Isnin, 12 November 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Anwar sebagai simbol perubahan- Pak Samad

Posted: 12 Nov 2012 01:18 AM PST

Oleh: Aliff Fikri

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbol perubahan negara yang selama ini diperintah oleh kelompok 'bangsawan'.

"Anwar adalah sebagai unsur berubah. Saya kata, lihat dunia kuasa kita selama lebih 55 tahun, berterusan di tangan kelompok bangsawan.

"Andaian bahawa saya ini menentang raja- saya kata, bangsawan ini di bawah sedikit dari raja, bukan di atas.

"Jadi Kelompok bangsawan inilah sebenarnya telah dipelihara oleh penjajah, ataupun kuasa luar untuk menjaga kepentingan mereka," kata Pak Samad ketika pertemuan dengan Kumpulan Kartunis Independen (KKI) baru-baru ini.

Sasterawan berusia 77 tahun itu berkata, tidak pernah dalam sejarah negara, perdana menteri muncul dari kalangan rakyat biasa.

"Saya jelaskan deretan orang yang berkuasa macam Tunku Abdul Rahman- bangsawan, Tun Razak -bangsawan, Tun Hussein- bangsawan, Mahathir – walaupun pada mula tidak bangsawan tapi akhirnya dia bangsawan juga, Abdullah Badawi – 'agamawan bangsawan', (dan) Najib…

"Tidakkah terfikir mengapa tidak pernah ada watak wira dari bawah," katanya yang lebih mesra dengan panggilan pak Samad.

Sasterawan yang terkenal dengan Novel Salina ini berkata, golongan bangsawan yang memerintah kini terus-menerus memanipulasi kuasa termasuk mengawal media dan institusi keselamatan.

"Akhbar semua haknya, polis tidak bertindak sebagai penjaga keselamatan (tapi) nampaknya bertindak sebagai penjaga tuannya, tidak untuk rakyat, itu yang saya bantah," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Bersama Bersih 2.0 itu berkata, perjuangan menuntut pilihan raya adil dan bersih mendapat liputan meluas media antarabangsa dan media alternatif tempatan.

"Baru-baru ini (Pengerusi Bersama Bersih) S Ambiga telah ditemuramah oleh CNN. Saya juga telah ditemurah oleh beberapa media antarabangsa, seperti media dari Germany, Italy, Thailand serta yang terakhir oleh media tempatan.

"Ini merupakan penerobosan yang luar biasa, maksudnya dunia memberi perhatian dengan apa yang berlaku,"

"Walaupun media utama dalam negara sama sekali tidak melayan dan sering menggambarkan seolah-olah Bersih itu tidak berkesan, kami tidak rungsing sangat soal itu kerana apa yang lebih penting adalah interaksi kami dengan umum," katanya.

Mangsa banjir di Selangor meningkat, Perak dan Melaka kekal

Posted: 12 Nov 2012 01:17 AM PST

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 1,327 orang berbanding malam tadi 1,273 orang, manakala di negeri Melaka dan Perak kekal dengan masing-masing 90 dan 22 orang mangsa banjir.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), jumlah mangsa banjir di Johor berkurangan daripada 160 kepada 120 orang setakat pukul 9.52 pagi ini.

Di Selangor, sebanyak 340 keluarga terlibat dengan tujuh pusat pemindahan dibuka iaitu empat di Kuala Langat dan tiga di Sepang, manakala di Melaka, hanya satu pusat pemindahan dibuka iaitu di Jasin yang menempatkan 19 keluarga.

Di Johor, sebanyak 29 keluarga terlibat dengan dua pusat pemindahan dibuka di Batu Pahat, manakala di Perak lima keluarga terlibat dengan satu pusat pemindahan dibuka di Manjung.

Sementara itu, menurut portal Jabatan Saliran dan Pengairan, paras air di dua sungai utama di Selangor iaitu Sungai Langat di Bukit Changgang dan Sungai Selangor di Kuala Badong telah melebihi paras amaran dan orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut diminta berjaga-jaga. - Bernama

Amukan puting beliung di Kuala Sungai Baru

Posted: 12 Nov 2012 01:15 AM PST

NORIZZAH BAHARUDIN

Keadaan rumah penduduk setelah dilanda puting beliung.
Keadaan rumah penduduk setelah dilanda puting beliung.
 
Ital melihat jika ada barang yang masih boleh digunakan.
Ital melihat jika ada barang yang masih boleh digunakan.
 
ALOR GAJAH - Sebanyak 33 rumah rosak termasuk lapan daripadanya kritikal selepas dilanda putaran angin puting beliung yang muncul dari laut di pantai Telok Gong, Kuala Sungai Baru, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, seorang warga emas, Hasan Olok, 70, meninggal dunia akibat terkena tempias angin puting beliung manakala dua lagi penduduk cedera terkena serpihan objek kayu zink yang runtuh.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telok Gong, Mohd Ali Hanafiah Jamat berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menikmati sarapan bersama keluarga sebelum dikejutkan bunyi angin kuat dan seperti objek disedut sesuatu.

"Keluar saja dari rumah saya lihat banyak kediaman penduduk sudah musnah, terutamanya di bahagian bumbung. Air hujan mula membanjiri rumah sementara penduduk berada di luar dalam hujan lebat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Katanya lagi, dalam kejadian itu, seramai 165 penduduk termasuk bayi dari 33 rumah berkenaan ditempatkan di balai raya dan sekolah berdekatan untuk sementara waktu selain disediakan keperluan makanan dan minuman sehingga satu tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bantuan sumbangan akan dilakukan dengan segera bagi membantu keluarga mangsa puting beliung ini terutama keperluan makanan harian berikutan kerosakan bahagian dapur.

"Tinjauan yang dibuat mendapati hampir kesemua rumah penduduk yang menjadi mangsa puting beliung mengalami kerosakan teruk di bahagian dapur,  selain lapan rumah yang mengalami kerosakan kritikal apabila keseluruhan sudut rumah musnah.

"Keluarga mangsa akan menerima sumbangan dari RM1,000 hingga RM3,000 bagi membaik pulih serba sedikit kerosakan yang berlaku selain perbelanjaan awal selepas hampir semua barangan termasuk pakaian habis musnah diterbangkan puting beliung.

"Keseluruhan kerugian dianggarkan lebih RM150,000 dan untuk sementara waktu ini keluarga mangsa akan di tempatkan di balai raya, namun ada antara mangsa kejadian yang memilih untuk tumpang di rumah saudara," katanya yang turut berada di lokasi kejadian, pagi semalam.

Tambahnya, kerja-kerja menyelamat dan merawat serta pendawaian elektrik dibantu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dan sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah serta anggota dari Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Turut meninjau keadaan, Pegawai Pejabat Daerah Alor Gajah, Datuk Idrus Md Jani; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Ar Ismail Othman; Pegawai Pertahanan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Leftenan Muda Hamdan Saad dan Ketua cawangan trafik Alor Gajah, Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani.

Sekeluarga kepung bayi

Seorang bayi lelaki berusia 14 hari bersama ibunya yang masih dalam pantang sempat diselamatkan oleh anggota keluarga daripada disambar puting beliung.

Ketika kejadian, bayi berkenaan, Muhammad Farhan Adha Mohd Hirudin bersama ibunya, Nurshafikah Aimi Abdullah, 23, berada dalam bilik sebelum terdengar bunyi angin kuat luar biasa.

Datuk bayi terbabit, Mohd Lassim Bedol, 56, berkata, dia dan ahli keluarga lain sedang sibuk mengemas rumah.

"Kami terdengar deruan angin kuat disusuli bunyi seperti lori menurun pasir.

"Salah seorang anak kami beritahu yang puting beliung sedang membadai lantas kami sekeluarga berhenti mengemas rumah dan segera menerpa ke arah cucu yang sedang tidur dalam bilik hadapan rumah bersama menantu," katanya.

Mohd Lassim berkata, dalam keadaan panik itu, mereka sekeluarga bertindak mengelilingi dan mengepung bayi itu kerana bimbang tercedera sekiranya terkena tempias puting beliung.

"Bunyi angin meranapkan atap rumah penduduk jiran berdekatan kedengaran jelas namun kami sekeluarga langsung tidak berganjak dan terus mengepung melindungi cucu yang sedang tidur lena hinggalah keadaan kembali reda.

"Bila keluar dari bilik, saya lihat habis atap zink rumah tercabut diterbangkan puting beliung sementara menantu terus bangun mendakap cucu dan bawa masuk ke dalam kereta yang turut rosak dihempap zink," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia meminta menantunya membawa cucu ke rumah saudara bersebelahan untuk berlindung kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

"Kejadian berlaku sekelip mata dan kami hanya mampu berdoa. Tak sampai tiga minit habis semua barang dalam rumah musnah disambar puting beliung.

"Dalam hati kami sekeluarga hanya terfikir untuk selamatkan cucu," katanya.

Sementara itu, Nurshafikah Aimi berkata, dia bersyukur kerana anak keduanya itu berjaya diselamatkan tanpa tercedera walau sedikit pun.

"Mujur bayi tidak apa-apa, menangis juga tidak semasa siling runtuh dengan hujan lebat. Syukur semua ahli keluarga selamat dan situasi berdepan detik cemas dalam pantang ini ternyata memberi satu kenangan buat saya," katanya.

Seorang penduduk, Abd Rahim Abd Wahab, 42, yang menyaksikan sendiri angin puting beliung berkata, "sayamelihat air laut berpusar dengan asap tebal. Kemudian pusaran itu menuju ke rumah penduduk."

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi ketika dia berada berhampiran pantai.

"Ada dua budak dalam usia 7 dan 8 tahun sedang leka memancing pada masa itu.

"Saya jerit pada mereka supaya segera pulang sambil berlari menyelamatkan diri dan berselindung di sebalik tembok rumah penduduk lain," katanya yang sempat menyaksikan bagaimana puting beliung itu bergerak ke arah sebatang pokok besar kemudian menyedut atap zink rumah penduduk di sekitarnya.

"Bunyi angin menderu sangat kuat hingga menggegarkan rumah berdekatan dan saya lihat banyak perkakasan rumah penduduk berterbangan dalam putaran angin puting beliung itu diikuti hujan lebat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Salah seorang penduduk, Nurshafiza Ital, 21, berkata, ketika kejadian, dia berada dalam bilik bersama suaminya, Mohd Hafizul Arshad, 27, sebelum terdengar bunyi angin kuat.

"Saya terus keluar dari bilik dan panik melihat putaran angin puting beliung yang semakin menghampiri rumah kami selepas meranapkan rumah jiran.

"Saya berlari ke dapur dan menarik tangan ibu sebelum suami meminta berlindung di bawah singki," katanya.
Nurshafiza berkata, dia, ibu dan suaminya bersembunyi di bawah singki dengan berlindungkan mesin basuh bagi mengelak tempias puting beliung.

"Kurang 10 saat, kami terdengar bunyi runtuhan kayu dari atap dan zink rumah dan berlaku gegaran seperti gempa bumi. Syukur ayah saya pulang dan membawa kami semua masuk ke dalam kereta," katanya yang terpaksa berlindung di bawah singki hampir setengah jam sebelum ayahnya pulang.

Seorang lagi penduduk, Nurazira Abu Samah, 24, berkata, ketika kejadian dia sedang mendukung bayinya yang berusia 18 bulan.

"Dalam hujan lebat itu, saya kendong bayi dan berlari ke rumah jiran. Saya dapati mereka lima beranak sedang berpelukan di tepi dinding rumah dalam keadaan ketakutan. Di sana saya hubungi saudara datang untuk tolong selamatkan bayi yang  kesejukan," katanya.

Fitnah Umno tak gugat Izzah pertahan kerusi Lembah Pantai

Posted: 12 Nov 2012 01:12 AM PST

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar dipercayai mampu pertahan kerusi Parlimen Lembah Pantai dan sokongan rakyat terhadapnya tidak pernah tergugat walaupun dilanda kontroversi akibat putar belit media Umno.



Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lembah Pantai, Abdullah Izhar Mohd Yusof berkata, hasil tinjauan kawasan itu mendapati rakyat tetap menyokong penuh kepimpinan Nurul Izzah.

"Dengan isu ini, rakyat faham apa yang berlaku. Mereka jelas dengan pendirian Nurul Izzah dan tahu kenyataannya sengaja diputar belit.

"Media Umno memang sengaja mahu pesongkan pemikiran rakyat dengan memberi tafsiran salah berhubung kenyataannya melibatkan surah al-Baqarah dengan Perlembagaan Negara," katanya ketika dihubungi.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, yang berminat untuk bertanding di Lembah Pantai menuduh kenyataan Nurul Izzah dalam isu kebebasan beragama membuktikan pembangkang hanya pentingkan undi dan tidak ikhlas berjuang untuk rakyat.

Nong Chik berkata, tindakan Nurul Izzah yang kononnya mahu mendapat undi rakyat dan memuaskan hati hadirin semasa forum tersebut menyebabkan beliau terperangkap dengan kata-katanya.

"Nong Chik sengaja ambil kesempatan, tapi beliau sendiri tidak sedar Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menghina hukum hudud. Mana pendirian Umno BN dalam isu ini?

"Umno sengaja mahu panaskan isu ini kerana nak alih pandangan rakyat akibat kenyataan Soi Lek yang mereka diamkan walaupun secara terang hina hukum Islam," katanya.

Tambah Abdullah Izhar, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan kerana Nurul Izzah sudah menyerahkannya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Apa pun sekarang, kita tunggu sahaja laporannya siap. Pihak lain jangan sibuk nak hakimi isu, sedangkan laporannya belum dikeluarkan lagi," ujarnya.

Pada pilihan raya umum lalu, Nurul Izzah membuat kejutan apabila menewaskan Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi menawan kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Kini, ada ura-ura kerusi itu bakal ditandingi Raja Nong Chik sekalipun terpalit dengan isu rampasan tanah Kampung Baru dan skandal anaknya yang mendapat tender kontrak berbilion ringgit.

Pas tak mimpi bersama Umno

Posted: 12 Nov 2012 01:10 AM PST

NURULFATIHA MUAH

Dr Abd Rani Osman

SHAH ALAM – Pas Selangor tidak pernah bermimpi untuk kembali semula dalam komponen parti disertai Umno pada masa akan datang, selaras dengan pendirian Pas Pusat.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman berkata, ini kerana, sejarah kerjasama antara Pas dan Umno pada masa lalu membuatkan parti Islam itu lebih berhati-hati dalam memilih rakan komponen yang mempunyai persamaan prinsip dengan mereka.

Beliau mendakwa, Umno dilihat bersifat lebih 'kemelayuan' dan kurang menitik beratkan soal agama terutama dalam kes ketirisan di kalangan pemimpinnya.

"Ahli akademik boleh beri pendapat mereka (kemukakan cadangan kerjasama Pas dan Umno diwujudkan) kerana dia hanya duduk dalam sebuah institusi (sebagai pemerhati). Tapi pemimpin dan ahli Pas yang merasai sendiri, lebih tahu apa makna perjuangan mereka.

"Ibarat orang masuk stadium, pemerhati boleh bercakap apa saja. Tapi sebagai pemain, dia sendiri yang akan rasa (perjuangan) 'go to the ground'," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malayisa (UIAM), Prof Madya Dr Yusof Muhammad supaya kerjasama Pas dan Umno diwujudkan demi Islam dan orang Melayu.

Kenyataan itu dibuat Yusof dalam Wacana Kembalikan Pas ke Landasan Asal, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), di Kuala Lumpur, seperti disiarkan Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Abd Rani turut mempersoalkan dakwaan dilemparkan pihak tertentu bahawa Pas bukan parti dominan dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Apa perkara yang dikatakan kita (Pas) tak dominan? Saya beri contoh, peruntukan bagi sekolah agama di Selangor banyak diberikan kepada sekolah agama rakyat (SAR), berbanding dengan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT)," katanya.

Mengenai dakwaan Pas bermasalah akibat pengemudi dalam parti itu sendiri, Abd Rani menegaskan perkara itu tidak berlaku kerana ahli Pas semuanya terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya golongan ulama, tabligh dan profesional.

"Bila duduk dalam Pas, kita kenalah ikut acuan (dasar dan perjuangan) Pas. Kalau tak ikut dan mendatangkan kemudaratan kepada parti, Majlis Syura akan ambil tindakan. Mereka boleh dipecat kalau cuba bawa hala tuju parti ke tempat lain," katanya.

Budaya 'politik samseng': Pasti ada hikmah, kata Wan Azizah

Posted: 12 Nov 2012 01:09 AM PST

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail 
 
KUALA LUMPUR - Pemimpin mana-mana parti dan rakyat di negara ini seharusnya sudah mencapai tahap kematangan dalam berpolitik dan bukannya terjerumus ke kancah politik ganas hanya semata-mata mahu meraih keuntungan dalam arena berkenaan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebagai sebuah negara demokrasi yang sudah mengecapi kemerdekaan puluhan tahun lamanya, politik ganas yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini hanya meletakkan negara di kedudukan terkebelakang dalam pemikiran.

"Jika mahu politik ganas yang baling batu, baling cat, serang peribadi dan pelbagai lagi, maka politik ini hanya memundurkan pemikiran negara.

"Negara kita juga meletakkan Islam sebagai agama rasmi, jadi politik ganas ini bukanlah cara kita dan budaya Melayu,"katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian.

PKR antara parti yang berhadapan dengan budaya politik 'samseng' apabila bas yang dilancarkan parti itu bagi menggerakkan Jelajah Merdeka Rakyat diserang dan disimbah cat.

Bas yang turut membawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disimbah dengan cat merah dan cerminnya dipecahkan ketika siri kempen parti itu di Kelantan.

Malah perkara sama turut berlaku di Melaka.

Jelajah Merdeka Rakyat ke seluruh Semenanjung ini dikatakan bertujuan untuk mendekati dan menyampaikan mesej kepada rakyat agar memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk mengubah Kerajaan Pusat.

PKR sebelum ini mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh 'samseng upahan'.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dalam berkempen, parti itu menganggapnya "sebagai ujian kepada kami dan ada hikmahnya."

"Di bas jelajah kami, selepas pertama kali terkena cat, kami bersihkan, tetapi selepas kali kedua berlaku, kami tidak bersihkan. Kami cuma bersihkan di bahagian pemandu sahaja kerana tidak mahu halang pemanduan. Kami jadikan kesan cat ini sebagai perhiasan,"katanya.

Menurut isteri kepada Ketua Umum PKR itu lagi, bagi mengelakkan budaya politik ganas daripada terus menular di negara ini, parti itu menasihati penyokongnya supaya "jika ada provokasi, jangan lawan balik, biarkan sahaja kerana apa pun berlaku, kami sering didakwa yang memulakan provokasi,"tambah beliau lagi.

Pakatan jaga masyarakat India termasuk lain2 kaum – Anwar

Posted: 12 Nov 2012 01:08 AM PST

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat India di negara ini tidak akan diabaikan jika Pakatan Rakyat (Pakatan) berpeluang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke 13.

Beliau berkata, kaum India yang sebelum ini seringkali diabai Kerajaan Umno BN akan diberi perhatian sama-rata termasuk kaum-kaum lain yang menjadi penduduk di negara ini.

Katanya, contoh terbaik yang ditunjukkan adalah Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang memberikan peruntukan berjumlah RM4 juta setiap tahun kepada semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri itu.



"Jika 50 tahun dahulu, SJKT tidak pernah menerima bantuan khusus bagi pembangunan sekolah, kerajaan negeri sekarang beri tiap-tiap tahun RM4 juta untuk semua SJKT di Selangor," kata Ketua Umum KEADILAN itu sempena lawatannya ke tapak Pesta Deepavali di Jalan Kelana, Klang, Sabtu lalu.

Turut hadir Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu menggesa semua rakyat menanamkan keyakinan kepada Pakatan bagi melaksanakan dasarnya yang terbukti demi kepentingan rakyat.

"Macam-macam kita sudah dengar, daripada mansuhkan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), turunkan harga kereta dan pelbagai lagi dasar yang akan dilaksanakan Pakatan jika memerintah Putrajaya.

"Saya tidak mahu lagi gaduh-gaduh soal kaum, kita akan jaga semua kaum dan rakyat di negara ini," kata dipetik Media Selangorku.

Saham FGVH jatuh, Isa Samad didesak letak jawatan

Posted: 12 Nov 2012 01:06 AM PST

Oleh Ridzuan Shamsudin

KUALA LUMPUR : Saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) merosot ke paras paling rendah sejak disenaraikan pada 28 Jun lalu.



Saham itu didagangkan pada harga penutup RM4.60 pada 9 November, hanya 5 sen lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM4.55 sesaham.

Pagi ini, saham FGVH terus merosot ketika diniagakan pada pukul 10.46 di paras terendah RM4.53 sebelum kembali naik pada sesi penutup tengah hari.

Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN, Rebim Birham mendakwa kejatuhan saham FGVH telah dijangka sejak awal berdasarkan penyenaraian yang tidak telus serta menggunakan secara 'paksa' tanah-tanah peneroka sebagai modal.

"Pihak pelabur melihat penyenaraian FGVH ini lebih kepada tindakan politik dan bertujuan meraih untung jangka pendek untuk individu atau golongan tertentu. Pihak yang berkepentingan menjual saham sebaik sahaja harga naik.

"Oleh itu, pelabur jangka panjang enggan terus melabur atau menambah pelaburan. Pelabur antarabangsa yang dijangka akan masuk pula tidak berminat apabila mendapati senario politik tidak lagi menyebelahi BN.
"Bagi menyekat kejatuhan berterusan ini, kita desak Pengerusi Felda Isa Samad yang bertanggungjawab ke atas penyenaraian meletak jawatan segera agar tempatnya boleh diisi oleh orang lain yang lebih berkelayakan," kata Rebin ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman pula berkata kepada Harakah Daily, kejatuhan berterusan saham FGVH menambah penderitaan peneroka yang sebelum itu telah diperdaya membeli saham tersebut.

"Jika harga saham RM4.78 pun dikira peneroka sudah rugi setelah ditolak interest dan bayaran kepada bank. Kalau harga hari ini RM4.61 bermakna ia sudah jauh jatuh, sudah negatif," katanya.

Tambahnya, apabila rugi pemegang saham tidak dapat menjual saham, akhirnya mereka bukan menikmati durian runtuh tetapi menghadapi malapetaka.

Wan Azizah: Saya dengar nasihat, bukan boneka Anwar

Posted: 12 Nov 2012 12:58 AM PST

MAZLINDA MOHD NOR, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
Foto: MIZAN MAT TAMIN


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
 
Mukadimah

SEBAGAI  isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memikul tanggungjawab yang amat besar dan berat.

Sejak zaman reformasi 14 tahun lalu, beliau telah menjadi simbol ketabahan golongan wanita Malaysia. Ikuti wawancara dengan Presiden PKR ini bersama MAZLINDA MOHD NOR, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN dan jurugambar MIZAN MAT TAMIN di pejabatnya baru-baru ini.

Sertai politik keputusan paling mencabar

WAN AZIZAH: Apakah fokus Datin Seri pada PRU13 akan datang?

Semua orang mengetahui, PRU13 amat dekat. Kita juga tahu dalam tempoh enam bulan ini, kita perlu mempergiatkan kempen-kempen seiring dengan pihak lawan dan fokus utama saya adalah mahu mendekati golongan wanita.

Saya ingin mendekati golongan wanita kerana ramai daripada golongan ini tidak berkesempatan turun mendengar ceramah-ceramah Pakatan Rakyat (PR) kerana program kita sering diadakan selepas Isyak.

Apakah pengisian dalam program Datin Seri ini nanti?

Perkara utama yang saya mahukan adalah bersemuka dan tiada jurang antara semua golongan wanita. Saya mahu semua wanita bermesra selain mahu menjelaskan perkara sebenar berkenaan isu-isu yang melanda negara kita pada hari ini.

Melalui kajian kami,  wanita adalah kelompok terbanyak yang tidak menerima maklumat daripada sebelah PR kerana kebanyakannya hanya mendapat maklumat daripada  media arus perdana yang lebih cenderung menyokong kerajaan yang memerintah.

Mampukan PR mencapai kejayaan besar pada PRU13 nanti?

WAN AZIZAH:  Untuk ramalan saya tidak berani berkata kerana kami bertanding dalam padang yang tidak sekata. Tetapi selepas gerak kerja yang dilakukan selama ini, Insya-ALLAH saya mahukan kemenangan berpihak kepada PR kerana perubahan itu sudah jelas kelihatan.

Selain itu, segala yang dilakukan kami adalah untuk masa depan negara. Selepas 55 tahun negara ini diperintah Barisan Nasional (BN), sekarang adalah masa terbaik untuk berubah bagi membawa negara ini dan rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya juga mahu rakyat menyedari perjuangan PR mahu pentadbiran negara lebih telus, kesamarataan kepada seluruh rakyat. Saya juga mahu kekayaan negara diagihkan kepada seluruh rakyat supaya semuanya mendapat manfaat daripada limpahan kekayaan negara, bukannya disekat oleh sekelompok manusia sahaja.

Jika perkara ini boleh dilakukan, nescaya rakyat kita akan berbangga dan sentiasa merasakan kitalah rakyat Malaysia.

Bagaimana pula cadangan untuk rakyat Sabah dan Sarawak?

WAN AZIZAH:  Alhamdulillah kita dikurniakan dengan petroleum. Ada banyak negara tiada sumber alam yang amat berharga ini. Sebagai contoh di Sabah, negeri ini sebenarnya adalah sebuah negeri yang amat kaya dengan sumber alam, tetapi peliknya Sabah adalah negeri yang termiskin di negara kita. Kenapa perkara ini boleh berlaku?

Jadi sejak kemasukan dua negeri ini ke dalam Persekutuan Malaysia, adakah kesilapan pentadbiran atau kesilapan manusia?

Untuk kempen PRU13 ini, PR dilihat mencipta pelbagai poster dan ia mirip kepada parti yang bertanding di Turki, apa komen Datuk Seri?

WAN AZIZAH: Jika berkata meniru, tidak. Tetapi kami ada ceduk idea dari seluruh dunia. Jika kami merasakan ada idea yang bernas dan baik, apa salahnya kami mencuba pendekatan itu.Sebagai contoh PKR menggunakan bas dalam jelajah parti seluruh negara, itu sebenarnya adalah idea baru. Jika perkara yang dilakukan kita berjaya menarik minat lebih ramai rakyat, jadi tiada salahnya ia digunakan sebagai bahan kempen selagi ia dibenarkan oleh undang-undang.

Selain itu, kami mengambil pendekatan kempen yang berbeza daripada BN seperti kempen maki hamun dan menyerang peribadi lawan. Kami bawa kempen apakah polisi yang akan dibawa PR sekiranya ditakdirkan menang dan menawan Putrajaya nanti, itu yang kita ketengahkan.

Saya pernah terfikir, contohnya seperti kereta, kenapa cermin depan besar dan cermin sisinya kecik, kerana kita mahukan masa depan, untuk belakang, kita cuma perhatikan untuk pengajaran supaya kita tidak lakukan kesalahan yang sama berulang.

Sejak akhir-akhir, terlalu banyak politik ganas dilaporkan, apakah komen Datuk Seri dalam perkara ini?

WAN AZIZAH: Sepatutnya sebagai sebuah negara demokrasi, kita semua mahukan politik yang sihat, dan bersaing dalam keadaan elok untuk sama-sama memberi sumbangan kepada negara. Sepatutnya parti-parti politik ini sudah menerima konsep berbincang, berdiskusi bagi mencari idea terbaik untuk rakyat memilih.

Jika mahu politik ganas yang baling batu, baling cat, serang peribadi dan pelbagai lagi, maka politik ini hanya memundurkan pemikiran negara. Negara kita juga meletakkan Islam sebagai agama rasmi, jadi politik ganas ini bukanlah cara kita dan budaya Melayu.

Saya juga melihat politik ganas ini sebagai ujian kepada kami dan ada hikmahnya. Di bas jelajah kami, selepas pertama kali terkena cat, kami bersihkan, tetapi selepas kali kedua berlaku, kami tidak bersihkan. Kami cuma bersihkan di bahagian pemandu sahaja kerana tidak mahu halang pemanduan. Kami jadikan kesan cat ini sebagai perhiasan.

Apakah inisiatif  PKR dalam menghadapi politik ganas seperti ini menjelang PRU13?

Kami akan terus menegur dan sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah melindungi pemimpin kami. Bagi kawasan-kawasan yang agak berbahaya sedikit, kami akan meminta jasa baik anggota polis dan Rela bagi membantu kami. Selain itu, kami juga sering berpesan kepada penyokong, jika ada provokasi, jangan lawan balik, biarkan sahaja kerana apa pun berlaku, kami sering didakwa yang memulakan provokasi.

Persediaan Datuk Seri menjelang PRU13?

WAN AZIZAH:  Kami cuba yang terbaik, tetapi kami tetap ada pelbagai halangan. Sebagai contoh, diri saya sendiri, saya melompat dalam dunia politik tanpa persediaan langsung sebenarnya. Tetapi setelah beberapa lama dalam politik, insya-ALLAH saya sudah bersedia.

Walaupun tidak sepenuhnya, namun kami percaya boleh beri tentangan sengit kepada pihak lawan.

Ada yang berkata PKR ditubuhkan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebenarnya Anwar hanyalah satu simbol. Anwar itu adalah simbol ketidakadilan.

Apa yang diperjuangkan adalah demi rakyat dan mahukan masa depan dengan yang lebih baik. Bermula dengan  badan bukan kerajaan (NGO), PKR yang bernama Keadilan pada ketika itu diubah menjadi parti politik.

Pada waktu itu, terdapat banyak parti lain yang lebih kukuh, seperti Umno dan Pas yang menaungi keseluruhan orang Melayu. Pas dengan asas-asas Islam dan Umno ada juga Islamnya tetapi lebih kepada asas keMelayuan dan ketuanannya. Selain itu ada MCA, MIC dan DAP serta parti-parti lain.

Jadi apa yang PKR buat adalah cuba gabungkan semua. Alhamdulillah PKR berjaya dan membawa perubahan landskap politik yang besar kepada negara.

Bagaimana pula dengan pemimpin asal PKR yang mula-mula sekali berjuang, tetapi pada hari ini ramai antara mereka sudah keluar dari PKR, kenapa perkara ini berlaku?

Bagi saya ia adalah soal perjuangan, dalam Pas, dalam Umno juga berlaku perkara ini. Dalam Umno contohnya Datuk Onn Jaafar, walaupun kalau kita pergi ke PWTC, kita akan lihat gambar beliau terpampang kerana pengasas Umno, namun beliau keluar dari Umno dan mewujudkan Parti Negara. Begitu juga dalam Pas, bekas Presidennya, Tan Sri Mohd Asri Muda juga keluar dari parti itu.

Oleh itu, mereka keluar ini kerana ada perbezaan-perbezaan yang berlaku dan ia adalah proses yang sering berlaku di mana-mana sahaja. Perkara yang lepas, kita kata sudah lepas.

Datuk Seri sudah tentukan akan bertanding di kerusi mana?

WAN AZIZAH:  Saya hanya layak bertanding di peringkat Dun, kerana saya digantung bertanding di Parlimen untuk lima tahun kerana saya meletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh. Untuk berkata bertanding atau tidak itu, ia akan diputuskan oleh parti. Buat masa ini, saya mahu fokuskan kepada gerak kerja dan kempen parti.

Bagaimana pula dengan khabar angin yang mengatakan seorang lagi anak Datuk Seri iaitu Nurul Nuha Anwar yang akan bertanding?

WAN AZIZAH:  Nuha sebenarnya telah dicalonkan oleh salah satu cabang, sebab itu timbul khabar angin ini. Namun Nuha sudah berumah tangga dan baru mempunyai anak yang kecil, jadi saya rasa Nuha akan tumpukan perhatian kepada anaknya buat masa ini.

Jika benar Nuha akan bertanding pada PRU13, membuktikan amalan nepotisme dalam PKR. Apa komen Datuk Seri?

WAN AZIZAH: Perkara ini adalah 'kalau' dan hanya satu andaian. Ia tidak benar sama sekali. Pada pilihan raya umum lalu, Nurul Izzah Anwar bertanding di Parlimen Lembah Pantai adalah satu tugas yang amat sukar, kawasan itu diwakili oleh Menteri dan diketahui adalah kubu kuat Umno pada asalnya. Alhamdulillah Izzah menang. Izzah menang kerana kredibilitinya sendiri, jadi beliau memang layak.

Begitu juga dengan saya, pada pilihan raya umum tahun 2004 lalu, hanya saya seorang sahaja wakil PKR dalam Dewan Rakyat. Alhamdulillah tahun 2008 PR dapat satu loncatan besar.


Ada juga pihak yang menuduh Datuk Seri sebagai boneka Anwar. Benarkah tuduhan itu?

WAN AZIZAH: Mulut manusia akan berkata bermacam-macam. Saya juga boleh persoalkan adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah boneka Tun Dr Mahathir Mohamad? Saya sebagai presiden parti walaupun ada mendengar nasihat daripada Anwar, maka itu bukannya satu kesalahan. Anwar jelas mempunyai banyak pengalaman dalam dunia politik.

Apakah keputusan yang paling mencabar sejak Datuk Seri menyertai dunia politik?

WAN AZIZAH:  Keputusan yang paling mencabar bagi saya adalah sama ada mahu bertanding ataupun tidak di Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1999. PKR baru wujud dan bertapak pada ketika itu. Saya bukannya orang politik, saya sekadar seorang doktor di hospital. Jadi keputusan ini amat mencabar sekali bagi saya, lagipun pada ketika itu anak-anak saya masih kecil lagi. Izzah baru 17 tahun.

Saya gigihkan juga kerana suami berada dalam penjara dan penyokong benar-benar mahukan saya memimpin parti baru ini. Ramai yang berkata jika bukan saya maka susah untuk PKR ketika itu mara ke depan, mungkin mereka melihat saya membawa nama isteri kepada Anwar Ibrahim. Selain itu rakan-rakan dalam Pas dan PRM juga memberi sokongan kepada saya. Selain Permatang Pauh, ada juga yang minta saya bertanding di Kubang Pasu tempat Dr Mahathir. Tetapi akhirnya saya memilih untuk bertanding di Permatang Pauh.


Sekarang keluarga Datuk Seri diserang lagi, bagaimana Datuk Seri menangani perkara ini?

WAN AZIZAH:  Serangan ke atas keluarga saya tidak berhenti, sejak dari dulu lagi sehinggalah sekarang. Pelbagai tuduhan dibuat ke atas kami terutamanya ke atas Anwar. Kami sudah lali dengan tuduhan dan serangan-serangan begini. Kami cuma boleh minta bantuan ALLAH dan minta kami boleh atasinya.


Pernahkah terdetik kekesalan dalam hati Datuk Seri kerana terlibat dalam politik?

WAN AZIZAH:  Tidak, kerana inilah jalan yang saya dan keluarga pilih. Segalanya ada hikmah, jadi saya tidak pernah menyesal jalan yang saya pilih ini. Setiap kali saya sembahyang, saya minta supaya jangan ada sifat kesal dalam diri ini.

Kita mesti bersyukur kerana segalanya adalah ujian daripada-Nya untuk tingkatkan lagi keimanan kita. Selain itu kesabaran juga amat penting.

  Jika tidak menyertai politik, apakah yang dilakukan dan kehidupan yang dimahukan Datuk Seri sekarang?


WAN AZIZAH: Jika tidak dalam politik, saya mahu lakukan amal ibadat kerana saya rasakan bekalan saya ke akhirat sedikit berbanding orang-orang lain. Ya ALLAH, saya rasa amal ibadat saya belum  cukup. Jika saya terus diberikan kemampuan, kesihatan dan hayat lagi, itulah yang saya mahu lakukan insya-ALLAH.

Ramai yang mengatakan PRU13 ini adalah hidup mati antara BN dan PR. Jika PR tewas, adakah pakatan tiga parti ini berterusan untuk masa akan datang?

WAN AZIZAH:  Bagi saya, hidup mati PRU13 ini adalah bagi pihak BN, bukan kepada PR.  kerana bagi saya politik negara kita sudah matang. Sebelum adanya PR, sudah ada pakatan sebelum ini seperti Barisan Alternatif. Kita sudah laluinya dan saya yakin PR akan terus bekerjasama.

Dengan adanya kerjasama ini, maka kita lebih kukuh dan boleh mentadbir untuk membawa perubahan kepada rakyat dan negara. Kami bukannya satu pakatan yang longgar seperti dakwaan pihak lawan.

Pas: Umno punca Melayu-Islam berpecah

Posted: 12 Nov 2012 12:56 AM PST

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Khalid Abdul Samad
Khalid Samad
 
SHAH ALAM - Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad tidak nampak adanya ruang Pas dan Umno boleh bergabung untuk menyatupadukan Melayu dan Islam sekiranya parti teras Barisan Nasional (BN) itu kekal dengan caranya yang mementingkan kroni dan menindas rakyat.

Beliau juga menafikan kajian yang dirujuk oleh bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha bahawa 70 peratus rakyat Selangor sokong Pas Umno bergabung sebagai fakta yang tepat.

Ini menurut beliau, Umnolah sebenarnya yang memecahbelahkan umat Melayu dan Islam di negara ini.

"Kita pertikaikan dari mana dia dapat angka 70 peratus itu? Tetapi hakikatnya, orang Islam, Melayu berpecah selama Umno-Barisan Nasional memerintah.

"Nak capai itu macam mana? Umno dengan cara dia. Dengan duit. Dengan adanya kroni-kroni yang jadi jutawan, maka orang Melayu akan bergantung kepada mereka, maka orang Melayu bersatu? Gagal, 55 tahun," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat.

Norman sebelum ini berkata, satu kajian yang dilakukan oleh sebuah agensi perunding menunjukkan majoriti penduduk Selangor yang berbilang kaum mahu kedua parti itu mengetepikan perbezaan politik dan bergabung tenaga.

"Kalau mengikut kaji selidik yang dibuat sekitar Mac 2012, 70 peratus penduduk mengharapkan satu kerjasama yang baik antara PAS dan Umno untuk mempertahankan Melayu-Islam," katanya pada satu sidang media selepas mengadakan wacana Mengembalikan Pas ke Landasan Asal di ibu negara kelmarin.

Wacana yang menurut Norman dianjurkan atas inisiatif ahli Pas yang mahu rungutan mereka diberi perhatian berjaya mencapai 11 resolusi.

Antaranya Pas mesti menentukan bahawa parti itu terus bergerak sebagai parti politik dan gerakan Islam dan agenda gerakan Islam mesti diutamakan melebihi agendanya sebagai sebuah parti politik.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, rakyat harus memberi peluang kepada Pas untuk menerajui tampuk pemerintahan sekiranya mahu umat Melayu Islam di negara ini bersatu.

"Sebab kenapa orang Melayu Islam berpecah pada masa Umno memerintah ialah kerana mereka berdiri atas dasar yang batil.

"Nak Melayu Islam bersatu, cuba serah pada Pas dan kita zahirkan cara penyatuan yang berasaskan kepada sama-sama berusaha untuk mencari keredhaan ALLAH. Itu kita yakin boleh berlaku," katanya lagi ketika ditemuinya di pejabatnya, di sini, hari ini.

Tambah beliau, dalam hal penyatuan Pas dan Umno, apa yang lebih mustahak ialah berpatah balik kepada ajaran agama di mana keikhlasan harus menjadi tunjangnya. 

"Dalam Pas kita yakin bahawa dasar yang boleh menyatupadukan manusia ini khususnya orang Islam ialah apabila manusia khususnya orang Islam ikhlas dalam soal politik mereka kepimpinan mereka, pemerintahan mereka adalah untuk mencari keredhaaan Allah Taala," ujarnya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam ketika ditanya adakah mustahil Umno dan Pas bersatu berkata, "tak lah hendak kata mustahil, tak ada benda yang mustahil tapi, dalam konteks sekarang ini, Pas bertanding di kerusi yang ditandingi oleh Umno."

"Jadi kita bersaing untuk sokongan masyarakat yang sama. Umno mereka hendakkan kepimpinan Melayu, memimpin masyarakat Melayu atas dasar politik mereka.

"Pas bersaing dengan Umno hendakkan kepimpinan bagi masyarakat Melayu atas dasar politik kita. Dia (Umno) nak bawa ke kiri, kita hendak bawa ke kanan," jelas beliau lagi.

Rajagobal positif teguran Tengku Abdullah

Posted: 12 Nov 2012 12:54 AM PST

SINAR HARIAN

K Rajagobal
Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.Rajagopal
 
PETALING JAYA - Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk K. Rajagobal menyifatkan teguran Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai prestasi semasa skuad kebangsaan yang kian merosot sebagai pandangan positif.
  
Beliau berkata teguran Tengku Mahkota Pahang itu menjadi pembakar semangat untuk beliau mempersiapkan pasukan pada tahap terbaik bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki bermula 23 November ini.
  
"Bagi saya, kenyataan itu tidak mengganggu persiapan pasukan kerana saya telah melalui situasi sedemikian dan saya tahu apa yang kita buat.
  
"Pengurus pasukan kebangsaan (Datuk Seri Subahan Kamal) pun sedar apa yang kita buat dan saya fikir kita masih berada dalam perjalanan yang sesuai sebelum bermula kempen sebenar kejohanan," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran jersi baharu skuad Harimau Malaya sempena kejohanan itu oleh Nike Malaysia di Wisma FAM, di sini, hari ini.
  
Tengku Abdullah semalam dilaporkan sebagai bertitah bahawa baginda kecewa dengan persembahan skuad Harimau Malaya yang semakin merosot terutamanya pada perlawanan persahabatan termasuk kekalahan 0-1 kepada Vietnam dan 0-2 kepada Thailand, awal bulan ini.
 
Baginda mahukan Rajagobal berhenti mencuba-cuba pemain sebaliknya menyenaraikan kesebelasan utama terbaik skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan bola sepak rantau Asean dua tahun sekali itu.
  
Pada masa yang sama, Rajagobal pula mahu peminat bola sepak tempatan tidak terlalu mendesak skuad kebangsaan untuk mencatat keputusan terbaik dalam setiap perlawanan mereka terutama dalam perlawanan persahabatan.
  
"Tiada ada satu pasukan di dunia yang mencatatkan kemenangan berterusan, jadi saya berharap peminat tempatan melihat ia sebagai suatu perkara yang positif," katanya.
  
Mengulas mengenai keenganan beliau mengumumkan senarai akhir 22 pemain yang akan menggalas cabaran negara mempertahankan kejuaraan pada Piala AFF Suzuki, Rajagobal berkata ini bagi memastikan pemain utamanya tidak mengalami kecederaan serius sebelum sepak mula kejohanan.

"(Sehubungan itu), saya memberikan peluang kepada peluang sama rata kepada semua pemain untuk menunjukkan aksi masing-masing kerana saya bimbang tahap kecergasan mereka mungkin berbeza apabila kita memerlukan khidmat mereka dalam sesuatu perlawanan (yang penting)," katanya.
  
Sementara itu, kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim menyeru rakan sepasukan untuk mencatatkan keputusan positif dalam perlawanan persahabatan selepas ini termasuk pertemuan dengan Hong Kong pada Rabu ini di Stadium Shah Alam bagi mengembalikan semula kepercayaan peminat bola sepak tempatan.
  
"Saya menyeru rakan sepasukan memberikan keputusan yang baik pada perlawanan itu nanti (menentang Hong Kong) kerana ia merupakan antara ujian awal kita sebelum menghadapi Singapura pada perlawanan pembukaan Kejohanan Piala AFF yang sebenar," katanya.
  
Skuad kebangsaan bakal mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang Bangladesh pada 20 November ini di Stadium Shah Alam sebelum berdepan Kejohanan Piala AFF Suzuki.
  
Pada Kejohanan Piala AFF Suzuki tahun ini, skuad kebangsaan yang muncul juara pada edisi 2010 di Indonesia diundi dalam Kumpulan B.
  
Mereka bakal berdepan Singapura pada 25 Nov, Laos pada 28 November sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember.
  
Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.  - Bernama

Paras air sungai di S'gor lepasi aras amaran

Posted: 11 Nov 2012 03:46 PM PST

Bernama


 
Paras air beberapa batang sungai di Selangor telah melebihi paras amaran, demikian menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

Portal itu mendedahkan paras air Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor melebihi aras amaran 7.60 meter malam ini.

Ia juga melaporkan paras air di Sungai Selangor, Kuala Badong dan Sungai Langat di Bukit Changgang telah melepasi aras bahaya iaitu masing-masing mencatat 4.03 meter dan 4.36 meter.

Di Pahang, paras air Empangan Repas, Bentong naik sehingga 113.67 meter iaitu melebihi aras amaran.

Sehubungan itu, penduduk di sekitar kawasan terlibat dinasihat agar berjaga-jaga.

Sementara itu, bilangan mangsa banjir di Selangor kekal 1,273 orang setakat 8.30 malam.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), jumlah mangsa banjir di Melaka tidak berubah iaitu 90 orang, dan di Johor, ia meningkat kepada 160 orang berbanding 140 petang tadi.

Sejumlah 12 pusat pemindahan masih dibuka di tiga negeri itu, dan tiada penutupan jalan atau korban banjir dilaporkan setakat ini, kata MKN.- Bernama

Kantoi! Pengguna Facebook edit gambar Rosmah!

Posted: 11 Nov 2012 03:44 PM PST

http://jalanpulang1978.blogspot.com,




Hasil kecanggihan teknologi kini memungkinkan segala benda yang sebelum ini kita menyampah, boleh menjadi suka kembali.

Seperti mana yang terjadi ke atas isteri perdana menteri, Rosmah Mansor yang terselit di antara pasangan pengantin badminton negara, Lee Chong Wei dengan isterinya Wong Mew Choo, sungguh ramai yang meluat dengan tindakan Rosmah yang dikatakan melanggar protokol selain menjadi bahan ketawa di laman sosial Facebook dan Twitter.

Rosmah yang hadir kelmarin di majlis resepsi pasangan mempelai pada malam kedua persandingan mereka bukan setakat dicemuh, malah mengelirukan para penonton yang menyaksikannya secara langsung di kaca televisyen selama sejam bermula 8.30 malam Sabtu lalu.

Seorang pengguna Facebook yang bengang dengan tindakan tersebut sempat mengambil beberapa keping gambar Rosmah dan pasangan pengantin secara terus dari hadapan televisyen lalu dengan usahanya itu, maka terhasillah apa yang kita semua lihat pada gambar di atas.

Lihat http://jalanpulang1978.blogspot.com/2012/11/kantoi-pengguna-facebook-edit-gambar.html

Tahniah! Malaysia Boleh...Zulfahmi lari dari semburan arak lagi

Posted: 11 Nov 2012 03:40 PM PST

http://batuvskayu.blogspot.com,

Tahniah kepada pelumba negara Zulfahmi kerana mengharumkan nama negara. Beliau berjaya menaiki podium buat kali kedua setelah berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di litar Valencia Sepanyol sebentar tadi.

Semasa perlumbaan di litar Sepang  tempoh hari beliau telah mengejutkan para peminat pemotoran di tanah air dengan melakarkan sejarah   kerana buat  julung kali beliau menaiki podium.
Dan kini di Valencia Sepanyol membuktikan kemenangan beliau di litar Sepang bukan faktor nasib. Di Valencia beliau sekali lagi membuktikan  bahawa beliau adalah pelumba yang hebat.
Taniah...semangat Zulfahmi  Bolehhhh.

Tapi yang membanggakan aku lari tetap lari bila celebrate arak. naik podium kali kedua dan lari dari semburan arak pun kali kedua....

Kuching, barat S'wak bergelap lebih sejam

Posted: 11 Nov 2012 03:36 PM PST

Bernama


 
Bekalan tenaga elektrik yang terputus dan menjejas Kuching serta kawasan barat Sarawak pada 7 malam ini berpunca daripada dua talian penghantaran 275 kV di Engkilili-Mambong terpelantik tanpa diduga, kata Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Sarawak Energy Haniza Abdul Hamid.
Beliau berkata 60 peratus bekalan elektrik itu dipulihkan pada kira-kira 8.25 malam dari stesen janakuasa Sg Biawak dan Sejingkat di Kuching.

"Sarawak Energy memohon maaf aras sebarang kesulitan yang timbul. Kami akan memaklumkan adan jika terdapat sebarang kemajuan," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkat (SMS).

Beliau berkata pihak berkenaan sedang memaksimumkan penjanaan kuasa berikutan gangguan bekalan yang menyebabkan kebanyakan rumah dan pelanggan restoran terpaksa makan malam bertemankan lilin serta wang tiket mereka yang berhasrat menonton wayang dikembalikan di sekitar bandar terbabit.

Antara bahagian Kuching yang terjejas ialah Batu Kawah, Petra Jaya, Satok, Poh Kwong Park, Matang dan Kota Padawan.- Bernama

PAS, PR tidak diserang jika tidak ancam Umno BN

Posted: 11 Nov 2012 03:34 PM PST

Harakahdaily,

TEMERLOH: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa PAS tidak pernah berganjak daripada landasan asal perjuangan.
"Bahkan, apa yang sering ditimbul bukanlah dasar tetapi soal strategi parti. Strategi parti boleh berubah mengikut kesesuaian keadaan dan suasana, manakala dasar parti tetap tidak berganjak," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat itu.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa dasar PAS untuk memperjuangkan Islam tidak pernah berubah kerana perubahan yang melibatkan dasar parti mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak atau usul yang diterima dalam muktamar parti.

Sehingga kini, kata Tuan Ibrahim, tiada sebarang perubahan yang melibatkan dasar parti yang berjuang berpaksi kepada al-Quran dan Hadis.

"Apakah dasar Islam yang parti telah diubah sehingga mereka membuat pelbagai tuduhan?

"Sebenarnya tiada. Jika gabungan PAS bersama DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat tidak kuat dan tidak menjadi satu ancaman kepada kesinambungan pemerintahan Umno BN, serangan sedemikian tidak akan wujud," kata beliau yang juga ahli Majlis Syura.

Beliau dipercayai sedang memberi respons kepada tindakan segelintir ahli PAS yang kecewa di dalam satu forum di Selangor, yang secara terbuka menuduh parti telah menyimpang daripada perjuangan Islam dan menyeru parti mengkaji semula hubungan politik bersama DAP.

Beliau berkata serangan datang bila mana PAS mula mendapat sokongan daripada kalangan bukan Islam dengan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS serta wujud kerjasama kukuh bersama Pakatan Rakyat.

"Pelbagai alasan ciptaan musuh mula dimainkan dan digempurkan semula oleh golongan yang kecewa di dalam PAS. Golongan ini telah menjadi alat kepada Umno sama ada secara sudi, sedar atau sebaliknya. Jika mereka boleh memikir secara mendalam, sepatutnya serangan dan saranan agar kembali kepada Islam ditujukan kepada Umno, parti yang sedang memerintah," kata Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyeru agar seluruh jentera parti tidak terganggu dengan kemuncup dalam perjuangan ini.

Beliau turut menyatakan kenyakinannya terhadap kefahaman dan pengetahuan ahli PAS dapat membezakan usaha licik musuh bagi melemahkan kemaraan PAS dan Pakatan Rakyat 'yang sudah hampir pasti menggantikan Umno BN yang kini berulat dengan korupsi melampau jika PRU13 diadakan sekarang'.

"Ahli parti mesti sedar ucapan mereka ini hanya bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat bagi menolak kerajaan BN dan Umno. Seperti kata Saidina Ali 'kalimah yang benar, tetapi tujuannya ialah bathil'," tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa penganjuran program sedemikian adalah satu 'fenomena biasa' menjelang pilihan raya umum.

"Saya tidak terkejut dengan penganjuran program seumpama itu memandangkan kita sekarang berada hampir dengan pilihan raya," kata beliau yang dipetik Sinar Harian Online.

Saat berdebar-debar bagi politikus

Posted: 11 Nov 2012 03:28 PM PST



Oleh: Rossem

 Pilihan Raya Umum ke 13 diadakan tahun ini?  Ya, nalar kuat  mengatakan begitu kerana  kalau diadakan tahun hadapan pasti akan tercatat dalam sejarah negara, satu-satunya pilihan raya umum di Malaysia diadakan sehingga rapat ke dinding ialah di zaman  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bahkan dikhuatiri  akan menjadi bualan umum,  PM  takut untuk menghadapi PRU sehingga terpaksa melambatkan tarikh sampai ke penghujung penggal.

PRU  1999 di zaman Tun Dr Mahathir juga agak lambat, tapi tidak sampai  kepenghujung penggal seperti sekarang. Dan kelambatan waktu itu seperti  diketahui umum ialah disebabkan Umno menghadapi  krisis politik yang teruk ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.  Api reformasi kemudiannya menyala, Umno berada dalam posisi cemas kerana sebahagian besar pemimpin dan pendokong parti itu keluar Umno dan menubuhkan parti KeAdilan.
Ketakutan dan kekhuatiran Dr Mahathir untuk mengadakan pilihan raya waktu itu ternyata  munasabah. Parti Umno yang dipimpin beliau  tidak lagi mendapat sokongan majoriti  orang Melayu.  Undi orang Melayu berpecah menjadi tiga iaitu kepada PAS, setia kepada Umno dan parti yang baru ditubuhkan KeAdilan. Pendokong KeAdilan rata-rata daripada kalangan Umno.
Apa pula rasional Najib melambat-lambatkan pembubarkan parlimen seterusnya mengadakan PRU Ke 13?  Barangkali Perdana Menteri ke enam itu terasa khuatir, lebih daripada rasa kekhuatiran  yang dialami Dr Mahathir pada tahun 1999.
Pilihan Raya Umum 1999 menyaksikan pencapaian Umno terjejas. Undi yang diperolehi Umno di seluruh negara merudung. Umno kecundang di Terengganu, sementara Kelantan kekal  di tangan PAS. Akan tetapi  komponen Barisan Nasional (BN) yang lain seperti MCA, Gerakan, MIC dan parti-parti kolosi mereka di Sabah dan Sarawak  tidak terjejas.  Aroma ferormasi yang ditiupkan Anwar Ibrahim hanya terkena Umno saja,  yang lain tak terlibat.
Namun sekarang,  senario politik   jauh berbeza berbanding   1999. Barisan Nasional hakikatnya sudah beratakkan.  Gerakan, MCA tidak lagi mendapat sokong  majoriti orang Cina. Hanya  MIC agak sedikit  pulih kerana  ramai diantara ahlinya kembali menyokong  BN, namun perubahan yang tak diduga ialah senario terbaru politik di Sabah mutakhir ini.
Saya sering bertanya  khabar teman-teman di Sabah  tentang perkembangan politik di negeri Bawa Bayu dari masa ke semasa. Salah seorang teman memberitahu gelombang kebangkitan rakyat di Sabah  dilihat luar biasa terutama saat  kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini di kawasan pedalaman Pensiangan, Keningau, Tenom, Papar, Lahad Datu dan Tawau. Kehadiran  rakyat untuk mendengar pidato Anwar ramai sekali.

Menurut teman saya lagi, situasi dan kondisi seperti ini menyamai suasana yang dilihatnya saat Parti Bersatu Sabah (PBS) menumbangkan kerajaan Berjaya suatu masa dulu.

Sementara di kawasan majoriti Cina seperti Kota Kinabalu dan Sandakan sokongan masyarakat Tiong Hwa  jelas kepada Pakatan Rakyat  Kawasan etnik Kadazan, Dusun, Murut seperti Keningau dan Pensiangan juga turut memberi isyarat  jelas menolak BN.

Hanya  kawasan bumiputera bukan Kadazan Dusun Murut   seperti di libaran, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Semporna dan Tawau yang majoritinya ditandingi Umno masih lagi sukar membuat ramalan. Namun buih-buihnya sudah ada, ombaknya saja belum tampak.

Teman saya itu kemudiannya membuat kesimpulan: Setakat  hari ini bacaan yang dibuat,  Sabah akan tumbang jika pertandingan satu lawan satu.

Senario politik di Sabah agak berbeza dengan Semenanjung. Sabah sejak merdeka melalui Malaysia sudah banyak kali bertukar kerajaan. Pada 1976 Datuk Haris Salleh dan Datuk Salleh Sulung meninggalkan Usno, tubuh Berjaya, menyebabkan kerajaan negeri Sabah yang pimpin Usno tumbang.

1984, Datuk Pairin Kitingan dan Mark Koding pula meninggalkan Berjaya dan menubuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS), kerajaan negeri Sabah pimpinan Berjaya tumbang.

1994, Datuk Lajim Ukin dan Robin Balang meninggalkan PBS dengan menyertai Umno, kerajaan negeri Sabah pimpinan PBS pula tumbang. Dan sekarang menjelang PRU 13 (2012) Datuk Lajim  Ukin dan Bumburing meninggalkan Umno, sertai Pakatan Rakyat, nasib Umno belum diketahui, namun daripada urutan fakta itu ternyata ia memberikan gambaran yang menakutkan presiden Umno.

Tiori mudah yang diberikan umum ialah; jika Pakatan Rakyat dapat mengekalkan kerusi yang dimilikinya sekarang dan dengan bantuan kerusi baru dari Sabah, sementara beberapa kerusi Sarawak sebagai bonus,  maka Pakatan Rakyat sudah boleh menduduki Putrajaya.

Jika ia ramalan itu menjadi realiti ternyata nyawa BN berada  di hujung tanduk. Dan inilah yang sangat mengkhuatirkan Perdana Menteri Najib Razak untuk membubarkan parlimen, seterusnya mengadakan  Pilihan Raya Umum 13.


NGO lapor polis isu kenyataan Nurul Izzah

Posted: 11 Nov 2012 03:26 PM PST

Bernama

 
Empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berikutan kenyataan kontroversinya mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.
Laporan dibuat di Balai Polis Meru di sini oleh Gerakan Masyarakat Prihatin Meru, Persatuan Penduduk Taman Datuk Bandar Meru, Persatuan Penduduk Kariah Kampung Haji Mohamad Sharif Meru dan Persatuan Kariah Surau Haji Kamarudin Meru pada pukul 1 tengahari ini.

Mereka meminta polis menyiasat kenyataan Nurul Izzah itu yang didakwa berbaur hasutan.

Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin, Jaya Kusuma Rosman berkata Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai perlu bertanggungjawab sekiranya ada orang Melayu yang murtad ekoran kenyataannya itu.

Beliau berkata Nurul Izzah juga perlu meminta maaf kepada orang Melayu dan berjanji tidak akan mengulangi kenyataannya itu lagi.

Laporan portal berita pro pembangkang pada 3 Nov memetik Nurul Izzah sebagai berkata: Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya pada 3 Nov.- Bernama

Tiada ulasan: