dan berupaya merakam imej kenderaan yang melampaui had kelajuan dari jarak 1.2 km dengan kelajuan 320 kilometer sejam.

Manakala sistem kamera AES di bawah Kementerian Pengangkutan dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

Fasa pertama pelaksanaan AES mengenal pasti 63,558 pesalah trafik setakat ini, sama ada memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah

Dewan tolak usul bahas laman blog kumpulan pengganas

Posted: 05 Nov 2012 01:05 AM PST

 
Isu itu tidak perlu dibahaskan segera selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(2). 

 

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul daripada membahaskan isu kewujudan laman blog rasmi kumpulan militan al-Qaeda "Tawhed.net" di Malaysia.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam jawapan bertulis hari ini berkata isu itu tidak perlu dibahaskan segera selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(2).

"Saya difahamkan bahawa perkhidmatan laman web tersebut telah dihentikan dan perkara ini juga dalam siasatan dan pemantauan agensi penguatkuasaan," katanya.

Usul tersebut sebelum ini difailkan Ahli Parlimen DAP-Segambut Lim Lip Eng pada 1 November lalu yang kesal kerana kerajaan gagal mengesan kewujudan laman blog itu.

Lim mahu Menteri Dalam Negeri dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memberi penjelasan mengenai tahap ancaman yang dibawa "Tawhed.net" kepada keselamatan negara serta jaminan perkara ini tidak akan berulang lagi.

Beliau memetik laporan akhbar The Star minggu lalu yang mendedahkan al-Qaeda menggunakan laman blog itu untuk menarik pengikut dari sekuruh dunia, menghantar mesej, berinteraksi dan mengajar cara berjihad menggunakan keganasan.

Namun blog itu didapati dipadam sehari selepas laporan tersebut disiarkan.

Menteri Besar Akan Dedahkan Bukti Selangor Lebih Maju di Bawah PR Berbanding Umno-BN

Posted: 04 Nov 2012 03:38 PM PST





SUBANG JAYA : Kerajaan Negeri akan membuat pembentangan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berhubung pencapaian Selangor masakini bagi menepis tuduhan Umno-BN bahawa negeri ini mengalami kemerosotan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkembangan di Selangor ketika ini jauh lebih baik berbanding era Umno-BN terutama dari segi pencapaian ekonomi hingga muncul sebagai negeri utama dengan sumbangan terbesar kepada hasil pendapatan negara.

Contohnya kata Abdul Khalid, Selangor di bawah PR kini telah menyumbang 23 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Tetapi di bawah Khir Toyo, jumlah itu tidak sampai 20 peratus.
"Saya akan bentangkan pembangunan dari 2005 sampai 2007 (era Umno-BN) dan 2008 sampai 2012 (era PR) dalam Dewan Negeri Selangor untuk pengetahuan semua.

"Saya tak nak mengadakan perbincangan di kedai kopi tetapi saya akan bentangkan perangkaan sejak ia diumumkan sebagai negeri maju pada 2005.

"Saya rasa pencapaian sekarang lebih baik berbanding pada 2005," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Hakmilik Kepada Pembeli Rumah Teres Lestari Perdana di sini semalam.

Semalam bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo mencabar Kerajaan Negeri membuat penilaian petunjuk status negeri maju serta menjawab dakwaan Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) bahawa Selangor akan hilang status negeri maju jika gagalkan selesaikan masalah air.

Kerajaan Umno-BN dahulu mengumumkan bahawa Selangor mencapai status negeri maju pada tahun 2005.

Abdul Khalid berkata, pencapaian Selangor ditadbir Umno-BN pada 2005 hingga 2007 lebih teruk jika dibanding pada 2008 hingga kini semasa PR dan berharap pemimpin Umno-BN tidak membuka "pekung di dada".

"Indikator yang paling penting sumbangan Selangor kepada ekonomi Malaysia, dari segi pelaburannya dan pendapatan perkapita Selangor berbanding dengan seluruh negeri di Malaysia.

"Selangor memberi sumbangan 23 pratus manakala negeri lain paling banyak sembilan peratus.

"Masa Khir Toyo dulu kurang dari 20 peratus. Boleh jadi dia tidak baca angka itu," katanya.

Abdul Khalid menambah, Selangor kekal dengan pencapaian dari segi jumlah pelaburan tinggi dengan kedudukan membanggakan.

"Setengah negeri bila dapat pojek besar, dia naik nombor satu tetapi selepas itu jatuh tetapi Selangor tahapnya nombor satu, dua dan tiga maknanya konsisten," katanya.

Kerajaan Negeri Selesaikan Masalah 10 Tahun Penduduk Lestari Perdana

Posted: 04 Nov 2012 03:31 PM PST




SUBANG JAYA : Sekumpulan 129 pemilik rumah di Lestari Perdana semalam bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang berjaya menyelesaikan masalah hak milih tanah mereka yang berlanjutan lebih 10 tahun.

Kebanyakan pemilik rumah ditemui menjelaskan mereka menghadapi masalah untuk berurusan dengan pihak tertentu seperti institusi kewangan kerana tidak memiliki geran tanah.

Mereka menghadapi masalah selepas pemaju perumahan itu gagal membayar premium tanah kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pekerja Swasta, Abdul Ghani Saari, 45, dari Zon 9 berkata ketiadaan geran tanah telah mencacatkan pembangunan di perumahan tersebut.

"Memang banyak masalah dari segi kebersihan, kemudahan infrastruktur serta landskap.

"Sebelum ini kami sudah membayar (premium) kepada pemaju dan dia kata akan serahkan surat hakmilik ini kepada kamitetapi selepas itu senyap sebegitu sahaja," kata Abdul Ghani yang telah menetap di situ selama 10 tahun.

"Apa dilakukan Kerajaan Negeri ni bagus dan terima kasih," katanya kepada TVSelangor selepas menerima surat hakmilik daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid menyerahkan dokumen hakmilik Kepada Pembeli Rumah Teres Zon 6, 7 dan 9 Lestari Perdana di satu majlis di Dewan MPSJ semalam.

Pengurus projek, Yusman Jusof, 40, dari Zon 6 yang menetap di situ kira-kira lapan tahun berkata, dia menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman bank kerana tidak ada surat hakmilik.

"Satu usaha yang bagus dari Kerajaan Negeri bagi menjaga hak dan kepentingan pemilik rumah," katanya.

129 pemilik rumah itu adalah daripada jumlah keseluruhan 303 orang yang telah membayar premium RM 1,460 seperti ditetapkan pihak berkuasa negeri.

Abdul Khalid dalam sidang media selepas itu menjelaskan masalah itu kerana pemaju Fast Creasent Sdn Bhd (Fast Creasent) gagal membayar premium sebanyak RM 12.19 juta mengikut nilaian tanah pada 2002.

"Pemaju tidak menjalankan tangungjawab dengan tidak membayar premium.

Penduduk yang memiliki rumah telah membuat permohonan untuk mendapatkan geran tanah iaitu sehingga kini lebih daripada 10 tahun.

"Mereka bersetuju dengan cara dikendalikan (Kerajaan Negeri) iaitu mereka menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri mengembalikan hartanah mereka dalam bentuk geran," katanya.

Abdul Khalid berkata, masalah berlaku kerana Kerajaan Umno-BN dahulu yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan Kanun Tanah Negara.
 
"Inilah buktinya (bekas Menteri Besar) Khir Toyo tidak menjalankan tugasnya.

"Kalau dia ikut cara yang kita lakukan ini, sudah tentu masalah tidak timbul pada hari ini.

"Masalah timbul ialah pentadbiran Kerajaan Negeri yang lepas tidak mentadbir mengikut tataracara yang dikehendaki di bawah Kanun Tanah Negara.

"Oleh sebab itu terdapat keadaan di mana akhirnya Pejabat Tanah dan Galian serta Pihak Berkuasa Tempatan menghadapi masalah untuk menyelesaikannya termasuk urusan pemilikan tanah." katanya.

Menteri Besar berkata, melalui dasar kerajaan yang lama, kerja-kerja tanah dan pembangunan di atas tanah boleh dijalankan setelah kebenaran merancang serta pelan bangunan diluluskan PBT.

Ini berlaku walaupun premium dan dokumen hakmilik belum diselesaikan dan dikeluarkan.

Namun dasar tersebut, telah diberhentikan kerana ia mengakibatkan banyak projek perumahan terbengkalai.

Turut hadir, pada majlis semalam Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi dan Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Kamarulzaman Jamil.

15 penumpang cemas bas rempuh treler

Posted: 04 Nov 2012 03:26 PM PST

ROSDALILAH ZAHARI

IPOH - Berpantang maut sebelum ajal! Seramai 15 penumpang melalui detik cemas apabila bas ekspres yang mereka naiki merempuh treler di Kilometer 305 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, awal pagi tadi.

Kemalangan itu berlaku kurang 24 jam selepas satu kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori di Negeri Sembilan, yang menyebabkan dua murid berusia 11 tahun bersama tiga guru selain pemandu bas cedera.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, bas ekspres dari Terengganu dalam perjalanan ke Ipoh merempuh belakang sebuah treler muatan tanah.

"Siasatan awal polis mendapati, bas yang dipandu pemandu berusia 55 tahun, hilang kawalan sebelum langgar belakang treler tersebut," katanya.

PR: Umno mula bimbang jika Hadi tanding di Pekan

Posted: 04 Nov 2012 03:23 PM PST


JAMILAH HAMZAH

SHAH ALAM - Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mendakwa reaksi Umno berhubung kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedia mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan menunjukkan mereka sudah mula bimbang kemungkinan kekalahan Perdana Menteri di kubu kuatnya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan jelas menggambarkan Umno takut 'kehilangan' Najib di Pekan.

Menurutnya, PR percaya dengan harapan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan di peringkat pusat.

"Ahmad perlu matang dan mengetahui sejarah kedudukan Najib pada pilihan raya umum tahun 1999 yang kemenangan beliau hanya 200 lebih undi, dan diselamatkan melalui persempadanan baru pilihan raya umum.

"Jadi kita rasa, Umno takut dengan  Presiden Pas  yang menyampaikan hasratnya untuk bertanding di Pekan baru-baru ini.

"Kita juga percaya kepada kehendak rakyat dan kebijaksanaan rakyat untuk membuat keputusan serta pilihan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Ahmad  berkata, pihaknya melihat perkara tersebut sebagai pelik memandangkan Parlimen Pekan bukan kubu kuat Pas, DAP mahupun PKR.

Beliau juga menasihatkan agar Hadi, kini Ahli Parlimen Marang, Terengganu, tidak mengambil tindakan yang boleh 'makan diri' sendiri.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut berpendapat bahawa Ahmad memperlihatkan kebimbangan kemungkinan Najib akan kalah.

"Dia sendiri takut Najib kalah," katanya.

Nik Aziz: Soi Lek sudah rasa tertekan

Posted: 04 Nov 2012 03:16 PM PST

Wartawan Sinar Harian

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 
 
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa kenyataan terbaru Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung isu hukum hudud kelmarin menunjukkan beliau sudah merasai tertekan dengan kemarahan umat Islam.

"Dia sebenarnya rasa tertekan... tersinggung dengan kritikan umat Islam sendiri sebelum ini berhubung tindakannya mempertikaikan hukum hudud dan sebagainya.

"Dia kata dia tidak hina Islam, tetapi pertikaikan hukum hudud Pas, mana boleh jadi begitu sedangkan hukum hudud itu sendiri adalah Islam," kata beliau dipetik Harakahdaily semalam.

Nik Aziz berkata, sekiranya tiada hukuman itu yang dibentangkan oleh Umno, sudah bererti apa yang diusahakan Pas adalah ajaran Islam.

Dalam kenyataan terbaru, Soi Lek berkata, beliau tidak menghina Islam, cuma persoal hudud Pas.

Selain itu beliau juga meminta Pakatan Rakyat, yang turut dianggotai Pas, supaya memasukkan hukum hudud dalam manifesto mereka.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, andainya ada orang menentang hanya satu dari yang terkandung dalam undang-undang Malaysia, ertinya orang terbabit telah menentang negara ini.

Pada masa yang sama Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, Soi Lek seharusnya mempersoalkan 'mana hukum hudud Umno' dan bukannya memperosalkan hudud yang diperjuangkan Pas.

Umno: Karier politik Hadi akan tamat jika bertanding di Pekan



Posted: 04 Nov 2012 03:07 PM PST


KUALA LUMPUR — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang umpama "membunuh karier politiknya" jika mengambil pendirian untuk bertanding menentang pemilik kerusi Parlimen Pekan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata pemimpin Umno.

Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Rahman Dahlan yang dihubungi The Malaysian Insider membayangkan Hadi akan menamatkan kariernya dalam politik dengan cara yang "amat memalukan" jika memilih Pekan sebagai lokasi untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Sebagai presiden parti, jika benar mahu bersara, pilih cara yang lebih baik ... bukan bersara dengan kekalahan.

"

Jika Hadi (gambar) bertanding di Pekan, dia tidak akan menang, tetapi bakal mengalami kekalahan besar," katanya.

Abdul Rahman bagaimanapun tidak melihat Najib, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pekan akan tergugat jika bertanding menentang Hadi.

"Belum ada sejarah perdana menteri yang berkhidmat tewas di kerusi yang ditandinginya.
"Kalau Hadi mahu mencipta sejarah memalukan legasi kepimpinan PAS, saya alu-alukan beliau bertanding di Pekan," tambahnya kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut sependapat dengan Rahman malah menegaskan Ahli Parlimen Marang itu sudah terlalu "takbur" apabila menyuarakan hasrat untuk bertanding di Pekan.

"Siapa Hadi ... beliau terlalu angkuh ... Tuhan hanya nak uji sahaja, sekarang dia rasa hebat untuk lawan perdana menteri.

"Orang Pekan tidak kenal Hadi ... saya yakin Hadi akan mengalami kekalahan dengan majoriti terlalu besar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsul Bari Jamali hanya melihat tindakan Hadi itu sebagai "gimik politik" dan "retorik" menjelang pilihan raya umum.

Samsul Bari turut berkata, sekiranya Hadi benar-benar berhajat untuk bertanding di kawasan yang menjadi kerusi tradisi keluarga Najib itu, beliau tidak perlu menunggu keputusan parti, sebaliknya atas kuasa sebagai presiden, Hadi boleh memilih untuk bertanding di kawasan tersebut.

"Beliau presiden parti ... kenapa perlu tunggu parti ... kalau nak lawan, lawan betul-betul ... ini kononnya ingin tunjuk hebat.

"Dia (Hadi) presiden, dia yang buat keputusan ... tapi akhirnya serah kepada parti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Samsul Bari turut menyindir Hadi yang belum tentu lagi akan menang sekalipun bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) selain Najib.

"Lawan calon lain beliau belum tentu akan menang ... saya tidak merasakan karier politik beliau akan tamat kerana Hadi tidak akan bertanding di Pekan," tegas Samsul Bari, dan menambah kenyataan Hadi itu semata-mata untuk menaikkan semangat anak-anak buahnya menghadapi pilihan raya umum.

Dipetik laporan Sinar Harian hari ini, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhamad menyifatkan hasrat Hadi untuk bertanding di Pekan umpama "mimpi di siang hari."

Ishak menegaskan, Pekan adalah kubu kuat BN dan peluang Hadi untuk merampas kerusi Parlimen di situ tentunya amat tipis.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno bahagian, Datuk Abdul Manaf Sulong turut menyokong kenyataan Ishak yang mahu Abdul Hadi melupakan saja niatnya bertanding di Parlimen Pekan.

Abdul Manaf turut menegaskan perbandingan potensi kemenangan PAS di Parlimen Pekan berdasarkan Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 tidak lagi relevan kerana keadaan di sana kini telah banyak berubah.

Sementara itu, Adun Chini, Datuk Abu Bakar Harun turut mengingatkan pemimpin veteran PAS itu supaya tidak bertanding di Pekan kerana yakin rakyat Pekan bijak memilih pemimpin yang mampu membela nasib mereka.

Najib menang tanpa bertanding di Pekan ketika berusia 24 tahun selepas kemangkatan bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 1976.

Beliau sebelum ini pernah menerima kemenangan dengan majoriti kecil dengan kurang daripada 300 undi di Pekan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.

Tiada ulasan: