Khamis, 11 Oktober 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Isu Lynas: Mahkamah Tinggi Kuantan Tetapkan 8 November Keputusan Permohonan Bekukan TOL !

Posted: 10 Oct 2012 12:53 PM PDT

KUANTAN, 11 Okt - Mahkamah Tinggi Kuantan menetapkan 8 November ini untuk keputusan permohonan pembekuan Lesen Operasi Sementara (TOL) kilang nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, dekat sini. Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan demikian atas alasan untuk meneliti secara terperinci tiga permohonan berkenaan TOL tersebut. Permohonan tersebut membabitkan LAMP dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai defendan dan penduduk Kuantan sebagai plaintif. "Setelah mendengar hujah daripada ketiga-tiga pihak, saya menetapkan 8 November ini sebagai tarikh keputusan plaintif," katanya di Kuantan semalam. Penduduk Kuantan, yang diwakili Datuk Bastian Pius Vendargon, memohon supaya mahkamah membekukan TOL bagi menghentikan operasi LAMP. Sementara itu, pihak LAMP, yang diwakili oleh Tan Sri Cecil Abraham, memohon perubahan afidavit untuk menjadi defendan ketiga. AELB dan MOSTI yang diwakili oleh Peguam Persekutuan Kanan, Datin Azizah Nawawi memohon supaya TOL tidak dibekukan dengan alasan penduduk Kuantan bakal dikenakan tindakan saman oleh LAMP. Dalam pada itu, kira-kira 100 penyokong penduduk Kuantan berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan seawal pukul 7.30 pagi sambil memegang sepanduk masing-masing bagi menunggu keputusan permohonan tersebut.

[Nampaknya perjuangan rakyat untuk menuntut hak mereka dalam isu Lynas ini masih diteruskan dan mereka ternyata tidak mahu kilang berisiko itu beroperasi sebenarnya. Persoalannya, apakah masih ada keadilan untuk mereka terus berjuang dalam isu ini. Apakah jika Mahkamah Tinggi memutuskan lesen TOL Lynas itu dibatalkan, maka syarikat terbabit akan akur dengan arahan tersebut dan memberhentikan operasi mereka?. Apakah kerajaan akan berdiam diri dan tidak merayu keputusan itu begitu sahaja. Inilah yang memusykilkan kita sebenarnya. Justeru, apa yang pasti tentunya rakyat tidak dapat mempertahankan hak mereka kelak, kerana segala perjalanan kes ini seolah-olah menjurus ke arah itu. Apa yang penting, rakyat perlu lakukan perubahan pada Pilihanraya Umum Ke-13 nanti jika mahu melihat kilang Lynas itu dinyahkan dari bumi Pahang khasnya dan Malaysia amnya. Tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada kerajaan yang ada sekarang kerana mereka tetap akan mempertahankan projek Lynas itu tanpa mengambilkira risiko yang bakal ditanggung oleh rakyat terutamanya generasi akan datang ini sebenarnya].

Tiada ulasan: