Rabu, 14 November 2012

.

.


Pas Sudah Ada 25 Kerusi Dalam Tangan

Posted: 13 Nov 2012 06:08 PM PST

ANALISA POLITIK KELANTAN                                                                              

Bila orang bertanya saya mengenai kedudukan dan peluang Pas di Kelantan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang saya menjawab begini; setakat hari ini Pas masih mampu membentuk kerajaan tetapi bukan dengan majoriti lebih 2/3 tetapi dengan majoriti tipis.

Abdul Fatah Haron
Kedudukan ini berdasarkan angka dan suasana semasa. Saya meletakkan Pas melebihi Umno dua atau tiga kerusi saja. Angka hampir sama gagah iaitu Pas 25,  Umno 20 kerusi. Saya tidak mahu menggunakan istilah status quo seperti tahun 2004. Kenapa?

Di atas kertas bagi Pas mereka mempunyai 15 kerusi yang betul-betul sedap duduk. Ini berdasarkan kepada jumlah majoriti yang diperolehi dalam pilihan raya lalu. Kalau pun undi wakil-wakil berkenaan merosot hingga 20 persen mereka masih dapat mengawal kerusi mereka.

Kerusi-kerusi itu ialah; Kelaboran (2,212), Pasir Pekan (4,516), Chempaka (4,249), Panchor (3,437), Tanjung Mas (6,112), Kota Lama (5,206), Bunut Payung (4,341), Pengkalan Pasir (2,348), Chetok (2,670), Meranti (3,135), Salor (3,232), Pasir Tumbuh (3,403),  Demik (4,799), Tawang (3,278) dan Bukit Panau (4,148).

Kerusi-kerusi ini boleh disifatkan sebagai kerusi paling selamat untuk Pas dan tidak mungkin dapat digugat oleh BN dengan perkembangan dan bentuk-bentuk kempen BN yang ada hari ini. Pas juga tidak perlu menukar atau menyalin calon-calon untuk kerusi ini kecuali ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Wan Ismail Wan Jusoh
Dengan kedudukan ini secara mudah Pas hanya memerlukan lapan kerusi saja untuk mendapat majoriti mudah, 23 kerusi. Lapan kerusi itu Pas boleh mengambilnya daripada kerusi-kerusi yang dimenangi dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000 undi.

Terdapat 12 kerusi yang dimenangi Pas dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000. Kerusi itu ialah Tendong (1,656), Jelawat (1,022), Melor (1,616), Kadok (1,802), Gual Ipoh (1,663), Kemahang (1,833), Limbongan (1,633), Pulai Chonbdong (1,535), Temangan, (1,239), Mengkebang (1,903), Manek Urai (1,352) dan Perupok (1,270).  Sebuah kerusi milik PKR, Guchil (1,000) boleh juga diambil kira.

Berdasarkan status itu Pas dengan mudah akan dapat mempertahankan kerajaan Kelantan. Ertinya paling busuk sehingga hari ini Pas akan memperolehi 25 kerusi ke atas. Sekiranya Pas dapat merampas sekurang-kurangnya tiga dari enam kerusi dimenangi Umno ini bermakna Pas akan berkedudukan selesa memperolehi 28 kerusi.

Terdapat tiga kerusi Umno yang menang dibawah 1,000 undi. Kerusi itu ialah Bukit Bunga (348), Pengkalan Kubur (100) dan Kok Lanas (550).

Pun begitu Pas tidak boleh bersedap hati. Pas perlu juga insaf dan sedar bahawa parti itu mempunyai 10 kerusi yang dimenangi dibawah 1,000 undi di mana kerusi-kerusi ini menjadi idaman utama Umno. Kerusi-kerusi berkenaan ialah; Wakaf Baharu (660), Gual Periok (733), Bukit Tuku (456), Galas (646), Selising (783), Semerak (831), Gaal (323), Kemuning (916), Air Lanas (795) dan Dabong (552). Kerusi-kerusi ini merupakan kerusi 'senak' buat Pas dan diletakkan dalam lingkungan warna kelabu.

Seandai Umno dapat merampas kerusi-kerusi ini tanpa kehilangan enam kerusi dimiliki kini bermakna Umno akan memperolehi 15 kerusi. Pencapaian ini merupakan peningkatan kepada Umno di dalam pilihan raya nanti dan merupakan angka yang cukup munasabah buat masa ini.

Muhammad Awang
Bagaimana pun harus diingat, politik itu serba mungkin dan tidak mustahil Umno dengan usaha bersungguh-sungguh akan berjaya merampas kerusi-kerusi dianggap kritikal ini. Sekiranya Pas selesa dengan keadaan hari ini, ia tidak mustahil bagi Umno yang mempunyai semangat juang lebih tinggi dari Pas mampu membuat up-set.

Justeru Pas perlu bertindak segera mengambil langkah bagi memperkukuhkan kerusi-kerusi berkenaan. Salah satu tindakan yang patut dilakukan Pas perlu menukar wakil rakyat yang ada kini kepada muka baru yang lebih dinamik dan komited dengan parti. Pas tidak perlu takut untuk mengorbankan mereka walaupun mereka dari latar belakang ustaz dan senantiasa berjubah dan tasbeh ditangan. Dalam dunia politik tasbeh tidak banyak membantu.

Wakil-wakil rakyat yang mewakil 10 kerusi 'senak' berkenaan ialah; Che Abdullah Mat Nawi (Wakaf Baharu), Abdul Fatah Haron (Bukit Tuku), Muhammad Awang (Gual Periok), Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim (Dabong), Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak), Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Gaal), Drs Saiful Baharin Mohamad (Selising), Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (Kemuning) hendaklah ditukar dengan muka baru.

Kebetulan pula mereka itu semua bermasalah (kecuali Wan Ahmad Lutfi dan Che Abdullah), jadi elok kalau yang lain itu diusahakan tukar atau pun mereka sendiri mengangkat bendera putih untuk berundur dengan terhormat. Ternyata mereka gagal menunjukkan perfomance sebagai wakil rakyat yang sesuai dengan zaman ini. Sesetengahnya masalah dihadapi adalah masalah moral.

Nik Mazian Nik Mohamad
Keperluan menukarkan calon-calon ini juga bukan saja terkira kerana majoriti yang dicapainya rendah, kurang 1,000 tetapi wakil rakyat yang selalu sakit, uzur, malas dan tidak memberi sumbangan besar kepada parti dan kerajaan juga perlu dirihatkan.

Misalnya Adun Melor Wan Ismail Wan Jusoh dan Drs Zainuddin Awang Hamat yang sakit dan bermasalah wajar dirihatkan. Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok), Rohani Ibrahim (Tanjung Mas) yang kurang berfungsi perlu difikirkan untuk dirihatkan sama. Mereka ini perlu diberi kefahaman, agar berfikir meletakkan kepentingan parti melebihi dari kepentingan peribadi.

Kebetulan juga mereka ada yang sudah dua penggal atau lebih berkhidmat, seperti Wan Ismail, Abdul Halim, Drs Saiful Baharin, Rohani Ibrahim, Dr Nik Mazian dan Abdul Fatah Haron.

Tidak keterlaluan dikatakan kalau Pas sedia melakukan muhasabah dan membuat pembaiki ke atas calon dan wakil rakyat untuk menstabilkan Pas. Dan sekiranya gelombang ke Putrajaya melantun sampai ke segenap kampung dan ceruk di Kelantan, Umno tidak payah bermimpi untuk merampas Kelantan, kemungkin juga parti itu akan ditimpa sejarah seperti tahun 1990 di mana Umno akan gagal memperolehi satu kerusi pun di Kelantan.

Sejarah dalam kehidupan dan politik juga selalu berulang. Sebaliknya kalau Pas masih merasa complacent dengan keadaan yang ada dan terus mengambil calon berdasarkan laporan dan rekomen dari kawasan (atau dipilih secara dalam berdasarkan kroni) tidak mustahil juga Pas boleh menangis tidak beriramal dan akan berlaku istidraj politik.  [wm.kl.12:33 t/hari 13/11/12]

Media Massa Perlu Berperanan Mendamaikan Keadaan

Posted: 13 Nov 2012 03:19 AM PST

TUNJAHAN MINDA                                                                                                       

Bukan senang untuk mendisiplin orang politik tidak kira dari relong mana. Mulut orang politik lebih luas dari mulut tempayan dan buasnya lebih lasak dari anak lembu belum baligh. Untuk menang mereka akan melakukan apa saja. Apa lagi politik yang diamalkan di Malaysia ini (politik demokrasi sekular), menyebabkan sesuatu yang mereka lakukan walaupun bersalahan dengan adat dan agama tidak menjadi masalah.

Dalam dunia politik yang haram pun boleh dihalalkan dan yang halal pula boleh diharamkan.  

Sebab itu jika diperhatikan orang politik akan mempolitikan apa saja. Politik kita ada stail tersendiri kerana kita tidak terikat dengan mana-mana terma politik, tetapi bebas dengan terma yang kita cipta sendiri; boleh berbohong, boleh memfitnah dan boleh menggunakan apa saja isu. Rukun 4C - (Publisiti, manipulasi, kontroversi dan hipokrasi), tetap praktikal dan valid dalam politik kita.

Isu-isu bersifat personal dan sensitif seperti agama, budaya, bahasa dan sebagainya sepatut tidak dibangkit kerana ia boleh menimbulkan keburukan dan mudarat, tetapi ia seakan tidak dipedulikan langsung asalkan ia dikira memberi keuntungan dan laba. Malahan isu-isu pula menjadi kegeraman semua ke belakangan ini. Seolah-olah ahli politik kita semuanya tidak bermoral dan sudah tidak mementingkan soal integriti dan moral lagi.

Kerencaman dan 'kebuasan' orang politik ini menjadi lebih teruk lagi apabila media massa yang menjadi alat dan saluran melaporkan kegiatan orang politik juga tidak berdisiplin atau tidak bertanggungjawab terhadap peranan mereka sewajarnya. Media massa yang seharusnya bertanggungjawab tidak bertindak sepertinya. Tanggungjawab sosial diabaikan begitu saja kerana mengejar meterialistik. Sikap dan perangai media massa juga sama dengan sikap dan perangai politician.

Kekalutan atau kurang kerbertanggungjawaban media ini bukan saja terkhusus kepada media massa PB tetapi media masa bebas yang lain juga termasuklah yang pro-oposisi dan blog. Kerana mengejar visitor atau pageview mereka sanggup menipulasikan laporan atau mempolimek isu-isu yang tidak sepatutnya secara rakus.

Kadang-kadang geluk politik kita menjadi riuh disebabkan campur tangan media massa atau media masa terlupa tanggungjawab dan amanah sosialnya. Adakalanya kenyataan orang politik seinci saja tetapi di make-up sampai sekaki dan sedepa. Inilah menimbulkan kekalutan.

Inilah masalahnya. Ambil saja contoh mengenai isu-isu agama, di mana isu ini tidak sepatutnya dijadikan isu politik dan terheret menjadi polimek berpanjangan. Ia patut disekat, tetapi kerana media massa tidak memahami akan bahaya isu ini maka ia dimainkan. Kenapa ia menjadi teruk apabila media, atau wartawan dan penulis yang mengambil isu itu sebagai subjek tidak memahami secara mendalam apa yang hendak dilapor dan diulaskan itu. Sebab itu berlaku kecelaruan. Isu yang sebesar tahi mata menjadi sebesar tahi gajah.

Tambahan lagi kalau media itu sendiri ada niat dan nawaitu untuk menimbulkan perpecahana dan keretakan maka ia menjadi lebih parah. Ada kalanya isu kecil saja dan dianggap perkara biasa tetapi disebabkan ia dipolis dan dipolimekkan oleh media ia menjadi besar dan kadang-kadang menjadi masalah kepada negara dan bangsa.

Di sini kita tidak mengira media massa itu sengaja atau tidak mahu mensensasikan isu agar mereka mendapat perhatian, tetapi jika diamat-amati ada sesetengah laporan atau 'penimbulan' isu oleh media semasa disengajakan dengan motif tertentu. Selalunya dengan tujuan untuk melaga-laga dua pihak khasnya sesama Melayu di antara Pas dengan Umno. Saya berani mengatakan di samping mereka tampil memperjuang dan melaksanakan kebebasan tetapi secara senyap mereka ada agenda jahat.

Perkara ini tidak akan disedari jika tidak difahami dan dicungkil secara menghalus mengenai seni peperangan oleh media massa. Dalam masa media itu mendabik dada mereka terbuka dan mengamalkan kebebasan bersuara tetapi ianya terselit dengan nawaitu busuk untuk kepentingan mereka atau pihak yang disokongnya secara senyap.

Saya melihat fenomena ini sesuatu yang boleh memburukkan keadaan jika tidak dibatasi. Lama kelamaan ia akan menjadi barah. Mungkin orang politik atas sifatnya yang liar, culas dan mulutnya tidak boleh ditutup, maka tindakan lain wajar diambil. Misalnya media massa perlu mendisplinkan dirinya dan bersikap konstruktif dan bukan khianat. Media massa harus meletakkan diri mereka sebagai pengharmonian (pendamai) politik negara ini bukan mencarik robekkan.

Media harus juga didisiplinkan sebaik mungkin. Media juga bukan diberi kepercayaan kepada kebebasan bersuara, tetapi harus dipantau agenda tersembunyi yang cuba dibawanya. Bukan sukar untuk mengelakan isu-isu sensitif seperti agama misalnya untuk dipantau. Cukup kalau media massa memastikan setiap orang wartawan atau jornalisnya yang hendak menulis dan melaporkan mengenai agama pastinya ianya benar-benar faham mengenai sesuatu isu atau topik agama itu.

Wartawan mereka harus mengetahui ilmu agama dan tidak melaporkan secara 'harfiah' saja setiap apa dihemburkan oleh orang politik. Mungkin orang politik ada yang jahil mengenai agama dengan menjadikan agama sebagai alat untuk keuntungan mereka, disinilah wartawan yang bertanggungjawab dan berilmu akan menulis dan melapor dengan baik. Wartawan akan menjadi agen penjernihan keadaan atau bertindak sebagai orang ketiga menjadi pendamai jika ada dua pihak yang bergaduhan.

Seeloknya juga bagi memastikan isu-isu agama tidak terpesong dan menjadi polimek berpanjangan disebabkan salah lapor dan salah cakap oleh orang politik, setiap oragnaisasi media baik cetak atau maya mengadakan penasihat khas agama di dalam oraganisasi mereka. Orang ini yang arif dalam bidang agama dijadikan tempat merujuk oleh para wartawan apabila mereka berdepan dengan isu-isu agama yang agak komplikated.

Apabila ada penasihat ini, maka isu agama itu tidak akan dilapor dan ditulis secara 'gabas' secara sembrono mengikut fahaman mereka, tetapi ditulis mengikut lunas-lunas dan pemahaman yang sebenbarnya. Jika ini dilakukan maka tidak ada kekeliruan terhadap isu-isu agama yang dilaporkan.

Sekiranya oragnisasi media massa berat untuk menyediakan penasihat agama di tempat mereka, mungkin Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) boleh mengambil inisiatif untuk menyediakan pegawai-pegawai mereka di badan-badan agensi berkenaan. Tempatkan mereka disitu atau pun Jakim mengadakan Unit Khas mengenai agama untuk dijadikan tempat rujukan para wartawan khas mengenai isu agama. Unit khas ini pula mestilah cekap dalam memberi respon dan menghurai sesuatu permaslaahan kerana sifat berita dan maklumat itu perlu disegerakan.

Kalau ini wujud sudah pasti kekeliruan atau kejadian salah lapor dan salah tulis mengenai agama tidak akan berlaku. Sewajarnya juga kalau isu-isu sensitif seperti isu agama, bangsa, budaya dan peribadi diberikan perhatian. Media massa harus berdiri tegap atas falsafahnya sebagai perubahan masyarakat dari negatif kepada positif. Kalau media massa melupai akan falsafah itu, apa lagi ikut terbawa-bawa bermain dengan perkara-perkara negatif merosakkan bangsa, kewujudannya tidak memberi apa-apa makna sedikit pun. Sebaliknya kewujudan mereka bolehlah di anggap atas kehendak syaitan. [wm.kl.7:06 pm 13/11/12]

Tiada ulasan: