DIALOG RAKYAT |
- Anne pertahan jodoh pemuda Umno
- Sultan Kelantan derma jip dakwah
- Ugut tahan Bourdon tanda BN takut?
- Kenduri: Chong Wei sisih bapa sendiri?
- Musa Aman diheret ke mahkamah apabila Sabah dimenangi Pakatan
- Hadi redha nyawa diambil selepas Pas menang
- Misteri lantai garaj panas
- 23 Cawangan Umno Bachok Menolak Awang Adek?
- P.Pinang Tingkatkan Biasiswa Kecil RM600 dan RM800Setahun
- Jumlah Mangsa Banjir Menurun Kepada 893 Orang
- Cendikiawan Perlu Tentukan Hala Tuju Pendidikan Negara Bila PR Perintah
- Mangsa Banjir Terharu Terima Bantuan Kerajaan Negeri
- Perhimpunan 1 juta orang Pakatan 24 Januari
- 14 usul dilulus termasuk 8 tanpa bahas
- Anwar: Tadbiran Kerajaan Negeri Pakatan lebih bersih
- Shila Amzah: 'AIM19 satu bonus bagi saya'
- Ucapan dasar presiden PAS tidak sentuh hudud
- Wakil bukan Islam puji kesederhanaan PAS
- Lori kempen Barisan Nasional tiru Pakatan Rakyat
- Ulasan edit gambar Rosmah terhangat
Anne pertahan jodoh pemuda Umno Posted: 18 Nov 2012 03:35 PM PST Keputusan singkat untuk menamatkan status jandanya bulan Disember ini selepas putus cinta dengan penyanyi lelaki, Aliff Aziz tidak membuatkan pelakon wanita, Anne Ngasri berfikir itu keputusan yang terburu-buru. Anne yang mengikat tali pertunangan dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan, pada jam 11 pagi, 11 November lalu benar-benar mengejutkan ramai pihak. Walaupun dirinya dikecam kerana mempunyai pengganti dalam masa yang singkat berbanding diri Aliff, Anne pasti dengan keputusan masa depan yang dilakukannya. Malah, kesungguhan yang ditunjuk oleh Mohd Sumali untuk memperisterikannya tidak menggoyahkan lagi keputusan yang dibuat oleh Anne. "Saya tidak menganggap pertunangan dan pernikahan kami kelak sebagai keputusan yang terburu-terburu kerana kami sudah saling mengenali sejak setahun yang lalu. "Bagaimanapun, saya akui terkejut dan terharu apabila dia bersungguh-sungguh mahu memperisterikan saya dan datang bertemu keluarga. Bagi saya kehadirannya dalam hidup saya dan anak-anak, tepat pada waktunya," kata Anne yang dipetik dari laporan Sinar Harian Online. Anne mengerti dirinya dikecam kerana beralih cinta dari lelaki yang muda kepada yang lebih berusia. Bagi Anne, segala ketentuan mengenai jodohnya telah ditetapkan oleh Allah S.W.T dan dia menerimanya dengan hati yang terbuka. "Saya serahkan kepada Allah SWT atas jodoh yang diberikan. Walaupun ada yang cemuh kerana pertunangan ini, saya faham, mereka sayangkan saya dan nak yang terbaik buat saya. "Tapi ini adalah jodoh dan kuasa Allah. Saya harap mereka akan doa yang terbaik buat saya. Namun, di mana istimewanya tunang pada mata saya, akan saya beritahu selepas semuanya selamat kelak," katanya. Ditanya mengenai penerimaan anak-anaknya dengan kehadiran bakal suaminya, Anne jujur mengakui dua orang putera dan puterinya langsung tiada masalah menerima insan baru dalam keluarga mereka. Malah, dia gembira kerana bakal keluarga mertuanya juga tiada masalah menerima dirinya dan anak-anaknya. "Mungkin faktor mereka masih kecil membuatkan mereka tidak ada masalah untuk bersama sesiapa sahaja. "Bagaimanapun, saya amat menitik berat soal anak-anak dan tunang saya juga tidak ada masalah dengan anak-anak saya. Malah keluarga juga merestui hubungan ini, jadi saya rasa amat bersyukur," katanya. | ||
Sultan Kelantan derma jip dakwah Posted: 18 Nov 2012 03:32 PM PST Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V memberi kenderaan pacuan empat roda yang pernah digunanya untuk aktiviti lasak bagi kegunaan dakwah untuk mengembangkan ajaran agama Islam di perkampungan Orang Asli. Penolong Pegawai Dakwah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Ahmad Nordin, berkata, kebenaran menggunakan kenderaan itu menunjukkan keprihatinan baginda ke atas tugas-tugas dakwah. Beliau berkata, kenderaan tersebut memang digunakan sepanjang masa bagi menjelajah ke perkampungan Orang Asli di pedalaman Hulu Kelantan untuk mengajar agama Islam kepada golongan berkenaan. "Saya pada mulanya agak terkejut juga apabila Tuanku panggil pada tahun 2008 dan rasa amat bersyukur sebaik menemuinya diarahkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda itu bagi tugas-tugas dakwah. "Memang saya mengakui perjalanan di setiap perkampungan Orang Asli amat mencabar untuk masalah jalan rosak teruk dan Alhamdulillah setelah menerima kenderaan pacuan empat roda itu semuanya berjalan dengan baik," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Dakwah Orag Asli di Lojing, kelmarin. Menurut Ahmad, baginda sultan juga sentiasa bertanya khabar mengenai tugasnya menjalankan aktiviti dakwah itu kerana tidak mahu segala aktiviti berkenaan terbantut. "Saya tetap dengan tugas yang diamanahkan hingga sekarang ini semakin ramai Orang Asli memeluk agama Islam dan datang belajar di Pusat Latihan Dakwah itu," katanya. Katanya, beliau memuji dengan sikap keterbukaan baginda Sultan yang mengambil berat mengenai perkembangan dakwah membabitkan golongan Orang Asli di kawasan Hulu Kelantan ini. Malah, kata beliau, penggunaan kenderaan itu juga lebih suka dilihat berselut bagi menunjukkan kerja dakwah sentiasa berjalan, tetapi tidak akan dibiarkan begitu sahaja kerana selalu dibersihkan. "Saya jaga kenderaan baginda sultan itu supaya sentiasa dalam keadaan baik dan mengharapkan ia dapat digunakan sepanjang masa walaupun dalam keadaan musim tengkujuh sekarang," | ||
Ugut tahan Bourdon tanda BN takut? Posted: 18 Nov 2012 03:25 PM PST Tindakan kerajaan menghalang dua peguam Perancis ke Malaysia mengukuhkan dakwaan rasuah dalam pembelian Scorpene, kata Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah. "Halangan akan menguatkan persepsi masyarakat dunia bahawa kerajaan Malaysia mengamalkan rasuah (dalam kes Scorpene). Perkara ini mencemarkan imej Malaysia sendiri," "Kalau kerajaan telus, kalau tidak ada rasuah, kenapa takut?," soalnya mengulas jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Kelmarin, Hishamuddin menyatakan peguam terbabit, Wiliam Bourdon dan Joseph Breham akan ditahan jika hadir ke Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan 'keputusan yang dibuat' Mengulas lanjut, Sivarasa menegaskan kes mengenai Scorpene difailkan di Mahkamah Perancis kerana kerajaan enggan menjalankan siasatan. "Sebab itu kita adakan taklimat di parlimen. Bukan sahaja Pakatan Rakyat, malah ahli parlimen BN juga boleh mendengar status siasatan," tambah beliau. Sementara itu ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula hairan dengan alasan kerajaan bahawa taklimat itu kononnya mengancam keselamatan. "Sebelum ini mereka ganggu Suaram. Sekarang halang peguam dengan memperguna jabatan Imigresen dan Polis. Ini dolak dalik mereka yang ketakutan," kata Tian. Sebelum ini, kedua-duap peguam berkenaan dijadual memberi taklimat berhubung kes Scorpene di parlimen pada 22 November ini. Surat jemputan rasmi kepada mereka diserahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 November 2012. Pada Julai 2011, kerajaan bertindak menghantar pulang William Bourdon ketika tiba di KLIA untuk memberi taklimat pada majlis makan malam Suaram di Petaling Jaya. Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin dari Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaannya untuk hadir pada taklimat Scorpene yang dijadual diadakan di Parlimen Khamis depan. "Tiada masalah untuk hadir mendengar taklimat. Sekiranya dijemput dan saya punya masa, apa salahnya, saya akan hadir," katanya ketika dihubungi Keadilan Daily. Menurut Bung Mokhtar, beliau tidak meletakkan sebarang halangan dan sedia menyambut ketibaan peguam dari Perancis itu di Parlimen. "Saya tiada sebarang halangan dan masalah untuk itu," jelasnya. | ||
Kenduri: Chong Wei sisih bapa sendiri? Posted: 18 Nov 2012 03:20 PM PST Dalam negara meraikan perkahwinan wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Datin Wong Mew Choo, bapa pengantin lelaki, Lee Ah Chai , 59 ,dilaporkan telah merajuk di rumahnya di Pulau Pinang. Menurut sumber bapa Chong Wei telah disisih daripada sambutan perkahwinan selama 3 hari bermula pada Jumaat di Kuala Lumpur Convention Centre. "Saya seorang bapa yang sedih, saya akan menonton siaran langsung anak lelaki saya di NTV7 dari rumah" kata beliau. Dipercayai hubungan Lee dan isterinya serta anak-anak bergolak apabila beliau didakwa cuba membunuh diri pada Jun lalu. Meskipun bapanya telah menafikan sekeras-kerasnya berhubung cubaan beliau membunuh diri dengan melompat daripada Jambatan Pulau Pinang sewaktu ditemui oleh polis pada 10 Jun. Sumber terdekat keluarga Lee mendakwa hutang-piutang beliau yang bertimbun telah memusnahkan perhubungan keluarganya. Dalam pada itu, Chong Wei yang tidak gemar membincangkan berhubung rahsia keluarganya, memberitahu Red Carpet bahawa,"Saya bukanlah seorang selebriti, saya seorang yang amat berahsia" Chong Wei serta Mew Choo berkahwin dalam satu majlis minum teh Cina pada Jumaat dengan disaksikan oleh keluarga dan rakan rapat. | ||
Musa Aman diheret ke mahkamah apabila Sabah dimenangi Pakatan Posted: 18 Nov 2012 02:43 AM PST Aliff Fikri SABAH : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan diheret ke mahkamah atas pelbagai kesalahan penyelewengan sebaik saja Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir Sabah, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin. Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat itu berkata, ia bukan mustahil kerana pernah berlaku terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo. "Khir Toyo telah kita heret ke mahkamah walaupun hanya menjatuhi hukuman ringan iaitu penjara setahun tapi ia membuktikan penglibatannya dalam rasuah. "Musa Aman yang bolot hasil kekayaan bersama kroninya, Michael Chia juga akan kita heret," katanya depan lebih 400 penduduk di kampung Sungai Pukul, Pulau Batik, Tawau. Musa Aman sebelum ini didakwa terlibat membersihkan wang haram berjumlah US$90 juta bersamaan RM275 juta, selain dikait dengan skandal wang haram RM40 juta apabila Michael Chia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) di Lapangan Terbang Hong Kong. Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK itu dijadual menjelajah ke seluruh pelusuk Negeri Di Bawah Bayu bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini. Antara pimpinan muda yang ikut serta ialah Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah. Shamsul bimbang rakyat Sabah akan terus menderita jika Umno BN terus dibiar berkuasa dan Musa Aman terus membolat kekayaan negeri. "Ini hanya dapat diatasi jika Pakatan menang untuk angkat martabat rakyat dari terus dihina penyamun bernama Musa Aman," katanya. | ||
Hadi redha nyawa diambil selepas Pas menang Posted: 18 Nov 2012 02:40 AM PST PENGKALAN CHEPA - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau rela sekiranya nyawanya diambil ALLAH selepas parti yang berteraskan Islam itu, yang ditubuhkan lebih enam dekad lalu, berjaya memimpin negara ini. "Minta-minta Tuhan menangkan Islam, lepas itu nak mati-mati lah," kata beliau ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas gesaan Dewan Ulama Pas Pusat termasuk Dewan Muslimat yang mahukan beliau menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui Putraya. Ahli Parlimen Marang ini, yang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu, memimpin Pas sejak 2002 ekoran kematian Datuk Fadzil Noor. Gesaan ini dibangkitkan oleh wakil Dewan Muslimat Pas Pusat, Hairun Nizam Mat Hussain semalam. Bagaimanapun, Abdul Hadi mengucapkan ribuan terima kasih diatas kepercayaan Dewan Ulama untuk melihat beliau menjadi Perdana Menteri tetapi katanya, yang lebih penting Islam perlu menang. Hadi sebelum ini, juga memberitahu beliau sanggup menjadi nelayan semula dan seboleh-bolehnya mahu menjadi khadam rakyat Ahli Parlimen Marang itu memberi contoh sejarah Rasulullah SAW menjawab pertanyaan kabilah Bani Amir yang bertanya siapa yang akan menjadi ketua jika ALLAH menjanji kemenangan pembinaan negara Madinah. "Bila Nabi nak berhijrah ke Madinah, Nabi berjumpa dengan pemimpin kabilah yang bersedia untuk menawar diri mereka dengan Islam... ALLAH menjanjikan kemenangan, (dan) satu kabilah, Bani Amir, Nabi tawar Islam, (kata) ALLAH janji kemenangan, tegak negara kalau berjaya. " Lalu wakil Kabilah bertanya, kalau menang siapa jadi raja, ketua, menteri dan pemimpin. Nabi Muhammad SAW berkata kekuasaan itu milik ALLAH dan Dia beri kepada siapa yang dia kehendaki. Itu jawapan Nabi. Jadi selepas ini, ikut apa yang diajarnya" katanya. Kemudian Hadi dengan nada berseloroh berkata, "Saya tidak mahu menjadi seperti Ustaz Azizan (Abdul Razak), dia tahu saya minat memancing. Saya pergi Kedah, dia ajak saya memancing di laut. Sebelum pergi, beliau minta anak buahnya tumbuk rempah siap-siap nak masak ikan jenahak." "(Tetapi) pergi ke laut dapat ikan belukang. Kita perlu mengikut apa yang diajar oleh Nabi SAW," katanya yang diikuti gelak tawa hadirin di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan. | ||
Posted: 18 Nov 2012 02:37 AM PST SEREMBAN - "Saya dan isteri cuba buat eksperimen dengan menumpahkan air satu jag di atas lantai. Memang mengejutkan kerana lantai itu kering dalam masa beberapa minit sahaja," kata Abdul Rahman Gumpal, 71, yang dibelenggu misteri apabila lantai garaj rumahnya secara tiba-tiba menjadi panas. Menurutnya, kejadian itu hanya disedari berlaku jam 9 malam kelmarin ketika dia dan isterinya pulang ke rumah selepas menunaikan solat di masjid. "Ketika memijak kaki di lantai garaj, saya menyedari ia panas luar biasa. Jadi, saya memanggil isteri untuk memberitahu kejadian itu dan dia juga turut terkejut dengan apa yang berlaku. "Tapi yang menghairankan kesan panas hanya dirasai di satu tempat berhampiran pintu masuk rumah sahaja dan bukannya di keseluruhan kawasan garaj," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. Menurut Abdul Rahman, dia kemudian meminta rakannya untuk mengenal pasti punca kejadian itu kerana berkemungkinan membabitkan kabel di dalam tanah. Bagaimanapun rakannya mencadangkan agar dia menghubungi pihak bomba sahaja bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. "Saya menghubungi Balai Bomba Senawang dan pegawainya datang membuat pemeriksaan. Tapi mereka sendiri berasa pelik dengan kejadian itu dan menyerahkannya kepada Jabatan Mineral dan Geosains negeri untuk siasatan lanjut. "Kejadian ini memang menakutkan saya dan isteri kerana hampir 30 tahun mendiami rumah ini, inilah pertama kali berlaku," katanya. Abdul Rahman yang merupakan pesara tentera berkata, apa yang membimbangkannya ialah kesan panas terbabit mula merebak ke tempat lain. Katanya, dia dan isteri bimbang untuk memijak lantai itu kerana takut ia meletup disebabkan tekanan dalam tanah. "Malam semalam (kelmarin) hanya di kawasan garaj rasa panasnya, tapi sekarang sudah merebak ke bahagian pintu. "Ada rakan saya cakap mungkin buatan sihir, tapi saya tidak fikir macam itu kerana saya tidak mempunyai musuh," katanya. Menurutnya, kejadian pelik seumpama itu bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini air dalam lubang tandas rumahnya secara tiba-tiba 'menggelegak' sehingga mengeluarkan bunyi. Abdul Rahman berkata, kejadian itu berlaku seolah-olah ada tekanan di bawah tanah rumahnya, namun ia kembali normal selepas beberapa jam. "Saya ada membuat bacaan Yasin dan menyiram air ke atas jubin berkenaan namun tetap tidak berkesan. "Jadi sekarang saya dan isteri hanya menunggu Jabatan Mineral dan Geosains negeri datang untuk membuat pemeriksaan. Saya cuma berharap kejadian misteri ini berakhir segera," katanya | ||
23 Cawangan Umno Bachok Menolak Awang Adek? Posted: 18 Nov 2012 02:19 AM PST MSO Agensi berita yang tidak boleh dipercayai melaporkan 50 orang penyokong Pas dalam kawasan Bachok telah menyertai Umno. Upacara penyertaan penyokong Pas itu turut disaksikan oleh 300 orang ramai dan ia diraikan oleh ketua Umno Bachok Awang Adek Hussein. Lapor agendi berkenaan penyokong itu berasal dari kampung Pak Mali, Bakong yang merupakan kubu kuat Pas dan tidak dapat ditemubusi Umno sejak 20 tahun lalu. Awang Adek yakin dengan penyertaan 50 penyokong Pas itu memberi peluang untuk Umno menawan Bachok. Dalam pilihan raya lalu ke empat-empat kerusi di Bachok tiga Dun dan satu parlimen dimenangi oleh Pas. Awang Adek sendiri yang bertanding di dua kerusi parlimen dan Dun Perupok, disumbat dua gol, kalah dikedua-dua kerusi yang ditandingi. Nampaknya Awang Adek begitu gembira atas penghijran 50 penyokong Pas itu. Tetapi apakah jumlah itu sudah mencukupi untuk merampas semua kerusi di Bachok? Rasanya tidak semudah itu kerana Awang Adek memang menghadapi masalah di Bachok. Kalau beliau hendak menang, jangan diharap kepada penghijrahan penyokong Pas itu semata-mata tetapi yang penting memastikan 23 cawangan Umno tetap bersamanya. Ketika ini sebanyak 23 cawangan Umno di Bachok dilaporkan bersiapa sedia untuk tidak menyokong Awang Adek di dalam pilihan raya akan datang. Sekiranya tidak kena cara ke semua 23 cawangan Umno akan dibubarkan dan diganti dengan cawangan parti mewakili Pakatan Rakyat. Sebelum selesa dengan peghijarahan penyokong Pas itu Awang Adek perlu menyelesaiakan apa yang berlaku dalam 23 cawangan Umno itu. Jumlah daripada 23 cawangan itu mungkin suku daripada jumlah pengundi Umno di Bachok. Kalau ini menjadi kenyataan bermakna angan-angan Awang Adek untuk menang di kerusi parlimen Bachok hanya mimpi disiang hari saja. Penentangan terhadap Awang Adek bukan saja dari 23 cawangan Umno tetapi ia juga datang dari beberapa tokoh Umno dan penjawat jawatan politik dilantik Umno seperti Pegawai Penyelia Mukim (PPM). Selain dari itu rakyat Bachok sukar untuk menerima cara timbalan menteri kewangan itu mendekati rakyat kerana lagaknya lebih merupakan pegawai kerajaan daripada pemimpin politik yang sedia untuk sama-sama mengukur kepala atau memecut beruk panjat nyiru dengan rakyat | ||
P.Pinang Tingkatkan Biasiswa Kecil RM600 dan RM800Setahun Posted: 18 Nov 2012 01:51 AM PST SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk menaikkan Bantuan Biasiswa Kecil sebanyak RM120 setahun yang diperuntukkan kepada pelajar miskin di sekolah menengah bagi membantu membiayai pembelajaran mereka. Kenaikan itu menjadikan bantuan meningkat daripada RM 480 kepada RM 600 setahun untuk Tingkatan 1 hingga 3 dan RM 720 kepada RM 840 untuk Tingkatan 4 dan 5. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya menjelaskan, kenaikan itu bertujuan menampung keperluan pembelajaran pelajar miskin untuk membeli buku kerja dan rujukan serta keperluan harian yang kian meningkat kosnya dari tahun ke tahun. Jelasnya lagi, kenaikan itu juga menyebabkan perbelanjaan tahunan Kerajaan Pulau Pinang meningkat kepada RM 2 juta pada 2013. "Demi memastikan kuasa beli dapat dikekalkan bagi pelajar miskin, Kerajaan Negeri mengambil keputusan menaikkan RM 120 setahun atau di antara kenaikan 17% hingga 25%. Pembayaran (bantuan biasiswa) kepada pelajar-pelajar miskin di sekolah menengah adalah paling tinggi di antara semua negeri di Malaysia. "Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) hanya berkemampuan menaikkan bayaran kerana mendapat lebihan Bajet Negeri setiap tahun sejak 2008. Kejayaan Bajet surplus ini dicapai sungguhpun perbelanjaan telah bertambah di bawah PR sebanyak 55% berbanding dengan kerajaan lama. "Ini menyangkal tuduhan liar pihak tertentu bahawa Bajet surplus dicapai hanya kerana Kerajaan Negeri kurangkan perbelanjaan," katanya. Dianggarkan seramai 2,567 pelajar daripada 123 buah sekolah di Pulau Pinang akan menerima manfaat daripada kenaikan Bantuan Biasiswa Kecil Negeri ini. Sebahagian besar dari pelajar tersebut adalah pelajar melayu. Pemilihan penerima adalah diproses melalui sistem komputer dalam talian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berasaskan merit, kedudukan kewangan keluarga dan kegiatan ko-kurikulum. Pejabat Pelajaran Pulau Pinang kemudiannya akan memperakukan senarai nama pelajar yang layak menerima bantuan ini kepada kerajaan negeri untuk kelulusan. Mana-mana keluarga di Pulau Pinang yang (nama anak) tercicir daripada senarai ini boleh menghubungi Pejabat Daerah atau Adun PR berhampiran untuk dipertimbangkan. | ||
Jumlah Mangsa Banjir Menurun Kepada 893 Orang Posted: 18 Nov 2012 01:43 AM PST SHAH ALAM : Jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Selangor setakat pukul 3 petang hari ini menurun kepada 893 orang berbanding seramai 930 orang semalam. Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), mangsa banjir itu ditempatkan Dewan Genting Sanyen, Dewan Orang Ramai Bukit Changgang ,Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Kuala Langat dan Dewan Bukit Tadom, Kuala Langat. Empat pusat pemindahan masih dibuka di negeri itu dan tiada penutupan jalan atau korban banjir dilaporkan setakat ini. Menurut MKN, orang ramai dinasihatkan selepas banjir reda untuk memastikan minum air yang telah dimasak dan mengelakkan daripada meminum air yang telah tercemar. Mereka perlu membasuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir serta makan makanan yang telah dicemari air banjir. Mereka juga perlu melupuskan makanan yang ditinggalkan di dalam bekas atau peti sejuk yang telah dicemari air banjir atau yang telah berbau dan bertukar warna. | ||
Cendikiawan Perlu Tentukan Hala Tuju Pendidikan Negara Bila PR Perintah Posted: 18 Nov 2012 01:42 AM PST SHAH ALAM – Kumpulan pemikir falsafah, cendikiawan dan pendidik akan lebih diberikan ruang dalam memperjelaskan bentuk pendidikan yang lebih mampan untuk diaplikasikan di dalam sistem pendidikan negara selepas Pakatan Rakyat (PR) berjaya mentadbir Putrajaya kelak. Perkara ini ditegaskan oleh Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptama perasmian Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara bertempat di Universiti Selangor (Unisel). Menurut Anwar, dua golongan penting ini perlu diangkat kerana mereka merupakan tunjang penting dalam menyatakan keperluan pendidikan kepada pimpinan politik agar satu mekanisma terbaik dapat dilaksanakan. "Pandangan falsafah dituntut agar pemikir dan pendidik yang mampu memberikan nasihat (pendidikan) kepada orang politik. Itu yang akan kita lakukan," katanya. Menurut Anwar, usaha pendidikan ini perlu dijelaskan dan menjadikan teras akidah agama yang kukuh sebagai prinsip utama dalam usaha pembentukan sahsiah. Katanya lagi, pandangan semua pihak dari pelbagai kaum dan sudut perlu didengar agar setiap tuntutan yang dibangkitkan dapat difahami dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dapat dibuat. Jelasnya lagi, budaya forum dan perbincangan mengenai hal ehwal semasa yang mendatangkan manfaat terutamanya mengenai kupasan dunia luar perlu disuburkan kembali terutama di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT). "Unisel dan Yayasan Selangor perlu buat banyak wacana dalam mengangkat budaya ilmu," ujar Anwar lagi. Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara anjuran Yayasan Selangor bertemakan 'Mereformasikan Pendidikan Negara'. Turut hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki, Naib Canselor Unisel, Professor Dr Anuar Ahmad, Exco Selangor Dr Xavier Jeyakumar serta tiga wakil deligasi Syria. | ||
Mangsa Banjir Terharu Terima Bantuan Kerajaan Negeri Posted: 18 Nov 2012 01:40 AM PST BANTING : Mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini melahirkan kegembiraan terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka. Walaupun tanggungjawab memberi bantuan tersebut seharusnya diusahakan kerajaan persekutuan di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri namun setakat ini tiada usaha drustik dilakukan pihak terbabit. Sehubungan itu kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak turun padang untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada mangsa banjir. Salah seorang penduduk di Kampung RTB, Kartini Lamin, 47, merasakan sumbangan itu amat diperlukan untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga setelah berhadapan bencana banjir terburuk setakat ini. Beliau yang memiliki seorang anak dan kakak kurang upaya (OKU) amat berterima kasih dan bersyukur di atas pemberian Kerajaan Negeri. "Rumah saya mula dinaiki air secara mendadak pada 5 November lalu iaitu ketika pada waktu Subuh. Alhamdulillah, saya dapat selamatkan semua ahli keluarga, namun perabot dan peralatan elektrik musnah semuanya. "Dengan bantuan sebegini, saya benar-benar bersyukur kerana dapat meringankan beban. Terima kasih Menteri Besar," katanya gembira. Berkongsi perasaan sama, Azhar Alias, 47, berkata, beliau terharu atas bantuan yang diberikan, malah katanya ia membuktikan Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat. "Sudah hampir dua minggu saya menetap di pusat penempatan sementara ini dan hanya dibenarkan pulang dua hari lalu. Keadaan rumah memang sangat teruk. Tetapi, saya tetap bersyukur atas bantuan yang diberikan walaupun jumlahnya kecil, tetapi ia tetap meringankan beban kami sekeluarga," katanya. Awal bulan ini menyaksikan sebilangan besar penduduk di daerah Kuala Langat berdepan bencana banjir terburuk yang pernah dicatatkan sepanjang tahun. Justeru itu, Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan sebayak RM500 untuk setiap keluarga bagi meringankan beban yang dihadapi. Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Bencana Daerah Kuala Langat kepada lebih 300 buah keluarga itu diserahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hadir sama, Exco Kebajikan, Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail serta Adun Teluk Datuk, Philip Tan. Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya melalui Jabatan Pengairan Selangor (JPS) akan memperbaiki ban-ban yang rosak serta membersihkan saliran serta parit tersumbat untuk melancarkan aliran air. Semalam, Kerajaan Negeri memaklumkan akan memperuntukkan RM500 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh Selangor ekoran keengganan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10). Perkara ini bakal dibentangkan Menteri Besar pada sesi Dewan Undangan Negeri Selangor yang akan bermula esok. | ||
Perhimpunan 1 juta orang Pakatan 24 Januari Posted: 18 Nov 2012 01:29 AM PST Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semasa berucap di muktamar parti di Kota Baru hari ini. PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan mengadakan pehimpunan besar-besaran membabitkan kira-kira 1 juta orang membabitkan orang politik dan NGO di ibu negara 14 Januari tahun depan. Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semasa berucap di muktamar parti di Kota Baru hari ini. Perhimpunan itu kerana menuntut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan pilihanraya yang adil dan bersih. "Perhimpunan di peringkat negeri juga diadakan. Pada 1 Disember di Johor; Melaka (8 Disember); Pahang (9 Disember); Terengganu (14 Disember); Perak (16 Disember) dan Sabah (24 Disember). "Manakala negeri-negeri lain belum ditetapkan lagi," kata beliau. Bagaimanapun, tempat perhimpunan belum ditetap tetapi membayangkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Nasional atau di tengah-tengahnya. Mohamad menjelaskan pada mulanya, Pakatan Rakyat mahu mengadakan konvensyen tetapi NGO mahu membetulkan kerajaan yang ada dengan mengadakan perhimpunan. "Saya yakin jika perhimpunan itu disertai sejuta orang, kita akan menawan Putrajaya," katanya lagi. Beliau menambah, keputusan mengadakan perhimpunan mega dibuat dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat baru-baru ini. Katanya, beliau sekali lagi dipilih untuk mengetuai perhimpunan tersebut. | ||
14 usul dilulus termasuk 8 tanpa bahas Posted: 18 Nov 2012 01:26 AM PST Dewan Ulamak PAS Pusat membawa usul organisasi agar Majlis Syura Ulamak PAS menubuhkan satu unit audit syariat. PAS ke 58 PETALING JAYA: Sebanyak 14 usul diluluskan oleh muktamar tahunan PAS ke-58 yang diadakan di Kota Baru iaitu enam dengan bahas dan lapan lagi tanpa perbahasan. Enam usul yang dibahas itu adalah, satu usul dari Dewan Ulamak, dua dari pemuda, satu muslimat dan dua PAS Pusat, lapor Harakahdaily. Dewan Ulamak PAS Pusat membawa usul organisasi agar Majlis Syura Ulamak PAS menubuhkan satu unit audit syariat bagi tujuan mengaudit perjalanan badan eksekutif yang terdiri daripada wakil ahli jawatankuasa PAS Pusat, Badan Perhubungan PAS Negeri dan kerajaan negeri yang ditadbir PAS. Pengauditan ini menurut mereka perlu merangkumi semua aspek pentadbiran supaya semuanya memenuhi pematuhan syariat dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat bagi memastikan kualiti kepimpinan kerajaan negeri ditadbir PAS. Usul itu telah dibentang dan dibahas semalam dan telah dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan muktamar. Dewan Pemuda PAS pula membawa usul mendesak kerajaan supaya Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan serta merta bagi mengelakkan pengainayaan kepada rakyat. Usul itu juga mendesak agar kerajaan mewujudkan satu tatacara kelola trafik yang baru berdasarkan kajian dan juga piawaian negara maju yang lebih bersifat mendidik pengguna jalan raya. Satu lagi usul yang dibawa dewan itu adalah usul mendesak kerajaan Malaysia menerima usul tergempar berkaitan Palestin dan Rohingya. Usul tersebut juga menggesa kerajaan melalui OIC, Liga Arab dan PBB mengambil tindakan segera terhadap isu ini. Kerajaan juga digesa menyatakan sikap yang tegas serta menggunakan seluruh mekanisma operasi untuk membantu krisis kemanusiaan yang berlaku di kedua-dua negara ini. Tangguh laksana PBS Kedua-dua usul pemuda tersebut juga telah dibentang dan dibahas semalam dan juga telah diterima sebulat suara para perwakilan. Usul dari Dewan Muslimat PAS Pusat pula bagi mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia menangguhkan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ini kerana perlaksanaan itu masih kabur sehingga menimbulkan tekanan kepada guru yang hampir 80 peratus dari mereka sebenarnya tidak faham. Mereka juga menuntut agar hak yang adil dan sama rata kepada seramai 800,000 pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam PBS ini serta memastikan akses internet 1 Bestari Net yang menggantikan School Net di sekolah diatasi dengan sebaiknya sebelum perlaksanaan dilakukan. Usul tersebut yang dibentang pagi ini juga diterima sebulat suara oleh perwakilan. PAS Pusat pula membawa usul agar memperhebatkan siri penerangan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu melalui semua medium yang ada. Pada masa yang sama, PAS juga perlu meyakinkan pengundi Melayu bahawa PAS mampu menjaga Melayu lebih baik daripada Umno serta menerangkan segala pembohongan Umno. PAS juga perlu menonjolkan kemampuan memerintah dengan memberi contoh Kelantan yang telah diperintah 22 tahun dan Kedah yang telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik walaupun terpaksa menanggung beban hutang RM1.8 bilion peninggalan BN. Kukuhkan JK Bersih Satu lagi usul PAS Pusat adalah agar PAS mengukuhkan sokongan ke atas Jawatankuasa Bersih yang telah mengemukakan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya. Usul terssebut juga mahu PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno BN untuk memenuhi kesemua tuntutan Jawatankuasa Bersih. Pada masa sama, jentera PAS juga perlu terus membongkar penyelewengan Umno melalui daftar pemilih dan terus memberi tekanan kepada SPR untuk membersihkan kesemua daftar undi sebelum PRU-13. Usul yang juga dibentang pagi ini itu juga diterima sebulat suara oleh para perwakilan. Sementara itu, lapan usul yang diterima tanpa bahas adalah usul memperkasa Harakah, usul mengutuk Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang berterusan menghina Islam, serta usul agar Pakatan Rakyat mengutamakan seluas-luasnya aspek pendidikan di dalam pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai. Selain itu, usul-usul agar usaha dakwah terhadap bukan Islam dimaksimakan, usul pembantu rumah tempatan dimartabatkan, usul calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diberi peluang bertanding dalam PRU-13 juga dilulus tanpa bahas. Dua lagi usul juga dilulus tanpa bahas adalah usul menghapuskan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta usul agar diadakan satu himpunan besar-besaran pembabitkan parti-parti dalam Pakatan serta NGO bagi mendesak kerajaan memastikan pilihan raya adil dan saksama. | ||
Anwar: Tadbiran Kerajaan Negeri Pakatan lebih bersih Posted: 17 Nov 2012 04:03 PM PST KOTA BHARU- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno kini sasau apabila sanggup memainkan pelbagai isu termasuk memutar belitkan kenyataan Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar yang didakwa cuba memurtadkan orang Islam. Dakwa beliau, ia jelas apabila parti itu sudah tidak mempunyai perkara untuk dipertahankan selain memfitnah Pakatan Rakyat (PR). "Umno kini sasau, meroyan dan nyanyuk serta 'gedebe', sekejap itu, sekejap ini, sebabnya mereka tidak ada benda yang hendak dipertahankan, yang mana kalau umat dan rakyat ini termakan dengan fitnah ini, itu petanda punah- ranah negara ini. "Kalau rakyat sudah termakan fitnah, padahnya punah ranahlah negara kita. Kita perlu selamatkan negara kita, umat dan negeri Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang, dengan menjatuhkan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, kelmarin. Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, selain 40,000 penyokong termasuk badan bukan kerajaan (NGO). Dalam masa sama, Anwar yang juga Ketua Umum PKR menafikan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang akan muflis jika ditadbir PR, sebaliknya lebih membangun. "Kalau ikut negeri dan pembangunan, negeri Pakatan Rakyat lebih membangun. Bersih lagi pentadbiran kita, itu semua boleh baca dalam laporan Ketua Audit Negara," katanya. Tegasnya, dakwaan itu tidak benar kerana sebelum ini jumlah hutang negeri Kelantan yang banyak ditinggalkan Umno dibayar oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat. "Dan terkini berlakunya lebihan pendapatan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM2.4 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM2 bilion kerana dipimpin oleh Pakatan Rakyat," katanya. Anwar berkata, rakyat kini menunjukkan sokongan terhadap janji yang ditawarkan Pakatan Rakyat termasuk termasuk pendidikan percuma, mengembalikan royalti kepada negeri yang berhak dan menurunkan cukai eksais sebanyak 20 peratus, sekiranya pakatan itu berjaya menawan Putrajaya. Mengulas ucapan Abdul Hadi yang sebelum itu menekankan soal etika, sistem nilai dan tatakelola kerajaan, Anwar yakin Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya sekalipun pilihan raya umum diadakan pada Disember atau Januari tahun depan. Sementara itu, Abdul Hadi turut meyakinkan rakyat mengenai kemampuan PR untuk mentadbir negara dengan adil, amanah dan bersih jika diberi mandat mentadbir Putrajaya selepas pilihan raya umum akan datang. "Kalau ada rasuah, tolong tangkap, ambil tindakan. Kami tidak mahu pemimpin kerajaan yang rasuah...harta negara dan pentadbiran adalah amanah dan Allah melaknat orang yang mengamalkan rasuah, di negara lain pemimpin yang melakukan kesilapan akan dipecat, kita bila lagi, pecat kerajaan yang ada, gantikan dengan kami, Pakatan Rakyat. Kita laksana pentadbiran yang baik," katanya. Ahli Parlimen Marang itu, turut mengulangi keyakinan PR akan berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum nanti dan menguasai Putrajaya berdasarkan kesepakatan bersama. | ||
Shila Amzah: 'AIM19 satu bonus bagi saya' Posted: 17 Nov 2012 04:01 PM PST LAGU Patah Seribu nyanyian Shila Amzah malam tadi dinobatkan sebagai Lagu Terbaik edisi ke-19 Anugerah Industri Muzik (AIM). Mengulas mengenai kejayaan itu, Shila, nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 22, berkongsi bahawa dia tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan dunia muzik meskipun terpaksa menunggu hampir 12 tahun sebelum bergelar juara. "Jadi, saya sangat bersyukur kerana pengiktirafan malam ini merupakan satu bonus, syukur alhamdulillah," jelasnya. Shila juga tidak menafikan keluarganya adalah tulang belakang kepada kejayaannya yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk terus berjaya dalam dunia seni seperti bapanya, umpama pepatah Melayu "ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi." "Saya berterima kasih kepada pihak RIM dan AIM kerana memberi peluang kepada saya kerana untuk menjadi sebahagian daripada keluarga AIM merupakan satu perkara yang besar ibarat artis barat memenangi Grammy Awards, jadi AIM ini ibarat Grammy kita, kalau bukan kita yang beri sokongan kepada AIM, siapa lagikan?" tambah Shila. "Kekuatan lagu Patah Seribu sebenarnya saya meletakkan sepenuh jiwa raga saya ketika saya menulis lagu itu selama 20 minit di atas lantai dalam bilik saya, yang pada masa itu perasaan saya dalam patah seribu, cuma saya tidaklah menulis tentang kisah saya sendiri, tapi Patah Seribu itu diillustrasikan daripada pemikiran saya bagaimana hancurnya hati seseorang itu. "Mungkin juga lagu itu atas kekecewaan saya sendiri, sebab saya menulis lagu itu dengan sepenuh cinta hati saya terhadap bidang musik," jelasnya lagi. Anak kepada penyanyi tersohor negara, N.D. Lala itu menyifatkan kejayaannya itu sebagai detik bersejarah dalam hidupnya kerana belenggu yang ditanggung selama ini sejak bergelar penyanyi kecil seawal 10 tahun usianya kini tiada lagi malah tidak usahanya selama ini tidak sia-sia. "Mungkin dulu tidak bersedia lagi tidak seperti hari ini, tak pernah sedih pun tak menang sebelum ini. "Bagi saya bukannya mengubati kekecewaan lepas... ini adalah asam garam seorang anak seni yang penting bersabar, berdoa dan terus berusaha untuk berjaya," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di akhir AIM19 di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi. Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan kejayaannya dalam AIM19, beliau berkata, "sudah tentu belum berpuas hati." "... sebab apabila sampai peringkat ini, sudah tentu mahu mencari banyak lagi kemenangan, anugerah lagu baik peringkat tempatan mahupun antarabangsa," katanya. Sambil berkata tiada rahsia di sebalik kemenangan kali ini, Shila menambah, berkat usaha yang berterusan dengan memantapkan vokal dan mendengar lagu artis lain seperti Nora, Jaclyn Victor, Misha Omar dan Datuk Siti Nurhaliza, akhirnya membuahkan hasil. "Lagu-lagu mereka memang susah untuk dinyanyikan, masa saya kecil lagu-lagu merekalah menjadi makanan untuk mengasah vokal saya, mempelajari banyak lenggok-lenggok dan sebagainya kerana mereka jugalah saya di sini sebenarnya. "(Selama) 12 tahun penantian... sebab saya mula menyanyi sejak umur saya 10 tahun, dan pada usia itu, saya dah ada album sendiri dan saya tak pernah dapat apa-apa pengiktirafan tapi saya tak pernah berputus asa dengan apa yang lakukan sebab saya meletakkan seluruh kecintaan seni saya terhadap karya-karya saya," kata beliau. Anugerah Industri Muzik ke-19 yang dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan rakan penyiaran Astro Ria malam tadi mempertandingkan 16 kategori. Antaranya anugerah Lagu Hip Hop Terbaik dimenangi oleh Jamal Abdillah & Malique/ Malique/ Tripdizs (Aku Maafkan Kamu), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik - Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Lin Li Zhen (Counting Days), Artis Baru Terbaik - Mojo (Andai Kau Bercinta Lagi), Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu - Forteen (Seperti Dulu), Video Muzik Terbaik - Yuna/ Quek Shio Chuan (Sparkle), Lagu Pop Terbaik - Shila Amzah (Patah Seribu), Lagu Rock Terbaik - Azlan & The Typewriter/ Audi Mock/ Dark (Idola), Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara - Nirwana Band (Sudah Cukup Sudah), Kulit Album Terbaik - Mizz Nina/ Even Odds Sdn Bhd (Take Over), Rakaman Album Terbaik - Nora/ Rahman Ayob (Hikmah), Susunan Muzik Terbaik di dalam Lagu - Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito (Counting Days), Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki) - Jamal Abdillah (Bahagia Sementara), Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) - Jaclyn Victor (Counting Days), Album Terbaik - Salam Musik/ Salam (Salam Musik), Lagu Pop Etnik Terbaik – Noraniza Idris/ Edrie Hashim/ Ahmad Fedtri Yahya (Kuasa Cinta) dan Lagu Nasyid Terbaik – Nora/ Gjie 6ixth Sense/ Lukhman S (Doa). Selain itu, dua anugerah khas turut diberikan kepada artis tempatan di atas pencapaian luar biasa mereka dalam dunia seni suara iaitu Anugerah Kembara dinobatkan kepada artis Mizz Nina menerusi albumnya Take Over dan Anugerah Sri Wirama diberikan kepada Kumpulan Alleycats yang memperjuangkan lagu pop. | ||
Ucapan dasar presiden PAS tidak sentuh hudud Posted: 17 Nov 2012 03:56 PM PST Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyentuh langsung perjuangan parti itu untuk melaksanakan hukum hudud dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di Kota Bharu semalam. Berucap di hadapan 1,116 orang perwakilan selama kira-kira dua jam, beliau lebih menumpukan kepada persiapan PAS untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) dan penubuhan negara berkebajikan. Turut hadir pada muktamar itu ialah Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw. Ini dilihat tidak selari dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib kelmarin, bahawa pakatan pembangkang secara umumnya bersetuju hukum hudud akan dilaksanakan sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU13. Harun dilaporkan berkata sekiranya PAS mendapat majoriti dalam Parlimen, undang-undang berkaitan hukum Hudud akan dibentangkan dan sekiranya mendapat sokongan serta diluluskan, ia akan menjadi undang-undang negara. Semalam, Pengerusi DAP Karpal Singh menegaskan kedudukan parti itu mengenai isu Hudud tidak boleh dikaitkan dengan sebarang kompromi dan ia adalah dasar kepada kewujudan parti itu. Sementara itu, semasa berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam tadi, Abdul Hadi juga tidak menyentuh langsung mengenai hukum Hudud. Turut hadir pada majlis itu ialah Nik Abdul Aziz, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang yang juga Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Bernama | ||
Wakil bukan Islam puji kesederhanaan PAS Posted: 17 Nov 2012 03:46 PM PST MUKTAMAR PAS Seorang wakil bukan Islam di Muktamar PAS ke-58 hari ini memuji kesederhanaan PAS, dan menolak dakwaan BN bahawa parti itu sebagai ekstremis. Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) K Deepakaran berkata stigma terhadap PAS itu perlahan-lahan terhakis sejak pilihan raya umum 2008. "Sebelum 2008 apa yang terjadi, apa pandangan tentang PAS daripada masyarakat lain, terutamanya India dan Tiong hua. "Kamu nak masuk masuk PAS ke?... Kalau kamu sokong, kamu kena peluk agama Islam, macam-macam lagi...kena potong (bersunat) itu," katanya disambut gelak ketawa perwakilan "Kalau kamu sokong PAS, tiada tempat ibadat untuk Hindu dan Tiong hua. Apa jadi sekarang? Yang Berhormat kita, sampailah tok guru, sampai pemimpin sekarang tak ada masalah boleh masuk kuil, duduk satu meja bincang. Kenapa? (Kerana) kita sudah ditarbiyahkan," katanya yang sekali lagi mencuit para hadirin. | ||
Lori kempen Barisan Nasional tiru Pakatan Rakyat Posted: 17 Nov 2012 03:29 PM PST
JIKA benar gambar ini, nampak sangat Barisan Nasional hanya dipenuhi dengan pimpinan yang berotak kosong. Tiada idea, hanya pandai cakap bergegar-gegar, tapi tak mampu menghasilkan idea yang baik. Mana tidaknya, sampaikan strategi kempen untuk pilihanraya pun mereka terpaksa meniru daripada Pakatan Rakyat. Lihat gambar di bawah, Pakatan Rakyat khususnya Anwar Ibrahim guna lori, treler dan bas untuk kempen pilihanraya melalui program Jelajah Merdeka Rakyat mereka pun nak juga. Mereka gunakan lori aiskrim sebagai pentas ceramah kah kah kah... Ini menunjukkan pimpinan Pakatan Rakyat maju ke hadapan, energetik dan fresh. Memiliki idea-idea yang bernas untuk membangunkan negara. Sedangkan pimpinan BN hanya pandai bercakap dan meniru idea orang lain. Tidak hairanlah bila idea-idea bernas seperti mansuhkan tol, pendidikan percuma, turunkan harga kereta dan lain-lain diusulkan kepada pemimpin Barisan Nasional, maka jawapan yang biasa kita dengar adalah "Negara akan bangkrap" ReJaM© "Pemimpin tak ada idea sebenarnya yang akan bangkrapkan negara... " | ||
Ulasan edit gambar Rosmah terhangat Posted: 17 Nov 2012 03:24 PM PST
KUALA LUMPUR: Ulasan blog http://jalanpulang1978.blogspot.com mengenai sekeping gambar edit isteri perdana menteri, Rosmah Mansor yang terselit di antara pasangan pengantin badminton negara, Lee Chong Wei dengan isterinya Wong Mew Choo merupakan artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-46. Di tangga kedua ialah laporan blog http://jalanpulang1978.blogspot.com mempersoalkan mengenai publisiti meluas yang diperoleh isteri perdana menteri setaraf suaminya sendiri. Berita muktamar Dewan Muslimat menjadi gamat seketika apabila ucapan Perwakilan Beruas Norasyikin Hashim dengan tiba-tiba menyebut nama 'Rosmah' dalam perbahasannya menduduki tempat ketiga. Di tangga keempat ialah berita komentar Ketua Penerangan PAS Perak, Ahmad Nuri Al-Amin mengenai nasib empat Adun Bebas di Perak yang berjaya menumbangkan kerajaan negeri Pakatan sebelum ini yang umpama habis madu sepah dibuang. Di tangga kelima ialah ulasan blog http://omakkau.blogspot.com yang membuktikan Johor bukan lagi kubu kuat Umno dan kejatuhan Umno bukan lagi perkara mustahil. Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 11 November hingga 17 November, 2012. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan