Jumaat, 2 November 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Skandal RM40 juta: KEADILAN lapor SPRM Isnin ini

Posted: 02 Nov 2012 06:58 AM PDT

Oleh Aedi Asri

PETALING JAYA : KEADILAN akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan jutawan balak Sabah, Michael Chia pada 3 petang Isnin ini berhubung skandal RM40 juta melibatkan pemimpin Umno Sabah.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, Seksyen 16 Akta SPRM 2009 menetapkan perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun suapan dan manfaat diterima orang lain.

"Penafian Nazri bahawa anaknya terima habuan kewangan tiada kaitan dengan beliau tidak boleh diterima.



"Menurut Seksyen 16(A), beliau boleh disiasat jika anaknya terima habuan dari Michael Chia atas kedudukannya sebagai menteri kanan," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.

Rafizi berkata, Seksyen 16(B) menguatkan lagi perkara ini dengan menetapkan perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun tiada suapan sebenar diterima.

"Rasuah tetap berlaku walau ia sekadar (di peringkat) perbincangan," jelasnya lagi.



Semalam, beliau mendedahkan gambar menunjukkan anak Nazri – Nedim menggunakan kenderaan mewah jenis Hummer warna hitam bernombor pendaftaran WNX 9776 yang didaftar atas nama Chia.

Dalam sidang medianya pagi tadi, Rafizi turut menayangkan video menunjukkan kenderaan itu keluar masuk di kawasan kediaman Nedim di Clearwater Residence di Jalan Changkat Semantan, Kuala Lumpur.

Beliau turut mencabar Nazri untuk mengambil tindakan undang-undang jika dakwaan ini fitnah semata-mata.

"Kalau (saya) fitnah silakan bawa ke mahkamah, seperti yang dilakukan Datuk Seri Shahrizat Jalil dulu.

"Saya yakin dakwaan ini betul. Saya tidak minta mana-mana Ahli Parlimen bawa kes ini…Saya tidak perlu berselindung di sebalik kekebalan Parlimen," tegas Rafizi.

ICAC tutup kes Chia sebab tiada kerjasama Peguam Negara

Rafizi berkata, laporan ke atas Chia Isnin ini dibuat supaya satu siasatan baru dapat dijalankan ke atasnya.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua yang turut hadir dalam sidang media itu menyangkal dakwaan Nazri di Parlimen bahawa Suruhanjaya Bebas Pencegah Rasuah Hong Kong (ICAC) menutup kes tersebut selepas SPRM mendapati wang milik Chia ditujukan kepada Umno Sabah, bukan Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman.

"ICAC tidak dapat kerjasama dari Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail…Mereka terpaksa tutup kes selepas tamat tempoh (penyiasatan) tiga tahun.

"Jika benar (tiada rasuah), Peguam Negara perlu tunjukkan dokumen dari ICAC sendiri. Dulu NFC pun pada mulanya kata tiada apa-apa (penyelewengan). Jadi kita tidak percaya hanya dengan kata-kata," sambung Ahli Parlimen Batu itu.

Pada 2008, ICAC menahan Chia di Hong Kong bersama-sama wang Singapura bernilai RM40 juta.

Skandal RM40 juta: SPRM diingat berhenti jadi ejen Umno BN

Posted: 02 Nov 2012 06:55 AM PDT

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa berhenti menjadi ejen pembersihan segala penyelewengan yang dilakukan pemimpin Umno BN.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa mengingatkan agensi itu berhubung skandal anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menikmati manfaat terus dari Michael Chia, ahli perniagaan yang terbabit dalam skandal RM40 juta untuk Umno Sabah.

Chia adalah individu utama dalam skandal penyeludupan wang haram RM40 juta kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan ditahan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) pada 2008 berhubung perkara itu.

"Seperti dalam kes NFC, suami Shahrizat Jalil bebas begitu saja, sedangkan pelbagai bukti telah dikemukakan, jadi dalam kes RM40 juta ini diharap SPRM berhenti jadi ejen Umno," tegasnya ketika dihubungi.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu berkata, beliau akan menunggu maklum balas seterusnya daripada Nazri dan merujuk perkara itu kepada Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sebelum membawa isu ini ke polis dan SPRM.

Rafizi dalam sidang medianya di Parlimen semalam mendedahkan, Nedim Nazri menggunakan kenderaan mewah jenis Hummer berharga RM459,000 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WNX 9776 milik Chia.

Dalam respon balas, Nazri berkata, anaknya tidak perlu memberitahu apa-apa berkaitan hubungannya dengan Chia, sama seperti jawapan Shahrizat di mahkamah dalam kes NFC.

"Alasan itu menjadi trend untuk pemimpin Umno meghalalkan penyelewengan dilakukan mereka. Maksudnya lepas ini, semua (pimpinan BN) tak payah ambil hal ehwal keluarga sendiri," katanya sinis.

Pengerusi MCA N Sembilan Dapat Tanah Hutan Simpan Jempol

Posted: 02 Nov 2012 06:43 AM PDT


KELAB GREENBOC
 
Keadilan hari ini mendedahkan, 1014 hektar tanah hutan simpan tetap di Mukim Serting Ulu, Jempol diberi kepada ASLI-YNS Sdn Bhd, syarikat milik Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Senator Dr Yeow Chai Thiam.

Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan pada 3 Mac 2004 meluluskan permohonan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) untuk meminda keputusan pemberian milikan tanah itu bagi perladangan getah kepada ASLI-YNS.

Beliau turut menunjukkan salinan surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang menyatakan kelulusan itu.

"Lebih memalukan syarikat ini hanya ada modal keseluruhan sebanyak RM10, dan Yeow hanya miliki pelaburan berjumlah RM5 sahaja," jelasnya sambil menunjukkan salinan maklumat syarikat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Rafizi berkata, walaupun nama syarikat itu seolah-olah menggambarkan ia adalah usahasama dengan YNS, carian rasmi di SSM mengesahkan ia dimiliki oleh Yeow.

Menurut salinan maklumat SSM yang turut dilampirkan, ASLI-YNS juga dimiliki Chan Ah Meng dengan pelaburan RM2 dan Yong Ing Kiat pula RM3.

Pendedahan terbaru ini menyangkal dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan tempoh hari bahawa tanah hutan simpan tersebut dimiliki YNS dan hanya dipajak kepada pihak swasta.


Skandal Tanah N9: Tiga lagi Syarikat milik Umno-BN Akan Di Dedah

PETALING JAYA, 2 NOV – PKR akan mendedahkan tiga lagi syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan berhubung skandal Hutan Simpan di Negeri Sembilan yang dipercayai dimiliki oleh pimpinan-pemimpin Umno-BN.

Hari ini PKR mendedahkan nama sebuah syarikat swasta yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal hutan simpan di negeri itu yang dikaitkan dengan Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Senator Dr Yeow Chai Thiam.

Bercakap pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR,Pengarah Straterginya, Rafizi Ramli berkata, kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa tanah tersebut tidak pernah dipindahmilik kepada syarikat swasta kerana kekal dimiliki Yayasan Negeri Sembilan adalah tidak benar.

Merujuk kepada satu surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 4 Mac 2004, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan yang bermesyuarat pada 3 Mac 2004 telah meluluskan permohonan dari Yayasan Negeri Sembilan untuk meminda keputusan pemberian milikan tanah seluas 1,014 di Mukim Serting Ulu, Daerah Jempol.

Pindaan ini bagi tujuan ladang getah kepada sebuah yarikat bersama ASLI-YNS Sdn Bhd.

Lebih memalukan katanya, pelaburan Dr Yeoh di dalam syarikat tersebut hanyalah berjumlah RM5 dari modal keseluruhan RM10.

"Walaupun nama syarikat ini memberi gambaran seolah-olah ia sebuah syarikat usahasama dengan Yayasan Negeri Sembilan, carian rasmi dengan Suruhanjya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan bahawa ia dimiliki dan dikawal oleh Senator Dr Yeow Chai Thiam yang juga Pengerusi MCA Negeri Sembilan," katanya.

Sebelum ini, skandal tanah hutan simpan ini didedahkan berdasarkan Laporan Audit 2010 yang yang menegur Kerajaan Negeri berkenaan penggantian kawasan hutan simpan.

Sehubungan itu, PKR menunggu penjelasan pihak Menteri Besar sebelum mengambil tindakan lanjut sebelum mendedahkan tiga lagi syarikat lain yang terbabit. -selangorku

Ketua Pemuda Umno Kedah nak jatuhkan bekas bos?

Posted: 02 Nov 2012 06:39 AM PDT

 
Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Muhd Nor berkata, Badrul Hisham itu sedang mengintai kerusi untuk bertanding.



PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrul Hisham Hashim menyerang pelaburan kerajaan negeri di Papua New Guinea (PNG) supaya tembelang bekas Menteri Besar Datuk Seri Mahadzir Khalid terbongkar.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Muhd Nor berkata, Ketua Pemuda Umno  berbuat demikian kerana beliau sedang mengintai kerusi untuk bertanding.

"Dia sedang berkira-kira menggulingkan Adun Pedu, bekas bosnya. Bagaimana? Menyerang PNG bermakna membuka ruang supaya kes- kes lama bosnya dibongkar seluas mungkin.

"Setakat ini sudah empat kes projek sakit didedahkan. Kes 99 East Langkawi, kes Dewan Mentaloon dan kes Udang Kerpan berlaku di zaman Adun Pedu menjadi Menteri Besar," dakwa Muhamad Sanusi.

Kerusi DUN Kuala Nerang tidak selamat kerana Datuk Syed Sobri Syed Hashim sudah  menunggu, dakwa Muhamad Sanusi.

Muhamad Sanusi juga mendakwa, ada  kes lain membabitkan Kedah Corporation Berhad (KCB) sewaktu Mahadzir menjadi Menteri Besar  yang belum didedahkan.

`Nak alih isu'

"Badrul Hisham patut tahu hal ini. Semua staf KCB mengetahuinya. Dalam projek Trans Eastern Kedah Interland Highway (TEKIH) dari Durian Burung ke Baling, terdapat beberapa jajaran jalan baru yang menempuh kawasan hutan balak.

"Nilainya berjuta juga. Semua kawasan itu diserahkan oleh MB kepada KCB. Tajul Urus (Datuk Tajul Urus Mat Zain) dan menantunya yang bertugas di KCB menguruskannya. KCB tidak menerima sebarang hasil dari pada kawasan balak itu," katanya lagi.

Badrul Hisyam ketika dihubungi hari ini tetap menegaskan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak perlu mengaku dan bertanggungjawab terhadap kerugian KCB.

Katanya, Azizan juga perlu meminta maaf kepada rakyat Kedah terhadap kesilapan pelaburan itu.
Badrul Hisham menganggap kenyataan Muhamad Sanusi yang beliau mahu mendedahkan keburukan Mahadzir sebagai usaha untuk mengalihkan isu kerugian KCB.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 baru-baru ini mendedahkan tentang pelaburan projek balak di PNG yang merugikan membabitkan syarikat berkenaan meminjam RM135 juta daripada bank, manakala projek penyelenggaraan perumahan awam kos rendah dilaporkan mengeluarkan kontrak dan membuat pembayaran yang meragukan.

MB Selangor: Noh berdepan 2 tokoh Umno

Posted: 02 Nov 2012 06:34 AM PDT

Analisa Anis Nazri,

(Adun Sekincan berucap dalam perhimpunan membantah Noh)

Biarpun gendang pilihan raya umum belum dipalu, dendangannya tetap kedengaran di mana-mana, sementelah ia memang dijangka akan dipalu bila-bila masa sahaja.

Sama ada parti pemerintah, BN mahupun Pakatan Rakyat, masing-masing cuba menawarkan yang terbaik untuk para pengundi.

Di negeri-negeri Pakatan Rakyat memerintah, sudah tentu bahangnya begitu terasa, lebih-lebih lagi kepada pihak pembangkang di negeri terbabit iaitu BN.

BN kini sedang mengintai-intai peluang di Selangor yang merupakan lubuk emas kepada negara.  Lebih-lebih lagi apabila melihat kejayaan Pakatan Rakyat menerajui Selangor melalui menteri besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Lantaran itu, kerusi menteri besar Selangor memang menjadi tumpuan puak-puak di dalam BN, khususnya Umno, lebih-lebih lagi setelah bekas menteri besar yang terpalit dengan tuduhan rasuah, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dikatakan tidak mungkin dicalonkan sebagai menteri besar.

Beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti Khir Toyo. Malah, terdapat pemimpin Umno yang cuba menonjolkan diri masing-masing bagi membuktikan keupayaan mereka menerajui Selangor.

Terdapat pimpinan di peringkat pusat dan juga pimpinan peringkat negeri berminat memenuhi kerusi tersebut sekiranya BN berjaya merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Umum mengetahui, nama Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar turut disebut-sebut sebagai calon menteri besar, yang akan mengintai ruang di Dun-dun tertentu untuk tujuan tersebut.

Selain Noh, Bendahari Umno Selangor, Tan Sri Rozali Ismail yang juga peneraju Syabas, turut dikatakan mengintai peluang sama dengan menjadikan Dun Sungai Panjang sebagai platform beliau.

Ternyata, Noh yang juga ahli parlimen Tanjung Karang bukan bakal berdepan dengan Rozali seorang, malah dikatakan Adun Sungai Burung, Datuk Mohd Shamsuddin Lias juga disebut-sebut akan 'menentang' Noh.

Shamsuddin, wakil rakyat di bawah parlimen Tanjung Karang itu sendiri dikatakan sudah 'terpisah' dengan Umno Tanjung Karang.

Maka, sudah tentu apabila gendang dipalu, suasana menjadi semakin membara dengan beberapa puak dalam Umno Selangor berlumba-lumba untuk mencapai matlamat mereka.

Sudah tentu juga terdapat nama pemimpin-pemimpin lain di seluruh bahagian di Selangor tidak akan ketinggalan untuk mengintai ruang dan peluang tersebut.

Sejauh mana nama-nama tersebut benar-benar bakal dicalonkan sebagai menteri besar, hanya Umno Selangor yang akan menentukan.

Soalnya, mampukan ahli-ahli BN, khususnya Umno Selangor mengambilalih pentadbiran negeri itu daripada Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum kelak?

Lebih-lebih lagi bagi Noh Omar yang dirundung pelbagai kontroversi yang melingkari beliau sepanjang beliau menjadi wakil rakyat di Tanjung Karang.

Bagaimana penduduk Tanjung Karang yang begitu terkesan dengan skandal kolam udang di Tanjung Karang dapat mengangkat Noh sebagai menteri besar mereka?

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dikatakan memiliki tanah seluas 30 ekar yang disewakan kepada syarikat Pristine Agrofood Sdn. Bhd. pada tahun 1995.

Tanah itu, yang pada mulanya dikatakan berstatus tanah komersial, dan kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian pada 2011 bagi tujuan projek penternakan udang.

Bagaimanapun, sudah tentu Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu akan berjuang habis-habisan bagi memastikan BN berjaya menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, Noh memenangi kerusi Tanjung Karang dengan memperoleh undi sebanyak 16 073, berbanding calon PAS, Mohamed Hanipa Maidin yang memperoleh undi sebanyak 12 253.

Kedua-dua Dun di bawah parlimen Tanjung Karang, iaitu Permatang dan Sungai Burung turut dimenangi calon BN iaitu Sulaiman Razak dan Datuk Mohd Shamsudin Lias, yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu. 

Johor: Pendapatan turun, projek kucar-kacir

Posted: 02 Nov 2012 06:30 AM PDT

Abdul Aziz Mustafa,

(Salahudin bakal bertanding di Johor)


KUALA LUMPUR: Johor bukan sahaja mengalami penurunan pendapatan, malah projek mega di negeri itu pula gagal dan kucar-kacir, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Laporan Ketua Audit Negara menyatakan pendapatan Johor turun 18 peratus pada 2011.

"Itu penurunan pendapatan, sekarang pula projek Hab Petroleum Asia pula kucar-kacir apabila Asia Petroleum Hub Sdn Bhd (APH), dibubarkan," katanya.

Salahuddin juga mempersoalkan status tanah yang menjadi tapak tanah projek tergendala itu dimajukan.

"Adakah tanah itu masih milik kerajaan Johor atau sudah dipindahmilik kepada pihak berkenaan?

"Jika dipindahmilik, berapakah hasil yang diperolehi kerajaan Johor dari tanah tapak tersebut," katanya.

Jika tidak dipindahmilik dan tanah tapak itu masih menjadi milik kerajaan Johor, kata Salahuddin, adakah kerajaan Johor pernah mengambil daya usaha untuk mendapatkan pegangan ke atas projek itu sebelum ini?

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu jua meminta penjelasan kerajaan apakah daya usaha yang diambil untuk memastikan rakyat tidak dibebankan untuk menyelamatkan projek Hab Petroleum Asia itu.

"Biasalah projek kroni Umno, akhirnya rakyat yang akan terpaksa menanggung kos kegagalan mereka," kata Salahuddin.

Baru-baru ini, APH dibubarkan atas perintah mahkamah berikutan petisyen yang difailkan oleh pemberi kreditnya, QI-PMC Sdn Bhd.

Projek Hab Petroleum Asia disifatkan oleh sebahagian pemerhati sebagai skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) kedua apabila gagal disiapkan walaupun kos asal RM1.4 bilion telah dihabiskan.

Berikutan kegagalan untuk menyiapkan projek itu, RM2 bilion lagi ditagih untuk menyiapkan projek hab petroleum di Tanjung Bin, Johor itu.

Selain dibelenggu lebihan kos dan kelewatan, masalah lebih besar dihadapi apabila CIMB Bank Bhd menarik diri selepas menyuntik RM830 juta.

Projek itu sepatutnya siap pada 2009 itu melebihi nilai asal RM1.4 bilion yang dirancang, termasuk kos faedah dan dianggarkan RM2 bilion lagi diperlukan untuk menyelesaikannya.

Tahun lalu, dilaporkan projek itu hanya siap kira-kira 60 peratus.

Yang membela Islam tiga orang Cina

Posted: 02 Nov 2012 06:28 AM PDT

Subky Latif,

HAMPIR menitis air mata menahan sebak melihat yang membela Islam dicerca Dr. Chua Soi Lek dan pemimin MCA ialah orang Cina dipercayai ketiga-tiganya bukan Islam.

Jika yang sensitif apabila Islam dicerca ialah orang Islam, orang PAS dan orang yang beriman, tiada suatu yang luar biasa kerana orang Islam tidak  wajar membisu apabila agamanya dicerca.

Tetapi amat menakjubkan apabila rakan-rakan Cina yang tampil menyifatkan Soi Lek dan  MCA menghina Islam seperti yang disuarakan oleh Anthony Loke, MP DAP Rasah, kolumnis SIANG MALAM di Harakah, Lim Hong Siang dan seorang penulis lagi Sarena Tay.

Pada mereka apa yang cakap oleh Soi Lek dan semua pemimpin MCA dalam perhimpunannya dua hari pada 20 Oktober lalu adalah menghina Islam, hudud dan PAS.

Mereka bukan orang Isalam, bukan beriman dengan hudud dan bukan pejuang PAS. Mereka adalah pembawa berita sebenar dan pembuka mata, sesuai dengan ajaran ilmu kewartawanan iaitu berita adalah maklumat berunsur kejutan seperti anjing digigit orang. Bukanlah berita lagi kalau orang digigit anjing.

Hujah biasa jika yang membela Islam itu orang, kerana adalah tanggungjawab orang beriman membela dan menegakkan  Islam dan hukum-hukumnya. Tetapi ia adalah pembuka mata ada wibawa apabila orang yang tiada kepentingan dengan Islam  dan hudud mengira Islam dan hudud telah dicemuh.

Mereka tidak bercadang untuk mendaulatkan Islam seperti yang PAS perjuangkan dan jaga mahu hudud menjadi perundangan seperti yang dituntut oleh Islam, tetapi mereka tidak melihat bijak dan rasional apabila Islam dan hudud dihina begitu rupa.

Kewajaran mereka berbuat demikian bukan untuk melihat Islam itu daulatkan tetapi tindakan  MCA itu menggamit keserahan di kalangan rakyat dan negara. DAP belajar dari keterlanjuran pemimpinnya Karpal Singh pernah berkata langah mayatnya jika Islam diperundangkan. Ia pernah menimbulkan ketegangan di kalangan orang Islam dan ia menyukarkan DAP untuk menembusi pasaran pengaruh politik.

Kesilapan itu telah dibaiki, Karpal dan DAP tidak lagi dilihat oleh umat Islam di luar UMNO sebagai pencetus ketegangan.

Ketiga Cina itu termasuk ketua pemuda DAP, Anthony Loke mahu mewujudkan suasana negara yang aman, adil dan harmoni, menolak provokasi dan penghinaan terhadap Islam yang lakukan oleh MCA itu.

Lebih menjolok mata Perdana Menteri Najib telah diperalatkan oleh  MCA dalam politiknya untuk menyerang Islam dan hudud itu. Soi Lek menjemput Najib merasmikan perhimpunannya dan lepas itu menggunakan perhimpunan itu untuk menyerang hudud dan PAS. Dengan sendirinya ia menyerang dan menghina Islam.

Syukur orang Islam dapat mengawal sabar dan pendirian tidak bangun menyeru pejabat  MCA dan premis kepunyaan Cina. Tetapi ia telah mengguris perasaan orang Islam. Siapa yang dapat menghalang kalau ada orang Islam yang bangkit bertindak kasar kepada masyarakat Cina.

Walaupun ketiga anak Cina memunyai rasa setiakawan yang tinggi terhadap PAS yang ada pakatan dengan DAP, tetapi tindakan spontan mereka atas kecetekan Soi Lek  dan MCAnya adalah untuk mengelakkan ketegangan berlanjutan antara kaum di negara ini.

Bagi membendung api perkauman yang belum benar-benar padam, Sarena Tay menyeru orang Melayu beramai-ramai menyokong PAS. Jika orang  Melayu tidak lagi dalam UMNO, maka perkauman boleh diredakan. Tidak lagi orang yang hendak menyokong MCA. Jika MCA dapat dilumpuhkan, kuranglah puak yang berani mencerca  Islam.

Malaysia beruntung ada tiga Cina seperti itu dan orng seperti mereka dipercayai ramai.

PRU13: Presiden PAS sedia bertanding di Pekan

Posted: 02 Nov 2012 06:25 AM PDT

Khairul Azlam Mohamad,

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat kejutan apabila menyatakan kesediaannya bertanding di Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau akan mengikut keputusan parti sama ada dikekalkan bertanding di Parlimen Marang atau Pekan, Pahang pada pilihan raya akan datang.

"Saya ikut keputusan parti. Saya serah kepada parti dan partilah yang akan buat keputusan. Parti hendak suruh bertanding Marang ke… atau Pekan, termasuklah, jika parti suruh saya bertanding di Pekan, saya bertanding di Pekan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media sama ada kekal bertanding dua kawasan, Dun dan Parlimen selepas Majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya Umum (PRU13) Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru Rusila, hari ini.

(Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi menerima sumbangan untuk dana pilihan raya Muslimat PAS Terengganu.)

Menurutnya, jawapan muktamad terserah kepada parti yang akan menentukan kawasan yang bakal ditandingi kelak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyatakan kesediaan jentera PAS pada bila-bila masa diadakan pilihan raya kerana persiapan telah dibuat sejak setahun lalu.

"Saya sudah melawat keseluruhan kawasan pilihan raya sejak setahun lalu. Saya buat jadual melawat dan keseluruhannya kerja telah dibuat sejak setahun untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa.

"Bahkan, kebanyakan Dewan Undangan Negeri (Dun) telah membuat culaannya yang terperinci. Ini termasuklah, persediaan jentera pilihan raya secara menyeluruh. Cuma kita menunggu tarikh pilihan raya pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.

Khalid dakwa calon BN dilayan bagai VIP di sekolah

Posted: 02 Nov 2012 06:14 AM PDT

Abdul Rahim Sabri


 
Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mendesak Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan berhubung dakwaan kehadiran individu disyaki bakal calon BN di majlis yang diadakan di sekolah dalam kawasannya.

Khalid mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa individu didakwa bakal calon BN tersebut menghadiri majlis itu "tanpa jemputan dan diberi layanan VIP" oleh pihak sekolah pada minggu lalu.

NONE"Saya minta Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk memberi jawapan sama ada benar atau salah. Saya nak beritahu saya ada gambar-gambarnya," kata Khalid dalam sidang media di pejabatnya petang ini.

Beliau mendakwa, kejadian itu berlaku di dua buah sekolah menengah, melibatkan kehadiran calon BN untuk kerusi DUN dan kerusi parlimen Shah Alam.
 
Sedangkan, pemimpin Pakatan Rakyat tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah walaupun ketika tanah sekolah itu masih belum diserahkan oleh kerajaan negeri kepada kementerian, katanya.

"Bagi pemimpin Pakatan secara rasmi, memang tidak boleh masuk... Tidak sepatutnya berlaku (perkara ini), Umno kena faham tidak semua pentadbiran sekolah sokong mereka.

"Yang tidak menyokong, maklumat sampai dekat kita. Tidak sepatutnya berlaku, tidak manis," katanya.

Khalid berkata beliau akan mendedahkan gambar yang membuktikan perkara itu sekiranya Muhyiddin menafikan kejadian tersebut.

"Kita ada gambar yang disyaki bakal calon Umno itu. Kalau nafi saya nak tunjuk gambar-gambar itu," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Sementara itu, seorang pembantu Khalid, Mohd Jamil Abdul Rahim memberitahu pemberita bahawa majlis berkenaan merupakan "hari restu ibu bapa bagi pelajar yang menghadapi SPM minggu depan."

MP dakwa panggung wayang di Shah Alam 'projek BN'

Posted: 02 Nov 2012 06:10 AM PDT

Abdul Rahim Sabri


Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mendakwa satu projek pembangunan kompleks panggung wayang dengan ruang eksklusif di kawasannya, yang menerima bantahan penduduk setempat, adalah satu "projek BN".

"(Jenis projek seperti) ini merupakan projek yang dijalankan oleh BN, bukan Pakatan Rakyat.

"Jangan kaitkan dengan dengan Pakatan, Umno akan mainkan (ini) bila siap (bahawa) inilah (projek) Pakatan, katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam petang ini.

Beliau mendakwa, syarikat pemaju tersebut dimiliki oleh seorang bekas calon bekas calon BN daripada MIC yang pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2008 di Perak.

NONE"Yang terlibat bukan orang Pakatan," katanya yang berkeras bahawa Pakatan Rakyat tiada kena mengena dengan projek berkenaan.

Beliau juga mendesak Majlis Bandaraya Shah Alam memberi penjelasan rasmi berhubung kelulusan projek berkenaan yang turut melibatkan pembinaan ruang eksklusif itu.

Sedangkan sebelum ini, iklan yang dipaparkan pada pagar bangunan tersebut hanya menjelaskan rancangan untuk membina pusat komersial dan bukannya tempat hiburan, katanya.

"Kita mendesak MBSA jelaskan bagaimana tempat itu diberikan kelulusan (pembinaan). Daripada yang kita tahu, almarhum Sultan Selangor (Sultan Salahudin Abdul Aziz) tidak mahu tempat-tempat sebegitu (di Shah Alam).

Sultan beri perkenan?

"Kita minta penjelasan kenapa, mengapa dan bagaimana pembinaan tempat sedemikian boleh diluluskan," katanya dalam sidang media petang ini.

Khalid yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat mendakwa kebenaran dan kelulusan perancangan pembinaan wayang dan bilik tersebut telah diluluskan tetapi permohonan untuk mendapatkan lesen operasi masih belum dibuat.

NONEKatanya, bahagian perancangan dan pembangunan MBSA telah memberi jawapan lisan bahawa projek berkenaan "mendapat kelulusan istana", namun beliau masih tidak berpuas hati.

"Saya nak jawapan rasmi daripada MBSA... Kenapa tidak ambil kira pandangan penduduk?

"Yang dikatakan betul sultan memberi perkenan, kalau begitu minta dia jelaskan secara rasmi. Kita tidak mahu Pakatan dipersalahkan," katanya.

Tambahnya, sekumpulan hampir 200 orang penduduk berkenaan mengadakan perhimpunan untuk membantah projek tersebut pada pertengahan bulan lalu.

Menurutnya lagi, satu projek yang sama sebelum ini dirancang untuk dibangunkan di i-City, Shah Alam tetapi tidak diluluskan.

NGO: ‘Kami bantah 100 peratus Himpunan Kebangkitan Rakyat esok’

Posted: 02 Nov 2012 05:59 AM PDT

SYAMILAH ZULKIFLI

NGO: 'Kami bantah 100 peratus Himpunan Kebangkitan Rakyat esok'
Sebahagian pemimpin 15 NGO mengadakan bantahan memprotes Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan berlangsung, esok.
 
SEREMBAN – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini bersepakat menghalang penganjuran Program Himpunan Kebangkitan Rakyat di negeri ini jika pihak penganjur tetap berdegil mengadakannya esok.

Semalam, kira-kira 50 orang terdiri daripada 15 NGO berkumpul di hadapan tapak program itu bakal berlangsung di Taman Seremban Jaya sebagai tanda protes selain turut mendesak pihak polis mengambil tindakan.

Pemangku Setiausaha Agung Gabungan NGO Malaysia, Mohd Arafat Muhammad berkata, sekalipun Akta Perhimpunan Aman2012 menyebut sebarang perhimpunan tidak memerlukan permit, namun ia dikhuatiri akan menimbulkan kejadian tidak diingini.

"Kami marah dan geram terhadap penganjuran program itu dan mahu pihak penganjur membatalkannya dengan memilih negeri lain yang berada di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat (PR).

"Jangan menyibuk dan kacau Negeri Sembilan, pergilah negeri sendiri. Kami NGO telah sepakat jika ia terus diadakan, kami akan menghalang dan membantah 100 peratus," katanya.

Menurutnya, tiada apa yang perlu dibangkitkan oleh PR dengan menganjurkan program itu kerana negara ini berada dalam keadaan aman.

Sementara itu Pengerusi Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) Malaysia, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, tujuan bantahan itu dibuat kerana mereka yakin program itu akan menimbulkan huru-hara.

Katanya, keamanan yang dimiliki negara tidak sepatutnya dimusnahkan dengan menjadikannya sebagai bahan politik.

"Penganjuran program ini adalah untuk bahan politik mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Razali berkata, polis diharap dapat bertindak segera dengan mengharamkan program itu diadakan kerana dikhuatiri insiden perhimpunan Bersih akan berlaku di Negeri Sembilan.

"Jadi, kami barisan NGO telah membuat laporan polis pagi tadi (semalam) sebagai tanda bantahan.

"Jika polis tidak bertindak, jangan salahlah NGO jika kami bertindak pada hari program itu berlangsung dan kami tidak bertanggungjawab jika ada berlaku kemalangan atau pertumpahan darah," katanya.

Antara NGO yang hadir, GMPN, Pekida, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rantau, Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) Negeri Sembilan, Pertubuhan Belia, Putera dan Al-Ehsan.

PR tetap anjur Himpunan Kebangkitan Rakyat

Posted: 02 Nov 2012 05:55 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

PR tetap anjur Himpunan Kebangkitan Rakyat
Kepimpinan Pakatan Rakyat menunjukkan risalah Program Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan berlangsung esok.
 
SEREMBAN – Pakatan Rakyat (PR) tetap mengadakan Program Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dijadualkan esok ini di Taman Seremban Jaya kerana ia tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Setiausaha DAP negeri, Cha Kee Chin berkata, pihak penganjur telah memenuhi syarat yang dikehendaki pihak polis dan tidak timbul isu yang mengatakan ia adalah perhimpunan haram atau melanggar akta itu.

 "Pihak sekretariat telah pun menghantar surat makluman kepada pihak polis 10 hari sebelum program itu iaitu 24 Oktober lalu mengikut Seksyen 9 (1) yang mensyaratkan penganjur memberi notis tersebut.

"Jadi bagi saya tidak timbul isu yang mengatakan ini perhimpunan haram atau menyalahi APA," katanya pada sidang media diadakan dekat sini, semalam.

Malah katanya, dalam APA juga tidak disyaratkan sebarang permohonan permit dan sebab itu ia tidak boleh diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram atau menyalahi udang-undang.

Manakala, Setiausaha Pas negeri, Mohamad Hasan Tamby berkata, semua pihak tidak sepatutnya menimbulkan spekulasi berhubung program itu kerana pihak penganjur telah mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, amat dikesali kain rentang dan poster yang digantung di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Paroi sempena program itu diturunkan.

"Saya berharap pihak berwajib dapat bersikap adil dan memberi peluang kepada PR sama seperti Barisan Nasional (BN)," katanya.

Badrulamin: Saya hadir program jemputan Global Ikhwan, bukan Al-Arqam

Posted: 02 Nov 2012 01:58 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE
 
KUALA LUMPUR— Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrulamin Bahron yang turut ditahan dalam serbuan terhadap konsert didakwa cubaan menghidupkan kembali ajaran sesat Al-Arqam hari ini menegaskan hanya hadir sebagai tetamu jemputan syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd, dan bukannya Al-Arqam.

Dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, Badrulamin menjelaskan, keluarganya merupakan pelanggan Global Ikhwan dan pihaknya menerima jemputan untuk menghadiri majlis tersebut secara umum, dan bukannya atas jemputan khusus.

"Jemputan hanya bersifat umum dan tiada jemputan khusus untuk saya ... saya datang bersama isteri dan anak-anak untuk makan sambil menikmati persembahan kesenian Islam dan bersantai.

"Saya diletakkan di meja tamu sebab rasa hormat mereka, dan memang khemah lain tiada meja pun ... ahli jemaah (Global) Ikhwan mengenali saya dan isteri kerana (kami) sering membeli keperluan dapur di pasaraya Ikhwan ... ia menyediakan produk makanan buatan orang Islam," kata Badrulamin kepada The Malaysian Insider.

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini menyebut Badrulamin antara tetamu kehormat sempena sambutan ulang tahun kelahiran pengasas ajaran sesat tersebut, Ashaari Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Abuya.

Akhbar berkenaan turut menyebut serbuan yang dilakukan Jais kira-kira jam 10 malam di Bandar Country Homes, Rawang itu bertemakan "Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib" turut dihadiri kira-kira 3,500 orang.

Jurucakap Jais berkata,"konsert ini didapati melanggar arahan mufti di bawah Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor iaitu membantu menghidupkan Al-Arqam."

Badrulamin turut menafikan sebarang penglibatan dirinya dengan Al-Arqam dan Global Ikhwan, malah menafikan mempunyai sebarang jawatan dalam pertubuhan tersebut.

"Saya langsung tiada kaitan apa-apa dengan organisasi Ikhwan, jauh sekali dari memegang sebarang jawatan.

"Kehadiran saya tidak ada sebarang agenda peribadi mahupun politik," katanya lagi.

Al-Arqam telah diharamkan di negara ini pada 1994.

Selepas kematian pengasasnya pada 2010, pengikut ajaran sesat ini pernah mengadakan konsert selama empat hari dan menggambarkan Abuya bukan meninggal dunia, sebaliknya hanya "ghaib" dan akan kembali dalam masa terdekat.-The Malaysian Insider

AES: Akhirnya Engkau Susah

Posted: 02 Nov 2012 01:39 AM PDT

MSO

Bantahan terhadap perlaksanaan sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tampaknya semakin panas dan meluas. Iya bukan saja dari pihak pembangkang yang peka melihat penguatkuasaan sistem itu sebagai menyusahkan penggunaan, tetapi ia juga dibantah oleh ahli Parlimen BN. Ketua pemuda Umno yang tidak ada diberikan kuasa dan jawatan Khairy Jamaluddin juga membantah dan pelaksanaannya minta ditangguhkan.

Hasil hebahan pembangkang kini rakyat dan orang ramai sudah tahu apakah 'hantu' dan 'momok' di sebalik sistem berkenaan. Pembelian peralatan seperti itu bukan pertama kali ia membazir dan tidak membantu membaikpulihkan keadaan (keselamatan jalan) raya, tetapi sudah banyak sebelum ini.

Jadi buat apa lagi kerajaan berkeras untuk meneruskan juga AES ini. Ia perlu ditangguhkan segera.  Kerajaan tidak perlu menimbangkan apakah penangguhan itu akan menguntungkan parti politik mana tetapi yang penting melihat ia bermanfaat kepada rakyat seluruhnyas.

Sehingga hari ini pihak kerajaan terutamanya menteri bersangkutan, Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha masih membisu. Belum ada apa-apa keputusan. Apakah semuanya hendak tunggu Najib Razak bersuara baru hendak bertindak? Naif sangatlah menteri berkenaan. Dan letihlah Najib kalau semua perkara beliau kena handle sendiri.

Percayalah maruah BN tidak akan jatuh kalau AES ditangguhkan. Bahkan rakyat akan melihat sikap itu sebagai terbuka dan mesra rakyat. Jangan kerana kita hendak dikatakan berprinsip tetapi akhirnya prinsip itu meranapkan diri sendiri. Atau pun kerana bantahan itu dimulai oleh pembangkang maka ia tidak boleh dipatuhi kerana bimbang takut pembangkang mendapat political milage. Bagero sangat kalau berfikiran begitu.

Sebaiknya tangguh buat sementara waktu dan selepas ini kalau BN menang dan menjadi pemerintah teruskan semula. Setidak-tidaknya dalam tempoh lima tahun kerajaan BN boleh mengutip hasilnya dan memerah poket rakyat. Kita pun pasti itu akan berlaku.

Sebaliknya kalau Pakatan Rakyat menang, sistem yang menyusahkan rakyat itu pasti tidak akan diteruskan. Ini memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihaan puak mana yang membantu meringankan bebanan mereka.

Saya nampak AES telah menjadi beban kepada BN. AES akhirnya akan menjadi Akhirnya Engkau Susah. Begitulah kalau memperkenalkan sesuatu sistem atau polisi yang bukan dibuat untuk kepentingan rakyat tetapi kepentingan syarikat dan kroni. Ia bukan saja tidak berkat tetapi bakal menanggung kerugian. Kenapakah pengalaman sebelum ini tidak diambil iktibar... misalnya terbaru projek Lembu Gemuk laki Shahrit Jalil. Haha.

Parlimen Machang Yang Diidamkan Umno

Posted: 02 Nov 2012 01:38 AM PDT

MSO                  

Kerusi parlimen Machang merupakan kerusi kedua yang menjadi sasaran Umno selepas Ketereh. Ada beberapa faktor terkini menjadikan sasaran Umno ini mungkin akan menjadi kenyataan. Tindakan PKR membawa lari Saifuddin Nasution Ismail ke Kedah adalah antara penyebab kenapa kerusi ini seperti lemah dan mudah untuk 'dikeronyok' oleh Umno dalam pilihan raya akan datang.

Kisah Saifuddin dibawa ke Kedah, katanya bakal bertanding di Kulim - Badar Baru ada cerita tersendiri. Begitu juga penganugerahan darjah kebesaran membawa panggilan Dato' kepada Saifuddin adalah diusahakan untuk tujuan itu. Anugerah itu untuk memberi nilai tambah kepadanya.

Yang tentunya kalau tidak ada sebab musabab kenapa Saifuddin perlu mudik ke Kedah. Sebab atau faktor itu pasti yang kurang kondusif. Saifuddin bukan termasuk dalam calon luar yang diberi pandangan oleh sesetengah orang 'penasihat' Pas agar nyah keluar dari Kelantan. Kerusi Machang tidak terlibat kerana ia milik PKR. PKR bebas membuat penentuan terhadap nasib setiausaha agung PKR itu.

Kita 'komakan' dulu cerita kenapa Saifuddin ke Kedah, kita tumpukan apakah masalah-masalah yang boleh membawa keuntungan kepada Umno sehingga Umno menandakan kerusi Machang sebagai kelabu tidak hitam dalam pilihan raya akan datang. Serta mengkaji serba ringkas apakah hasil politik dengki khianat Pas - PKR atau politik tidak ikhlas akan menguntungkan dan merugikan kedua parti itu.

Dalam pilihan raya lalu walaupun Saifuddin menang tetapi undi diterimanya berbeza dengan ketiga-tiga undi (majoriti) di tiga Dun; Kemuning, Temangan dan Pulai Chondong. Saifuddin menerima 1,460 undi manakala majoriti dicampur dengan ketiga-tiga Dun itu yang diterima wakil-wakil Pas sebanyak 3,690 kira-kira 2,230 yang tidak mengundi Saifuddin. Logiknya Saifuddin patut mendapat jumlah yang sama, atau setidak-tidaknya majoriti diraihnya 2,000. Tetapi kenapa berbeza, tentu ada yang tidak kena, dimana ia perlu diberikan perhatian oleh Saifuddin dan PKR selepas itu.

Perbezaan itu sedikit sebanyak menyebabkan Saifuddin khasnya PKR merasa terkedu dan boleh beranggapan Pas tidak sepenuh hati menyokong mereka. Implikasi atau terjemahan dari itu bahawa Pas tidak bulat memberi kerjasama terhadap PKR. Di manakah kesilapan menyebabkan ini berlaku?Ia terjawab kalau semua pihak di Machang ikhlas mencari jawabannya.

Statistik atau perbezaan sebegini sangat mahal dan penting dalam politik untuk dibuat lonjakan dan menjadi penyuntik semangat kepada mana-mana pihak terutamanya lawan. Para penganalisa dan pengkaji dipihak Umno akan membuat tafsiran mudah bahawa perbezaan undi diraih itu menunjukkan tidak ada 'kekompakkan' di anatara Pas dengan PKR. Situasi itu memudahkan untuk mereka menyocok jarum atau menahan lukah di pergentingan. Hal itulah mungkin menjadikan Umno meletakkan parlimen Machang sebagai sasaran.

Kelemahan dan kekurangan ini tampaknya gagal diperbetul dan dibaikpulih oleh Pas amnya dan Saifuddin khasnya sehingga saat menjelang pilihan raya baru. Kelemahan atau pengabaian ini sehingga tidak memberi masa untuk memperkuatkan kedudukan kerusi Parlimen Machang menjelang pilihan raya menjadi kedua pihak bergelabah. Bukan saja Saifuddin terpaksa dimudikkan ke Kedah, Pas sendiri juga mula bergerunyut dengan perkembangan yang ada kini. Sesungguhnya Macahang bukan seperti Pengkalan Chepa atau Kubang Kerian kepada Pas. Machang adalah Machang yang pemilikannya silih berganti.

Bukan senang untuk PKR mempertahankan kerusi itu menerusi calon lain. Apa lagi PKR tidak ada tokoh sehebat Saifuddin untuk diletak di Machang bagi menggantinya.Khabarnya PKR telah memilih beberapa nama untuk diletak bertanding di Machang, ini termasuklah setiausaha peribadi kepada Saifuddin, dan timbalan setiausaha agung yang kini berkhidmat di sebuah agensi di Kelantan. Turut sama diletakkan sebagai calon bekas calon Umno yang pernah bertanding di salah satu Dun di Machang tahun 2004.

Zulkifli Mamat
Ketiga-tiga nama yang ditunjuk Saifuddin agar menggantinya itu dilihat sukar untuk mengekalkan kerusi berkenaan. Hakikat ini disedari sama oleh Pas. Lantaran kesulitan itulah maka timbul 'idea songsang' untuk menukar kerusi Machang dengan Bachok sebagai jalan menyelamatkan kerusi Macahang. Kononya kalau berlaku pertukaran calon yang dikira layak untuk mengambil tempat Saifuddin ialah Yang Dipertua Pas Machang, Zulkefli Mamat yang juga Adun Pulai Chondong.

Zulkefli dikatakan sudah pun mula membuat ground work untuk bertanding di parlimen. Katanya beliau telah mencadangkan satu nama untuk diletak di Pulai Chondong untuk menggantinya. Setiausaha Badan Perhubungan Pas ini merasakan dia lebih selesa untuk kerusi parlimen dari kekal di kerusi Dun kini. Zulkefli juga dikatakan bermasalah di Pulai Chondong.

Bagaimana idea ini tidak menjadi kerana perkiraan ke arah itu tidak dibuat secara halus dan cermat. Kegagalan ini boleh diletakkan kepada para perunding kedua pihak terutamanya PKR tidak begitu bijak dan melupai akan tradisi dan selera politik luar bandar Kelantan. Cadangan untuk meletakkan bekas Ketua Umno Bachok Zaiyadi Awang Noh sebagai calon PKR Bachok bukan sesuatu yang tidak bijak, tetapi separuh cerdik kerana usaha itu dilakukan kurang waspada.

Sebaik idea itu diecerkan orang mulai pertikaikan mengenai Zaiyadi. Bukan beliau tidak berkelayakan untuk menentang Awang Adek Hussein, tetapi statusnya yang masih lagi Umno dikatakan menjadi faktor idea itu tertolak begitu saja. Hajat untuk menarik Zayadi tanpa dia terlebih dahulu mengistyharkan diri keluar Umno dan menyertai mana-mana parti Pakatan Rakyat dilihat sebagai songsang. Sebab itulah saya namakan idea songsang. Orang atas boleh faham mengenai kuntai politik atau understanding politik yang belum sampai standard itu tetapi orang bawahan masih perlu diberikan pencerahan.

Politik bukan senang walaupun ada kalanya yang berlaku tanpa dirancang. Begitu orang melihat bagaimana senang Ibrahim Ali yang tidak ahli Pas boleh bertanding atas tikit Pas. Ia kelihatan mudah, tetapi sebenarnya bukan gampang. Kelicinan kemasukan Ibrahim itu disebabkan ada konsultan yang bijak. Tanpa kebijaksaan dan kuasa mempengaruh pihak-pihak tertentu ia tidak akan terjadi. Bukan bererti apabila Ibrahim boleh bertanding atas tikit Pas dalam statusnya masih huduh dan busuk, maka orang berifkir orang lain juga boleh. Tidak.. ia bukan semudah itu.

Ekoran kegagalan ide berkenaan juga menyebabkan Zaiyadi yang juga sudah mula mengaktifkan diri tertekan dan diejak orang ramai kini. Projek untuk menjual imejnya menerusi program Amanah Merdeka Malaysia (Amanah) yang dirancang sebelum Aidiadha baru-baru ini gagal mencapai matlamatnya. Ini menyebabkan Awanag Adek masih bebas menghembuskan asap cigar di Bachok.

Hari ini kerana kesilapan dan kegagalan formula itu menyebabkan kerusi Parlimen Machang kini bergelora sedikit dan sekiranya tidak dapat dilendik dan dicarikan satu formula lain ia mungkin akan hanyut dalam pilihan raya kelak. Saya tidak nampak kalau PKR yang bertanding tanpa sokongan padu Pas kerusi itu akan kekal. Di sini saya tidak mahu mengemukakan apa-apa idea atau formula, terserah kepada pihak PKR yang bijaksana dalam politik! Kesimpulannya sudah dua kerusi milik PKR akan terkubur!

Bersambung ke siri 4, kita akan memperkatakan kerusi Parlimen Bachok, apakah strategi Pas untuk memastikan Awang Adek tertumus?


Hudud: Utusan jahil terus kelirukan rakyat

Posted: 02 Nov 2012 01:22 AM PDT

Datuk Harun Taib,
 
Utusan masih jahil tentang hukuman hudud yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis. Melalui artikel yang disiarkan dalam akhbar itu yang bertajuk 'Polemik Hukum Hudud PAS' menyerlahkan bagaimana akhbar itu telah digunakan oleh pihak tertentu untuk memburukkan usaha PAS dalam memberikan penjelasan berkenaan hudud.
Dalam artikel tersebut telah mempersoalkan bagaimana terdapat 2 versi Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, kita ingin menegaskan bahawa pengarang tersebut telah hilang fokus dalam perbincangannya, perbezaan versi ini adalah termasuk dalam bab teknikal dan bukannya isu pokok, apa yang kita bahaskan sekarang ialah berkenaan dengan pokok iaitu memberikan penjelasan berkenaan keindahan hukum hudud dan Utusan tidak memainkan peranan ini selaku akhbar milik orang Islam.

Fakta-fakta yang dikemukakan oleh penulis tersebut juga cukup mengelirukan para pembaca, sedangkan apa yang diusahakan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu berdasarkan pandangan para ulamak yang muktabar yang diiktiraf keilmuan mereka, ianya bukan hudud PAS tetapi ianya merupakan hudud yang berdasarkan disiplin ilmu Islam yang berpaksikan Al-Quran dan As-sunnah.

Adapun berkenaan dengan dakwaan bekas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan seperti mana yang dilaporkan dalaman artikel itu bahawa Hukum Hudud yang diperjuangkan PAS tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah dakwaan yang tidak benar dan menyeleweng daripada hakikat yang sebenarnya.

Pengarang artikel juga turut juga sudah tersasar daripada perbincangan ilmiah apabila cuba mengelirukan pembaca dan mencampuradukkan di antara perbincangan berkenaan manifesto dan enakmen.

Berkenaan isu liwat dan umur aqil baligh dalam enakmen tersebut, ianya telahpun dijawab oleh Dewan Ulamak sebelum ini tetapi sebagai manfaat bersama, ulamak tidak keberatan mengulanginya.

Adapun dakwaan Penasihat Agama Menteri Besar Terenganu, Mohd Kamal Saidin yang mempertikaikan umur bagi mukallaf adalah 15 tahun dan bukannya 18 tahun menggambarkan beliau jahil tentang perbahasan para ulamak.

Berkenaan dakwaan bahawa had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum syarak, masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya ianya adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat'ie.

Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah.

Sebagai contoh, kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.

Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau helah dalam perbicaraan di samping ianya merupakan petunjuk kepada tahap baligh dan kematangan atau dikenali sebagai 'sinnu rusyd', itu hanya sebahagian sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah.

Berkenaan dakwaan meliwat isteri yang didakwa oleh seorang ahli parlimen yang seolah-olah dilihat dibenarkan dalam enakmen hudud yang dikemukakan oleh PAS, adalah dakwaan yang melambangkan kejahilan orang yang membangkitkan isu ini.

Liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah. Perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman tetapi ia akan dikenakan hukum takzir.

Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.

Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam pelaksanaan ialah pelaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu yudra'ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.

Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan yang mana pasangan yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri.

Pengarang tersebut tidak sepatutnya membaca sepintas lalu dan terus menjatuhkan hukuman tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal fikiran manusia yang lemah.

Sebelum ini Dewan Ulamak telah memberikan penjelasan berkenaan perkara tersebut secara rasmi. Dakwaan yang menyatakan Ulamak PAS gagal memberikan penjelasan berkenaan dakwaan ahli parlimen tersebut adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.

Isu hukum hudud yang hanya dilaksanakan ke atas orang Islam manakala orang bukan Islam diberikan pilihan, Enakmen kelantan dan Terengganu jelas menerangkan bahawa enakmen ini terpakai kepada orang Islam dan orang bukan Islam secara mutatis mutandis iaitu mereka yang bukan beragama Islam diberikan pilihan untuk memilih samada ingin diadili dengan hukum Islam ataupun memilih untuk dibicarakan mengikut undang-undang mereka.

Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran daripada surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: "Apabila mereka(orang yang bukan Islam) datang kepada kamu untuk diadili, hendaklah kamu adili mereka (dengan Islam) atau biarkan mereka (untuk membuat pilihan), sekiranya mereka enggan ianya tidak memudaratkan kamu, apabila kamu mengadili manusia hendaklah kamu berlaku adil seadil-adilnya".

Ianya jelas berdasarkan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, apabila orang bukan Islam khususnya Yahudi yang datang bertemu Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan kes mereka yang berkaitan hudud, lalu Allah s.w.t memberikan pilihan kepada nabi sama ada mengadili dengan hukum Islam atau sekiranya mereka enggan mereka boleh menyelesaikan pertikaian itu berdasarkan undang-undang mereka sesama di kalangan mereka. Ini nas al-Quran. Al-Quran memberitahu sekiranya kamu mengadili mereka hendaklah berlaku seadil-adilnya. Mazhab Syafie menyatakan adil di sini ialah hukum Islam.

DHPP: PAS beri ruang kaum India bersuara

Posted: 02 Nov 2012 01:18 AM PDT

Mohd Sabri Said,
 
PERMATANG PAUH: PAS tidak pernah menyisihkan kaum India sejak dahulu malah memberikan mereka bersuara melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang diiktiraf duduk sama rata dengan dewan-dewan dalam PAS.
Demikian kata Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man ketika berucap pada majlis sempena sambutan Deepavali 2012 di Pasar Awam, Penanti, Bukit Mertajam semalam.

PAS katanya, memberikan hak bersuara dan kaum lain boleh mengemukakan pandangan untuk mengukuhkan PAS sebagai salah sebuah parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS tetap mementingkan suara dan pandangan kaum India dan lain kaum dalam negara ini.  Justeru itu PAS menubuhkan DHPP supaya kehendak kaum lain juga akan diambil kira dalam pembangunan negara," tegasnya lagi.

Maka, ujarnya menjadi tanggungjawab kaum India untuk meneruskan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana dengan cara itu sahaja dapat menyelamatkan kaum India daripada dianaktirikan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sepertimana janji Pakatan Rakyat sambungnya, kaum India yang miskin tetap dipelihara dengan sistem demokrasi dan menentang individu India yang rakus dan mementingkan diri sendiri.

Jelasnya, apabila PAS berjaya mewujudkan DHPP, Umnolah parti pertama yang bimbang pengaruh mereka merosot sekaligus menyukarkan bertahan di kerusi yang ditandingi calon MIC.

"DHPP memang digeruni oleh Umno maka BN sedang mencari kaedah yang membolehkan perpecahan dalaman dengan mempergunakan individu yang kecewa terhadap kebangkitan PAS," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.

Amrin: Jabatan Audit Negara bebas daripada kuasa politik

Posted: 02 Nov 2012 01:12 AM PDT

 
Bernama


 
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata Jabatan Audit Negara (JAN) merupakan sebuah badan yang bebas daripada kuasa politik dan semua urusan pengauditan dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.
  
Beliau berkata setiap tugasan secara spesifik merujuk kepada tajuk sesuatu projek dan bukan melihat kepada pihak yang melaksanakannya.

"Kita tidak tengok kepada kerajaan 'A' atau kerajaan 'B', kami 'colour blind', setiap negeri atau jabatan yang diaudit disusuli dengan laporan, boleh lihat kepada laporan itu.
  
"Sebab itu, setiap laporan yang dikeluarkan mesti dibaca keseluruhannya kerana ada terdapat pandangan dan pendapat daripada jabatan atau agensi yang diaudit, diakui memang ada terdapat kelemahan tetapi sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan perdana di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia.

Ambrin berkata memandangkan proses pengauditan adalah panjang, pihaknya sudah melakukan persiapan untuk tahun depan, dan apa yang dilakukan ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan urusan pilihan raya.
  
Beliau juga berkata proses pengauditan dilakukan berdasarkan fakta yang  diperoleh sebelum semakan dibuat, dan tugas itu biasanya dilaksanakan sebelum sesuatu projek selesai sepenuhnya.

"Kita tidak tunggu sehingga sesuatu projek itu habis atau selesai baru nak buat audit, kita masuk ketika projek itu sedang dijalankan, niat kita untuk perbetulkan kesilapan yang terdapat dalam pelaksanaan sesuatu projek," katanya.

Selain itu, Ambrin berkata orang ramai yang ingin mengetahui laporan berhubung sesuatu agensi atau jabatan yang diaudit boleh membaca terus di lamanweb jabatan tersebut, dan laporan berkenaan boleh dianggap sebagai saluran maklumat untuk kegunaan mereka.
  
"Menerusi perolehan maklumat itu, orang ramai boleh berperanan dalam usaha mengekang pemborosan, pembaziran dan penyelewengan (3P) sesebuah jabatan atau agensi, seterusnya ia juga boleh digunakan sebagai usaha untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan ekonomi," katanya.
  
Beliau juga berkata status Unit Audit Dalaman (UAD) perlu dimartabat untuk mempertingkat tahap kecemerlangan dan kualiti perkhidmatan sesebuah agensi kerana jika terlalu rendah, ia akan berdepan kesukaran menarik perhatian peringkat pengurusan.- Bernama

Guan Eng bentang belanjawan basmi kemiskinan

Posted: 02 Nov 2012 01:10 AM PDT

Susan Loone


 
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kemiskinan di negeri itu akan dihapuskan menjelang tahun depan – lebih awal daripada sasaran 2015 sebelum ini.
Bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM650 kepada RM770 sebulan, katanya.

NONEKatanya, jumlah itu melebihi paras garis kemiskinan RM763 setiap bulan.

Melalui kaedah itu, kerajaan negeri akan menambah pendapatan setiap isi rumah supaya mencapai had RM770 sebulan, katanya ketika membentangkang belanjawan kerajaan negeri 2013 di Dewan Undangan Negeri.

"Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama yang membasmi kemiskinan menjelang tahun depan," katanya.

Rafizi gesa Nazri ikut jejak Shahrizat ambil 'cuti'

Posted: 02 Nov 2012 01:04 AM PDT

 
Koh Jun Lin


 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz harus mengikut jejak bekas menteri wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang "bercuti" daripada kabinet ketika beliau sedang disiasat berkaitan dakwaan rasuah, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Katanya, ini kerana di kalangan pemimpin Umno dan BN yang banyak mengkritik Shahrizat, yang paling lantang adalah Nazri sendiri.

NONEMenurut Rafizi, sekiranya Nazri yang sebelumnya begitu bimbang
(skandal) National Feedlot Corporation (NFC) akan mengheret dan melemahkan kedudukan Umno dalam pilihan raya akan datang, maka "saya fikir sekarang adalah giliran beliau pula".

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat PKR hari ini, Rafizi berkata beliau akan membuat laporan terhadap Nazri Isnin ini supaya siasatan dapat dimulakan, juga terhadap jutawan balak, Michael Chia yang didakwa memberi kenderaan mewah (SUV) kepada anak Nazri.

PRU tangguh ekoran kes Nazri, Chia dan Musa?

Posted: 02 Nov 2012 12:56 AM PDT

Harakahdaily,


(Lajim kertika diwawancara oleh wartawan Harakah)

KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum agak sukar diadakan dalam waktu terdekat walaupun masih ada desas desus yang mengatakan pilihan raya akan diadakan tahun ini juga.

Ini berikutan tragedi yang mengaitkan rakan perniagaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz iaitu taikun pembalakan Sabah, Michael Chia yang tertangkap dengan wang tunai bernilai RM40 juta di Lapangan Terbang Hong Kong baru-baru ini.

Ketika disiasat, Michael Chia dikatakan memaklumkan itu bukan duit beliau tetapi duit milik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Namun, Nazri ketika memberikan penjelasan di Parlimen berkata, wang itu adalah milik Umno Sabah bukannya milik pribadi Musa Aman.

Ekoran itu, pelbagai pihak tertarik untuk mengetahui apakah cerita di sebalik semua ini.

Semalam Nazri dilaporkan berkata, apa salahnya anak beliau menggunakan kenderaan mewah yang didaftarkan atas nama Michael Chia.

Di samping itu, secara berseloroh, beliau berkata, apa yang berlaku antara Chia dan anaknya tiada kena mengena dengannya kerana anaknya sudah dewasa.

Beliau memberitahu pemberita soal Chia telah memberi sebuah kereta kepada Nedim, perlu dirujuk kepada kedua-dua mereka.

"Itulah antara anak saya dan Michael Chia ... Jika dia mahu beri Hummer atau Ferrari, itulah urusan Michael Chia."

(Pemimpin PKR menunjukkan gambar Hummer berharga lebih RM450, 000 yang didaftar atas nama Chia tetapi digunakan oleh anak Nazri, Nedim. Foto Malaysiakini)

Bagaimanapun, Nazri mengakui mengenali Chia secara peribadi dan pernah ke Dubai bersama dengan Chia, tetapi atas perbelanjaannya sendiri.

Nedim, anak sulong Nazri, didakwa menggunakan sebuah SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin pula dalam wawancaranya dengan Harakah meminta agar SPRM menyiasat semua ini khasnya kekayaan luar biasa Musa Aman.

"Saya tidak nafikan Musa Aman seorang ahli perniagaan yang berjaya, tetapi yang saya persoalkan bagaimana setelah Musa memegang jawatan KM Sabah, bagaimana beliau boleh tambahkan kekayaannya, sedangkan beliau tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam syarikat dan tidak boleh memiliki syarikat sendiri.

"Itu yang menjadi persoalan rakyat sekarang sedangkan mengikut laporan wangnya berjumlah bukan jutaan malahan bilion.

"Jadi pihak berkuasa sepatutnya siasat dan di sini tidak boleh timbul isu pilih kasih," kata Lajim dalam wawancara dengan Harakah itu.

Baca penuh wawancara Lajim dengan Harakah Ahad ini.

Penganjur jamin himpunan esok aman

Posted: 02 Nov 2012 12:54 AM PDT

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Pengarah Kebangsaan Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa pelancaran himpunan itu di Negeri Sembilan esok akan berlangsung dalam keadaan aman.

Bagaimanapun katanya, pihaknya turut mengharapkan kerjasama pihak polis untuk mengawal keselamatan pada himpunan itu esok dari segala provokasi yang tidak diingini.

"Saya jamin ianya akan berlangsung dalam keadaan aman.

"Kita juga harap pihak polis untuk menjaga keselamatan jika ada pihak yang mahu melakukan provokasi untuk mengganggu himpunan tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas soal permit, Timbalan Presiden PAS itu juga berkata, perkara itu tidak timbul kerana program tersebut dibuat di kawasan tanah persendirian dan tidak menyalahi Akta Himpunan Aman 2012 yang baru digubal.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly berkata himpunan yang dijadualkan Sabtu ini itu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan.

Ini kerana borang permohonan dari penganjur tidak dapat diproses ekoran maklumat permohonan yang tidak lengkap seperti yang dikehendaki undang-undang.

Himpunan esok dijadual berlangsung bermula jam 4 petang hingga 12 malam di Taman Seremban Jaya, Seremban.

Kesemua pimpinan utama Pakatan Rakyat dijangka akan hadir pada program itu termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Dedah kaitan Nazri-Chia, Rafizi sedia disaman

Posted: 02 Nov 2012 12:52 AM PDT

Muhamad Faizal,

PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bersedia diambil sebarang tindakanberhubung pendedahannya mengaitkan keluarga Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan  jutawan balak, Michael Chia.

"Saya tidak takut dan kalau Nazri kata itu fitnah, beliau boleh ambil tindakan ke atas saya ataupun saman saya.

"Malah saya tidak pernah berselindung dengan kekebalan parlimen untuk pendedahan ini, kerana saya yakin dan pasti apa yang dilakukan ini adalah betul bukan fitnah," tegas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini.

Chia sebelum ini dilaporkan tertangkap dengan wang tunai bernilai RM40 juta di Lapangan Terbang Hong Kong.

Namun, Nazri ketika memberikan penjelasan di Parlimen berkata, wang itu adalah milik Umno Sabah, sekaligus membersihkan Chia daripada tuduhan rasuah.

"Kalau betul Michael Chia tidak bersalah, beliau perlu kemukakan dokumen bukti terutamanya surat pengesahan dari Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC).

"Kita inginkan bukti dan bukannya hanya sekadar penjelasan di Parlimen, kalau betul dan berani sila kemukakan, saya nak tengok," sambung Rafizi lagi.

Semalam Rafizi mendakwa kenyataan Nazri itu dilihat mempunyai konflik kepentingan.

Katanya, ini kerana anak sulung Nazri, Nedim ada hubungan dalam bentuk kenderaan dengan Chia.

Kenderaan itu ujarnya berupa SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia dan mungkin telah digunakan oleh Nedim.

Sehubungan itu beliau juga akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin depan terhadap Nazri dan juga menuntut siasatan semula terhadap Chia.

Johor sedang dilanda angin perubahan

Posted: 02 Nov 2012 12:50 AM PDT

Zulkifli Sulong,

KHAIRUL Faizi Ahmad Kamil, 39, (gambar) adalah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat. Dalam masa yang sama beliau adalah Yang Dipertua PAS kawasan Kluang, Johor.

Beliau adalah antara tokoh muda PAS yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada politik. Kerja sepenuhnya masanya adalah ahli politik.

Menjadi rutin mingguan Khairul Faizi untuk pulang ke Johor, bersama rakan-rakan dalam PAS dan Pakatan Rakyat di Kluang.

Minggu lalu, ketika penulis turun ke Johor, beliau sibuk menguruskan majlis dialog pemimpin PAS Johor dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di sebuah hotel di Kluang, antara bandar utama di Johor selepas Johor Bahru.

Malamnya, mereka mengadakan ceramah di depan Pejabat PAS Kawasan Kluang. Ia disertai oleh pelbagai pihak termasuk penduduk bukan Islam di bandar Kluang.

Khairul Faizi hanya baru menjadi Yang Dipertua PAS Kluang sessi lalu. Namun beliau sudah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum iaitu tahun 2004 dan 2008. Kedua-duanya beliau kalah di DUN Mahkota dalam parlimen Kluang.

Dalam pilihan raya 2004, beliau hampir hilang wang deposit apabila hanya mendapat 4,107 undi sedangkan lawannya dari Umno mendapat 19,045 undi.

Namun dalam pilihan raya 2008, Khairul Faizi mendapat 9,809 undi iaitu peningkatan 100 peratus manakala lawannya mendapat 17,487 undi.

Dalam pilihan raya akan datang, Khairul Faizi akan bertanding lagi, mencuba untuk kali ketiganya. Walaupun namanya disebut-sebut untuk turut bertanding di peringkat Parlimen, namun beliau tidak berapa berminat.

Dun Mahkota adalah satu satu dari 28 kerusi DUN yang bakal ditandingi oleh PAS dalam pilihan raya umum akan datang di Johor.

Dari segi rankingnya, Mahkota diletak yang kelima selepas Sungai Abong, Maharani (dua DUN yang dimenangi PAS 2008), Puteri Wangsa dan Sungai Balang.

Turut bersama Mahkota adalah Nusajaya, Gambir dan beberapa DUN lagi yang disasarkan oleh PAS Johor untuk menang dalam pilihan raya ini.

Hampir kesemua DUN ini adalah kawasan pengundi campuran antara Melayu, Cina dan India. Daripada 41,000 pengundi DUN Mahkota misalnya, 21,000 darinya Melayu (51.2%), 19,000 (Cina - 46.3% ) dan 2,000 (India - 0.48%).

Minggu lalu, PAS Kluang melancarkan lima lagi cawangannya. Cawangan-cawangan itu adalah Kampung Baru, Taman Ilham, Kampung Abdul Rahman Yassin, Kampung Bentong dan Taman Sri Impian.

"Cara kami bergerak di Johor ini agak berbeza sedikit di mana kami utamakan usaha untuk membantu rakyat dan mendekati mereka. Bila mereka dah dekat baru kami cakap pasal Islam," kata Khairul Faizi kepada penulis.

Dalam pilihan raya umum 2008, pengundi di Johor khasnya pengundi Cina tidak terlibat dengan tsunami politik yang melanda Semenanjung Malaysia. Begitu juga pengundi Sabah dan Sarawak.

Ketika itu orang Johor fikir, negeri itu adalah kubu Umno. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa dengannya. Rutin hidup harian mereka hanya tertumpu kepada mencari makan. Ramai antara mereka pula bekerja di Singapura dan tv yang mereka tonton adalah TV Singapura.

Namun selepas 2008 baru mereka sedar bahawa perubahan boleh berlaku jika mereka mahu. Hasilnya, dalam tinjauan penulis ke Kulai, Kota Tinggi dan Kluang, jelas kelihatan mereka mahukan perubahan.

Majlis-majlis yang dianjurkan oleh PAS, DAP serta PKR mendapat sambutan hangat. Majlis yang dianjurkan PKR di Skudai disertai lebih 5,000 orang, majlis PAS di Kota Tinggi penuh dewan manakala majlis DAP di Kulai penuh sesak dengan tetamu.

Kesemua mereka bercakap soal perubahan yang mereka terlepas dalam pilihan raya 2008 lalu.

"Sekarang kita mahu ke Kota Tinggi, kubu Umno di Johor. Kalau sambutannya bagus dan Cina juga menyertai majlis ini, ia adalah petanda jelas Johor sedang dilanda perubahan," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS yang bakal bertanding di Johor kali ini kepada penulis dalam perjalanan kami ke Kota Tinggi.

Terbukti, Dewan Chun Moi, Kota Tinggi penuh dengan manusia. Separuh darinya adalah Cina.

Dalam pilihan raya ini, PAS Johor mensasarkan 17 kerusi Dun untuk dimenangi dari 28 kerusi yang mereka akan tandingi, termasuk kerusi DUN Mahkota yang bakal ditandingi Khairul Faizi.

"Saya rasa DAP akan menang kesemua kerusi yang ditandinginya iaitu antara 13 - 14 kerusi," kata beliau kepada penulis.

Dengan pilihan raya umum yang hampir tiba, suasana semakin panas di Johor. Penganalisa politik Bridget Welsh berkata, 15 dari 26 kerusi Parlimen di Johor boleh dimenangi oleh Pakatan Rakyat kali ini.

Apakah ini benar dan bakal berlaku? Kita hanya boleh meramalkan berdasarkan tinjauan dan penemuan kita tetapi Allah yang lebih tahu apa sebenarnya yang akan berlaku.

Ketua pembangkang Pulau Pinang digantung enam bulan



Posted: 01 Nov 2012 09:39 PM PDT


GEORGE TOWN — Ketua pembangkang telah digantung hari ini daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang buat kali kedua selepas menuduh Hansard mungkin telah dimanipulasi.

Usul menggantung Datuk Azhar Ibrahim (BN Penaga) telah diluluskan di dewan hari ini selepas Azhar enggan meminta maaf dan menarik balik tuduhannya.

Ketua menteri, Lim Guan Eng (DAP Air Putih) juga  menawarkan satu 'permintaan rayuan' bagi Azhar menarik balik tuduhannya dan meminta maaf sebelum usul tersebut diluluskan.

Azhar walaubagaimanapun enggan meminta maaf dan memberitahu Speaker yang dia berdiri teguh dengan pendiriannya.

Usul menggantung Azhar telah dibentangkan pada bulan Mei lalu oleh Jagdeep Singh Deo (DAP Datuk Keramat) ekoran tuduhannya yang mengatakan laporan bertulis Hansard boleh dimanipulasi.

Azhar mendakwa dewan telah memanipulasi laporan bertulis Hansard yang mengandungi perbahasan antara Lim dengan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) mengenai isu perobohan kuil Sri Muniswaran.

Beliau sebelum ini juga dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa tetapi Azhar enggan menghadiri kesemua tiga sesi pendengaran yang diadakan oleh jawatankuasa tersebut.

Hukuman ini adalah kedua Azhar hadapi selepas digantung sejak berakhir pilihan raya umum 2008.

Pada 2010, beliau juga telah digantung selama enam bulan selepas didakwa membuat kenyataan mengaitkan insiden 13 Mei dan menggesa pasukan keselamatan untuk mengambilalih pemerintahan kerajaan.

Sebaik digantung, Azhar memberitahu sidang akhbar yang penggantungannya ialah satu cara untuk kerajaan negeri Pakatan Rakyat "mengenakan" dia.

"

Ini satu-satunya jalan untuk mereka menghentikan saya dari mendedahkan penipuan mereka dalam dewan negeri," katanya.

Beliau berkata PR bimbang dengan kelantangannya bersuara dalam mendedahkan penipuan kerajaan negeri dan mengkhuatiri kesemua penipuan tersebut akan terbongkar.

"Saya bertegas dengan pendirian saya. Perkataan bertulis adalah satu draf tidak rasmi dan tidak boleh diterima," katanya.

Beliau turut mendakwa penggantungannya membuktikan PR telah menggunakan taktik menakut-nakutkan bagi mengawal orang ramai dan penjawat awam.

"Mereka telah menunjukkan Lim (Guan Eng) ialah 'Raja' jadi jika beliau boleh gantung pemimpin pembangkang, ia bermaksud beliau boleh juga menggantung mana-mana pegawai dalam perkhidmatan awam," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata Dr Hilmi akan ambil alih tempatnya sebagai pemangku pemimpin pembangkang dalam dewan negeri.

Tiada ulasan: