Sabtu, 3 November 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MB Pahang mesti pertahan hak negeri!

Posted: 02 Nov 2012 04:54 PM PDT


 

Oleh Nasrudin bin Hassan


 1. Negeri Pahang kelak akan menjadi satu lagi negeri pengeluar minyak di Malaysia dengan jumlah pengeluaran 17,500 sehingga 20,000 tong sehari  bermula suku tahun ketiga 2014.

Jika diambil kira pengeluaran dari medan minyak Malay Basin yang sama, petroleum dari medan minyak luar pesisir (99 batu dari pantai) Pahang ini berkemungkinan dari jenis Tapis Blend yang sangat bermutu tinggi dengan telaga berada pada kedalaman 76 meter (blok Tapis di Terengganu pada kedalaman 64 meter, 118 batu dari pantai), kos pengeluaran dijangka rendah.
 
2. Jumlah pengeluaran di bawah purata 25,000 tong ini sebenarnya masih kecil tapi perlu diingatkan bahawa ini cuma jumlah permulaan. Potensi ekonominya tinggi mengambil kira jumlah simpanan yang dijangka terus meningkat melalui usaha eksplorasi minyak yang terus digiatkan.

3. Sebaiknya sebagai orang Islam, kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas pemberian rezeki dan nikmat-Nya kepada kita. Begitupun, pengumuman YAB Perdana Menteri bahawa hasil mahsul petroleum Pahang akan dibayar melalui mekanisme wang ehsan cukup mengejutkan dan mengundang persoalan perundangan dan politik.

4. Berdasarkan amalan terdahulu, pemberian wang ehsan bermakna hasil mahsul petroleum Pahang akan disalurkan ke agensi persekutuan di peringkat negeri dan bukannya ke akaun kerajaan negeri sepertimana amalan pembayaran wang tunai Petronas ke Terengganu pada tahun 1999-2003. Anggaran RM100 juta setahun sepatutnya memberi tambahan 20 peratus kepada perolehan negeri yang sekarang ini berada di dalam lingkungan RM530 juta setahun.

5. Dari segi perundangan, pemberian wang ehsan adalah bertikaian dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dan kerajaan negeri Pahang. Dari segi politik, kaedah ini menampakkan ketidakyakinan kerajaan pusat dan negeri Umno-BN untuk mengekalkan pemerintahan di Pahang selepas PRU-13, lantas memastikan awal-awal lagi agar hasil minyak tidak diberikan kepada kerajaan negeri.

6. Alasan kerajaan Pusat, sewaktu kes di Terengganu dahulu adalah kerana kerajaan negeri pimpinan PAS pada waktu itu tidak kompeten di dalam pengurusan wang tunai hasil petroleum negeri. Maka bolehlah diandaikan bahawa kerajaan negeri Pahang sekarang ini juga tidak kompeten?

7. Menteri Besar seharusnya merasa kecewa dengan perkembangan ini tetapi sebaliknya beliau terus sahaja mengucapkan terima kasih. Selayaknya, kerajaan Pusatlah yang seharusnya berterima kasih kepada Pahang kerana memberikan hasil tambahan kepada negara.

8. Fakta medan minyak Blok PM 307 Pahang ini juga menguatkan hujah tuntutan royalti petroleum kerajaan negeri Kelantan ke atas pengeluaran medan minyak yang berada pada kedudukan 93 batu dari pantai Kelantan. Apakah tidak cukup pembuktian bahawa pemerintah Umno-BN di Putrajaya mempolitikkan urusan sumber hasil petroleum negara dengan wewenangnya?

9. Kes-kes sebegini dipantau pula oleh masyarakat antarabangsa lalu menjatuhkan kredibiliti Petronas. Antara sebab kerajaan pusat Ottawa menghalang pembelian Petronas ke atas Progress Energy Canada adalah kerana wujud campur tangan kerajaan dalam Petronas.

10. Alasan ini jugalah yang digunakan oleh Fitch Ratings dalam memberi komentar negatif terhadap kebolehupayaan masa depan Petronas. Tindakan-tindakan kerajaan pusat Umno-BN khususnya pada era pentadbiran Datuk Seri Najib ini sebenarnya menghambat prestasi Petronas.

11. Dewan Pemuda PAS menggesa kerajaan negeri Pahang menunjukkan sikap tegas dalam mempertahankan hak negeri ke atas sumber hasil alamnya. Sikap ini harus dimulakan dengan menuntut ketelusan daripada Petronas dan Kerajaan Pusat dalam urusan pengeluaran minyak ini dan seterusnya membentangkan perinciannya dalam sidang Dun agar rakyat boleh membuat penilaian.

12. Pada asasnya, kita berandaian jumlah pembayaran royalti 5 peratus adalah lebih besar daripada jumlah wang ehsan yang ingin diberikan Kerajaan Pusat. Kita juga berharap agar kerajaan Pusat menghormati semangat federalisme yang telah dimetarai di bawah perlembagaan, akta dan perjanjian sedia ada dengan membuat pembayaranf royalti dan bukannya wang ehsan yang bunyinya cukup menjengkelkan.

Selamatkan Pahang dan Malaysia

Posted: 02 Nov 2012 04:49 PM PDT

Pojok Katanya…-roketkini.com



Fitnah terhadap DAP tidak pernah reda sejak ia ditubuhkan 45 tahun lalu.

Tuduhan bahawa ideologi DAP menyamai komunis, gaya politik dikatakan Cauvinis Cina, matlamat parti yang kononnya ingin menubuhkan negara Kristian, pendekatan politik yang dikatakan menindas kaum Melayu dan mengutamakan kaum Cina, mahu mansuh Bahasa Kebangsaan dan anti Islam, masih berterusan.

Bagaimana dalam sebuah negara yang dikatakan sistemnya demokratik, terbuka, berbilang bangsa dan parti yang secara teknikalnya berasaskan pelbagai kaum, boleh digambarkan sebegini rupa oleh lawannya?

Tindakan itu kerana UMNO/BN berniat mahu memesongkan prinsip perjuangan DAP daripada diketahui umum. Entiti bernama United Malays National Organization ini tidak mampu berdepan dengan bahasa prinsip untuk berbahas mengenai dasar dan matlamat perjuangan, kerana prinsip perjuangan mereka jelas menyimpang daripada matlamat perjuangan muluk parti mereka.

Berbanding DAP, prinsipnya memanglah tidak sehebat mana, tetapi prinsip ini teruji dengan pelaksanaan kata-kata kempen perjuangan menerusi reputasinya baik sebagai pembangkang dan juga kerajaan (Pulau Pinang 2008).

Baru-baru ini, sekali lagi serangan hebat dilakukan MCA. Apa dan sebanyak mana tujuannya tidaklah kita pedulikan tetapi yang pasti, mereka mahu membunuh kefahaman rakyat Malaysia mengenai prinsip dan pendirian DAP atas beberapa isu yang menjadi polemik politik  di Malaysia sejak sekian lama iaitu hudud dan negara Islam.

Pada hakikatnya, bukan hanya DAP tidak bersetuju dengan idea hudud dan negara Islam ini, tetapi lebih jelas lagi UMNO, MCA, MIC hatta parti komponen BN yang lain juga tidak bersetuju dengan idea ini. Namun, hanya DAP yang digambarkan sebagai 'hantu' dan terus dikecam dan diheret ke dalam gelumang politik gelap UMNO BN.

Penyataan prinsip DAP dalam isu hudud dan negara Islam sudah jelas, iaitu menolak. Namun demikian, penolakan ini adalah berlandaskan pendekatan politik bukan menolak hudud sebagai hukum dalam Islam. Perbezaan besar ini bukan sahaja perlu difahami rakyat, malah termasuk ahli DAP sendiri.

Kita mengakui kewujudan kanun jenayah syariah (hudud) dalam Islam, tinggal lagi dalam isu pelaksanaan hudud dalam negara, yang mana kadar kemiskinan dan jurang ekonomi yang masih melebar luas, malah budaya rasuah (korupsi) begitu bermaharajalela dan ianya perlu diberi fokus dan keutamaan oleh DAP dan rakan PR yang lain.

Malah secara prinsip juga, kita tidak akan menyerang UMNO atau MCA hanya kerana mereka berlainan parti sebaliknya kita melawan UMNO atau MCA dan lain-lain kerana merekalah yang membenihkan budaya korupsi hingga tidak malu menggunakan hujah agama untuk menjustifikasikan kebobrokan mereka.

Malah, dengan bahasa retorik yang sangat puitis dan demokratis memesong ayat dan makna menjadi sesuatu yang berlainan daripada sifat asal, contohnya – rasuah, dalam UMNO disebut 'komisen'. Tiba-tiba jadi 'legal'. Pelik tetapi benar.

Rasuah ini anai-anai, ia bukan taufan Sandy yang datang melanda sekelip mata, tetapi rasuah merosakkan anak bangsa hingga ke beberapa generasi.

Apabila prinsip DAP diuji lagi dan lagi, kita akan menjadi lebih kuat, fokus dan yakin bahawa matlamat perjuangan ini betul. Inilah hikmah apabila terus difitnah, memetik kata-kata Abraham Lincoln – kamu boleh menipu sesetengah orang sepanjang masa, dan semua orang beberapa kali, tetapi anda tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa.

Masanya sudah tiba untuk kita maju ke hadapan.-roketkini.com

Agenda Ekonomi Saksama

Posted: 02 Nov 2012 04:47 PM PDT

 Oleh Liew Chin Tong
 
Di tengah kesedaran global tentang bahaya ketidaksaksamaan terhadap pertumbuhan ekonomi, kelangsungan hidup masyarakat dan pastinya kestabilan; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menyuarakan Agenda Ekonomi Saksama demi mengarahkan parti DAP dan Pakatan Rakyat terhadap soal ketidaksaksamaan.

Dalam sebuah forum anjuran Roketkini, Guan Eng bermain dengan huruf-huruf Automated Enorcement System (AES) dan secara berseloroh menyeru ke arah perlaksanaan AES yang berbeza – Agenda Ekonomi Saksama.

Namun mesej yang disampaikannya tegas: bahawa mengurangkan ketidaksaksamaan adalah agenda utama bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, DAP dan Pakatan Rakyat.

Di peringkat antarabangsa, The Economist, sebuah majalah aliran 'kanan-tengah' telah dengan bersahaja menyiarkan sebuah laporan bertajuk "True Progressivism: the new politics of capitalism and inequality" (Progresivisme sebenar: Politik baru kapitalisme dan ketidaksaksamaan). Majalah mingguan itu berkata "ketidaksaksamaan telah mencapai satu tahap di mana ia boleh menjadi tidak efisyen dan buruk untuk pertumbuhan."

Majalah tersebut langsung mencadangkan bahawa "malahan, ketidaksaksamaan hasil meritokrasi juga akan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan. Jika jurang pendapatan bertambah lebar, ia dapat membawa kepada kurangnya peluang saksama, terutamanya dalam pendidikan."

Pakar ekonomi dunia, Profesor Jeffrey Sachs, yang dijemput Guan Eng melalui Penang Institute dan turut diraikan oleh wakil rakyat di Parlimen, telah menyeru negara-negara dunia supaya menerima demokrasi sosial bagi memastikan kesaksamaan dan ekonomi yang mampan, serta pendidikan, alam sekitar dan pentadbiran yang lestari.

Beliau memetik Norway dan Sweden sebagai contoh demokrasi yang efektif dan memberi kesejahteraan am untuk kebanyakan rakyatnya, manakala Amerika Syarikat ditonjolkannya sebagai contoh jelas bagaimana kuasa kewangan membajak proses politik lantas merugikan rakyat biasa.

Malaysia telah melihat pekali Gini-nya, pengukuran ketidaksaksamaan (0 menunjukkan saksama dan 1, sangat tidak saksama) semakin memburuk sejak tahun 80'an. Pekali tersebut berada pada nilai 0.46, sedikit rendah berbanding Singapura.

60 peratus masyarakat terbawah mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan, yang melayakkan mereka untuk pemberian bantuan RM500 di bawah program BR1M.

Dengan kata lain, kerajaan Barisan Nasional mengiktiraf bahawa 60 peratus terbawah ini benar-benar memerlukan bantuan, cumanya kerajaan ini tidak dapat memikirkan sebarang reformasi struktur untuk membantu mereka, selain daripada bantuan kewangan.

Dan, Malaysia adalah contoh buku teks bagi kapitalisme kroni di mana parasit ekonomi, rasuah dan nepotisme adalah kelaziman sehari-hari.

Seruan Guan Eng ke arah sebuah Agenda Ekonomi Saksama adalah tepat pada masanya. Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, bukan sahaja ia perlu memakmurkan demokrasi, ia juga mesti mengagihkan hasil ekonomi secara adil, melalui kebijakan yang akan membantu menguncupkan jurang pendapatan dan kekayaan, dan mengembangkan peluang untuk semua.

Wacana baru kita tentang demokrasi sosial bukan semata-mata tentang pembahagian dan pengagihan.

Ia malahan adalah suatu pengiktirafan bahawa Malaysia sudah tidak lagi boleh bergantung kepada pengindustriani yang dipacu industri eksport yang selalunya dikaitkan dengan polisi yang dikaitkan dengan gaji rendah dan matawang yang murah.

Kita harus melihat pengagihan sebagai suatu strategi baru demi pertumbuhan. Dengan memperkayakan rakyat, ekonomi kita akan terus berdaya tahan melalui permintaan domestik yang lestari (yang tidak dibiayai hutang isirumah yang membelon) bagi jangkamasa pendek sementara mengembangkan dayakerja berkemahiran tinggi untuk memperlihatkan potensinya dalam jangkamasa panjang.

Dengan kesedaran bahawa Malaysia adalah sebuah masyarakat yang tidak saksama, tibalah masanya untuk kita meminggirkan asas meritokrasi dan mendampingi asas yang dibina berdasarkan ide solidariti. Apabila sesebuah masyarakat itu sangat tidak saksama, desakan keras kepala untuk meritokrasi selalunya memberi faedah kepada mereka yang mempunyai kemampuan secara tidak seimbang.

Adalah lebih penting bagi sesebuah masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang berada di kelas pertengahan dan bawahan bagi mencipta arus yang akan memberi faedah kepada semua pihak.

Masyarakat yang lebih saksama akan mempunyai pertumbuhan yang lebih mampan yang akan menghasilkan kemakmuran yang dikongsi bersama, kesejahteran dan pastinya kestabilan. – Roketkini.com

Islam, Sekolah Agama Rakyat, masjid dan surau terbela di Pulau Pinang

Posted: 02 Nov 2012 04:41 PM PDT

Roketkini.com

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

GEORGE TOWN : Tuduhan UMNO/BN bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP sebagai "anti-Islam" terbukti tidak benar apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) itu terus "Memartabatkan Agama Islam" dalam Belanjawan Pulau Pinang 2013 yang bertemakan Agenda Ekonomi Saksama.

Selain menjadikan masjid dan surau sebagai institusi merangkumi aktiviti kemasyarakatan, sebanyak RM13.84 juta daripada RM46.42 juta peruntukan bagi memartabatkan agama Islam disediakan untuk pembangunan sekolah agama rakyat (SAR).

Ia berbeza sama sekali dengan Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2013 yang tidak menyediakan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, peruntukan untuk pembangunan agama Islam bagi 2013 termasuk usaha meneruskan pembinaan masjid baru yang mengambil kira prasarana mesra OKU.

"Masjid terbabit ialah Masjid Jamek Sungai Gelugor, Daerah Timur Laut dan Masjid Jamek Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara.

"Pembinaan masjid yang mengambil kira prasarana seumpama itu dilaksanakan di Masjid Abdullah Fahim, Seberang Perai Utara dan Masjid Kelawei, Daerah Timur Laut," katanya.

Pada Belanjawan Pulau Pinang 2012, kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM22.8 juta untuk pengambilan balik tanah bagi pembesaran tapak perkuburan Islam berhampiran Masjid Jelutong, untuk khariah Masjid Cherok Tok Kun Atas dan khariah Masjid Tuan Abdullah, Tanah Liat manakala RM2 juta diperuntukan untuk pengambilan balik tanah bagi pembangunan Sekolah Agama Rakyat.

Katanya, ini membuktikan tuduhan UMNO-BN bahawa Kerajaan Pulau Pinang "anti-Islam" adalah meleset sama sekali kerana realitinya, kerajaan negeri sangat prihatin terhadap pembangunan masyarakat dan agama Islam dan meliputi semua kaum di negeri itu .-Roketkini.com

Komunis Dan BN Umno Serupa?

Posted: 02 Nov 2012 04:37 PM PDT

Ramai orang bertanya saya, apakah bentuk kepimpinan Barisan Nasional (BN)? Ini kerana, sistem BN hanya satu di dunia dan sangat berbeza dengan sistem politik atau kepimpinan negara demokrasi.

Raja berkuasa mutlak, kerajaan diktator, kerajaan komunis atau kerajaan totalitarian (berkuasa secara total atau berkuasa mutlak) adalah setaraf dengan kepimpinan BN sekarang. Sistem ini telah menyebabkan BN kekal berkuasa sejak dahulu dan akan berterusan jika tidak diubah.
Nasib baik rakyat sekarang ada pilihan selain BN iaitu gabungan antara PKR-PAS-DAP untuk mengganti Barisan Nasional bagi memerintah negara.

Apa ciri-ciri kepimpinan BN? Bagi saya, antara cirinya adalah:-

Ciri pertama: Autokrasi

Sistem politik Barisan Nasional atau BN berpaksikan kepimpinan autokrasi. Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional ialah Perdana Menteri. BN bertanding dalam pilihan raya umum. Anggota komponen seperti UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PPP, PBB, SUPP, SPDP, PRS, PBS, UPKO, PBRS dan LDP tidak bertanding dalam pilihan raya umum. Justeru itu, anggota komponen tidak mempunyai kekuatan politik, semuanya ada pada BN.

Sungguh pun UMNO tidak bertanding dalam pilihan raya umum, tetapi Presiden UMNO ialah Pengerusi BN. Presiden UMNO dan Pengerusi BN ialah Perdana Menteri.

Justeru itu, Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri berkuasa mutlak kerana BN bertanding dalam pilihan raya umum. Presiden-presiden anggota komponen tidak mempunyai kekuatan politik kerana mereka tidak bertanding dalam pilihan raya umum atas nama parti masing-masing.

Apabila Perdana Menteri berkuasa mutlak, hatta Majlis Tertinggi UMNO tidak mempunyai kekuatan politik kerana UMNO tidak bertanding dalam pilihan raya umum. Majlis Tertinggi parti-parti komponen juga tidak mempunyai kekuatan politik kerana parti-parti komponen tidak bertanding dalam pilihan raya umum.

Calon-calon dan kawasan-kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri atau DUN ditentukan oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri berkuasa mutlak (prerogative) untuk melantik anggota kabinet dan portfolio menteri-menteri. Dasar-dasar kerajaan ditentukan oleh Perdana Menteri.

Justeru itulah, bagi saya BN memperalatkan semua anggota komponennya dan mereka menjadi kuda tunggangan UMNO.

Ciri kedua : Majoriti Dua Pertiga

BN ialah kerajaan majoriti dua pertiga (2/3). UMNO ialah pertubuhan politik bangsa Melayu. Justeru itu, bangsa Melayu bersatu menyokong UMNO dan mengundi BN dalam pilihan raya umum.

Apabila bangsa Melayu bersatu mengundi BN, maka BN berupaya membentuk kerajaan majoriti mudah (simple majority). Apabila bangsa Melayu bersatu menyokong UMNO, maka pribumi dari Sabah dan Sarawak juga bersatu mengundi BN dalam pilihan raya umum.

Bangsa Cina dan India ialah pengundi minoriti. Apabila bangsa Melayu, Pribumi Sabah dan Sarawak mengundi BN dalam pilihan raya umum, maka bangsa Cina dan India tidak ada pilihan selain daripada menyokong dan mengundi BN dalam pilihan raya umum atau berada dalam pembangkang.

Apabila bangsa Melayu, Pribumi daripada Sabah dan Sarawak, bangsa Cina dan India bersatu mengundi BN dalam pilihan raya umum, maka kerajaan BN ialah kerajaan majoriti dua pertiga (2/3).

Kerajaan majoriti dua pertiga tidak memberi peluang kepada pembangkang mengganti kerajaan BN. Justeru itu, Kerajaan BN dicipta untuk memerintah selamanya. Kerajaan yang tidak tertakluk kepada perubahan (not subject to regime change) ialah kerajaan satu-sistem.

Bagi saya, kerajaan demokrasi ialah kerajaan satu-parti atau kerajaan campuran. Contoh kerajaan satu-parti ialah kerajaan PAS di negeri Kelantan atau kerajaan Berjaya atau PBS di Sabah satu ketika dahulu. Contoh kerajaan campuran ialah kerajaan PKR-PAS-DAP di negeri Selangor.

Kerajaan satu-sistem bukan kerajaan satu-parti atau kerajaan campuran. Kerajaan satu-sistem menguasai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Justeru itu, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman (Judiciary) tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri. Perlantikan ketua Polis,Tentera atau Ketua Hakim Negara ditentukan oleh Perdana Menteri.

Apabila Perdana Menteri berkuasa mutlak, maka Perdana Menteri menguasai semua kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan termasuk Kementerian Kewangan. Justeru itu, Perdana Menteri berkuasa mutlak menganugerah projek-projek secara terus (direct award), rundingan (negotiated), terpilih (selected) atau projek-projek penswastaan (privatisition).

Kerajaan BN menguasai media massa, media elektronik atau badan-badan NGO's terletak di bawah kuasa dan budibicara Perdana Menteri.

ISA juga terletak di bawah kuasa Perdana Menteri. Perdana Menteri berkuasa mutlak mengambil atau tidak tindakan terhadap menteri-menteri atau ketua-ketua menteri dan menteri-menteri besar yang rasuah.

Justeru itu, kerajaan ini tidak tertakluk kepada prinsip pemisahan kuasa antara badan Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman.

Kerajaan ini juga tidak tertakluk kepada prinsip ketelusan, imbangan dan sekatan, amanah dan pertanggungjawaban (not subject to checks and balances, integrity and accountability).

Kerajaan BN juga mengamalkan falsafah politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara (The ends justify the means) untuk mendapat kuasa atau mengekalkan kuasa.

Justeru itu, kerajaan BN berkuasa mutlak. Pepatah Inggeris menyatakan, "Power corrupts. Absolute power, corrupts absolutely". Kuasa mengakibatkan rasuah. Kuasa mutlak mengakibatkan rasuah mutlak. Rasuah mutlak mengakibatkan ketagih hingga ketahap 'kleptomania'.

Ciri Ketiga : Sinonim Dengan Komunis

Adalah terbukti bahawa sistem politik BN ialah sama seperti sistem politik komunis. Sistem politik komunis berpaksikan ahli-ahli parti kerajaan komunis untuk memenangi pilihan raya umum. Majoriti pengundi dalam negara ialah ahli-ahli parti kerajaan komunis itu. Justeru itu, apabila pilihan raya umum diadakan kerajaan komunis tidak tertakluk kepada perubahan (not subject to regime change).

Sistem politik BN ialah sama seperti sistem politik kerajaan komunis. Majoriti pengundi dalam negara ialah ahli-ahli BN.

Ciri keempat: Pecah dan Perintah

BN memecahbelah bangsa Melayu dan umat Islam kepada ahli dan bukan ahli, bangsa Cina kepada ahli dan bukan ahli, bangsa India kepada ahli dan bukan ahli, Pribumi Sabah dan Sarawak kepada ahli dan bukan ahli. Justeru itu, sistem politik BN memecahbelah rakyat Malaysia kepada ahli dan bukan ahli.

Menurut kenyataan Setiausaha Agung BN Adnan Mansor, dalam akhbar, The New Straits Times, pada 9 September 2010, jumlah ahli-ahli BN ialah 7 juta orang.

Dalam pilihan raya umum tahun 2008, jumlah pengundi dalam negara ialah 10,922,139 (SPR). Adalah terbukti bahawa majoriti pengundi dalam negara ialah ahli-ahli BN.

Justeru itu, sistem politik kerajaan BN ialah sama seperti sistem politik kerajaan komunis. Kerajaan komunis tidak tertakluk kepada perubahan kerana majoriti pengundi dalam negara ialah ahli-ahli BN.

Apabila ahli-ahli BN mengundi BN setiap kali pilihan raya umum diadakan, maka kerajaan BN tidak tertakluk kepada perubahan selamanya (not subject to regime change forever).

Apabila kerajaan tidak tertakluk kepada perubahan, maka nasib rakyat Malaysia ialah sama seperti rakyat negara komunis atau rakyat negara Brunei Darussalam. Kerajaan negara Brunei Darussalam juga tidak tertakluk kepada perubahan selamanya.

Rakyat Malaysia bernasib baik apabila Presiden UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat kenyataan pada 28 Mei 2010, dalam akhbar The New Straits Times, bahawa ahli-ahli UMNO berjumlah 3,159,484. Apabila ahli-ahli BN ialah 7 juta, maka ahli-ahli anggota komponen ialah 3,840,516.

Daripada kenyataan Presiden UMNO dan Setiausaha Agung BN, ahli-ahli anggota komponen sudah mengetahui bahawa BN mengamalkan sistem politik komunis untuk memenangi pilihan raya umum.

Presiden UMNO dan Perdana Menteri juga mengamalkan kepimpinan autokrasi, berkuasa mutlak, rasuah mutlak, tidak tertakluk kepada perubahan dan menjadikan rakyat Malaysia seperti hamba, maka ahli-ahli anggota komponen berjumlah 3,840,516 sudah tentu tidak sanggup diperalatkan untuk mengamal sistem politik komunis.

Tambahan pula, ahli-ahli anggota komponen mempunyai pilihan untuk mengundi Pakatan Rakyat bagi menjadi pemerintah baru negara.

Gabungan atau campuran antara PKR, PAS dan DAP tidak berpaksikan sistem politik BN. Setiap parti PKR, PAS dan DAP bertanding dalam pilihan raya umum. Justeru itu, PKR, PAS dan DAP masing-masing mempunyai kekuatan politik mereka tersendiri. Tidak ada kuda tunggangan dalam gabungan campuran sebegini.

Gabungan atau campuran tidak berpaksikan undi ahli-ahli untuk memenangi pilihan raya umum. Majoriti pengundi dalam negara ialah rakyat. PKR, PAS dan DAP berpaksikan undi rakyat. Justeru itu, PKR, PAS dan DAP berpaksikan sistem politik demokrasi.

Sistem politik demokrasi memberi hak dan kebebasan untuk memilih atau menukar kerajaan dalam pilihan raya umum. Justeru itu, kerajaan rakyat tertakluk kepada perubahan (subject to regime change). Tidak ada kerajaan yang maksum (perfect) di dunia.

Justeru itu, menjelang pilihan raya umum ke 13 akan datang, rakyat Malaysia bebas untuk mengundi kepimpinan autokrasi, berkuasa mutlak, resuah mutlak, kerajaan komunis, tidak tertakluk kepada perubahan dan untuk menjadi hamba kepada Perdana Menteri iaitu kerajaan BN selamanya atau memilih pihak lain.

Ahli-ahli anggota komponen BN berjumlah 3,840,516 juga boleh untuk tidak diperalatkan oleh UMNO atau jadi kuda tunggangan UMNO untuk mengamal sistem politik komunis atau sebaliknya.

Bagi saya, hanya kroni-kroni Perdana Menteri (Presiden-Presiden anggota komponen) dan ahli-ahli UMNO berjumlah 3,159,484 akan mengundi BN.

Jika begitu, sistem politik BN sudah tidak releven apabila ahli-ahli anggota komponen menolak sistem politik BN dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Dalam pilihan raya umum tahun 2008, rakyat Malaysia di Semenanjung sudah membuat keputusan untuk menolak kerajaan BN kerana sudah terlalu lama dan terlalu rasuah.

Tanpa sokongan rakyat Sabah dan Sarawak, BN tentu sudah kehilangan kuasa. Dalam pada itupun, BN hanya berupaya mengekalkan kuasa dengan majoriti mudah saja. Justeru itu, bagi saya, sistem politik BN sudah tidak releven.

Setelah rakyat Malaysia keseluruhannya mengetahui (melalui kenyataan Presiden UMNO dan Setiausaha Agung) bahawa BN mengamalkan sistem politik komunis, maka lebih banyak rakyat di Semenanjung tidak akan mengundi BN dalam pilihan raya umum ke 13 berbanding dengan pilihan raya umum ke 12 pada tahun 2008 lalu.

Saya juga yakin, rakyat Sabah dan Sarawak juga tidak akan mengundi BN dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang setelah mengetahui bahawa kerajaan BN ialah sama seperti kerajaan komunis.

Justeru itu, bagi saya dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang, BN akan kehilangan kuasa. Majoriti bangsa Melayu, Cina, India, Pribumi Sabah dan Sarawak akan menolak sistem politik kerajaan BN kerana sistem politik BN sama seperti sistem politik komunis.

Rumusan

Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak menyatakan, "Prosperity is no substitute for demokrasi". Kemakmuran negara bukan pengganti demokrasi. Demikian penjelasan beliau apabila diminta memberi komen tentang sistem politik demokrasi berbanding dengan sistem politik komunis dalam lawatan beliau ke negara Myanmar dalam bulan Mac 2012 lalu.

Ekonomi negara China ialah kedua terbesar di dunia dan sudah menghantar angkasawan ke angkasa lepas, tetapi negara China tetap mengamalkan sistem politik komunis. Negara Russia mengadakan pilihan raya umum, tetapi pilihan raya umum dimanipulasi untuk memihak kepada kerajaan komunis.

Kerajaan diktator Hosni Mubarak mengadakan pilihan raya umum. Setiap kali pilihan raya umum diadakan NDP, iaitu parti Hosni Mubarak memenangi antara 80 peratus atau 90 peratus undi. Sebabnya, pengiraan undi diadakan dalam Kementerian Dalam Negeri. Peti undi yang kalah diganti dengan peti undi yang sudah berisi dan menang.

Rakyat benci kepada kerajaan Hosni Mubarak, tetapi setiap kali pilihan raya umum diadakan, NDP mendapat undi luar biasa. Akhirnya, revolusi Arab Spring dilancarkan untuk mengguling kerajaan Hosni Mubarak.

Adalah diingatkan bahawa kerajaan komunis, diktator atau raja berkuasa mutlak mengamalkan falsafah politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara. Semua cara halal atau tidak digunakan untuk mendapat kuasa dan mengekalkan kuasa termasuk mengenepikan perintah Allah, menipu, membunuh, berlaku zalim dan ketepikan hak asasi dan kebebasan rakyat.

Akhir sekali, BN berpaksikan undi ahli-ahli BN untuk memenangi pilihan raya umum. Sewajarnya BN dijadikan pertubuhan politik agar individu berhak menjadi ahli. Sebaliknya ahli-ahli BN ialah ahli-ahli anggota komponen. Tetapi dalam pilihan raya umum, ahli-ahli anggota komponen diperintah untuk mengundi BN. Justeru itu, ahli-ahli anggota komponen hanya diperalatkan agar Perdana Menteri BN berkuasa mutlak dan mengamal rasuah mutlak.

Perkara ini sudah lama dipersoalkan oleh anggota BN tetapi tidak diendahkan. Tetapi anggota komponen tidak terdaya membuat tindakan. Pilihan ialah menyokong sistem politik BN atau berada dalam pembangkang.

Tetapi, keadaan sudah berubah. Bangsa Melayu, Cina, India, Pribumi daripada Sabah dan Sarawak sudah mempunyai pilihan mengundi gabungan dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum untuk memerintah dan biarkan BN jadi pembangkang kerana BN mengamalkan sistem politik komunis, berkuasa mutlak dan mengamalkan rasuah mutlak- DATUK YAHYA LAMPONG.

(NOTA : Datuk Yahya Lampong adalah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar di era Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Ketika pembentukan DEB dan selepas itu pembentukan SEDC bagi semua negeri, penulis dilantik menjadi Pengurus Besar Sabah SEDC yang pertama. Beliau telah mengiytiharkan keluar Umno dan menyertai PKR.)

Tentera mati tergantung di berek

Posted: 02 Nov 2012 04:28 PM PDT

KL TODAY

 

Penghuni berek tentera sebuah kem di Jalan Lapangan Terbang Miri, di sini, gempar apabila seorang rakan mereka yang tidak kelihatan sejak pulang dari kerja petang Selasa lalu, ditemui mati tergantung di siling biliknya, kelmarin.

Mayat Lans Koperal, Mohd Farizzul Amir, 27, dari Pahang, itu ditemui kira-kira jam 4.30 petang selepas beberapa rakan rapat menyedari kelibatnya tidak kelihatan sejak selesai bertugas petang Selasa lalu.

Sumber polis berkata, beberapa rakan yang curiga bertindak memecahkan pintu bilik Mohd Farrizul selepas mendapati ia berkunci dari dalam sebaik pulang dari tempat kerja.

Katanya, selepas beberapa ketika memanggil nama dan mengetuk pintu biliknya, tetapi tidak disahut, penghuni berek kemudian memecahkan pintu kerana mengesyaki sesuatu tidak kena dalam kejadian, kira-kira jam 4.30 petang itu.

Difahamkan, sebelum kejadian, Mohd Farizzul tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau menceritakan masalah kepada rakan sekerja yang lain, malah sempat berborak dengan rakan sebiliknya pada malam sebelumnya.

Malah, anggota tentera yang masih bujang serta menyertai pasukan sejak lapan tahun lalu itu dikatakan seorang anggota berdisiplin dan mempunyai hubungan baik dengan rakan setugasnya.

"Kebiasaannya, mangsa sering bersembang dengan rakan sekerja lain apabila selesai tugas, namun berbeza dengan petang kelmarin (Selasa) apabila dia terus masuk dan berkurung di dalam biliknya sehingga mencetuskan tanda tanya penghuni lain.

"Kecurigaan itu hanya terjawab apabila pintu bilik berjaya dibuka dan dia ditemui mati tergantung di siling bilik menggunakan seutas tali nilon di tepi katilnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Sapian Salihin ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Tiada ulasan: