Ahad, 21 Oktober 2012

Kopitiam Bang Nan

Kopitiam Bang Nan


Penjelasan LUAS tentang status sebenar "Krisis Air Selangor!"

Posted: 21 Oct 2012 03:02 AM PDT


Hentikan Keliru Rakyat Isu Paras Empangan Air. (disertakan: Kenyataan LUAS Tentang Peningkatan Kapasiti Empangan Sg Sgor)

by Abdul Khalid Ibrahim on Sunday, October 21, 2012 at 4:09pm ·
Saya berpuashati dengan peningkatan takungan air di Empangan Sungai Selangor yang telah meningkat kepada 55.43% iaitu sebanyak 127.49 juta meter padu setakat hari ini.

Empangan ini membekalkan air untuk dirawat di tiga loji pembersihan air (LPA) iaitu; LPA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LPA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LPA Bukit Badong (SSP3). Empangan Sungai Selangor menyumbangkan 60% bekalan air di sekitar Lembah Klang.

Sekalung ucapan tahniah kepada pegawai dan kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang bekerja keras dalam memantau status empangan untuk memastikan ia berada pada paras memuaskan dan mampu memenuhi keperluan pengguna.

Kerajaan Selangor sedar dengan usaha-usaha pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan ketakutan kepada rakyat Selangor dan penduduk Lembah Klang kononnya bakal berdepan krisis air ekoran penurunan paras air di empangan.

Saya mengesa semua ahli politik terutamanya pihak pembangkang di Selangor supaya berhenti membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan mengenai isu air termasuk kedudukan paras takungan di empangan.

Kenyataan mengelirukan dan tidak benar ini seolah-olah memperlekehkan kerja keras kakitangan kerajaan yang selama ini bertungkus lumus untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi.

Segala usaha yang dilakukan adalah bukti komitmen Kerajaan Selangor untuk menyelesaikan penyusunan semula industri perkhidmatan air yang masih terbantut di samping meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR
21 OKTOBER 2012

(Disertakan Kenyataan Akhbar LUAS Tentang Peningkatan Kapasiti Empangan Sg. Selangor pada 21 Okt 2012 dan gambar empangan selangor)

PENINGKATAN KAPASITI TAKUNGAN EMPANGAN SUNGAI SELANGOR

Empangan Sungai Selangor yang terletak di Kuala Kubu Bharu, di dalam Daerah Hulu Selangor adalah sebuah empangan kawalan (regulating dam) yang mampu menampung kapasiti air sebanyak 235 juta meter padu. Kadar pelepasan air dari empangan akan bertambah sekiranya aliran air sungai berkurangan. Empangan ini membekalkan air untuk dirawat di tiga (3) loji pembersihan air (LPA) iaitu; LPA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LPA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LPA Bukit Badong (SSP3). Empangan Sungai Selangor menyumbangkan 60% bekalan air di sekitar Lembah Klang.

Pada 11 Oktober 2012, kapasiti empangan tersebut menyusut sehingga ke tahap 52.02% iaitu sebanyak 119.65 juta meter padu. Ini adalah keadaan operasi biasa empangan pada musim kering (Monsun Barat Daya) iaitu pada bulan Mei sehingga September, dimana air di empangan akan dilepaskan untuk memenuhi permintaan LPA.

Takungan Empangan Sungai Selangor mula menunjukkan peningkatan pada 12 Oktober 2012 kepada tahap 52.20%  iaitu sebanyak 120.06 juta meter padu. Jumlah tersebut terus meningkat seperti yang ditunjukkan di dalam Graf 1Sehingga 21 Oktober 2012, takungan empangan tersebut telah meningkat kepada 55.43% iaitu sebanyak 127.49 juta meter padu.


Baki aliran (residual flow) di Baraj Bestari Jaya juga meningkat. Bacaan awal pada 11 Oktober 2012 adalah sebanyak 5416 juta liter sehari (JLH). Bacaan pada 12 Oktober 2012 adalah 3429JLH. Manakala bacaan pada 21 Oktober 2012 adalah 3607 JLH.  Bacaan tertinggi yang direkodkan adalah sebanyak 15513 JLH pada 19 Oktober 2012. Bacaan harian baki aliran ini adalah tinggi berbanding dengan jumlah minima keperluan aliran sebanyak 300 JLH.

Selain itu, pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor mula dikurangkan oleh kerana air sungai mencukupi untuk keperluan terutamanya LPA. Pelepasan air dari empangan pada 11 Oktober 2012 adalah sebanyak 521.3 juta meter padu dan mula dikurangkan kepada 317.73 juta meter padu pada 12 Oktober 2012. Pelepasan pada 21 Oktober 2012 dikurangkan kepada 126.856  juta meter padu seperti ditunjukkan di dalam Graf 2. Keadaan ini adalah masa yang paling sesuai untuk meningkatkan kapasiti takungan empangan selain kuantiti hujan yang turun di dalam kawasan tadahan empangan. Setakat ini, semua loji di Sungai Selangor beroperasi seperti biasa untuk memenuhi keperluan bekalan air bersih.


Kuantiti takungan Empangan Sungai Selangor dijangkakan akan terus meningkat memandangkan kawasan tadahan empangan sudah mula menerima hujan dan perubahan musim kering kepada musim hujan (Monsun Timur Laut) yang bermula dari bulan November sehingga Mac. Berdasarkan maklumat taburan hujan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), jumlah hujan yang akan diterima di Semenanjung Malaysia akan meningkat kepada 210 hingga 410 milimeter bermula pada bulan Oktober.  Jumlah hujan sehingga 21 Oktober 2012 ialah 157.88 milimeter. Berdasarkan arah aliran tahunan dan data sejarah hujan jangka panjang 30 tahun, takungan Empangan Sungai Selangor dijangka akan kembali penuh (100%) sebelum Mei 2013. Graf 3 menunjukkan arah aliran tahunan tersebut.


Walau bagaimanapun, LUAS sentiasa memastikan sumber air mencukupi. Pemantauan akan terus dilakukan. Dalam masa yang sama, LUAS akan bekerjasama dengan JMM untuk melaksanakan pembenihan awan bagi meningkatkan lagi kadar hujan sekiranya jumlah hujan berada pada tahap purata. Pembenihan ini akan dilaksanakan di kawasan tadahan Empangan Sungai Selangor sekiranya simpanan empangan tersebut mencapai tahap 45%, iaitu 103.50 juta meter padu.


Haji Md. Khairi Bin Selamat,
Pengarah,
Lembaga Urus Air Selangor.

Gambar-gambar empangan Selangor:


Tiada ulasan: